Sabtu, 29 Jun 2013

DAGING KAMBING BAIK BAGI KESIHATAN JANTUNG

[VIDEO] "Dakwat Kekal": Jawapan Menteri BN Kelas Ke 3 - Prof Muhammad Agus
Posted on Friday, June 28 @ 21:16:37 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo

Oleh Greenboc

Kelmarin saya tergamam apabila Menteri di JPM Menteri menyatakan di Dewan Rakyat tentang dakwat kekal mengandungi pewarna makanan yang dibenarkan.

Tetapi kenyataan itu tidak mendesak saya untuk menulis biarpun saya janggal mendengarnya," tulis penganalisis politik Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff di facebooknya.

Hari ini, beliau terkedu apabila Menteri Wilayah Persekutuan pula menyatakan Malaysia tidak perlu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya kerana negara ini bukannya seperti "negara dunia ketiga" lain.

Berikut tulisan beliau.

KELMARIN saya tergamam apabila Menteri di JPM Menteri menyatakan di Dewan Rakyat tentang dakwat kekal mengandungi pewarna makanan yang dibenarkan. Tetapi kenyataan itu tidak mendesak saya untuk menulis biarpun saya janggal mendengarnya.

HARI INI saya terkedu apabila Menteri Wilayah Persekutuan pula menyatakan Malaysia tidak perlu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya kerana negara ini bukannya seperti "negara dunia ketiga" lain.

Saya kira kedua-dua kenyataan menteri tersebut terkeluar tajuk. Isunya ialah mengapa dakwat kekal yang digunakan oleh SPR dalam pilihan raya yang lalu tidak kekal, bukannya perlu atau tidak perlu menggunakan dakwat kekal? Saya kira soal harapan rakyat untuk melihat dakwat kekal seperti yang dijanjikan tetapi tidak kekal adalah isu besar yang perlu dijawab oleh menteri yang bertanggungjawab dan SPR. Oleh itu, kenyataan menteri di atas adalah satu jawapan yang pada saya menggambarkan bukannya negara kita dunia ketiga, tetapi komen pemimpin kita yang kelas ketiga.

Buat apa kita membandingkan negara kita dengan dunia ketiga yang lain? Jika kita kahu bandingkan pun, dari segi sistem pengundian, negara kita masih jauh mundur ke belakang. India dan Indonesia menggunakan dakwat kekal, tetapi tidak ada kecelakaan yang menimpa pengundi mereka. Sebaliknya yang berlaku ialah sistem pilihan raya mereka dilihat demokratik, adil dan memenuhi aspirasi rakyat. Itu yang kita mahu—satu pilihan raya yang telus dan ada integriti supaya tidak timbul kontroversi seperti sekarang ini.

Jika kita mahu bandingkan sistem pilihan raya kita dengan di negara maju, kedudukannya adalah jauh panggang dari api. Di negara maju, sistem pilihan rayanya adil dan bebas, medianya bebas dan pengurusan pilihan rayanya baik. Di negara maju, mereka tidak lagi menggunakan dakwat kekal, tetapi menggunakan sistem biometrik. Apakah kita mampu menjadi seperti mereka atau telahpun mencapai tahap seperti mereka?

Baiklah, jika kita tidak mahu gunakan dakwat kekal, saya mahu cadangkan dalam pilihan raya yang akan datang, kita gunakan mesin mengesan cap jari. Penggunaan mesin ini baik kerana selain dapat mengesahkan identiti pengundi, mesin ini juga secara automatiknya dapat menolak mereka yang cuba untuk mengundi dua kali. Mengapa timbulnya persepsi adanya pengundian dua kali ini? Ini kerana keraguan kepada senarai pengundi SPR? Bilakah SPR dapat menyelesaikan persepsi rakyat yang negatif ini?

YB pemimpin, tolong selesaikan isu dakwat kekal ini dengan baik. Tolong jangan berikan jawapan yang berterusan mendungukan rakyat. Setakat ini, saya lihat jawapan pemimpin adalah sama seperti pengail yang mengail, tetapi memilih menggunakan umpan yang tidak dimakan ikan.




greenboc.blogspot.com


 Sembahyang Macam Orang Gila
Posted on Friday, June 28 @ 21:36:04 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjualCendol

Blog LaptopLama

Menurut pengertian umum orang gila adalah orang yang sakit jiwa atau yang hilang ingatan disebabkan gangguan pada urat saraf.

Biasanya, jika kita disebut tentang orang gila, maka terbayang di kepala kita seseorang yang kusut masai; tidak mandi; berpakaian lusuh; robek atau koyak disana sini; bahkan ada juga yang berkeliaran dalam keadaan telanjang bulat.

Suka bercakap sendiri atau meracau sesuka hatinya; bahkan kadang-kadang ada juga suka marah dan mengamuk tanpa sebarang alasan yang musababnya.

Namun demikian ada juga orang gila yang penampilannya sama seperti manusia normal bahkan kadang kala sangat menarik dipandang.

Syaikh Abdullah Al-Ghazali dalam Risalah Tafsir menulis satu riwayat (hadis) seperti berikut:


“Pada suatu hari Rasulullah SAW berjalan-jalan melewati sekelompok sahabat yang sedang berkumpul. Lalu baginda bertanya kepada mereka:
“Mengapa kalian berkumpul disini”

Para sahabat tersebut lalu menjawab:
“Ya Rasulullah, ada orang gila yang sedang mengamuk. Oleh sebab itulah kami berkumpul disini.”

Menanggapi hal itu Rasulullah SAW lalu bersabda:
“Sesungguhnya orang ini tidaklah gila (al-majnun), tapi orang ini hanya sedang mendapat musibah. Tahukah kalian, siapakah orang gila yang sebenar-benarnya disebut gila (al-majnuun haqqul majnuun) “.

Para sahabat lalu menjawab: Tidak ya Rasulullah. Hanya Allah dan rasul-Nya jualah yang mengetahuinya.”

Kemudian Rasulullah SAW menjelaskan:
“Orang gila yang sesungguhnya gila (al-majnun haqqul majnun) adalah orang yang berjalan dengan penuh kesombongan; yang membusungkan dadanya; yang memandang orang dengan pandangan yang merendah-kan; lalu berharap Tuhan akan memberinya surga; padahal ia selalu berbuat maksiat kepada-Nya. Selain itu orang-orang yang ada di sekitarnya, tidak pernah merasa aman dari kelakuan buruknya. Dan di sisi yang lain, orang juga tak pernah mengharapkan perbuatan baiknya. Nah, orang semacam inilah yang disebut sebagai orang gila yang sebenar-benarnya gila (al-majnuun haqqul majnuun). Adapun orang yang kalian tonton ini hanyalah sedang mendapat musibah dari Allah.”
Mengikut Rasulullah s.a.w orang gila itu ialah orang yang sombong dan takabur serta memandang rendah kepada orang lain.

Saya tertarik satu difinasi tentang orang gila dari segi sainsnya ialah orang yang bercakap sendiri tanpa dia mengetahui apa yang diucapkannya. Sebab itu banyak filem-filem yang mengambarkan tentang orang gila ditunjukkan sifat bercakap sendiri tanpa dia tahu apa yang diucapkan.

Mengenai sembahyang pula. Kita sembahyang dalam bahasa Arab, tak ada orang sembahyang dalam bahasa ibunda dan tak ada perjuang bahasa mana-mana negara yang nak memperjuangkan sembahyang dalam bahasa ibundanya.

Bahasa Arab buka semua orang faham. Kita sembahyang tiap-tiap hari paling kurang 5 waktu. Ramai orang yang sembahyang tetapi dia tak tahu apa yang diucapkan dalam sembahyang. Mungkin dia boleh sebut dengan fasih dan betul tetapi belum tentu yang sebut dengan fasih dan betul itu faham makna sebenar apa yang disebut.

Untuk dapat khusyu' dalam sembahyang kita memerlukan kefahaman apa yang disebut dan dilakukan, ini bermakna bukan sahaja sebutan yang betul tetapi memahami makna sebutan tersebut dan lebih baik lagi kita mengerti maksud sebenar sebutan tersebut.

"Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya" (Surah Al-Mukminun : ayat 1-2)

Allah telah berfirman yang bermaksud: "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." (SurahAl-Ma'un : ayat 4-5)

Sembahyang tanpa mengetahui makna sebutan, rasanya sama seperti ORANG GILA yang bercakap sendiri tanpa dia mengetahui apa yang diucapkan.

Adakah kita ORANG GILA dalam sembahyang??


__________
http://laptoplama.blogspot.com/


  Daging kambing baik untuk kesihatan jantung
Posted on Friday, June 28 @ 22:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Laman Wanitakini.Com

Entah mengapa ramai kalangan kita memilih untuk menolak sajian daging kambing yang sering dipersalahkan sebagai penyebab masalah kolestrol dan darah tinggi yang kemudian membawa kepada penyakit jantung.

Sedangkan pada masa kini, kambing merangkumi 63 peratus daging yang dimakan di seluruh dunia, termasuk menjadi sumber protein utama di banyak negara Arab dan Afrika Utara, selain penting di rantau Asia Tenggara, kepulauan Caribbean dan kawasan tropika yang lain.


Di Barat pula, daging kambing makin mendapat publisiti meluas sebagai sumber protein yang lebih menyihatkan berbanding daging lembu, malah terdapat kajian yang menyatakan ia lebih sesuai untuk dimakan oleh penghidap masalah berkaitan jantung.
Kumpulan penyelidik dari Sistem Kerjasama Pendidikan Lanjutan Alabama (Alabama Cooperative Extension System-ACES) yang terdiri daripada Universiti Alabama dan Universiti Auburn misalnya, turut mengadakan program pendidikan awam yang mempromosi daging kambing sebagai makanan yang lebih sihat.


KOMPOSISI KHASIAT
Kajian ACES berkenaan khasiat daging kambing matang berbanding lembu, kambing muda, bebiri, khinzir dan ayam mendapati bahawa daging yang dihasilkan oleh kambing adalah lebih pejal dan mengandungi komposisi khasiat yang lebih baik.

Kesimpulan utama yang mereka dapati ialah kambing mengandungi paras kolestrol dan lemak tepu yang jauh lebih rendah berbanding daging lain, menjadikan ia sebagai pilihan makanan alternatif daging merah terbaik.

Dengan menggunakan potongan daging seberat tiga auns atau 85 gram, didapati kambing hanya mempunyai 2.6 gram kandungan lemak berbanding lembu yang mempunyai 7.9 gram lemak, kambing muda (lamb) (8.1 gram), khinzir (8.2 gram) dan ayam (6.3 gram).

Melihat dari segi kalori pula, kambing mempunyai 122 kalori (kal), berbanding lembu (179 kal), kambing muda (175 kal), khinzir (180 kal) dan ayam (162 kal).
Selain itu, kandungan lemak tidak tepu kambing jauh lebih tinggi berbanding daging jenis lain, ini adalah baik untuk pemakanan manusia memandangkan lemaktak tepu membantu merendahkan risiko penyakit jantung dan strok.

Kebaikan lain yang menjadikan daging kambing sebagai sumber protein ideal ialah ia mengandungi semua jenis asid amino yang diperlukan tubuh serta kandungan zat besi yang tinggi dan mampu membantu penghidap anemia.
 
BAIK UNTUK JANTUNG

Kajian klinikal oleh Universiti Harvard pula, mengesahkan bahawa lemak tepu adalah lemak tidak sihat yang meningkatkan risiko pelbagai penyakit kardiovaskular, sedangkan lemak tidak tepu bagus untuk membantu membaiki paras kolestrol, melegakan keradangan, menstabilkan rentak jantung dan banyak lagi kebaikan yang lain.

Mereka turut mendapati bahawa lemak tepu menyebabkan paras kolestrol tidak baik meningkat dalam darah sedangkan lemak tidak tepu pula membantu mengurangkan keburukan itu dengan menaikkan paras kolestrol baik.

Keburukan utama kolestrol tidak baik dalam darah ialah kemampuannya untuk melekat di dinding salur arteri dan menyebabkan plak yang menjadikan ruang salur darah sempit atau tersekat, yang seterusnya menyebabkan serangan jantung atau strok.

Lantas penemuan itu mengukuhkan lagi keyakinan ACES bahawa daging kambing membantu mengurangkan paras kolestrol dalam darah, mengurangkan risiko atherosklerosis dan penyakit jantung menjadikannya sesuai dimasukkan ke dalam diet jantung sihat.

Sebagai galakan pemakanan daging kambing, ACES turut menggaris dua peraturan asas menyediakan masakan berasaskan kambing.

"Ini termasuk gunakan suhu rendah kerana suhu yang terlalu panas akan menyebabkan daging kambing cepat liat, peraturan kedua pula ialah memasak daging di dalam kelembapan seperti peraman (marinade) basah sebelum dimasak ataupun masakan berkuah seperti kari atau stew," lapor mereka.
 
SUSU BERKHASIAT

Semua kelebihan daging kambing dari segi kesihatan itu turut diakui oleh penyelidik dari Jabatan Pertanian Universiti Bab*****, Nigeria .

Malah, kumpulan penyelidik itu menekankan kepentingan nilai nutrisi kambing dalam aspek pengurusan kesihatan manusia sebagaimana yang dilaporkan menerusi artikel mereka yang diterbitkan dalam Jurnal Pertanian dan Kajihayat Amerika Utara.

Antara lain, artikel itu menyebut bahawa di Okinawa Jepun misalnya, ibu hamil dan yang baru bersalin digalakkan memakan daging kambing untuk menguatkan fizikal dan mengatasi keletihan.

Ia turut membincangkan kepentingan susu kambing yang mempunyai komposisi yang lebih unik iaitu globular lemak yang lebih kecil dan mudah dihadamkan berbanding susu lembu.

"Sifat itu membolehkan susu kambing digunakan untuk merawat masalah alergi pada susu lembu, menjadikannya susu alternatif terbaik dan sangat penting kepada bayi, orang dewasa dan juga ibu yang menyusukan bayi," tambah laporan itu.

Selain itu, mereka mendapati kandungan zat mineral susu kambing adalah lebih tinggi berbanding mamalia lain menjadikannya amat berguna untuk merawat penyakit anemia yang diakibatkan oleh kekurangan zat besi dan penyakit tulang rapuh selain dilaporkan berguna dalam rawatan kencing manis.

Artikel itu turut menjelaskan kebaikan susu kambing untuk kesihatan kulit, khususnya untuk membantu merawat penderita masalah seperti psoriasis, ek zema atau jerawat.
"Pakar dermatologi biasanya menggalakkan pesakit menggunakan sabun pembersih berpelembab berasaskan susu kambing untuk membantu melegakan kulit kering dan gatal dan seterusnya menyembuhkan penyakit kulit," lapornya.
 
POTENSI PENTERNAKAN

Memandangkan terdapat banyak bukti saintifik berkaitan khasiat dan kebaikan daging serta susu kambing yang semakin diketahui ramai, maka tidak mustahil permintaan bekalan global akan melonjak naik dalam waktu terdekat.

Malaysia dilihat amat berpotensi untuk muncul sebagai pengeluar kambing bagi memenuhi permintaan itu berdasarkan kesesuaian keadaan iklim negara yang panas dan lembab sepanjang tahun.

Penternakan kambing meskipun dimulai secara kecil-kecilan tetap mampu mencapai kejayaan yang tinggi memandangkan kambing matang dengan cepat dan membiak seawal usia lapan bulan.

Lagipun, pemakanan kambing tidak cerewet dan boleh dibiarkan bebas meragut rumput dan tumbuhan renek belukar di kawasan kampung selain najisnya yang lebih kecil dan tidak sebusuk najis lembu.

Walaupun satu ketika dulu, penternakan kambing di Malaysia lebih sinonim dengan kaum India yang memang gemarkan sajian kambing terutamanya masalla, trend itu mula berubah kebelakangan ini.

Kini, semakin ramai pengusaha muda Melayu termasuk lepasan ijazah yang menjadikan kambing sebagai sumber rezeki khususnya bagi memenuhi permintaan untuk majlis akikah dan Hari Raya Aidiladha.

Tambahan pula, kerajaan telah banyak mengadakan pelbagai galakan untuk pengusaha muda membangunkan diri menjadi usahawan kambing yang berjaya sekaligus memajukan industri penternakan kambing untuk membantu menjana ekonomi kawasan luar bandar.

Ini sekaligus menggalakkan percambahan ladang penternakan dari pelbagai baka dan hibrid kambing, menyediakan pelbagai peluang kerja kepada anak muda dan membantu menjana ekonomi luar bandar tanpa banyak risiko.


........
http://wanitakini.com 
 
Tak Mungkin Berlaku Dewan Negeri Tergantung Di Terengganu, Kata Ahli Politik
Posted on Friday, June 28 @ 21:44:49 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo

Sumber Bernama

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Mungkinkah Dewan Undangan Negeri Terengganu berkeadaan tergantung selepas satu pilihan raya kecil diadakan tidak lama lagi jika keputusannya menyaksikan 32 kerusinya dikuasai sama banyak oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat?

Beberapa ahli politik berpendapat keadaan itu tidak mungkin berlaku.

Kematian anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Besut Dr A. Rahman Mokhtar daripada BN memerlukan satu pilihan raya kecil diadakan di negeri itu. Kematian beliau menyebabkan BN kini hanya menguasai 16 daripada 17 kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum 5 Mei lepas, manakala Pakatan Rakyat menguasai 15 kerusi (PAS 14, PKR satu).

Sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya kecil yang perlu diadakan sebelum 27 Ogos ini, maka kedudukan jumlah kerusi yang dikuasai kedua-dua pihak ialah 16-16.

Walaupun ramai berpendapat keadaan seri itu memungkinkan satu pilihan raya baharu diadakan, namun ahli politik yang ditemu bual Bernama berkata ia tidak semestinya demikian.

Ketua MCA Terengganu dan bekas anggota exco Datuk Toh Chin Yaw berkata undi pemutus speaker Dun, yang kini disandang Mohd Zubir Embong, akan membolehkan BN terus berkuasa di negeri itu.

"Pengerusi mana-mana mesyuarat mempunyai undi pemutus. Sekiranya keputusan undian adalah seri, mengikut peraturan tertentu, pengerusi (speaker) akan melaksanakan undi pemutusnya," kata beliau.

Sekiranya jumlah kerusi berada dalam keadaan seri iaitu 16-16, kerajaan BN akan memperoleh satu undi majoriti melalui undi pemutus yang diberi speaker.

Naib presiden PKR Tian Chua mempunyai pendapat serupa apabila beliau berkata sekiranya PAS memenangi kerusi Kuala Besut pada pilihan raya kecil itu dan menjadikan kedudukan kerusi 16-16, pilihan raya tidak perlu diadakan semula.

"Sama ada speaker adalah anggota dewan undangan negeri atau tidak, prinsipnya ialah penyandang kerusi itu boleh memberi undi pemutus sekiranya jumlah kerusi adalah seri. Speaker akan memberi undinya dan BN akan terus berkuasa," katanya.

Beliau berkata pertukaran kerajaan hanya akan berlaku jika Adun daripada parti pemerintah berpaling tadah.

-- BERNAMA 

Orang Bukan Islam: PAS seratus kali lebih baik daripada Umno
Posted on Friday, June 28 @ 22:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo

Blog Perakite Daily

PAS sahaja wadah perjuangan yang di yakini dapat menjamin keadilan dan kesaksamaan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

"PAS seratus kali lebih baik daripada Umno!," demikian tegas Setiausaha Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Perak, Jiwa Yogeshwary.

Beliau menjelaskan, masyarakat bukan Islam lebih yakin akan prinsip perjuangan PAS yang berlandaskan Islam yang sebenar.

Kata beliau, PAS berjaya menggambarkan kepada masyarakat termasuklah bukan Islam bahawa Islam adalah agama yang sangat baik dan tidak ada unsur perkauman dan kezaliman.

"Prinsip Islam yang diperjuangkan PAS adalah satu-satunya wadah yang dapat menjamin keadilan dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini.

"Misalnya cara hidup Islam antaranya dilarang berzina, rasuah, judi, dan zalim yang telah merosakkan masyarakat dan ini patut disokong termasuklah orang bukan Islam itu sendiri," katanya.

Masyarakat bukan Islam katanya lebih rela dipimpin oleh pimpinan PAS berbanding Umno yang telah mencalarkan imej Islam yang sebenar.

Ujarnya, masyarakat yakin pimpinan PAS akan menjalankan amanahnya untuk memimpin rakyat dengan sebaik mungkin tanpa ada sebarang penindasan terhadap mana-mana kaum.

"Kemenangan terbesar PAS dalam pilihanraya lalu adalah mendapat sokongan besar daripada kaum bukan melayu dan sekali gus membuktikan Umno gagal.

"PAS telah membuktikan parti itu bukan anti kaum, ditambah lagi dengan penerimaan PAS menerima ahli dari kalangan bukan Islam dalam DHPP,"jelasnya lagi.

Namun katanya, beliau sedikit kecewa apabila masih ramai orang Islam khususnya melayu yang masih tidak meyakini perjuangan PAS dan sanggup menyokong Umno yang telah memerintah lebih 55 tahun dengan penuh kepincangan serta penindasan.

Jiwa yang juga Ketua DHPP Ipoh Timur menegaskan, orang Islam seharuslah lebih mudah menilai parti dan pimpinan mana yang seharusnya menjadi pilihan mengikut pengajaran dalam Islam.

"Bukan Islam semakin ramai menerima dan meyakini perjuangan PAS, orang melayu Islam sepatutnya begitu juga,"jelasnya lagi.

perakitedaily.blogspot.com

Tiada ulasan: