Ahad, 23 Jun 2013

KESABARAN ITU PENTING DALAM SEMUA HAL...LEBIH2 DALAM PERJUANGAN MENEGAKKAN ISLAM

Kes Husam: Juham kecam tindakan niat jahat PDRM

Harakahdaily, 23 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia menyelar proses penahanan  Naid Presiden PAS, Datuk Husam Musa semalam di bawah Akta Hasutan yang dilihat dilakukan secara mala fide (niat jahat) oleh PDRM.

Ekoran penahahan tersebut, sekitar jam 3.45 petang, pihak Juham telah bergegas dan mengambil tindakan segera menghantar pasukan peguam ke IPD Ampang bagi mewakili/membantu Husam dalam proses siasatan oleh PDRM.

Malangnya, kata Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi pihak peguam tidak sama sekali dibenarkan berjumpa Husam dan ini seterusnya menafikan hak beliau untuk berjumpa peguamnya.

Lebih teruk, katanya pada jam 6.00 petang, pihak peguam dimaklumkan bahawa Husam telah dibawa ke IPD Kota Baharu bagi tujuan siasatan lanjut tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada peguam yang menantinya di luar IPD Ampang.

“Mengapakah Husam tidak ditahan di Kota Baharu, jika PDRM mendakwa bahawa laporan polis terhadap beliau di bawah seksyen 4(1) Akta Hasutan telah dibuat di  Kota Bharu?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, Juham melihat penahanan itu mempunyai kaitan dengan penglibatan Husam dalam perhimpunan 505 yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.

“Juham menegaskan bahawa tindakan PDRM dalam perkara ini adalah berniat jahat (mala fide) dimana telah menafikan hak Husam berjumpa peguamnya.

“Tindakan ini diselar oleh pihak Juham dan ini menjustifikasikan pelanggaran pihak PDRM kepada peruntukkan undang-undang di bawah Kanun Prosedur Jenayah,” tegasnya.

Beliau menambah, tiindakan PDRM dilihat sebagai tindakan yang ‘bacul’ dan bersifat menyusahkan Husam dan pihak peguam.

Katanya, jika dilihat kepada tangkapan PDRM terhadap Datuk Tamrin dan Tian Chua sebelum ini di bawah Akta Hasutan, pihak Juham dibenarkan  berjumpa anak guam sejurus tangkapan dilakukan.

“Mengapa dalam kes Husam ini, tindakan sebaliknya dilakukan PDRM dan ini memperlihatkan PDRM sebagai tidak professioanl dan membelakangi undang-undang sedia ada,” ujarnya lagi.

Justeru, tegasnya pihak Juham menuntut pihak Ketua Polis Negara memberikan penjelasan yang konkrit berhubung tindakan anak buahnya yang dilihat sangat menjelekkan dan mencemarkan nama baik PDRM yang sedia diragui dan dipertikaikan.

“Pihak Juham tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan Semakan Kehakiman (Judicial Review) berhubung perkara ini,” tegasnya lagi.

PRC UK seru rakyat luar negara desak reformasi SPR

PRC UK & Ireland, 23 Jun 2013

Peserta bergambar kenangan bersama Dr Redzuan.

MANCHESTER: PAS Representative Council (PRC) United Kingdom dan Ireland menyeru rakyat Malaysia yang prihatin di luar negara bersama-sama dengan gabungan Pakatan Rakyat dan NGO di tanah air untuk terus mendesak pembaharuan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini disebabkan kegagalan suruhanjaya itu dalam mengendalikan pilihanraya yang adil dan bersih selama ini.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengerusinya, Jupri Bade ketika ditemui setelah selesai penganjuran Bicara ‘Pasca PRU13 – What’s Next’ bersama Pengarah UMCEDEL, Universiti Malaya Prof Datuk Dr Redzuan Mohamad Othman di Abraham Moss High School, Manchester.

“Jika kita lihat kepada hasil kajian yang dilakukan oleh UMCEDEL, selagi mana sistem pilihanraya dan persempadanan yang telus dan adil tidak terlaksana, selagi itulah Barisan Nasional akan terus memerintah negara,” katanya.

Bayangkan, ujar beliau BN hanya perlu sekitar 35 peratus daripada undi popular untuk mendapat majoriti mudah di Parlimen berdasarkan sistem pilihanraya yang ada sekarang.

“Ini amat mendukacitakan dan dengan jelas tidak menghormati semangat demokrasi dan pilihan majoriti rakyat,” tambahnya.

Beliau yang juga koordinator majlis berkenaan, yang dianjurkan oleh Persatuan Komuniti Malaysia Cheetham Hill Manchester (MCCH) itu turut mendesak agar Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meletak jawatan di atas kegagalan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan adil, termasuklah skandal dakwat tidak kekal.

“Beliau mesti bertanggungjawab di atas kegagalan ini dan meletak jawatan dengan serta merta.  Alasan-alasan yang beliau berikan bagi menutup kegagalan SPR selama ini kini terbukti hanya satu sandiwara yang tidak boleh disembunyikan lagi.

“Malaysia memerlukan SPR yang bebas,” tegasnya.

Beliau turut menambah bahawa PRC, sebagai wakil PAS di UK dan Ireland,  akan terus bekerjasama dengan semua pihak sama ada parti-parti politik, NGO, Pertubuhan Kebajikan mahupun persatuan masyarakat  untuk menganjurkan program-program yang boleh memberi manfaat kepada seluruh warga Malaysia di sini.

“Pendedahan kepada politik yang matang dan adil dalam konteks yang menyeluruh serta hak mendapatkan maklumat dari sumber  asal yang sahih merupakan antara perkara pokok yang diperlukan oleh rakyat di luar negara, bagi melahirkan warganegara dan pemilih yang akan membuat pilihan berdasarkan fakta dan bukan sentimen semata-mata, yang selama ini dinafikan,” ujar beliau.

Adakah Husam ditahan kerana ucapan ini?

Harakahdaily, 23 Jun 2013

KUALA LUMPUR: Adakah kerana ucapan pada perhimpunan aman Black 505 yang diadakan di Ketereh pada 12 Jun lalu menyebabkan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa ditahan semalam?

Berikut adalah rakaman dan trasnskrip ucapan beliau pada himpunan aman itu yang dipetik dari blog Gendang Perang.




Assalamu’alaikum warahmatullahiwabarokatuh.

Bismillahirrahmannirrahim Alhamdulillahiwakafa Wassolatiwassalam wa’alalmustafa. Innallahayakmurkum bil’adil walehsan.

Allah berfirman, Allah memerintahkan kamu melakukan keadilan dan juga ehsan.

Sadakallahul’azim.

Yang berbahagia saudara Pengerusi, yang dikasihi Dato’ Seri, yang dikasihi Dato’ Haji Mohammad Yaakob, saudara Mat Sabu & semua Pimpinan yang hadir Hadirin Hadirat sekelian.

Saya lebih dulu ucap terima kasih pada Pihak Polis yang berikan kita Permit untuk berhimpun pada malam ini.

Maknanya Perhimpunan kita #Blackout505 adalah Perhimpunan Aman.

Kita bukan berhimpun nak gulingkan Kerajaan. Tapi kalau Kerajaan tu lemah sangat dia terguling dengan sendiri... Alhamdulillah... Tak de masalah.

“Sebab apa kita berhimpun..? Pada pendapat saya ada 2 sebab utama... Pertama adalah meraikan kekecewaan orang ramai terhadap Perjalanan Pilihanraya... Yang kecewa adalah Rakyat Jelata... Kenapa mereka kecewa..? Mereka 100% yakin Pakatan Rakyat harus ataupun telah memenangi Pilihanraya PRU yang ke-13 dan mentadbir Putrajaya...

Kenapa kita kalah..? Dari segi undi, undi kita lebih besar daripada undi Barisan Nasional... Kenapa kita tak boleh mentadbir Putrajaya..? Kerana penipuan Pilihanraya. Jadi yang kecewa adalah Rakyat Jelata... Mereka kecewa kerana Pakatan Rakyat (PAS, DAP, PKR) tidak boleh membentuk Kerajaan bagi membawa Malaysia yang lebih baik.

Bila mereka kecewa... Apa salahnya kita meraikan kekecewaan mereka dengan berhimpun beramai-ramai dan memberikan ucapan dan berhimpun bersama..?

Kalau ada mana-mana Pemimpin kita bawa “suara sumbang” nak berhimpun macam ini pun tak boleh... Saya yakin dan percaya orang ini bawak suara UMNO dalam PAS dalam PKR dalam DAP.

Malam ini saya nak bercakap berterus-terang... Berterus-terang dengan semua Pimpinan kita...

Saya ucap Tahniah pada Kerajaan Kelantan... Kepada Rakyat Kelantan yang berhimpun pada malam ini... Walaupun kita antara Negeri yang terakhir berhimpun... Kita tidak ketinggalan dalam arus kebangkitan anak muda dan kekecewaan masyarakat berbagai kaum seluruh rakyat untuk sama-sama menyatakan pendirian kita, Penipuan Pilihanraya telah berlaku dalam PRU yang ke-13.

Bayangkan kalau Kelantan tak buat... Kita akan dianggap sebagai “angkuh”, membelakangkan saudara-saudara kita. Kalau dalam Perang saudara kita telah berlumuran darah hasil penipuan ini dan kita hanya berdiam diri kerana kita telah menang menguasai Kerajaan, kita Pengkhianat kepada perjuangan ini.

Alhamdulillah kita berhimpun, Dato’ MB hadir... Saya ucap Tahniah, Terima Kasih pada semua Pimpinan PAS Kelantan dan Rakyat Negeri Kelantan.

Kitalah yang mencetuskan perubahan Politik Negara... Jangan kerana kita baru menang Kerusi Parlimen, baru mentadbir Negeri, kita telah lupa kepada asal-usul Perjuangan kita.”

Ada sorang baru menang, dia hayun gateh basikal siang malam. Parlimen akan bersidang... Kita nak tengok Ahli-Ahli Parlimen kita daripada PAS, dia kayuh basikal dalam Parlimen macam mana.

Kalau luar Parlimen dia boleh kayuh bukan main hebat, dalam Parlimen kita nak kayuh macam mana. Anda semua akan disaksikan oleh rakyat yang telah memberikan undi kepada perjuangan ini, bukan pada undi individu.

Undi kita semua adalah untuk perjuangan, bukan untuk sesiapa atas nama individu dia. Kalau dia rasa kuat, dia boleh bertanding sendiri tetapi rakyat beri kemenangan kerana perjuangan, jangan menang sari (sehari), dah nak lupa kepada sokongan rakyat jelata diseluruh Negara.

Anak-anak muda daripada Kuala Lumpur, mereka pulang ke Kelantan, hampir 95% yang tak pernah pulang pun pulang kerana semangat nak menguasai Putrajaya, jangan nafikan semangat ini semata-mata kerana kita nak membawa suara UMNO dalam Perjuangan kita.

Tujuan kedua kita berhimpun, sebagai seorang Islam, menderaminkemungkaran thalighoiryubibiyyadik sampai akhirjam.

Kita boleh redha dengan kekalahan kita, tetapi kita tidak diizinkan redha dengan penipuan mana-mana pihak. Ini dua perkara yang berbeza. Kita boleh terima hakikat takdir yang telah ditentukan tetapi kalau penipuan demi penipuan tiap-tiap kali Pilihanraya UMNO menang hanya kerana penipuan wajib bagi kita orang islam, tegak berdiri menentang penipuan tersebut.

Yusoff Qhardawi duduk di Dhoha, Qattar, Rakyat Mesir, pemuda Mesir sama dengan pemuda Malaysia berhimpun dimana-mana majoritinya ialah anak muda, halafanissyabaab wakhalafanissyuyukh, kita beriman dengan sabda nabi anak-anak muda bersama dengan Islam, orang-orang tua kerana sebab-sebab sendiri mereka sebahagiannya tidak bersama kita.

Yusoff Qhardawi duduk di Dhoha, perhimpunan di Tahrir Square, di Mesir di Qairo di Kaherah... Yusoff Qhardawi tanpa jemputan terbang daripada Dhoha untuk memberikan amanat, semangat perjuangan kepada anak-anak muda di Tahrir Square.

Kalau ada Pemimpin kita tidak sanggup hadir dalam perhimpunan seperti ini, mereka harus belajar semangat dakwah yang telah ditunjukkan oleh Yusoff Al-Qhardawi.

Mereka hadir tanpa dijemput, Almarhum Fazhil Noor pada tahun 80-an nak menghimpunkan masyarakat China pergi sewa dewan di Ipoh guna CCC berhimpun dari jam 6 petang sampai 10 malam 4-15 orang, orang China datang. Hari ini saya hadir dalam perhimpunan di Kuantan, hadir di depan pentas anak muda China mengaminkan doa Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man tanpa mengira itu adalah doa apa, dia tak tau asal UMNO mati, UMNO mampus, dia aminkan.

Kalau Pemimpin kita tak hadir dalam bersama kebangkitan ini kita telah mengkhianati dakwah yang telah diasaskan oleh Pemimpin-Pemimpin kita daripada terdahulu. Kalau dulu kita payah nak himpunkan orang China, sekarang orang China tunggu kita berpuluh ribu, Pemimpin kita pula tak ada, ini adalah pengkhianatan kepada dakwah kita.

Baik... Kita telah saksikan perhimpunan di seluruh Negara, tetapi kita belum sampai kepada puncak kita. Kerajaan tidak akan terguling dengan perhimpunan ini tetapi yang pasti adalah Najib & SPR panas. Hari ini Pengerusi SPR buat kenyataan petang tadi, dia tak akan letakkan jawatan walaupun semua rakyat tau penipuan paling besar sekali yang diketahui oleh semua rakyat adalah dakwat.

Semua rakyat tau ini adalah penipuan. Macam mana dia nak tutup penipuan? Dia kata kalau guna dakwat yang betul-betul tahan lama, kena sakit cancer. Dia ingat rakyat Malaysia bodoh macam dia.

Dia kata dia tak nak letak jawatan, tetapi kalau kita berhimpun & berhimpun, kita akan mencapai matlamat kita. Kalau Pengerusi SPR tak nak letak jawatan, kita mintak Najib letak jawatan. Kalau 2-2 letak jawatan, Alhamdulillah itu lagi baik.

Tidak mustahil Najib letak jawatan. Pilihanraya yang ke-13 walaupun penuh dengan penipuan antara yang paling kecewa adalah Najib kerana dengan perbelanjaan yang begitu besar, dengan penipuan yang diatur begitu rapi, kebangkitan rakyat melalui peti undi adalah lebih besar daripada yang dijangkakan.

Kerana itu dia kecewa dan dalam politik moral, politik akhlak & maruah, Dato’ Najib sebagai minority tidak lagi layak untuk memimpin rakyat Malaysia.

Oleh kerana itu kita nak berhimpun sekali lagi 22 haribulan untuk menuntut perubahan supaya PRU yang ke-14, yang ke-15, yang ke-16 tidak ada lagi pengulangan penipuan.

Kalau kita biarkan penipuan itu hari ini tidak ditentang mereka akan tipu kita berkali-kali lagi & kita akan tewas berkali-kali lagi. Wajib bagi kita menentang mereka. Setakat yang saya baca buku-buku, penentangan kita ini adalah 1 jihad. Penentangan kita adalah 1 gerakan Fisabilillah. Penentangan kita adalah untuk alamru bil makruf minnah adilmungkar.
Kalau sedara tak nak hadir, sedara duk diam... Jangan buat kenyataan, berbagai-bagai kenyataan yang pelik-pelik. Dari segi organisasi PAS, keputusan menyertai #Blackout505 diputuskan oleh mesyuarat majlis masyuarat PAS Pusat. Ia bukan keputusan Husam Musa, ia bukan keputusan Mat Sabu, ia adalah keputusan PAS Pusat untuk menyokong #Blackout505.

Jadi saudara adik-adik semua jangan ragu... jangan ragu... Dan kalu polis bertindak kasar, walaupun niat kita adalah Perhimpunan Aman, menyampaikan mesej perjuangan kita, menentang penipuan ini, kita terkorban (andaikata), 1 daripada kita terkorban, Insya Allah ia adalah Syahid Fisabilillah Insya Allah.

Tetapi kita tidak berniat begitu, bukan niat kita, niat kita adalah penipuan pilihanraya mesti dihentikan dan sesiapa yang terlibat dengan penipuan ini mesti menerima tanggungjawabnya sekarang dalam system politik negara kita.

Sekian wassalamu’alaikum warahmatullahiwabarokatuh.

Allahuakbar..!

Video ucapan Husam

TG Nik Aziz minta Husam, keluarga bersabar

Salmah Mat Husain, 22 Jun 2013
KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berharap Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan anggota keluarga bersabar dengan ujian yang dihadapinya hari ini.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika dihubungi sebentar tadi sebagai mengulas perkembangan terkini Adun Salor itu.

“Saya harap Datuk Husam dan keluarga bersabar,” ujarnya ringkas awal malam ini setelah dimaklumkan kepadanya berhubung penahanan Husam hari ini.

Tengah hari tadi Tuan Guru menghubungi wartawan Harakahdaily, Rizal Tahir supaya memaklumkan perjalanan himpunan aman Black 505 kepadanya.

Sementara itu, Husam pula ketika memaklumkan kepada Harakahdaily kira-kira jam 7.00 malam tadi memberitahu berada di Bentong, Pahang dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk ke IPD Kota Bharu dengan diiringi kenderaan polis.

Beliau ditahan tengah hari tadi mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan di Desa Pandan dan dibawa ke Balai Polis Ampang.

Ia dipercayai ada kaitan dengan kenyataannya mengenai ‘syahid fi sabilillah’ berhubung penyertaan pada himpunan aman Black 505 di Padang Merbok, Kuala Lumpur hari ini.

Penjelasan Erra Fazira isu Ustaz Azhar, terhangat

Harakahdaily, 23 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Artikel bertajuk “Penjelasan Erra Fazira tak sebut Ustaz Azhar Idrus” menjadi bacaan paling diminati oleh peminat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke-25, 2013.
Di tempat kedua, juga ialah artikel mengenai Erra Fazira, bertajuk “Kenapa Erra Fazira tak sebut nama Ustaz Azhar Idrus?” yang mempersoalkan mengapa selebriti itu tidak mahu menyebut nama Ustaz Azhar Idrus ketika mewar-warkan iklan "uji bakat Pencetus Ummah" di dalam rancangan Primadona di Astro.

Manakala artikel “Gambar yang Perkasa dan Umno tidak mahu lihat” yang memaparkan seorang pemimpin besar Umno meletakkan tangan di belakang bahu seorang pemimpin veteran DAP pula menduduki tempat ketiga.

Berikut ialah 10 artikel terhangat Harakahdaily bagi minggu 16 hingga 22 Jun.

1

Penjelasan Erra Fazira tak sebut Ustaz Azhar Idrus
2

Kenapa Erra Fazira tak sebut nama Ustaz Azhar Idrus?
3

Gambar yang Perkasa dan Umno tidak mahu lihat
4

Saya akan lompat meja jika...
5

Kalau tak patuh ni, maka derhakalah Najib…
6

Gambar yang tiada dalam Utusan, Berita, TV3 dan RTM
7

Terlelap: Saya juga manusia, kata Khalid
8

‘Rosmah buka pintu’ cuit peserta himpunan
9

Suasana di Padang Merbok mulai meriah
10

MB T'ganu 'mengamuk' isu Pasar Payang

Permohonan reman Husam di IPD Kota Bharu

Salmah Mat Husain, 23 Jun 2013

Isteri dan keluarga terdekat beserta orang ramai menunggu ketibaan Husam di IPD Pengkalan Chepa, malam tadi.

KOTA BHARU: Permohonan perintah tahanan reman terhadap Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang sebelum ini akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Bharu jam 9.00 pagi bertukar ke IPD Kota Bharu.

Sebelum ini, Mohd Hisyam Fauzi memberitahu, beliau yang bertindak sebagai peguam kepada Husam akan hadir untuk membantah penahanan itu.

Ini kerana, tegasnya alasan untuk mengambil tindakan tahanan reman tidak wajar memandangkan ucapan Husam sebelum ini belum dapat ditentukan adakah ia benar berkaitan dengan akta hasutan.

“Jadi kita akan membantah hasrat untuk tahanan reman itu apa lagi kes ini tidak begitu kompleks,” ujarnya.

Hisyam seterusnya memberitahu Husam sendiri memberi kerjasama yang baik berhubung siasatan yang dilakukan terhadapnya.

Peguambela itu juga mengakui Husam tidak begitu sihat kerana demam.

Malam tadi Husam ditahan di lokap IPD Kota Bharu, Pengkalan Chepa.

Lebih 400 orang berhimpun di luar pekarangan IPD kira-kira jam 11.00 malam. (Gambar bawah)

Hadir sama isteri Husam, Datin Rohana Ab Rahman serta keluarga terdekat.

Husam tiba di IPD Kota Bharu kira-kira jam 1.30 pagi dengan diiringi tidak kurang 13 buah kenderaan dari Balai Polis Ampang.

Beliau ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan yang dipercayai ada kaitan dengan kenyataannya mengenai ‘syahid fi sabilillah’ berhubung penyertaan pada himpunan aman Black 505 di Padang Merbok petang semalam.

Tiada ulasan: