Khamis, 27 Jun 2013

LAMA2 YANG BERSALAH SANGKUT JUGA

'Kita tak perlukan dakwat kekal'
 
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, dakwat yang digunakan dalam pilihan raya umum lalu tidak mengandungi bahan kimia berbahaya bagi memastikan keselamatan rakyat.
Ia berbeza dengan dakwat kekal yang kekal sehingga dua bulan seperti digunakan di India, yang menurutnya memberi kesan yang bahaya kepada masyarakat.

"Sebab SPR sangat prihatin yang kimia itu akan menyakitkan orang ramai. Ini tanggungjawab kerajaan untuk menjaga rakyat," katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
Tambahnya lagi, Malaysia tidak perlu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya kerana negara ini bukannya seperti "negara dunia ketiga" lain.
"Kita tak perlukan dakwat kekal pun. Untuk apa? Kita bukan negara (dunia) ketiga, kita ada kad pengenalan yang boleh dikenal pasti. Dakwat kekal ini pembangkang yang minta di Parlimen dan kita setuju dan ikut," katanya.

Beliau mengulas jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim semalam yang mengatakan bahawa bahan kimia dalam dakwat kekal diganti dengan pewarna makanan.

Shahidan berkata bahawa bahan kimia yang digunakan dalam dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13 digantikan dengan bahan pewarna makanan.

"Tiada kandungan bahan-bahan kimia digunakan dalam dakwat tersebut sebaliknya ianya digantikan dengan penggunaan bahan-bahan pewarna makanan yang diluluskan.

"Tarikh luput dakwat kekal adalah dalam tempoh empat bulan dari tarikh ianya dikilangkan. Ianya diimport daripada negara luar," kata Shahidan dalam satu jawapan bertulis kepada MP DAP Segambut, Lim Lip Eng.
Bekas pegawai khas MB dihukum penjara, sebatan
 
Bekas pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dihukum penjara dua tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini atas tuduhan menipu bagi mendapatkan sumbangan Majlis Sambutan 100 Hari Pakatan Rakyat, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu terhadap Mohd Yahya Mat Sahri, 46, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam membebaskan tertuduh pada Mei 2011.

Abdul Alim bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Ahmad Nizam Hamid, yang mewakili Mohd Yahya, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azah Kasran hadir bagi pihak perayu.

Pada 20 Mei 2011, Hakim Azhaniz Teh Azman Teh melepas dan membebaskan Mohd Yahya daripada tuduhan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mohd Yahya dituduh menipu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Datuk Abdul Karim Munisar untuk mempercayai bahawa Sekretariat Pakatan Rakyat memohon sumbangan bagi menampung pembiayaan majlis sambutan itu di Gardenia Coffee House, Quality Hotel di sini pada 4 Jun 2008.

Tertuduh, selaku pengarah program acara itu, dituduh dengan curangnya mendorong Abdul Karim untuk menyerahkan RM50,000 kepadanya sebagai sumbangan, sedangkan Abdul Karim tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh juga didenda.

Seramai 28 saksi pendakwaan termasuk Menteri Besar Selangor dan lapan saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

-Bernama
Ibu minta parlimen siasat kematian K Murugan
 
Ibu kepada K Murugan – pembantu calon parlimen Tapah PKR yang ditemui mati sewaktu kempen pilihan raya umum ke-13 – menggesa Parlimen membentuk satu jawatankuasa khas bagi menyiasat kematian anaknya itu.

P Rajjamah, 62, dengan linangan air mata hari ini menyerahkan memorandum itu kepada MP Batu Gajah V Sivakumar di pintu masuk Parlimen hari ini.

NONE"Jawatankuasa khas parlimen perlu dibentuk bagi menyiasat pembunuhan ini bagi menentukan jika ia bermotifkan politik kerana ia melibatkan orang kenamaan," memorandum itu dipetik.

Calon PKR parlimen Tapah, K Vasantha Kumar yang hadir menemani Rajjamah menjelaskan mereka sebelum ini menghantar empat memorandum kepada ketua polis negara berhubung perkara itu namun tidak mendapat sebarang maklum balas memuaskan.

Menurutnya, sehingga hari ini 19 orang daripada PKR sudah dipanggil untuk soal siasat namun tiada seorang pun dari BN telah dipanggil bagi tujuan sama.

"Sehingga hari ini kita dah bagi empat memorandum kpd IGP, tetapi IGP tutup mulut," kata Vasantha yang menentang calon BN, Datuk M Saravanan dalam pilihan raya umum yang lalu.

Murugan yang ditemui mati selepas tiga hari dilaporkan hilang bermula 1 Mei lalu adalah pembantu keselamatan kepada Vasantha.

Mayat Murugan ditemui terapung dalam kolam berhampiran Batu Gajah, Perak dengan wajahnya dilaporkan mengalami kecederaan teruk, badannya dikelar dan tangannya diikat dengan kawat berduri.
'Tali barut dalam negara lagi bahaya'
 
Beberapa wakil kerajaan dan pakatan pembangkang hari ini menggesa kerajaan mendedahkan dalang di sebalik insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah pada Mac lepas.

Mereka berpendapat tindakan melengahkan pendedahan dan penghakiman ke atas dalang berkenaan akan menimbulkan syak wasangka berterusan dalam kalangan masyarakat.

Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) berkata walaupun yakin dengan kepimpinan kerajaan dan kehebatan pasukan keselamatan dalam menangani isu itu, pendedahan dan pendakwaan segera ke atas dalang terbabit tetap ditunggu.

"Walau ada pihak yang berkata kerajaan lambat mendedahkan dalang terbabit tetapi saya yakin kerajaan pada masa kini sedang melakukan siasatan yang begitu rapi bagi memastikan mereka yang terbabit dapat diadili," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Menjawab isu penggunaan perkhidmatan AirAsia untuk mengangkut anggota tentera ke Lahad Datu yang dibangkitkan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong), Ahmad berkata ia bukan satu isu yang harus diperbesarkan.

"Pada saya, penggunaan perkhidmatan AirAsia tidak menjadi masalah tapi soalnya dalang atau tali barut yang berada dalam negara, itu lagi bahaya," katanya.

Berkongsi pandangan sama, Tian Chua (PKR-Batu) berkata kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dan cepat untuk mendedahkan dalang insiden pencerobohan itu bagi membolehkan pendakwaan segera dilakukan ke atas individu terbabit.

Ahmad, ketika mengakhiri perbahasannya, menarik perhatian semua pihak perlu mengambil pengajaran daripada insiden berdarah itu dan mengenang jasa anggota keselamatan yang sanggup berkorban demi mempertahan kedaulatan negara.

"Apapun yang disebutkan di sini, kita menghala kepada satu tujuan sama iaitu mengutuk perbuatan dalang di sebalik pencerobohan berkenaan," katanya.

-Bernama
Karpal gesa AG dakwa Zahid Hamidi
 
MP Bukit Gelugor Karpal Singh menggesa peguam negara mendakwa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas tuduhan menyerang dan cubaan membunuh anak guamnya, ahli perniagaan Amir Bazli Abdullah, dalam satu kejadian pada 2006.
NONEKarpal berkata, tiada tempoh masa ditetapkan untuk peguam negara menjalankan pendakwaan itu.

"Jika anda melihat keadaan kecederaan Amir Bazli Abdullah dan laporan polis yang dibuat ke atas Zahid, orang akan tertanya-tanya mengapa tiada pendakwaan dijalankan.

"Ini menunjukkan sifat semulajadi di negara ini (tidak mengambil tindakan),” katanya.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo pula menuntut penggantungan jawatan Zahid sebagai menteri sebelum saman tersebut didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang dijadualkan diadakan pada Ogos.

“Saya juga akan membangkitkan perkara ini di Parlimen,” katanya.
Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Zahid Hamidi
 
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengenepikan saman yang dikemukakan ke atasnya oleh seorang ahli perniagaan.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mengetuai panel lima orang hakim, mengenepikan permohonan Zahid sebelum mendengar hujah dari peguam Zahid, Shamsul Bahrin.

Hakim berkenaan mendapati alasan perundangan yang perlu dikemukakan ke mahkamah tidak dijalankan dengan sebaiknya kerana dibuat melalui hujahan dan bukannya dengan notis usul.

Katanya, pemohon tersebut tidak kehilangan peluang untuk melalui proses rayuan memandangkan kes tersebut masih belum dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Biarlah perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Md Raus.

Tambahnya, kes lain yang sepatutnya berjalan akan terhalang sekiranya mahkamah membenarkan permohonan tersebut.

Dengan keputusan tersebut, perbicaraan kes saman sivil oleh ahli perniagaan Amir Bazli Abdullah ke atas menteri tersebut akan bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos.

Tiada ulasan: