Jumaat, 14 Jun 2013

NAK JADI SAKSI NIKAH PUN PERLU SAKSI YANG ADIL BUKAN YANG FASIK

MAINPP timbang ada bangunan sendiri

Mohd Sabri Said, 14 Jun 2013
PULAU PINANG: Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Saleh Man akan mempertimbangkan saranan sesetengah pihak supaya MAINPP mempunyai kompleknya sendiri daripada terus menyewa di tingkat 8 dan 9 bangunan Umno, Jalan Macalister.


(Kawasan bangunan Umno Pulau Pinang berkaparan apabila antena di atasnya runtuh. MAINPP menyewa dua tingkat di bangunan ini)

Ramai mendakwa sudah sampai masanya, MAINPP mempunyai bangunan sendiri sekaligus mengambarkan keutuhan agama Islam yang menjadi teras Malaysia.

"Sebenarnya sebelum ini pun ada cadangan untuk berbuat demikian tetapi kita akan tengok hasil siasatan tentang tahap keselamatan bangunan tersebut dulu.  Kalau tidak selamat kita akan fikirkan sesuatu, " terangnya ketika dihubungi sebentar tadi.

Malam tadi sekitar pukul 7.00 petang menara antena di bangunan Umno Pulau Pinang runtuh ekoran ribut yang melanda negeri ini.  Akibatnya seorang meninggal dan beberapa individu cedera dan kenderaan rosak teruk.

Harakahdaily menerima cadangan Dewan Pemuda PAS Negeri menerusi kenyataan Setiausahanya, Ustaz Afnan Hamimi Taib yang mahukan MAINPP membina Kompleknya sendiri daripada terus menyewa bangunan Umno yang mungkin tidak selamat lagi.

SPR tidak lagi sesuai kendali persempadanan p'raya

Harakahdaily, 14 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lagi sesuai mengendalikan urusan berkaitan urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya.

Kajian Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berkata, ketidaksesuaian ini ekoran ketidakupayaan SPR dalam menunaikan amanahnya bagi memastikan pilihan raya dijalankan secara bersih, bebas dan adil.

Sebaliknya tegas KPRU, sebuah badan yang neutral dan bebas daripada pengaruh badan eksekutif terutamanya, harus ditubuhkan bagi mengendali urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya, seperti Suruhanjaya Persempadanan yang ditubuhkan di kebanyakan negara.

"Suruhanjaya Perwakilan yang diadakan di New Zealand, khususnya, boleh dijadikan sebagai rujukan bagi mengadakan sebuah badan yang berkebolehan dalam menyemak semula dan menggariskan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya yang saksama, sebagai langkah pertama merealisasikan prinsip satu orang satu undi yang sama nilai yang ideal dalam sistem pilihan raya yang demokrasi," kata KPRU dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut KPRU juga, dalam sejarah pilihan raya di Malaysia, sebanyak enam kali proses persempadanan dilakukan, masing-masing pada tahun 1958, 1966, 1974, 1983, 1992, dan 2003.

Proses persempadanan berkait rapat dengan konsep “gerrymandering” yang merujuk kepada tindakan memanipulasi atau tindakan secara sengaja menyusun atau mengatur semula kawasan-kawasan pentadbiran bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya dengan mengurangkan undi parti oposisi.

Gerrymandering merupakan antara isu yang paling kronik dihadapi oleh sistem pilihan raya dan demokrasi dalam negara ini.

"Persempadanan kawasan pilihan raya sentiasa menjadi suatu isu penting dalam sistem pilihan raya kerana persempadanan merupakan cara langsung bagi memanipulasi keputusan pilihan raya.

"Dengan kata lain, ia memberi ruang kepada “permainan kotor” dalam sistem pilihan raya yang dianggap adil dan bebas," kata kenyataan itu lagi.

Lebih 1,000 sertai bantahan di kedutaan Syria

Anis Nazri, Foto: Nasir Sudin, 14 Jun 2013


KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 umat Islam hari ini berarak dan berhimpun di hadapan kedutaan Syria, Kuala Lumpur bagi membantah kekejaman tentera regim Bashar Assad terhadap rakyat negara itu.

Bantahan anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia itu turut disertai wakil NGO Islam serta hak asasi manusia yang turut sama membantah kekejaman berterusan di negara bergolak itu.

Antaranya, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), NGO Muslim Care serta Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis).

Mengetuai bantahan itu Naib Presiden PAS Salahudin Ayub, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Nasrudin Hassan, Timbalannya Nik Mohd Abduh Nik Aziz, Ketua Penerangan Pemuda Riduan Mohd Nor dan pimpinan serta exco dewan itu yang lain.

Sebelum itu, mereka berarak hampir dua kilometer dari Masjid Tabung Haji menuju ke bangunan kedutaan sejurus selesai solat Jumaat bagi menunjukkan solidariti kepada rakyat Syria..

Biarpun cuaca ada ketikanya panas, para peserta himpunan aman itu tidak berganjak sementara menunggu enam wakil selesai menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan Syria.

Malah, turut kelihatan menyertai himpunan solidariti itu juga bukan hanya di kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga beberapa rakyat Syria ada ketikanya mendominasi perhimpunan dengan slogan perjuangan mereka.

Sementara itu, pada sidang media yang diadakan sejurus selesai urusan penyerahan memorandum, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan berkata kesal dengan tindakan kedutaan Syria yang enggan menerima memorandum yang diserahkan mereka.

Malah, delegasi mereka juga tidak dibenarkan masuk.

"Memorandum ini antara lainnya membantah kekejaman yang dilakukan kerajaan Syria terhadap penduduknya hampir tiga tahun.  Kita juga tidak mendapat satu sumber maklumat yang jelas tentang apa yang sebenarnya berlaku di Syria. Malangnya, kita tidak dapat bertemu pada hari ini untuk emndapatkan gambaran sebenar.

"Tapi apa yang penting, banyak campur tangan dari kerajaan luar yang menyebabkan rakyat makin tertindas dan akhirnya menjadi pelarian. Justeru, kerajaan Syria perlu menolak campur tangan asing yang tidak membantu ke arah pendamain dan keamanan negara itu," tegas beliau.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Rahman, berkata tindakan kedutaan Syria yang enggan menerima memorandum bantahan itu menunjukkan sikap tidak demokratik negara itu dalam menangani isu sensitiviti semua pihak membabitkan rakyatnya sendiri.

Katanya, ia berbeza dengan sikap yang ditunjukkan kedutaan Turki di Malaysia yang turut menerima memorandum daripada delegasi berhubung pembinaan Taman Gezi, di Istanbul yang mewujudkan konflik di kalangan rakyat yang menyebabkan ribuan rakyat mengadakan protes ke jalan raya.

Tegas Amidi, berdasarkan pertemuan dengan wakil Turki tadi, delegasi itu dimaklumkan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, bertindak menemui para demonstran dan kemudiannya memulangkan isu taman tersebut ke mahkamah bagi memutuskan sama ada taman itu boleh dibina atau sebaliknya.

"Kami memuji sikap Perdana Menteri Turki yang sanggup turun berbincang dengan demonstran, bukan hanya mengadakan pembantaian semata-mata.  Sayangnya, ia tidak berlaku di kedutaan Syria yang bukan sahaja tidak mahu menerima memorandum kami, tetapi tidak membenarkan kami masuk ke kedutaan," tegas beliau.

Sementara itu, peserta himpunan bersurai kira-kira jam 3.35 petang tadi dengan suasana aman.

Mapim gesa TPPA dibahas di parlimen

Harakahdaily, 14 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa isu Trans Pasific Partnership Aggreement (TPPA) dibahas pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Presidennya Azmi Abdul Hamid berkata, memandangkan ia ada kaitan dengan persoalan kedaulatan ekonomi dan kesan kepada pelbagai industri negara, maka wajar ia diusulkan sebagai isu yang segera, berkepentingan awam dan relevan dengan pelbagai dasar kepentingan negara.

"Oleh kerana penglibatan Malaysia dalam perundingan TPPA dilakukan tanpa pengetahuan  awam, parlimen adalah wadah yang sewajarnya diguna untuk membahaskan mengenai baik buruknya negara diheret dalam hegemoni ekonomi kuasa besar seperti Amerika.

"Kami mengingatkan bahawa isu ini sangat serius  kerana ia akan mendedahkan  pelbagai industri negara kepada persaingan yang tidak adil. Jauh lebih berat ia juga akan mengakibatkan pelbagai dasar negara seperti status syarikat bumiputera dipinda atau dimansuhkan kerana dianggap sebagai penghalang kepada pasaran bebas," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoal, kenapa perundingan yang sangat berisiko ini tidak melibatkan proses konsultasi awam.

Lebih mengejutkan apabila perundingan itu sedang masuk ke fasa terakhir dan Malaysia akan turut menandatangani suatu perjanjian yang mempunyai implikasi besar kepada ekonomi dan kedaulatan negara.

"Kenapakah TPPA menjadi rahsia kepada kerajaan sehingga rakyat tidak tahu menahu apa yang dirundingkan sedangkan ia sangat berkait dengan nasib mereka," katanya.

"Parlimen dan orang awam seharusnya dimaklumkan mengenai terma-terma syarat sebenar perjanjian itu. Ia tidak sepatutnya menunggu sehingga prosesnya  berakhir. Jika itu berlaku, maka sebarang input yang akan dicadangkan selepas itu tidak bermakna lagi," tegasnya.

Beliau turut menggesa ahli parlimen memainkan peranan tidak membenarkan isu TPPA diputuskan tanpa dibahaskan walaupun ia dianggap sebagai isu yang boleh diputuskan oleh badan esksekutif iaitu Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa .

Pihak kerajaan katanya tidak sepatutnya membelakangkan pandangan awam, seolah mereka yang menjadi perunding di TPPA tahu semua untuk membuat keputusan yang sangat besar.

Menurutnya, dengan membenarkan Malaysia terus terlibat dalam perundingan TPPA dan akhirnya menandatanggani perjanjian itu, rakyat Malaysia akan menerima natijah jangkapanjang yang parah akibat kedaulatan ekonomi negara digadai dalam perjanjian tersebut.

"Seluruh agenda melindungi industri Malaysia akan gagal dipertahankan kerana perjanjian TPPA memberi penekanan kepada prinsip kuasa pasaran terbuka dan pasaran bebas," ujarnya.

Adil syarat wajib seorang pemimpin

YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, 14 Jun 2013
Antara syarat layak bagi seseorang pemimpin adalah memiliki peribadi yang baik dan adil dalam melaksanakan urusannya pada ummah. Pemimpin mestilah berlaku adil, memelihara diri sendiri daripada dosa besar, tidak berterusan dengan melakukan dosa kecil dan tidak melakukan perkara yang menjatuhkan maruah walaupun tidak berdosa. Syarat ini wajib bagi semua jawatan penting dalam urusan agama dan dunia.

Islam mewajibkan pemimpin supaya bersikap adil dalam semua keadaan. Ini menunjukkan keadilan Islam bukannya satu teori di awangan yang tidak berpijak di alam nyata, tetapi ia adalah perintah Allah yang dilafazkan dengan ayat al-Quran. Antara perintah Allah adalah dalam surah al-Maidah ayat 8 :

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”


Allah menegaskan lagi dalam surah an-Nahl ayat 90;

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.”


Islam mewajibkan kerajaan memantau secara menyeluruh perlaksanaan keadilan dalam negara. Ia merangkumi kelompok kecil seperti keluarga, seterusnya dalam masyarakat, negara dan bangsa, penganut Islam dan bukan Islam, kawan dan musuh, pada masa aman dan peperangan, manusia, binatang, alam sekitar dan lain-lain.

Kewajiban menunaikannya juga dikenakan kepada semua pihak, bukan sahaja ketua negara, juga kepada individu, pemimpin keluarga dan masyarakat di semua peringkat. Semua pihak wajib bersama kerajaan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.

Nabi Muhammad menyatakan SAW menyatakan, “Setiap orang di kalangan kamu menjadi penjaga dan orang disoal berkenaan jagaannya. Pemimpin negara adalah penjaga rakyatnya, dia disoal berkenaan rakyatnya. Suami penjaga keluarganya, dia disoal berkenaan tanggungjawabnya. Isteri adalah penjaga rumahtangga, dia disoal berkenaan urusannya. Khadam adalah penjaga harta majikannya, dia disoal berkenaan tugasnya. Anak adalah penjaga harta peninggalan ibu bapanya, dia juga disoal berkenaan pengendaliannya.”

Golongan pertama disebut dalam hadis ini ialah imam atau pemimpin. Tugas pemimpin dalam mentadbir negara akan disoal pada hari kiamat nanti sama ada adil atau zalim. Begitu juga anggota masyarakat yang lain kerana mereka juga adalah anggota dalam masyarakat negara yang besar. Tugas masing-masing tidak selesai dengan mati meninggal dunia ini, bahkan semua urusan diteruskan di hadapan Allah pada Hari Kiamat kelak.

Hak Wanita

Islam memberi penekanan pada wanita dalam aspek keluarga iaitu dalam mengurus rumah tangga dan mendidik anak di rumah kerana kesibukan suami. Inilah cara yang sesuai dengan fitrah manusia. Islam tidak membenarkan wanita menjadi pemimpin dalam sesebuah negara kerana ia boleh menjejaskan fitrah dan kerukunan rumah tangga yang menjadi komponen penting dalam masyarakat. Hidup berkeluarga akan pincang tanpa peranan wanita kerana ia melibatkan pendidikan anak dan keluarga.

Namun begitu, wanita tetap mempunyai peranan yang besar dalam politik. Contohnya, pada zaman awal pemerintahan Islam, kaum wanita turut terlibat dalam Perjanjian Setia di Aqabah bagi mendirikan negara yang berdaulat. Ini bermakna, Islam mendahului lebih daripada seribu tahun daripada demokrasi Barat yang memberi hak kepada wanita dalam pilihan raya. Dalam demokrasi Barat, wanita diberi hak pilihan raya di peringkat majlis perbandaran di Bandar Wyoming Amerika pada abad ke-19, kemudian diikuti oleh negara Barat yang lain.

Islam turut melibatkan wanita dalam keputusan yang besar ketika perjanjian Hudaibiyah. Dalam satu peristiwa, Nabi Muhammad menerima pendapat Ummu Salamah bagi menghentikan ibadah umrah kerana melaksanakan keputusan Allah yang berkait dengan pelaksanaan perjanjian itu. Orang bukan Islam yang masih bermusuh menghalang mereka menunaikan umrah sehingga menjadi syarat untuk berdamai dengan membatalkan umrah.

Dalam peristiwa yang lain pada zaman Khalifah Umar, seorang wanita memberi pendapat supaya penetapan mas kahwin secara paksa dihapuskan. Khalifah menerima pandangan sahabat dari kalangan wanita itu. Pada zaman Sultan Ahmad bin Tolun pula, seorang wanita alim yang bernama Sayyidah Nafisah dengan berani menentang perkara zalim sesudah menerima pengaduan orang ramai sehingga sultan itu mengalah dan menerima nasihatnya.

Hak Orang Bukan Islam

Dalam negara sekular, termasuk yang berasaskan kepada prinsip demokrasi tidak memberi layanan yang adil terhadap golongan yang tidak menyokong kerajaan, bukan warga negara dan golongan yang tidak seagama. Walaupun mereka mengaku berjuang atas prinsip hak asasi manusia, mereka tidak boleh menyembunyikan sentimen kebangsaan, kepercayaan parti dan anutan agama.

Islam yang berasaskan akidah atau iman mewajibkan keadilan dan hak pada semua manusia dalam sesebuah negara, walaupun tidak seagama, sebangsa dan senegara. Walaupun dakwah Islam mengajak semua manusia supaya menganut agama Islam, tetapi Islam melarang memaksa penganut agama lain, kerana paksaan tidak menghasilkan Islam yang sebenar daripada keyakinan dan iman yang tumbuh dalam hati. Namun, dalam aspek politik, Islam memberi hak kepada semua manusia termasuk mereka yang memusuhi negara dan umat Islam. Maka kepada orang bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam lebih-lebih lagi diberi hak dengan adil dan diharamkan berlaku zalim pada mereka.

Kepada orang bukan Islam yang diberi hak kerakyatan, dinamakan ‘Ahli al-Zimmah’ iaitu golongan yang diberi kesanggupan dan jaminan. Bermakna sanggup menjadi rakyat dan kerajaan Islam wajib memberi jaminan hak yang adil bukan sahaja menjadi rakyat, termasuk juga hak menganut agama, kegiatan ekonomi dan keselamatan.

Nabi Muhammad sendiri mengangkat golongan ini dengan menyatakan, “Sesiapa yang menyakiti Ahli al-Zimmah iaitu bukan Islam yang menjadi rakyat, maka dia menyakiti diriku sendiri.”

Dalam aspek politik dan pentadbiran pula, mereka diizinkan memegang jawatan menteri kabinet yang terlibat dalam pentadbiran yang bukan dasar yang dinamakan para fuqaha (Wazarah al-Tanfiz) dan jawatan-jawatan yang sesuai dengannya. Amalan ini berlaku ketika negara Islam memerintah masyarakat majmuk dan luas wilayahnya.

Hingga kini, masih wujud zuriat bukan Islam yang hidup mesra dengan masyarakat Islam. Sebagai contoh satu peristiwa pernah berlaku pada zaman Khalifah Umar di Wilayah Barat yang bersempadan dengan Wilayah Rom. Abu ‘Ubaidah sebagai pemimpin bertindak memulangkan bayaran cukai yang diambil daripada rakyat bukan Islam kerana merasa tidak mampu menjamin keselamatan mereka daripada ancaman tentera Rom. Golongan Kristian tersebut tidak mahu menerimanya kerana lebih rela berada di bawah pemerintahan Islam yang adil.

Islam mewajibkan hak diplomatik kepada rakyat sesebuah negara yang mempunyai perjanjian dengan negara Islam. Islam juga mewajibkan hak perlindungan kepada rakyat negara musuh yang datang meminta perlindungan politik dengan jaminan tidak boleh menyerahnya kepada negaranya yang berlaku zalim.

Allah menegaskan dalam surah at-Taubah ayat 6;

“Jika seseorang di kalangan musyrikin datang meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya, sehingga dia dapat mendengar kalam Allah, kemudian sampaikan dia ke tempat yang aman.Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).”

Kenyataan ini menunjukkan Islam lebih awal memberi perlindungan politik kepada pelarian dan pendatang yang dizalimi di tanah air sendiri, mendahului lebih seribu tahun daripada Perjanjian Geneva dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

http://www.tarbawi.my

Potensi menang perang media PRU14

Ahmad Lutfi Othman, 14 Jun 2013
Apa faktor terbesar Umno-BN masih mengekalkan kuasa dalam PRU13 lebih sebulan lalu? BagiDr Mahathir Mohamad, kuncinya terletak kepada ketakutan majoriti pengundi Melayu terhadap kemungkinan Anwar Ibrahim bersama DAP menguasai Putrajaya. Rasa takut "kehilangan hak-hak Melayu" yang sengaja dicipta ini disuntik melalui propaganda berterusan sehingga membentuk persepsi hodoh kepada Pakatan Rakyat.

Namun begitu, ramai tidak bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir itu. Tentulah lebih banyak pihak menyalahkan sistem, proses dan perjalanan pilihan raya di Malaysia. Dan ketempangan amalan demokrasi itu bukan hanya bermula daripada tarikh pembubaran Parlimen, tetapi sudah berakar umbi sejak lama, malah  dianggap suatu kelebihan buat mana-mana parti pemerintah, yang jarang dibantah  secara berkesan.

Saya sedaya upaya tidak mahu mengulangi hujah-hujah basi, tetapi terpaksa juga membawa penekanan hampir sama. Kadang-kadang isu-isu stereotaip terpaksa diulang selagi ia belum ditangani dengan tekun, berhemah dan serius. Kita memang menyenaraikannya sebagai faktor utama kekalahan dalam setiap kali pilihan raya, tetapi ia terus "terbiar" begitu sahaja, dan mengulangi punca-punca itu sebagai daleh tanpa mengatur pelan tindakan lebih bermakna.

Bagi saya, begitu juga anggapan ramai pemerhati politik  - kekuatan Umno-BN masih terletak kepada penguasaan dan manipulasi media. Tentu ramai yang spontan mengangguk lesu, mengiakan hakikat "padang permainan masih tidak sama rata" ... tetapi apa perancangan strategik Pakatan untuk berdepan dengan serangan, ancaman dan pujukan kuasa media ini?

Dalam pada itu, tidak sedikit penyokong Pakatan akan menyatakan, kita sendiri sudah memiliki senjata paling berkesan, iaitu media baru -- termasuk media sosial yang lebih demokratik dan mudah dicapai --  yang dapat menyalurkan maklumat alternatif, menyanggah tohmahan media tradisional dan seterusnya membentuk persepsi masyarakat.

Saya tidak mahu terperangkap dalam polemik tidak berkesudahan ini. Kesimpulan mudah saya, meskipun capaian dan akses internet lebih menyeluruh, namun pengaruh akhbar, radio dan televisyen tetap menyerlah dan menyengat. Kalaupun anda mempunyai perbedaan pandangan - dan tetap berkeras bahawa kian ramai rakyat Malaysia yang tidak lagi melanggan akhbar harian, jarang-jarang sekali menonton siaran berita TV3, apatah lagi terkesan dengan berita radio - ketepikan sekejap. Ya, mengapa kita tidak boleh sama-sama bersetuju bahawa kita juga berpeluang untuk membangunkan "sistem media" sendiri, yang lebih sofistikated atau sekurang-kurangnya setanding dengan BN?

Baru-baru didedahkan dalam satu forum mengenai persempadanan semula, berdasarkan kawasan
pilihan raya sedia ada, Umno-BN boleh mendapat majoriti mudah di Parlimen hanya dengan menguasai kerusi-kerusi yang mempunyai sekitar 20 peratus saja. Dan kebanyakan kerusi terbabit adalah di luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak. Soalnya, setakat mana pengaliran maklumat secara cepat dan mudah di kawasan tumpuan atau "simpanan tetap" BN itu?

Mungkin DAP tidak menghadapi kesukaran berdepan karenah akhbar-akhbar Cina, sepertimana PAS dan KeADILan yang dianggap oleh harian berbahasa Melayu sebagai seteru yang mesti dimusnahkan. Pemimpin DAP masih diberikan liputan sewajarnya oleh akhbar Cina berbanding rakan-rakan mereka dalam Pakatan yang "dihenyak semahunya" oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Okey, saya tidak perlu membazirkan masa melukiskan kembali situasi berat sebelah ini, yang diwarisi zaman berzaman. Kita harus ada pelan bertindak. Semua akur bahawa ketiga-tiga lidah rasmi parti-parti dalam Pakatan, terutama Harakah dan Suara Keadilan, amat tidak memadai untuk memikul tanggungjawab yang begitu besar.

Dengan kekerapan penerbitan yang terbatas - dua kali seminggu untuk Harakah, dan bertaraf mingguan untuk SK - apatah lagi begitu mudah dijejaskan rangkaian pengedarannya disebabkan peruntukan undang-undang sedia ada, pengaruh kedua-dua media ini dapat dihadkan.

Justeru, saya menggesa agar tekanan dapat ditingkatkan bagi memastikan semua lidah rasmi parti politik tidak lagi dibataskan hanya kepada ahli-ahli parti sahaja, dan peraturan "karut-marut" itu dimansuhkan. (Pelik memikirkan, mengapa Pakatan seakan-akan memandang sepi gangguan berterusan - dan sistematik - terhadap pengedaran lidah rasmi masing-masing).

Serentak dengan itu, rangkaian pengedaran harus diperluaskan dengan pelbagai inovasi baru. Pada hemat saya, selama ini, jaringan itu terbina dengan sendiri atau semulajadi, dengan segala kelemahan dan kekurangan. Pimpinan Pakatan seolah-olah tidak memberi perhatian serius untuk meningkatkan jumlah cetakan (rekod semasa masih terlalu jauh daripada target), termasuk memastikan Harakah dan SK, mengetuk setiap pintu rumah pengundi, khususnya di kawasan tumpuan.

"PAS dan KeADILan harus merancang untuk terbit akhbar harian, sekurang-kurangnya kombinasi di antara kekerapan Harakah dan SK," kata seorang bekas editor kanan, yang percaya masih banyak potensi dalam dunia media yang belum diteroka oleh Pakatan.

"Mungkin Harakah tiga kali seminggu dan SK juga begitu, berselang-seli. Bagi Harakah yang ada permit, boleh difikirkan judul lain, seperti Bangkit dan Inikalilah yang diterbitkan masa kempen PRU13 yang lalu," ujarnya.

"Jangan tunggu PRU14 baru nak aktifkan penerbitan, waktu itu sudah crowded, pengundi pun mungkin pening dengan begitu banyak asakan media, ditambah surat layang atau risalah tidak bertanggungjawab. Lebih penting, usaha mempengaruhi pengundi Melayu memakan masa dan perlu dilakukan secara berterusan dan halus seninya," tambah rakan saya itu, yang kini bersara dari alam kewartawanan.

Seorang pembaca Harakah, berkelulusan jurnalisme, memberi komentar melalui emel: "Kualiti akhbar lebih penting. Laporan Harakah dan Suara Keadilan perlu lebih bermutu, tidak mengulangi kesilapan sama, dan harus ditadbir  seperti industri akhbar yang profesional. Karyawannya tidak boleh tangkap muat, mesti hebat dan dihormati, dan pastinya perlu diganjari setanding akhbar-akhbar utama. Brain dan skill terbaik tidak datang menggolek."

Beliau turut menyokong penuh cadangan yang pernah saya luahkan, agar  sistem penajaan percuma kepada audien terpilih dilaksanakan. "Saya yakin ramai penyumbang bermurah hati untuk beramal secara lebih praktikal, menaja terus naskhah Harakah kepada sasaran yang dipilih mereka."

Pengalaman saya membuktikannya. Kutipan dana yang dipelopori Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) amat memberangsangkan. Saya terfikir, jika inisiatif mengumpul kewangan untuk penerbitan akhbar seumpama Bangkit dan Inikalilah ini dimulakan daripada sekarang, dan disokong oleh pimpinan tertinggi Pakatan, tentu sambutannya lebih menakjubkan.

Apa pun, bukan hanya penerbitan akhbar parti perlu disusun semula, tetapi dimensi lain yang juga begitu penting, misalnya TV internet dan potensi klip video, belum diteroka sepenuhnya. Aspek kandungan media baru juga seperti terabai walaupun penguasaan teknologi begitu baik sekali.

Setakat ini, saya lebih suka menyalahkan diri sendiri jika peluang untuk menyaingi media UMno-BN tidak diberi perhatian serius. Kita seolah-olah membiarkan sekelompok pengundi yang cukup penting dan kritikal - kini, pengundi Melayu dan Bumiputera Sabah/ Sarawak - terus diperbodohkan. Ironinya, kita terus menyalahkan orang lain, tanpa menampilkan gerak kerja luarbiasa untuk memetik hasil yang lebih manis.

Tiada ulasan: