Ashraf Muslim
Ashraf Muslim
SETELAH lebih sebulan mendiamkan diri, pelakon Ashraf Muslim akhirnya membuka mulut berhubung desas-desus poligami yang kecoh diperkatakan, awal bulan lalu.

Akui mendiamkan diri bagi menjaga hati banyak pihak, Ashraf lebih memilih untuk tidak mengulas lanjut soal itu.

Sebelum ini, Ashraf menerusi kenyataannya di sebuah akhbar tidak menafikan ke mahkamah atas satu urusan, namun enggan mendedahkan urusan terbabit.

Tindakan Ashraf berahsia, bukan meredakan keadaan, sebaliknya satu demi satu cerita mula keluar termasuk identiti wanita yang bakal 'dikahwininya'.

Ketika ditemui pada majlis Seindah Ramadan TV3, semalam, Ashraf akui kecewa apabila cerita sensitif seperti itu terpalit ke atasnya.

"Soal poligami ini sangat sensitif. Bukan pada saya saja. Semua orang pun berpendapat macam itu.

"Tapi bukan hak saya untuk menghalang orang mengata atau bercerita apa pun," katanya.

Berhubung kenyataan dari wanita yang dikatakan bakal menjadi isterinya itu, Ashraf menafikan kenyataan tersebut keluar daripada wanita itu.

"Kenyataan yang keluar itu (di akhbar tempatan) bukan datang daripada seseorang itu (wanita yang didakwa bakal dikahwininya).

"Tidak ada siapa pun antara kami yang bagi kenyataan. Sama ada saya ke, isteri saya ke, siapa yang diperkatakan itu ke. Tidak ada," katanya.

Tambahnya, "kalau saya lawan (kenyataan balas) pun, macam-macam cerita juga akan jadi. Baik saya senyap dan bersabar. Lagi banyak saya cakap, lagi macam-macam spekulasi orang buat."

Menyentuh soal namanya yang tiba-tiba terpalit dengan kontroversi seumpama itu, Ashraf ada mempersoalkan apa salahnya sehingga timbul cerita seperti itu.

"Apa salah saya? Kenapa orang nak bercerita pasal saya? Ada yang cakap saya begini, isteri saya begitu.

"Bagi saya, saya kecewalah. Saya kecewa orang yang tak faham ini. Mungkin ada kepentingan atau mungkin kurang didikan agama," katanya.

[BERGAMBAR] Bumbung Runtuh Di Kuarters Kerajaan Blok B, Presint 15 Putrajaya


Putrajaya: “Mulanya saya nampak awan gelap diikuti bunyi angin. Selepas itu, saya nampak sampah berterbangan dan zink jatuh diiringi bunyi dentuman kuat,” kata Mohd Ridzuan Mat Sharif, 33, penduduk Blok B Kuarters Kerajaan Presint 15, di sini ketika menceritakan ribut di kawasan kediamannya, semalam.

Dalam kejadian itu jam 6.45 petang itu, sebahagian bumbung zink di tingkat 15, blok berkenaan jatuh secara tiba-tiba berikutan angin kencang dan hujan lebat sebelum menimpa pondok rehat di bawah bangunan itu, selain merosakkan lampu jalan di situ.

Mohd Ridzuan yang juga pensyarah di sebuah institut kemahiran berkata, ketika kejadian, dia sedang melayari Internet di rumahnya yang terletak di tingkat satu blok berkenaan.

“Saya ingatkan ada pembenihan awan kerana hujan begitu lebat disertai angin kencang. Pada awalnya angin terbabit hanya menumbangkan pokok di kawasan sekitar dan kepingan zink serta sampah berterbangan.

“Namun, tiupan angin bertambah kuat sebelum bumbung zink di tingkat atas bangunan jatuh disusuli bunyi dentuman kuat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Ridzuan berkata, sejak tinggal di situ kira-kira dua tahun lalu, kejadian bumbung runtuh itu kali pertama dilaporkan berlaku ketika hujan lebat dan angin kuat. “Sebelum ini, jika hujan lebat dan angin kuat, tidaklah sampai begini (bumbung runtuh), tetapi kali ini ia meruntuhkan sebahagian bumbung selain merosakkan infrastruktur di kawasan ini.

“Sepuluh minit sebelum hujan lebat dan angin kuat, polis ada meronda di kawasan ini dan mereka kembali semula ke sini sebaik menerima maklumat ada bumbung runtuh,” katanya. Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika ditemui di tempat kejadian berkata, beliau menerima laporan mengenai bumbung berkenaan runtuh daripada penduduk di situ kira-kira jam 7 malam semalam. -HM