Selasa, 18 Jun 2013

BERUNDURLAH....AGAR RAKYAT TAK MUAK DENGAR ALASAN2

Mengapa Terengganu tiada exco agama?

Hazayani Zakaria, 18 Jun 2013
KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang) mempersoal Kerajaan Negeri Terengganu yang tidak mewujudkan exco yang khusus menjaga portfolio agama.

Ustaz Abdul Hadi berkata, tidak sewajarnya hal ehwal agama diletakkan di bawah Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi Dan Tugas-Tugas Khas kerana skop agama Islam itu luas dan perlu kepada portfolio khusus.

"Di (kerajaan) pusat ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang jaga hal ehwal agama dan keseluruhan kerajaan negeri juga ada yang jaga hal ehwal agama.

"Definisi agama Islam itu lebih luas daripada pelajaran. Aspek-aspek lain duduk dalam agama jadi bagaimana agama diletak dalam satu exco yang hanya dalam aspek yang kecil. Perkara ini sudah lari dari asasnya," kata beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu hari ini.

Beliau yang juga Presiden PAS dalam soalan asal ingin tahu siapakah di kalangan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan urusan agama di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang baru.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi Dan Tugas-Tugas Khas, Ghazali Taib memberitahu beliau diberi tanggungjawab untuk menjaga hal ehwal agama.

"Hal ehwal agama Islam diletakkan bawah pengurusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang diketuai Ketua Agama negeri, Sultan Terengganu.

"Saya membantu dari segi kerjasama dengan Maidam untuk melancarkan pentadbiran," katanya.

Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) ketika bangun mencelah berkata, belum pernah berlaku kerajaan negeri tidak mewujudkan portfolio agama yang disifatkan sebagai sangat penting.

"Portfolio agama ini penting dan dalam ingatan saya belum pernah berlaku tak ada exco khusus yang menjaga portfolio ini dan biasanya diberi kepada orang berlatar belakang agama dan berkemampuan," katanya yang juga Ketua Pembangkang.

Kuota haji: Utamakan bakal jemaah kali pertama

Harakahdaily, 18 Jun 2013
KUALA LUMPUR: PAS menggesa Lembaga Tabung Haji memberi keutamaan kepada bakal jemaah haji kali pertama ekoran pengurangan 20 peratus kuota jemaah haji Malaysia pada tahun ini.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam keadaan kouta yang terhad, seharusnya jemaah haji kali pertama perlu diberi keutamaan berbanding mereka yang pernah menunaikannya sebelum ini.

"Kita minta untuk Tabung Haji penuhi kouta yang ada itu untuk mereka yang baru kali pertama mengerjakan haji.

"Tidak boleh lagi ada perkiraan orang yang dah pergi boleh pergi lagi. Ketegasan pengurusan Tabung Haji diperlukan dalam situasi ini," katanya kepada Harakahdaily.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian sebagi mengulas isu kuota haji yang dikurangkan sebanyak 20 peratus pada tahun ini.

Difahamkan pengurangan kuota jemaah haji itu adalah berikutan arahan terbaharu kerajaan Arab Saudi berikutan kerja pembesaran Masjidil Haram di Makkah.

Dalam pada itu, Mahfuz juga mencadangkan pihak Tabung Haji agar mengambil inisiatif lain dengan menanyakan kepada negara-negara lain yang berkemungkinan tidak memenuhi kuota negara mereka.

"Saya rasa ada negara yang kuotanya tidak penuh, dan Tabung Haji boleh berbincang untuk menghantar jemaah Malaysia menggunakan kuota negara tersebut," kata Mahfuz.

Setuju cadangan Teng

Hambali Akram,
Saya amat menyokong cadangan Dato' Teng Chang Khim, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian & Penyelidikan supaya diwujudkan pengasingan rumah urut antara lelaki dan wanita. Cadangan ini sebagai salah satu usaha kerajaan negeri Selangor membanteras kegiatan rumah urut yang turut menjalankan kegiatan pelacuran.

Cadangan pengasingan antara wanita dan lelaki ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu. Sebelum ini telah wujud pengasingan gerabak komuter antara lelaki dan wanita demi mengelakkan gangguan lelaki terhadap wanita.

Jauh sebelum itu, di Kelantan telah wujud beberapa dasar seperti pengasingan kaunter pembayaran lelaki dan wanita. Di samping itu terdapat juga larangan tukang  gunting wanita menggunting rambut lelaki.

Hakikatnya, cadangan ini wajar mendapat sokongan dan bantuan daripada semua pihak. Hal ini kerana, bagi menjamin kejayaan penuh, cadangan ini turut membabitkan penguatkuasa daripada negeri dan pusat. Jika hanya satu pihak sahaja, dibimbangi cadangan ini tidak mencapai tahap 100 peratus. Namun, kerajaan negeri perlu melakasanakannya mengikut kadar bidang kuasa yang ada di tangan mereka. Jika tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya.

Rakyat bangkit tuntut hak, cegah penipuan PRU

Harakahdaily, 18 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Ustaz Abdul Ghani Shamsudin berkata, umat Islam tidak boleh membiarkan penipuan tanpa sebarang usaha mencegah, terutamanya melibatkan sistem pilihan raya yang pincang.
“Pasrah kepada kezaliman dan penyelewengan bukan akhlak Islam. Kita wajib bangkit menuntut kembali hak kita yang dinafikan. Islam melarang kita melihat kemungkaran tanpa berusaha untuk mencegahnya,” katanya dipetik Keadilan Daily.

Justeru, beliau menyokong penuh himpunan Black 505 dan menyeru rakyat Malaysia hadir beramai-ramai di Padang Merbok pada 22 Jun ini.

Katanya, keputusan pilihan raya lalu mendedahkan seluruh rakyat kepada sistem demokrasi yang herot.

“Himpunan itu nanti menjadi platform terbaik menyedarkan rakyat hak mereka yang dicabuli pemerintah,” katanya.

Katanya, sesebuah negara tidak akan dapat melahirkan rakyat yang bermaruah dan bermartabat akibat cara pemilihan pemimpin negara yang penuh tipu helah dan muslihat.

Beliau menambah, usaha dilakukan penganjur Black 505 patut disokong oleh semua rakyat yang cintakan keadilan.

Pemilihan CEC: Apa lagi ROS mahu, tanya DAP

Harakahdaily, 18 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Kenyataan demi kenyataan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) melalui media hanya bertujuan untuk menimbulkan persepsi negatif orang ramai terhadap DAP dan mengugat keyakinan ramai terhadap kredibiliti pimpinan DAP.
“Kami telah berkali-kali mengatakan bahawa kami bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada ROS dalam siasatan mereka dan setiap dokumen yang mereka minta dalam tempoh beberapa bulan ini telah pun kami bekalkan kepada mereka,” ujar Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sekiranya ROS masih tidak dapat menyelesaikan siasatan tersebut, ini hanya menunjukkan kelemahan dan ketidakcekapan mereka dalam menjalankan siasatan.

“Apa lagi ROS mahu?” tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban yang merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman semalam yang meminta DAP mengemukakan bukti mengenai silap kira undi dalam pemilihan CEC pada bulan Disember lepas.

Yang pertama, tanya beliau apakah ia telah menjadi satu prosedur untuk ROS mengeluarkan kenyataan media setiap kali mereka meminta DAP untuk memberikan keterangan atau bukti.

“Mengapakah hanya siasatan terhadap DAP diberikan perhatian oleh ROS sedangkan siasatan terhadap parti-parti politik yang lain tidak diwar-warkan untuk pengetahuan umum dalam media?” tanya beliau lagi.

Abdul Rahman dilaporkan berkata ROS perlu membuat kenyataan untuk pengetahuan umum tentang kemajuan proses siasatan ROS untuk mengelakkan manipulasi fakta seperti kandungan surat ROS bertarikh 17 April 2013 yang didakwanya telah dimanipulasi oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Saya ingin bertanya kepada Abdul Rahman dan ROS, apakah kandungan surat pada 17 April lalu yang telah dimanipulasi oleh DAP?” tanya Loke lagi.

Tegasnya, dakwaan tersebut adalah satu dakwaan yang melulu dan tidak berasas sama sekali.

“Setiap kali kita mengadakan sidang akhbar untuk memberikan reaksi terhadap ROS, salinan surat dari ROS diedarkan kepada para wartawan sebagai bukti,” ujarnya lagi.

Berundurlah Pengerusi SPR untuk tebus kecewa

Harakahdaily, 18 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Tiada gunanya Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mempertahankan jawatannya kerana kegagalan terlalu besar untuk ditebus dengan kekecewaan dan kekesalan.

“Berundur secara terhormat lebih baik dari diundurkan rakyat secara paksa,” ujar Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar) sebagai respons kepada luahan kekecewaan Abdul Aziz mengenai isu dakwat kekal.

Menurutnya, meskipun bos SPR itu tidak menjelaskan apa yang dikecewakan mengenai dakwat kekal itu, namun dapat dilihat ia berkaitan dengan penggunaan dakwat yang tidak kekal yang menjadi polemik rakyat.

Katanya, setelah ribuan laporan polis dibuat, ratusan ribu rakyat meluahkan rasa marah, kecewa dan kesal, malah pelbagai siri himpunan raksasa diadakan termasuk perhimpunan terbesar pada 22 Jun 2013 bagi membantah penipuan SPR kerana penggunaan dakwat yang tidak kekal, baru kini Pengerusi SPR meluahkan rasa kecewa berhubung penggunaannya.

Tambah beliau, Abdul Aziz seperti mengakui bahawa penggunaan dakwat kekal dalam PRU13 adalah kegagalannya dan kegagalan SPR keseluruhannya.

Katanya, penggunaan dakwat kekal adalah perkara paling asas dalam tuntutan rakyat berhubung penambah baikan PRU13.

“Itupun gagal ditunaikan dengan baik dan ia menjadi titik tolak kepada lebih banyak kepincangan yang berlaku kemudiannya, seolah-olah, dakwat kekal adalah pintu kecurangan kepada penipuan terbesar yang tergambar dengan jelas melalui petisyen yang dikemukakan oleh banyak pihak,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kata beliau, kekesalan Abdul Aziz sudah terlambat dan tidak berguna lagi, ibarat susu yang tumpah ke tanah.

“Insiden penipuan dalam PRU13 sudah berlalu dan Malaysia mencatat sejarah antara negara yang berada dalam senarai demokrasi hitam di negara ini,” katanya.

Beliau menambah, belum pernah dalam sejarah, petisyen PRU difailkan sebanyak kali ini menandakan semua pihak bersetuju berlaku penipuan semasa PRU.

Seterusnya kata beliau, sedikit kesilapan SPR sudah mengubah landskap politik negara, menyebabkan rakyat menjadi kecoh, berlaku perselisihan antara parti-parti politik, agensi kerajaan seperti SPR pula sudah tidak dipercayai lagi manakala negara Malaysia dilabel antara negara yang gagal melaksanakan sistem demokrasinya secara adil dan telus.

“Langkah terbaik meluahkan kekecewaan Tan Sri Abdul Aziz adalah dengan mengundurkan diri serta merta,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: