Tidak perlu kecewa, letak jawatan secara terhormat
Harakahdaily, | 17 Jun 2013 |
Kegagalan tersebut bukan kecil, ia memberikan kesan besar terhadap kepercayaan masyarakat kepada ketelusan perjalanan proses pilihanraya.
Demikian kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.
Abdul Aziz Yusof melahirkan kekecewaan ekoran pelaksanaan dakwat kekal yang gagal di dalam pilihanraya umum yang lepas.
Bahkan beliau menyifatkan bahawa itulah kekecewaan yang paling besar dalam hidupnya, lapor Sinar Harian hari ini.
"Kalau orang tanya saya sekarang ini, apakah perkara yang paling menyedihkan dalam hidup saya, saya akan jawab dakwat kekal,” katanya yang dipetik akhbar bahasa Melayu itu.
Kata Fadhli, dalam situasi Pakatan Rakyat meraih undi popular melebihi Barisan Nasional dan Barisan Nasional terus kekal memerintah, adalah sesuatu yang sangat mengaibkan jika perjalanan pilihanraya dipersoalkan ketelusannya.
"Kegagalannya diakui sendiri oleh Pengerusi SPR. Masyarakat tertanya-tanya, adakah benar kerajaan hari ini berkuasa atas mandat yang palsu?" soal beliau.
Justeru, katanya, tidak ada penyelesaian yang paling sesuai melainkan Pengerusi SPR dan para pegawainya wajib meletakkan jawatan, "suruhanjaya bebas perlu dibentuk menyiasat keraguan yang timbul dan pilihanraya semula wajib diadalan di kawasan-kawasan yang bermasalah."
Pelbagai laporan polis telah dibuat ekoran dakwat kekal yang tidak kekal digunakan oleh SPR dalam pilihan raya umum ke 13 lalu.
Calon PAS Arau yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din antara yang paling awal membuat laporan polis. Beliau hadir sendiri ke Pajabat SPR Perlis di Kangar pada hari mengundi bagi melaporkan pengalaman peribadi beliau dan turut membuat laporan polis.
Sultan Kelantan minta Pusat selesaikan tuntutan petroleum
Salmah Mat Husain, | 17 Jun 2013 |
Titah itu dibuat baginda sewaktu merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama DUN Kelantan Ke-13 tahun 2013 di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
“Pada masa yang sama beta memohon Kerajaan Persekutuan menyelesaikan isu tuntutan bayaran tunai royalti petroleum pada kerajaan negeri mengikut perjanjian yang ditandatangani,”titah baginda.
Sultan Kelantan Sultan Muhammad Ke-V juga mengingatkan Kerajaan Persekutuan menumpukan perhatian terhadap projek yang telah dirancang sebelum ini berjalan baik.
Baginda mendapat maklum, kira-kira lebih 2,000 ekar tanah di negeri itu telah dibuat pengambilan balik oleh Kerajaan Persekutuan untuk kegunaan agensi yang terlibat dalam rancangan kerajaan Pusat.
Pada masa yang sama, baginda turut melahir rasa syukurnya apabila kerajaan Kelantan telah mencatat jumlah pelaburan sebanyak RM2.87 bagi tahun 2012.
Titah baginda lagi, sekotor hartanah dan tenaga merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan pelaburan negeri, terutama di Jajahan Pasir Putih.
“Beta berharap usaha menarik pelabur dapat dipergiatkan lagi dalam usaha menambahkan sumber ekonomi di negeri ini,”titah baginda.
Dalam titah baginda itu juga beberapa aspek lain turut disentuh antaranya kejayaan Tahun Melawat Kelantan 2012 yang dapat menarik perhatian lebih 5 juta orang.
Selain itu juga baginda turut menyentuh kejayaan pelajar Yik yang cemerlang dalam pendidikan mereka, usaha Jaheaik dan MAIK berjaya membantu golongan miskin dan berbagai lagi.
Pasti Terhakis
Idanradzi, | 17 Jun 2013 |
Terpanggil untuk menyelam dasar wawasan
yang terpenjara dek segala fitnah petualang
semua perundangan semakin sirna hilang
berlaku curang tanpa siapa pun menghalang
kejatuhan nilai moral menolak seri pesona
diri tidak dapat lagi menjana piagam mulia.
Bila warga alam kian bertuhan kebendaan
tiada lagi nilai simpati pun nilai keintiman
yang licik terang-terangan meratah enak
juadah yang miskin tanpa teragak-agak
merompak segala kemewahan milik diri
tiada lagi nilai murni memagari jauhari.
Terpanggil untuk memalu tabuh kesedaran
tak siapa lagi menghirau amanat Tuhan
memilih mana yang dapat membawa rahmat
melanggar ajaran yang mengekang visi kudrat
tunggulah pembalasan tanpa dapat menangkis
kuasa terkini sekadar pinjaman pasti terhakis.
Idanradzi
Kota Bharu Perak
Hukum mematuhi undang-undang negara
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, | 17 Jun 2013 |
Adakah kita akan mendapat dosa jika kita melanggar undang-undang yang telah ditetapkan oleh negara?
Jawapan;
Mematuhi undang-undang Negara termasuk dalam pengertian mentaati pemerintah. Allah berfirman (maksudnya);
“Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” daripada kalangan kamu” (Surah an-Nisa’ : ayat 59).
Ulil-Amri dalam ayat di atas bermaksud orang-orang yang bertanggungjawab mengurus urusan kaum muslimin. Mereka merangkumi ulama dan pemerintah. Ulama bertanggungjawab tentang urusan agama dan pemerintah (umara) pula bertanggungjawab tentang urusan duniawi dan maslahah hidup rakyat. (Tafsir Ibnu Kathir)
Para zaman Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- dan khulafak rasyidin, kedua-dua urusan (agama dan dunia) diuruskan oleh seorang ketua/pemimpin yang dipanggil Khalifah atau Amir al-Mukminin. Itulah yang sebaik-baiknya bagi kaum muslimin supaya urusan agama dan dunia dapat diselarikan tanpa wujud pertembungan antara ulama dan umara. Namun, selepas zaman Khulafak Rasyidin kedaan berubah iaitu urusan agama ditangani oleh ulama dan urusan dunia pula ditangani oleh umara. Bagi keadaan kedua ini, wajiblah umara merujuk kepada ulama dan wajib pula ulama menasihati umara apabila ada keputusan umarak yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah.
Kedua-dua ulama dan pemerintah dalam Islam terikat dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Kerana itu didahului perintah taat dalam ayat di atas dengan ketaatan kepada Allah (yakni al-Quran) dan ketaatan kepada Rasul (yakni as-Sunnah). Apabila wujud sebarang masalah atau pertikaian (yang berkait dengan urusan pemerintahan atau yang berkait dengan rakyat), mereka wajib merujuk kepada Allah dan Rasul (yakni al-Quran dan as-Sunnah) sebagaimana ditegaskan Allah dalam sambungan ayat di atas;
“Kemudian jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan RasulNya (as-Sunnah) jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Itu lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” (Surah an-Nisa’, hujung ayat 59).
Dari segi sikap rakyat pula, mereka wajib mentaati pemerintah selama pemerintah berpegang-teguh dengan agama Allah dan tidak menyuruh rakyatnya melakukan dosa, maksiat dan munkar. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
“Wajib ke atas seorang muslim untuk dengar dan taat (kepada pemerintah) dalam perkara yang ia suka atau ia benci selama ia tidak disuruh melakukan maksiat. Namun bila dia disuruh melakukan maksiat, tidak harus lagi ia dengar dan taat”. (HR Abu Daud dari Abdullah bin Umar –radhiyallahu ‘anhu-).
Kesimpulannya, selama undang-undang yang digubal tidak menyalahi al-Quran dan as-Sunnah, wajiblah kita mematuhinya sama ada undang-undang itu berkait dengan peraturan jalan raya, percukaian, keselamatan, kekeluargaan, kontrak dan sebagainya. Perkara yang wajib jika dilaksanakan akan diberi pahala dan jika dilanggari akan berdosa.
http://ilmudanulamak.blogspot.com
Minta kaji balik perbankan Islam
Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail, |
Katakanlah seseorang Muslim hendak membuat pinjaman peribadi ataupun pinjaman perumahan, setelah disaringkan dan menepati syarat sapertimana yang dikehendaki itu maka Pegawai Bank berkenaan akan memanggil sipeminjam untuk menandatangani segala dokumen yang selalunya dibuat dalam Bahasa Inggeris. Syarat dan terma perjanjian hanya diberikan beberapa minit sahaja untuk pelanggan menyemak sebelum menandatangani surat perjanjian tersebut.
Pinjaman ini menggunakan perkataan Islam agar nampak Islamik sedikit pada hal tidak ubah sapertimana pinjaman konvensional juga apabila disebutkan bahawa pinjaman untuk membeli sebuah rumah katakanlah harga asal rumah tersebut RM200 ribu dan disyaratkan bayar secara ansuran selama 30 tahun dengan harga berubah kepada jumlahnya RM600 ribu. Alasannya bahawa itu adalah ikut harga pasaran rumah tersebut pada 30 tahun akan datang.
Kalau diperhalusi secara rasional adakah logiknya dan adakah itu apa yang Islam ajar dan praktikkan? Agama Islam tidak pernah dan jauh sekali cuba menindaskan dan membuat penganiayaan dalam keadaan apa sekalipun kepada umatnya. Bayangkan kalau kita terlewat sedikit untuk membayar ansuran bulanan kerana ada masalah kewangan sedikit dimasa itu sudah tentu pihak Bank yang dikatakan membawa kaedah Islam itu akan menghantar surat amaran beserta dengan jumlah denda yang perlu dibayarkan dengan seberapa segera dari pejabat peguam tertentu. Inilah hakikatnya risiko yang pelanggan akan terima.
Pernah saya kemukakan kepada bank yang dikatakan mempraktikkan pinjaman secara islam ini untuk melangsaikan hutang pinjaman perumahan yang saya telah pun membayar ansurannya selama 10 tahun dan baki pinjaman selama 20 tahun lagi untuk dilangsaikan. Alangkan kecewanya saya apabila Pegawai bank itu berkata bahawa saya dikenakan bayar bukan dengan harga asal pinjaman itu tetapi ianya mesti dibayar sekali dengan faedah selama 20 tahun sebagai dijanjikan itu juga dan hanya beberapa RM sahaja dibenarkan untuk dikurangkan sahaja. Ini bermakna apabila sudah terikat dengan pinjaman walaupun namanya secara kaedahnya atas nama Islam tetapi penindasannya tetap ada dan unsur-unsur riba' terang lagi nyata tetap tidak berubah. Akhirnya saya lupakan sahaja hasrat murni saya itu kerana terasa diri ini telah terperangkap diatas nama Islam mereka yang tidak berhati perut ini.
Dialam ajaran al-Quran yang dibawa oleh Rasulullah SAW, telah memberikan amaran yang keras dan berkali-kali disebutkan tentang ancaman kepada mereka yang melakukan riba' dalam apa keadaan sekalipun. Apatah lagi jika mengeksploitasikan hukum yang ditetapkan itu seolah-olah mempersendakan hukum Allah dan seolah-olah juga mereka tunjukkan bahawa mereka lagi pandai mengaturkan apa yang telah ditetapkan itu. Tidakkah kita mahu ambil iktibar dari cerita yang terdapat didalam al-Quran bagaimana sekumpulan kaum Yahudi dizaman Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan Allah supaya tidak menangkap ikan pada hari Sabtu tetapi mereka mencari akal dengan menggunakan kaedah memasangkan pukat pada malam hari Jumaat dan habuannya akan diambil pada pagi Ahad. Apa terjadi dengan mereka ini? Ia bukan sahaja dilaknati tetapi ditimpakan musibah kepada keseluruhan puak itu.
Para alim ulama dan cendiakawan dalam urusan ekonomi Islam yang telah belajar dengan berbagai-bagai ijazah sama ada dari luar negara dan dalam negara dalam bidang tersebut janganlah berpeluk tubuh sahaja dan biarkan perkara sebegini berterusan kerana amanah anda adalah untuk menjaga kepentingan umatnya dan anda akan dipertanggunjawabkan diakhirat kelak. Perbetulkan balik supaya kembalikan kelandas Islam yang sebenarnya.
Gambar yang tiada dalam Utusan, Berita, TV3 dan RTM
http://omakkau.blogspot.com, | 17 Jun 2013 |
RECEP TAYYIP ERDOGAN MASIH MENDAPAT SOKONGAN PADU DARI MAJORITI RAKYAT TURKI!!!....RAKAMAN GAMBAR-GAMBAR YANG TIDAK DISIARKAN OLEH UTUSAN, BERITA HARIAN, TV3 DAN RTM!!!!
BIAR GAMBAR BERBICARA.
Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan dari Parti AK, jelas mendapat sokongan padu dari majoriti rakyat Turki untuk terus memimpin negara itu walaupun kita dihebahkan sama ada melalui media elektronik maupun cetak kononnya sokongan rakyat Turki terhadap kepimpinannya semakin pudar dan ditolak.
Hari-hari..siang malam pagi petang disiarkan adanya demonstrasi jalanan ganas antara beberapa rakyat Turki dengan polis.
Digambarkan seolah-olah Turki kini sedang bergolak dan berlakunya kerajaan AK pimpinan Erdogan di ambang tumbang, sedangkan realitinya kerajaan beliau amat teguh dan sokongan rakyat tetap jitu dan padu.
Dari rakaman gambar-gambar di atas, Erdogan dan Parti AK yang dikatakan amat rapat dengan DSAI, masih amat popular di Turki.
Ratusan ribu penduduk Istanbul, Turki majoritinya pendukung dan penyokong Parti AK pimpinan Erdogan keluar memberikan sokongan kepada beliau.
# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.
'Kekadang hati menangis kerana terhiris'
Harakahdaily, | 17 Jun 2013 |
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin
Hassan mengakui kadang-kadang hatinya terhiris dengan kritikan-kritikan
yang dilemparkan di ruangan komen di laman sosial facebooknya.
Berkongsi pengalamannya bersosial di alam maya hampir tiga tahun, beliau berkata, biarpun kritikan itu pedas dan tajam, namun dia suka untuk melihatnya dari sudut yang positif.
"Sungguhpun pada saat - saat tertentu, kritikan mereka membuatkan hati saya menangis sendirian kerana terhiris, namun saya tetap akan mengagahkan diri untuk mempelajari sesuatu dari kritikan tersebut," katanya dalam entri bertajuk "3 tahun sahaja" di akaun laman peminat facebooknya.
Bercerita lanjut, beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia berkata, sepanjang mengndalikan facebooknya sejak tiga tahun lalu pelbagai warna posting dan gaya status ditemuinya.
Baginya, ia mencerminkan rencamnya pemikiran manusia yang ada di dunia ini yang seharusnya diterima.
"Saya telah temui 1001 satu jenis dan kategori pemikiran manusia melalui komen, ulasan, kritikan, teguran, nasihat, sokongan, herdikan, cacian dan nista yang dihamburkan. Begitulah rencamnya pemikiran masyarakat diluar sana. Aneka karenah dan ragam pembaca yang melintas di laman sosial milik saya ini.
"Saya banyak mempelajarinya malah mengambil iktibar darinya. Meskipun saya tidak punya banyak masa untuk menjawab, tetapi paling tidak saya akan membaca keseluruhan komen dan bahagian yang paling saya suka ialah bahagian kritikan pedas dan keras," luahnya lagi.
Biarpun begitu, beliau tetap mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung samaada terdiri dari rakan-rakan seperjuangan mahupun "pengkritik tetap".
Malah katanya, ada sesetengah tindakan yang dibuat khususnya dalam dewan pemuda adalah hasil daripada komen-komen yang diterinya melalui facebook.
"Insyaallah, ada masa kelak dan mungkin di musim cuti sekolah akhir tahun ini, saya nak anjurkan gathering fan club saya yang terdiri dari sebahagian besar pengunjung facebook ini.
"Kita santai sambil beramah mesra meskipun berbeza latar politik dan akademik. Are you ready?," soalnya menutup coretan entri itu.
Untuk rekod, sehingga berita ini ditulis, laman peminat Nasrudin Hassan kini mempunyai sejumlah 89,405 peminat.
Berkongsi pengalamannya bersosial di alam maya hampir tiga tahun, beliau berkata, biarpun kritikan itu pedas dan tajam, namun dia suka untuk melihatnya dari sudut yang positif.
"Sungguhpun pada saat - saat tertentu, kritikan mereka membuatkan hati saya menangis sendirian kerana terhiris, namun saya tetap akan mengagahkan diri untuk mempelajari sesuatu dari kritikan tersebut," katanya dalam entri bertajuk "3 tahun sahaja" di akaun laman peminat facebooknya.
Bercerita lanjut, beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia berkata, sepanjang mengndalikan facebooknya sejak tiga tahun lalu pelbagai warna posting dan gaya status ditemuinya.
Baginya, ia mencerminkan rencamnya pemikiran manusia yang ada di dunia ini yang seharusnya diterima.
"Saya telah temui 1001 satu jenis dan kategori pemikiran manusia melalui komen, ulasan, kritikan, teguran, nasihat, sokongan, herdikan, cacian dan nista yang dihamburkan. Begitulah rencamnya pemikiran masyarakat diluar sana. Aneka karenah dan ragam pembaca yang melintas di laman sosial milik saya ini.
"Saya banyak mempelajarinya malah mengambil iktibar darinya. Meskipun saya tidak punya banyak masa untuk menjawab, tetapi paling tidak saya akan membaca keseluruhan komen dan bahagian yang paling saya suka ialah bahagian kritikan pedas dan keras," luahnya lagi.
Biarpun begitu, beliau tetap mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung samaada terdiri dari rakan-rakan seperjuangan mahupun "pengkritik tetap".
Malah katanya, ada sesetengah tindakan yang dibuat khususnya dalam dewan pemuda adalah hasil daripada komen-komen yang diterinya melalui facebook.
"Insyaallah, ada masa kelak dan mungkin di musim cuti sekolah akhir tahun ini, saya nak anjurkan gathering fan club saya yang terdiri dari sebahagian besar pengunjung facebook ini.
"Kita santai sambil beramah mesra meskipun berbeza latar politik dan akademik. Are you ready?," soalnya menutup coretan entri itu.
Untuk rekod, sehingga berita ini ditulis, laman peminat Nasrudin Hassan kini mempunyai sejumlah 89,405 peminat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan