Posted on Tuesday, June 25 @ 09:49:16 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
Oleh Omak Kau
Rakaman Gambar Nazri Aziz sengaja tunjuk isyarat tidak sopan kepada jurugambar yang rakam gambarnya di parlimen, tersebar luas di internet dan menjadi perbualan umum kini!!!!!!
Apakah ini contoh terbaik yang ditunjukkan oleh seorang yang bergelar menteri kanan dalam kabinet Najib Razak?
Menujukkan isyarat tidak senonoh kepada jurugambar yang merakamkan gambarnya di parrlimen hari ini sempena persidangan angkat sumpah ahli-ahli parlimen dan melantik Speaker Dewan Rakyat yang baru.
Dia memegang jawatan Menteri Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Sudah pasti isyarat ini bukan molek dan indah untuk tarik pelancung ke negara kita serta jauh sekali bukannya budaya kita.
Betapa sombong, bongkak dan angkuhnya pemimpin UMNO ini.
Tidak tahu nak kata apa lagi... speechless.
omakkau.blogspot.com
Tidakkah jerebu juga tentera Allah?
Posted on Tuesday, June 25 @ 07:44:11 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu
Oleh: amkns
"Subky Latif, 24 Jun 2013
"Sebelum yang tidak beriman mendapat petunjuk, orang yang beriman itulah yang mesti insaf dan taubat dulu."
APAPUN kerosakan di laut, di darat dan di udara seperti jerebu adalah justeru gatal tangan manusia, demikian kira-kira maksud ayat 41 surah ar-Rum.
Maka jerebu yang melanda Singapura, Malaysia dan apa lagi Sumatera sebagai pusat punca yang mengeluarkan asap itu adalah hasil perbuatan manusia rakus mahu memunggah kekayaan bumi Sumatera yang sebanyak-banyak secara senang melakukan pembakaran.
Siapa manusia itu tidak penting, biarlah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkannya.
Pembakaran yang mulanya untuk tujuan ekonomi telah bertukar menjadi bala umum bagi sekurang-kurangnya tiga buah negara Asean berbentuk asap. Asap yang banyak itu memenuhi udara menjadi jerebu siang sentiasa redup dan di setengah tempat siang itu sentiasa seperti senja.
Tidakkah jerebu itu pula satu bentuk tentera Allah yang dikirim-Nya bagi memberi amaran kepada manusia?
Seperti Allah menjadikan tentera-Nya dalam bentuk seekor nyamuk bagi membinasakan Namrud, maka jundullah dalam bentuk jerebu itu adalah amaran awal kepada kemaksiatan manusia dan ujian bagi orang yang amal soleh. Bala untuk umat Muhammad SAW tidaklah membinasakan manusia seluruhnya seperti yang dialami oleh umat sebelumnya, justeru janji Allah kepada baginda sebagai pengirimannya adalah rahmat kepada seluruh, maka umatnya tidak akan mengalami bala sepahit kaum Nuh, Aad, Tsamud dan lain-lain.
Tentera asap telah dirakamkan dalam al-Quran dalam surah Ad-Dukhan, betapa asal tebal berkepul-kepul telah melanda bumi mengancam musyrikin Makkah. Tentera asap itu bukan sekadar menyesakkan nafas manusia dan boleh mendatangkan penyakit, malah asap atau jerebu itu, memanaskan udara sekalipun redup, tetapi ia mengakibatkan kemarau bagi wilayah yang Allah hukum.
Apakah gara-gara yang dialami oleh kemarau? Tumbuhan dan tanaman tidak menjadi. Ia menyempitkan rezeki manusia dan binatang. Manusia putus minuman kerana tiada sumber air, putus bahan makanan kerana tanaman tidak menjadi. Apabila binatang baik ternakan dan yang liar mati kelaparan, akhirnya tiada apa yang manusia dapat makan kecuali pasir.
Tentera jerebu yang melanda tiga wilayah Asean itu mungkin memulakan proses kiamat. Ia mungkin dapat diatasi atas penguasaan manusia atas ilmu teknologi, dan atas doa orang-orang soleh, tetapi ia adalah ayat-ayat Allah sebagai amaran kepada kerakusan manusia.
Orang yang melakukan pembakaran itu tentulah berdosa. Mereka bukan sekadar dihukum Allah semasa di dunia dan di akhirat, kerajaan juga akan menghukum mereka. Tetapi dosa mereka yang membakar itu menimpa lain-lain orang yang tidak membakar dan orang yang tidak merebut kekayaan di Sumatera.
Orang miskin Singapura dan Malaysia tidak ada apa-apa kepentingan dengan pembakaran di Sumatera itu, tetapi apakah dosa mereka, maka mereka menerima azab dari kesan jerebu itu?
Pemimpin dan pemerintah ke tiga wilayah yang terlibat perlu bertanya apakah dosa masyarakat masng-masing, dosa kerajaan dan dosa para pemimpin itu sendiri menyebabkan Allah turunkan jerebu itu. Orang yang membakar hutan itu adalah penyebab kepada jerebu itu, jerebu itu adalah bala yang Allah turunkan berpunca dari pembakaran itu.
Kadang-kadang kebakaran bukan kerana ada pembakaran, tetapi oleh gara-gara pembuangan puntung rokok. Apakah manusia selain dari menghukum orang yang gatal tangan dan mengikhtiarkan kaedah mengatasinya, sedia muhasabah akan sebab Allah turunkan bala itu?
Pakar teknologi boleh menanam benih awan dan hujan, orang soleh boleh solat minta hujan, tetapi apa peranan ulama dan sekalian orang yang beriman menyampaikan dakwah, bahawa jerebu itu bukan sekadar gara-gara Riau terbakar, tetapi ia adalah mesej Allah supaya manusia kembali kepada ajarannya. Sebelum yang tidak beriman mendapat petunjuk, orang yang beriman itulah yang mesti insaf dan taubat dulu.
harakahdaily.net"
Dua darjat pemikiran di parlimen
Posted on Tuesday, June 25 @ 07:33:19 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu
Oleh: setisab
"Pagi semalam di bangunan Parlimen saya sempat melihat dengan mata hati dua darjat pemikiran yang berbeda.
Pemikiran pertama berada dalam parlimen dengan acara angkat sumpah sebagai anggota parlimen manakala pemikiran kedua berada di luar parlimen dalam keadaan cuaca yang berjerebudengan acara demonstrasi jalanan yang tidak sudah...!
Mereka yang berdarjat pemikiran pertama berada dalam parlimen
Saya hormati darjat pemikiran pertama kerna mereka bertindak dengan akal dan mereka ria ceria.
Bedakan dengan mereka yang berada di tahap pemikiran kedua seperti gambar di sini:
Saya kasihani tahap pemikiran kedua kerna mereka mengutamakan perasaan lebih dari akal
Mereka yang di tahap pemikiran kedua di sini dan berjuang melalui perasaan
perjuangan atau kecelaruan???
Mereka berjuang menggunakan akal atau ...... ?
Harga sebuah perjuangan di pinggir jalan...di pinggir jalan ke parlimen.... !!
Sedang yang membedakan antara manusia dan haiwan adalah AKAL.... !!
Memburu Dosa
Peta Interactive Kawasan Berjerubu Seluruh Malaysia, Indonesia dan Singpura"
Wabak Malaria, pekerja asing pula dipersalahkan
Posted on Tuesday, June 25 @ 07:49:53 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu
Oleh: rozmal
"Nampaknya pekerja asing membawa pelbagai penyakit. Adakah undang-undang negara ini terlalu longgar sehingga menyebabkan peningkatan kes demam malaria dan TB (Batuk Kering) atau terdapat unsur rasuah dalam pelaksanaan undang-undang kemasukan serta kawalan pekerja asing?
Sepupu saya yang sebelum ini dijangkiti malaria berkata berkemungkinan terdapat warga asing yang mengambil gaharu liar dalam hutan sekitar Rembau.
Pekerja asing didakwa menjadi punca malaria merebak di Kampung Sungai Rual
23 Jun 2013 - Kehadiran ramai pekerja asing dalam sektor pembalakan didakwa menjadi punca berlaku wabak malaria di penempatan Orang Asli di Kampung Sungai Rual di sini bulan lalu.
Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jangkitan tersebut berpunca daripada pekerja asing berkenaan yang terlebih dahulu diserang malaria ekoran terdedah pada gigitan nyamuk di dalam hutan.
Katanya, analisis yang dilakukan pasukan perubatan daripada Jabatan Kesihatan negeri mendapati, beberapa pekerja balak telah menghidap malaria sebelum merebak menjadi wabak menyebabkan 112 penduduk Orang Asli terpaksa ditahan di Hospital Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah dan Pasir Mas.
"Sebelum ini tidak pernah berlaku malaria di sini dan analisis yang dilakukan oleh pegawai kesihatan Jeli mendapati jangkitan asal adalah daripada pekerja asing di sektor pembalakan," katanya.
Mustapa berkata, wabak malaria yang melanda kampung itu bagaimanapun sudah pulih namun langkah-langkah pencegahan akan diteruskan termasuk mengesan beberapa pekerja asing yang dikatakan telah melarikan diri.
"Saya difahamkan semua pekerja asing itu sudah melarikan diri apabila siasatan mendapati mereka menjadi punca jangkitan. Mereka tidak dapat dikesan lagi, malaria sudah lama tiada di Malaysia tetapi kerana ada pekerja asing, penyakit itu muncul kembali.
utusan.com.my"
Kenali Cuka Nipah
Posted on Tuesday, June 25 @ 09:38:47 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan
Blog Anim Agro Technology
CUKA NIPAH adalah sejenis hasil daripada pokok nipah (Nyipa fructicans) dari keluarga Arecaceae yang tumbuh dikawasan tepi sungai diseluruh negara. Aktiviti mengutip air nira dari pokok nipah merupakan satu aktiviti yang telah lama diusahakan oleh orang kita semenja dulu kala untuk memotong mayang nipah bagi mengutip air manisannya.
Kepakaran mengutip air nira nipah memerlukan skill yang tinggi (Sila baca artikel saya sebelum ini - Air Nira (Sila Klik disini) dan Teknologi Pokok Nipah (Sila Klik disini) sebagai bahan bacaan tambahan.
Pokok nipah mempunyai banyak daun seperti kelapa dan berstruktur keras serta lebar antara 4-7 cm dengan bilangan daun mencapai 100 helai setiap dahan. Daun nipah sangat baik digunakan sebagai bahan membuat atap oleh masyarakat tempatan daan tahan sehingga 5-7 tahun.
Atap nipah merupakan sejenis atap yang memberikan teduhan yang sejuk pada rumah-rumah tradisional. Dahulu harga sekeping atap cuma RM 1.20 - RM150 (Semasa saya kecil) tetapi kini harga sekeping atap nipah mencecah RM 3.00-RM5.00 bergantung kepada kualiti dan saiz. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai industri memproses nira nipah dan hasil proses membuat cuka nipah untuk dikongsi bersama.<
Proses memungut air nira nipah agak berbeza dengan cara kutip air nira kelapa (Lihat caranya dalam foto diatas). Pokok nipah jenis Nipah Tembaga paling sesuai dipilih dimana tangkai buah yang melentur kebawah sesuai digunakan.
Elakkan dari memilih tangkai bunga atau buah nipah yang tumbuh menegak keatas. Buang dahan atau kulit tangkai lain agar bersih dan boleh dimulakan proses lenturan (Lihat foto sebelah). Lenturan dimulakan dari bahan tengah kemudian kebawah dan keatas semala dua minggu sehingga tangkai lenturan jatuh kebawah.
Ada yang memukul tangkai nipah untuk menyediakan urat-urat nipah dapat mengalirkan airnya. Proses membentuk tanglai nipah dibuat 2-3 minggu sehingga sesuai di urut 3-4 kali sebelum di potong setiap 3 hari dan pasangkan Tukay (iaitu bekas mengutip air nira) atau tadahan dengan bekas plastik. Ikat dengan kuat bekas tadi dan kutip mengikut jadual untuk terus digunakan atau diproses.
Nira kelapa dan nira nipah agak berbeza dari segi aroma, kemanisan dan juga rasanya. Walau pun kedua-duanya boleh diminum segar terus dari pohon kelapa atau nipah dikebun tetapi ianya perlu ditapis dahulu. Air nira mengandungi bahan manisan iaitu SUKROS yang enak diminum terutama jika dicampur dengan air batu.
Air Nira merupakan minuman kegemaran di Terengganu dan Kelantan terutama pada jika diminum pada musim bulan Ramadan yang cepat membekalkan tenaga kepada mereka yang berpuasa. Selain itu ada nira nipah yang diproses untuk dijadikan cuka nipah atau dipanggil juga sebagai 'Cuka Padi'. Cara memproses cuka nipah adalah dengan mengambil nira nipah dan diperam selama 44 hari dengan kaedah khusus sehingga tidak rosak. Kontaminasi semasa membuat cuka nipah akan menyebabkan cuka tersebut pahit (jika ada air hujan masuk dsb).
Dari segi kesihatan ramai percaya yang air nira nipah atau air nira kelapa dapat menurunkan suhu badan yang panas, mencuci buah pinggang dan juga menyembuhkan mereka yang mempunyai masaalah Gastrik dalam perut.
Ada yang juga mendakwa cuka air nira nipah juga membantu dalam memecahkan batu karang pasir dengan meminumnya sebanyak 1 camca sehari selama satu minggu. Air nira segar yang dijual secara tradisional ditawarkan dengan harga RM 2.00 - RM 3.00 satu bekas plastik atau satu botol kecil (sekitar 180 - 250 ml).
Walau pun perusahaan nira kelapa dan nira nipah telah mula di komersilkan di negeri Terengganu dan Kelantan tetapi saiz pasaran dan bekalan adalah masih terhad. Cuka nipah asli ini diperbuat daripada air nira nipah yang telah diperam selama 44 hari. Kajian menunjukkan kandungan KITOSAN yang ada padanya menjadi ubat untuk pelbagai penyakit kronik.
Ia juga mampu untuk menurunkan suhu badan yang panas, sakit gastrik, gout, batu karang, sakit jantung, kencing manis, kencing tidak lawas, kekurangan tenaga, migrain dan penyakit berkaitan buah pinggang - 1 gelas air suam dicampur dengan 1 sudu besar cuka nipah dan 1 sudu teh, diminum pagi dan petang. Untuk mengurangkan kolesterol dan darah tinggi - Ambil beberapa biji kurma, rendamkan dalam cuka nipah semalaman. Pastikan rendam kurma tersebut sampai tenggelam. Kemudian, makan sebiji kurma setiap hari.
Bagi mengempiskan perut buncit atau boroi – minum 2 sudu cuka Nipah bersama 2 sudu madu lebah dan di turuti dengan setengah gelas air suam pada waktu awal pagi. Itu adalah beberapa khasiat mengenai cuka nipah yang kini ada dijual di pasar malam, internet dan promosi produk pertanian.
CUKA NIPAH ...DARIPADA AIR NIRA...
MAYANG DIPOTONG... MANIS AIRNYA...
DIPERAN 44 HARI... CUKALAH JADINYA...
DIJUAL MURAH ... DIJUAL DIMANA-MANA...
By,
M Anem
Senior Agronomist
Jalan Istana, Simpang Bukit Beruang,
Bandar Melaka,
Malaysia
(23 Rejab 1434H)
Untuk info asas tani yang menarik, sila Layari animhosnan.blogspot.com
Tidak Mudah Mendapat Tempat Dalam Penerbitan
Posted on Tuesday, June 25 @ 09:02:40 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan
Oleh Dr Shafie Abu Bakar
BBB, 15 Sya`ban 1434 = 24 Jun 2013 (Isnin):
Sungguhpun penulis menulis dari awal 1960an, penulis belum lagi menghantar tulisan kepada penerbit-penerbit akhbar dan majalah. Penulis mulai serius menulis, ialah pada tahun 1968 semasa berkhidmat sebagai guru di Madrasah al-Ma`arif Kg. Raja Besut.
Tumpuan tulisan ialah bidang puisi dan makalah dan mulai menghantar hasil-hasil penulisan ke akhbar dan majalah, termasuk puisi yang dihasilkan lebih awal dari itu. Mulai dari masa ini penulis mulai menggunakan sistem fail dan mengasingkan karya-karya mengikut penerbitan yang dihantar. Penerbitan yang menjadi pilihan bagi menghantar karya mulai 1968 - Pertengahan1970 (sebelum UKM dibuka):
- Akhbar Berita Minggu
- Akhbar Utusan Zaman
- Majalah Mastika
- Majalah Dewan Masyarakat
Seorang Ibu Perungus. (Fragmen darinya):
Seorang Ibu Perungus
Herdeknya begitu meninggi
Cukup untuk meregut hati anaknya
Dan aku tiada hairan
Kekerasan hati anaknya membatu.
Kebebasan anaknya telah dirampas
Sekian lamalah ia terbelenggu
Perkembangan anaknya terhenti kaku
Dari herdeknya yang menggerutu
……
Kg. Nyiur, Paka,
13 Disember 1993.
26 buah puisi dihantar ke Berita Minggu sebelum Penulis masuk ke UKM, tetapi tidak mendapat sebarang tempat di dalam akhbar berkenaan. Keadaan yang sama tidak mendapat tempat di Utusan Zaman (Fail ke Utusan Zaman sebelum Mei 1970 setakat ini tidak diketemui – tersalah tempat).
Penulisan ke Majalah Mastika tidaklah banyak sehingga bulan Mei 1970 jumlah puisi yang dihantar adalah lapan buah. Membaca kembali ternyata rendah mutunya. Contoh:
Seorang Anak Kecil
Seorang anak kecil
Tersenyum manis
Menggamit dunia
Dari jendela hati
Tanpa curiga.
Padanya
Laparnya tangis
Sakitnya tangis
Bahasanya tangis
……
Kg. Raja Besut,
5/2/1970.
Sebuah artikal tentang Musim Haji yang dihantar pada 9hb. Februari 1969 ke Mastika. Mutunya adalah rendah.
Hantaran puisi ke Dewan Masyarakat dari 1 Okt. 1968 hingga 21 Mac 1970 berjumlah 19 buah puisi. Satu yang memberi kelegaan bahawa setiap hantaran yang dibuat sama ada ke Dewan Masyarakat dan terbitan-terbitan yang lain di Dewan Bahasa dan Pustaka mendapat jawapan yang mempunyai no. rujukan dari pihak DBP. Jawapan standard:
Rujukan ( ) Dewan Bahasa dan Pustaka
Jalan Lapangan Terbang,
Peti Surat 803,
Kuala Lumpur
Tuan/Puan,
Dengan ini adalah dimaklumkan iaitu surat tuan/puan Bilangan …… Bertarikh …….
Berkenaan sajak untuk Dewan Masyarakat telah selamat diterima serta faham/mendapat perhatian.
b.p. Kt. Pengarang
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jika Sajak `Perahu Besar` adalah antara sajak terawal dihantar ke Dewan Masyarakat, maka sajak `Kampungku Sunyi` adalah sajak terakhir dihantar ke Dewan Masyarakat sebelum penulis diterima masuk ke UKM yang memulakan era baru bagi Penulis dalam bidang penulisan.
Kampungku Sunyi adalah gambaran bagi suasana di Kg. Nyiur Paka pada masa itu. Sajak ini dihantar dari Kg. Raja Besut tempat Penulis berkhidmat.
Kampungku Sunyi
Di daerah pendalaman ini
Kemesraannya bertukar sepi
Air alur yang begitu jernih
Kini berlodak keruh sendiri
Kerana anak-anak tani
Tidak lagi turun bermandi.
Membuak air pekat memerah
Dari perigi tua
Di dada bumi yang punah
Kelat hapak berlemin hanyir
Meracun anak-anak tani.
Di daerah pendalaman ini
Telah sunyi dari anak-anak yang menyanyi
Di bendang padi
Sekali-sekali jika anda menjenguk ke mari
Terlihat orang tua yang uban kepala
Bertongkat melangkah dengan hati-hati
Capek jalannya kabur matanya
Bertenggek di anjung masjid basi.
Di daerah pendalaman ini
Pokok kelapanya tinggi-tinggi
Menyapu pokok-pokok tua lain
Dengan lenggoknya yang lesi
Memanggil anak-anak muda yang pergi
Kembali berbakti pada bumi nenek sendiri.
Di daerah pendalaman ini
Sepinya bertambah sepi
Semak-semak menyerang berhati-hati
Setapak demi setapak mengganti
Rumah-rumah runtuh sendiri
Kuburan memerah bertambah
Mengatasi kelahiran bayi pengganti
Yang tua-tua tinggal memakan hati
Rindu pada anak-anak yang mengembara lagi.
Kg. Nyiur, Paka, Dungun.
21 Mac 1970.
Walau bagaimana usaha Penulis untuk mendapat tempat bagi hasil-hasil penulisan, masih tidak berjaya. Sudah pastilah tulisan-tulisan berkenaan tidak sampai mutu yang melayakkannya untuk diterbitkan. Hingga pada satu peringkat kegigihan menulis agak tercabar sehingga lahirnya puisi berikut yang mnenjadi sebahagian dari puisi dalam Kumpulan Madu Ilmu berjudul `Protes` (hlm. 167):
Protes
Ia bertindak
Dalam jemu jelak
Mengangkat timbunan kertas
Makanan api – biar puas.
Ini kertas
Pencuri masa – emas
Pemeras tenaga – frust
Penghakis harta – mengkalas
Punca sengkita – rumah.
Dalam seketika
Api menjulang ganas
Membakar puncak hatinya – panas
Kakinya menyepak-nyepak
Hatinya menggelegak
Bersama api melonjak-lonjak
Lalu ia mendabik
Aku Nero pembakar Kota Roma
Aku Hulagu perempuh Kota Baghdad.
Tapi anih
Ia kembali menulis
Mohon tempat bertatih.
Kg. Raja, Besut.
07 Februari 1970.
Sesungguhnya untuk menjadi penulis berkebolahan tidak mudah untuk mencapai kematangan yang membolehkan tulisan diterima dalam penerbitan. Menulis hanya dengan bersemangat tetapi tidak melalui pembelajaran menyebabkan hasil tulisan kita tidak kesampaian dan tidak diberi ruang.
Sekian.
Sumber: drshafie.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan