Jumaat, 14 Jun 2013

GUNALAH FACEBOOK SERTA TWITTER UNTUK KEBAIKAN DUNIA DAN KEBAIKAN AKHIRAT

KSN saran pegawainya ada FB, Twitter
Facebook/Twitter
PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menyarankan semua Ketua Setiausaha dan timbalannya serta ketua pengarah membuka akaun laman sosial seperti Facebook dan Twitter masing-masing untuk berinteraksi dengan rakyat.
 
Beliau berkata langkah itu juga membolehkan usaha menangkis fitnah berhubung perkhidmatan awam dapat dilakukan dengan segera.
 
Kebelakangan ini, katanya segelintir pihak menggunakan laman sosial untuk menyebar fitnah tentang kerajaan terutamanya perkhidmatan awam dan pegawai-pegawai kerajaan yang mempunyai laman sosial pasti boleh menangkisnya.
 
"Saya minta agar pegawai kerajaan terutamanya pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang aktif dalam laman sosial dapat memberikan fakta dan maklumat yang tepat dan benar bagi 'counter-attack' sebarang fitnah tersebut.
 
"Jika kita tidak membantu keadaan ini dengan fakta sebenar, rakyat akan terus percaya serta sebarkan fitnah itu dan ia hanya akan memburukkan lagi situasi semasa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berinteraksi bersama Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) di sini hari ini.

Ali berkata pelbagai evolusi berlaku dalam perkhidmatan awam terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lepas dan sebagai penjawat awam, PTD seharusnya memainkan peranan lebih penting untuk memastikan dasar-dasar kerajaan dapat dilaksana dengan jayanya.
 
Bagi menjadikan peranan PTD sentiasa relevan dengan perubahan semasa, beliau berkata mereka juga perlu mengambil langkah proaktif dengan sentiasa turun padang.
 
"Menjadi tanggungjawab PTD untuk mendekati serta membantu masyarakat yang memerlukan dan bukan sekadar duduk di pejabat. Jika di luar bidang kuasa, rujuklah kepada pihak yang berkenaan," katanya.
 
Beliau berkata semua PTD, pegawai kerajaan dan penjawat awam perlu bersedia berdepan evolusi semasa untuk memastikan kerjaya perkhidmatan awam mampu menjadi pilihan generasi akan datang.
 
Dalam pada itu, beliau menggesa semua pegawai kerajaan dan PTD supaya menyegerakan pelaksanaan dasar-dasar yang diluluskan kerajaan. - Bernama
Suhakam fokus baiki 5 agenda utama
Suhakam
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
KUALA LUMPUR -  Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan memfokus kepada memperbaiki lima agenda utamanya dengan membabitkan kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan untuk terus ke hadapan, kata Pengerusinya yang dilantik semula Tan Sri Hasmy Agam.
 
Beliau berkata isu berkenaan ialah populasi yang semakin berusia, kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran, hak asasi manusia dalam perniagaan, siasatan awam dan pendidikan berkaitan hak asasi manusia di sekolah rendah.
 
Hasmy berkata Suhakam mampu menjadi kuasa yang kuat untuk perubahan apabila digerakkan secara strategik dalam menangani rungutan dan keperluan masyarakat sivil.
 
"Terdapat beberapa cara berbeza untuk Suhakam membabitkan kerajaan dan badan berkaitan termasuk mengadakan perbincangan dengan menteri, menyediakan laporan, menghantar aduan dan membangkitkan isu berhubung situasi pencabulan hak asasi manusia.
 
"Apa yang penting ialah mengetahui bila untuk menggunakan sesuatu pendekatan dan bagaimana memaksimumkan usaha," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pelantikan tujuh Pesuruhjaya Suhakam di ibu pejabat suruhanjaya itu hari ini.

Turut dilantik semula ialah Profesor Datuk Dr Khaw Lake Tee, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi A.Majid dan James Deva Nayagam bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 26 April lepas.
 
Tiga Pesuruhjaya Suhakam yang baharu ialah Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Datuk Dr Aishah Bidin, bekas penyunting akhbar Sabah Times Sylvester Madating@ Nordin Kasim dan Setiausaha Kehormat Pertubuhan Orang Cacat Sarawak Francis Johen anak Adam.
 
Dalam perkembangan lain, Hasmy berkata Suhakam berdepan cabaran sukar untuk menggesa kerajaan meratifikasi enam teras konvensyen Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), antaranya, Konvensyen Antarabangsa berkaitan Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum, Konvensyen Antarabangsa berkaitan Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan serta Konvensyen PBB Terhadap Penyeksaan.
 
Beliau berkata Malaysia menunjukkan komitmen berterusan dengan menjadi sebahagian komuniti hak asasi manusia di peringkat antarabangsa dan meratifikasi tiga konvensyen iaitu Konvensyen berkaitan Hak Kanak-Kanak dan Konvensyen Berkaitan Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (kedua-duanya pada 1995) serta Konvensyen Berkaitan Hak Orang Kurang Upaya (2010).
 
"Suhakam akan mengambil ini sebagai satu cabaran bagi meyakinkan Malaysia menimbang untuk meratifikasi konvensyen berkenaan kerana ia akan mempertingkat kredibiliti dan pengaruh negara dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB serta komuniti antarabangsa," katanya. - Bernama
Suhakam perkenal 3 anggota baru
Suhakam
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini mengumumkan tiga ahli jawatankuasa yang baru dilantik berkuatkuasa 26 April lalu.

Mereka yang dilantik termasuklah Profesor Dr Aishah Bidin, Francis Johan Adam dan Sylvester Madating@Nordin Kasim.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, Suhakam mengekalkan tujuh ahli jawatankuasa seperti tahun sebelumnya.

"Kita mengekalkan empat orang lama termasuk saya sebagai pengerusi, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee, Prof. Datuk Dr Mahmood Zuhdi A Majid dan James Deva Nayagam.

"Tahun ini kita akan kekalkan juga tujuh orang ahli jawatankuasa dalam Suhakam," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hasmy berkata Suhakam akan terus menjalankan tugas dan meningkatkan kecekapan untuk menjalankan usaha tertentu.


Menurutnya, Suhakam juga telah berjaya menjalankan kehendak dan keperluan masyarakat seperti yang dituntut khususnya dalam isu wanita, kanak-kanak dan hak asasi perniagaan.

Tambahnya, Suhakam juga akan meneruskan usaha menggesa Parlimen supaya mengguna pakai enam lagi prinsip hak asasi yang diamalkan diseluruh dunia.

"Kita juga sedang berusaha membentangkan laporan untuk menggesa Parlimen terima kesemua tujuh prinsip hak asasi manusia," katanya.
Harapan rakyat menjelang 24 Jun ini
Mohd Taufiq Mokhtar
Mohd Taufiq Mokhtar
Ridhwan Mohammad
Ridhwan Mohammad
Kumar P. Muttu
Kumar P. Muttu
Hazliza Abdullah
Hazliza Abdullah
Ema Sulaiman
Ema Sulaiman
Muslim Abdul Razak
Muslim Abdul Razak
Ezzlie Abdul Rahman
Ezzlie Abdul Rahman
SHAH ALAM - Keputusan PRU13 yang sebelum ini menjadi tanda tanya kini bukan rahsia lagi.

Walaupun bermula sengit, namun BN telah menang sebanyak 133 kerusi Parlimen dan PR menawan 89 kerusi.

Seiring selepas pilihan raya, 24 Jun ini bakal menyaksikan wakil-wakil "suara" rakyat akan melaksanakan tugas yang diamanahkan iaitu mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen.

Tarikh 24 Jun ini, pastinya dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia yang meletakkan harapan tinggi bagi melihat pembaharuan yang bakal dilaksanakan anggota Dewan Rakyat kepada masa depan Malaysia yang lebih baik.

Tinjauan Sinar Harian Online mendapati rata-rata rakyat Malaysia berharap ahli parlimen yang dipilih dapat membawa agenda kebajikan rakyat serta menunaikan manifesto PRU13 lalu.

Menurut pemandu teksi, Mohd Taufiq Mokhtar, 65, beliau wakil rakyat yang telah dipilih akan menjadikan Parlimen medan terbaik bagi membahaskan isu-isu yang berkaitan dengan kebajikan rakyat.

"Tunaikan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya, jangan hampakan rakyat," katanya.

Manakala ditanya mengenai harapan beliau terhadap kebajikan pemandu teksi, beliau berharap kerajaan dapat memberi perhatian serius terhadap kebajikan golongan itu.

"Saya mahu kerajaan menjaga soal kebajikan dan pinjaman pembelian kereta nanti," katanya.

Sementara itu, Pengarah Syarikat  Security Sun Kumar, P. Muttu pula berkata, kerajaan wajib menunaikan janji mereka seperti mana yang telah dijanjikan sebelum ini.

"Sebagai rakyat saya berharap wakil rakyat yang dipilih itu tunaikan janji mereka.

"Tumpukan kepada bagaimana hendak kurangkan kos sara hidup rakyat dan banyakkan peluang pekerjaan," katanya.

Sementara itu, bagi seorang pekerja swasta, Ema Sulaiman, 38, beliau berharap selepas angkat sumpah, sidang Parlimen kali ini dapat berjalan dengan lancar dan menjadi medan terbaik untuk ahli parlimen membincangkan mengenai masalah rakyat.

 "Saya berharap semuanya dapat  berjalan dengan lancar, bincang masalah rakyat dan  pantau harga barang serta wujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.

Manakala menurut seorang pekerja swasta Hazliza Abdullah, 24, beliau berharap sidang parlimen ini menjadi tempat terbaik bagi mereka membincangkan perkara hal ehwal rakyat.

"Ahli parlimen kena ambil tindakan bagi membantu meringankan beban rakyat," katanya.

Sementara itu, menurut seorang penjawat awam, Ridhwan Mohammad, 23, beliau berharap sidang Parlimen ini menjadi medan terbaik bagi mereka menunaikan janji.

"Bagi saya, ahli parlimen perlu menunaikan janji, janji perlu dikotakan selain daripada itu, tinggalkanlah salah faham ideologi-ideologi masing-masing berjuang demi rakyat jangan lupa janji sebelum ini," katanya.

Keputusan PRU13 5 Mei lalu menunjukkan BN masih mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan.

BN telah menang sebanyak 133 kerusi Parlimen dan PR menawan 89 kerusi.

Dalam pada itu, DAP berjaya memperolehi 38 kerusi manakala Pas dan PKR masing-masing berjaya meraih 21 dan 30 kerusi Parlimen.
Pelacur tunggu dalam cermin
Pelacur tunggu dalam cermin
Anggota penguatkuasa menyoal siasata wanita tukang urut yang ditahan.
Pelacur tunggu dalam cermin
Salah seorang pelacur yang ditahan ketika hendak melayan pelanggannya.
JOHOR BAHRU - Pengusaha sarang pelacuran menggunakan taktik baru dengan mempamerkan wanita warga Thailand di sebalik bilik bercermin sebagai tarikan kepada pelanggan.

Kegiatan itu berjaya dihidu Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan Ops Rumah Pelacuran di sebuah premis di Bandar Baru Permas Jaya, di sini kelmarin.

Dalam serbuan itu, seramai tujuh wanita warga Thailand ditahan melibatkan 15 anggota dan pegawai diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johor, Khairulanuar Abu Bakar sekitar jam 5.15 petang.

“Setibanya di lokasi, pintu berkunci secara automatik. Anggota operasi terpaksa memanggil berkali-kali sebelum premis dibuka.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, di dalam bilik premis terbabit terdapat empat pelanggan bersama pasangan masing-masing.

“Seorang wanita cuba menyembunyikan kondom meskipun pada mulanya tidak mengaku memiliki kondom.

"Akhirnya selepas didesak, beliau mengaku menyimpan beberapa keping kondom di dalam saluran paip air di tandas,” katanya, di sini semalam.

Ketika serbuan, kesemua wanita terbabit dipamerkan di dalam cermin dipercayai dan dijadikan umpan dalam kegiatan pelacuran.

Khairulanuar berkata, wanita berasal dari negara jiran itu berusia antara 27 hingga 34 tahun dan meraih kadar bayaran antara RM150 bagi setiap perkhidmatan.

Menurutnya, kesemua wanita terbabit ditahan di bawah Peraturan 17(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan selain bekerja tanpa pas dan permit.

“Turut ditahan seorang warga tempatan yang merupakan penjaga premis kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk tindakan lanjut jabatan,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan lain, lima wanita warga asing ditahan dalam Ops Sayang di sebuah premis refleksologi Taman Daya.

Dalam serbuan ke atas premis yang sudah beroperasi sejak lebih tiga tahun lalu, tiga wanita Indonesia dan dua warga Vietnam ditahan.

Menurut Khairulanuar, kesemua wanita terbabit bekerja sebagai tukang urut dengan kadar bayaran RM60 dan menawarkan khidmat tambahan sambil mengenakan caj sebanyak RM150.

“Wanita yang ditahan ini berusia antara 27 hingga 34 tahun dan kita mengesyaki premis ini ada melakukan kegiatan tidak bermoral.

“Dalam pemeriksaan di dalam bilik di premis ini, terdapat dua pelanggan bersama pasangan masing-masing.

Seorang wanita cuba lari melalui tingkap belakang premis di tingkat dua, namun berjaya ditahan dan keadaan terkawal,” katanya.

Wanita terbabit ditahan kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan dan bekerja tanpa pas serta permit.

“Ada juga antara mereka yang ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas dan permit.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk tindakan lanjut,” katanya.
Wanita dalam pantang maut
Wanita dalam pantang maut
Keadaan kereta mangsa yang remuk akibat kemalangan tersebut.
SEREMBAN – Perjalanan pulang dari kampung seorang wanita yang masih dalam pantang bersama suaminya bertukar tragedi apabila kereta Perodua Viva dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kilometer 249.7, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Julia Osman, 26,  maut di tempat kejadian manakala suaminya Abdul Rahman Abu Bakar, 27, cedera parah apabila kereta yang mereka naiki hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan berat sebelum terbabas dan berada pada kedudukan melintang di lorong kanan jalan.

Jurucakap polis berkata,  berdasarkan siasatan awal kereta yang dipandu oleh wanita terbabit dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Semenyih, Selangor selepas pulang bercuti di kampung suaminya di Muar.

“Namun ketika memandu di lorong kiri, kereta dipandu mangsa hilang kawalan sebelum dipercayai melanggar belakang sebuah kenderaan berat di lorong sama.

“Kejadian itu mengakibatkan kereta mangsa terbabas dan melintang di kanan jalan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang mengalami cedera parah pada bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan anggota bomba terpaksa mengambil masa beberapa minit mengeluarkannya.

Jurucakap berkata, suami mangsa pula mengalami cedera parah pada bahagian kepala serta tangan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu katanya, keadaan kereta Perodua Viva yang berada di lorong laju menyebabkan dua pemandu lain nyaris maut ketika cuba mengelak kereta terbabit.

“Pada awalnya sebuah kereta Toyota Altis berwarna hitam yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun berjaya mengelak kereta Perodua Viva terbabit namun terbabas dan langgar pembahagi jalan.

“Manakala wanita memandu Toyota Altis berwarna putih gagal mengelak lalu bergesel bahagian belakang Perodua Viva,” katanya.

Sehubungan itu polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis daerah Seremban atau Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Hafidzal Zainal Abidin di talian 06-6033222.
Resah warga asing berkampung
Resah warga asing berkampung
Warga asing sanggup berkampung untuk mendapatkan surat pengampunan pulang ke negara masing-masing.
Resah warga asing berkampung
Aida (berdiri) risau keselamatan anak kecil warga asing yang tidur di tepi jalan.
PELABUHAN KLANG - Penduduk  Taman Prima Indah, di sini, menggesa Jabatan Imigresen bertanggungjawab terhadap kehadiran begitu ramai warga asing yang berkampung di sekitar pejabat agensi terbabit hingga memasuki kawasan perumahan mereka.

Dianggarkan kira-kira 100 warga Indonesia, Bangladesh, Vietnam dan Myanmar beratur dari pintu pagar pejabat imigresen  hingga ke kawasan perumahan ketika tinjauan Sinar Harian sekitar jam 12 tengah malam, semalam.

Penduduk, Aida Farlina Redzuan, 28, berkata, semakin ramai warga asing berkampung di kawasan terbabit pada hari tertentu dan menyebabkan keadaan di situ semakin kritikal sejak akhir-akhir ini.

“Tidak kira siang mahupun malam, hujan mahupun panas, mereka tetap di sana. Kita difahamkan, mereka tidak berganjak sehingga dapat surat pengampunan daripada Imigresen untuk membenarkan mereka pulang ke negara masing-masing.

"Ada juga yang turut bawa anak kecil bersama dan sanggup tidur di tepi jalan beralaskan kotak dan berpayungkan plastik jika hujan," katanya.

Menurutnya, dia yakin tiada tindakan susulan diambil menyebabkan jumlah warga asing itu semakin ramai setiap kali surat pengampunan dikeluarkan, tambahan pula Ramadan dan Syawal semakin hampir.

“Kuantiti surat pengampunan pulang harian yang terhad menjadi faktor warga asing ini nekad untuk terus berkampung di sini beberapa hari lebih awal.

"Warga asing ini tiada pilihan lain selain berkampung di sini, jika tidak mereka terpaksa beratur semula dari awal pada keesokan harinya,” katanya.

Imigresen perlu bertindak

SEMENTARA itu, Hayati Alias, 25, berkata, kemungkinan faktor jarak tempat tinggal dan kos perjalanan tinggi turut menjadi punca situasi itu berlaku.

Menurutnya, mereka yang berkampung di sini bukanlah warga asing yang mencari rezeki di Selangor sahaja, malah jika ditanya, ada antara mereka yang datang dari Johor dan Kedah.

"Kita bimbang keselamatan mereka kerana tidur di kawasan terbuka dan terdedah kepada pelbagai bahaya. Pada masa sama, keselamatan penduduk juga dibimbangi terancam dan perkara itu perlu difikirkan Imigresen.

"Jika berlakunya kecurian di kawasan perumahan ini, siapa yang perlu dipersalahkan? pasti warga asing ini yang akan dipersalahkan walaupun mereka tidak melakukannya,” katanya.

Oleh itu, Jabatan Imigresen digesa mengambil tindakan segera menyediakan lokasi khas bagi menempatkan warga asing ini selain mewujudkan sistem baru yang lebih sistematik.

Sementara itu, Sinar Harian telah menghubungi Penolong Pengarah Imigresen Pelabuhan Klang, Tarmizi Talib Ali namun beliau enggan mengulas kerana di luar bidang kuasa untuk mengulas situasi itu.

Bagaimanapun, Sinar Harian cuba menghubungi Pengarah Imigresen Selangor, Amran Ahmad untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu ini, namun tidak berjaya.

Keadaan terkawal

DALAM pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md Yusof berkata, setakat ini tiada sebarang aduan diterima daripada penduduk berhampiran mengenainya dan keadaan juga masih terkawal.

"Kita juga tidak menerima permohonan daripada Imigresen untuk membantu mengawasi keadaan tersebut. Namun, kita akan sentiasa menjalankan rondaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terkawal," katanya.
Jakim: 81 rumah amal GISB sebar ajaran Al-Arqam
JAKIM
JAKIM
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenal pasti sekurang-kurangnya 81 rumah amal di seluruh negara yang diwujudkan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) untuk meneruskan penyebaran ajaran sesat kumpulan Al-Arqam yang diharamkan kerajaan sejak 1994.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata rumah amal berkenaan, yang setiap satunya mempunyai purata penghuni antara 20 dan 80  orang, dikendalikan GISB menggunakan sumbangan luar sama ada dalam bentuk sedekah atau zakat.

"Hakikatnya, penghuni rumah amal itu merupakan anak-anak pekerja GISB, dan mereka tidak mendapat pendidikan formal dan terpisah daripada arus  perdana.

"Rumah amal itu bernaung di bawah Yayasan Kebajikan Perubatan dan Perkhidmatan Malaysia (YKPPM) yang bertanggungjawab mengeluarkan surat  bagi tujuan memohon sumbangan.

"(Lazimnya) menjelang ketibaan Ramadan, GISB akan mengerakkan pengeluaran surat ini kepada individu, institusi atau syarikat," katanya kepada  Bernama di sini, hari ini.

Othman berkata GISB menubuhkan rumah-rumah amal itu sebenarnya untuk meneruskan perjuangan Al-Arqam, namun mengaburi masyarakat  dengan mendakwa ia pusat kebajikan yang menempatkan golongan asnaf.

"Pengurus-pengurus zon GISB akan meminta pengurus rumah amal supaya berusaha untuk mencari wang sebanyak mungkin terutama pada  Ramadan untuk membolehkan kegiatan mereka dijalankan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak supaya tidak melayan surat memohon sumbangan itu.

Beliau berkata sebanyak 26 rumah amal GISB itu terdapat di Selangor, enam di Lembah Klang, Kedah (enam), Pulau Pinang (tiga), Perak (lima),  Melaka (dua), Negeri Sembilan (lima), Johor (sembilan), Pahang (lima), Terengganu (dua), Kelantan (tiga), Perlis (satu), Sarawak (dua) dan Sabah (enam).

Antaranya ialah Rumah Anak Yatim Amal Belaian Kasih (Rabeka) di Ampang, Rumah Amal Kasih Harmoni di Rawang, Rumah Amal Limpahan Kasih  (Ralk) di Puchong, Rumah Anak Kesayangku di Bukit Beruntung dan Baitus Sakinah Wal Mahabah di Sepang.

Othman berkata pihak yang mahu mendapatkan kepastian berhubung status atau nama-nama rumah amal berkenaan boleh menghubungi Jakim atau  pihak Jabatan Agama Islam Negeri.

Beliau juga berkata Surat Pekeliling Am Bil 4 pada 1994 yang melarang penglibatan pegawai awam dan agensi kerajaan dalam aktiviti  berkaitan  Al-Arqam masih berkuat kuasa sehingga kini.

Usaha menggerakkan kegiatan Al-Arqam dikatakan didalangi Hatijah Aam, balu pemimpin kumpulan itu Allahyarham Ashaari Muhammad.

Pada 13 Mei lepas, Hatijah ditahan bersama-sama sembilan pengikutnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekembalinya dari Arab  Saudi dan akan didakwa oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) November ini kerana cuba menghidupkan semula ajaran Al-Arqam.

Hatijah yang juga dikenali sebagai Ummu Jah boleh didakwa mengikut Seksyen 12(C) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana menghina  pihak berkuasa agama. - Bernama
Penebar roti canai maut di bilik tidur
Penebar roti canai maut di bilik tidur
Mayat mangsa dibawa ke hospital berhampiran untuk bedah siasat.
SHAH ALAM - Seorang penebar roti canai ditemui mati di bilik tidurnya di rumah kedai setingkat di Jalan Faedah 25/86, Seksyen 25, Taman Sri Muda Shah Alam, petang semalam.
Mayat Alavudeen Jafarali, 24, ditemui tertiarap dengan hanya memakai kain pelikat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah berkata, mayat itu ditemui rakan sebiliknya jam 1.35 petang, sebelum menghubungi polis.
“Turut ditemui sebilah pisau digenggam mangsa. Ketika kejadian rakan mangsa memaklumkan terdengar bunyi pelik di dalam bilik tidur mangsa, sebelum menemuinya dengan keadaan berlumuran darah serta kesan kelar di leher,” katanya.

Mangsa bekerja di sebuah restoran berhampiran sejak tujuh tahun lalu. Punca kejadian berkemungkinan tekanan perasaan atau masalah peribadi.
“Mangsa tinggal bersama enam rakan sekerjanya di rumah tersebut, kami akan mengambil keterangan rakan mangsa bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ajmal Khan, 23, berkata, difahamkan Alavudeen mempunyai masalah di kampung halamannya.

“Mangsa masih bujang, dia baik serta pandai menebar roti canai, kematiannya amat dirasai rakan-rakan khususnya yang rapat dengannya,” katanya.
Singapura dilanda jerebu
Singapura Jerebu
SINGAPURA - Singapura dilanda cuaca berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada 6 petang ini berada pada paras 85, iaitu paras sederhana.
 
Menurut Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) keadaan berjerebu itu bermula sejak pukul 1 tengah hari dan orang ramai telah memberikan makluman mengenai bau kesan terbakar di banyak kawasan di republik ini.
 
Sejak beberapa hari lepas, menurutnya keadaan cuaca di rantau ini menjadi semakin kering dan terdapat peningkatan titik panas dikesan di tengah Sumatera.
 
Sebanyak 85 titik panas dikesan pada 6 Jun lepas di seluruh Sumatera, bagaimanapun semalam jumlah titik panas itu berkurangan kepada 22.
 
Keadaan berjerebu itu dijangka berlarutan beberapa hari lagi. - Bernama
Hasrat balik India bertukar tragedi
Jenazah Jahir Hussain Sulaiman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Perak semalam
Jenazah Jahir Hussain Sulaiman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Perak semalam
GEORGETOWN - Hasrat warga India, Jahir Sulaiman, 46, mengumpul wang dengan bekerja lebih masa, berkubur apabila maut petang semalam.

Mangsa maut dihempap rod penebat kilat yang terjatuh dari bahagian atas Menara Umno di Jalan Macalister petang kelmarin akibat angin kencang yang turut melanda 21 kawasan di negeri ini.

Mayat mangsa yang dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak selepas selesai urusan dengan Kedutaan India di Kuala Lumpur.

Abang ipar mangsa, Mohd Mohideen Mohd Syeriff, 54, terkilan kerana adik iparnya yang berasal dari Chennai, India itu tidak dapat pulang ke kampung halamannya bagi menyambut Ramadan bulan depan.

"Adik ipar ada beritahu saya, dia nak balik Julai ini dan sambut Ramadan bersama keluarga di sana. Ini kerana,selama dua tahun arwah di sini, dia belum berkesempatan untuk pulang ke kampung.

"Saya sangat sedih dengan kejadian ini kerana dia seorang adik ipar yang baik dan rajin bekerja.Tiada perubahan pada sikap arwah sebelum meninggalkan kami sekeluarga," katanya kepada media ketika ditemui di Jabatan Forensik HPP, hari ini.

Mohd Mohideen, warga Malaysia yang berniaga pelbagai sup di Padang Brown berkata, adik iparnya rajin bekerja dan sering membantu di gerainya untuk mencari wang lebih sebelum pulang ke India.

"Arwah seorang yang bersifat kental dan ringan tulang kerana selalu bantu saya selepas waktu bekerja," katanya.

"Semalam, saya difahamkan arwah bekerja lebih masa sebagai kelindan lori membawa gas. Biasanya dia bekerja se awal 7 pagi dan pulang pada jam 5 petang tetapi semalam bekerja lebih masa," katanya.

Sementara itu, adik mangsa, Peroez Khan Sulaiman, 36, berkata, kali terakhir berbual dengan abangnya pada 5 petang semalam.

Beliau berkata, pada mulanya arwah berjanji bertemunya di gerai Mohd Mohideen namun menghubunginya memberitahu mungkin lewat tiba kerana masih bekerja dan berada di Jalan Datuk Keramat.

"Semasa berbual, tiada perubahan yang ditunjukkan arwah. Dia cuma minta saya tunggu di kedai abang ipar untuk berjumpa. Saya tidak sangka, itulah perbualan terakhir sebelum meninggal," katanya.

Terdahulu, lori yang dibawa rakan sekerja Jahir dihempap penebat kilat pada kejadian jam 6.45 petang mengakibatkan kepalanya cedera parah manakala pemandu lori itu cedera ringan.

Jahir meninggal dunia sebaik tiba HPP dan meninggalkan balu, Siti Thaj Nisa, 42 serta dua anak perempuan iaitu Benazir, 19 dan Femina, 8.

Tiada ulasan: