Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menjelaskan bahawa bahan kimia yang digunakan dalam dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13 digantikan dengan bahan pewarna makanan.
"Tiada kandungan bahan-bahan kimia digunakan dalam dakwat tersebut sebaliknya ianya digantikan dengan penggunaan bahan-bahan pewarna makanan yang diluluskan.

NONE"Tarikh luput dakwat kekal adalah dalam tempoh empat bulan dari tarikh ianya dikilangkan. Ianya diimport daripada negara luar," katanya dalam satu jawapan bertulis kepada MP DAP Segambut, Lim Lip Eng.
Shahidan juga berkata tahap ketahanan dakwat berkenaan berbeza mengikut individu.
Ia bergantung kepada usaha yang dilakukan oleh setiap individu untuk menghilangkan dakwat kekal berkenaan, katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa Kementerian Kewangan meluluskan sebanyak RM400 juta bagi kos perbelanjaan pilihan raya yang lalu.

Lim kemudiannya menjadikan jawapan bertulis itu sebagai satu bahan jenaka apabila menulis di Twitter bahawa dakwat kekal kini "boleh dimakan".

NONETulisan berkenaan mendapat perhatian pengguna Twitter lain yang turut berjenaka dan bertanya kepadanya sama ada dakwat itu "sedap hingga menjilat jari."

Sementara itu, dalam satu jawapan berasingan, Shahidan berkata kos penggunaan dakwat kekal itu adalah sebanyak RM6.9 juta.
Kos itu meliputi kerja-kerja mereka bentuk botol dakwat khas, berus, kotak botol dan membuat bancuhan khas dakwat memandangkan ia tiada di pasaran, katanya dalam jawapan bertulis kepada MP DAP Seremban, Anthony Loke.
"Kos tambahan lain meliputi kos pengangkutan, pembungkusan serta penyimpanan dakwat kekal adalah sebanyak RM200,000 menjadikan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM7,100,000.
"Pada masa ini SPR tidak bercadang memaklumkan maklumat pembekal dakwat kekal kepada umum atas sebab keselamatan," katanya.
Pakatan mahu SPR namakan pembekal dakwat
 
Pakatan Rakyat mengancam untuk mendedahkan nama syarikat yang membekalkan dakwat kekal kepada Suruhanjaya Pilihan Raya sekiranya suruhanjaya itu masih enggan berbuat demikian.
“Kita sudah siasat, kita tahu. Jangan tunggu terlalu lama atau kami akan dedahkan,” kata Rafizi Ramli (PKR-Pandan) yang mencelah sewaktu ucapan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mendakwa siasatannya menunjukkan bahawa kontrak untuk membekalkan dakwat kekal tersebut dianugerahkan kepada satu syarikat Singapura.

Rafizi seterusnya mendakwa bahawa syarikat berkenaan tidak mempunyai pengalaman dan dana – malah terpaksa membuat pinjaman dengan seorang ahli perniagaan untuk mendapatkan modal RM7 juta bagi transaksi tersebut.

MP Pandan tersebut berkata demikian susulan celahan oleh Anthony Loke (DAP-Seremban) yang membangkitkan mengenai satu jawapan menteri bahawa suruhanjaya itu tidak boleh menamakan pembekal dakwat berkenaan atas sebab keselamatan.
DAP dakwa dua menteri miliki ijazah palsu
 
DAP hari ini mendakwa dua menteri kabinet memiliki sijil ijazah yang palsu.
MP Serdang Ong Kian Ming mendakwa, kedua-dua menteri tersebut memperolehi ijazah dari "kilang ijazah" di Preston dan Wyoming, Amerika Syarikat.

"Adakah ini transformasi apabila ada dua menteri yang mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap  pembangunan modal insan dalam negara kita?

"Ia sangat mengecewakan kerana pada hari pertama Parlimen bersidang, rakyat Malaysia perlu menerima hakikat yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah melantik dua menteri yang memiliki ijazah palsu daripada institusi yang menjadi pengilang ijazah," katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Ong mendakwa, seorang dari menteri tersebut memiliki ijazah bacelor dari Chartered Institute of Business Administration (Ireland), Teoranta dan ijazah sarjana dalam pentadbiran perniagaan dari Preston University.
Katanya, beliau tidak menemui apa-apa laman web yang dimiliki Chartered Institute of Business Administration Ireland.
Preston Universiti pula sememangnya dikenali sebagai universiti yang palsu, dakwanya.
Seorang lagi menteri berkenaan, dakwanya memiliki ijazah kedoktoran dalam pentadbiran perniagaan dari Golden State University di Wyoming.
Menteri tersebut juga memiliki ijazah sarjana dalam pentadbiran perniagaan dari Universiti Terbuka Komanwel yang berpusat di kepulauan Virgin, dalam jajahan Britain, dakwanya.
"Kedua-dua institusi ini disenaraikan sebagai universiti yang tidak tidak bertauliah dan ijazah yang tidah sah oleh kerajaan negeri Oregon dan Maine," katanya.
Sehubungan itu, Ong berkata, kedua-dua menteri tersebut perlu meletakkan jawatan bagi melindungi integriti dan kredibiliti kabinet yang diketuai oleh Najib.
Menteri: Hanya 2 kes kematian disyaki perbuatan polis
 
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata berdasarkan statistik dari tahun 2000 hingga Mei tahun ini, seramai 231 kes kematian dalam tahanan telah direkodkan.

Beliau yang juga naib presiden Umno berkata seramai 196 kematian dalam tahanan adalah disebabkan penyakit antaranya HIV, asma dan sakit jantung.

Manakala, seramai 29 kematian disebabkan gantung diri dan dua kematian akibat pergaduhan sesama sendiri dan tergelincir di dalam lokap serta dua lagi kematian akibat dicederakan oleh pihak polis, tambahnya.

"Kematian yang disyaki oleh perbuatan pegawai hanya dua, yang lain adalah disebabkan kematian akibat penyakit yang ada pada mereka... 196 orang yang mati adalah disebabkan penyakit. Adakah ini disebabkan oleh keganasan polis? Tidak begitu," katanya.

Menurutnya, berdasarkan statistik kematian itu juga, seramai 97 orang terdiri daripada bangsa Melayu, 49 (Cina), 51 (India), 25 warga asing dan sembilan lagi daripada lain-lain bangsa.

Beliau yang juga ahli parlimen Bagan Datoh berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini.
Keluarga Kugan menang saman terhadap k'jaan
 
Keluarga mendiang A Kugan – tahanan yang mati dalam lokap polis Subang Jaya pada 2009 – hari ini menang dalam saman sivil yang dikemukakan mereka ke atas polis dan kerajaan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini mengarahkan responden membayar ganti rugi RM801,700 kepada keluarga si mati dan RM50,000 lagi untuk kos lain.

Ibu Kugan, Indra Nallathamby, 43, pada Januari tahun lalu memfailkan saman sivil untuk menuntut kerugian RM100 juta dari kerajaan dan polis yang didakwanya melakukan "pembunuhan kejam" terhadap anak lelakinya.

Beliau menamakan Ketua Polis Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini ketua polis negara), pegawai polis Navindran Vivekanandan, Ketua polis Subang Jaya ketika itu, Zainal Rashid Abu Bakar (kini meninggal dunia) termasuk ketua polis negara ketika itu, dan kerajaan sebagai defenden.