Selasa, 25 Jun 2013

CERDIK NI PUN PERLU TAUFIK DAN HIDAYAH....ADA YANG CERDIK TAPI TIADA HIDAYAH DARI ALLAH SWT MAKA MALANG LAH

Lantik Speaker tidak ikut peraturan – Hanipa

Harakahdaily, 24 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Amat malang pelantikanYang Dipertua (Speaker) Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini dicemari apabila Setiausaha Dewan telah secara jelas melanggar Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat (standing orders).

“Saya dan beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah bangun membuat bantahan kepada Setiausaha Dewan Rakyat kerana proses pengundian pelantikan Speaker telah secara jelas tidak dijalankan melalui undi yang dijamin kerahsiaannya,” ujar Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin (gambar) kepada Harakahdaily.

Menurutnya, memandangkan terdapat dua calon yang dicalonkan bagi pelantikan speaker Dewan Rakyat maka proses pengundian perlu dilakukan melalui undi bersurat seperti mana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 4 (3) dan (4) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat.

Katanya, peraturan 4 (4) memperuntukkan kaedah pengundian yang perlu dilakukan oleh Setiausaha Dewan.

“Apa yang perlu dibuat adalah ahli-ahli parlimen hendaklah diberi sekeping kertas undi dan ahli Parlimen itu bolehlah menulis pada kertas undi itu nama calon yang beliau ingin pilih dan kemudiannya  kertas undi itu hendaklah dilipat supaya nama calon itu tidak dilihat oleh orang lain dan hendaklah ditandatangani oleh ahli-ahli Parlimen itu.

“Peraturan 4 (4 ) tersebut adalah jelas,” jelas beliau lagi.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, nama ahli parlimen yang mengundi tidak boleh ada di dalam kertas undi bagi memastikan kerahsiaan undi terjaga.

Malangnya, kata beliau dalam kertas yang undi diberikan kepada para ahli parlimen, nama ahli parlimen juga diminta diisi oleh Setaiausah Dewan dalam kertas undi.

Ini, ujarnya jelas ia bercanggah dengan Peraturan Mesyuarat dan jelas ia melanggar prinsip kerahsiaan undi.

“Saya dan beberapa ahli Parlimen PR telah bangun membantah tapi nampaknya pelanggaran undang-undang bagi pemilihan Spekaer juga dilanggar seperti SPR melanggar Undang-Undang  Pilihanraya dalam isu dakwat kekal,” ujarnya.

Apa maksud tajuk ini...Asap Kembali ke Tuannya

http://kachipemas.blogspot.com, 25 Jun 2013

Tak Tahan Tajuk Ni..Asap Kembali Kepada Tuanya..Apa maksud ye?

Tak Tahan Tajuk

Tajuk Paper Indonesia.. "Asap Kembali Ke Tuannya"..


Kalau mata anda tidak rabun baca perlahan lahan ye maksudnya/dalam akhbar  utama memang tidak akan disiarkan.. Akhbar Indonesia memaparkan bahawa..terdapat syarikat Malaysia yang membakar hutan disana..fikir fikirkanlah ye..


Khalid terima memo anak muda Black 505

Salmiyah Harun, 24 Jun 2013

Khalid bercakap kepada media selepas menerima memo daripada anak muda Black 505.

KUALA LUMPUR: Kehadiran Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad akhirnya meredakan suasana tegang antara pihak polis dengan anak muda Black 505 yang mengadakan protes di hadapan parlimen seawal jam 9 pagi tadi.

Khalid Samad yang mucul kira-kira jam 11.50 pagi selepas mengangkat sumpah ahli Dewan Rakyat untuk menenangkan peserta himpunan dengan menerima memorandum daripada kumpulan terbabit.

Sewaktu menerima memorandum itu, Khalid berjanji akan menyerahkan memorandum tersebut kepada pihak berkenaan dan akan membangkitkan perkara itu di dalam persidangan Dewan Rakyat yang bermula esok.

"Ini merupakan tuntutan bahawa rakyat yang sepatutnya memilih, dan saya berterima kasih kepada aktivis yang hadir menyatakan bantahan agar pimpinan SPR letak jawatan," katanya kepada lebih 150 anak muda yang berkumpul di hadapan bangunan Parlimen.

Beliau turut memaklumkan kepada barisan peguam Pakatan Rakyat berhubung penangkapan anak-anak muda yang masing-masing di bawa ke balai polis di Jinjang dan Dang Wangi.

Malah beliau yang juga AJK PAS Pusat turut meminta pihak polis jangan mengapa-apakan aktivis terbabit ketika dalam jagaan mereka itu nanti.

"Matlamat himpunan hari ini telah selesai dengan penerimaan memorandum daripada Gabungan NGO yang membantah SPR," katanya yang meminta para aktivis untuk bersurai.

Sebelum itu, kumpulan berkenaan mengadakan protes dengan berbaring di atas jalan utama masuk ke Parlimen sejak jam 10 pagi, keadaan bertukar menjadi tegang sejam kemudian apabila kumpulan tersebut cuba melepasi benteng polis seramai 300 orang di jalan utama masuk ke Parlimen.

Bagaimanapun kumpulan anak muda tidak berjaya melepasi sekatan polis, keadaan menjadi tidak terkawal apabila polis menahan tiga aktivis mereka iaitu Mohd Safwan Anang, Akram Ahmar dan Ehsan Bukhari kira-kira jam 11.10 pagi.

Keadaan bertambah kecoh lagi apabila pihak polis yang terus mengejar dan menangkap beberapa lagi aktivis anak muda menyebabkan ada yang lari bertempiaran.

Susulan itu, sebilangan lagi peserta perhimpunan bertindak menyerah diri kepada polis sebagai tanda solidariti, termasuk pengerusi SAMM Badrul Hisham Shaharin dan aktivis siswa Adam Adli.

Undi bersurat bukti Najib tidak percaya MP BN

Selangorku, 24 Jun 2013

KUALA LUMPUR: Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) hari ini mempertikaikan proses pengundian Yang Dipertua (Speaker) Dewan Rakyat yang menggunakan kaedah ‘undi bersurat’ yang didakwa tidak memberi kebebasan kepada anggota dewan untuk membuat pilihan.

Ia berikutan, setiap anggota Dewan Rakyat perlu menulis nama calon Speaker dan nama mereka sendiri serta menandatangani kertas undi sebelum diserahkan kepada Setiausaha Parlimen, Rosmee Hamzah.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar antara yang terawal mempertikaikan kaedah pengundian itu sebelum ia disokong oleh pimpinan PR lain antaranya, Tian Chuan (PKR-Batu) dan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).

“Kenapa perlu tandatangan? Perdana Menteri tidak percaya dengan ahli Parlimen BN sendiri ke?” sindir Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS itu.

Terdahulu, Setiausaha Parlimen mengumumkan dua calon yang masing-masing dikemukakan oleh PR dan Barisan Nasonal (BN).

PR melalui Ahli Parlimen Bandar Tun RAzak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman, sementara BN menerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai Speaker.

PAS gesa segera tangani isu penempatan guru

Harakahdaily, 24 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Ramai guru di Malaysia meluahkan rasa kebimbangan dan rungutan mereka apabila terdapat beberapa isu lama yang masih belum diselesaikan secara sistematik dan efektif oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Terkini, terdapat dua rungutan yang disuarakan oleh mereka iaitu mengenai pelantikan guru ke jawatan tetap dan penempatan guru.

“Kedua-dua isu ini memerlukan penjelasan telus dan tuntas daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia,” ujar Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali (gambar).

Katanya, guru-guru di sekolah mempersoalkan mengenai proses penyerapan atau pelantikan guru ke jawatan tetap yang masih dalam keadaan perlahan.

Malah, ujarnya terdapat juga maklumat yang mendakwa berlaku proses pelantikan secara selektif dan mengutamakan skim-skim perkhidmatan tertentu sehingga mengabaikan guru-guru kontrak yang telah lama menjalankan khidmat.

Selain isu tersebut, kata beliau guru-guru yang memohon pertukaran penempatan sekolah bagi sesi Jun 2013 masih lagi belum mendapat apa-apa keputusan daripada pihak kementerian sama ada pertukaran dibekukan atau dilewatkan.

Ini, menurut beliau akan menyukarkan urusan antara guru dan pihak sekolah.

“Jawapan dan penentuan pertukaran sekolah ini juga mencetuskan tanda tanya dikalangan para guru kerana pihak kementerian tidak memaklumkan secara telus dan terbuka justifikasi penempatan tersebut,” ujarnya yang juga Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.

Maka, katanya ramai di kalangan mereka yang telah lama memohon masih tidak mendapat kebenaran untuk bertukar walaupun terdapat keperluan mendesak di antara para guru dan pihak sekolah.

“Maka, saya memohon pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dapat menyelesaikan dan menjelaskan secara telus perkara-perkara yang berbangkit di kalangan para guru meskipun isu ini adalah isu yang lama dan masih belum dapat diselesaikan secara efektif,” ujarnya.

25 ditahan dalam protes di hadapan parlimen

Salmiyah Harun, 24 Jun 2013


KUALA LUMPUR: 25 aktivis ditahan sehingga jam 12.00 tengah hari ini sewaktu mengadakan protes di hadapan pintu masuk Parlimen termasuk Safwan Anang, Ekhksan Bukhari serta Akram Ahmar.

Mereka kini dibawa ke IPD Dang Wangi.

Mereka adalah antara lebih 50 anak muda yang mengadakan protes di hadapan parlimen hari ini bagi mendesak pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakan jawatan.

Ada di antara mereka berbaring di tepi jalan menuju ke pintu masuk bangunan parlimen sementara menunggu rakan-rakan mereka yang lain menyerahkan memrandum kepada ahli-ahli parlimen.

Mereka mula mengadakan protes ini kira kira jam 9 pagi.

Kumpulan ini terdiri dari gabungan NGO anak muda yang sejak kelmarin berkampung dalam khemah di Padang Merbok sejurus tamatnya Himpunan Aman Black 505.

Antara kumpulan itu termasuklah GM13, NGO Royalti, Asalkan Bukan Umno (ABU), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) antara yang terlibat dalam protes ini.

Antara tuntutan yang diminta oleh anak muda ini termasuk mendesak SPR diletakkan di bawah parlimen, menubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat peranan SPR dan jabatan pendaftaran negara atas isu yang berbangkit pada PRU lalu.

Selain itu mereka turut menunut parlimen membincangkan tentang penipuan dakwat kekal dan perletakan jawatan dan permohon maaf secara terbuka oleh pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Sementara itu, kumpulan mereka yang berkumpul dihadapan pintu masuk bangunan parlimen dihalang oleh pihak polis apabila cuba untuk memasuki kawasan parlimen.

Sebelum ini, berlaku sedikit pergelutan antara beberapa anggota kumpulan itu dengan pihak polis.

Polis turut menahan tiga daripada mereka termasuk aktivis pelajar Safwan Anang, Ekhksan Bukhari serta Akram Ahmar.

Ungkapan 'Ini Kali Lah' Pandikar cuit perhatian

Hazayani Zakaria, 24 Jun 2013
KUALA LUMPUR: 'Ini kalilah' yang diungkapkan Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam ucapan selepas pemasyhuran dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen Ketiga Belas menarik perhatian petugas media hari ini.

Para petugas media dengan spontan ketawa dan bercakap sesama sendiri apabila mendengar Pandikar mengungkapkan 'Ini kalilah'.

"Ini kalilah... Kita julang memartabatkan Parlimen Malaysia ke tahap yang tinggi, dengan menunjukkan sikap yang disebut oleh Erkine May dalam bukunya Parliamentary Practise Edisi ke 23 muka surat 440 "good temper and moderatin are the characteristics of parliamentary language, Parliamentary language is never more desirable than when a Member is canvassing the opinions and conduct of his opponents in debate".

"Kesabaran dan kesederhanaan adalah ciri-ciri berbahasa di Parlimen. Bahasa Parlimen adalah lebih menggamit apabila seseorang Ahli sewaktu berbahas dapat mempengaruhi pendapat dan pendirian pihak lawan"," katanya menterjemahkan maksud buku tersebut.

Pandikar sebelum itu menyeru Ahli-ahli Parlimen membudayakan seruan-seruan yang dilaungkan sewaktu bertugas di Dewan Rakyat.

Beliau berpandangan seruan-seruan yang 'dipopularkan' iaitu 'Ubah', 'Transformasi', 'Reformasi', Ini Kali Lah', 'Kalau Bukan Kita Siapa Lagi?', 'Kalau Bukan Sekarang Bila Lagi?' merupakan mesej menyeru iaitu "Mengubah sikap untuk membuat kebaikan".

"Bagi mereka yang mempopularkan seruan ini, mungkin mereka mempunyai pengertiannya yang tersendiri.

"Akan tetapi, bagi saya, seruan-seruan ini, bermesej iaitu menyeru - "Mengubah sikap untuk membuat kebaikan.

"Maka bertolak dari roh maksud tafsiran ini, saya menyeru Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk membudayakannya sewaktu bertugas di Dewan Rakyat.

"Ayuh! Kita ubah, kita bereformasi, kita bertransformasi, kalau bukan kita siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi? Ini Kali Lah!" katanya.

Tambah Pandikar, beliau bertekad untuk berubah.

"Seperti yang Ahli-ahli Yang Berhormat nampak dan lihat, pada hari pertama persidangan hari ini, jubah yang saya pakai telah ditransformasi, reka bentuk atau designnya canggih, menggamit dan selesa dari yang dulu.

"Sementara itu, dalam hal-hal lain berhubung dengan pengendalian majlis mesyuarat pasti stailnya juga akan berbeza dari Parlimen Ke-12," katanya.

Selangor arah edarkan topeng muka

Harakahdaily, 24 Jun 2013
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan negeri, Dr Daroyah Alwi supaya mengedarkan topeng muka kepada orang ramai sebagai kesedaran perlunya menjaga kesihatan dalam keadaan berjerebu ini.

Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu kenyataannya hari ini.

Khalid juga menasihatkan rakyat Selangor supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan tidak terjejas berikutan jerebu yang melanda Lembah Klang.

"Hadkan aktiviti luar rumah dan lebihkan minum air bagi mengelak  kesan akibat pendedahan secara berterusan kepada jerebu seperti sukar bernafas, mata pedih dan berair, kegatalan pada kulit dan tekak serta sesak nafas dan sentiasa memakai topeng muka  ketika berada di luar atau tempat terbuka," nasihat beliau.

Sehingga lewat petang ini, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada paras tidak sihat.

Kementerian Kesihatan hari ini telah mengumumkan semua sekolah di Selangor ditutup esok (Isnin) dan kerajaan negeri akan mencadangkan agar sekolah hanya dibuka sehingga IPU bertambah baik dan selamat kepada pelajar.

Tiada ulasan: