Rabu, 5 Jun 2013

KIRA DAH PENAT...PERJUANG YANG BETUL2 TULUS DAH BANYAK PERGI MENYAHUT SERUAN ILLAHI...YANG TINGGAL NI...FIKIRLAH SENDIRI

Calon BN rampas kertas undi kosong - Laporan polis

Harakahdaily, 04 Jun 2013

KUALA LUMPUR: PKR hari ini mendedahkan bagaimana seorang wakil Umno dalam PRU13 telah bertindak merampas, menawarkan rasuah dan memangkah kertas undi pos petugas-petugas SPR yang kesemuanya melanggar undang-undang pilihanraya.


(Salinan laporan polis yang dibuat di Besut)

Pendedahan ini dibuat oleh Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR, dengan cara mendedahkan satu salinan laporan polis yang dibuat mengenainya.

Laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jerteh ini merekodkan pengakuan seorang petugas SPR (namanya dirahsiakan) yang mengaku bahawa:

1.      Pada 29 April 2013, beliau bersama-sama 24 orang petugas SPR yang lain telah dipanggil masuk ke sebuah bilik mesyuarat oleh calon BN dan pintu bilik mesyuarat dikunci;

2.      Beliau dan petugas SPR yang lain diarahkan menyerahkan kertas undi pos yang kosong kepada calon BN dan dibayar wang RM100 setiap seorang;

3.      Keesokan harinya beliau berasa tidak senang dan telah pergi bertemu semula dengan wakil-wakil BN di bilik gerakan BN bersama-sama empat orang petugas SPR yang lain;

4.      Setelah mendapat kembali kertas undi pos, mereka mendapati bahawa kertas undi pos mereka telah dipangkah;

5.      Beliau juga menjadi saksi bahawa kertas undi pos sebanyak 20 lagi yang tidak dikembalikan telah dimasukkan ke dalam peti undi; dan

6.      Selepas membuang kertas undi pos, jari beliau tidak dicalitkan dengan dakwat kekal seperti yang sepatutnya mengikut peraturan pilihanraya


Bagi Rafizi (gambar), anggota Parlimen Pandan itu, dengan jumlah undi pos dan undi awal yang mencecah 500,000 di seluruh negara, ia cukup penting untuk mempengaruhi keputusan pilihanraya di seluruh negara.

"Saya telah bertegas bahawa keseluruhan proses yang melibatkan pengendalian undi pos – dari senarai pemilih pengundi pos, pengedaran undi-undi pos, membuang undi pos, seliaan semasa membuang undi pos dan peti undi pos – mempunyai pelbagai kelemahan yang mengundang penipuan dan penyelewengan,"katanya.

Selama ini pun, katanya, pelbagai pengakuan telah dilontarkan oleh bekas-bekas anggota tentera yang mengaku mereka memangkah kertas undi pos bagi pihak anggota tentera yang lain.

"Bukti-bukti ini sudah cukup menunjukkan bahawa berlaku terlalu banyak kepincangan melibatkan pengendalian undi pos dan undi awal sehingga membolehkan calon BN merampas dan membeli kertas undi, sementara dakwat kekal tidak pun digunakan seperti sepatutnya.

"Saya yakin kepincangan dan penyelewengan yang sama berlaku di tempat-tempat lain yang mempunyai pengaruh yang besar ke atas keputusan undi di kawasan parlimen tertentu," katanya.

Perjuangan Umno sudah tidak bertenaga

Harakahdaily, 04 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Selepas keputusan PRU13, parti komponen BN nampak gelabah sehingga ada cadangan untuk menjadikan BN parti tunggal.
Selain itu, ada cadangan membubarkan semua parti komponen menjadi satu sahaja seperti yang disuarakan pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn.


Mesyuarat MT UMNO, Jumaat lalu, bersetuju mewujudkan makmal khusus bagi memperincikan cadangan itu dengan mendapatkan maklum balas dan pandangan ahli di seluruh negara.

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ini ditambah pula kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang mengatakan Umno menang bukan kerana kuat,  tetapi kerana Melayu berjaya ditakutkan sehingga mereka mengundi Umno pada PRU13.


“Sampai bila Melayu hendak ditakutkan kerana Melayu yang berjaya ditakutkan sudah tidak ramai, sebagaimana orang Melayu sudah tidak ramai yang takut kepada  hantu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang kepada Harakahdaily.

Menurutnya, Umno berada pada situasi yang merbahaya jika hanya mengharapkan Melayu menyokong berdasarkan emosi kerana Melayu yang celik maklumat dan faham agama tidak diserang dengan budaya takut.

Katanya, mereka sedar, Melayu musnah semuanya angkara Umno.

Beliau berkata, golongan ini mula mempersoalkan kenapa setelah 57 tahun merdeka, Melayu semakin tertinggal ke belakang.

Ini, katanya kerana Umno telah khianat amanah untuk membantu orang Melayu.

“Berapa banyak projek yang dikhas untuk orang Melayu gagal diselenggarakan dengan baik.

“Kenapa Umno hendak mengkambing hitamkan kaum lain, supaya Umno terus selamat?” tanya beliau.

Beliau menambah, Melayu terpelajar sudah menganggap, Umno mesti bertanggungjawab terhadap musibah yang menimpa kepada orang Melayu.

“Mereka mahu Melayu yang bermoral dan telus untuk memimpin negara. Umno telah meninggal rekod yang terlalu buruk kepada sejarah perjuangan orang Melayu di negara ini,” ujarnya lagi.

Alkisah seorang tukang kebun…

Tuan Ibrahim Tuan Man, 04 Jun 2013
Di musim cuti ini, Zaman balik ke kampung. Ada timun yang dipetik dari dusun ayahnya untuk dijadikan ulam. Dusun ayahnya besar, ada kebun dan taman bunga. Perlukan beberapa pekerja untuk uruskan dusun seluas ini.

“Pahit timun ini. Pekebun ayah ini tahu tanam ke tak? Ini mesti tanam timun di tanah yang pernah ditanam peria. Ini dah patut kena pecat!” kata Zaman.

Ayah Zaman tidak berkata apa-apa dan teruskan makan.

Selepas makan, Zaman melawat keadaan dusun ayah bersama ayahnya. Selama ini Zaman tak pernah nak masuk kawasan dusun. Kerana timun pahit tadi, Zaman ada niat nak pergi menegur pekebun bodoh ayahnya.

“Hmm… ini pekerja bijak. Tak macam pekerja yang tanam timun pahit itu. Buah mangga ditanam diberi baja ini. Memang manis,” kata Zaman yang menjumpai pokok mangga yang lebat berbuah.

Ayahnya diam tidak berkata apa-apa.

Tiba pula di kawasan durian ditanam. Zaman mengutip sebiji durian untuk dimakan. Isinya nipis dan pahit.

“Ini siapa yang jaga pokok durian? Ayah kena tukar orang ini. Tak pandai langsung,” kata Zaman.

Ayahnya juga diam tidak berkata apa-apa.

Tibalah zaman di taman bunga dalam dusun ayahnya. Tempat itu cantik bagaikan kawasan tinggal bidadari. Bunganya mekar berkembang, landskapnya cukup menarik dan semuanya dijaga rapi.

“Ayah kena ambil lebih ramai pekerja yang jaga taman bunga ini. Pasti satu dusun ayah akan berkembang dengan baik,” kata Zaman.

Ayahnya diam dan senyum saja.

“Tapi ayah, hari ini cuti ke? Tak jumpa pun pekebun-pekebun ayah sepanjang perjalanan tadi. Ini mesti curi tulang. Orang macam ini kena buang ayah, tak boleh biar,” kata Zaman lagi.

Ayahnya masih diam.

Selepas itu, Zaman bersama ayahnya tiba di tasik di tengah dusun. Ada seorang pekerja sedang memancing ikan di tasik – seolah-olah mendapat ikan yang besar dengan cara menarik jorannya.

“Ayah, kalau itu pekerja ayah kena pecat. Waktu kerja memancing. Ini memang pemalas. Kalau pekerja lain ikut cara dia, hangus ayah. Ini dusun kita, kita ada etika, kena ada disiplin, kena ada adab kerja, kena patut pada tuan,” kata Zaman.

Akhirnya ayahnya bersara.

“Roy, datang sini sekejap,” ayah memanggil tukang kebunnya Roy datang menghampirinya.

“Tuan dah datang. Tuan, joran tuan masih tersekat sejak semalam, tak dapat tarik lagi. Rasanya tersangkut akar kayu di bawah. Kena ikhtiar cara sebab mata kail itu berharga. Sayang kalau potong terus,” kata Roy.

“Tak apa biar dulu. Ini Zaman. Anak saya. Zaman ini Roy,” kata ayahnya.

“Roy, pokok-pokok timun di atas tanah peria itu memang pahit. Enta betul, tak boleh tanam terus sejurus selepas tanam peria. Betul juga kata Roy, pokok durian yang ditanam di tanah rata isi kulitnya nipis, nasib baik Roy susun balik pokok-pokok lain di kawasan lereng. Taman bunga itu kalau Roy ada masa, cuba buat air terjun buatan di tengah, rasanya lebih menarik,” pesan ayahnya sebelum beredar.

Mendengar penjelasan ayahnya, Zaman terkedu. Tapi beliau diam.

Rupa-rupanya, Roy seorang tukang dusun yang digaji ayah Zaman sejak 4 tahun yang lalu. Kebun ayahnya kini mendapat hasil yang banyak dan disanjung tinggi.

Walaupun hanya dikerjakan seorang, tapi keadaan dusun itu dilihat seperti ramai pekerja yang mengendalikannya.

Tapi Zaman tidak tahu menahu dengan perkara tersebut.

“Orang yang Man puji, kutuk, kritik, dan nak pecat tadi hanyalah Roy seorang. Ayah tak gaji ramai, hanya Roy seorang, sebab dia buat kerja dengan niat bahawa dusun ini milik dia. Jadi dia jaga dengan baik.

Man, menegur ini mudah. Menghina ini tak susah. Tapi sebelum menegur dan menghina, tanyalah diri, sebagai anak ayah, apakah Man pernah bantu usahakan dusun ayah. Masa menegur, Man jangan anggap diri betul dan lebih tinggi darjat Man daripada orang lain.

Sebab mata Man hanya ada dua, yang nampak di depan. Tapi Man terlupa ramai lagi mata memandang kat Man dari keliling yang Man tak nampak. Bahkan tadi, Man terlupa mata ayah dan Allah sedang memandang karenah Man.

Man komen seolah-olah Man sahaja yang tahu jaga dusun ini. Sebenarnya ayah dan Roy juga sama-sama menjaga dusun ini dan sudah berusaha lama sehingga dusun mendapat hasil. Man masuk dusun kali pertama dah pertikai kerja-kerja yang dilakukan Roy dan ayah. Man komen atas perasaan prasangka – dengan mata niat mencari kesalahan selepas termakan timun pahit. Tak baik itu,” tegur ayahnya.

“Ya ayah. Man sedar sekarang. Tak akan buat lagi,” jawab Zaman.

Ayahnya tersenyum dan bertanya, “Sekarang dah tahu keadaan sebenar, nampak tak nilai Roy dari segi usaha dan kerajinannya menjaga dusun ayah seorang diri?”

“Ya. Kerajinan dan kesungguhannya memang luar biasa. Man pun tak dapat tanding kerajinannya,” jawab Zaman.

“Kan bagus pakai cermin mata yang sangka baik, daripada yang sangka buruk?” jawab ayahnya sambil dua-dua tersenyum.

Bila menegur, jangan anggap diri sendiri betul dan seolah-olah pandangan diri sahaja betul dan lebih tinggi daripada orang lain walhal kamu menegur dengan 2 mata di depan, tapi beribu mata di keliling kamu dan Allah sedang memerhatikan kamu.

Tanyalah diri – kamu menegur untuk menghukum macam Zaman ke, menegur untuk membimbing? Buatlah teguran mendidik selalu, teguran menghukum meminta seseorang dipecat macam Zaman cuba elakkan.

Senyum.

Serah siasatan kematian tahanan kepada Siap

., 04 Jun 2013
Serahkan Penyiasatan Kematian Dalam Tahanan Kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP)

1. Kematian P Karuna di dalam tahanan polis adalah kes serupa yang ketiga berlaku dalam tempoh 2 minggu dan merupakan kes kelapan yang direkodkan sehingga Mei/Jun 2013. Ianya telah menimbulkan wasangka awam yang melihat pihak polis mengamalkan street justice dan menekankan aspek profil perkauman di dalam mengurus suspek yang ditahan.

2. Dewan Pemuda PAS Malaysia berpandangan kes-kes seperti ini mesti disiasat sepenuhnya oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP). PDRM perlulah menghentikan penyiasatan mereka sebagaimana yang ditegaskan melalui Akta 700 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 3 September 2009 bagi membolehkan SIAP menyempurnakan siasatan. Ketua Polis Negara pula disaran menunjukkan kepimpinan dengan memberikan komitmen agar keputusan penyiasatan SIAP kelak diterima oleh PDRM tanpa beralasan panjang.

3 SIAP juga seharusnya mengambil inisiatif memulakan penyiasatan tanpa menunggu aduan dan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Aduan/Penyiasatan serta merta apatah lagi ketika mana masyarakat awam rata-ratanya menuntut satu penyiasatan bebas dan berkecuali ke atas PDRM. Namun demikian, sikap diam, tunggu dan lihat SIAP di dalam insiden-insiden ini sesungguhnya menimbulkan banyak persoalan.

4 Persoalan pertama; sejauh mana persediaan SIAP dari segi struktur dan kompetensi penyiasatan setelah lebih 2 tahun ditubuhkan? Apakah SIAP mempunyai kesiapsiagaan yang diperlukan bagi memulakan penyiasatan serta-merta ketika suasana mendesak keadilan diperolehi seberapa segera yang mungkin?

5. Persoalan kedua; adakah pengumuman PDRM bahawa penyiasatan oleh pasukan petugas khas Bukit Aman serta pengumuman Jawatankuasa Khas Mencegah Kematian dalam Tahanan yang diketuai oleh Ketua Polis Negara telah menghalang hasrat SIAP untuk campurtangan? Sekiranya ini senarionya, maka risiko "turf war" antara birokrasi telah menjadi jelas dan keadaan ini boleh membantutkan proses keadilan.

6. Persoalan ketiga; dengan jumlah aduan paling besar (120 aduan sehingga Jun 2012) adalah terhadap PDRM, apakah isu penubuhan IPCMC yang dianggap tiada keperluan oleh pemerintah, kekal relevan khusus untuk menangani insiden-insiden membabitkan pasukan polis, yang merupakan antara agensi awam terpenting negara?

7. Pengakuan Ketua Polis Kuala Lumpur di dalam siaran media 22 Mei 2013 mengenai kehadiran unsur jenayah di dalam kes kematian N. Dharmendran ketika di dalam tahanan sebagaimana dapatan post-mortem HKL seharusnya memberikan SIAP justifikasi untuk memulakan siasatan di bawah Kanun Jenayah. Ini akan membolehkan SIAP memuktamadkan proses penyiasatan terus ke Jabatan Peguam Negara.

8. Pada masa yang sama, selaku suruhanjaya bebas, SIAP digesa mengkaji semula perjawatan dan peranan Datuk Paul Low Seng Kuan yang merupakan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya. Tindakan beliau menghubungi keluarga mangsa tahanan di atas kapasiti Menteri JPM telah menimbulkan persepsi negatif dan memerlukan respon segera kerana ianya boleh menjejaskan wibawa SIAP.

9. Saya akan segera mengusahakan satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri bagi membawa persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan sekembalinya dari mengerjakan ibadah umrah kelak.

10. Di hadapan Baitullah ini saya memanjatkan munajat kepada Allah agar kita semua diberikan kekuatan untuk menemukan keadilan bagi rakyat yang mendambakan kebenaran.

Mencorak Masa Depan

Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: