Khamis, 20 Jun 2013

KERISAUAN DAN JIWA KACAU DISEBABKAN JAUH DENGAN ALLAH...IAITU TIDAK IKRAB DENGAN ALLAH SWT

Turki di bawah Erdogen tak sama dengan negara Arab

Subky Latif, 20 Jun 2013
SEMUA negara Arab baik yang terlibat dengan Arab Spring dan tidak, tidak sama dengan Turki yang ditadbir oleh Perdana Menteri Recep (Rejab) Tayyip (Taib) Erdogen dan partinya AK.
Rata-rata negara Arab  dan pemerintahannya diktator baik ia monarki atau republik. Rakyat tidak dapat bersuara, tidak dapat menikmati keadilan sosial, bagi yang tidak berminyak hidup dalam kemiskinan sedang pemerintahannya  kaya raya. Rata-rata rasuah dan tiada negara yang dapat dijadikan contoh negara Islam.

Dengan segala  yang ada di negara-negara Arab itu tiada yang terkejut jika Arab Spring berlaku.

Semua tahu Turki sejak kalahnya khilafah Osmaniyah. Ia negara  sekular anti-Islam dan anti-Arab. Sekularisma adalah fahaman yang tidak hidup dan ditadbir secara agama tetapi ia tidak anti mana-mana agama. England adalah sekular tetapi Queennya boleh menjadi ketua agama Kristian dan gereja. Ia boleh membantu keperluan rakyat secara agama tetapi kerajaan dan politiknya tidak dijalankan mengikut kehendak agama.

Kerajaan Turki tidak ada bajet tentang Islam. Tiada surau di mana-mana bangunan kerajaan. Siapa yang hendak solat di waktu pejabat, solatlah secara curi. Kerajaan dan kaki tangannya dikira jenayah jika melibatkan diri dengan Islam. Islam adalah dalam rumah dan masjid. Sekularismanya adalah anti Islam.

Ia tidak pernah ada kerajaan yang stabil setelah ketiadaan Kamal Ataturk. Ia demokrasi tetapi tiada parti politik yang dapat majoriti sebelum  parti dan kerajaan Erdogen. Kebanyakan kerajaan yang dibentuk adalah kerajaan campuran. Ekonominya buruk, inflasi tinggi. Nilai mata wang Liranya berubah mengikut minit. Nilai petang sudah tidak sama dengan nilai tengah hari. Harga barang berubah setiap minggu.

Wajib bagi Istanbul putus bekalan air paling kurang dua hari  seminggu.

Parti Ergoden adalah yang pertama dapat membentuk kerajaan majoriti Turki. Pertama kali partinya menyertai pilihanraya, ia menang.

Semua mengaku kerajaan Erdogen berjaya memulihkan politik, ekonomi, memendung inflasi, mengukuhkan Lira dan  dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Bekalan air  di Istanbul tidak putus lagi. Kerajaannya adalah antara yang terbaik di dunia dan berada di depan dibandingkan kebanyakan negara Arab dan Islam.

Stesyen TV CNN pun bertanya apa yang rakyat Turki mahu dengan tunjuk perasaan anti kerajaan yang merebak ke seluruh negara sejak lebih dua minggu lalu? CNN mengakui kerajaan Erdogen telah melakukan yang terbaik yang belum dapat dicapai oleh kerajaan yang terdahulu. Erdogen telah menyelamatkan negara dan rakyatnya dari kehancuran.

Turki cuba menyertai pakatan komuniti Eropah untuk membolehkannya menikmati kejayaan ekonomi dan sosial yang Eropah capai. Tetapi ia tidak tolek sebabnya komuniti itu adalah untuk Kristian dan Turki adalah Islam sekalipun pegangan agamanya senipis kulit bawang sebelum Erdogen berkuasa. Dan apa lagi Erdogen itu dikenali orang beragama dan pro agama,  tidak ruang diterima oleh EU.

Ketika Grecce, Itali, Sepanyol dan beberapa negara Eropah berdepan dengan ancaman muflis, Turki adalah terselamat.

Turki sekarang bersaing dengan  Jepun dan beberapa negara untuk menganjurkan Sukan Olimpik. Ia menyediakan bajet yang jauh lebih besar dari persediaan Jepun.

Tidak ada yang mewajarkan rakyat Turki untuk melakukan Arab Spring. Keadaan  di Turki adalah lebih baik dan dijangka menuju masa depan yang lebih cemerlang jika parti Erdogen  terus berkuasa. Tetapi mengapa ada tunjuk perasaan  berlanjutan?

Jawabnya sekalipun Erdogen mengaku mempertahankan dasar sekular tetapi dunia barat tidak percaya kepada pegangan Islam dan mereka cemburu dengan Islam. Turki sudah ke depan dalam menghadapi isu Palestin dan amat tidak disenangi Israel. Negara-negara Arab  yang dilanda Arab Spring melihat Turki di  bawah Erdogen sebagai contoh yang baik.

Sukar bagi lain parti di Turki untuk menang selagi Erdogen menjadi pemimpin rakyat. Mereka yang menyokong Erdogen di barat tidak menyatakan tentngan kepadanya kerana dia demokrati dan pimpinannya baik. Tetapi mereka lebih suka sekular anti Islam berkuasa di Turki sekali mereka tidak mampu memajukan Turki.

Kebanyakan manusia dilanda kerisauan

Tuan Ibrahim Tuan Man, 20 Jun 2013

Kebanyakan manusia dilanda kerisauan dan kebimbangan...

1. Risau pasal kerja
2. Risau pasal anak
3. ...Ada yang risau pasal apa yang jiran mereka fikirkan....

Malah ada kawan-kawan kita yang suruh - "Kita harus risau" pasal sesuatu...

Tapi merasa risau/bimbang terhadap sesuatu adalah tiada berfaedah - ia melahirkan air liur beracun, membuka pintu untuk melayan bisikan syaitan untuk menakut-nak utkan kita dengan segala bayangan... "Jika itu... Jika ini... apa yang bakal berlaku..."

Ingatlah hidup ini tidak mungkin seperti garisan ufuk - kita akan jatuh sakit, kemalangan berlaku, ditimpa masalah kesempitan duit - namun semua ini tidak patut dijadikan alasan untuk hidup dalam kebimbangan.
Apabila krisis datang, hadapinya sejenak sahaja, ambil satu langkah kecil demi langkah kecil, jika 24 jam terlalu panjang, tempuhi 5 minit....

Kebimbangan ini sama seperti keadaan kita perlu melintas sungai besar melalui satu titi kecil... sekiranya mata kita memandang jauh ke seberang sungai, kita terasa bimbang kita akan jatuh ke sungai semasa menyeberangi titi tersebut...

Orang yang merasa bimbang akan dirinya akan membayangkan apa yang berlaku sekiranya beliau jatuh ke sungai... ada yang terfikir sungai ini ada buaya... bimbang kepada kedalaman air... bimbang kalau jatuh terkena besi, akan luka dan mati... jika mati, siapa yang nak jaga anak, ibubapanya... dan segala jenis bayangan yang menakutkan.

Orang yang menangguhkan bimbangnya, mereka akan fokus mata dia pada langkah seterusnya satu persatu melintas titi tanpa melihat ke seberang... akhirnya dia akan berjaya melintasi titi tersebut tanpa ada masa untuk merasa bimbang, kerana segala tenaga dan fokus dia diberikan kepada pada langkah kecil seterusnya semasa menyeberangi titi.

Sama juga menghadapi kemelut kehidupan, kita akan hancur sekiranya kita memberikan lesen kepada bisikan syaitan untuk membawa minda kita ke masa depan dengan pelbagai bayangan yang menakutkan seperti orang yang berdiri di tepi sungai membayangkan segala kemungkinan semasa naik ke titi.

Apa yang perlu dibuat untuk mengatasi masalah risau/bimbang pintu ke gangguan bisikan syaitan?
Tangguhkan dahulu. Tangguh kebimbangan kita.

Buat sesuatu dulu (lintas titi dengan langkah pertama), tangguh bimbang kita. Jangan dok bimbang, bingkas bangun dan pergi buat sesuatu untuk selesaikan masalah yang ada.

Untuk hindar daripada menghabiskan masa dalam bimbang dan risau, hiduplah dalam keadaan semasa. Buat segalanya yang kita mampu hari ini, dan biar esok untuk hari esok.

Lihatlah kembali kehidupan kita, tanyalah diri, apakah ada situasi yang anda pernah tidak berjaya lalui sehingga hari ini? Tidak kan? Kerana kalau ya, anda tidak mungkin dapat mem-baca mesej ini.

Sesungguhnya kita mampu menghadapi keadaan semasa, hanya masa depan bayangan minda saja yang mengacau kita.

Sekadar berkongsi motivasi. SENYUM dan ingat Allah selalu.

Pemuda PAS Kelantan sokong Black 505

Salmah Mat Husain, 20 Jun 2013
KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyokong Himpunan Black 505 yang akan diadakan pada 22 Jun  ini di Kuala Lumpur.
Ketuanya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, ini selaras dengan pendirian PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang telah menyatakan sokongan kepada himpunan itu.

“Pemuda berpandangan  isu besar yang diangkat oleh himpunan ini ialah penipuan yang berlaku di dalam pilihanraya umum ketiga belas yang lepas.

“Ianya telah  menyaksikan BN  menang tipis ke atas Pakatan Rakyat. Antara isu yang besar ialah kegagalan pelaksanaan dakwat kekal yang diakui sendiri oleh Pengerusi SPR beberapa hari yang lepas,” ujarnya.

Katanya, Pemuda berpandangan kegagalan ini tidak boleh didiamkan sahaja.

Jelasnya, ianya perlu kepada tindakan susulan seperti siasatan bebas dan hasilnya diumumkan kepada rakyat seberapa segera.

“Begitu juga dengan pembelian undi besar-besaran di Pulau Pinang yang dipercayai melibatkan peruntukan berjuta ringgit yang didedahkan oleh  Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin beberapa hari yang lepas.

“Persoalan demi persoalan terhadap ketelusan SPR mengendalikan pilihanraya ini ditambah lagi dengan penemuan kertas-kertas undi yang telah siap ditanda di Marang,” ujarnya.

Justeru, DPPNK tegas berpandangan bahawa Himpunan Black 505 perlu disokong di atas asas membantah penipuan di dalam pilihanraya umum.

Sehubungan itu  masa yang sama, DPPNK turut mengarahkan seluruh pemuda di segenap lapisan di negeri ini untuk turun menyertai himpunan aman berkenaan.

Lenggong: PAS komited jadikan hab pengajian Islam

Muhammad Faeez Azahar, 20 Jun 2013
LENGGONG: PAS Kawasan Lenggong komited menjadikan Lenggong sebagai hab pengajian Islam.

Sepanjang mengharungi kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini, PAS Lenggong benar-benar berhasrat untuk merealisasikan harapan untuk membangunkan kembali pusat-pusat pengajian agama yang dijangka akan lebih mudah dilaksanakan sekiranya PAS berjaya menerajui kerusi Parlimen.

Namun, keputusan yang telah dibuat oleh masyarakat pengundi masih tidak menyebelahi PAS bagi memudahkan PAS melaksanakan hala tuju murni itu untuk tujuan pembangunan yang meliputi rohani dan jasmani, merangkumi pelan ekonomi jangka masa panjang yang lebih baik untuk masa depan golongan anak muda.

Tidak terkesan dengan keputusan PRU13, Yang Dipertua PAS kawasan, Razman Zakaria selaku mantan calon parlimen Lenggong dan tetap akan meneruskan agenda yang telah direncanakan menurut apa sahaja kemampuan yang ada didalam menyampaikan usaha dakwah untuk membentuk generasi masa depan membangun seiring dengan tuntutan cara hidup di dunia dan akhirat bersama-sama jemaah.

Sebagai penaung kepada sebuah Maahad Tahfiz  Al Quran Lid Da’wah Wal Imaamah yang dibangunkan di tempat kelahiran beliau di Kampung Luat, Lenggong, Razman ingin mengembangkan lagi usaha dakwah melalui pengajian ilmu Islam kepada pimpinan PAS dan sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi pendakwah dan mengikuti pengajian peringkat diploma pengajian Tasawwur Islam  (ILHAM) yang telah diiktiraf, di Maahad Tahfiz Kampung Luat.

Bercakap kepada Harakahdaily, Razman menjelaskan, usaha dakwah yang sedang giat diusahakan ini akan diteruskan dan bukan bersifat sementara atau bermusim untuk menghadapi pilihanraya sahaja.

Beliau yakin apabila masyarakat mempunyai ilmu serta memahami tuntutan agama maka, manfaatnya adalah untuk kebaikan mereka sendiri.

“Di samping dengan ilmu yang diperolehi para pelajar itu nanti dapat dikembangkan seterusnya kepada masyarakat melalui dakwah di semua surau dan masjid di tempat masing-masing.

“Tugas kita sebagai khalifah ialah untuk menyampaikan apa yang di suruh dan menegah apa yang dilarang oleh Allah SWT sementara hidayah pula milik Allah dan Dia-lah yang Maha memberikan rahmat kepada sesiapa yang di kehendakiNya,” jelas Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu.

Oleh yang demikian, PAS tidak akan berhenti walaupun terdapat kesukaran dan halangan daripada pihak-pihak tertentu dalam usaha untuk melaksanakan sunnah Nabi untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat agar kembali kepada Islam sebagai cara hidup secara syumul.

Jelas Razman, dakwah berterusan kepada masyarakat yang tinggal di luar bandar sangat diperlukan kerana sejak kebelakangan ini, program-program  agama semakin dipinggirkan penganjurannya di kebanyakan surau dan masjid di kampung-kampung di kawasan Lenggong, berbanding dengan penganjuran program agama di surau dan masjid di kawasan perumahan bandar.

“Semoga usaha PAS Lenggong untuk membangunkan masyarakat berilmu dan memahami tuntutan agama mendapat sokongan daripada semua pihak di samping bersama-sama memudahkan urusan yang akan mempercepat tujuan murni ini mencapai matlamatnya,” jelas Razman.

S’gor tubuh suruhanjaya siasat penipuan PRU13

Salmiyah Harun, 20 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor akan menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan penipuan dan pelanggaran peraturan pilihan raya di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bulan lalu.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim penubuhan suruhanjaya itu selaras dengan kuasa yang diberikan kepada kerajaan di bawah Seksyen 2(3)(d) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Katanya, kerajan negeri berpendapat bahawa penyelewengan pilihan raya adalah melibatkan kepentingan awam dan perkara itu termaktub di bawah akta berkenaan.

Satu sektretariat diketuai oleh Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang akan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor esok akan bertindak sebagai penyelaras bagi memastikan suruhanjaya ini bergerak lancar.

"Kerajaan negeri akan mengumumkan ahli panel yang dilantik serta syarat dan peraturan suruhanjaya ini tidak lama lagi," katanya sebagaimana dipetik di laman Facebook rasminya hari ini.

Kerajaan Selangor berpendirian bahawa penyelewengan pilihan raya adalah kesalahan serius yang boleh merosakkan sistem demokrasi negara ini dan amat penting untuk kerajaan negeri menyiasat dakwaan itu bermula dari akar umbi.

Bagi negeri Selangor, tiga kawasan parlimen terlibat dalam petisyen PRU13 iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar dan Kuala Selangor namun tiada petisyen bagi kawasan Dun.

Tiada ulasan: