Selasa, 25 Jun 2013

PENDAPAT KENALAH BERSANDARKAN QURAN DAN HADIS JIKA KITA ISLAM....JANGAN PAKAI AKAL SEMATA2 DAN FAKTA JARANG2 BERLAKU...KERANA AKAL DAN ILMU KITA TERBATAS...ALLAH TAK AJAR DAN BERITAHU SEMUA HAL

Panduan menghadapi jerebu

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, 24 Jun 2013
Saya selaku Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia menyarankan orang ramai supaya menjaga kesihatan masing-masing semasa kita menghadapi situasi jerebu ini dan ikut nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Saya juga mohon jasa baik semua untuk sama-sama berkongsi ("share") maklumat yang dimuatkan di dalam Facebook ini dari semasa ke semasa sebagai tanda kita sebagai satu masyarakat mengambil berat terhadap satu sama lain.

GOLONGAN ORANG YANG BERISIKO TINGGI SEMASA JEREBU

Keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan buruk kepada semua orang terutama yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, wanita mengandung , pesakit jantung dan respiratori juga mereka yang sensitive kepada habuk, orang yg merokok termasuk mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat atau rumah

NASIHAT KESIHATAN SECARA UMUM UNTUK MENCEGAH PENYAKIT AKIBAT JEREBU

i. Orang ramai dinasihatkan supaya, sejauh mana yang boleh, berada di dalam bangunan.

ii. Kurangkan aktiviti lasak di luar rumah.

iii. Orang ramai dinasihatkan supaya kerap membasuh muka dan bahagian-bahagian yang terdedah kepada jerebu.

iv. Orang ramai dinasihatkan supaya minum banyak air.

v. Mereka yang menggunakan kenderaan yang berhawa
dingin hendaklah menghidupkan alat penghawa dingin (mod: kitaran dalam) dan menutup semua tingkap

vi. Penutup hidung dan mulut hendaklah digunakan oleh mereka yang melakukan aktiviti di luar terutamanya mereka yang berisiko tinggi.

vii. Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan seberapa segera jikalau keadaan penyakit bertambah teruk.

viii. Perokok dinasihatkan supaya berhenti merokok.

ix. Sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada media massa dan mengikut nasihat daripada pihak berkuasa.


* Penulis adalah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Speaker Dewan Rakyat: Pandikar 133 undi, Abdul Kadir 89

Hazayani Zakaria, 24 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Sebagaimana keputusan Pilihan raya Umum ke-13 lalu, BN memenangi 133 kerusi parlimen, begitulah juga keputusan pengundian untuk memilih Yang Dipertua Dewan Rakyat, pagi ini.
Speaker sesi lalu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memperolehi 133 undi anggota dewan sementara bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman mendapat 89 undi.

Bagi Timbalan Yang Dipertua, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee dipilih sekali lagi di samping Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said.

Aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat bermula dengan proklamasi memanggil parlimen bermesyuarat, diikuti memilih Yang Dipertua dan seterusnya beliau mengangkat sumpah.

Selepas itu, ahli-ahli dewan mengangkat sumpah, diikuti memilih dua timbalan yang dipertua.

Satu usul dikemukakan oleh Menteri Dalam Negeri memerintah Ketua Polis Negara memberi kemudahan lalu lalang kepada ahli-ahli dewan seperti berikut: “Bahawa Majlis ini memerintahkan Ketua Polis Negara menjaga supaya selama Penggal Dewan Rakyat yang ada sekarang, jalan-jalan melalui lorong-lorong menuju ke Dewan ini hendaklah sentiasa terbuka dan boleh dilalui dan jangan ada apa-apa halangan menghalang ahli-ahli hendak pergi dan balik dari Dewan ini, jangan berlaku apa-apa kacau-bilau di jalan-jalan menuju ke Dewan ini, dan supaya jangan ada huru-hara di Bangunan Dewan ini dan berhampiran dengan bangunan ini, dan Setiausaha Dewan Rakyat hendaklah menyampaikan perintah ini kepada Ketua Polis Negara yang tersebut itu”.

Hormati pandangan berbeza - pensyarah

Muhammad Yusri Amin, 24 Jun 2013
KOTA BHARU: Semua pihak perlu menghormati pandangan berbeza dan memberikan ruang lebih luas untuk berbicara.

Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Dr Abu Hassan Hasbullah (gambar) berkata, setiap ahli masyarakat mempunyai hak-hak untuk memberi pandangan dan mengemukakan sikap mereka.

Justeru di dalam membentuk peradaban baru bagi negara ini, beliau  tidak mahu negara suatu masa nanti menerima nasib seperti  berlaku di kebanyakan negara Islam seperti Syria.

Tanpa menyebut tokoh dan insiden berlaku, Abu Hassan mendakwa bagi mengelak kejadian seperti itu, maka ‘ruang demokrasi’ itu perlu dihargai.

“Kita harus mengambil satu prinsip bahawa dalam apa pun,  masyarakat sudah ‘terbuka’, masyarakat sudah berfikiran sangat dinamik, mereka tidak mudah terpengaruh dengan apa yang berlaku dalam bentuk mereka tidak boleh terima secara dinamik," kata Abu Hassan.

Beliau dipercayai mengulas tangkap demi tangkapan yang dibuat oleh kerajaan terhadap tokoh-tokoh parti pembangkang.

Terbaru Datuk Husam Musa dan Khalid Samad ditangkap dan didakwa di bawah akta hasutan setelah memberikan pandangan mengenai himpunan Black 505.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan Abdul Aziz Abdul Kadir merakam simpati terhdap ‘insiden’ menimpa Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang ditahan reman dua hari mulai hari  di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Bagaimana pun mantan Ahli Parlimen Ketereh itu melahirkan kekecewaannya terhadap apa didakwanya  ‘tindakan berpilih’  dilakukan Kerajaan Umno-Barisan Nasional.

“Sedangkan ada tokoh hebat lain berucap berapi-rapi pada platform mereka, tidak pun diambil tindakan," katanya.

Namun hal demikian hanya terjadi pada tokoh Pakatan Rakyat, apabila ada tokoh daripada pihak PR berucap, diambil tindakan.

“Kalau ada tindakan (sama ada pendakwaan dan tahanan reman), biarlah bertindak ke atas semua.  Biarlah ada keadilan," ujarnya ketika dihubungi wakil Harakahdaily.

Tidakkah SPR khianati amanah Agong?

Subky Latif, 25 Jun 2013
TIDAK dipastikan apakah rakyat bertambah celik atau kian mundur kerana banyak aduan dan protes tentang orang itu menghina raja dan orang ini mengkhianati raja.

Itulah demokrasi kita bertambah banyaknya orang yang mendakwa peka tentang kesetiaan kepada raja.

Anak yang beradab dan bijak tidak menghebohkan adik beradiknya menderhaka kepada bapanya, kerana ia boleh mengaibkan bapanya sekalipun bapa itu terkenal beramal soleh. Anak yang bijak tadi menyorokkan keburukan itu supaya ayahnya tidak malu.

Begitu juga tidak bijaknya masyarakat yang setia kepada raja menghlebohkan orang itu melawan raja dan orang ini derhaka, kerana ia akan menyebabkan timbul pertanyaan apa sudah jadi dengan rakyat dan apa sudah jadi dengan raja? Apa sudah jadi pada orang Melayu?

Dalam yang panas tentang pengkhianatan ini orang heboh dengan apa yang dikatakan kepincangan SPR melaksanakan tugasnya.

Antara PRU12 hingga PRU13, terdapat sekurang-kurangnya tiga kali tunjuk perasaan besar-besaran di Kuala Lumpur membantah perjalanan SPR. Setiap unjuk rasa melibatkan ratus ribu orang. Semuanya menyoal kebebasan dan kebersihan SPR melaksanakan pilihanraya yang bebas dan bersih.

Bahkan selepas PRU13, SPR sedang dibicarakan oleh rakyat betapa ia dikatakan telah melakukan penipuan dan mengkhianati keputusan pilihan raya. Siri Gelap (Black) 505 berlangsung di setiap negeri mempersoal  kejujuran SPR dan pemimpin-pemimpinnya.

51 peratus pengundi popular merasa mereka telah ditipu dan dikhianati.

Persepsi umum sejak sekian lama sejarah pilihanraya penipuan telah berlaku. Penyelewengan itu tidak pernah dipersoal sepanas yang terjadi selepas PRU 505 itu. SPR didakwa umum mengkhianati amanah yang diberi kepadanya.

Ia tidak melaksanakan  dengan telus, adil, bebas dan bersih.

Siapa yang memberi amanah kepada SPR? Ialah  Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong yang membentuk suruhanjaya itu  dan bagindalah yang perkenan melantik Pengerusi dan lembaganya.

Amanah yang diberikan kepadanya ialah jadilah ia suruhanjaya yang bebas, bersih, adil  dan telus.

Tetapi adalah SPR sudah melaksanakan amanah yang diberi oleh Yang di-Pertuan Agong itu? Jawabnya ialah ia meragukan. Persepsi semua ialah ia tidak bebas dan ia penuh dengan penyelewengan.

SPR mengikut kata setengah penyokong UMNO yang buta pentadbiran berkata, SPR dibayar gaji oleh kerajaan, maka ia mesti patuh kepada kerajaan yang ada. Maka ia mesti  dengar apa saja yang dihendaki oleh kerajaan.

Maka dengan ini SPR telah diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, menjalankan tugas seperti lain-lain badan di JPM, patut  dengan apa yang dikehendaki oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO. Lalu SPR dilihat seperti satu biro dari UMNO dan BN.

Setiap Perdana Menteri mahu SPR jadi begitu, bekerja untuk kepentingan dan kekuasaan UMNO, tanpa mengira amanah yang diperi oleh Yang di-Pertuan Agong.

Tiada Presiden UMNO mahu SPR bebas dari pengaruhnya. Dengan PM berbuat begitu, menjadikan SPR tidak bebas dan tidak menjalankan amanahnya, maka yang memalsukan amanah Agong itu mulanya PM sendiri dan selepas itu SPR yang patuh keapda tekanan PM dan UMNO.

Tidakkah memalsukan amanah Agong itu tidak dianggap mengkhianati Agong? Apakah ia tidak menderhaka dan apakah ia tidak menghina institusi raja-raja?

Pakar undang-undang dan perlembagaan mesti tampil memberi huraian, tidakkah SPR sudah mengkhianati raja. Walaupun mereka  tidak tunjukkan mereka menentang raja, dengan tidak amanah kepada amanah raja, adalah pengkhianatan kepada raja dan perlembagaan. Bolehkan Peguam Negara bersetuju dengan tafsir itu dan melakukan pendakwaan?

PAS tuntut dedah nama dalam masa 48 jam

Harakahdaily, 24 Jun 2013
KUALA LUMPUR: PAS menuntut agar Menteri Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel mendedahkan nama Syarikat Malaysia di Indonesia yang dikatakan terlibat dengan krisis jerebu dalam masa 48 jam.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia Haji Zulkefly Mohamad Omar (gambar) berkata, jika menteri yang berkenaan gagal untuk mendedahkan nama Syarikat itu dalam tempoh masa yang berkenaan, PAS akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Ia bertujuan untuk mendesak tindakan drastik semua pihak yang terlibat agar krisis ini dapat dihentikan seberapa segera demi kepentingan kesihatan dan keselamatan seluruh rakyat di Negara ini.

Beliau melahirkan kekecewaan kerana kegagalan Kerajaan UMNO/BN untuk mencegah insiden ini kerana masalah jerebu bukanlah satu isu yang baru.

“Kita pernah beberapa kali menghadapi masalah yang sama tetapi sampai bilakah isu ini dapat diselesaikan?

"Saya mahu tindakan drastik yang lebih awal dari pihak Kerajaan UMNO/BN khususnya menteri yang berkenaan untuk menangani isu ini bukannya sibuk dengan masalah Beruang Panda dari Negara China.
"Kesihatan dan Keselamatan Rakyat yang seharusnya lebih diutamakan dari binatang," ujar beliau dengan nada kecewa.

Ketua Menteri Pulau Pinang juga melahirkan kekecewaan beliau dengan sikap Menteri Alam Sekitar itu ketika majlis pembukaan Konvensyen Kepimpinan Pakatan Rakyat di sebuah hotel di Ampang semalam.

Zulkefly juga menyeru agar seluruh rakyat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk melindungi diri dari ancaman Jerebu khususnya kepada anak-anak yang menghidap lelah atau asthma.

“Banyakkan minum air dan kurangkan aktiviti luar buat masa ini," ujar beliau dengan harapan agar krisis jerebu ini dapat diatasi secepat mungkin demi Kesihatan dan Keselamatan Rakyat.

P Pinang lancar Briged Wanita untuk dekati wanita

Mohd Sabri Said, 24 Jun 2013
GEOGRETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyasarkan 10,000 orang menyertai Briged Wanita untuk membantu pelaksanaan beberapa objektif berhubung kepentingan wanita kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Jelasnya, segala permohonan untuk menyertai briged ini dibuat di Pusat Perkhidmatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) atau Penyelaras KADUN.

Wanita berumur 18 tahun serta bermestautin di negeri ini digalakkan menyertai briged ini.

"Sekarang ini kita baru ada 314 orang yang berdaftar sebagai Briged Wanita di hari perasmiannya.  Saya yakin ianya akan bertambah secara berperingkat-peringkat sehingga mencapai sasaran kita iaitu 10,000 orang, " tegasnya dalam sidang media selepas merasmikan Briged Wanita di Auditorium A, KOMTAR semalam.

Kata beliau, selain dari membantu secara turun ke kampung- kampung mencari warga emas, ibu tunggal, anak emas dan seumpamanya mereka juga dapat bertanya khabar golongan wanita yang masih belum didekati.

Briged Wanita juga akan memfokuskan kepada satu lagi tugasan baru iaitu mendaftar wanita yang berumur 35 tahun ke atas untuk tujuan 'Ibu Emas' yang menjadi surirumaah sepenuh masa berumur 60 tahun ke bawah.

Perkhidmatan percuma itu adalah sebagai satu langkah penghargaan dan mengiktiraf sumbangan wanita  yanag bekerja dalam rumah secara tidak formal, kepada kesejahteraan dan kemakmuran  sosio ekonomi Pulau Pinang.

Menurut Lim lagi, ia adalah program sulung bagi pengiktirafan golongan terlibat dengan menumpukan pendaftaran kepada mereka yang menjalankan perniagaan kecil kecilan untuk menerima mikrokredit kerajaan  negeri dibawah Projek Titian Saksama Rakyat (PTSP) PDC.

"Melalui kaedah ini Briged Wanita lebih berpeluang menerangkan kepada golongan terbabit tentang dasar dan program kerajaan negeri yang telah dan akan dilakukan.

"Tidak dinafikan golongan sasaran tidak terdedah  dengan perkembangan semasa tambahan lagi wanita lebih tahu apa yang diperlukan oleh wanita, " kata beliau.

Briged Wanita juga jelas Lim, akan didedahkan dengan corak kepimpinan serta menggalakan wanita tampil ke depan berurusan sebagai pendedahan untuk membina kekuatan 'network' wanita lain dalam komuniti bagi melahirkan lebih ramai kepimpinan wanita yang lebih berkalibar.

Hadir sama dalam program berkenaan ialah , Timbalan Ketua Menteri 1, Haji Abdul Rashid Hasnun, Exco Belia dan Sukan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti Negeri, Chong Eng dan Pengerusi Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Agama, Datuk Haji Abdul Malik Kasim.

Beza 3 kerusi, sidang Dun Perak dijangka panas

Muhammad Faeez Azahar, 24 Jun 2013
IPOH: Dengan tiga kerusi yang membezakan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, sidang DUN Perak bermula 28 Jun ini dijangka panas.

Namun PAS berazam untuk memberikan yang terbaik demi kepentingan bersama, rakyat dan juga kerajaan melalui sidang Dun.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien menyifatkan, kekuatan pembangkang di Perak akan membantu menjaga kerajaan daripada melakukan penyelewengan dan salah urus tadbir dalam kerajaan.

Menurut Adun Titi Serong itu, suasana persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) akan lebih bermanfaat apabila kedua-dua belah pihak mempunyai suara dan kekuatan yang seimbang dan sudah pasti akan menghasilkan suatu keputusan serta perbahasan yang baik untuk rakyat.

Beliau berkata, persaingan polisi dan cadangan kedua-dua belah pihak akan dapat dilihat dalam persidangan Dun Perak sesi ini.

Sidang Dun Perak akan berjalan mulai 28 Jun ini.

Pakatan Rakyat di Perak mempunyai kekuatan 28 ahli iaitu 18 Adun daripada DAP manakala PAS dan PKR masing-masing 5 Adun.

BN pula mempunyai 31 kerusi iaitu tiga kerusi membezakan dengan Pakatan Rakyat sekali gus membuktikan kerajaan yang ditubuhkan oleh BN kali ini tidak kukuh.

“Kekuatan pembangkang sangat penting dalam sesebuah persidangan Dun bagi membantu menjaga serta ‘menegur’ kerajaan dan segali gus mewujudkan persaingan idea serta polisi yang sihat daripada kedua-dua belah pihak,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau menjelaskan, Pakatan Rakyat  akan membawa suara rakyat dalam memastikan rakyat di negeri itu dapat mengecapi kebahagiaan sebagai rakyat yang bebas daripada segala kezaliman dan penipuan.

Jelas Ustaz Abu Bakar, Pakatan Rakyat komited untuk menggunakan kekuataan suara yang ada di Dun bagi memastikan prospek masa depan rakyat menjadi salah satu perkara yang akan diperjuangkan.

“BN tidak boleh sewenang-wenangnya meluluskan apa-apa polisi dan sebagainya yang hanya memberi keuntungan kepada mereka dan kroni-kroni mereka.

“Pakatan Rakyat akan memastikan aspek kebajikan rakyat serta pembangunan negeri yang telus dan berwibawa adalah keutamaan dalam perbahasan di sidang Dun,” jelas beliau lagi.

Disamping itu, beliau menegaskan, Pakatan Rakyat akan menggunakan platform tersebut untuk mendedahkan penyelewengan dan salah laku BN dalam urus tadbir negeri supaya rakyat mengetahui akan apa yang dilakukan oleh BN dalam pemerintahannya.

Dalam pada itu, beliau percaya, Adun khususnya daripada PAS akan dapat membawa suara rakyat di negeri ini dalam sidang Dun.

Ianya kata beliau, tidak berkisarkan kepada isu-isu dalam Dun masing-masing sahaja tetapi di seluruh Perak bagi membuktikan Pakatan Rakyat benar-benar berkemampuan untuk mentadbir negeri.

Jerebu: Syarikat Malaysia terlibat mesti dihukum

Harakahdaily, 24 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Dakwaan Menteri Alam Sekitar Indonesia, Balthasar Kambuaya bahawa lapan syarikat milik rakyat Malaysia menyumbang kepada pencemaran jerebu menggunakan cara murah tetapi salah dengan menebang dan membakar hutan untuk mencerahkan kawasan baru bagi ladang mereka  mesti disiasat sepenuhnya.

“Jika benar, bukan sahaja Indonesia, Malaysia juga mesti mendakwa dan menghukum mana-mana syarikat perladangan Malaysia yang telah dibuktikan terlibat dalam jenayah tebang dan bakar untuk mencerahkan hutan untuk ladang-ladang mereka di Sumatera,” ujar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Balthasar yang memberitahu bahawa dakwaan tersebut akan disiasat oleh pihak polis Riau.

Salah satu daripada pesalah yang didakwa ialah syarikat PT Tunggal Mitra Plantation, sebahagian daripada Minamas Plantation, anak syarikat Sime Darby Plantation yang berpusat di Malaysia, sebuah syarikat ladang kelapa sawit terbesar di dunia. Sebuah syarikat lagi ialah PT Adei Plantation, dimiliki oleh Kepong Berhad. Yang lainnya ialah PT Langgam Inti Hibrida, PT Bumi Reksa Nusa Sejati, PT Udaya Loh Denawi, PT Jatim Jaya Perkasa, PT Multi Gambut Industri, dan PT Mustika Agro Lestari.

Blathasar mendakwa bahawa “syarikat perladangan Malaysia sering menyuruh orang tempatan untuk membakar hutan atau kawasan tanah gambut berhampiran kawasan konsesi mereka, dengan harapan api tersebut akan merebak masuk ke kawasan mereka. Apabila api telah membakar kawasan mereka, syarikat-syarikat ini menyalahkan penduduk tempatan seolah-olah api tersebut secara tidak sengaja merebak ke tanah mereka”.

Menurut Guan Eng, DAP maklum bahawa Sime Darby Plantations Bhd telah mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan daripada kerajaan Indonesia itu.

Justeru, katanya DAP berharap agar pihak kerajaan Indonesia tidak mencuba untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan mereka untuk mencegah pembakaran terbuka sedemikian oleh syarikat perladangan Indonesia dan pengusaha kecil dengan menyalahkan syarikat Malaysia yang tidak bersalah semata-mata.

Namun begitu, tegas beliau dakwaan serius terhadap Sime Darby mesti disiasat secara terperinci memandangkan Sime Darby adalah sebuah syarikat GLC yang dimiliki kerajaan Malaysia.

“Tuduhan serius ini boleh merosakkan reputasi antarabangsa Sime Darby dan juga Malaysia,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau berkata, jika syarikat perladangan Malaysia memang telah melakukan pembakaran terbuka dan mengakibatkan krisis jerebu sekarang, ia adalah satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia dengan tindakan merosakkan alam sekitar dan hutan sambil mengancam keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia.

Justeru, beliau menggesa Kerajaan Malaysia mesti menghantar pasukan penyiasatnya sendiri untuk memeriksa dakwaan terbabit dan menghukum mana-mana syarikat Malaysia jika benar mereka terlibat.

Black 505: Dakwaan kepada Khalid sama dengan Husam

Harakahdaily, 24 Jun 2013


KUALA LUMPUR: Mantan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Khalid Ismath dibebaskan polis setelah ditahan selama satu malam di lokap IPD Kajang.

Kami dalam satu kenyataan menyatakan barang milik beliau iaitu telefon bimbit jenis Sony Experia dan Ericson turut dirampas polis dalam siri geledah sebaik beliau dibebaskan kira-kira jam 5 petang semalam.

Khalid ditahan 22 Jun ketika majlis kenduri pertunangan sedang berlangsung di rumahnya sekitar jam 4 petang.

Pasukan polis berpakaian preman yang menaiki tiga buah biji Pajero datang menyerbu rumah Khalid ismath di Bandar Puteri, Klang.

Pergaduhan berlaku antara tetamu di majlis itu dengan pasukan polis yang menimbulkan sedikit kekecohan apabila secara tiba-tiba mereka menyerbu kawasan rumah khalid.

Khalid didakwa di bawah Akta Hasutan seperti mana akta sama yang digunakan ke atas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa setelah satu kenyataan mengenai himpunan Black 505 yang ditulis Khalid dalam laman sosialnya beberapa hari lepas.

Khalid diwakili oleh wakil peguam dari LFL diketuai Mitchel dan Muthiah. (Gambar atas)

Majistret menolak permohonan reman dikemuka IO yang meminta 7 hari dan hanya membenarkan Khalid direman sehingga jam 6 petang semalam bermula Sabtu lalu.


OKU rentung: Fikirkan khidmat home-base services

Harakahdaily, 24 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Telah tiba masanya untuk pihak berwajib memikirkan suatu perkhidmatan berasaskan kediaman home-base services kepada keluarga yang mempunyai ahli orang kurang upaya (OKU).

Demikian gesaan Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU, Mohammad Faizal Che Yusof dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak cakna dengan satu laporan Harian Metro bertajuk “Menjerit goncang pintu” yang disiarkan pada 22 Jun lalu di mana seorang OKU mental terkorban dalam kebakaran kerana terkurung.

Memetik dari laporan tersebut, saksi kejadian menyebut, “saya sempat mendengar mangsa menjerit meminta tolong sambil menggoncang pintu utama, malangnya disebabkan api terlalu besar selain letupan kuat kedengaran, kami hanya mampu melihat sebelum jeritan itu hilang”.

Sebagaimana dilaporkan, dalam kejadian jam 8 pagi tersebut, mangsa Abdul Rais Hanapi, 25, ditemui rentung dalam sebuah bilik dipercayai terperangkap berikutan pintu rumah dikunci daripada luar.

Dalam situasi itu, kata Faizal kejadian OKU dikurung sama ada katagori mental atau lain-lain katagori bukanlah perkara baru.

Selain OKU itu, ujarnya dikatakan sukar untuk dikawal kerana keluarga keluar bekerja, ada juga OKU yang berada dalam kediaman terkunci atas pelbagai faktor yang jarang diambil cakna.

“Sebagai pihak yang mewakili OKU, kami cukup faham dengan pelbagai situasi yang menyelebungi OKU dan keluarga hingga menyebabkan OKU diletakkan dalam keadaan kediaman yang dikunci.

“Dalam situasi ini, telah tiba masanya untuk pihak berwajib memikirkan suatu perkhidmatan berasaskan kediaman “home-base services” kepada keluarga-keluarga yang mempunyai ahli keluarga OKU yang selama ini perlu berada dalam rumah yang dikunci,” ujarnya.

Katanya, kealpaan kita dalam menanangani situasi sebegini pada masa-masa hadapan hanya mendedahkan individu-individu OKU dalam bahaya sebagaimana kejadian yang dilaporkan.

“Tentunya, tanggungjawab berat ini tidak boleh hanya diletakkan atas bahu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepertimana tanggapan kebanyakan pihak,” katanya lagi.


TIGA PENYELAMAT, PEMBINASA, DARJAT, KAFARAT (PENEBUS DOSA)


penebus dosa
penebus dosa | don’t let me go by ~smexxy-beanie-queen
Dari Abdurrahman bin Shakr, Abu Hurairah r.a., dia berkata: Nabi Muhammad s.a.w bersabda sepertimana berikut;
“Tiga perkara penyelamat, tiga faktor perosak, tiga darjat dan tiga kafarat (penebus dosa). Adapun tiga faktor penyelamat adalah: Takwa kepada Allah SWT dalam kesunyian ataupun di tempat umum, sederhana sama ada dalam keadaan fakir atau kaya dan bersikap adil diwaktu rela ataupun ketika marah.
Tiga faktor perosak adalah: Terlalu bakhil dan kedekut, tunduk kepada hawa nafsu dan membanggakan diri sendiri (ujub). Dan tiga perkara dapat mengangkat darjat adalah: Mengucapkan salam, memberi makan dan solat malam ketika orang-orang sedang tidur. Adapun tigak faktor penebus dosa (kafarat) adalah: Menyempurnakan wuduk dalam keadaan cuaca dingin, melangkah kaki menuju solat berjemaah, dan menunggu solat berikutnya setelah solat dilakukan.”

Penebus Dosa

  1. Ada tiga perkara yang menyelamatkan manusia dari azab seksa iaitu pertama, takut kepada Allah SWT, baik secara sembunyi mahupun terbuka di depan umum, bagaimanapun takut secara sembunyi lebih tinggi darjatnya daripada takut dalam keadaan terbuka. Kedua, hidup sederhana dengan tidak melampaui batas (haram) dan rela dengan keadaan yang ada. Ketiga, berbuat marah dan rela kerana Allah SWT.
  1. Tiga perkara yang membinasakan iaitu pertama, bakhil dan kedekut yang melampaui batas, sehingga tidak dapat menunaikan hak-hak Allah SWT dan hak-hak makhluk-Nya. Yang dimaksudkan bakhil di sini adalah menuruti sifat bakhil. Adapun jika ianya tidak ditaati, maka tidak akan membinasakan, kerana sememangnya bakhil itu adalah suatu sifat yang berada dalam diri manusia sejak semulajadi lagi. Kedua, seseorang yang sentiasa tunduk dan menuruti keinginan nafsunya; dan ketiga, orang yang menganggap dirinya lebih sempurna daripada orang lain.
  1. Tiga perkara yang menaikkan darjat: Pertama, mengucapkan salam kepada sesama muslim, sama ada kepada orang yang dikenali mahupun tidak dikenalinya. Kedua, memberi makanan kepada tetamu dan orang yang lapar. Ketiga solat tahajjud pada malam hari ketika orang lain sedang tidur lena.
  1. Adapun tiga perkara yang dapat menghapus dosa sebagai kafarat pula ialah menyempurnakan wudhuk dalam cuaca yang sangat dingin. Kedua, melangkahkan kaki ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah. Ketiga, menunggu waktu di masjid untuk melaksanakan solat atau menanti untuk melakukan kebaikan yang lain.
[Sumber: Kitab Nashaihul'ibad (Nasihat-nasihat agama kepada calon penghuni syurga)-Imam Nawawi]
# Artikel ini adalah perkongsian daripada sahabat setia kita, MOHAMAD NASIRUDDIN BIN AMIR (mnasiruddinbamir.blogspot.com). may Allah bless


Tuhan Sembunyi Hikmah Ibadat Untuk Uji Ketaatan

Oleh Yussamir Yusof

ALLAH tidak mensyariatkan sesuatu tanpa kebaikan dan manfaat kepada hamba-Nya, sebagaimana Dia tidak menciptakan sesuatu dengan main-main dan dengan cara yang batil. Firman Allah, "... (Iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksaan api neraka." - (Ali-Imran: 191)

Namun di setiap kejadian dan ciptaannya tersembunyi pelbagai rahsia dan hikmah yang sukar untuk dilihat secara mata kasar dan akal logik. Hikmah di atas ciptaannya hanya dapat dilihat secara umum tanpa penjelasan secara terperinci.

Misalnya solat, manusia tidak akan mengetahui hikmah dan kebaikannya secara terperinci. Bermula dengan hukum solat, rukunnya dan sudah pasti setiap pergerakannya juga kita tidak akan dapat mengetahuinya dengan lebih lanjut. Malahan pelbagai persoalan dan pertanyaan yang akan timbul untuk memuaskan akal.




"Mengapa solat perlu lima kali sehari?" "Mengapa ada perbezaan rakaat untuk setiap jenis solat?" "Mengapa solat Subuh di awal pagi?"

Mengapa dan terus mengapa. Akal sentiasa mencari jawapan di atas perintah ibadat yang disyariatkan Allah. Namun semua jawapan yang diberi berdasarkan kefahaman akal, ia tidak akan memuaskan sampai bila-bila. Hikmah adalah rahsia Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.

Bagaimanapun, Allah menjelaskan hikmah itu secara umum di dalam al-Quran. Misalnya hikmah disyariatkan solat. Firman Allah "Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadat yang lain)." – (Al-Ankabut: 45)

Hikmah disyariatkan membayar zakat. Firman Allah: "Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka." (At-Taubah: 103)

Timbul persoalan, mengapa Allah menyembunyikan hikmah di atas ibadah yang disyariatkan-Nya. Ulama menjelaskan bahawa hikmah ini disembunyikan sebagai satu cubaan kepada hamba-Nya. Allah mencuba hamba-Nya dengan ibadah yang manusia tidak mengetahui sedikitpun mengenai hikmah pensyariatannya. Dengan cubaan ini, terlihatlah siapa yang benar-benar mengikuti perintah Allah dan ajaran Rasulullah, dan siapa pula yang derhaka dan menolaknya.

Andai kata hikmah ibadah tidak dirahsiakan dan akal dapat memahaminya dengan mudah, sudah pasti, manusia hanya akan beribadah kepada Allah jika sesuatu ibadah itu sesuai dengan rasional akalnya yang terbatas, dan akan mengingkari jika sesuatu ibadah itu tidak sesuai dengan akalnya. Dan ini akan membuatkan manusia menyembah akal bukannya Allah yang mencipta mereka.

Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya al-Ibadah fi al-Islam menyatakan: "Bukanlah menjadi keharusan bahawa ibadah yang disyariatkan itu perlu ada manfaat dalam kehidupan manusia dari segi material. Malahan bukan juga sesuatu yang mesti sesuatu ibadah itu boleh difahami akal yang terbatas. Ibadah adalah ujian bagi ketaatan manusia kepada Tuhannya. Jadi, jika akal dapat mengetahui rahsia ibadah secara terperinci, maka ia tidaklah dapat memberi manfaat dan makna kepada manusia terhadap konsep ibadah dan taat kepada Tuhan."

Cukuplah seseorang mukmin mengetahui hikmah ibadah itu secara umum, dan meyakini bahawa setiap ibadah itu adanya manfaat dan hikmah yang tersendiri. Allah tidak pernah memerlukan ibadah para hamba-Nya, tetapi Allah mencipta ibadah adalah semata-mata untuk kebaikan dan manfaat hamba-Nya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Wahai hamba-Ku! Sekiranya orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertakwa umpama hati orang yang paling bertakwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaan-Ku. Wahai hamba-Ku! Sekiranya orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang cacatkan apa-apapun dalam kerajaan-Ku." – (Hadis Imam Muslim)

Banyaknya rahsia alam semesta yang tidak mampu manusia khususnya saintis menemuinya, begitu banyak juga rahsia ibadah yang tidak terjangkau oleh akal. Hal ini sebenarnya membuatkan tumbuhnya rahsia rindu manusia kepada rahsia yang tersembunyi, dalam masa sama membuatkan manusia insaf dan sedar mengenai kelemahan dirinya sendiri.

Sudah ramai manusia tersesat kerana sengaja mencari rahsia hikmah dalam setiap perkara yang disyariatkan dalam ibadah. Apabila mereka tidak menemui rahsia itu kerana akal yang terbatas, mereka mula berasa ragu-ragu di atas kepercayaan yang ada dan kemudian menjadi sesat.

Al-Imam Ghazali dalam kitabnya Al-Munqidz min adh-Dhalal berkata, "Maka sesungguhnya suatu kebodohan sesiapa saja yang mencari hikmah yang ada di sana, atau orang yang mengatakan bahawa ibadah itu dilakukan secara kebetulan dan tidak ada rahsia Allah di dalamnya."

Oleh sebab itu, perbuatan mencari hikmah dalam ibadah dengan secara terperinci sehingga dapat memuaskan akal adalah perbuatan yang salah dan keliru. Berpuas hatilah dengan keterangan umum yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran, kemudian sama-sama kita katakan, "Kami dengar dan kami taat."

Sembunyi 3 Dalam 3

Saya merupakan pelajar di sebuah institusi yang terletak di pinggir ibu kota. Saban hari, berita mengenai kes rogol, buang bayi, dera, bunuh dan sebagainya telah menjadi halwa telinga dalam kalangan masyarakat.

Di sebalik hidangan kepesatan teknologi yang semakin membangun, dibumbungi oleh bangunan pencakar langit yang gah berdiri, disulami pelbagai kemudahan kelas pertama, masyarakat kini semakin lupa kepada akhlak yang dianjurkan oleh Islam.
Masih terdapat sebilangan masyarakat yang berfikiran kelas ketiga dan tidak berperikemanusiaan walaupun dalam perkara yang kecil yang sepatutnya difahami oleh segenap masyarakat berbilang kaum. Lebih terkilan kerana ia melibatkan kaum Melayu yang beragama Islam. Di manakah pegangan kita wahai kaum muslimin dan muslimat sekalian?
Hal ini berlaku ketika saya ingin ke kelas di tingkat empat di sebuah kuliah yang gah dan berprestij di institusi saya. Penat berjalan dari asrama yang terletak jauh membuatkan saya lega apabila tiba di lif yang dikhususkan untuk staf dan wanita mengandung.
Menjadi kebiasaan pelajar menaiki lif tersebut kerana kelas terletak jauh di atas. Kedudukan tangga juga agak tinggi. Namun, keutamaan tetap diberikan kepada golongan yang dikhususkan.
Selepas itu datang seorang perempuan mungkin salah seorang staf di kuliah tersebut, dalam lingkungan 30-an. Dia menegur saya, “Are you staff?” Lalu saya menjawab, “No”. Dengan nada sedikit bongkak dia berkata “So, go upstairs”.
Saya cuba menerangkan kepadanya namun tidak dihiraukan, “I don’t care, go upstairs!” Padahal hanya terdapat saya dan dia yang berada di situ. Lalu dia masuk ke dalam lif dan menutupnya tanpa menghiraukan saya.
Di manakah perginya sifat belas kasihan sesama insan? Kenapa ia berlaku di sebuah institusi Islamik yang menekankan Islamization of Knowledge dan kata-kata hikmah yang terpampang di merata-rata? Adakah knowledge dan akhlak hanya dibahaskan dalam kelas semata-mata di kalangan pelajar?
Saya bukan bercakap mengenai undang-undang tetapi sifat perikemanusiaan yang Allah kurniakan pada hati setiap insan. Saya kira makcik cleaner yang bertugas lebih berbudi bahasa dan berperikemanusiaan.
Allah Menyembunyikan 3 Perkara Dalam 3 Perkara
01.Allah menyembunyikan redha-Nya dalam ketaatan hamba-Nya kepada-Nya.
Oleh itu, jangan memperkecilkan apa jua bentuk amal kebaikan, manalah tahu di situ terdapat redha-Nya.
02.Allah menyembunyikan kemurkaan-Nya dalam kemaksiatan hamba terhadap-Nya.
Oleh itu janganlah engkau mengambil mudah setiap kemaksiatan walaupun ringan, manalah tahu di situ terdapat kemurkaan-Nya.
03.Allah menyembunyikan wali-Nya dikalangan hamba-Nya.
Oleh itu jangan engkau hina siapa jua kerana manalah tahu itu adalah wali-Nya.
Dengan itu, saya menyeru kepada semua kaum Muslimin dan Muslimat agar mengamalkan akhlak yang baik kerana kita membawa imej Islam.
Janganlah terus bongkak mendabik dada hanya kerana secebis nikmat  dan pangkat dan kedangkalan ilmu  di dada.
Jadilah seperti resmi pada, semakin berisi semakin tunduk.
Semakin kita menuntut ilmu, semakin terserlah kekerdilan, kejahilan dan kelemahan di hadapan Allah seterusnya terus tunduk patuh di hadapan Allah.

5 Perkara Menjadi Urusan dan Rahsia Allah

5 perkara yang menjadi rahsia dan urusan Allah, kita tidak tahu. (Istifadah daripada kursus)

1. Masa kematian
2. Tempat kematian
3. Jodoh perkahwinan
4. Rezeki
5. Hari kiamat

Maka, kita atas kapasiti dan peranan kita sebagai hamba-Nya, laksanakanlah tugas dan urusan kita sebaik mungkin. Jangan diragui keyakinan akan keadilan dan keluasan rahmat dan kurniaan Allah kepada para hamba yang beriman.

6 Perkara Yang Allah Sembunyi Dari Manusia

Sebagai peringatan dan panduan, hari ini aku nak berkongsi sesuatu. Tentang perkara yang Allah sembunyikan dari kita. Mohon baca sampai habis dan kongsi bersama yang lain untuk kita sama sama mendapat kebaikan dan keberkatan. InsyaAllah. Diambil dari facebook page Mencari Nur Illahi.


6 perkara Allah sembunyikan~~

''Menangis saya bila baca , meremang bulu roma :') Ya Allah SWT kau ampunilah dosa dosa walau sekecil dan sebesar mana pun ia'' Korang Baca jangan tak baca .

6 perkara Allah sembunyikan

Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan
Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata:
'Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?.'
Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud.. 'Tidak'
Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.
Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. 'Wahai Jibrail, kamu telahmenyembah aku dengan ibadah yangbersungguh- sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad.' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atasperintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu.'
Kemudian Jibrail as berkata: 'Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?'
Lalu Allah berfirman yang bermak! sud. 'Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal...'
Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa.Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail as selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:
'Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya? '
Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. 'Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yangtelah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan.... .'
Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :
1- Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.
2- Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
3- Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
4- Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
5- Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).
6- Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.

Tiada ulasan: