Jumaat, 14 Jun 2013

GURU MULA2 IALAH IBUBAPA KITA...MENGAJAR KITA BERCAKAP...MENGENAL BENDA2 DISEKELILING...MENGIRA ...MENGENAL ALLAH SWT DLL

Suruhanjaya Persempadanan dicadang ganti kuasa SPR

Harakahdaily, 14 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya pilihan raya Malaysia (SPR) dianggap tidak layak untuk mengendalikan persempadanan semula kawasan pilihan kerana ekoran rekod buruknya dalam pilihan raya lalu.

Sehubungan itu, kajian badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mencadangkan agar Suruhanjaya Persempadanan ditubuhkan bagi menjalankan tugas ini sebagaimana yang dibuat dibeberapa negara.

"Suruhanjaya Perwakilan yang diadakan di New Zealand, khususnya, boleh dijadikan sebagai rujukan bagi mengadakan sebuah badan yang berkebolehan dalam menyemak semula dan menggariskan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya yang saksama, sebagai langkah pertama merealisasikan prinsip satu orang satu undi yang sama nilai yang ideal dalam sistem pilihan raya yang demokrasi," cadang KPRU dalam kenyataannya.

Di bawah perkara 113 Perlembagaan Malaysia, pilihan raya di Malaysia adalah diuruskan oleh satu badan khas yang telah dilantik oleh Yang Dipertuan Agong dan badan ini dinamakan Suruhanjaya pilihan raya Malaysia (SPR).

Antara tugas SPR termasuklah menjalankan pilihan raya bagi Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri dan pilihan raya kecil, serta menyediakan daftar pemilih dan menjalankan urusan pendaftaran dan penyemakan daftar pemilih.

SPR juga bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan kawasan pilihan raya dengan melibatkan bidang kuasa pentadbiran pejabat tanah dan daerah dan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Namun, ekoran pelbagai pendedahan insiden penipuan dan ketidakadilan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei lalu yang baru tutup tirainya, kajian badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mendapati bahawa SPR tidak sesuai bagi mengendalikan urusan.

"Ini ekoran ketidakupayaan SPR dalam menunaikan amanahnya bagi memastikan pilihan raya dijalankan secara bersih, bebas dan adil," kata kenyataan itu.

Sebuah badan yang neutral lagi bebas daripada pengaruh badan eksekutif terutamanya, harus ditubuhkan bagi mengendali urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya, seperti Suruhanjaya Persempadanan yang ditubuhkan di kebanyakan negara, kata kenyataan itu.

Dalam sejarah pilihan raya di Malaysia, sebanyak enam kali proses persempadanan telah dilakukan, masing-masing pada tahun 1958, 1966, 1974, 1983, 1992, dan 2003.

Proses persempadanan berkait rapat dengan konsep “gerrymandering” yang merujuk kepada tindakan memanipulasi atau tindakan secara sengaja menyusun atau mengatur semula kawasan-kawasan pentadbiran bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya dengan mengurangkan undi parti oposisi.

Gerrymandering merupakan antara isu yang paling kronik dihadapi oleh sistem pilihan raya dan demokrasi dalam negara ini, kata KPRU.

Mengapakah persempadanan kawasan pilihan raya sentiasa menjadi suatu isu penting dalam sistem pilihan raya?

Jawapannya mudah sekali: persempadanan merupakan cara langsung bagi memanipulasi keputusan pilihan raya.

"Dengan kata lain, ia memberi ruang kepada “permainan kotor” dalam sistem pilihan raya yang dianggap adil dan bebas," kata KPRU.

Dalam sebuah sistem pilihan raya demokratik yang ideal, setiap orang pengundi berpeluang membuang undi yang sama nilai dan kepentingannya – prinsip satu orang satu undi yang sama nilai.

Undi yang diperolehi seharusnya secara langsung selaras dengan kerusi yang dimenangi dalam parlimen (Dewan Rakyat).

Di Australia, kaedah yang digunakan bagi menentukan bilangan kerusi yang harus diberikan kepada negeri masing-masing adalah seperti yang dinyatakan dalam seksyen 24 Perlembagaan dan seksyen 48 Akta Pilihan Raya Komanwel 1918.

Pada minggu ke-13 selepas persidangan Dewan Perwakilan penggal pertama, SPR Australia dikehendaki mengenalpastikan populasi di Australia, dan angka tersebut kemudiannya akan digunapakaikan bagi menentukan bilangan Ahli Parlimen bagi setiap negeri masing-masing.

Pertama sekali, kuota perlu dikenalpastikan melalui membahagikan jumlah populasi dalam negara dengan dua kali bilangan senator untuk semua negeri.

Kemudian, jumlah populasi dalam negeri masing-masing dibahagi dengan kuota bagi menentukan bilangan wakil rakyat yang harus diperuntukkan untuk setiap negeri.

Malaysia merupakan antara negara di mana persempadanan diuruskan oleh SPR.

Di sesetengah negara, SPR adalah bebas daripada pengaruh dan campur tangan daripada badan eksekutif dan perundangan.

Ia berlaku di Lithuania, Mexico, dan Poland, lantas dapat menunaikan amanahnya secara adil dan saksama.
Namun, situasi di Kenya, Nigeria, Tanzania dan Malaysia pula di sebaliknya, kata kenyataan itu.

Eratkan ukhwah kukuhkan jamaah

Ustaz Idris Ahmad, 14 Jun 2013

Apabila Baginda Nabi Muhammad SAW tiba di Madinah, tiga perkara asas yang baginda lakukan iaitu mendirikan masjid, mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar, menegakkan syariat Allah. Ukhwah diberi perhatian yang lebih kerana ia adalah tonggak kepada pembinaan sebuah negara. Negara goyang jika ukhwah longgar, begitu juga di dalam jamaah. Oleh sebab itu jika perkara ini diabaikan ia mendatangkan musibah yang tidak baik kepada perjalanan jamaah.

Pentingnya ukhwah di dalam jamaah

Boleh merapatkan saf kepimpinan di dalam jamaah. Bila ukhwah renggang banyak kerja jamaah akan terencat. Sebab itu ikatan ukhwah mesti dipelihara demi kelangsungan perjuangan. Perjalanan jamaah bergerak secara sukarela, bukan dengan paksa. Bagaimana jamaah hendak bergerak jika perasaan mahabbah tidak ada di kalangan anggota.

Hilang perasaan buruk sangka sesama sahabat, kerana syaitan gagal menghasut. Sebarang keraguan terus mendapat penjelasan dan penerangan. Kerana punca hubungan renggang berpunca daripada sangka buruk. Maksud firman Allah SWT:  “Wahai orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain”. (Al-Hujurat: 12)

Mengelak daripada musuh jamaah dapat bertapak di dalam parti. Mereka gagal untuk berlakon dan menjadi virus pemusnah di dalam jamaah, kerana segala tingkah laku mereka sentiasa diperhati di kalangan ahli. Semua ahli akan mengawal daripada semua sudut menjadi SB jamaah untuk melaporkan kalau ada pengkhianat dalam parti.

Sebab ukhwah musnah

Tidak ada program yang disusun oleh jamaah.  Akhirnya ahli membawa cara fikir dan tindakan menurut kehendak masing-masing. Maka jadilah kapal yang banyak nakhoda.

Mendengar pandangan orang lain, tanpa mengambil kira pandangan  sesama jamaah. Seorang itu lebih percaya orang luar daripada ahli sendiri. Maka akan berlakulah jamaah dalam jamaah.

Zaman media baru, pandangan jamaah tidak dipedulikan. Kadang-kadang ahli lebih percaya kepada persepsi yang berjaya dibentuk. Maklumat yang diperolehi kadang-kadang daripada ejen musuh yang berlakon ahli PAS. Mereka inilah yang membuat adu domba sehingga kita berselerak dan ukhwah hancur. Inilah dilema gerakan Islam seluruh dunia ketika menghadapi zaman langit terbuka. Ia juga menimpa kepada Gerakan Islam di dunia hari ini. Rujukan mereka ialah Facebook, portal dan blog. Akhirnya musuh bertepuk tangan.

Ahli tidak sedia untuk mengikuti program khusus seperti usrah, tamrin, liqa al-fikri. Mereka lebih selesa ikut program umum daripada program khusus.

Apabila jarang bertemu dan bersua mata, maka banyak maklumat diambil daripada media baru, akhirnya membentuk persepsi negatif kepada jamaah dan pimpinan.

Pimpinan tidak turun ke peringkat akar umbi untuk memberi pengisian dalaman dan dialog terbuka bersama ahli.

Masalah ahli yang tidak suka dirinya ditarbiah. Puncanya kerana merasa dirinya sudah hebat. Akhirnya timbul sikap ego di dalam jamaah. Sinilah bibit ukhwah rosak di dalam jamaah.

Cara hendak atasi

Bacalah kisah-kisah sahabat yang menunjukkan ukhwah yang mantap melalui madrasah Rasulullah SAW terutama orang Ansar dan Muhajirin, sehingga Allah merakamkan di dalam al-Quran. Firman Allah SWT (maksudnya): “Dan orang-orang (Ansar) dan telah beriman sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah ke tempat mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (Muhajirin) , atas dirinya sendiri meski pun mereka juga memerlukan”( Al-Hashr 59:9)

Mesti tanamkan di dalam diri ahli PAS di semua peringkat bahawa perpecahan di dalam jamaah akan menguntungkan pihak musuh. Maksud firman Allah SWT “Janganlah kamu bertelingkah, nanti akan hilang kehaibatan kamu”.

Kita mesti mengelak untuk mewujudkan faktor-faktor yang boleh merenggangkan ukhwah di kalangan ahli. Contohnya di dalam mesyuarat kalau  tidak bersetuju biarlah dengan bahasa yang beradab. Jangan menghina pandangan ahli mesyuarat. Tidak bersetuju tidak mengapa tetapi jangan menghina. Biarlah mesyuarat dengan suasana penuh ukhwah bukan ‘adawah (permusuhan). Jadikan mesyuarat tempat untuk subur kasih sayang. Biarlah ahlinya seronok untuk datang mesyuarat, bukan bosan apabila hadir mesyuarat.

Segera mendapat maklumat daripada batang tubuh sahabat jika beliau adalah orang yang dituduh. Supaya penjelasan ini akan menamatkan  tuduhan dan fitnah kepada setiap ahli.

Program kerohanian mesti dirancakkan di dalam organ parti. Kerana manhaj tarbiah PAS merangkumi pembinaan akal, jasmani dan rohani. Kadang-kadang terlepas pandang, sehingga sudut tarbiah ruhiah dikesampingkan akhirnya bibit-bibit perpecahan mudah menyerap masuk di dalam jamaah.

Usrah yang menjadi tunggak kepada gerakan PAS perlu diaktifkan daripada peringkat Pusat hingga ke cawangan. Usrah merupakan siri pertemuan di kalangan ahli  dengan skala kecil, tetapi mempunyai impak yang besar. Seboleh mungkin pertemuan mesti dibuat sekurang-kurangnya sebulan sekali. Usrah akan  mengikat talian ukhwah yang tinggi di kalangan ahli yang hadir. Komunikasi dua hala akan berlaku dengan mudah. Tidak bosan, kerana ia boleh berpeluang tukar pandangan, bertanya, berdialog. Segala kekusutan dalam jamaah akan dapat diatasi dengan mudah. Sebagai mana kita maklum, permasalahan di dalam jamaah berlaku akibat daripada kekusutan kecil tidak diselesaikan di peringkat awal sehingga merebak besar. Usrah adalah satu daripada mekanisme yang boleh mengurangkan ketegangan dalam jamaah.

Usah gunakan media untuk mengkritik sesama ahli, walaupun kita rasakan pandangan kita betul. Orang awam melihat dan menilai kenapa sesama ahli PAS bergaduh. Mereka tidak melihat permusuhan itu bersifat peribadi antara si Mamat dengan si Dolah, tetapi mereka menempelak kenapa sesama ahli pun bergaduh. Perlu diingat jika kita menggunakan media, maka rakan kita satu jamaah juga akan menggunakan media. Hasilnya orang awam akan menghukum kita.

Lagi gambar pasca Antena 'Umno' runtuh

Dari blog Omak Kau, 14 Jun 2013




Antena di bangunan 21 tingkat yang tingginya 93.6 meter turut menempatkan Pejabat Perhubungan Umno Negeri dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang runtuh adalah kepunyaan JKP Sdn Bhd anak syarikat Menteri Kewangan DiPerbadankan.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 6.45 petang semalam, seorang maut manakala lapan cedera selepas rod penebat kilat yang ditempatkan di menara itu tercabut dan terjatuh.


Klik untuk baca laporan lanjut blogger ini.

Mahathir masih belum puas jadi PM 22 tahun

Harakahdaily, 14 Jun 2013
KUALA LUMPUR: “Inilah watak kerakusan kuasa Tun Mahathir yang tidak pernah kenyang,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu sentiasa lapar dengan kuasa, tidak seperti Perdana Menteri yang lain, apabila bersara tidak banyak hendak campur tangan dalam pentadbiran negara.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Mahathir yang telah ‘berwasiat’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya jangan memberi muka kepada pembangkang.

Ayah kepada Menteri Besar Kedah itu dilaporkan menyatakan demikian selepas menghadiri majlis makan malam sempena Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) 2013 di ibu negara semalam.

Bagi Idris, selama 22 tahun Mahathir mentadbir negara, hancur segala-galanya daripada sistem kehakiman, demokrasi, hak asasi, ekonomi, rasuah, penghinaan pada hukum agama, ulamak dan politik.

“Rakyat jangan terkejut tindakan yang akan diambil oleh Najib apabila beliau mengikut skema yang telah dicadang oleh Tun. Beliau di dalam keadaan yang goyang, sebagai  Perdana Menteri dan Presiden Umno,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sebagai Perdana Menteri, ujarnya Najib terpaksa berhadapan dengan Pakatan Rakyat dan kemarahan rakyat, manakala di dalam Umno sudah ada gelombang untuk mencabar presiden.

Tambahnya, situasi yang ada kepada Najib, maka beliau akan ikut apa sahaja yang diperkatakan oleh Mahathir.

“Najib terpaksa ikut, kalau dia mahu hayatnya panjang di dalam Umno. Kenyataan Tun sebelum pilihan raya yang mengatakan jika Najib gagal mendapat keputusan yang cemerlang di dalam PRU 13 mesti meletak jawatan.

“Amaran inilah  sedang menghantui Najib. Oleh itu apa sahaja Tun suruh mesti ikut, seolah-olah seperti ‘wali mujbir’,” katanya lagi.

Najib diminta gugur pegawai penyiasat tunggal EAIC

Harakahdaily, 14 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Ekoran pengakuan SPRM bahawa bekas pegawainya yang terlibat dalam kes Teoh Beng Hock kini dipinjamkan ke Suruhjaya Intergriti Badan Penguatkuasa (EIAC), Perdana Menteri digesa menggugurkan pegawai berkenaan dari EAIC.

"Kami menggesa Datuk Sri Najib yang masih lagi diam membisu tentang hal ini supaya mengambil tindakan serta merta untuk menggugurkan pegawai tersebut daripada EAIC, sepertimana yang telah disyorkan oleh SPRM sendiri.

"Beliau juga harus memansuhkan harimau tidak bertaring EAIC dan menubuhkan IPCMC dengan kadar segera," kata dua anggota parlimen DAP, Steven Sim Chee Keong, Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah tampil mengesahkan bahawa Mohd Nadzir Ibrahim merupakan pegawai SPRM yang telah merakam keterangan Teoh Beng Hock dan kini “dipinjam” kepada EAIC.

Mengikut laporan-laporan berita, pegawai ini juga telah dikenal pasti oleh Majlis Peguam sebagai salah seorang pegawai SPRM yang patut disiasat lanjut atas beberapa tuduhan termasuk mengusik bahan bukti.

EAIC kini menjadi sasaran apabila cuba memainkan peranan untuk menyiasat kematian dalam tahanan polis tetapi hanya ada seorang pegawai penyiasat sahaja walaupun menyelia 19 badan penguatkuasa termasuk polis.

Satu-satunya pegawai penyiasat itu pula dikenali sebagai pegawai SPRM yang terlibat menyoalsiasat Teoh Beng Hock sebelum pegawai Exco Selangor itu ditemui mati.

Sehingga kini, sudah 48 jam berlalu namun Perdana Menteri mahupun EAIC masih lagi gagal untuk memberikan penjelasan yang memuaskan tentang identiti pegawai penyiasat tunggal EAIC Mohd Nadzri Ibrahim, sama ada beliau merupakan pegawai SPRM sama yang terlibat dalam kes mendiang Teoh Beng Hock.

Jika EAIC tidak mampu mengesahkan identiti pegawai penyiasat kanannya, maka kemampuan EAIC amat diragui, dakwa kedua-dua anggota parlimen itu.

Ini ditambah pula dengan kritikan mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid bahawa setelah menelan belanja RM14 juta selama dua tahun sejak 2009, EAIC hanya berjaya mengeluarkan dua amaran dan satu tindakan disiplin dalam tempoh masa tersebut.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah tampil mengesahkan bahawa Mohd Nadzir Ibrahim merupakan pegawai SPRM yang telah merakam keterangan Teoh Beng Hock dan kini “dipinjam” kepada EAIC.

Mengikut laporan-laporan berita, pegawai ini juga telah dikenal pasti oleh Majlis Peguam sebagai salah seorang pegawai SPRM yang patut disiasat lanjut atas beberapa tuduhan termasuk mengusik bahan bukti.

"Pengakuan daripada SPRM ini adalah dialu-alukan dan jelas membuktikan bahawa janji-janji transformasi dan integriti hanyalah sandiwara oleh Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional," kata Zairil dan Steven Sim (gambar).

Ini kerana seorang pegawai yang terlibat dalam kes kematian dalam tahanan yang masih tiada hujung pangkal kini dilantik sebagai pegawai penyiasat kanan dalam kes kematian dalam tahanan yang lain.

Bagi mereka, demi melanjutkan hayat pentadibran Barisan Nasional, Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak enggan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) dan sebaliknya telah menubuhkan EAIC yang bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah malah langsung tidak mendapat keyakinan rakyat.

Dengan melengahkan penubuhan IPCMC, masalah kematian dalam tahanan semakin berleluasa sehingga mencatat sembilan kes dalam enam bulan pertama tahun ini dan empat kes dalam masa dua minggu yang lepas, kata mereka.

Datuk Paul Low selaku “Menteri Integriti” pula telah gagal melaksanakan tanggungjawab beliau dan terbukti tidak berpegang kepada prinsip Transparency International yang telah diterajui beliau sebelum diangkat menjadi menteri.

Beliau juga telah gagal bukan sahaja dalam membawa pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan, malah Paul Low telah bersekongkol mempertahankan EAIC, lantas menjadi salah seorang watak dalam sandiwara Barisan Nasional ini.

Majlis sanjungan budimu guru Ahad ini

Harakahdaily, 14 Jun 2013


KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik Malaysia) mengalu-alukan  kehadiran warga pendidik dari pelbagai institusi  ke Majlis Sanjungan Budimu Guru, Ahad ini di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Program yang  cukup bermakna ini dianjurkan dengan dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan serta AmalNita Selangor juga Pendidik.

Demikian kata Presiden Pendidik, Normala Bt. Sudirman (Cikgu Mala) (gambar bawah) dalam kenyataannya.

Bertemakan “Guru Murabbi Penjana Khaira Ummah”, suatu forum akan diadakan selain acara perasmian yang akan disempurnakan perasmiannya oleh  Dr.  Halimah Ali selaku Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

Antara jemputan istimewa adalah Siti Zailah Mohd Yusuf selaku Ahli Parlimen Rantau Panjang yang juga merupakan Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat.

Turut dijangka meraikan majlis ini juga adalah  Dr. Hjh Siti Mariah Bt. Mahmud selaku Ahli Parlimen Kota Raja merangkap Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Majlis yang bermula pada jam 8.30 pagi ini akan berakhir hingga jam 1.00 tengahari dengan diserikan oleh ucapan perasmian, forum upacara memotong kek, tayangan montaj dan jamuan sebagai penghargaan kepada warga pendidik yang hadir.

Majlis Sanjungan Budimu Guru diadakan sebagai tanda penghargaan kepada warga pendidik khususnya majoritinya wanita yang sentiasa sabar dan tabah dalam mencurah bakti menggalas tugas suci mendidik anak bangsa demi memartabatkan profesionalisme perguruan dan agenda pendidikan dalam persada pendidikan negara.

Selain dari menjadi wadah dan wahana untuk saling bertukar – tukar pandangan tentang masa depan anak bangsa, warga pendidik dapat mengeratkan silaturrahim dan menyimpul ukhuwwah sesama teman seperguruan di Malaysia yang tercinta dalam majlis yang bersejarah ini, kata Cikgu Mala.

Tiada ulasan: