Rabu, 26 Jun 2013

MENGANGGU NI BIASANYA ADA UNSUR JELES@DENGKI

Daftar pemilih automatik relevan meskipun terlambat

Harakahdaily, 26 Jun 2013
KUALA LUMPUR: PAS melihat pertimbangan kerajaan untuk melaksanakan sistem pendaftaran pemilih secara automatik bagi rakyat Malaysia yang mencapai umur 21 tahun ke atas amat sesuai dan relevan meskipun agak terlambat.

Namun begitu, PAS merasa hairan mengapa Perdana Menteri sekarang baru sedar dan mengakui hari ini bahawa pelaksanan sistem ini praktikal untuk dilaksanakan sedangkan Pakatan Rakyat telah lama menyuarakan perkara ini.

“Langkah kerajaan walaupun nampak betul, ia dilihat sumbang,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Sepatutnya, kata beliau cadangan itu telah lama dipraktikkan sebelum PRU13 lagi bagi memberi laluan jutaan rakyat terutama golongan kali pertama (first time voters) mendaftarkan diri dan seterusnya menunaikan hak mereka.

Menurutnya, dengan kaedah yang diguna pakai sekarang, hanya pengundi yang mempunyai kesedaran tinggi dan berkelapangan sahaja berusaha mendaftarkan diri mereka.

Beliau berkata, majoriti penduduk terutama anak-anak muda yang tidak mempunyai kesedaran berhubung hak mereka memilih mendiamkan diri atau mengasingkan diri daripada menjadi pengundi.

“Menjadi kesukaran buat parti-parti politik turun berkempen menyedarkan rakyat agar mendaftar diri secara sukarela di samping berkempen agar rakyat membeirkan undi buat mereka,” ujarnya lagi.

Tambahnya, dalam keadaan negara yang semakin berkembang dengan teknologi baharu dan pelbagai kemudahan terkini diperkenalkan, sistem pendaftaran pemilih secara automatik boleh menjadi amat mudah dan pantas.

Tuan Ibrahim berpandangan, jika cadangan ini dilaksanakan, tidak perlu parti politik bersusah payah membuka kaunter pendaftaran pemilih dengan kempen pendaftaran di mana-mana tempat atau SPR melantik ejen pendaftaran pemilih bagi mengajak rakyat mendaftar sebagai pemilih.

“Bukankah ia menjimatkan masa, tenaga dan wang ringgit semua pihak termasuk SPR dan parti parti politik?” katanya.

Justeru, kata beliau PAS meminta kerajaan segera melaksanakan cadangan itu tanpa berlengah lagi.

Menurut beliau lagi, menanti PRU14 dalam tempoh 5 tahun mendatang, ia bakal mendatangkan masalah andai ia tertangguh-tangguh beberapa tahun.

Selanjtnya, tambah beliau setiap parti politik perlu bergerak ke hadapan dan antara langkah penting adalah mendaftarkan pemilih sesegera mungkin.

“Jangan menunggu sehingga akhir penggal baru cadangan ini terlaksana dengan pelbagai kerumitan yang keributan akan timbul bagi menambah kekecohan pada PRU14,” katanya.

Tahanan mati kerana soal siasat terlalu keras?

Salmiyah Harun, 26 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar tidak menolak bahawa kematian dalam tahanan polis disebabkan adanya tekanan daripada polis ketika proses penyiasatan.

Beliau berkata, proses penyiasatan yang dilakukan terhadap tahanan mungkin terlalu keras sehingga menyebabkan berlaku kematian.

Ini kerana katanya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi menyatakan antara faktor kematian di dalam tahanan disebabkan gantung diri dan pergaduhan sesama mereka.

"Mungkin kerana proses penyiasatan terlalu keras sehingga ada kes pukul sesama sendiri dan membunuh diri," katanya ketika mengajukan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, jika kerajaan memberi komitmen yang kuat untuk menubuhkan IPCMC tidak mustahil ia akan menjadi sebuah suruhanjaya yang berkesan bagi mengelakkan kejadian kematian dalam tahanan.

Sementara itu, Zahid dalam jawapannya menegaskan Suruhanjaya Peguatkuasaan Agensi Kerajaan (EAIC) mempunyai skop yang lebih besar dan mencakupi kesemua agensi kerajaan.

Zahid turut berjanji beliau tidak akan berkompromi dan melindungi pegawai polis yang terlibat menyebabkan kematian tahanan.

Menteri berkenaan juga menafikan bahawa kematian dalam tahanan bukan disebabkan keganasan polis sebaliknya, kerana penyakit yang dialami oleh tahanan.

Beliau berkata mengikut rekod kematian dari tahun 2000 hingga Mei 2013 sebanyak 231 dicatatkan dan hanya dua kematian yang dicatatkan adalah berpunca daripada pihak polis.

"Bukan semua kematian dalam tahanan disebabkan keganasan polis, hanya dua kes sahaja.

"Daripada 231 kes, 196 tahanan mati akibat daripada penyakit asma, HIV dan serangan jantung," kata Ahmad Zahid menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Johari Abdul (PKR- Sungai Petani) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Warung Pak Mat Pulau Pisang tarikan terbaru

Rizal Tahir, 26 Jun 2013

(Pak Mat dengan sup kepala ikannya yang sedap)

PENGKALAN CHEPA: Warong Pak Mat Pulau Pisang bakal menjadi tarikan pelanggan termasuk pelancong luar memandangkan ianya mempunyai tarikan tersendiri khususnya sup kepala ikan dan teh tarik madu.

Warong ini terletak di perkarangan Medan Ikan Bakar Kedai Buluh milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan.

Hari ini sempena majlis pelancarannya, pasukan The Red Warriors yang bakal menentang Johor Darul Takzim 29 Jun ini diraikan di sini.

Ianya juga bersempena mesyuarat pertama penubuhan persatuan Chef Kelantan yang dihadiri 22 orang mewakili hotel dan resort di negeri ini.

Pengurus Besar Perdana Resort, Saedon Ismail (gambar) berkata pihaknya diberi tanggungjawab oleh PKINK untuk mempromosikan MIB.

“Kerana itu kita cuba sedaya mungkin untuk memajukan kawasan ini.

“Alhamdulillah kita bersyukur kerana kawasan ini begitu berjaya menarik perhatian pengunjung sama ada untuk menikmati juadah di dalam restoran MIB atau warong Pak Mat,”ujarnya.

Sementara itu Warung Pak Mat ini bukan sahaja menjadi tarikan masyarakat setempat tetapi pimpinan kerajaan negeri dan golongan korporat.

Paling istimewa tetamunya Kerabat D’raja Kelantan dan bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta anggota keluarga.

Medan Ikan Bakar mula diperkenalkan pada tahun 2011 oleh PKINK sebagai medan untuk usahawan mempergiatkan perniagaan restoran di situ.

Ianya terletak di Kampung Buloh, berhampiran Pantai Cahaya Bulan (PCB).

Terdapat dua restoran utama di MIB, iaitu Restoran Juara Ikan Bakar dan Restoran Food Village yang menyediakan steam bot.

PRK uji wibawa SPR

Zuraidi Salleh,
Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Terengganu, Dr A. Rahman Mokhtar yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah hari ini.

Sehubungan dengan itu suatu pilihan raya kecil (PRK) dijangka akan diadakan bagi mencari pengganti allahyarham. PRK ini sesungguhnya merupakan ujian yang besar kepada SPR yang teruk dikecam selepas PRU13 baru-baru ini. Kelemahan SPR bukan sahaja ditempelak oleh Pakatan Rakyat malah Barisan Nasional juga. Hal ini kerana kedua-dua pihak telah menghantar petisyen dalam jumlah yang banyak. Mampukah SPR memulihkan imejnya melalui PRK ini? Hanya mereka yang mampu menjelaskannya.

Selain menguji kewibawaan SPR dalam urusan pengendalian pilihan raya, PRK ini boleh mengubah landskap politik di Terengganu. Hal ini kerana kedudukan kerusi yang dimenangi oleh BN dan PR hanya dibezakan oleh dua kerusi. Walaupun dijangka BN berupaya memenangi kembali kerusi ini, namun andaian boleh dibuat jika PR pula yang memang.

Jika PR yang menang, jumlah kedudukan kerusi akan menjadi seimbang iaitu 16-16. Suasana itu bakal mengundang pembubaran DUN bagi mencari mandat baru.

Namun yang paling penting ialah perjalanan pilihan raya itu sendiri. Saya mengharapkan suatu pilihan raya yang berlangsung dalam suasana aman dan harmoni. Kedua-dua pihak wajar saling mematuhi dan menghormati undang-undang negara. Berilah peluang rakyat memperoleh maklumat secara terbuka agar mereka boleh membuat pilihan berdasarkan hakikat bukan emosi.

Nyawa Pasar Kedai Payang terpaut pada PRK Kuala Besut?

http://ibnmustaffa.blogspot.com, 26 Jun 2013

NYAWA KEDAI PAYANG TERPAUT PADA PRK KUALA BESUT!!

Kuala Besut.

Nama yang tiba-tiba meletup tengah hari tadi.

Kematian Exco, yang sepatutnya kita semua berkabung seketika kerana seorang muslim telah meninggal dunia, hanya sempat diucap takziah dan innalillah. Itu sahaja. Apa yang lebih penting yang hendak diutarakan oleh semua makhluk di bumi Malaysia ini adalah, Pilihanraya Kecil. PRK.

Inilah dia, tabiat politik di Malaysia. Memang pantas. Memang laju. Memang drastik.

Dan seperti biasa, SPR akan mengumumkan bahawa PRK akan dibuat 60 hari selepas kekosongan kerusi N01 Kuala Besut itu.

17-15, telah menjadi 16-15.

Lebih 1 kerusi.

Dan yang pasti. PAS akan memainkan semain-mainnya isu Kedai Payang yang akan dirobohkan oleh Mat Said.

Namun, sebenarnya, apa yang berlaku sekarang ini, memang benar, ianya adalah hidup matinya Kedai Payang yang di dalam keadaan akan dimusnahkan, jika BN kekal sebagai kerajaan negeri. Dengan terwujudnya PRK ini, maka laluan pernafasan Kedai Payang yang seakan mati kembali bernyawa. Dengan berlakunya PRK ini, sudah tentu nyawa Kedai Payang ini bergantung hidup pada undi daripada 17,679 pengundi di DUN Kuala Besut.

Walau dialek sebutan lebih 'e' dari 'ng', walau sanak saudara lebih ke arah Semerak dari Kuala Terengganu, walau lebih mengaku asal Besut dari asal Terengganu, namun kekuatan 'roh' Kedai Payang itu adalah lebih kuat dan utuh untuk menjatuhkan rejim BN Terengganu dari terus memerintah Terengganu.

Ayuh pengundi Kuala Besut, andalah penyelamat kepada Pasar Kedai Payang.....





# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Annuar diperlekeh kerana cuba ganggu Anwar

Salmiyah Harun, 26 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Keghairahan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mencelah ketika perbahasan Titah Yang di-Pertuan Agong oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akhirnya terkena diri sendiri.

Beliau pada mulanya bangkit mempersoal ketidaksepakatan Pakatan Rakyat ekoran gagal mengemukakan satu logo mewakili ketiga-tiga parti dalam PRU13 lalu.

Bagaimanapun dakwaan beliau itu terus dibantah oleh beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat termasuklah Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, dan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin.

Mereka mengutuk Annuar Musa kerana tidak mendapatkan maklumat yang betul sebelum membuat tuduhan.

Sehubungan itu, Anwar menyindir Annuar yang hanya mendapat maklumat daripada Utusan Malaysia.

"Yang Berhormat Ketereh ambil maklumat daripada Utusan!

"Dua tahun setengah Pakatan Rakyat mengemukakan pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai satu parti, sampai sekarang tidak diluluskan," tegas Anwar sambil menepuk meja dan diikuti tepukan barisan ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun Annuar kelihatan tersengih-tersengih setelah diejek oleh barisan ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Sebelum itu, Annuar beberapa kali bangun mencelah dan beliau kelihatan seperti tidak berpuas hati dengan Anwar Ibrahim.

Tiada ulasan: