Khamis, 27 Jun 2013

SPR TERUS JADI BADAN YANG DIRAGUI

Perdamaian nasional sekadar kaburi mata rakyat?

Salmiyah Harun, 27 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Nasrudin Hassan menolak perdamaian nasional sekiranya ia sekadar menjadi alat untuk mengaburi mata rakyat secara umum.

"Jika pelan ini hanya mahu dijadikan ruang untuk membenarkan penyelewengan, membenarkan salah laku dan melindungi menipulasi apa yang berlaku (proses pilihan raya), kita tetap menolak," kata Ahli Parlimen Temerloh itu dalam sidang media lewat petang tadi.

Namun beliau berharap kerajaan mengemukakan terlebih dahulu bagaimana bentuk dan mekanisma pelan perdamaian nasional yang dicadangkan itu.

Cadangan menubuhkan konsulasi itu, bagi Nasrudin satu cadangan yang positif tetapi mesti ikhlas untuk memberi kesan yang baik kepada rakyat.

"Kalau komiten untuk rakyat kita bersedia untuk memberi pandangan dan input demi kebaikan rakyat," katanya.

Beliau juga bersedia untuk memberi kerjasama tidak kira dalam bentuk apa sekalipun yang penting ianya untuk memajukan dan mematangkan demokrasi negara.

Justeru beliau tetap menegaskan beliau tidak menolak keputusan pilihan raya tetapi menentang penyalahgunaan, salah laku dan penyelewenagn Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerajaan akan menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) bagi mencari penyelesaian berkaitan isu polarisasi kaum dan agama terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Mengulas lanjut Najib bagaimanapun berkata, langkah utama dalam membentuk perdamaian nasional di kalangan rakyat ialah dengan menerima keputusan PRU-13 berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Zahid disaran berehat sehingga kes selesai

Hazayani Zakaria, 27 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi harus berehat daripada tugas beliau sehingga siasatan ke atasnya selesai, kata Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin.

Beliau berkata, Zahid harus berbuat demikian bagi mengelakkan konflik kepentingan dalam kes membabitkan saman seorang ahli perniagaan ke atas beliau.

"Oleh kerana beliau seorang menteri apabila ada satu tuduhan atau kes saman yang mempunyai asas, paling kurang beliau diminta untuk bersara atau lebih baik beliau sendiri meletakkan jawatan.

"Tapi kalau beliau rasa beliau sendiri nak pertahankan jawatan, beliau kena berehat dahulu seperti mana yang dilakukan oleh menteri-menteri Umno yang lain," kata beliau ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Zahid untuk mengenepikan saman yang dikemukakan ke atasnya oleh seorang ahli perniagaan.

Hanipa yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat juga berharap Peguam Negara melakukan pendakwaan ke atas Zahid dan tidak mengamalkan pendakwaan terpilih.

"Kuasa pendakwaan di bawah Peguam Negara. Jadi saya harap Peguam Negara tidak mengamalkan budaya pendakwaan terpilih terutama apabila melibatkan menteri," katanya.

Zahid dituduh menyerang dan melakukan cubaab bunuh ahli perniagaan Amir Bazli Abdullah, dalam satu kejadian pada 2006.

Wajibkah individu down syndrome berpuasa?

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 27 Jun 2013
Soalan;

Adakah wajib bagi anak down syndrome solat dan berpuasa?

Jawapan;

Antara syarat wajib solat dan puasa ialah mukallaf. Maksud mukallaf ialah; seseorang itu memiliki sifat-sifat yang menjadikannya mampu untuk menerima arahan Syarak (Allah dan Rasul) iaitu;
1. Berakal sempurna; yakni mampu membezakan antara baik dan buruk, dosa dan pahala, antara satu ibadah dengan satu ibadah yang lain.
2. Sampai umur (yakni telah baligh).
3. Sempurna pancainderanya; khusus yang berkaitan dgn penerimaan ilmu iaitu; mata dan telinga. Jika seseorang itu buta mata dan pekak telinganya (yakni rosak kedua-dua sekali), gugur kewajipan syariat kerana ia tidak mempunyai alat untuk menerima arahan Syarak.

Oleh sebab individu down syndrome kebiasaannya tidak mempunyai sifat pertama di atas (berakal sempurna), tidak wajiblah atasnya solat dan puasa.

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Dedah nama syarikat pembekal dakwat kekal

Salmiyah Harun, 27 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mendedahkan nama syarikat yang yang membekalkan dakwat kekal pada piliha raya umum (PRU) ke-13 lalu.

Menurut Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Fook dakwat kekal yang dibekalkan syarikat terbabit bukan sahaja kosnya yang melambung dan tidak berpatutan tetapi ia tidak memenuhi fungsinya kerana dakwat tersebut langsung tidak kekal.

Malah katanya, SPR dan kerajaan Malaysia sepatutnya mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal tersebut untuk menuntut ganti rugi kerana barangan yang dibekalkan tidak mematuhi spesifikasi.

Malangnya, katanya beliau, SPR bukan sahaja tidak mengambil tindakan terhadap pembekal malah terus melindungi pembekal tersebut dengan merahsiakan maklumat syarikat atas sebab keselamatan.

"Apa isu keselamatan yang dimaksudkan? Bagaimanakah maklumat pembekal dakwat kekal boleh menimbulkan masalah keselamatan? Sebelum PRU13, maklumat pembekal tersebut dirahsiakan oleh SPR atas alasan bahawa kemungkinan di sabotaj.

"Kini PRU telah berlalu dan tidak ada sebab pembekal tersebut tidak boleh diumumkan," tegasnya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.   

Katanya, tindak-tanduk SPR untuk terus berdolak-dalik dalam isu ini akan memperkuatkan presepsi negatif terhadap SPR dan tuntutan untuk perletakkan jawatan Pengerusi, Timbalan dan ahli-ahli SPR terus diperhebatkan.

Sementara itu, Loke turut terkilan dengan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendedahkan jumlah kos penggunaan dakwat kekal yang tidak kekal pada PRU lalu sebanyak RM7.1 juta.

Sedangkan katanya, pada tahun 2008 lalu kos yang digunakan untuk membeli dakwat oleh SPR sebanyak RM2.4 juta walapun dakwat itu dimusnahkan selepas tidak dibenarkan oleh kerajaan beberapa hari sebelum PRU12.

Jelasnya, jumlah pengundi pada tahun 2008 adalah 10.9 juta manakala jumlah pengundi pada tahun 2013 ialah 13.3 juta iaitu pertambahan 20 peratus.

"Mengapakah pertambahan pengundi sebanyak 20 peratus boleh menyebabkan peningkatan kos dakwat kekal dari RM2.4 juta ke Rm7.1 juta. Satu peningkatan tiga kali ganda," soalnya.

Tambahnya, pada 19 jun 2013 kerajaan India menyumbang 40,000 botol dakwat kekal kepada Cambodia untuk pilihan raya umum mereka dengan kos US877,800 (RM2.8 juta) di mana Cambodia mempunyai lebih 9 juta pengundi.

"Mengapa perbezaan kos ini begitu ketara dan apa sahaja yang dibeli oleh kerajaan Malaysia sentiasa mahal? Apa sahaja yang kita beli mesti lebih mahal," katanya.

Speaker tolak usul pendakwaan terpilih

Salmiyah Harun , 27 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menolak usul pendakwaan terpilih yang dibawa oleh Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin.

Penolakan tersebut dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia atas alasan kerana kes-kes yang berlaku telah dibawa ke mahkamah dalam masa yang sama sidang dewan masih dalam membahaskan ucapan Titah Yang Di-Pertuan Agong.

Usul yang dikemukakan Hanipa adalah berkaitan penerusan pendakwaan terpilih di bawah Akta Hasutan 1948 yang dijanjikan untuk diganti dengan Akta Keharomian Nasional.

Ianya dikemukakan kepada Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2).

Hanipa yang membacakan usulnya itu menegaskan pemimpin yang pro Pakatan Rakyat ditangkap antaranya Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, Datuk Tamrin Ghaffar, aktivis Ngo Haris Ibrahim dan mahasiswa Adam Adli dan Safwan Anang yang kritikal kepada Umno BN disiasat dan didakwa di bawah Akta Hasutan.

Pendakwaan terpilih ini, katanya telah menimbulkan kekeliruan dan keraguan di kalangan rakyat Malaysia tentang niat dan kesungguhan kerajaan mengotakan Janji Ditepati untuk memansuhkan akta tersebut diganti dengan Akta Keharmonian Nasional.

Lebih malang lagi katanya, mereka yang pro BN seperti Perkasa yang membuat kenyataan berkecenderungan menghasut melibatkan isu-isun perkauman dan sensitif agama di bawah akta ini tidak ditangkap, disiasat jauh sekali di dakwa di mahkamah.

Antara mereka yang terlibat katanya, seperti kenyataan Presiden Perkasa yang ingin membakar Bible, kenyataan Zulkifli Nordin memperlekehkan kepercayaan Penganut Agama Hindu, dan kenyataan Tun Mahathir yang mendakwa Lim Kit Siang rasis.

Bagi Hanipa, perkara ini melibatkan kepentingan ramai kerana kerajaan BN telah berjanji untuk menghapuskan Akta Hasutan yang merupakan undang-undang warisan penjajah, tetapi masih ramai lagi rakyat Malaysia terdedah dengan pendakwaan ini.

"Sekali gus meranapkan 'legitimate expection' mereka untuk tidak didakwa di bawah akta ini," katanya.

Bahkan katanya, usul ini perlu disegerakan kerana sehingga kini tidak nampak akta ini akan dihapuskan sepertimana janji yang dibuat oleh kerajaan BN sedangkan dalam masa yang sama banyak pimpinan Pakatan Rakyat yang kritika pada BN terus didakwa.

Bagaimanapun Pandikar menolak usul tersebut dan mencadangkan ianya dibangkitkan dalam ucapan titah diraja.

Selesaikan isu SPR sebelum cadang perdamaian

Muhammad Faizal, 27 Jun 2013
KUALA LUMPUR: PAS bersedia duduk bersama dalam pendamaian nasional jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan terlebih dahulu isu yang mambabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta penyelewengan yang berlaku sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika dihubungi Harakahdaily menegaskan, PAS tidak akan berkompromi dalam perkara-perkara asas yang melibatkan isu-isu keadilan, keselamatan, perundangan termasuk isu integriti SPR.

Menurutnya segala isu ini perlu diselesaikan secara menyeluruh mengikut apa yang dituntut oleh Pakatan Rakyat terutamanya melibatkan penipuan di dalam PRU13 pada 5 Mei lalu.

"PAS sedia duduk semeja dalam pendamaian nasional sepertimana yang dicadangkan oleh Najib tetapi syarat utama Perdana Menteri perlu menyelesaikan secara menyeluruh apa yang dituntut oleh kita terutamanya penipuan dalam PRU13 serta memulihkan SPR sepenuhnya.

"Perkara-perkara asas ini perlu diselesaikan oleh Najib sepenuhnya barulah beliau boleh mengemukakan cadangan tersebut dan kita dari Pakatan Rakyat khususnya PAS bersedia untuk duduk bersama," jelasnya.

Salahuddin turut menegaskan, Najib tidak perlu mengemukakan cadangan untuk pendamaian nasional jika perkara asas yang membabitkan keputusan PRU13 yang penuh dengan penyelewengan serta jelas bertentangan dengan perundangan tidak dapat beliau atasi.

"Selagi tonggak utama membabitkan SPR dan PRU13 tidak diselesaikan, Najib perlu melupakan pendamaian nasional.

"Kami menuntut ia diselesaikan, pulihkan SPR mana-mana anggota tertinggi di dalam SPR perlu letak jawatan dan lantikan hendaklah dilakukan mengikut satu kaedah yang khusus barulah usaha damai ini boleh dikemukakan," tegas beliau.

Tiada ulasan: