Sabtu, 29 Jun 2013

SEMUA JAWATAN PATUT LAWAN....BARU BETUL...KITA TAHU SAPE YANG AHLI SUKA

Kuala Besut: Salah SPR jika kedudukan 16-16

Khairil Abdul Rahim, 29 Jun 2013
TEMERLOH: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut ini Dewan Undangan Negeri Terengganu (Dun) berkedudukan 16-16 sehingga menyulitkan kedudukan kerajaan negeri itu.

Tuan Ibrahim berkata, SPR sendiri yang mengatur kawasan pilihan raya secara genap sehingga memungkinkan kedudukan menjadi seri antara kerajaan dan pembangkang.

“Takdirnya kedudukan menjadi 16-16 selepas PRK nanti, kita salahkan kegagalan SPR kerana mengatur kerusi secara genap. Sepatutnya jumlah kawasan pilihan raya mestilah angka ganjil, baru boleh dapatkan kemenangan,” katanya dalam sidang media sejurus selepas mesyuarat Badan Perhubungan PAS Pahang hari ini.

Kerusi Kuala Besut kosong berikutan kematian Adunnya, Dr A Rahman Mokhtar baru-baru ini. Pada PRU lalu Allahyarham memperolehi  8,809 undi, manakala calon PAS mendapat 6,375 undi.

Kedudukan dalam Dun Terengganu selepas PRU13 lalu hanya berbeza dua kerusi antara BN dan Pakatan Rakyat di mana BN mempunyai 17 kerusi manakala Pakatan 15 kerusi.

Jika calon Pakatan menang dalam PRK Kuala Besut ini bermakna bilangannya akan menjadi sama banyak iaitu 16:16 dalam Dun yang mempunyai 32 kerusi itu.

Tuan Ibrahim berkata, PRK ini bukan sahaja sangat penting dan kritikal kepada kepada PR dan BN, malah tumpuan yang lebih utama ialah kepada SPR sendiri.

“Penting juga bagi rakyat untuk melihat SPR yang mengendalikan PRK tersebut nanti sama ada berkeras untuk menggunakan dakwat kekal yang dianggap kontroversi dan penipuan itu atau bagaimana.

“Bagi kita jika SPR kehilangan idea, kita cadang gunakan inai saja nanti,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, berkata PAS negeri ini akan menghantar 1,000 petugas melalui tiga fasa dengan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN) dilantik sebagai ketua kotingen PAS Pahang.

“PAS Terengganu meletakkan PAS Pahang bertugas di unit peti undi (UPU) Kampung Nangka. Peti undi tersebut pernah dimenangi PAS dengan majoriti lebih 700 undi pada PRU 1999. Kerajaan PAS dulu banyak memberikan kelulusan hak milik tanah kepada penduduk.

“Bagaimanapun dari segi peluang PAS Pusat meletakkannya 50:50 berikutan kawasan yang kalah pada PRU lepas ialah di Pulau Perhentian, pesisir pantai dan kem tentera di Gong Kedak sementara kawasan bandar dan pinggir bandar semuanya dimenangi PAS,” ujarnya.

Mengenai isu, Tuan Ibrahim berkata pada masa ini penduduk di Kuala Besut sendiri sudah membangkitkan janji-janji yang dibuat BN semasa PRU dulu.

CAP gesa keluar fatwa pengharaman shisha

Harakahdaily, 29 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik langkah yang diambil oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha di negeri itu kerana ia mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok.

CAP sejak beberapa tahun yang lalu telah menggesa pihak berkuasa yang berkenaan agar mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana ia ternyata boleh memudaratkan kesihatan penggunanya.

CAP dalam satu kenyataan akhbar pada 29 Oktober 2012 menggesa pihak berkuasa mengharamkan terus penggunaan shisha yang semakin berleluasa di seluruh negara terutama sekali dalam kalangan anak-anak muda.

“Namun begitu usaha dan gesaan yang dibuat oleh CAP itu tidak mendapat maklum balas daripada yang berkenaan,” ujar Presiden CAP, SM Mohamed Idris dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Selaras dengan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Perlis itu, ujarnya CAP menggesa agar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa yang mengharamkan penggunaan shisha sepertimana juga fatwa yang mengharamkan rokok.

Justeru, kata beliau CAP sekali lagi menyarankan pihak berkuasa berkenaan mengharamkan terus penggunaan shisha dan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara ini tidak lagi mengeluarkan lesen perniagaan terhadap premis yang mempunyai kemudahan untuk menghisap shisha.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-11/2013 pada 24 Jun lepas membuat keputusan itu.

Dr. Juanda berkata, amalan menghisap shisha bukan sahaja membuang masa tapi memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan belia dan remaja.

Beliau berharap MPK dapat menghalang kegiatan penjualan shisha demi kepentingan masyarakat.

Menurutnya, langkah pengharaman itu dilaksanakan kerajaan negeri Melaka sejak 2009 dan Perlis juga menuruti jejak negeri itu kerana kegiatan itu didapati membawa kemudaratan yang besar.

Gejala menghisap shisha yang semakin menular dalam kalangan remaja masa kini dan kewujudan premis serta kedai yang menyediakan kemudahan menghisap shisha perlu diberi perhatian serius dengan segera oleh pihak berkuasa kesihatan dan majlis perbandaran.

“Langkah ini perlu diambil dengan segera oleh semua negeri yang masih belum mengeluarkan fakwa mengharamkan shisha memandangkan menghisap shisha ini dikatakan sama bahayanya dengan menghisap rokok,” ujar SM Idris lagi.

Katanya, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), amalan menghisap hookah atau shisha mempunyai risiko kesihatan yang sama seperti merokok atau menggunakan produk tembakau lain.

Penghisap shisha, ujar beliau biasanya menyedut asap sebanyak 50 hingga 200 kali atau selama 20 minit hingga 80 minit yang dianggarkan sebanyak 0.15 liter hingga satu liter.

Menurutnya, mereka yang menghisap rokok selalunya menyedut sebanyak lapan hingga 12 kali dan mengambil masa hanya lima hingga tujuh minit serta menyedut 0.5 liter hingga 0.6 liter asap.

“Mengenai bahaya menghisap shisha ini, dikatakan penghisap shisha turut boleh mengalami ketagihan seperti penghisap rokok biasa, kerana penggunaan tembakau sebagai bahan utama sememangnya membahayakan kesihatan,” katanya.

Jelasnya, penggunaan arang dalam peralatan untuk menghisap shisha boleh meningkatkan masalah paru-paru berikutan arang yang digunakan boleh mendap dalam saluran pernafasan si penghisap.

Katanya, air didihan yang digunakan juga tidak dapat menapis toksin yang ada, memandangkan shisha turut mengandungi nikotin dan karbon dioksida yang terdapat dalam rokok biasa, penggunaan berterusan hanya akan memudaratkan kesihatan dalam jangka masa penjang.

Tambah beliau, tindakan tegas perlu diambil segera memandangkan penggunaan shisha boleh memudaratkan kesihatan demi untuk menjaga kesejahteraan generasi kita yang akan datang.

Apasai Prof, asyik cerita PAS menang ni!!
Posted on Saturday, June 29 @ 11:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Oleh: laniismaa

"Kuala_Besut

Nampaknya PRK Kuala Besut amat menarik perhatian ramai. Semua penganalis politik bercerita tentang PAS menang dan menjadikan DUN Terengganu 16-16, tergantungkah DUN Terengganu. Mereka tak berminat nak bercerita kalau Umno menang.


Sebelum ini  Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, bercerita tentang PAS menang. Katanya sekiranya 16-16, Sultan yang akan menentukan tampuk pemerintahan negeri.
Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak juga bercakap tentang PAS menang. Katanya Sultan boleh memberi peluang kepada BN yang merupakan pemerintah pada masa ini untuk membentuk kerajaan dengan mendapat sokongan majoriti DUN. Kalau gagal Sultan akan beri peluang kepada PR.
Semalam Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat juga bercerita tentang PAS boleh menang di Kuala besut.
Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari juga bercerita tentang PAS menang. Kalau 16-16, Sultan Terengganu boleh membubarkan DUN sekiranya baginda tidak boleh memutuskan MB yang sesuai.
Ketua MCA Terengganu dan bekas anggota exco Datuk Toh Chin Yaw juga bercerita tentang PAS menang. Katanya DUN tergantung tak berlaku kerana undi pemutus speaker Dun, yang kini disandang Mohd Zubir Embong, akan membolehkan BN terus berkuasa di Terengganu.
Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan juga bercerita tentang PAS menang. Kalau PAS menang 16-16, ia tak pernah berlaku dalam sejarah negara, katanya kepada TMI. Dia juga berkata Umno mesti menang di kerusi tersebut.
Mereka tak berminat bercerita tentang Umno menang. Jadi orang-orang Kuala Besut boleh memberi kemenangan kepada PAS supaya dapat meleraikan kebuntuan Prof-prof di atas. Kalau ada masalah, tentu ada penyelesaian dan kita juga nak lihat penyelesaian tersebut. Selagi PAS tak memang, maka lagi peninglah Prof-prof di atas. Orang-orang Kuala Besut juga boleh mencipta sejarah.
Baca juga : Hakim kes Kugan dipaksa bersara? 

 Jemputan Daripada Pendana Menteri Malaysia
Posted on Saturday, June 29 @ 10:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjualCendol


Blog LaptopLama



Semalam (cerita April lalu) dapat jemputan dari YAB Perdana Menteri Malaysia.. Katanya anda antara 70 orang yang dijemput.. Katanya kena jawab untuk pengesahan.. Yabedabedu hehe... Kata yang jadi perantaraan memberi kad jemputan artis yang akan ke majlis ini ialah Dato Siti Nurhaliza dan ramai lagi..

Agaknya apa perasaan kita? Agaknya apa persiapan kita?



Tiap-tiap hari Allah memanggil kita dengan laungan azan. Azan bukan sahaja memberitahu kita tentang waktu solat tetapi menjemput kita untuk mengadap Allah azawajala!

Solat ibarat medium untuk kita luahkan segala-galanya kepada Allah Taala. Solat ini ibarat 'DATE' kita dengan kekasih kita.

Bila kita letakkan cinta kita dalam solat kita untuk bertemu dengan kekasih kita, secara langsung akan wujudnya rasa rindu untuk kita bertemu dengan Dia.

Apabila ada rasa rindu tu, barulah kita akan merasai 'khalawatul Iman', kemanisan iman dalam beribadat. Kita akan rasa tak sedap hati andai kita menangguhkan solat, andai kita terlewat solat jamaah, andai kita tidak dapat tabkiratul ula.

Semua tu akan timbul andai hati kita benar-benar mencintai Allah dan dizahirkan melalui solat kita. Kerana Allah menjemput kita untuk mengadapNya.

Malangnya kita sudah tidak memahami dan membezakan antara Allah dan Perdana Menteri dan kita telah ditipu dengan dunia yang sedikit ini.....


__________
http://laptoplama.blogspot.com/


Azalina mahu cabar Shahrizat
Posted on Saturday, June 29 @ 09:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjualCendol

Blog TempayanRetak



SHAH ALAM - Bekas Ketua Puteri Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said sedia untuk mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti itu hujung tahun ini.

The Star melaporkan, Azalina yang merupakan ahli Parlimen bagi kawasan Pengerang berkata, beliau sudah memutuskan untuk mencabar Shahrizat kali ini.

 "Ya, saya berminat untuk bertanding. Saya telah membuat keputusan," beliau dipetik sebagai berkata.

Akhbar itu melaporkan Shahrizat juga mengesahkan bahawa beliau berhasrat untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita yang dimenangi beliau pada tahun 2009 selepas menewaskan Tan Sri Rafidah Aziz.

Karier politik Shahrizat terjejas selepas dirinya terpalit dengan skandal Pusat Fidlot Nasional atau NFC tahun lalu.

Meskipun begitu, Shahrizat berkata beliau masih mendapat sokongan daripada sayap wanita.

"Mereka berada untuk saya pada waktu gelap saya dan saya percaya mereka tidak akan meninggalkan saya. Mereka adalah sahabat saya dan sahabat adalah seperti bintang. Semakin gelap malam, sinarannya semakin bercahaya," kata beliau.

Shahrizat berada dalam Kabinet selama 11 tahun dan merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum didesak untuk meletak jawatan pada Mac tahun lalu.

Suaminya Datuk Seri Mohd Salleh Ismail yang menghadapi tuduhan di mahkamah kerana isu NFC tetapi Shahrizat menafikan mempunyai apa-apa kaitan dengan perkara itu.

Azalina pula seorang bekas menteri dan ahli Parlimen wanita menawarkan dirinya sebagai ejen perubahan untuk Wanita Umno.

Beliau berkata, generasi baru wanita Melayu telah muncul dalam Umno dan mereka boleh membantu membuatkan sayap wanita itu lebih menarik dan relevan dengan landskap politik baru.

Azalina adalah Ketua Puteri Umno dari 2002 sehingga 2004.

Sebelum ini beliau pernah dikaitkan dengan kontroversi dalam cadangan projek Brickendonbury ketika berkhidmat sebagai Menteri Belia dan Sukan dan mengenai perbelanjaan Pempena ketika beliau menjadi Menteri Pelancongan. - Sinar Harian


___________
http://tempayanretak.blogspot.com


  Undang-undang berkenaan penukaran agama anak menindas bukan Islam, kata MCCBCHST
Posted on Saturday, June 29 @ 08:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjualCendol


Oleh Md Izwan

Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) mendakwa peruntukan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang dibentang di Parlimen akan menindas bukan Islam, ia ekoran pertikaian tentang hak bersama penjaga dalam menentukan agama anak mereka.

Pertikaian isu ini dibangkitkan selepas seorang wanita Hindu, Subashini Rajasingam mengemukakan perintah injunksi bagi menghalang suaminya, Saravanan Thangathoray daripada mengislamkan dua anak lelaki mereka, Dharvin Joshua, 4, dan Sharvind, 2 pada 2007.


"MCCBCHST sekeras-kerasnya membantah beberapa peruntukan yang terdapat dalam Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama pada 26 Jun 2013 kerana ia memberi kesan kepada bukan Islam.

"Rang Undang-undang tanpa persetujuan bersama cuba mengubah Perlembagaan Persekutuan dengan menterjemahkan perkataan 'ibu bapa' dalam Perlembagaan Persekutuan kepada 'ibu atau bapa' yang bertentangan dengan istilah 'lbubapa'," kata kumpulan tersebut dalam satu kenyataan hari ini.
MCCBCHST berkata tindakan yang membenarkan salah seorang penjaga dalam menentukan agama anak mereka seperti dibawah Seksyen 107 (b) adalah satu ketidakadilan dan berat ke atas sebelah pihak penjaga yang tidak menukar agamanya dan anak dalam perkahwinan tersebut
"Seksyen 107 (b) 'jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan  pemelukan agama  lslam olehnya' adalah peruntukan yang akan mewujudkan ketidakadilan sosial dan bertentangan dalam perkara perlembagaan," katanya lagi.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Peguam Christopher Leong juga menyatakan pendirian sama apabila menegaskan penukaran agama tanpa persetujuan bersama penjaga anak bawah umur adalah bertentangan dengan perkara dalam perlembagaan dan mengingkari undang-undang tertinggi negara ini.
"Tanpa persetujuan dengan penjaga yang tidak menukar agama adalah bertentangan dengan perkara perlembagaan kita.
"Sebarang undang-undang yang bertentangan dengan Perkara 12 (4), dibaca dengan Perkara 160 dan Jadual Kesebelas Perlembagaan Persekutuan, dan berupa peruntukkan untuk memberi kebenaran kepada satu penjaga untuk menukar agama anak bawah umur adalah bercanggah dengan perlembagaan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 13 Mac 2007, Mahkamah Rayuan membuat keputusan majoriti 2-1 menolak dengan kos rayuan Subashini untuk mengekalkan perintah injunksi ex-parte bagi menghalang dua anak lelakinya yang masih bawah umur daripada diislamkan oleh Saravanan.
Pada 23 Mei 2006, Saravanan mendapat perintah ex-parte daripada Mahkamah Tinggi Syariah berhubung hak jagaan sementara Dharvin Joshua yang bersama-samanya memeluk Islam dengan menukar nama kepada Muhammad Shazrul Dharvin.
Rayuan di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Datuk Nik Hashim Nik Ab. Rahman bersama Datuk Abdul Aziz Mohamed dan Datuk Azmel Maamor. - 28 Jun, 2013.

Tiada ulasan: