Jerebu: Tanggungjawab Shahidan atau Palanivel?
Harakahdaily, | 21 Jun 2013 |
Jerebu di Johor, khususnya di Johor Baru, berada di peringkat mencemaskan dengan bacaan aras pencemaran udara (API) di Kota Tinggi dan Pasir Gudang masing-masing mencecah 314 dan 323 pada jam 11 pagi ini.
Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang berkata rakyat Malaysia masih ingat mereka diberitahu bahawa kerajaan akan mengisytiharkan darurat jika API mencecah 301, tetapi nampaknya tidak ada keseriusan sama ada di pihak Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Alam atau Kementerian Alam Sekitar dalam menangani jerebu sekarang walaupun ratusan buah sekolah telah ditutup sejak beberapa hari lalu disebabkan jerebu.
Justeru, beliau mempersoalkan dalam menangani keadaan cemas akibat jerebu ini, siapa sebenarnya menteri yang bertanggungjawab.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baru, yang bertanggungjawab atas Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Alam, atau Menteri Alam Sekitar? Datuk Seri Shahidan Kassim atau Datuk Seri G. Palanivel?” tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Tambahnya, tiada siapa tahu kerana kedua-dua menteri berkenaan membisu seribu bahasa, seolah-olah jerebu yang menyumbat pernafasan penduduk Johor bukan masalah mereka.
Menurutnya, masa telah tiba untuk kedua-dua menteri bersuara, bukan setakat untuk memaklumkan kepada rakyat Malaysia tentang rancangan mereka untuk menangani masalah mutu udara di Johor khususnya.
Katanya, tetapi juga untuk memaklumkan langkah bersama akan akan mereka ambil bersama kerajaan Indonesia dan Singapura untuk mengawal dan mengakhiri kebakaran gambut dan hutan di daerah Riau, Sumatera tengah.
Ini, ujar Lim lagi termasuk untuk mendedahkan identiti syarikat-syarikat berasal dari Malaysia yang terbabit dalam kegiatan pembakaran terbuka demi keuntungan segera sehingga menjejaskan kesihatan dan persekitaran para penduduk di ketiga-tiga buah negara terbabit.
200 pemimpin Pakatan turun bersama rakyat esok
Harakahdaily, | 21 Jun 2013 |
Pengerusi Black 505, Datuk Johari Abdul berkata, kehadiran rakyat yang besar pada himpunan itu akan menjamin pilihan raya yang lebih baik pada masa hadapan.
Katanya, pemimpin Pakatan Rakyat menyeru, kehadiran melebihi 250,000 bagi menunjukkan kepada kerajaan BN bahawa rakyat benar-benar serius menuntut satu perubahan sistem.
“Himpunan 622 akan dihadiri oleh pemimpin utama Pakatan termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.
“Wakil-wakil rakyat dari Pakatan akan turut bersama-sama rakyat. Dijangkakan lebih 200 pemimpin Pakatan akan ke Padang Merbok,” katanya dipetik KeadilanDaily.
Johari juga menegaskan keselamatan rakyat akan dijaga oleh anggota keselamatan Pakatan dan bantuan kecemasan serta perubatan kepada peserta perhimpunan turut disediakan oleh beberapa NGO.
“Pihak sekretariat akan menyediakan kawalan keselamatan sepanjang hari. Anggota Unit Amal PAS sebanyak 1,000 orang akan digerakkan bersama 400 AMK dan 200 DAPSY.
“Rawatan perubatan juga disediakan bagi peserta yang menghadapi kecemasan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani.
Selain itu, pihak sekretariat menyediakan 50 doktor, dua ambulans dan pondok perubatan.
Majlis Peguam akan menghantar peguam untuk membantu mana-mana peserta sekiranya ditahan polis.
Himpunan 622 akan bermula pada pukul 3 petang di Padang Merbok. Peserta akan mula berarak dari tempat berkumpul (check point) mereka pada jam 2.00 petang.
Terdapat 7 tempat berkumpul utama, iaitu Brickfields, Masjid Negara, Sogo, Jalan Pudu, Jalan Sultan, Universiti Malaya dan Sogo.
Check point di Pekeliling sebelum ini disatukan dengan Sogo dan peserta di ibu negara diminta berkumpul di sana seawal pukul 12 tengah hari sebelum berarak ke Padang Merbok.
56 Adun Selangor angkat sumpah hari ini
Harakahdaily, | 21 Jun 2013 |
KUALA LUMPUR: Seramai 56 anggota Dewan Undangan Negeri (Dun) termasuk 12 wakil daripada BN hari ini secara rasminya mengangkat sumpah sebelum bermulanya persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) sesi ke-13, Jumaat depan.
Selangorku melaporkan, kesemua 56 Adun itu mengangkat sumpah taat setia dalam memelihara, melindungi serta mempertahankan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor di hadapan Speaker DNS yang baru dilantik, Hannah Yeoh.
Majlis itu bermula dengan upacara mengangkat sumpah oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diikuti tiga Exco iaitu Datuk Teng Chang Khim, Iskandar Samad dan Rodziah Ismail.
Ia kemudiannya disusuli dengan tujuh Exco Selangor yang lain dan diikuti oleh anggota dewan Pakatan Rakyat (PR) serta BN.
Majlis dimulakan dengan cadangan Menteri Besar mengemukakan nama Hannah Yeoh sebagai Speaker DNS yang baru dan diikuti Teng yang mencadangkan Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Timbalan Speaker.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, PR memperoleh majoriti lebih dua pertiga apabila menguasai 44 daripada 56 kerusi Dun.
Apabila tangan terkena kuali panas
Tuan Ibrahim Tuan Man, | 21 Jun 2013 |
Bayangkan jika Allah tidak membuatkan kulit kita terasa sakit, sebahagian tangan kita dah mungkin hangus dibakar api kerana kita tak sedar kita terkena benda hangat.
Dalam kesakitan, ada benda positif dan hikmah Allah di sebaliknya. Dalam kesakitan biasanya kita teringat Allah dan berdoa kepada-Nya.
Terutamanya pada pelajar yang sedang mengaji, yang terasa beban belajar itu satu kesakitan dan kebosanan. Mereka yang menahan dan bersabar dengan kesakitan ini, biasanya akan muncul kecemerlangan.
Banyak buku, kata-kata hikmah yang cukup bermakna dan menyentuh kalbu juga diilhamkan dan ditulis tatkala orang tersebut berasa sakit, penuh emosi, kekecewaan - kerana masa tersebutlah mereka memahami sesuatu deripada kesakitan yang dialami... kerana kesakitan tersebut, hasilnya adalah sebuah karya yang membawa kebaikan untuk beberapa generasi akan datang.
Bagi pelajar yang hidup selesa, penuh kebebasan tanpa beban tanggungjawab dan tidak pernah merasai kesusahan biasanya akan menjadi pelajar yang malas, boros, tidak produktif dan kurang peka kepada sekelilingnya.
Penulis yang tidak pernah merasai keperitan, walaupun pandai menulis, tapi kata-katanya hanya murah tanpa pernah merasai pengalaman itu sendiri.
Inilah sesungguhnya di sebalik setiap kesakitan dan kesusahan ada benda yang Allah ingin mengajar kita, selagi kita tidak belajar, tangan kita akan berulang-ulang melecur terkena kuali yang panas.
Oleh demikian, usah bimbang pada kesakitan/keperitan kerana dalam setiap kesakitan/kesusahan, orang yang beriman akan lebih dekatkan diri dengan Allah dengan keikhlasan yang murni berbanding waktu kesenangan. Ia menjadi lebih lengkap dan kuat setelah melepasi ujian Allah tersebut.
Diharap pengalaman sedikit ini ada manfaat pada semua yang rajin membaca. Ingat SENYUM.
Kebajikan rakyat agenda besar Radzi Zainon
Muhammad Nuruddin Bashah, | 21 Jun 2013 |
Malah stamina besar yang beliau peruntukkan untuk meneliti permasalahan asasi rakyat ini juga menggerunkan pesaing beliau daripada kalangan pimpinan Umno Gopeng mahupun pihak bekas Adun iaitu Datuk Hamidah Osman.
Radzi menyatakan dalam siri sidang yang akan datang beliau akan terus mengotakan janji kepada rakyat untuk membawa isu kebajikan dan keperluan rakyat terutama kawasan Dun yang diwakilinya.
Selain itu untuk memastikan pencapaian KPI beliau menangani isu rakyat, beliau akan bersama-sama pihak Adun Pakatan Rakyat lain bertindak memantau polisi dan agenda kerajaan BN negeri agar cocok dengan keadilan dan kesaksamaan kepada rakyat.
Beliau yang cukup serius serta cakna dengan isu tanah dan penyelewengan juga akan terus menjadikan sidang Dun sebagai medium terbaik untuk menjalankan tugas check and balance kepada polisi pentadbiran kerajaan BN Perak.
“Mana-mana kerajaan dan forum kepimpinan negara dunia memerlukan pembangkang atau suara alternatif agar sesuatu keputusan itu dilaksanakan secara adil dan tepat.
“Kerajaan yang menafikan suara pembangkang atau menjadikan pembangkang sebagai YB kelas kedua atau mendiskriminasikan rakyat di kawasan pembangkang adalah tidakan anti undang-undang manusia yang sihat.
“Politik perlu matang dan politik kita adalah untuk menjamin keamanan dan kesentosaan negeri melalui pengagihan kekayaan yang adil serta penumpuan keperluan rakyat melebihi aspek picisan yang membazir,” jelas beliau semasa temubual berkaitan misi dan visi beliau kali ini.
Beliau juga memandang serius hal persidangan Dun yang hanya dijadikan medium stamping order (pengesahan arahan) semata-mata tanpa perbahasan yang sihat.
Sidang yang terlalu pendek kadang kala sehingga hanya separuh hari cukup tidak logik dan hanya sesuai untuk negeri kecil seperti Perlis misalnya.
Ruang selama 3 hingga 7 hari adalah optimum untuk perbahasan adil semua Adun Perak seramai 59 itu berucap bagi mewakili rakyat masing-masing.
SU Dewan: Pemilihan speaker secara undi bersurat
Setiausaha
Dewan Rakyat Datuk Rosmee Hamzah berkata proses pemilihan Yang diPertua
Dewan Rakyat akan dijalankan melalui "undi bersurat". Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara terperinci sama ada pengundian itu dijalankan secara rahsia bagi mengelakkan perkara itu menjadi isu.
"Ia akan dilakukan melalui undi bersurat.
"Sila rujuk kepada Peraturan Mesyuarat 4," katanya sambil menegaskan bahawa cara itu telah dilakukan bagi memilih Yang diPertua Dewan Rakyat sejak ia ditubuhkan.
Menurut Peraturan Mesyuarat 4 (4), undi bersurat ialah setiap ahli parlimen yang hadir akan diberi sekeping kertas undi dan ahli itu boleh menuliskan pada kertas itu nama ahli atau seorang lain yang hendak diundinya.
Kertas-kertas undi hendaklah dilipat supaya nama ahli atau seorang lain yang tertulis pada kertas itu tidak boleh dilihat, dan hendaklah ditandatangan oleh ahli yang mengundi.
Bagi peraturan 4 (5), kertas-kertas undi hendaklah dipungut oleh Setiausaha atau oleh siapa-siapa pegawai Majlis yang diwakilkan olehnya dan hendaklah dijumlahkan oleh Setiausaha di Meja Mesyuarat.
Keputusan undi itu pula hendaklah dimasyhurkan oleh Setiausaha.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan