Ahad, 16 Jun 2013

HANYA ALLAH YANG BOLEH MENGEKALKAN KUASA PADA SESEORANG ATAU PADA SATU2 PARTI

Pendidikan bukan untuk lahirkan robot pintar

Hazayani Zakaria, 15 Jun 2013
SHAH ALAM: Matlamat pendidikan bukan sekadar melahirkan 'robot pintar' sebaliknya pendidikan berperanan 'memanusiakan manusia'.

Bagi mencapai matlamat ini, pendidikan seharusnya menjadikan cinta sebagai asas kerana cinta diyakini mampu memberikan kekuatan kepada manusia untuk saling memberi.

Seperti mutiara kata dari cendiakawan Hamka, 'Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan'.

Itu antara intipati Forum Pedagogi Pendidikan Cinta anjuran sukarelawan Teach For The Needs (TFTN) yang diadakan di Kompleks Karangkraf, dekat sini malam tadi.

Pedagogi merujuk kepada kaedah pengajaran dan TFTN cuba membawakan kaedah pengajaran baru yang berasaskan cinta kerana yakin hanya pendidikan cinta mampu melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi akademik dan nilai-nilai kemanusiaan.

Forum malam tadi menampilkan tiga panelis iaitu pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik, yang juga aktivis masyarakat, Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi, Dr Harlina Siraj yang juga pendakwah bebas dan penulis buku best seller 'Aku Terima Nikahnya' Hasrizal Jamil yang juga penceramah bebas manakala moderatornya ialah pengarah eksekutif TFTN, Anas Alam Faizli.

Gabungan mantap panelis berpengalaman dan dikenali ramai itu menghidupkan perbincangan seputar pendidikan cinta hampir dua jam beserta sesi soal jawab daripada hadirin.

Panelis turut menekankan, pendidikan cinta mampu menyelesaikan masalah penindasan sesama manusia, meningkatkan tahap keyakinan diri sendiri dan sikap cintakan ilmu pengetahuan.

Ustaz Hasrizal menekankan, sikap ibu bapa yang terlalu mahukan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran akhirnya melahirkan robot yang tiada roh kemanusiaan.

"Apabila kita hilang sifat kemanusiaan kita akan jadi robot, pendidikan cinta adalah untuk memanusia kembali manusia.

"Pedagogi pendidikan cinta bergantung kepada bagaimana kita memandang manusia lain di sekeliling," katanya yang juga dikenali dengan nama Saiful Islam.

Dr Harlina pula menegaskan, pendidikan bukan hanya bergantung kepada berapa 'A' yang diperoleh dalam peperiksaan tetapi harus menekankan lima aspek iaitu akidah, akhlak, aqliah, jasmaniah dan insaniah.

Pendidik pula katanya, harus mempunyai sifat ikhlas mengajar untuk belajar, bukan sekadar untuk memberitahu.

"Guru yang bagus ialah guru yang mampu mencetuskan inspirasi kepada pelajar-pelajarnya.

"Guru yang bersemangat mengajar sebenarnya punyai sifat ingin belajar dan sebenarnya dia lebih banyak belajar sewaktu dia mengajar," katanya.

Dr Maszlee pula berpandangan, pendidikan hari ini terlalu dikomersilkan sehingga melahirkan pelajar yang meminta-minta pekerjaan.

"Sistem pendidikan sekarang yang dirosakkan oleh politik dan komersil melemahkan pelajar sehingga melahirkan graduan yang meminta-minta pekerjaan, bukan mencipta peluang pekerjaan," katanya.

Saya akan terus pertahankan TMI - Jahabar

Harakahdaily, 15 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarang yang juga Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysian Insider (TMI), Jahabar Sadiq (gambar kanan) tidak bercadang untuk menutup laman itu bahkan akan mempertahankannya.

Jahabar ketika bercakap kepada Harakahdaily berkata, nama baik yang ada pada laman ini akan dipertahankan.

"Saya sudah ada pelabur dan saya sedang mengambil kakitangan baru untuk menjalankan laman web berita ini," kata Jahabar ketika dihubungi Harakahdaily.

Kira-kira 25 kakitangan editorial, perekabentuk dan kewangan TMI meninggalkan laman itu mulai semalam untuk menyertai Malay Mail Online (MMO).

Kini hanya Jahabar, tiga wartawan bahasa Malaysia serta bahagian jualan bersama TMI.

Menurut Jahabar, TMI memang sejak beberapa bulan lalu mendapat kontrak dari Malay Mail untuk mengisi kandungan MMO.


(Tulisan Jahabar tentang perkembangan terbaru dalam TMI)

Beliau pula sejak dua minggu lalu terpaksa memberikan tumpuan kepada ibunya yang terpaksa masuk hospital dan hanya baru membukakan matanya mulai semalam.

"Memang susah untuk menjaga kandungan dan serentak dengan itu mencari wang untuk membayar gaji kakitangan," kata Jabahar.

Namun, katanya, nama baik yang ada pada laman itu akan dijaga dan dipertahankan sebagai sebuah media yang berwibawa.

Jahabar, bekas penerbit kepada syarikat media antarabangsa Reuters memang berminat untuk memberikan tumpuan balik kepada bidang yang dibuatnya bersama Reuters iaitu video.

"Namun ia tidak boleh dibuat dengan segera tetapi saya akan berusaha ke arah bidang yang saya minat itu," kata Jahabar ketika membincangkan halatuju peribadinya.

Beberapa tahun lalu Jahabar menyertai sepenuhnya TMI sebagai Ketua Pengarang dan CEO setelah menjadi penasihatnya sejak ia ditubuhkan beberapa bulan menjelang pilihan raya umum 2008.

TMI kini media online yang ke enam di Malaysia selepas Malaysiakini (1), Sinar Harian (2), The Star (3) Harakahdaily (4) dan Utusan Online (5).

Sebelum ini pernah ada ura-ura pemiliknya menjual TMI dengan harga RM20 juta kepada syarikat yang memiliki The Malays Mail, namun berakhir dengan semua kakitangannya menyertai MMO.

Umno akan jual bangsa Melayu untuk kekal kuasa

Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, 15 Jun 2013

Hanya orang UMNO sahaja yang boleh memegang dua fikiran yang bercanggah pada masa yang sama. Hanya Najib saja yang boleh bercakap mengenai 1Malaysia dan bukan 1Malaysia ketika yang lain. Pada malam keputusan PRU, dengan muka yang bera, dia menyalahkan bangsa Cina kerana tidak menyokong UMNO. Siapa nak sokong parti yang pemimpinnya semua korup dan rasuah?

Hanya UMNO boleh bercakap mengenai perpaduan orang Melayu, tapi mendiskriminasi Melayu yang tidak menyokong mereka. Ketua kampung UMNO (pengerusi JKKK) bercakap besar mengenai menolong orang Melayu, tapi menyekat bantuan kepada Melayu yang tidak menyokong mereka. Hanya pemimpin UMNO yang malas pergi masjid dan surau, tapi menyekat Melayu lain menyemarakkan masjid dan surau.

Hanya pemimpin UMNO sahaja yang bercakap mengenai memberi tanah kepada orang Melayu tapi menyekat pemberian kepada Melayu yang tidak menyokong nya. Di Raub ada ribuan orang Melayu yang hidup atas tanah lebih dari 40 tahun, masih tidak mendapat hakmilik. Pemimpin dan penyokong UMNO mempunyai tanah di serata tempat.

Jadi, kepentingan yang UMNO jaga dan kukuhkan ialah bukan kepentingan Melayu keseluruhan nya tapi kepentingan kelompok dan puak mereka. Maka apa perlu orang Melayu menyokong UMNO?

Yang kita kena sokong ialah penubuhan sebuah kerajaan yang memerintah dengan tegas dan menjaga kepentingan masyarakat keseluruhan nya. Jika Melayu itu sudah majoriti, tidak dapat tidak, kepentingan Melayu lah yang diutamakan. Memahami ini tidak memerlukan ilmu hisab yang tinggi. Hanya orang UMNO sahaja yang menganggap orang Melayu di kampung-kampung bodoh dan hanya pemimpin UMNO sahaja yang menggelarkan orang Melayu lain haramjadah.

Orang UMNO memang tak tahu malu. Lebih ramai orang Melayu menyokong PR dari UMNO, pemimpin UMNO masih tidak faham-faham. Calon-calon UMNO, yang menang dan kalah mendapat 3.2 juta undi. Ada faham? 3.2 juta ini adalah undi keseluruhan kepada semua calon-calon UMNO.

Dari 3.2 juta undi ini, bukan semua yang mengundi terdiri dari orang Melayu. Cina dan India ada juga menyokong UMNO. Sekitar 10%. Ertinya, orang Melayu yang menyokong calon-calon UMNO secara lansung ialah 2.9 juta. Tak tahulah saya hendak ajar kalau tidak faham ilmu hisab mudah ini.

Jumlah ahli UMNO pun lebih banyak dari itu. Jika semua ahli UMNO menyokong calon UMNO dan semua calun BN, 3.2 juta penyokong mesti tidak dapat tidak ada 3.2 juta angka asas. Ahli UMNO pun tidak menyokong UMNO.

Faktanya ialah adalah menjadi kerugian besar jika orang Melayu memilih UMNO untuk menjaga kepentingan mereka. Wakil UMNO pemalas dan penipu. Saya amat senang hati mendedahkan mutu kerja wakil UMNO di Raub misalnya. Tunggulah.

Kerja membalun UMNO ini tidak akan selesai sehingga mereka bukan lagi kerajaan. Selagi UMNO menghalang kejayaan bangsa Melayu, kita mesti bantai mereka. kita tidak boleh terima keangkuhan UMNO mengaku bahawa mereka wakil tunggal kepentingan Melayu. Kepentingan orang Melayu ialah mendapatkan keperkasaan ekonomi dan perkongsian kuasa. Kepentingan ini bertentangan dengan kepentingan feudal UMNO.

Ya , UMNO itu parti bersifat feudal. UMNO distrukturkan supaya sekumpulan kecil yang terpilih menungang di atas belakang rakyat yang diperhamba abdikan. Kepentingan UMNO ialah membolot kekayaan dan memusatkan kuasa dalam tangan elit. Kepentingan bangsa Melayu berlawanan dengan kepentingan UMNO. Pertentangan ini menyebabkan orang Melayu tidak lagi boleh menerima kepimpinan UMNO.

Dalam kawasan yang tidak ditandingi oleh calon UMNO, orang Melayu tetap ada menyokong parti BN. Kita akui ini. Tapi berapa ramai sangatlah orang Melayu yang menyokong mereka. Dari 899,000 undi yang diperolehi oleh calon MCA (menang dan kalah) berapa ramai Melayu yang menyokong mereka? Katalah 20% Melayu menyokong calonn MCA. Baru ada sekitar 180,000 orang. Melayu yang menyokong MIC? 10% dari 292,000 ialah kira-kira-kira 29,000. Melayu yang menyokong PBB di Sarawak? 40% dari 232,000=91,000.

Wal hasil balik asal, jumlah orang Melayu yang menyokong UMNO secara langsung dan tidak langsung (melalui sekutu-sekutu BN) ialah 3.2 juta.  3.2 juta sama jumlahnya dengan jumlah ahli UMNO. Jadi apalah yang hendak dibanggakan oleh UMNO.

Setelah belanja berbilion ringgit dan setelah menyogok dan merasuah orang Melayu terutamanya, dari 2.2 juta undi Melayu dalam tahun 2008, UMNO hanya dapat menambahkan 1 juta sahaja pengundi Melayu.

Ringkasan keputusan PRU13- data terpilih.
PARTI
UNDI(JUTA)
% UNDI
KERUSI
%KERUSI
BARISAN NASIONAL
5.24
47.4
133
59.9
UMNO
3.24
29.32
88
39.64
PUBB
0.23
2.10
14
6.31
MCA
0.89
8.14
7
3.15
PRS(swak)
0.06
0.54
6
2.7
MIC
0.29
2.64
4
1.8
Pakatan Rakyat
5.62
50.88
89
40.09
DAP
1.74
15.71
38
17.12
PKR
2.25
20.39
30
13.5
PAS
1.63
14.77
21
9.46
TOTAL
11.27
100
222
100
Sumber: SPR

Kalau MIC, PBB dan yang lain-lain tinggalkan UMNO, UMNO akan mati. Penyokong UMNO faham signifikans perkara ini tidak? Ini akan menyebabkan Najib akan melakukan apa sahaja untuk menjual harga dirinya untuk memastikan UMNO kekal sebagai kerajaan. Ini termasuklah menggadaikan kepentingan bangsa Melayu. Apa dia peduli? Selagi dia terus kekal jadi PM.

Marilah bangsa Melayu sedar bahawa masa depan mereka bukanlah bergantung pada UMNO. UMNO kojol pun, bangsa Melayu tetap hidup. UMNO perlukan bangsa Melayu, bukan bangsa Melayu perlukan UMNO. - http://sakmongkol.blogspot.com

Zahid disaran cuti hingga 2 kes memalukan BN selesai

Harakahdaily, 15 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya bercuti daripada menjalankan tugasnya sehingga dua kes yang memalukan kerajaan Barisan Nasional (BN) selesai.


Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang (gambar) berkata, dua kes yang memalukan BN itu kerana Ahmad Zahid dituduh mencederakan Amir Abdullah Bazli pada Januari 2006 dan didakwa melanggar undang-undang pilihan raya kerana berbelanja lebih RM2 juta, melebihi had RM200,000 yang dibenarkan ketika berkempen untuk kerusi Parlimen Bagan Datoh, Perak pada PRU13 lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, dalam sebuah video yang dipaparkan dalam laman webnya sendiri, Ahmad Zahid mengakui mengupah 24,000 penyokong BN Bagan Datoh yang juga pengundi tempatan sebagai pekerja kempen ketika beliau bertanding untuk memenangi kerusi Parlimen itu.

Katanya, dalam video terbabit, Zahid juga mengaku memberi setiap pekerja kempen RM100 dan 5 kilogram beras.

Menurutnya, selain politik wang pada pilihan raya, Ahmad Zahid mengupah 24,000 ‘pekerja pilihan raya’ sedangkan jumlah keseluruhan pengundi di Parlimen Bagan Datoh hanya 34,670 pengundi dan jumlah undi yang diraih Ahmad Zahid sendiri hanya 17,176 undi.

Ini bererti lebih daripada seorang ‘pekerja pilihan raya’ diperlukan Zahid untuk memenangi satu undi dan perkara itu boleh dianggap sebagai rekod tersendiri dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

“Saya bersetuju dengan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Mat Zain Ismail yang baru-baru ini menyatakan dalam surat terbuka bahawa keputusan Mahkamah Rayuan yang sebulat suara memerintahkan Ahmad Zahid menjawab tuduhan Amir Abdullah menunjukkan tuduhan itu kukuh dan menimbulkan pertikaian mengapa polis gagal mengambil tindakan terhadap Ahmad Zahid atas kesalahan itu,” kata Kit Siang dipetik Roketkini.

Berurusan dengan bank pun nak Islamik – bekas MB

Harakahdaily, 15 Jun 2013
BUKIT GANTANG: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, jika mahu berurusan dengan bank pun mahu Islamik, begitu juga berpolitik.

"Kita hendak berurusan dengan bank-bank, sekarang ini perlu dengan bank yang ada sistem perbankan Islam.

“Kalau kita ada akaun di bank yang mengamalkan konvensional, pasti kita akan pindahkan ke bank ada ada Islamik,” katanya ketika berceramah Kampung Pauh, dekat sini malam tadi.

Justeru, ujar beliau yang telah menyertai PAS menjelang PRU13 lalu, untuk berpolitik juga perlu berpindah.

"Sama juga kita berpolitik atau berparti, kita nak ada Islamik, Oleh itu kita perlu kena berpindah," ujarnya dipetik blog Sisi Bukit.

Bekas Naib Presiden Umno itu menambah, beliau melihat organisasi PAS boleh menegur ahli-ahli termasuk Presiden.

"Saya lihat dan kaji hanya PAS sahaja yang ada semua ini. Lihat organisasinya dari Majlis Syura yang ada ulama-ulama hebat memimpin dan mampu menegur atau menasihati ahli-ahlinya tak kecuali Presiden pun hingga ke bawah," katanya lagi.

Baginya, hanya PAS yang dapat menjaga agama Islam dan sekali gus menjamin keutuhan dan kestabilan bangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya.

Tiada ulasan: