Khamis, 6 Jun 2013

BUKAN PASAR SAJA...KEFAHAMAN ISLAM KITA PUN PERLU DIBAIK PULIH

PRU13: PAS fail petisyen minggu depan

Anis Nazri, 05 Jun 2013
KUALA LUMPUR: PAS akan memfailkan petisyen Pilihan raya Umum ke-13 bermula minggu depan di enam buah negeri.

Setiausaha Jawatankuasa Khas Petisyen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) PAS, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata setakat ini, terdapat lapan petisyen yang disahkan akan difailkan, tidak termasuk enam dari Terengganu.

"Setakat ini, jumlah petisyen yang disahkan lapan, tidak termasuk enam dari Terengganu. Jika Terengganu memutuskan enam petisyen, maka 14 petisyen akan difailkan. Mungkin juga akan berlaku perubahan sama ada hanya lima yang difailkan Terengganu, bergantung kepada keputusan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dan Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN) esok," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Kerdee berkata pada asalnya sebanyak 20 petisyen akan difailkan, bagaimanapun selepas enam kali bermesyuarat dan beberapa saringan dilakukan, jawatankuasa bersetuju untuk memfailkan lapan petisyen.

Petisyen tersebut akan difailkan di Wilayah Persekutuan, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Selangor, dan Terengganu.

Menurut Abang Kerdee, semua petisyen yang bakal difailkan mempunyai asas dan bukti yang kukuh.

Sementara itu, PKR dikatakan akan memfailkan 27 petisyen di mahkamah, manakala DAP akan memfailkan tiga petisyen.

Dalam pada itu, Barisan Nasional (BN) juga dilaporkan akan memfailkan lebih 50 petisyen membabitkan sekurang-kurangnya 37 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Petisyen itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi sebelum tarikh akhir 11 Jun ini, iaitu 21 hari selepas keputusan PRU13 diwartakan.

Pasar Payang wajar dibaikpulih, bukan diroboh

Syed Abdullah Jamalullail,


Kalau sudah Pasar Payang hendak dirobohkan dan digantikan dengan bangunan baru tiadalah identiti atau pusat warisan kemegahan warga Kuala Terengganu lagi kerana tempat atau nadi pelancong sukakan tempat-tempat unik seperti suka membeli belah dengan tradisi kedengaran suasana pasar sebenarnya akan hilang serinya.

Pasar Payanglah yang menjadi tumpuan pelancong baik pelancong tempatan ataupun dari luar negara. Pelancong yang sebenarnya sukakan tempat yang santai dan terbuka serta mempunyai nilai-nilai sejarah dan bukannya tempat yang tertutup dan eksklusif.

Itulah kelebihan sesuatu tempat lubuk pelancong yang sukakan lain daripada yang lain dan bukannya keselesaan yang mereka idamkan kerana terlalu banyak keselesaan tempat membeli belah di tempat mereka sendirilah maka mereka suka merantau melancong ke negara orang melihat suasana dan keadaan rakyat setempat dan adat resam mereka tetapi kalau sudah dijadikan 'shopping kompleks' seperti di negara mereka tidak ada maknanya lagi.

Pelancong apabila melawat ke sesuatu tempat itu apa yang mereka gemari adalah mengambil gambar kenangan di kawasan tempat yang unik lagi luar biasa selain mereka suka beli barang-barang tempatan yang juga luar biasa kepada pandangan mereka.

Kalau sudah hilang identitinya dan ditukar suasana yang tiada nilai lagi dari segi tradisi warisan kerana dijadikan tempat membeli belah yang moden serta serba serbi lengkap yang berada di mana-mana itu berkemungkinan pengunjung tidak lagi akan 'berahi' untuk membeli belah di situ lagi apabila kompleks yang baru dibinakan nanti.

Diharap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengkaji semula cadangan untuk gantikan Pasar Payang ini kepada 'shopping’ kompleks moden yang baru.

Sebaik-baiknya dibaikpulihkan sahaja dan bukannya dirobohkan segala warisan negeri itu yang tidak ternilai harganya.

Hanya mereka yang berjiwa seni sahaja akan memahami dan merasa kerugiannya itu.

Ampangan, Seremban

Postmortem selesai menjelang muktamar - Salahudin

Anis Nazri, 05 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Postmortem Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dijangka selesai menyiapkan laporan lengkap berhubung prestasi PAS dalam PRU13, menjelang muktamar tahunan PAS ke-59.

Pengerusinya, Salahuddin Ayub (gambar) , berkata laporan lengkap itu akan dibentangkan selewat-lewatnya akhir Oktober ini dengan penglibatan 15 kumpulan sasaran yang bakal memberikan pandangan dan input kepada jawatankuasa tersebut.

Selain organ parti, kata Salahuddin kumpulan sasaran lain yang akan terlibat dalam memberikan input itu, termasuklah daripada badan NGO, tokoh politik, sosial, ekonomi dan juga akademik.

Dalam masa sama, tegas Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS itu, jawatankuasa juga akan mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil negeri untuk mendapatkan input secara langsung supaya laporan yang diterima meliputi di peringkat akar umbi.

"Setelah bermesyuarat dua kali sebelum ini, jawatankuasa telah menyediakan format laporan serta terma-terma bagi kegunaan jawatankuasa, selain menetapkan tarikh-tarikh untuk diadakan pertemuan dengan PAS negeri-negeri bagi mendapatkan maklumat mengenai prestasi PAS pada PRU13 lepas," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Bagaimanapun kata beliau, jawatankuasa sudah mula menerima beberapa maklumat daripada pihak tertentu, termasuk data-data dan hasil kajian yang akan diperhalusi oleh jwatankuasa.

Mengulas lanjut perlantikan jawatankuasa itu, Salahuddin berkata 13 ahli jawatankuasa telah dipilih bagi memantapkan gerak-kerja jawatankuasa tersebut, termasuk wakil daripada Dewan Muslimat PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Ulama PAS Pusat.

Beliau berharap dengan pelantikan tersebut akan melancarkan lagi urusan post mortem tersebut dalam mengenalpasti prestasi PAS dan punca kekalahan PAS di beberapa kerusi yang dahulunya merupakan kerusi PAS.

Lombong batu kuartz Gombak dibuat secara haram

Harakahdaily, 05 Jun 2013
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor tidak pernah mengeluarkan lesen perlombongan batu kuartz di Permatang Kuatza, Gombak bagi menjayakan usaha mendapat  pengiktirafan sebagai Taman Warisan Dunia daripada Unesco.


(Antara kawasan Permatang Kuartza yang diceroboh yang boleh mendatangkan bahaya)

Justeru, aktiviti perlombongan kuartza yang ada di kawasan Permatang Kuartza di daerah Gombak seperti yang dilaporkan oleh media semalam adalah aktiviti haram.

Demikian kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya hari ini.

"Kita telah mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains menyediakan laporan terperinci jumlah batu kuartza yang telah dikeluarkan dari kawasan itu  dan kerosakkan akibat perlombongan haram ini," katanya.

Katanya, laporan dijangka disiapkan dalam tempoh dua minggu bagi memberi peluang pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti kawasan batu kuartza yang mungkin telah diceroboh.

"Kita juga telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak serta Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat supaya meningkatkan pemantauan di kawasan Permatang Kuartza," katanya.

Mereka yang didapati terlibat menjalankan perlombongan haram ini boleh didakwa atas kesalahan menjalankan perlombongan tanpa lesen, menceroboh dan mencuri.

Perlu ditekankan di sini bahawa walaupun mendapat banyak permohonan dari syarikat dalam dan luar negara termasuk China, Jepun dan Korea, Kerajaan Selangor tetap tidak akan mengeluarkan lesen melombong batu kuartza, tegasnya.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Selangor memandang berat kes perlombongan haram dan komited dalam menjayakan Projek Pemeliharaan Permatang Kuartza Klang Gates yang merupakan permatang kuartza terpanjang di dunia.

Takziah buat keluarga pendaki Gunung Everest

Harakahdaily, 05 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum Mohamad Shahrulnizam Ahmad Nazari, pendaki Gunung Everest yang telah menghembuskan nafas terakhir ketika cuba mendaki gunung tersebut bersama pasukannya.
Seorang lagi ahli pasukan tersebut dikatakan sedang kritikal dan kedua-duanya mengalami penyakit akut ketinggian (acute mountain sickness) dalam usaha mereka menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

“Kemungkinan faktor cuaca menjadi halangan terbesar mereka mendaki Gunung Everest serta menjadi punca kematian dan penyakit mereka,” ujar Timbalan Ketuanya, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata DPPM mengharapkan agar kerajaan Malaysia dapat berusaha membawa pulang jenazah Mohamad Shahrulnizam serta seorang lagi pendaki yang kritikal dengan segera dan selamat serta mampu menyelamatkan nyawanya.

Katanya, dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan itu, tidak ada lagi harapan dan pergantungan melainkan kepada Allah SWT di samping ikhtiar yang termampu bagi membawa balik kedua-duanya.

Selain mereka, ujarnya DPPM juga berharap kesemua anggota pasukan juga akan dihantar pulang sesegera mungkin agar tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

“DPPM menasihatkan pasukan pendaki Malaysia agar menjaga keselamatan dan kesihatan mereka,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Menurutnya kagi, meskipun mereka cuba mengharumkan nama negara dengan memanjat ‘bumbung dunia’ itu, namun aspek keselamatan dan kesihatan perlu diambil kira.

“Di atas segala-galanya, kesihatan dan keselamatan perlu menjadi keutamaan. Di belakang mereka, sanak saudara tercinta serta rakyat Malaysia menanti dengan penuh sabar agar mereka semuanya sihat,” katanya.

Justeru, ujar beliau rakyat Malaysia sentiasa berdoa semoga mereka sentiasa selamat.

“Buat kesemua anggota pasukan, misi anda telah berjaya kerana mampu sampai ke tahap itu serta mengharumkan nama negara kerana berjaya melahirkan pendaki-pendaki yang cekal mendaki puncak dunia,” katanya lagi.

Tiada ulasan: