Rabu, 5 Jun 2013

BETUL...SEKAT YANG LUCAH...IA MENAMBAH KEGIATAN ZINA...DITAMBAH HUKUM ALLAH TIADA DIKUATKUASA KAN

Bawa doa kesejahteraan rakyat Temerloh ke Tanah Suci

., 05 Jun 2013


1. Memulakan tugas rasmi sebagai Ahli Parlimen, saya terpaksa mencari satu sudut yang paling mustajab doa untuk saya memohon petunjuk Allah swt dan kekuatan daripada-Nya juga mengharapkan kesejahteraan dan kebahagian buat seluruh rakyat Temerloh khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya dari sebarang musibah yang tidak diingini.

2. Sudut yang saya maksudkan itu ialah Raudhah Nabi s.a.w. di Masjidin Nabawi Madinah al-Munawwarah dan Multazam di Masjidil Haram Makkah al-Mukarramah.

3. Tugas sebagai Ahli Parlimen bukan sekadar tugas tetapi ia sebagai amanah dan tanggungjawab yang wajib saya pikul dengan hati-hati dan teliti agar saya tidak dihumban oleh Allah swt ke dalam neraka-Nya yang panas membakar ekoran kegagalan menggalas amanah dan tanggungjawab ini dengan baik dan cemerlang. Justeru itu saya sangat memerlukan hidayah iaitu petunjuk dan taufiq iaitu kekuatan dari Allah swt untuk memimpin.

4  Langkah yang sama saya ambil sewaktu diamanahkan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia pada tahun 2009. Insyaallah, dengan hidayah dan taufiq Allah swt membuatkan saya yakin dan mampu berdepan dengan amanah berat dan cabaran berganda ini.

5. Saya juga mengharapkan doa dari semua agar tabah dan cekal berdepan pelbagai mehnah dan tribulasi perjuangan ini. Saya telah dimaklumkan bahawa Dewan Rakyat akan mula bersidang pada 24 Jun hingga 18 Julai.

Nasrudin bin Hassan
Ahli Parlimen Temerloh

Kisah kejayaan projek tanah kerajaan negeri Kelantan

Harakah, 05 Jun 2013


KUALA KRAI: Mat Hussin, 89 kini mampu senyum lebar. Penghijrahannya ke hulu Kelantan pada 1962 ternyata membuahkan hasil. Beliau sekarang memiliki kebun getah, dusun dan tapak rumah.

Kebun getah seluas enam ekar, dusun (2 ekar) dan lot rumah (suku ekar) sekarang dianggarkan bernilai lebih RM300,000.

“Sebelum berhijrah ke sini pak cik tidak mempunyai sebarang harta, jauh sekali bermimpi memiliki kebun sendiri. Di Semerak  tidak ada apa pun untuk dibuat bekalan hari tua.

“Dahulu hendak sampai ke sini ambil masa sehari semalam. Kawasan ini hutan belantara. Dengan tenaga empat kerat kami membuka tanah di sini,” katanya, sambil merakam ucapan syukur tidak terhingga.


Ikuti cerita penuh kejayaan projek kerajaan negeri Kelantan ini dalam Harakah cetak edisi Jumaat ini.

Kematian tahanan: Adakah hasrat EAIC terhalang?

Harakahdaily, 05 Jun 2013


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia berpandangan kes tahanan mati di dalam lokap polis mesti disiasat sepenuhnya oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, PDRM perlulah menghentikan penyiasatan mereka sebagaimana yang ditegaskan melalui Akta 700 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 3 September 2009 bagi membolehkan EAIC menyempurnakan siasatan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh dalam satu kenyataan menambah, Ketua Polis Negara pula disaran menunjukkan kepimpinan dengan memberikan komitmen agar keputusan penyiasatan EAIC kelak diterima oleh PDRM tanpa beralasan panjang.

Berikut kenyataan penuh beliau.

1. Kematian P Karuna di dalam tahanan polis adalah kes serupa yang ketiga berlaku dalam tempoh 2 minggu dan merupakan kes kelapan yang direkodkan sehingga Mei/Jun 2013. Ianya telah menimbulkan wasangka awam yang melihat pihak polis mengamalkan street justice dan menekankan aspek profil perkauman di dalam mengurus suspek yang ditahan.

2. Dewan Pemuda PAS Malaysia berpandangan kes-kes seperti ini mesti disiasat sepenuhnya oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC). PDRM perlulah menghentikan penyiasatan mereka sebagaimana yang ditegaskan melalui Akta 700 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 3 September 2009 bagi membolehkan EAIC menyempurnakan siasatan. Ketua Polis Negara pula disaran menunjukkan kepimpinan dengan memberikan komitmen agar keputusan penyiasatan EAIC kelak diterima oleh PDRM tanpa beralasan panjang.

3 SIAP juga seharusnya mengambil inisiatif memulakan penyiasatan tanpa menunggu aduan dan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Aduan/Penyiasatan serta merta apatah lagi ketika mana masyarakat awam rata-ratanya menuntut satu penyiasatan bebas dan berkecuali ke atas PDRM. Namun demikian, sikap diam, tunggu dan lihat EAIC di dalam insiden-insiden ini sesungguhnya menimbulkan banyak persoalan.

4 Persoalan pertama; sejauh mana persediaan EAIC dari segi struktur dan kompetensi penyiasatan setelah lebih 2 tahun ditubuhkan? Apakah EAIC mempunyai kesiapsiagaan yang diperlukan bagi memulakan penyiasatan serta-merta ketika suasana mendesak keadilan diperolehi seberapa segera yang mungkin?

5. Persoalan kedua; adakah pengumuman PDRM bahawa penyiasatan oleh pasukan petugas khas Bukit Aman serta pengumuman Jawatankuasa Khas Mencegah Kematian Dalam Tahanan yang diketuai oleh Ketua Polis Negara telah menghalang hasrat EAIC untuk campurtangan? Sekiranya ini senarionya, maka risiko "turf war" antara birokrasi telah menjadi jelas dan keadaan ini boleh membantutkan proses keadilan.

6. Persoalan ketiga; dengan jumlah aduan paling besar (120 aduan sehingga Jun 2012) adalah terhadap PDRM, apakah isu penubuhan IPCMC yang dianggap tiada keperluan oleh pemerintah, kekal relevan khusus untuk menangani insiden-insiden membabitkan pasukan polis, yang merupakan antara agensi awam terpenting negara?

7. Pengakuan Ketua Polis Kuala Lumpur di dalam siaran media 22 Mei 2013 mengenai kehadiran unsur jenayah di dalam kes kematian N. Dharmendran ketika di dalam tahanan sebagaimana dapatan post-mortem HKL seharusnya memberikan SIAP justifikasi untuk memulakan siasatan di bawah Kanun Jenayah. Ini akan membolehkan EAIC memuktamadkan proses penyiasatan terus ke Jabatan Peguam Negara.

8. Pada masa yang sama, selaku suruhanjaya bebas, EAIC digesa mengkaji semula perjawatan dan peranan Datuk Paul Low Seng Kuan yang merupakan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya. Tindakan beliau menghubungi keluarga mangsa tahanan di atas kapasiti Menteri JPM telah menimbulkan persepsi negatif dan memerlukan respons segera kerana ianya boleh menjejaskan wibawa EAIC.

9. Saya akan segera mengusahakan satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri bagi membawa persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan sekembalinya dari mengerjakan ibadah umrah kelak.

10. Di hadapan Baitullah ini saya memanjatkan munajat kepada Allah agar kita semua diberikan kekuatan untuk menemukan keadilan bagi rakyat yang mendambakan kebenaran.

Najib lepaskan SPR ke parlimen

Subky Latif, 05 Jun 2013
Melepaskan SPR daripada ketiak Jabatan Perdana Menteri adalah suatu tuntutan yang telah lama dikehendaki pembangkang. Pembangkang tidak pernah bersetuju SPR diletakkan di situ kerana ia tidak akan jadi badan bebas seperti tujuan ia diasaskan. Selagi ia diletak di  situ, maka selama itulah akan dicap sebagai badan yang diperalatkan oleh Perdana Menteri.

Yang menariknya ialah sikap orang-orang yang jadi pegawai di situ. Ia tidak pernah dirasakan tidak  elok selama berada di bawah ketiak Perdana Menteri itu. Bagi mereka, ia suatu dengan perlembagaan bab itu dan ceraian ini.

Apabila diletakan pula di bawah Parlimen, mereka juga kata elok, sesuai dengan perlembagaan bab itu ceraian ini. Semuanya elok.

Yang tahu tak eloknya di bawah ketiak Perdana Menteri itu ialah pelanggannya yang  terdiri daripada parti-parti pembangkang.

Berbuih mulut parti-parti pembangkang menyeru supaya ia dibawa ke Parlimen. Malah satu daripada tuntutan penyokong Bersih yang berarak di jalan raya beberapa kali itu ialah mahu SPR itu  dibebaskan daripada jabatan Jabatan Perdana Menteri dengan meletakkannya di bawah pantauan Parlimen.

Tetapi tidak pernah tuntutan itu disukai oleh SPR. Jika Perdana Menteri dan Umno tidak suka, ia adalah bercanggah dengan kepentingan politik orang yang berkuasa. Tetapi SPR sepatutnya suka jika ada seruan di luar mahu membebaskannya daripada belenggu perhambaan JPM.

Ibarat hamba yang tahu erti kemerdekaan dan kebebasan. Rata-rata para hamba abdi mahu diri masing-masing dimerdekakan. Bebas daripada perhambaan itu adalah kemulian dan kesempurnaan sebagai manusia. Hanya setengah hamba  Bani Israil yang suka jadi hamba abdi Firaun. Antaranya yang dibebaskan oleh Nabi  Musa AS tetapi bercita-cita untuk kembali jadi hamba Firaun. Manusia yang   tidak harga diri macam itu lebih selesa ditindas daripada jadi orang merdeka.

SPR yang terbelenggu selama ini suka jadi begitu.

Sekarang Perdana Menteri mungkin sudah tidak terdaya melanjutkan belenggunya ke atas SPR justeru kuatnya tekanan dan serangan dari luar. Ia tidak terdaya hendak mempertahankan maruah badan yang tidak dipercayai oleh semua pelanggannya kecuali Umno. Semua orang tidak menghargainya.

Sekarang Najib sudah setuju hendak melepaskannya, tak  tertanggung dia akan serangan semua orang.  Maka ia terpaksa lepaskan badan itu logiknya.

Tetapi bolehkah dipercayai tindakan Najib itu setulus Abraham Lincoln, Presiden Amerika yang membebaskan hamba kulit hitam dulu. Atau ia sama dengan persetujuannya untuk mengadakan jawatankuasa khas Parlimen mengkaji keberkesanan SPR setelah unjukrasa Bersih 2.0 kosong  dulu.

Pembangkang pun menghantar wakil ke jawatankuasa itu bagi memikirkan tindakan penambahbaikan perkhdmatan SPR.

Berbulan-bulan mengadakan perbincangan, tiada apa daripada laporan jawatankuasa khas Parlimen itu yang dilaksanakan. Tertipu semua orang dengan taktik muka selamba Najib itu.

Sekarang dia tidak terdaya membela tentang semua orang terhadap SPR. Baru ia hendak melepaskannya daripada ketiaknya.

Tetapi mengapa ia tidak dibebaskan sebelum PRU 5  Mei dulu? Masa itu adalah  waktu terbaik bagi menjadikan SPR telus, bebas, bersih dan adil.  Sesudah SPR tidak terjawab dengan semua bantahan orag ramai tentang wibawanya, baru ia hendak  dibebaskan.

Tetapi pelanggan SPR mahu ia dihadapkan dengan Surhanjaya penyiasatan prestasi lemahnya dalam PRU 13 itu dulu. Tubuh suruhanjaya penyiasatan dulu. Tunggu laporannya. Maka selepas itu barulah ia serahkan kepada Parlimen.  Pelangggan mahu ia diaudit  dulu.

Jangan bebankan Parlimen dengan tanggungjajwab sebuah SPR yang bermasalah! Serahlah SPR yang sudah dibersihkan.

Ketika SPR mula dibentuk sebelum kemerdekaan dulu, wakil PAS termasuk wakil-wakil parti pembangkang yang lain duduk dalam badan yang lembaga yang bagi mentadbirkan SPR sebagai badan yang adil, bebas dan bersih.

Sekatlah laman lucah, bukan maklumat rakyat

Harakahdaily, 05 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Cadangan mewujudkan undang-undang baharu dengan mewajibkan pengendali media sosial serta protal berita di negara ini mempunyai lesen seperti di Singapura merupakan suatu cadangan yang bersifat ke belakang dan mundur.
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP), Kamaruzaman Mohamad (gambar) berkata, cadangan tersebut dilihat sebagai suatu cubaan untuk menyekat rakyat dari mendapat laporan berita alternatif.

“Dengan berselindung di sebalik alasan membendung budaya fitnah serta menghasut, cadangan ini timbul selepas Barisan Nasional (BN) mendapat kekalahan yang teruk dalam sejarah pilihan raya tanah air disebabkan oleh maklumat-maklumat yang diperolehi rakyat melalui internet,” ujarnya.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, cadangan yang dilihat sebagai panik dan dangkal ini juga sebagai satu usaha dalam menutup mata rakyat dan mengekalkan pemerintahan BN di Malaysia.

Kata beliau, dengan adanya undang-undang dan lesen tersebut, kerajaan bebas menyekat mana-mana maklumat yang dilihat sebagai membahayakan Umno BN.

Menruutnya, undang-undang yang boleh dimanipulasi oleh Umno BN menjadi senjata utama dalam membodohkan rakyat Malaysia.

“Sudahlah akhbar milik Pakatan Rakyat disekat dan dihadkan pengeluarannya, kini media di internet pula mahu disekatnya.

“Sepatutnya kerajaan mengambil tindakan dengan mengenakan sekatan terhadap akses laman-laman lucah yang kian mudah diperolehi kini dan bukannya menyekat maklumat berita kepada rakyat,” ujarnya lagi.

Katanya, laman-laman lucah dan pornografi itulah yang sebenarnya membahayakan negara dan generasi muda yang menjadi pelapis pimpinan masa kini.

Katanya lagi, laman-laman yang tidak bermoral ini seharusnya menjadi sasaran utama kerajaan.

Katanya, DPPWP juga melihat akhbar Utusan Malaysia mahupun Utusan Online merupakan satu-satunya akhbar yang membudayakan budaya fitnah dan menghasut.

Namun, ujarnya akhbar ini jugalah yang menjadi akhbar saluran nombor satu negara tanpa diambil sebarang tindakan sekatan mahupun amaran.

Tambahnya, tindakan double standard terhadap media-media alternatif di internet bakal mengundang kemarahan rakyat.

“Rakyat Malaysia kini adalah bersifat celik internet. Mereka adalah golongan yang tidak menerima maklumat daripada sebelah pihak sahaja. Rakyat kian pandai menilai berita yang diterima,” katanya.

Baginya, berselindung di sebalik membenteras budaya fitnah akan menyebabkan rakyat semakin menolak kerajaan BN kerana akhbar-akhbar tajaan BN sendirilah yang mempromosikan budaya tersebut.

Tiada ulasan: