Khamis, 6 Jun 2013

POLITIK BERSIH BUKAN KOTOR...JIKA AMANAH...ADIL...SATU LAGI PERKARA EXCO AGAMA PERLU MENANGANI KES2 MURTAD...MEMBUANGAN BAYI..ZINA...JUDI SERTA PERKARA2 MUNGKAR DISELANGOR....KITA CAKAP ...SEKARANG ADA KUASA BIKINLAH

Takziah buat keluarga pendaki Gunung Everest

Harakahdaily, 05 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum Mohamad Shahrulnizam Ahmad Nazari, pendaki Gunung Everest yang telah menghembuskan nafas terakhir ketika cuba mendaki gunung tersebut bersama pasukannya.
Seorang lagi ahli pasukan tersebut dikatakan sedang kritikal dan kedua-duanya mengalami penyakit akut ketinggian (acute mountain sickness) dalam usaha mereka menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

“Kemungkinan faktor cuaca menjadi halangan terbesar mereka mendaki Gunung Everest serta menjadi punca kematian dan penyakit mereka,” ujar Timbalan Ketuanya, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata DPPM mengharapkan agar kerajaan Malaysia dapat berusaha membawa pulang jenazah Mohamad Shahrulnizam serta seorang lagi pendaki yang kritikal dengan segera dan selamat serta mampu menyelamatkan nyawanya.

Katanya, dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan itu, tidak ada lagi harapan dan pergantungan melainkan kepada Allah SWT di samping ikhtiar yang termampu bagi membawa balik kedua-duanya.

Selain mereka, ujarnya DPPM juga berharap kesemua anggota pasukan juga akan dihantar pulang sesegera mungkin agar tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

“DPPM menasihatkan pasukan pendaki Malaysia agar menjaga keselamatan dan kesihatan mereka,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Menurutnya kagi, meskipun mereka cuba mengharumkan nama negara dengan memanjat ‘bumbung dunia’ itu, namun aspek keselamatan dan kesihatan perlu diambil kira.

“Di atas segala-galanya, kesihatan dan keselamatan perlu menjadi keutamaan. Di belakang mereka, sanak saudara tercinta serta rakyat Malaysia menanti dengan penuh sabar agar mereka semuanya sihat,” katanya.

Justeru, ujar beliau rakyat Malaysia sentiasa berdoa semoga mereka sentiasa selamat.

“Buat kesemua anggota pasukan, misi anda telah berjaya kerana mampu sampai ke tahap itu serta mengharumkan nama negara kerana berjaya melahirkan pendaki-pendaki yang cekal mendaki puncak dunia,” katanya lagi.

Memahami asas perjuangan PAS

Iskandar Abdul Samad, 05 Jun 2013
Ustaz Haji Hassan Shukri kerap menerangkan di dalam ceramah atau kuliah beliau bahawa PAS juga merangkumi sebuah gerakan dakwah, gerakan massa dan gerakan kebajikan. Di dalam buku “Ke Arah Memahami Perlembagaan PAS” (Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor - 2002), beliau telah menegaskan bahawa;

“Terdapat sebahagian ahli PAS dan orang ramai yang keliru dengan penubuhan Parti Islam SeMalaysia. PAS bukan ditubuhkan kerana didorong oleh tuntutan politik tanah air. PAS bukan ditubuhkan kerana tidak puas hati dengan kepincangan yang berlaku di dalam Umno. PAS juga bukan ditubuhkan kerana kehendak individu pemimpin tertentu.”

“PAS telah ditubuhkan atas tuntutan Islam. Selain daripada tuntutan dakwah dan tuntutan menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran, para alim ulama dan cendekiawan Islam yang awal telah bersependapat dalam memutuskan perlunya wujud sebuah Harakah Islam di negara yang tidak menjalankan hukum Islam dan negara yang tidak menjamin keselamatan akidah serta kebajikan umat Islam.”


“Hendaklah ada satu golongan daripada kamu yang menyuruh kepada kebajikan. Menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Itulah golongan yang mencapai kemenangan.” (Surah Ali-Imran : ayat 104)

Bagi melaksanakan tanggungjawab ini, golongan yang peka dan bertanggungjawab ini atau dikenali dengan gerakan Islam atau Harakah Islam tidak boleh hanya bergantung dengan lisan semata-mata (ceramah dan kuliah). Sebaliknya Harakah Islam perlu mendapat "kuasa" bagi memastikan bahawa tuntutan Islam ini dapai dilaksanakan dengan sempurna. Dalam konteks bernegara, "kuasa" yang dimaksudkan ialah "kuasa politik".

Tetapi buku itu menyebut, “PAS tidak menjadikan medan politik sebagai satu wasilah semata-mata untuk menyampaikan risalah Islam.”

Oleh itu seperti yang dinyatakan lagi oleh Ustaz Hassan;

“PAS bukan sahaja terlibat dengan politik tetapi juga dalam ekonomi, pendidikan, kebajikan, hubungan antarabangsa dan kemasyarakatan.”

Ahli-Ahli Yang Keliru

Ramai yang menyertai PAS setelah berlakunya ledakan Reformasi dalam tahun 1998 dan menganggap PAS semata-mata sebuah parti politik dengan segala gerak kerja ditumpukan kepada pilihan raya dan berhenti setelah berakhirnya pilihan raya.

Mereka tidak boleh persalahkan kerana gelombang rakyat yang berlaku akibat dari pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menjana program-program seperti ceramah umum dan demonstrasi jalanan sehingga menggelamkan program-program tarbiyyah “tradisional” seperti kuliah dan usrah.

Semua ini berlaku sama ada kerana Kawasan-Kawasan dan Cawangan-Cawangan adalah terlalu sibuk di dalam menghadapi pilihan raya di mana Barisan Alternatif dijangka berupaya mencapai kemenangan atau oleh sebab “bekalan” ustaz yang tidak mencukupi untuk mengendalikan usrah atau menyampaikan kuliyyah.

Suasana Revolusi Bukan Evolusi

Pertambahan ahli dan Cawangan PAS terutamanya di Lembah Kelang adalah hampir empat hingga enam kali ganda ketika itu. Di Ampang Jaya dalam tahun 1999, pertambahan tersebut adalah lebih lima kali ganda.

Suasana ketika itu adalah amat bergelora dan mungkin hanya sesuai untuk satu “revolusi” dan bukannya untuk “menadah kitab”. Ceramah-ceramah umum walaupun tidak menampilkan pemimpin-pemimpin “lima bintang” ia akan tetap dihadiri oleh ribuan manusia. Di Lembah Kelang, Ampang Jaya dan Gombak menganjurkan ceramah umum hampir setiap minggu. Suasananya cukup “panas” dan adalah hampir mustahil untuk mengumpul ahli-ahli di dalam rumah atau markaz untuk membaca teks-teks usrah. Mereka lebih berminat kepada kerja-kerja praktikal di luar daripada majlis-majlis ilmiah dalaman.

Oleh itu, suasana ketika itu adalah saat yang paling hampir di dalam sejarah negara di mana pertukaran kerajaan boleh berlaku melalui “revolusi” atau di dalam ungkapan para reformis perubahan melalui “jalan raya” bukan “pilihan raya”. Parti Komunis Malaya pimpinan Chin Peng pun tidak pernah mendapat peluang keemasan seperti itu.

Kakitangan kerajaan, mahasiswa, para profesional, para intelek, para karyawan, golongan pekerja dan rakyat secara menyeluruh adalah bersama Barisan Alternatif. Walau bagaimanapun, parti-parti pembangkang menghormati akan undang-undang dan masih yakin kepada sistem pilihan raya di Malaysia. Tetapi Mahathir tidak bergegas meninggalkan Malaysia seperti Marcos meninggalkan Filipina atau Shah Reza Phalavi meninggalkan Iran dan suasana dan gelombang rakyat seperti itu tidak mungkin akan berulang lagi.

Pertunangan Yang Tidak Berakhir Dengan Perkahwinan

Apabila laungan “jalan raya dan bukan pilihan raya” bergema kembali setelah Barisan Alternatif ditipu dan dimalukan selepas pilihanraya 2004, sebenarnya laungan itu telah terlambat. Malah pimpinan Barisan Alternatif ketika itu tidak menunjukkan kesungguhan untuk mencabar kesahihan keputusan pilihan raya umum 2004 apabila perhimpunan raksaksa yang dijadualkan di Padang Merbok. Kuala Lumpur telah dibatalkan tanpa sebarang alasan kukuh.

Jerayawara (roadshow) yang diadakan di seluruh negara, wang ringgit yang dikumpulkan dan nama-nama yang dipungut seolah-olah bagaikan satu pertunangan yang tidak berakhir dengan satu pernikahan.

Cadangan memboikot pilihan raya setelah Barisan Nasional menang besar sememangnya tidak akan “mencederakan” Barisan Nasional tetapi maruah pimpinan dan gagasan Barisan Alternatif telah tercalar akibat kekecohan pembatalan demonstrasi raksasa itu.

Ahli-Ahli Yang Telah Terduduk

Oleh itu, setelah berakhirnya pilihan raya umum 2004, amatlah payah untuk meyakinkan ahli-ahli baru pasca Reformasi untuk sama-sama menghadiri usrah atau kuliah di dalam keadaan ramai yang telah “terduduk” dan patah semangat akibat dari kekalahan yang dialami.

Mungkin jika perhimpunan raksaksa di Padang Merbuk diteruskan dan ramai pimpinan Barisan Alternatif terpaksa menjadi tetamu Seri Paduka Baginda, gelombang rakyat mungkin akan kembali walaupun tidak sehebat tahun 1998-99.

Pada kebanyakan mereka yang kecewa, PAS adalah hanya sekadar sebuah parti politik. Mereka boleh berjaga malam untuk menampal poster atau menggantung bendera untuk tujuh hari berturut-turut tetapi tidak berupaya untuk menghadiri usrah atau kuliah yang sekadar satu jam setengah.

Budaya Masyarakat Melayu

Di dalam hal ini, perlulah kita mengkaji budaya masyarakat Melayu. Salah satu daripada kelebihan orang Melayu adalah apabila mereka dijemput ke kenduri sama ada ke majlis perkahwinan atau majlis tahlil, mereka akan hadir walaupun berlaku ribut atau taufan.

Pada lazimnya, orang Melayu lebih suka hadir di majlis-majlis di mana mereka tidak perlu berbuat apa-apa. Kalau disebut majlis usrah ramai akan lari tetapi kalau dikatakan majlis tahlil mereka akan datang. Tetapi jangan tersilap kerana jika disebut majlis membaca Yaasin sekalipun, ramai juga yang akan menguzurkan diri kerana masih terdapat mereka yang tidak dapat membaca Yaasin selaju Tok Imam yang dijemput!

Maka buat permulaan, anjurkanlah majlis-majlis tahlil untuk ahli-ahli bagi menarik mereka untuk hadir. Tetapi penuhilah majlis-majlis itu dengan pengisian-pengisian yang sama seperti di usrah-usrah.

Satu cara lain untuk memastikan kehadiran ahli-ahli adalah dengan meminta pertolongan dari mereka tetapi permintaan itu hendaklah yang sesuai dengan kemampuan mereka. Contohnya, “Che’ Mat saya dah terlupa nak beli pisang untuk malam ni, tolong belikan dua tiga sisir, jangan tak datang sebab Ustaz Daud nak bawa tahlil”. Ataupun. “Kak Yam, minggu depan kami nak dengar pengalaman Kak Yam melawat Beijing, kami dah tak sabar-sabar nak dengar cerita-cerita Kak Yam jadi jangan tak datang.”

Merubah Imej Atau Prinsip?


Tetapi adalah diharapkan di dalam usaha untuk menarik lebih ramai orang kepada PAS, janganlah kita terpaksa merubah perkara-perkara yang merupakan dasar kepada PAS.

Ramai ahli-ahli PAS yang kagum dengan transformasi Parti Buruh (Labour Party) di Britain yang telah kalah di dalam empat pilihan raya berturut-turut (1979, 1983, 1987 dan 1992) tetapi telah menang besar di dalam 1997. Mereka mahu PAS mencontohi perubahan imej yang telah berlaku kepada Parti Buruh. Tetapi sebenarnya. Parti Buruh bukan sahaja telah menukar imej mereka!

Parti Buruh telah ditubuhkan pada 27 Februari 1900 pada Kongres Kesatuan Sekerja (Trade Union Congress) di London. Parti ini ditubuhkan untuk menyelaraskan calon-calon pilihan raya yang bertanding mewakili kesatuan-kesatuan sekerja.

Walau bagaimanapun, “New Labour” atau Parti Buruh yang berimej baru telah beberapa kali berbeza pendapat dengan kesatuan-kesatuan sekerja. Terdapat pemimpin kesatuan sekerja yang tidak bersetuju dengan “New Labour” telah bertindak menubuhkan partinya sendiri.

Kerajaan Parti Buruh pimpinan Tony Blair telah juga mengekalkan banyak undang-undang yang menekan kesatuan-kesatuan sekerja. Undang-undang ini telah diperkenalkan oleh Margaret Thatcher ketika Parti Konservatif berkuasa.

Di dalam persidangan tahunan Parti Buruh dalam tahun 1992, ketuanya ketika itu, John Smith, telah mengehadkan hak kesatuan-kesatuan sekerja untuk menentukan calon-calon pilihan raya. Nampaknya parti yang telah ditubuhkan oleh kesatuan sekerja akhirnya telah meminggirkan kesatuan sekerja!

Kita berharap PAS tidak akan mengikut jejak Parti Buruh yang telah melupakan golongan yang mengasaskannya di dalam keghairahan untuk mendapatkan kuasa.

http://www.tarbawi.my

Suruhanjaya Integriti siasat kematian dalam tahanan

Salmiyah Harun, 05 Jun 2013
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Malaysia akan menubuhkan satu Task Force bagi menyiasat kematian yang semakin menjadi-jadi dalam tahanan pihak berkuasa.

Setiausaha yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur Afizah Hanum Mokhtar (gambar) dalam sidang medianya berkata, ini adalah antara tindakan awal suruhanjaya ini sejak ia ditubuhkan.

Sehingga minggu ini, sudah sembilan mati dalam tahanan atau penyeliaan pihak polis.

Polis adalah salah satu dari 19 agensi penguatkuasaan yang dipantau oleh EAIC.

"Kita akan menubuhkan task force yang dianggotai oleh 5 - 8 anggota untuk menyiasat kes ini," kata Nur Afizah dalam sidang media di pejabatnya dekat Presint 2 hari ini.

Suruhanjaya Integriti adalah sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700], berkuat kuasa mulai 1 April 2011.

Antara fungsi Suruhanjaya ini adalah untuk menerima aduan terhadap salah laku pegawai penguat kuasa atau Agensi Penguatkuasaan Persekutuan serta mengurus dan menjalankan siasatan terhadap aduan sedemikian.

Manakala tujuan Suruhanjaya ini ditubuhkan adalah untuk membanteras salah laku di kalangan pegawai penguat kuasa, mempertingkatkan dan membudayakan integriti di kalangan Agensi Penguatkuasaan Persekutuan, memupuk dan memperkukuhkan keyakinan orang ramai terhadap pegawai penguat kuasa dan Agensi Penguatkuasaan Persekutuan.

Agensi Penguatkuasaan yang diselia suruhanjaya ini adalah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Agensi Penguatkuasaan Meritim Malaysia, Rela, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Perhubungan Perusahaan, Jabatan Perhilitan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Kesihatan, Pelancongan Malaysia dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Exco agama Selangor ambil pendekatan penerangan

Khaulah Azwar, 05 Jun 2013

(Sallehen ketika ditemui di pejabat barunya hari ini)


SHAH ALAM: Exco baru untuk Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian, Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi akan mengambil pendekatan penerangan dalam melaksanakan tugasnya.

"Bagi saya program penerangan adalah amat penting bagi  memberi kesedaran kepada umat Islam. Mengapa Islam melarang kita minum, menjual, mempromosi  arak, pergi tempat pusat hiburan.

"Ini adalah kerana untuk mengelak berlakunya gejala sosial, keruntuhan akhlak, ketuntuhan rumahtangga, berlakunya zina, pembuangan bayi dan sebagainya," kata Sallehen Mukhyi dalam sidang media pertama di pejabat SUK Selangor hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta agar rakyat Malaysia mengubah  cara pemikiran bagi tangani masalah isu arak, judi, pusat hiburan melalui  Exco Hal Ehwal Islam.

Beliau berkata, semenjak mengangkat sumpah sebagai Exco, berbagai soalan yang dimainkan oleh rakyat dan media bagi menangani isu ini.

"Antara soalan yang sering dipersoalkan apakah tindakan saya sebagai Exco Agama dalam tangani isu arak, judi, pusat hiburan. Apakah Hudud perlu dilaksanakan di negeri Selangor.

"Bagi saya rakyat perlu ubah cara pemikiran tersebut kerana untuk tangani isu berkenaan ia perlu memberi kefahaman terlebih dahulu kepada seluruh rakyat termasuklah kepada non-muslim agar mereka faham apakah yang di maksudkan hudud dna lain-lain.

"Siapakah yang layak menerima hudud. Siapakah yang mempunyai kuasa menutup kilang arak dan sebagainya," kata beliau.

Sallehen yang menang dalam pilihan raya lalu di Dun Sabak dilantik sebagai Exco bagi mewakili PAS dalam penggal ini. Selain beliau, tiga Exco PAS sebelum ini dilantik semula. Mereka adalah Dr Halimah Ali, Iskandar Samad dan Dr Ahmad Yunus.

Bagi Sallehen, kerja penerangan ini pula memerlukan penglibatan semua pihak bukan hanya Exco Agama sahaja bahkan juga para ustaz dan alim ulama.

Sallehen menjelaskan lagi, bagi tangani isu arak, rampas lesen arak, tutup pusat hiburan bukan kuasa Exco Agama dan kerajaan negeri Selangor sepenuhnya tetapi ia dibawah pengurusan pihak berkuasa di peringkat Pusat dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

“Kita tidak ada kuasa sepenuhnya menutup tempat hiburan, rampas lesen arak. Tetapi kita akan bantu PBT dan lain-lain untuk tangani isu ini dari semasa ke semasa dengan mengadakan perbincangan bersama demi kepentingan umat Islam di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau menjelaskan, pihak kerajaan negeri tidak ada mengeluarkan lesen baru untuk tutup pusat hiburan, menjual arak untuk penggal lalu.

"Namun saya difahamkan semasa zaman pemerintahan kerajaan Umno dulu lagi  ada lesen quata  lama di keluarkan  untuk arak dan sebagai," jelas beliau.

Islam, katanya, memang melarang umatnya mengambil arak, pergi tempat yang mendekati zina iaitu pusat hiburan.

Maka dengan itu program penerangan agama ini perlu di laksanakan di institusi masjid, edaran risalah dan sebagainya agar rakyat Malaysia faham dengan jelas.

"Insya Allah perbincangan bersama PBT, dan badan berwajib akan diadakan dalam tangani isu berkenaan dengan baik agar tidak melukai hati mana-mana pihak kerana di Malaysia kehidupannya adalah berbagai bangsa dan agama yang perlu di hormati," jelasnya lagi.

Bukan air percuma tetapi tambahan caj untuk rakyat Terengganu

Harakahdaily, 05 Jun 2013
KUALA TERENGGANU: Setelah menang dengan majoriti tipis di Terengganu, kerajaan BN Terengganu bukannya memberikan air percuma untuk rakyatnya tetapi menambahkan beban mereka.

(Notis yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia tentang caj yang dikenakan)

Kali ini, semua pengguna air di Terengganu dikenakan caj 70 sen untuk setiap kali pengguna air di negeri itu membayar bil mereka di Pejabat Pos atau Pejabat Posmini.

Caj baru ini mula diperkenalkan mulai 1 Jun 2013, 25 hari selepas rakyat Terengganu khasnya penduduk luar bandar memilih Umno semula sebagai pemerintah negeri.

Maklumat caj baru ini dimaklumkan oleh Pos Malaysia melalui notis yang mereka berikan kepada pelanggan mereka.

"Pos Malaysia telah menerima notis pemberitahuan dari Syarikat Air Terengganu (Satu) bahawa mulai 01.06.2013 semua pelanggan Satu yang membuat bayaran di Pejabat Pos dan pejabat Posmini akan dikenakan caj komisen.

"Sehubungan dengan itu, caj komisen yang akan dikenakan adalah sebanyak  RM0.70. Sebarang pertanyaan berikutan dengan perkara ini boleh dirujuk kepada Syarikat Air Terengganu (Careline Satu 1-300-88-2111)," kata notis Pos Malaysia itu.

Dalam manifestonya menjelang pilihan raya umum ke 13, PAS Terengganu telah berjanji untuk memberikan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada semua rakyat Terengganu.

Namun BN tetap menang di Terengganu iaitu dengan kemenangan tipis 17 kerusi berbanding Pakatan 15 kerusi di Terengganu. Untuk kerusi Parlimen pula, PAS menang empat dan BN juga empat kerusi.

Air percuma telah dinikmati oleh rakyat Selangor sejak tahun 2008 apabila Pakatan menang di negeri ini.

BN Selangor juga berjanji akan memberikan air percuma di negeri itu jika menang PRU 13, namun hanya 20 liter padu sahaja iaitu kira-kira 15 botol air mineral bersais 1.5 liter setiap bulan.

Perhimpunan aman 15 Jun di Padang Merbok

Harakahdaily, 05 Jun 2013


KUALA LUMPUR: Perhimpunan aman Black505 bagi menolak penipuan serta menuntut reformasi pilihan raya akan diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur 15 Jun ini bermula jam 2 petang.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, lokasi itu dipilih selepas mengambil kira pandangan pihak polis yang menggesa supaya perhimpunan tidak melibatkan Dataran Merdeka.

“Pilihan utama kita semestinya Dataran Merdeka, tetapi buat masa ini kita tetapkan dahulu Padang Merbok dan akan mendapatkan kebenaran dari polis untuk menggunakan Dataran semasa menghantar surat makluman nanti,” jelas Rafizi dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, surat makluman kepada pemilik Padang Merbok, DBKL dan Balai Polis Dang Wangi akan dihantar pada hari ini sebagai memenuhi peraturan dalam Akta Perhimpunan Aman iaitu notis dalam tempoh 10 hari.

Surat tersebut ditandatangani Rafizi bersama wakil PAS iaitu Syed Azman Syed Nawawi dan Anthony Loke dari DAP.

“Kita harap tidak akan berlaku sebarang tangkapan lagi kerana kita sudah memenuhi peraturan yang ditetapkan,” kata Rafizi dipetik KeadilanDaily.

Sementara itu, Pengarah Programm Datuk Johari Abdul berkata keselamatan peserta yang mengikuti himpunan menjadi keutamaan penganjur.

“Paling penting adalah keselamatan peserta, berhimpun dalam suasana aman dan santai,” katanya.

Politik dan amanah

YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, 04 Jun 2013
Golongan yang banyak terlibat dalam melaksanakan hukum adalah golongan politik yang memerintah negara. Mereka bertanggungjawab mengurus ummah dalam segala bidang. Allah menyebutnya bersama dengan adil dan amanah. Hal ini menunjukkan politik Islam yang sebenar adalah memerintah dengan adil mengikut hukum Allah. Melantik pemimpin yang menunaikan kewajipan ini dikira amanah paling besar dalam Islam dan menasihati pemimpin yang zalim adalah jihad paling afdal.

Menurut Abu Hurairah (mafhumnya), “Suatu ketika, Nabi Muhammad sedang berbicara dengan para sahabatnya, tiba-tiba datang seorang Badwi bertanya, ‘Bilakah berlakunya kiamat?’ Lantas Nabi Muhammad menjawab, ‘Apabila dihilangkan amanah.’ Dia bertaanya lagi, ‘Bagaimanakah dihilangkan amanah itu.’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Apabila diserahkan urusan kepada orang bukan yang ahlinya (yang tidak layak).’”

Jelasnya, urusan pemerintahan hendaklah diserahkan kepada individu yang layak daripada segi iman, ilmu dan akhlak yang baik bukannya kerana dipengaruhi oleh hubungan keluarga, timbunan harta apatah lagi ugutan, bukan juga dilantik dengan cara kotor seperti cara paksaan, menipu dan rasuah.

Abu Hatim melaporkan, Nabi Muhammad bersabda (mafhumnya), “Jihad yang paling baik ialah bercakap benar di hadapan pemimpin yang zalim.”

Hadis ini adalah hadis sahih, hadis yang menyebut bahawa ‘jihad paling baik bermaksud jihad melawan hawa nafsu’ menurut sebahagian sarjana, hadis itu termasuk dalam kategori hadis yang lemah (dhaif) dan ada pula yang menegaskan ia adalah hadis palsu. Sebenarnya ia bukan hadis, tetapi merupakan kata-kata seseorang yang bermana Ibrahim bin ‘Ablah.

Begitupun tidak dinafikan jihad melawan hawa nafsu adalah jihad yang besar, namun begitu kewajiban yang lebih besar dalam agama islah sifat amanah yang ditetapkan Allah dalam kitab-Nya. Mereka yang zalim dan tunduk atau bersikap diam terhadap kezaliman adalah orang yang kalah melawan hawa nafsunya.

lslam mendahului demokrasi Barat, memberi hak kepada rakyat memilih pemimpin yang layak dan haram patuh kepada pemimpin yang zalim. Allah menyatakan dalam kitab-Nya, yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Surah Hud : ayat 113)

Pembaharuan daripada demokrasi purba yang diwarisi oleh Barat daripada tamadun Athens sebelum Masihi melahirkan demokrasi moden dalam dunia Barat. Pembaharuan ini berlaku akibat pengaruh daripada tamadun Islam hasil hubungan Barat dan Islam melalui hubungan dagang, diplomatik dan penjajahan.

Pergaulan Barat dengan dunia Islam menyebabkan berlakunya perubahan minda, bukan sahaja dalam bidang sains tetapi juga bidang politik dan lain-lain. Hukum-hukum Islam mempengaruhi politik Barat apabila kitab-kitab karangan para sarjana menjadi kajian orang Barat. Bahkan tulisan tulisan para sarjana Islam masih di simpan di negara-negara barat sehingga ke hari ini dan terus menjadi bahan kajian.

Dalam Islam, nasihat adalah unsur penting dan menjadi kewajipan setiap orang. Nabi Muhammad pernah bersabda (mafhumnya), “Agama itu nasihat.”

Para sahabat bertanya, “Untuk siapa?”

Baginda menjawab, “Untuk Allah, untuk Rasul-Nya, untuk para pemimpin dan untuk seluruh umat Islam.”

Nasihat adalah ajaran Allah dan contoh daripada Nabi Muhammad SAW sendiri, ia menjadi kewajiban kepada semua peringkat umat Islam. Nasihat itu perlulah sentiasa terpelihara, tidak hanyut, teguh dan anjal kerana berpaksikan ajaran Islam yang bebas daripada kelemahan manusia dan berpaksikan akal yang mendapat petunjuk Allah.

Khalifah Abu Bakar memberikan ucapan pertama sesudah dilantik menjadi khalifah selepas wafatnya wafatnya Nabi Muhammad SAW;

“Saya dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukanlah orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya berlaku baik tolonglah saya, sekiranya saya berlaku buruk perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat. Orang yang kuat dalam kalangan kamu adalah lemah di sisiku, sehingga aku ambil daripadanya tindakan (sekiranya berlaku zalim) dan orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku, sehingga aku kembalikan haknya (yang dizalimi). Sesungguhnya sesuatu kaum yang meninggalkan jihad, Allah timpakan bencana menyeluruh ke atas mereka. Taatlah kepada saya selagi saya taat kepada Allah dan Rasul, sekiranya saya menderhakai Allah dan rasul, maka jangan lagi mentaati saya.”


Demokrasi Barat jelas mempunyai kelemahannya, apabila pengkaji Barat hanya mengambil sebahagian daripada hukum Islam dengan memisahkan politik daripada agama dan akhlak Islam. Mereka mengambil hukum politik dengan meninggalkan aspek rohani daripada agama Islam yang sempurna, dengan kata lain mereka mengambil hukum dengan meninggal aspek iman dan akhlak yang berkait dengan perhitungan dosa dan pahala, serta balasan pada hari akhirat.

Islam adalah agama menyeluruh secara sempurna tanpa mengira kaum, tempat dan keadaan. Dalam perkara rukun dan fitrah Islam menyatakan melalui ayat-ayat dengan jelas. Manakala dalam perkara kehidupan dan kemasyarakatan yang boleh berubah dan berbeza Islam menyatakannya dengan ayat-ayat umum. Manusia mendapat keizinan bagi menggunakan akal dan kebijaksanaan.

Dalam soal kebijaksanaan, Nabi Muhammad bersabda (mafhumnya), “Kebijaksanaan itu laksana barang tercicir kepunyaan orang yang beriman, di mana sahaja dia bertemu hendaklah dia memungutnya.”

Dasar ini menjadi pegangan para Khulafa Rasyidin dan sahabat yang dilantik menjadi khalifah selepasnya. Seterusnya menjadi amalan wajib kepada pemimpin kerajaan Islam di sepanjang zaman. Maka sesiapa yang tidak berpegang dan beramal dengannya dikira berdosa dan menyeleweng daripada agama Islam kerana tidak mengikut jejak langkah Nabi Muhammad dan mengambil teladan daripada generasi awal kerajaan Islam.

Banyak perkara-perkara baik yang diamalkan sebelum Islam sama ada daripada masyarakat lain, Nabi Muhammad dan para Khulafa Rasyidin. Antara contohnya, perutusan surat kepada raja-raja dengan menggunakan cop mohor bagi menyatakan pengesahan daripada sesebuah kerajaan.

Permuafakatan dengan semua pihak sering dilakukan termasuk daripada kalangan bukan Islam bagi membela orang yang dizalimi dan menentang kezaliman. Khalifah Umar al-Khattab menggunakan sistem imbuhan atau gaji yang diamalkan oleh kerajaan Parsi, memakai mata wang Islam dan lain-lain ditiru daripada masyarakat bukan Islam. Sikap terbuka yang adil dan istiqamah ini menjadikan Islam agama yang diterima oleh seluruh manusia dengan rela hati.

Kepimpinan negara Islam tidak dikongkong oleh bangsa Arab selama-lamanya. Apabila bangsa Arab mengalami kelemahan, ketua negara bertukar kepada bangsa yang lebih kuat berpegang kepada Islam, ilmu dan akhlak. Allah menegaskan dalam al Quran yang bermaksud:

“Jika kamu berpaling (daripada ajaran Islam) nescaya Dia (Allah) menukar kaum yang lain daripada kamu, kemudian mereka tidak seperti kamu.” (Surah Muhammad : ayat 38)


Amanah menerajui kerajaan Islam selepas kelemahan Bangsa Arab diambil alih oleh bangsa Kurdi, Turki dan lain-lain apabila bangsa itu menganut Islam dan lahir dalam kalangan mereka tokoh-tokoh yang berwibawa. Kerajaan Islam dapat dijatuhkan apabila pemimpinnya zalim dan tidak beramal dengan Islam.

Khalifah Umar dalam salah satu ucapannya berkata, “Kita adalah kaum yang diberi kemuliaan dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan dengan cara yang lain daripada pemberian Allah kepada kita, nescaya Allah jadikan kita hina.”

Dalam sejarah Islam, pemimpin negara terdiri daripada pelbagai bangsa yang menganut Islam. Bahkan keturunan hamba abdi yang berjaya dihapuskan dalam masyarakat Islam pernah muncul sebagai pemimpin dan sarjana terbilang dalam negara.

Islam tidak boleh menerima kelemahan dalam demokrasi Barat yang berdasarkan sekularisme, memisahkan politik daripada agama seperti hilangnya aspek rohani, iman dan akhlak mengikut perhitungan dosa dan pahala dalam amalan politik. Kelemahan yang lahir daripadanya sangat nyata apabila berlakunya penyalahgunaan kuasa dalam pemerintahan demokrasi Barat. Lahirnya rasuah politik melalui wang dan jawatan, penipuan dan lain-lain.

Kadang-kadang demokrasi Barat memberi kuasa kepada pemimpin atau kumpulan tertentu sehingga boleh melakukan perkara di luar kemampuan manusia, dan adanya kumpulan yang tidak boleh dikritik oleh ahli parlimen. Dalam amalan politik Islam, hanya Allah sahaja yang tidak boleh dipersoalkan. Para Rasul yang dilantik oleh Allah pula hanya mempunyai keistimewaannya dalam perkara-perkara tertentu. Manakala para sahabat pula mendapat keizinan memberi pendapat dalam urusan duniawi yang bergantung pada pengalaman hidup yang sentiasa mengalami perubahan.

http://www.tarbawi.my

Tiada ulasan: