Jumaat, 12 Oktober 2012

JANGAN KITA MENDAHULU TAKDIR ALLAH...SEMATA2 DAN MEMBURUKKAN MUSUH...JANGAN KITA SENTIASA NAK BERSIFAT BEGITU...SEAKAN MENGADU DOMBA...APA KITA BAIK SANGAT KE...SEMASA BERKUASA

Imam Hoslan berpeluang berdakwah dalam penjara

Salmiyah Harun, 12 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Imam Hoslan Husin, 46, yang baru sahaja kembali ke pangkuan anak dan isterinya semalam selepas hampir tujuh bulan menjalani hukuman penjara akan meneruskan kehidupan biasa dengan  berniaga buku dan kitab-kitab pengajian agama Islam.

Itulah sumber pendapatan beliau selain bekerja makan gaji dengan vendor alam sekitar sebagai 'water monitoring'.
(Gambar: Hoslan mencium seorang anaknya sebaik dibebaskan, semalam. Foto: SK)
Bagaimanapun, beliau akan merujuk semula dengan majikannya itu kerana difahamkan akan diberi ruang untuknya di sana selepas ini.

Malah katanya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong penuh perjuangannya.

"Saya berterima kasih dengan pegawai Jawi yang sama-sama bertugas di Masjid Ar Rahimah kerana menghulurkan sumbangan kepada keluarga selama saya dipenjara," katanya ketika ditemui.

Hoslan cukup teruja untuk menceritakan pengalaman yang baru sepanjang beliau berada di Penjara Kajang.

Menurut Hoslan yang juga  bekas Imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, sepanjang berada di sana beliau mengambil tugas-tugas sebagai pendakwah di dalam Unit Halaqah.

"Saya cukup sedih, ramai banduan orang Melayu Islam di dalam sana tidak tahu apa itu syahadah apatah lagi mahu mengucap (syahadah).

"Saya juga pernah melakukan sembahyang ghaib untuk salah seorang pegawai penjara yang meninggal dunia. Walaupun ada sedikit pertikaian tetapi saya berjaya menjelaskan sebaiknya," katanya.

Selama berada di sana, beliau cukup gembira apabila berpeluang berdakwah dan memberi kata-kata nasihat kepada banduan-banduan lain.

"Saya diberi kebenaran menyampaikan nasihat oleh pegawai penjara. Antara yang saya tekankan 'jalan kehidupan Allah telah tunjuk, tugas kita hanya ikut sahaja jalan itu'," ujarnya.

Namun, beliau menyifatkan hukuman yang diterimanya sebagai pengajaran dan mengibaratkan penjara itu sebagai madrasah tarbiyah.

Sementara itu, isteri beliau Noorliza Mat Isa, 43, melahirkan kegembiraan yang teramat sangat sehingga tidak terluah dengan kata-kata sebaik sahaja melihat suami yang kini sudah berada di depan mata.

"Tidak tahu nak cakap, saya cukup gembira. Suami dan ayah kepada anak-anak saya akhirnya berada di depan mata kami," katanya dengan linangan air mata.

Jika hari raya Aidilfitri yang lalu, Noorliza berhari raya tanpa suami untuk Hari Raya Aidil Adha yang bakal disambut akhir bulan ini adalah cukup bermakna buat mereka sekeluarga.

"Bersyukur, raya nanti kami gembira sangat, baru ada mood nak raya. Macam Aidilfitri lalu kami tak ada 'mood' nak raya. Anak-anaklah yang paling gembira dan mungkin mereka tidak sabar untuk berbaju raya sedondong," katanya ketika ditemui.

AES: Kenapa jawapan JPJ, kementerian bercanggah?

Muhammad Faizal, 12 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghani mempersoalkan percanggahan jawapan yang dinyatakan oleh Kementerian Pengangkutan melalui jawapan bertulis kepada beliau sebelum ini dengan apa yang dikeluarkan oleh Pengarah JPJ mengenai imej dirakam Automated Enforcement System (AES).

"Kementerian menyatakan jumlah imej dirakam sebanyak 3,344 bagi tempoh dua hari pelaksanaan mulai 23 hingga 24 September.

"Namun kenyataan dari Pengarah JPJ hanya memberitahu hanya 2,952 imej sahaja bagi tempoh yang sama, kenapa ini berlaku dan adakah tiada maklumat yang tepat diberikan sehingga berlaku percanggahan maklumat," katanya ketika membahaskan Bajet 2013 di Parlimen, semalam.

Beliau yang juga meminta agar kerajaan menyatakan secara terperinci peratusan ketepatan imej yang dirakam untuk setiap kesalahan yang dilakukan oleh pemandu.

Selain lokasi had laju 60 hingga 110 kilometer sejam menjadi pilihan pemasangan AES, lokasi 30 kilometer sejam juga turut dipasang AES antaranya di Kampung Pulau Gajah, Kota Bharu dan KM 27 Jalan Langkap ke Kampar, Hilir Perak.

Rusia tuntut Turki jelaskan pemintasan pesawat Syria

Terjemahan Mohamad Yahya, 12 Okt 2012

(Moscow menuduh Ankara membahayakan nyawa penumpang dengan memintas pesawat Syria dengan dakwaan membawa kargo "bukan awam".)

MOSCOW: Moscow mendakwa  Ankara membahayakan nyawa warga Rusia selepas memaksa pesawat penumpang Syria mendarat dan merampas kargo yang disyaki peralatan ketenteraan dari Rusia kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Damsyik berkata Khamis lalu bahawa pemintasan pesawat Syria tersebut adalah suatu perbuatan lanun, menambahkan lagi ketegangan antara Turki dan Syria kerana sebelum ini ketua kakitangan Turki memberi amaran bahawa tentera Turki akan bertindak balas dengan lebih hebat jika Syria terus membedil wilayah Turki.

Jet tentera mengiringi pesawat Airbus A-320 yang membawa kira-kira 30 penumpang dari Moscow ke Damsyik, ke lapangan terbang Ankara lewat Rabu lalu selepas Turki menerima maklumat perisikan bahawa pesawat tersebut membawa  "kargo bukan awam".

Rusia, yang menyokong kerajaan Assad dalam pemberontakan selama 18-bulan yang telah membunuh kira-kira 30,000 orang, marah dan menuntut penjelasan dari Turki.

"Nyawa dan keselamatan penumpang telah terancam," Kementerian Luar Rusia berkata dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa 17 warga negaranya dihalang dari mendapat akses kepada kakitangan diplomatik Rusia.


Kawalan senjata


Turki berkata mereka bertindak dalam lingkungan undang-undang antarabangsa.

"Kami berazam untuk mengawal pemindahan senjata kepada rejim yang melakukan pembunuhan kejam beramai-ramai terhadap orang awam. Kami tidak boleh menerima bahawa pemindahan sedemikian dibuat menggunakan ruang udara kami," ujar Ahmet Davutoglu, Menteri Luar Turki.

"Kami menerima maklumat bahawa pesawat tersebut membawa kargo yang tidak mematuhi peraturan penerbangan awam," katanya semasa lawatan rasmi di Athens.

Sementara itu, Mahmoud Said, Menteri Pengangkutan Syria, menuduh Turki  sebagai "lanun ruang udara", menurut stesen televisyen Lubnan, Al-Manar.

Syria juga telah menutup ruang udara kepada pesawat Turki, selepas pengisytiharan Ankara bahawa ruang udara Syria adalah "tidak selamat" untuk pesawat Turki.

Rusia merupakan salah satu sekutu rapat kerajaan Assad dan telah menyekat beberapa resolusi PBB terhadap Damsyik.

"Sekali seminggu, pesawat Syria Airlines terbang dari Moscow ke Damsyik," agensi berita Interfax memetik jurucakap Lapangan Terbang Vnukovo, Yelena Krylova sebagai berkata. "Pesawat berlepas seperti biasa,  tiada sebarang kejadian yang berlaku."


Kenyataan Assad


Assad menyifatkan Syria dan Turki sebagai "saudara" dalam temubual yang disiarkan Khamis lalu, dan berkata bahawa Turki "tidak mempunyai sebab untuk berperang" selepas isu pertempuran merentas sempadan baru-baru ini.

"Kita harus berkerja bersama-sama dalam isu ini," katanya kepada akhbar Turki, Aydinlik, seminggu selepas serangan yang menyebabkan lima rakyat Turki terbunuh.

"Dalam masa seperti ini, negara-negara harus membetulkan kesilapan mereka dengan berbincang antara satu sama lain. Rakyat Turki adalah orang yang mulia. Kami tidak mempunyai masalah dengan rakyat Turki dan tentera Turki. Syria bukan merupakan musuh kepada Turki. Kami sentiasa menanggap Turki sebagai saudara kami. "

Tetapi temuduga tersebut, yang tampak sebagai satu usaha untuk meredakan ketegangan, juga mengandungi teguran.

"Kami mempunyai masalah dengan kerajaan Turki," kata Assad. "Kami menghadapi masalah di sepanjang sempadan Turki kerana sikap kerajaan Turki. Kerajaan Turki juga bertanggungjawab atas kematian warga Turki. Dan hubungan antara Syria dan Turki yang sampai ke tahap ini juga merupakan salah kerajaan Turki. Bukannya rakyat Turki. "

Komen tersebut telah diterbitkan sehari selepas pendaratan  pesawat penumpang Syria yang dipintas dalam perjalanan dari Moscow ke Damsyik.

Pesawat tersebut yang membawa kira-kira 30 penumpang, telah dibenarkan untuk meninggalkan Turki dan meneruskan perjalanan ke Damsyik.

Pesawat tanpa pemandu Amerika bunuh 10 Pakistan

Terjemahan Mohamad Yahya, 12 Okt 2012

(Pesawat tanpa pemandu Amerika yang membunuh 10 di Pakistan)

PARACHINAR, Pakistan: Pegawai keselamatan Pakistan mengatakan pesawat tanpa pemandu Amerika Syarikat telah melancarkan empat peluru berpandu di rantau barat laut, mengakibatkan 10 terbunuh.

Pegawai kerajaan berkata sekurang-kurangnya 15 pemberontak cedera dalam serangan Khamis lalu di rantau puak Orakzai.

Mereka berkata mereka yang mati dan cedera adalah pejuang yang diketuai oleh komander Hafiz Gul Bahadur, yang berpangkalan di Utara Waziristan.

Pegawai kerajaan bercakap dengan syarat nama mereka tidak disiarkan kerana mereka tidak dibenarkan untuk bercakap kepada pemberita.

Pakistan sering mengkritik serangan pesawat tanpa pemandu Amerika Syarikat.

Walaupun tentera AS sering mensasarkan persembunyian pejuang di utara negara dan selatan kawasan puak bersempadan dengan Afghanistan, serangan udara di kawasan Orakzai jarang berlaku.
Tim menteri: Serangan pada Soros berpotensi 'makan diri'

  • Ahmad Fadli KC
  • 9:38AM Okt 12 2012
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berpandangan bahawa serangan yang kini dijalankan BN ke atas George Soros, berpotensi 'memakan diri sendiri' kelak.
Atas dasar itulah, katanya, beliau tidak gemar menyerang Soros mahupun NGO Suaram yang didakwa sebagai penerima dana daripada badan yang didakwa mempunyai kaitan dengan jutawan tersebut.

"Kalau kita tunjuk keburukan produk orang lain kita tak boleh kawal kualitinya sedangkan mereka boleh kawal (kualiti) produk mereka," kata Saifuddin yang juga ahli majlis tertinggi Umno.

"Bagaimana jika Soros yang (hari ini) kita hentam esok lusa dia buat kenyataan yang sesuai dengan kita.

"Sebab itu saya tak begitu berminat menghentam Soros atau menghentam Suaram," katanya kepada Malaysiakini.

Soros, seorang peniaga mata wang kontroversi dan seorang dermawan, dipersalahkan sebagai punca konflik kewangan yang melanda Malaysia semasa krisis ekonomi tahun 1997-98, dan baru-baru ini, didakwa pula mahu menjatuhkan BN dengan membiayai NGO antikerajaan.

Sejak beberapa minggu lalu, sekumpulan penulis blog prokerajaan dan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia, mengecam NGO, termasuk badan hak asasi manusia, Suaram dan gerakan reformasi pilihan raya, BERSIH, kerana menerima pembiayaan daripada Open Society Foundation Soros.

Malaysiakini juga, turut menjadi sasaran ekoran hubungannya dengan MDLF, sebuah dana pelaburan yang memiliki 29 peratus kepentingan dalam portal berita bebas itu. MDLF mengumpulkan modal dari bank, kerajaan dan agensi-agensi pembiayaan, yang termasuk yayasan Soros.

Pada hari Ahad, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut sama menuduh Malaysiakini bersekongkol dengan Soros untuk perubahan rejim bagi "meletakkan calonnya sebagai perdana menteri dan menteri-menteri dalam kerajaan Malaysia".

"Pandangan saya tentang Soros ialah dia masih seorang penyangak mata wang dan dia sebatikan kejahatan ini dengan menggunakan wang untuk meletakkan orang sepertinya untuk memerintah negara-negara yang disasarnya. Dan Malaysia jelas salah satu sasarannya," tulis Dr Mahathir dalam New Straits Times.

Dengan menyambungkan dua titik berbeza, Mahathir membuat kesimpulan liar bahawa "satu undi untuk pembangkang adalah undi untuk Soros."

Dalam keriuhan isu tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula dilaporkan bertemu Soros secara diam-diam di New York, dua tahun lalu.

Ia pertama kali didedahkan minggu lepas oleh ahli parlimen Subang, R Sivarasa dalam program debat dengan Ketua Penerangan PERKASA, Ruslan Kassim.

Mengulas perkara itu, Saifuddin menyifatkan berita itu sebagai bukti tindakan mempromosikan BN lebih baik daripada menyerang Pakatan.

"Itulah yang saya kata tadi. Saya tahu ini dekat pilihan raya dan kita harus berkempen mendapatkan sokongan rakyat tetapi saya lebih suka untuk bercerita tentang nilai-nilai yang kita nak bawa daripada BN daripada menghentam orang lain.

"Kalau betul Datuk Najib bertemu Soros kita akan tunggulah apa sebenarnya yang berlaku dalam pertemuan itu," katanya.
Saifuddin gesa Nasha buktikan dakwaan tubuh negara Kristian
8:24AM Okt 12 2012
Ahli majlis tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah menggesa bekas  timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa mengemukakan bukti kukuh bagi menyokong dakwaan bahawa satu majlis kesyukuran yang diadakan di Sarawak tahun lalu menganjurkan doa supaya "Malaysia menjadi negara Kristian".
Nasharuddin dilaporkan mendakwa, majlis itu berlangsung selepas pilihan raya negeri Sarawak.
Saifuddin berkata kenyataan demikian menyuburkan budaya politik pertentangan di Malaysia sehingga membawa kepada budaya takut dan curiga-mencurigai dalam masyarakat.

"Kita tahu di Sarawak ada ramai penganut Kristian tetapi sama ada ada atau tidak idea seperti yang disebutkan itu, saya lebih suka tak cakap perkara begitu kecuali saya ada bukti yang kukuh.

"Saya bimbang dan saya tak akan sebut benda begitu kerana saya tak mahu menambah budaya takut.

"Jadi saya harap Nasha ada bukti yang kukuh," katanya kepada Malaysiakini.
Dalam reaksi segera, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menafikan dakwaan Nasharuddin mewakili pandangan PAS.

Khalid melabelkan dakwaan itu sebagai "politik murahan" dan seperti "direncana pihak luar seperti Umno". 

1. DAP S'wak: Dakwa doa 'Msia jadi negara Kristian' berniat jahat
2. Nasha dakwa ada pihak anjur doa 'M'sia jadi negara Kristian'
Mohd Zin: Kawasan bandar di S'gor berdepan risiko banjir

  • Bernama
  • 7:50AM Okt 12 2012
Beberapa kawasan bandar di Selangor didakwa bakal berdepan dengan risiko banjir kilat menjelang musim tengkujuh Disember ini ekoran kegagalan kerajaan negeri menangani masalah sampah di negeri itu, kata Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.
  
Beliau mendakwa kegagalan kerajaan Selangor menguruskan pungutan sampah terutamanya di kawasan Lembah Klang akan menyebabkan berlaku masalah timbunan sampah di kawasan longkang dan sungai sehingga boleh mengakibatkan kejadian bencana itu.
  
"Sekiranya masalah sampah ini berlarutan dan tiada tindakan sewajarnya diambil sehingga musim tengkujuh pada Disember ini, akan berlaku limpahan air akibat timbunan sampah di kawasan saluran air seperti longkang dan sungai," katanya dalam sidang media di Shah Alam semalam.
  
Mengulas lanjut, Mohd Zin mendakwa bahawa masalah sampah itu masih berlarutan berdasarkan laporan yang diterima melalui talian Pusat Khidmat Rakyat (Pakar) BN Selangor yang mencatatkan sekurang-kurangnya 66 aduan setiap hari.

"Pakar terima purata 220 panggilan setiap hari di mana 30 peratus daripadanya berkaitan masalah pungutan dan pengurusan sampah," katanya sambil mendakwa sehingga hari ini tiada usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh kerajaan negeri.
Beliau turut mempersoalkan pembelian 50 kompaktor sampah oleh kerajaan Selangor untuk mengatasi masalah kutipan sampah di negeri itu namun didakwanya kompaktor berkenaan tidak mengikut spesifikasi Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ).
  
"Persoalannya mana lori-lori sampah ini dan mana lori-lori yang baru ditempah, kerajaan Selangor perlu menjawab perkara ini kerana ia membabitkan belanja sehingga RM14.5 juta duit rakyat," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: