Ahad, 21 Oktober 2012

GOPOH-GAPAH....TAK FIKIR...MAIN TERJAH...IA LUPA RAJA2 MELAYU ADALAH BERAGAMA ISLAM...JERAT LEHER SENDIRI...NI KESAN BERMUKAH

Angkara Chua Soi Lek, habislah Umno kali ini

Harakahdaily, 21 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Serangan melampau Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek terhadap PAS, hudud dan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menimbulkan keresahan dalam Umno sehingga Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tidak boleh berkata apa-apa dalam isu ini.
“Ramai dalam Umno merungut, siapakah yang benarkan Chua serang Nik Aziz. Orang Melayu di kampung terfikir bagaimana seorang ulama dan hukum hudud boleh dibiarkan dihina Chua yang pernah dirakam video seksnya.

Kalau orang lain, mungkin tak seteruk ini. Tapi Chua, habislah Umno kali ini,” kata sumber dalaman Umno kepada Harakahdaily.

Kata beliau, walaupun Umno tidak menyukai Nik Aziz dan menyerangnya daripada sudut isu-isu di Kelantan dan kerjasama dengan DAP, akan tetapi Umno tidak pernah sesekali berani mengutuk peribadi beliau sebagai agamawan.

“MCA dakwa Nik Aziz galakkan rogol. Melayu mana yang percaya? Tuduh Nik Aziz rasuah pun tak masuk, ini tuduh benda yang tidak berasas ini. Video yang dijadikan bukti tu, semua orang Melayu tonton pun faham Nik Aziz sedang mengajar Islam dan menjurus kepada kebaikan,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu turut mempersoalkan taktik yang digunakan MCA dan Umno untuk meningkatkan undi bukan Islam.

“Undi bukan Islam dah hilang. MCA berkata apapun tiada guna. Tapi sekarang MCA sedang menghalau undi Melayu kepada PAS. Orang Umno seperti saya pun terasa tidak tergamak untuk mengundi MCA, malah terasa kesian kat PAS.

“Macam mana orang Melayu boleh membiarkan orang Cina yang moralnya tercalar seperti Chua untuk menyerang seorang ulama bertaraf Nik Aziz tanpa berkata apa-apa. Betullah, hanya syaitan yang dikenali yang sanggup membiarkan keadaan sedemikian berlaku,”  tambah beliau.

Ketika ditanya mengenai tarikh PRU13, sumber dalaman itu memberitahu Harakahdaily, Pakatan Rakyat kini di depan dengan simple majority seperti yang dikatakan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

“Tapi selepas bom Chua dan MCA, Najib rasanya terpaksa saja meneruskan lakonan ini dan bertukar serangan kepada DAP. MCA serang PAS tak akan diberi liputan di berita bahasa Melayu, Umno pula serang DAP tidak diliputi di berita bahasa Cina. Perang di Facebook dan internet rasanya boleh diucapkan selamat tinggal,” kata beliau.

Islam ada kaedah pilih Pakatan atau BN

Yaakub Dasan, 21 Okt 2012
RANTAU PANJANG: Bagi orang Islam hanya satu kaedah sahaja sebagai panduan untuk memilih antara Pakatan Rakyat dan BN ketika pelbagai kempen politik cuba mempengaruhi mereka sekarang.

Hanya al Quran sahaja panduan bagi mereka. Mana-mana kempen yang selari dengan ajaran al Quran boleh menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, ketika musim pilihan raya sekarang begitu banyak sekali kempen cuba mempengaruhi orang ramai terutamanya yang disampaikan melalui televisyen.

“Pendeknya terdapat pelbagai idea dan alasan kedua-dua belah pihak sekarang. Kita  sendirilah  yang terpaksa  membuat kesimpulannya.

“Mujurlah kita ada Quran untuk membuat rujukan dan panduan,” katanya pada ceramah sempena sambutan 22 tahun PAS mentadbir Kelantan di Pohon Buloh, Meranti malam semalam.

Hadir sama anggota jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad, Timbalan Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Datuk Nasuruddin Daud dan Ketua Pemuda PAS kawasan, Zamakhsari Mohamad,

Nik Abduh berkata, kalau kita menonton televisyen sudah tentu didedahkan kempen kononnya hanya Umno dan kerajaan pusat sahaja yang baik dan pihak lain tidak baik.

Manakala kalau mendengar ceramah di pentas PAS dan Pakatan Rakyat maklumat lain pula diceritakan, yang mana tidak disebut dalam tv.

Oleh itu katanya ketika berdepan dengan suasana itu hanya al Quran dan Hadis serta ijmak ulama sahaja yang menjadi panduan kepada kita.

“Al Quran memberi petunjuk kepada kita bahawa dalam politik kita kena jaga hati orang ramai, mengikut lunas-lunas agama, bukannya hanya menjaga  perut dan keluarga saja.

“Jangan jadi seperti Firaun yang mengaku Tuhan akhirnya dikejar ketakutan oleh mimpinya sendiri lalu memanggil ahli-ahli  nujum untuk mentafsirkan mimpinya  itu.

“Ahli nujum memberitahu akan lahir seorang anak-kanak lelaki  dari kaum Bani Israel yang akan memusnahkan kerajaannya, maka  dikeluarkan arahan kepada askar membunuh anak-anak yang baru lahir.

“Tapi dengan  kekuasaan Allah  Nabi Musa yang baru lahir ketika itu dilindungiNya, sehingga Firaun sendiri memeliharanya sebagai anak  angkat dalam istananya sendiri,” ujar beliau.

Turut hadir pada ceramah itu anggota jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad, Timbalan Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Datuk Nasuruddin Daud dan ketua pemuda kawasan, Zamanshari Muhamad.
 

Hina Islam: Mapim gesa Raja-Raja Melayu bertindak

Harakahdaily, 21 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memohon agar Raja-Raja Melayu yang menjadi pelindung agama Islam di negara ini bertindak untuk menegaskan bahawa orang bukan Islam tidak berhak untuk memberi komentar yang menyentuh soal hukum Islam di negara ini.
Justeru, Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) menegaskan parti politik seperti MCA sepatutnya diingatkan bahawa mereka jangan menyentuh sensitiviti umat Islam mengenai hukum Islam yang mereka berhak untuk tuntut dilaksanakan.

Katanya, ucapan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek dalam persidangan MCA semalam yang sekali lagi memuncakkan serangannya kepada hukum hudud sangat melampau dan tidak harus dikompromi lagi.

“Hanya beberapa hari sahaja sebelum ini hanya dengan bersandar kepada sebuah tulisan dalam blog yang tidak dikenali, beliau menuduh bahawa jika hudud dilaksanakan lebih sejuta orang akan kehilangan kerja di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, pemimpin wanita MCA juga menyatakan pendirian yang sama bahawa mereka mencurigai bahawa Umno dikhuatiri akan menyatakan sokongan kepada hudud jika Pakatan berjaya mengambil alih kerajaan Pusat.


“Kali ini Chua Soi Lek menuding bahawa perlaksanaan hudud di Negara-Negara Islam dikaitkan dengan amalan korupsi dan negara-negara yang berada dalam keadaan tidak selamat.


“Konotasi beliau sangat jelas. Hudud tidak mengatasi masalah rasuah dan jenayah. Inilah pendirian yang mahu beliau tegaskan kepada orang Islam khususnya disamping kepada pengundi bukan Islam,” ujarnya.


Ini bermakna kata beliau, Chua mahu mengajar orang Islam bahawa hukum hudud Islam tidak boleh dilaksanakan kerana terbukti negara-negara yang beliau dakwa melaksanakan hukum hudud adalah antara yang ‘paling korup’.

“Apa hak beliau untuk menuding bahawa hukum hudud tidak boleh dilaksanakan hanya dengan alasan negara lain yang dikatakan melaksanakannya dijangkiti dengan masalah korupsi.

“Ini adalah kesimpulan yang sangat simplistik dan berniat jahat untuk memburukkan hukum Islam di kaca mata bukan Islam,” katanya lagi.


Dengan pendirian itu, tegasnya seluruh umat Islam harus bangkit menyatakan bantahan dan menunjukkan bahawa penghinaan kepada hukum Islam sangat jelas merupakan pendirian rasmi MCA.


Menurutnya, jelas penghinaan itu mencabar bukan sahaja wibawa institusi Islam di negara ini malah juga mencabar kedudukan dan status Islam di negara ini.


“Mempersoalkan dan memberi komen secara menghina dan memburuk-burukkan hukum Islam sepatutnya dilihat sebagai satu hasutan yang akan menimbulkan ketegangan agama.


“Kami melihat kenyataan seperti ini adalah berpunca daripada kegagalan kesepakatan dalam BN yang tidak pernah dijelaskan mengenai Islam dan hukum-hukumnya dengan baik,” ujarnya lagi.

Malah, katanya kenyataan dari kepimpinan orang Melayu Islam sendiri dalam BN yang menggambarkan bahawa hukum Islam tidak boleh dan tidak akan dilaksanakan.

 

Masyarakat Cina sertai dialog Negara Berkebajikan PAS

Zulkifli Sulong, 21 Okt 2012
KLUANG: PAS Johor buat kali keduanya mengadakan majlis dialog dengan masyarakat Cina di negeri ini yang dibuat melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Lebih 50 peserta yang terdiri dari kalangan orang Cina di bandar ini menyertai majlis dialog itu.

Dengan diketuai oleh Pesuruhajaya PAS Johor, Dr Mahfodz Mohamad, PAS secara berterus terang dan bersemuka dengan masyarakat Cina bagi menerangkan dasarnya.

"Ini kali kedua kita bua majlis sebegini selepas kita adakan di Johor Bharu sebelum ini untuk zon selatan," kata Dr Mahfodz ketika memberikan ucapan aluan-aluannya di majlis yang dinamakan Dialog PAS dan Negara Kebajikan itu.

Beliau berkata, PAS Johor akan mengadakan sekali lagi dialog sebegini untuk zon utara Johor pula.

Dialog untuk memberikan kefahaman tentang perjuangan PAS ini diadakan di tengah-tengah pemimpin MCA melalui presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semakin galak menyerang hukum Islam iaitu hudud.

"Berbeza kita dengan Umno. Kita mahu semua rakan kita memahami perjuangan yang dibawa oleh PAS agar tidak berlaku salah faham," kata Dr Mahfodz.

Selain Dr Mahfodz, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yang merupakan salah seorang yang terlibat dalam membuat draf konsep Negara Berkebajikan PAS turut serta di majlis ini.

Pemimpin DHPP termasuk ketuanya, Hu Pang Chaw, Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat dan Yang Dipertua PAS Kluang, Khairul Faizi turut serta dalam majlis dialog ini.

Air empangan Selangor meningkat 127j meter padu

Harakahdaily, 21 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berpuas hati dengan peningkatan takungan air di Empangan Sungai Selangor yang telah meningkat kepada 55.43% iaitu sebanyak 127.49 juta meter padu setakat hari ini.

“Empangan ini membekalkan air untuk dirawat di tiga loji pembersihan air (LPA) iaitu; LPA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LPA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan LPA Bukit Badong (SSP3),” jelasnya dalam satu kenyataan.

Katanya, Empangan Sungai Selangor menyumbangkan 60% bekalan air di sekitar Lembah Klang.

Sehubungan itu, ujarnya sekalung ucapan tahniah kepada pegawai dan kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang bekerja keras dalam memantau status empangan untuk memastikan ia berada pada paras memuaskan dan mampu memenuhi keperluan pengguna.

Beliau menjelaskan, Kerajaan Selangor sedar dengan usaha-usaha pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja menimbulkan ketakutan kepada rakyat Selangor dan penduduk Lembah Klang kononnya bakal berdepan krisis air ekoran penurunan paras air di empangan.

“Saya menggesa semua ahli politik terutamanya pihak pembangkang di Selangor supaya berhenti membuat kenyataan-kenyataan mengelirukan mengenai isu air termasuk kedudukan paras takungan di empangan,” ujarnya.

Katanya, kenyataan mengelirukan dan tidak benar ini seolah-olah  memperlekehkan kerja keras kakitangan kerajaan yang selama ini bertungkus lumus untuk memastikan bekalan air mentah mencukupi.

Menurutnya, segala usaha yang dilakukan adalah bukti komitmen Kerajaan Selangor untuk menyelesaikan penyusunan semula industri perkhidmatan air yang masih terbantut di samping  meneruskan pemberian air percuma 20 meter padu setiap bulan selaras dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Bertugas di Kuala Lumpur, hujung minggu di Kulai

Zulkifli Sulong, 21 Okt 2012
KULAI: Suki adalah petugas sepenuh masa ibu pejabat DAP di Pudu, Kuala Lumpur. Namun, setiap hujung minggu, Suki akan pulang ke rumahnya di Kulai, Johor.

Suki atau nama sebenarnya Wong Shu Qi pulang untuk membantu aktiviti DAP di kawasannya terutama di Dun Senai dan Parlimen Kulai tempat beliau dan keluarga tinggal.

Sebagai bekas wartawan, Suki sangat mudah bergaul dengan penduduk sekitarnya. Beliau yang terlepas untuk mengundi pada tahun 2008 tidak sabar-sabar untuk mengundi buat pertama kalinya dalam pilihan raya ke 13 ini.

"Mak saya tidak benarkan saya balik sebelum 2008 lalu kerana katanya Johor tidak selamat. Ragutlah, rogol dan macam-macam lagi kes jenayah," cerita Suki ketika ditemui di sebuah kedai kopi di pekan lama Kulai.

Namun selepas apa yang berlaku pada pilihan raya tahun 2008, keluarga beliau membenarkan Suki pulang ke tanah air dan bekerja di Kuala Lupur.

Ibunya seorang guru manakala hampir kesemua keluarganya yang lain bekerja di Singapura walaupun tinggal di Johor.

Malam tadi, lebih 1,300 khasnya masyarakat Cina di Kulai menyertai majlis makan malam anjuran DAP Kulai di sebuah restoran mewah. Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS Salahudin Ayub dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang adalah antara tetamu utamanya.

Majlis makan malam itu adalah siri majlis makan malam yang dianjurkan DAP untuk mengumpul dana untuk pilihan raya umum ke 13 mereka.

Hampir kesemua majlis ini 'full house' sehingga kadang-kadang melimpah keluar. Di majlis macam inilah, DAP akan menjual bahan-bahan kempen mereka berupa mascot, baju, topi dn sebagainya.

Suki adalah antara organiser majlis ini bagi pihak DAP. Ia majlis yang penuh makna untuk Suki dan DAP di Kulai ini.

"Semasa pilihanraya umum 2008, orang-orang Johor tidak terlibat dengan tsunami politik. Selepas itulah, orang Johor baru sedar kita boleh berubah. Masa itulah juga mak saya benarkan saya pulang," beritahu Suki kpeda Harakahdaily.

Atas sebab itulah, katanya, Johor kini sedang alami gelombang perubahan. Hampir kesemua program yang dianjurkan Pakatan Rakyat mendapat sambutan yang hangat.

Lebih 5,000 menyertai majlis di Sutra Mall, Skudai, lebih 1300 menyetai majlis makan malam di Tropical Garden, Kulai dan lebih 1,000 memenuhi Dewan Chun Moi, Kota Tinggi.

Semuanya melambangkan sambutan dan gelombang perubahan di Johor.

Pada mata kasar, gelombang ini kelihatan berlaku dengan jelas di kalangan masyarakat Cina, namun kajian terbaru yang dibuat Universiti Malaya menunjukkan ia juga berlaku di kalangan masyarakat Melayu khasnya di bandar dan pekan.

Gelombang masyarakat Cina ini memberikan kesan besar kepada kedudukan politik di Johor. Ini kerana, persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 telah menyebarkan pengundi Cina ke merata kerusi pilihan raya di Johor.

Strategi BN ketika itu adalah untuk menghadapi kebangkitan pengundi Melayu yang dikesan pada pilihan raya 1999. Untuk menghadapinya, strategis BN telah memasukkan banyak pengundi Cina ke kawasan DUN atau Parlimen yang selama ini mempunyai majoriti pengundi Melayu yang ramai.

Hasilnya, banyak kerusi DUN di Johor mempunyai lebih 40 peratus pengundi Cina. Dengan kebangkitan mereka, kerusi-kerusi inilah yang mempunyai potensi besar untuk jatuh kepada Pakatan Rakyat termasuk DUN dan Parlimen yang bakal ditandingi PAS sendiri.

"Ibu saya Cina, ayah saya Melayu. Jadi badan saya ini yang kiri Cina dsn yang kanan Melayu. Jadi, tuan-tuan jangan bimbang untuk mengundi PAS kerana di badan saya saja kita semua sudah bersatu," kata Salahudin Ayub ketika berucap di Restoran Tropical Garden, Kulai malam tadi.

Salahudin disebut-sebut bakal bertanding di kerusi campuran sebegini iaitu Parlimen Pulai dan Dun Nusajaya.

Dengan kenaikan 4 - 5 peratus pengundi Melayu sebagaimana kajian Univerisiti Malaya (UMCEDEL) dan sokongan sehingga 80 peratus pengundi Cina, Johor bakal menjadi penyumbang besar kepada Pakatan untuk membolehkannya menuju Putraya.

Piala Malaysia: Presiden PAS ucap tahniah

Salmiyah Harun, 21 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada pasukan Kelantan di atas kejayaan menjadi juara Piala Malaysia malam tadi.


“Kejayaan ini diharap menjadi pemangkin ke arah meningkatkan prestasi bola sepak negara ke peringkat antabangsa di masa akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Angkatan Tentera Malaysia yang menjadi naib johan dan diharapkan prestasi akan terus meningkat di masa hadapan.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan The Red Warriors yang telah berjaya membawa pulang Piala Malaysia buat kali kedua kepada negeri itu.

Katanya, rakyat Kelantan berbangga dengan kemenangan ini dan meminta para penyokong meraikan kemenangan ini dengan seadanya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan kepada penyokong bola sepak Kelantan agar berhati-hati di jalan raya untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

"Untuk pasukan ATM, tahniah kerana berjuang hingga ke tiupan wisel terakhir," katanya di laman facebooknya sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan malam tadi,

Hari ini, Kelantan mengumumkan cuti peristiwa dan ini adalah kali kedua dalam tahun ini selepas Kelantan berjaya memasuki akhir Piala FA yang bertemu dengan Sime Darby pada 20 Mei lalu.

Kelantan akhirnya membuktikan kehebatan sebagai gergasi Pantai Timur apabila mencatat kejuaraan 'treble' musim ini dengan merangkul Piala Malaysia 2012 setelah menewaskan ATM 3-2 di Stadium Shah Alam.

Sebelum ini, Kelantan menjuarai Liga Super dan Piala FA.

Pada Piala Malaysia 2010, Kelantan berjaya menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Bukit Jalil.

Umno mesti keluar BN

Nasrudin Hassan, 21 Okt 2012
1.     Semakin jelas “MCA anti Islam”. MCA terlalu prejudis terhadap Islam malah berani menentangnya secara terbuka. Tidak hanya Presiden MCA Dr Chua Soi Lek sebelum ini mengambil posisi lantang mempertikai perlaksanaan hukum Islam, tetapi kini Pengerusi Wanita MCA Yu Chok Tow dan Naib Pengerusi Wanita MCA Heng Seai Kie mendedahkan sikap dan wajah MCA yang sebenar.

2.     Pengerusi Wanita MCA Yu Chok Tow melahirkan kebimbangan MCA terhadap Ahli Parlimen Islam khasnya daripada UMNO dan BN akan menyokong perlaksanaan hudud di Malaysia berasaskan tanggungjawab sebagai seorang muslim.

3.     Satu kecelaruan yang parah sedang berlaku dalam Barisan Nasional hari ini khasnya melibatkan kedudukan UMNO dan MCA. Selama ini UMNO telah cuba menunjuk sikap bahawa mereka menentang hasrat PAS untuk melaksanakan hukum Allah swt. tetapi kelantangan UMNO itu belum cukup meyakinkan sekutunya MCA untuk menerima UMNO sebagai rakan “sebantal” dalam menentang Islam dan perlaksanaan syariatnya di Negara ini.

4.     UMNO terpaksa “menutup mata” dan “menyumbat mulut” terhadap apa jua kenyataan dan tindakan MCA demi mencari sepangkah dua undi dari non muslim yang rata – rata pada hari ini telah menolak Barisan Nasional yang penuh dengan kurap dan kudis rasuah.

5.     Naib Pengerusi Wanita MCA Heng Seai Kie pula secara terbuka memfitnah Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Mursyidul AM PAS sekaligus mempersendakan hukum Allah apabila beliau menyebut :

"Pakatan menipu kita untuk percaya bahawa hudud PAS tidak akan menjejaskan hak bukan Islam kerana (berdasarkan hujah Nik Aziz) tiada undang-undang untuk menghalang orang Islam daripada merogol bukan Islam.

"Jika kamu tonton klip Youtube, kamu tahu bahawa Nik Aziz berkata berkata, wanita patut tutup aurat, jika tidak mereka patut dirogol.

"Daripada ucapan Nik Aziz, kami simpulkan bahawa Nik Aziz secara terbuka meminta orang Islam merogol bukan Islam, adakah saya benar?"

6.     Saya mendesak supaya Heng meminta maaf di atas keceluparan dan kebiadabannya terhadap Islam dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Tuduhan yang tidak masuk aqal dan berniat jahat.

7.     UMNO dan MCA sangat terdesak berdepan scenario iklim politik mutaakhir yang menyaksikan peralihan undi ketara kalangan non muslim dari Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat. Akhirnya mereka terpaksa mengamalkan “politik biawak” apabila bercabang lidah dalam kempen mereka.


8.     Berdepan pengundi melayu, mereka berkempen supaya jangan sokong PR kerana kemenangan PR akan menyebabkan kuasa politik dan ekonomi akan jatuh ke tangan non muslim. DAP akan jadi Perdana Menteri dan sebagainya.

9.     Lidah yang sama terus bercabang apabila mereka berkempen pula di kawasan pengundi non muslim supaya jangan menyokong PR kerana kemenangan PR akan menyebabkan hukum hudud terlaksana di Malaysia. Sokong PR ertinya sokong DAP. Sokong DAP ertinya sokong hudud. Begitulah nada dan bahasa kempen mereka.

10.  Kini MCA melahirkan pula keraguan mereka kepada UMNO. Selayaknya mereka berpisah apabila “bersekedudukan” tanpa mempercayai antara satu sama lain. Selayaknya UMNO keluar dari Barisan Nasional kerana tidak lagi dapat kepercayaan daripada MCA. Orang melayu sewajarnya membuka mata melihat apa yang berlaku hari ini untuk mreka membuat pilihan yang tepat.


Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: