Ahad, 14 Oktober 2012

SAPE YANG TAKSUB SAJA...MUNGKIN MENYUKAINYA...YANG NAMPAK GAH ..WARTAWAN ATAU SURAT KHABAR...YANG KATA BEGITU...BESAR2KAN PENGARUH....CUBA TEST...BELIAU BUAT CERAMAH TENGAH PADANG...AGAK2 RAMAI TAK...DATANG...MENGALAHKAN USTAZ AZHAR IDRUS...ANWAR IBRAHIM DAN DENGAN LAIN2 PEMIMPIN...SYARAT JANGAN BAGI PERKARA PERCUMA...BAS..TOPI..T SHIRT PERCUMA SERTA WANG SAGU HATI...KITA TENGOK CAMNE...RAKYAT DAH TAHU SAPE DIA...MELALUI IT...BLOG2...BANYAK CERITA2 BELIAU...APA YANG BELIAU TELAH BUAT....ALLAH LEBIH MENGETAHUI NYA...LAH NI ZAMAN TAK BOLEH TEMBERANG2...ORANG SUKA TEMBERANG DAN KAKI BODEK NI...BIASANYA ORANG PANDANG TAK BERMORAL

Laporan tonjol pengaruh Dr M pada pencapaian BN
1:51PM Okt 14 2012
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini ditonjolkan dalam akhbar Sinar Harian sebagai faktor dan penyumbang besar BN dalam pilihan raya umum ke-13.

Laporan akhbar itu antara lainnya membangkitkan pengaruh Mahathir kepada prestasi teruk BN dalam pilihan raya umum 2008 yang berpunca daripada kenyataannya ke atas perdana menteri pada masa itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ia memetik kenyataan presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali yang berkata satu tulisan Mahathir dalam blognya menyebabkan populariti Abdullah jatuh ke paras 71 peratus menjelang pilihan raya umum ke-12 itu.

"Memang ada kena mengenai dengan Dr Mahathir sebab beliau sebelum itu kritik Pak Lah, pemimpin lemah, pemimpin begitu, pemimpin begini dan seolah-olah menggambarkan Pak Lah sebagai presiden Umno yang dilantik Dr Mahathir tetapi tidak menghargai Mahathir," kata presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali seperti dipetik akhbar itu.
Laporan itu juga mengaitkan sokongan ke atas kempen 1Malaysia anjuran Perdana Menteri Datuk Seri Datuk Seri Najib Razak dan kenyataan positif yang seing disuarakan Mahathir ke atas pentadbiran Najib.

Pengarah Institut Kajian Tun Dr Mahathir di Universiti Utara Malaysia Profesor Dr Abdul Rahman Abdul Aziz yang dipetik dalam laporan itu menyebut, sokongan Mahathir itu meyakinkan rakyat dan seterusnya membolehkan Najib "menang besar" dalam pilihan raya umum akan datang.

Seorang lagi yang pengkaji, pengarah eksekutif pusat kajian Merdeka Center Ibrahim Suffian berpendapat, pengaruh Mahathir itu sekurang-kurangnya membolehkan BN kekal dengan jumlah sokongan sedia ada.

Dalam laporan itu, Ibrahim berkata Mahathir bagaimanapun tetap berbeza pandangan dan menegur pentadbiran Najib apabila menyifatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia sebagai politik wang.

Anak muda pula mempunyai pandangan positif ke atas Mahathir, kata Ibrahim yang menjelaskan golongan tersebut kini lebih analitikal.

"Mereka tidak tolak kepimpinan Mahathir tetapi mereka turut didedahkan dengan berita rasuah dan media baru," katanya.

Sementara itu, dua orang pemimpin Pakatan Rakyat pula mengulas mengenai faktor pertentangan antara Mahathir dan Najib – terutamanya berhubung masa depan anak kepada bekas perdana menteri itu, Datuk Mukhriz Mahathir.

Naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar tidak menolak kemungkinan bahawa Mahathir mamasang hasrat supaya Mukhriz juga akan menjadi perdana menteri.

"Banyak pihak dalam Umno yang tidak senang dengan percaturan politik untuk mengatur kedudukan anaknya.

"Hatta apabila disebut anaknya untuk bertanding sebagai calon menteri besar, ia akan berlaku pergolakan dalaman Umno," katanya.

Mahfuz juga memberi amaran bahawa Najib mungkin berdepan nasib yang sama dengan Abdullah sekiranya tidak memenuhi tuntutan Mahathir, menurut laporan itu.

Naib presiden PKR R Sivarasa pula berpendapat, Mahathir kini "menyalahkan" Najib atas kedudukan Umno pada waktu ini.

"Ini kerana kalau Umno kalah bermakna peluang anaknya untuk menjadi perdana menteri akan tipis. Malah Mahathir juga merasakan kedudukannya dalam bahaya," kata Sivarasa seperti dipetik Sinar Harian.

Katanya lagi, peranan penting Mahathir dalam pilihan raya umum ke-13 adalah untuk memastikan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi perdana menteri.

Kenyataan Mahathir terus menjadi bahan laporan utama media walaupun selepas berundur daripada kerajaan pada 2003 – selepas 22 tahun menjadi perdana menteri.

Terbaru, beliau mencetus kontroversi apabila mendakwa pembiaya asing menyalurkan dana kepada NGO Suaram demi menjatuhkan kerajaan dan menjadikan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Dakwaan itu disiarkan akhbar pro-kerajaan, bahawa modus operandi sama dijalankan negara asing dalam Arab Spring – untuk menukar kerajaan di negara Arab.

Projek memburuk-burukkan pembangkang dengan jutawan George Soros – seperti yang dilaporkan meluas oleh media sekarang – telah dirancang oleh sebuah jabatan khas Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sejak pertengahan tahun ini.

Melalui sebuah buku tebal Panduan Penjelasan Isu Semasa terbitan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Anwawr didakwa mendapat dana spekulator mata wang dunia itu bagi menghadapi pilihan raya umum.
Kelab MP-BN: 'Pengaruh Dr M cukup besar'
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN & NIZAM ZAIN
14 Oktober 2012
Abdul Rahman Dahlan
Naib Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan
PRU 13 pengaruh Dr M
PRU 13 pengaruh Dr M
[MUKADIMAH: LAPORAN INI SEBAHAGIAN DARIPADA FOKUS MENGENAI PERANAN, PENGARUH DAN FAKTOR DR MAHATHIR MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM KE-13]
SHAH ALAM – Sambil menegaskan Tun Dr Mahathir Mohamad "ada pengaruh" dalam menentukan arah aliran sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU), Naib Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan bekas Perdana Menteri itu seorang pemimpin yang sentiasa mengutamakan hak orang Melayu.
Peranan itu katanya, memberi pengaruh yang cukup besar dalam arena politik negara, lebih-lebih dalam menghadapi PRU13.
"Beliau diingat sebagai Perdana Menteri bermakna memang dari segi pengaruh itu masih ada," kata Setiausaha BN Sabah ini kepada Sinar Harian Online.
Umno, parti teras BN, dikembangkan ke Sabah ketika era Dr Mahathir.
Abdul Rahman, pemimpin muda Umno dari Sabah berkata, beliau melihat Dr Mahathir sentiasa bersungguh-sungguh dalam memastikan sokongan orang Melayu menyumbang kepada kestabilan politik negara yang sekali gus memberi ruang kepada Umno-BN kekal mentadbir Malaysia.

“Beliau (juga) pandai menggunakan media sosial untuk dekat di hati orang-orang muda, kalau orang-orang tua pula tidak payah cerita, mereka memang tahu tentang pentingnya kestabilan politik, pentingnya orang-orang Melayu mempunyai kuasa politik dalam negara ini,” katanya.

Malah menurut Abdul Rahman lagi, isu Melayu yang sering ditekankan oleh Dr Mahathir, khususnya selepas selepas Pilihan Raya Umum 2008, sentiasa menarik pengundi Melayu yang sebelum ini sedikit hambar terhadap kerajaan kembali menyokong pemerintah pada hari ini.

“Dari segi ekonomi pun beliau memang seorang yang telah terbukti, jadi saya kira kita kena ambil beliau sebagai seorang Negarawan yang boleh mengkritik dasar kerajaan dan juga pembangkang, dan saya kira ramai rakyat yang menghargainya.

“Bagi orang muda pun, kita mesti ingat, Dr Mahathir ini, walaupun orang kata pengundi orang tua, beliau dikatakan susah berkomunikasi dengan orang muda, saya tidak berapa setuju.
“... sebab kalau kita tengok cara beliau mengulas sesuatu, dan isu yang dekat di hatinya, sebenarnya isu-isu itu adalah isu yang juga dekat di hati orang muda, contohnya beliau memang antiperang dan antikeganasan, sudah tentu ia dekat di hati orang-orang muda,” katanya merujuk kepada peranan Dr Mahathir dalam menarik golongan muda hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata, penglibatan secara tidak langsung pemimpin berkenaan memberi kelebihan kepada Umno-BN dengan menanam benih kepercayaan di kalangan rakyat Malaysia terhadap parti itu dalam kepakaran mengurus negara.
“Pandangan itu yang menjadikannya Perdana Menteri Malaysia yang amat berjaya kerana beliau mempunyai pandangan yang kritis, pandangan di luar kotak, tidak terikat kepada mana-mana pandangan rasmi ataupun pandangan arus perdana.

“Pengalaman beliau menjadi Perdana Menteri yang paling berjaya, selama 22 tahun, membangunkan negara kita ini, saya kira pengaruh itu memang ada, bukan di Malaysia saja, malah di seluruh dunia, pergi mana saja sama ada negara Eropah, Timur Tengah ataupun Afrika, nama Dr Mahathir terus disebut seolah-olah beliau masih Perdana Menteri lagi,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan Dr Mahathir berhasrat mewarisi kepimpinannya kepada anaknya, Datuk Mukhriz, Abdul Rahman berkata, tiada salahnya jika rakyat dan parti dapat menerima kerana amalan politik di negara ini sangat unik dan berbeza dengan negara lain.

“Tun Dr Mahathir juga memahami bahawa semunya itu bergantung kepada penerimaan rakyat dan parti, kalau Datuk Mukhriz jadi Menteri Besar Kedah, dan juga pemimpin, ini bukan Dr Mahathir yang hendakkan, ini kerana rakyat menerima Datuk Mukhriz, saya tengok begitu, bukan kerana beliau anak Dr Mahathir,” katanya.

Biarpun Dr Mahathir sebelum ini pernah mengkritik kepimpinan Umno-BN secara terbuka namun katanya, kini beliau nampak ‘selesa’ dengan keseluruhan dasar termasuk gerak kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak khususnya dalam Bajet 2013 yang dibentangkan bulan lepas.

“Beliau diminati dan disanjungi ramai majoriti rakyat Malaysia dan kita perlukan orang macam dia untuk menerajui Malaysia dan ekonomi Malaysia di masa-masa akan datang, berani membuat keputusan yang susah demi kelangsungan ekonomi negara kita,” tambahnya.
Mahathir masih ada ramai penyokong setia
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN & NIZAM ZAIN
14 Oktober 2012
PRU 13 pengaruh Dr M
PRU 13 pengaruh Dr M
[MUKADIMAH: LAPORAN INI SEBAHAGIAN DARIPADA FOKUS MENGENAI PERANAN, PENGARUH DAN FAKTOR DR MAHATHIR MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM KE-13]
SHAH ALAM – Ketua Pemuda MIC, T. Mohan mengakui Tun Dr Mahathir Mohamad masih berpengaruh di negara ini kerana beliau mempunyai ramai penyokong setia walaupun bukan lagi bergelar Perdana Menteri.

Pencapaian Tun Dr Mahathir sepanjang 22 tahun membangunkan negara katanya, menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia di samping tampil dengan imej yang bersih dan berkarisma.

Bahkan, pengaruh Dr Mahathir dalam pilihan raya terbukti apabila kritikan pedas beliau menyumbang kepada kekalahan teruk Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 2008 di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun menurut Mohan, senario itu kelihatan berbeza pula ketika Datuk Seri Najib Tun Razak mentadbir Malaysia.

“Kali ini saya tengok pun Tun Dr Mahathir memang dia menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib, saya tengok tiada masalah. Beliau sokong dan saya percaya Tun Dr Mahathir akan bantu BN memenangi dua pertiga kerusi dalam PRU akan datang,” katanya.

Menurut Mohan lagi, sokongan rakyat terhadap Dr Mahathir tidak terhad kepada kaum Melayu sahaja, malahan kaum India yang diwakilinya turut menunjukkan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi semasa beliau masih menjadi Perdana Menteri.
Faktor Dr M: PRU 2008 buktinya, kata Ibrahim Ali
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN & NIZAM ZAIN
14 Oktober 2012
Datuk Ibrahim Ali
Datuk Ibrahim Ali
PRU 13 pengaruh Dr M
PRU 13 pengaruh Dr M
[MUKADIMAH: LAPORAN INI SEBAHAGIAN DARIPADA FOKUS MENGENAI PERANAN, PENGARUH DAN FAKTOR DR MAHATHIR MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM KE-13]
KUALA LUMPUR – Pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam arena politik negara terbukti apabila sindiran-sindiran beliau kepada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi mengakibatkan Pilihan Raya Umum 2008 mencipta sejarah buruk buat kerajaan Barisan Nasional (BN).

Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Lah merupakan Perdana Menteri paling singkat memerintah sebelum tampuk pemerintahan bertukar tangan ekoran kekalahan teruk BN pada PRU 2008, yang mana empat negeri jatuh ke tangan pembangkang.

Hal ini secara terang-terangan, memberikan gambaran bahawa faktor Tun Dr M mampu memberi penangan hebat ke atas keputusan pilihan raya di negara ini.

Hakikat itu diakui oleh Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

“Memang ada kena mengena dengan Dr Mahathir sebab beliau sebelum itu kritik Pak Lah, pemimpin lemah, pemimpin begitu, pemimpin begini dan seolah-olah menggambarkan Pak Lah sebagai Presiden Umno yang dilantik oleh Dr Mahathir, tetapi tidak menghargai Mahathir.

“Apabila Dr Mahathir hendak bertemu dengan pemimpin-pemimpin Umno ketika itu, dihalang, Dr Mahathir mengadu, Mahathir tulis dalam blog dia di mana (pada saya) keputusan 2008 ada kena mengena dengan penulisan Dr Mahathir dalam blognya itu. Saya tidak segan silu saya cakap,” jelas Presiden Perkasa ini.

Difahamkan rating Pak Lah jatuh kepada 71 peratus menjelang PRU 2008 ekoran kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, walaupun hampir 10 tahun meninggalkan tampuk pemerintahan, namun nama Dr Mahathir, Penaung Perkasa, masih meniti di bibir masyarakat hari ini.

Meskipun sering digambarkan sebagai pemimpin yang zalim oleh pembangkang, nama Dr Mahathir selaku tokoh yang disegani langsung tidak terjejas.

Sebaliknya pandangan dan komen-komen beliau sering mencuri perhatian media termasuk mengenai kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ibrahim berkata, maka tidak hairanlah PRU13 ini juga bakal menyaksikan “sambutannya cukup hebat, jadi maknanya kita tidak boleh nafikan bahawa Mahathir mempunyai pengaruh di kalangan “silent supporters” termasuklah orang bukan Islam, jadi beliau ada pengaruh, jangan main-main”, ujar beliau.

“Sebab itu pembangkang risau dengan Dr Mahathir, sebab orang terimanya sebagai orang lama, orang yang berpengalaman 22 tahun menjadi Perdana Menteri, orang mengiktiraf jasanya, jadi maknanya percakapan-percakapannya ada pengaruh dari segi pilihan raya,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Mengulas lanjut, Ibrahim Ali menjelaskan tindakan Dr Mahathir itu bukan kerana menjaga kepentingan peribadi sebaliknya demi keamanan, kesejahteraan dan kemahsyuran Malaysia dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.

“Umurnya pun dah lanjut, “he’s not coming back”, maknanya dia dah pencen, tetapi kenapa dia terus bercakap sampai ke hari ini?

 “Sebab Dr Mahathir tahu mereka yang berjuang sebelum Merdeka, pasca Merdeka sampailah dia menjadi Perdana Menteri 22 tahun, tidak mudah beliau nak bangunkan Malaysia masa ini, sehingga Malaysia menjadi negara tersohor. Kalau nak dibandingkan dengan negara Islam lain, negara dunia ketiga yang lain, jadi tentulah Dr Mahathir hendak pastikan bahawa apa yang dia buat selama ini kalau tidak bertambah hebat, kekal negara kita,” katanya.
Pandangan publik: Pengaruh Mahathir tidak boleh dinafi
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN & NIZAM ZAIN
14 Oktober 2012
PRU 13 pengaruh Dr M
PRU 13 pengaruh Dr M
[MUKADIMAH: LAPORAN INI SEBAHAGIAN DARIPADA FOKUS MENGENAI PERANAN, PENGARUH DAN FAKTOR DR MAHATHIR MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM KE-13]
KUALA LUMPUR -  Meskipun pentadbiran negara sudah bertukar tangan di bawah Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak, rakyat terus berpendapat faktor Tun Dr Mahathir Mohamad akan memberi kesan ke atas keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Rata-rata yang ditemui dalam tinjauan yang dibuat Sinar Harian Online memberitahu, mereka senang dan masih percaya kepada Dr Mahathir dan merasakan kembalinya 'suara' pemimpin itu akan diterjemahkan melalui peti undi.
Bagi seorang peniaga, Abdul Majid Mohd Joned,  walaupun era pemerintahan pemimpin berkenaan telah berlalu, namun ideanya  tidak pernah basi.
Malah katanya, pembabitan Dr Mahathir secara tidak langsung, bakal memberikan kesan yang hebat dalam keputusan PRU13.

“Beliau masih ada ciri-ciri kepimpinan yang mana kita akur tentang idea beliau. Dia mencorakkan Malaysia daripada tidak maju kepada maju. Dari negara pertanian kepada negara industri.

“Beliau seorang pemimpin yang tidak pernah berubah. Apa yang dikatakan ketika beliau memerintah, sama seperti sekarang. Kalau dulu beliau kata George Soros itu penyangak mata wang, sekarang pun begitu juga,” katanya.

Mengulas sama ada respons-respons Dr Mahathir dalam beberapa  perkara melibatkan isu politik di negara ini tidak disenangi sesetengah pihak, Mohd Johar Bahari, 52, berkata, ia hakikatnya terpulang kepada penerimaan Najib selaku Perdana Menteri.
“Terpulang kepada Perdana Menteri kita yang baru, mungkin kalau beliau ingat apa yang telah dilakukan untuk membantu rakyat Malaysia, mungkin beliau akan menerima pendapat Dr Mahathir,” katanya.
Manakala menurut Roslan Kutar, 43, ini adalah masa kepada Mahathir untuk membersihkan imejnya yang sebelum ini sedikit tercalar.

“Suntikan pandangan beliau saya rasakan amat perlu. Saya faham rakyat sebelum ini begitu marah dengan beliau,” katanya.

Shaari Shamsuri, 55, berkata, keputusan PRU13 bakal dicorakkan generasi muda yang kelihatan agak kritis terhadap pentadbiran Mahathir.
“Faktor Mahathir itu masih kuat tetapi pada masa sekarang generasi muda ini melihat kepada saluran-saluran lain seperti menggunakan media baru,” katanya.
PKR: Mahathir liabiliti kepada BN
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN & NIZAM ZAIN
14 Oktober 2012
PRU 13 pengaruh Dr M
PRU 13 pengaruh Dr M
[MUKADIMAH: LAPORAN INI SEBAHAGIAN DARIPADA FOKUS MENGENAI PERANAN, PENGARUH DAN FAKTOR DR MAHATHIR MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM KE-13]
PETALING JAYA – Salah seorang pemimpin PKR, R. Sivarasa berkata, sama ada masih mempunyai pengaruh atau tidak dalam arena politik negara, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat sebagai liabiliti besar kepada Umno-Barisan Nasional (BN) yang kini diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Adakalanya Mahathir mengkritik kepimpinan Umno-BN, khususnya Najib supaya keluar dari parti, saya percaya beliau (Mahathir) akan lebih suka jika tempat Najib turut diganti,” ulas Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang.

Katanya, rakyat Malaysia  begitu dahagakan perubahan politik sebagaimana negara-negara lain, malah mereka sudah pasti menolak kepimpinan Dr Mahathir yang mengamalkan politik lama.
Katanya, biarpun ada yang mendakwa pengaruh Dr Mahathir semakin kurang, namun pemimpin itu masih mempunyai hubungan yang erat dengan tokoh-tokoh korporat besar, yang menjadi penyokong kuat dari segi dana.
Walaupun ramai pihak melihat Dr Mahathir cuba mengekalkan pengaruhnya dengan hasrat meletakkan anaknya, Mukhriz sebagai Perdana Menteri, namun jelas Sivarasa, laluannya agar sukar kerana anaknya masih muda di samping masih kurang peranan dalam arena politik negara.

Kata Sivarasa, beliau juga yakin Dr Mahathir memainkan peranan penting dalam PRU13 kerana mahu memastikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sama sekali menjawat jawatan perdana menteri.
Anwar dipecat Dr Mahathir pada September 1998.
Sementara itu, Senator Dr Syed Husin Ali pula mendakwa bekas Perdana Menteri itu kini mengharapkan supaya Najib segera berundur dari parti supaya anaknya, Datuk Mukhriz berpeluang menjawat jawatan ketua negara.
“Mahathir marah dengan keadaan politik sekarang ini dengan menyalahkan Najib kerana meletakkan Umno dalam keadaan yang tidak baik. Ini kerana kalau Umno kalah bermakna peluang anaknya untuk menjadi Perdana
Menteri akan tipis. Malah Mahathir juga merasakan kedudukannya dalam bahaya,” katanya.

Menurut beliau, walaupun tidak lagi memimpin negara, Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh dalam Umno-BN.

Justeru sebarang kenyataan yang keluar dari mulut Dr Mahathir sedikit sebanyak bakal memberi kesan terutama ketika menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-13.
Merdeka Center: Dr M kini positif banding era Pak Lah
Wartawan Sinar Harian
14 Oktober 2012
PRU 13 pengaruh Dr M
PRU 13 pengaruh Dr M
[MUKADIMAH: LAPORAN INI SEBAHAGIAN DARIPADA FOKUS MENGENAI PERANAN, PENGARUH DAN FAKTOR DR MAHATHIR MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM KE-13]
SHAH ALAM – Pandangan yang disuarakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak beberapa tahun lalu dilihat berubah nada jika dibandingkan ketika era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kedua-dua Abdullah dan Najib penah berada dalam Kabinet era Dr Mahathir.
Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, respons positif Mahathir terhadap kepimpinan Najib itu memungkinkan, paling tidak pun, sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak berubah.
“Pengaruh Tun Dr Mahathir itu masih ada khususnya kepada penyokong dan ahli Umno.
“Kalau kita lihat 2008, komen-komen dan sentimen yang beliau bawakan memberi kesan negatif pada Pilihan Raya Umum 2008,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Dr Mahathir antara lain pernah dipetik berkata sebelum ini, kerana tidak menggemari corak pemerintahan Abdullah, Umno mula kehilangan ahli mereka.
Ibrahim juga berkata, Dr Mahathir selaku nekas Presiden Umno dan Pengerusi BN, mengamalkan politik “menegur”  terhadap kepimpinan Najib.
“Mahathir ini punya satu pandangan bagaimana sesuatu dasar harus dilaksanakan. Beliau melihat kerajaan sekarang berbeza dengan cara bagaimana beliau mengendalikan kerajaan dahulu,” katanya.
“Beliau pernah menyebut Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai politik wang. Itulah bagaimana kita melihat beliau berbeza pandangan dengan kerajaan sekarang,” katanya lagi.
Sementara itu, Ibrahim turut mengulas kesan kemunculan kembali Dr Mahathir ini ke atas generasi muda.
Katanya, golongan muda ini memang mempunyai persepsi yang positif terhadap Dr Mahathir sebagai negarawan ulung.
Bagaimanapun, ia tidak menggambarkan pandangan secara keseluruhan mereka terhadap pemimpin tersebut.
“Mereka menghargai peranan dan sumbangan beliau sebagai bekas Perdana Menteri tetapi golongan muda ini, ada yang mereka tidak setuju tentang dasar-dasar kerajaan.
“Golongan muda sekarang lebih analitikal. Mereka tidak tolak kepimpinan Mahathir tetapi mereka juga turut didedahkan dengan berita-berita rasuah di media-media baru,” ujar beliau.
Ibrahim juga berpendapat, dakwaan bahawa Dr Mahathir ingin kembali memerintah sebagai tidak logik.
“Pandangan beliau sedikit sebanyak memang akan beri kesan (keputusan PRU). Tetapi orang tak akan lihat, beliau mahu mentadbir semula cuma lebih bersifat menegur,” katanya lagi.
Bermula 2008 sehingga 2012, Dr Mahathir memberikan pelbagai komen positif dan negatif terhadap pentadbiran Najib.
Bahkan beliau turut memuji sikap terbuka Najib memberi ruang kepadanya meluahkan pendapatan yang disekat ketika zaman Tun Abdullah dahulu.
PRU13:Mahathir ada ‘pengaruh besar’?
SALMIAH DRUHAMAD & NIZAM ZAIN
14 Oktober 2012
PRU 13 pengaruh Dr M
PRU 13 pengaruh Dr M
[MUKADIMAH: LAPORAN INI SEBAHAGIAN DARIPADA FOKUS MENGENAI PERANAN, PENGARUH DAN FAKTOR DR MAHATHIR MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM KE-13]
SHAH ALAM –  Karisma dan pencapaian mantap mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad antara faktor besar yang bakal menyumbang kepada kemenangan besar Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurut Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr. Abdul Rahman Abdul Aziz, meskipun pembabitan Dr Mahathir hanya secara tidak langsung iaitu menerusi komen-komen beliau terhadap dasar 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ia membantu memberi impak besar dalam siri kempen kerajaan dalam PRU.

“Tun adalah seorang pemimpin dunia. Di kalangan birokrat, mereka ini ada yang berbelah bahagi. Tetapi apabila Tun beri sokongan kepada Najib, mereka juga telah mengubah haluan.

“Beliau merupakan seorang ikon. Ketika beliau menjadi Perdana Menteri, beliau tidak ada pesaing,” ujar beliau.

Berhubung persoalan apakah yang mendorong pemimpin tersohor itu kerap mengeluarkan kenyataan positif dan pujian ke atas kepimpinan Najib, Rahman berkata, “Mahathir nampak ada orang yang menyambung warisannya.”

Dr Mahathir merupakan Perdana Menteri keempat sebelum digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas beliau melepaskan semua jawatannya pada 2003.

Selain setuju dengan strategi politik Najib menggunakan tempoh mandat yang ada, Dr Mahathir juga memuji  keterbukaan pentadbiran Najib.

"Saya mesti mengakui bahawa Najib dan pentadbirannya sangat terbuka. Apabila memerlukan konsultasi daripada sesiapa, mereka akan berbuat demikian, dan saya juga pernah memberikan pendapat beberapa kali, misalnya mengenai proses transformasi," beliau dipetik sebagai berkata.

Menurut Rahman, latar belakang politik, dasar-dasar baru yang diperkenalkan di samping sokongan terbuka Dr Mahathir terhadap Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, akan berjaya meyakinkan rakyat dari segenap aspek.

“Najib harus kekal. Dengan itu, beliau akan menang besar dalam PRU13.

“Beliau sudah ada tapak yang kukuh. Kalau beliau teruskan apa yang beliau buat sekarang, pembangkang tak boleh banyak cakap,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Ujarnya, jika Dr Mahathir sebelum ini tidak mempunyai masalah untuk memanggil pilihan raya pada bila-bila masa kerana kredibiliti dan kejayaan pemimpin itu ‘menawan impian rakyat’, Najib juga sedang menuju ke arah itu.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, UUM, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani mengakui pengaruh kuat Dr Mahathir bakal memberi sumbangan besar kepada kempen pilihan raya kerajaan.

“Pengaruh beliau kuat tetapi golongan muda pada hari ini memandang banyak isu meskipun banyak sumbangan Mahathir. Golongan muda sekarang mahu melihat benda baru. Bukan lagi trend mengenang jasa,” katanya.

Namun menurut Azizuddin, beliau percaya cakap-cakap Dr Mahathir mengenai pilihan raya kebelakangan ini adalah modal besar kerajaan untuk meraih kembali sokongan rakyat setelah gagal pada 2008.

"Pilihan raya kali ini disifatkan paling kritikal. Jadi inilah masa yang paling sesuai untuk gunakan apa jua cara yang ada," ujar beliau.
Dr M: 'PRU 2008, tiada siapa minta bantuan saya'
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN dan NIZAM ZAIN
14 Oktober 2012
PRU 13 pengaruh Dr M
PRU 13 pengaruh Dr M
[MUKADIMAH: LAPORAN INI SEBAHAGIAN DARIPADA FOKUS MENGENAI PERANAN, PENGARUH DAN FAKTOR DR MAHATHIR MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM KE-13]
SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memoirnya, Doktor Umum: Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menceritakan bagaimana beliau dipinggirkan pada Pilihan Raya Umum 2008 sehingga membawa kepada kekalahan teruk Barisan Nasional (BN).
Dr Mahathir, sejak menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno, telah mengetuai BN menghadapi Pilihan Raya Umum 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999. Beliau bersara pada Oktober 2003 dan digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memanggil pilihan raya umum pertamanya pada 2004 dan disusuli dengan 2008.
“Saya tidak memainkan sebarang peranan dalam Pilihan Raya Umum 2008 kerana tiada siapa yang meminta bantuan saya. Jadi, saya hanya berkempen di kawasan (anak saya Datuk) Mukhriz.

“Di situ, saya bertemu seorang lelaki yang secara berseloroh berkata bahawa tidak wujud lagi demokrasi di dalam Umno. Saya memikirkan hujah beliau dan saya bersetuju,” tulis beliau dalam bukunya yang terbit tahun lalu.
Menurut Dr Mahathir, hakikatnya tidak ada perkara yang lebih buruk sehingga menyebabkan beliau mengeluarkan kritikan pedas terhadap kepimpinan Abdullah melainkan kekalahan teruk BN pada PRU 2008.
“Apabila penerbangan saya ke Riyadh telah dipinda, saya dengan serta merta memanggil sidang media di rumah bagi menyatakan secara terbuka bahawa Tun Abdullah mesti memikul tanggungjawab di atas keputusan itu dan meletak jawatan.
“Itulah cara yang terbaik selepas mengalami kekalahan teruk,” tulis Dr Mahathir.
Pada PRU 2008, lima negeri jatuh ke tangan pembangkang termasuk Kelantan yang sudah sekian lama ditadbir Pas. BN juga dinafikan majoriti dua pertiga di Parlimen.
“Saya memang menjangkakan Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan akan jatuh ke tangan pembangkang, tetapi tidak menduga sama sekali Selangor dan Perak juga akan tumbang,” tulis beliau.
Dr Mahathir turut menyatakan kebimbangannya apabila Umno, sebuah parti yang dikatakan bersifat demokratik tidak berlaku ketika era pemerintahan Abdullah.
“Di bawah kepimpinan Tun Abdullah, Presiden Umno itu menjadikan diri beliau sebagai sebuah institusi. Cabaran terhadap beliau tidak dibenarkan dan dasar serta tindakan beliau tidak boleh dipertikaikan.
“Nampaknya, tugas setiap ahli dan perwakilan ke Perhimpunan Agung adalah untuk menyokong Presiden dan memuji apa sahaja yang beliau katakana,” tulis Dr Mahathir.

Setelah beberapa tahun negara di bawah pentadbiran Tun Abdullah, beliau kemudian memutuskan untuk bersuara apabila penggantinya itu secara mengejut membatalkan projek jambatan pada April 2006 yang menyebabkan kerajaan membazirkan wang negara sebanyak kira-kira RM800 juta atau lebih separuh daripada kos sebenar pembinaannya.

“... saya fikir, kerajaan sepatutnya meneruskan projek tanpa mempedulikan Singapura.
“Saya ada satu pilihan sahaja, iaitu berdiam diri dan mengekalkan imej negarawan yang dihormati atau bersuara semula. Saya memilih bercakap kerana saya tidak dapat menanggung beban melihat negara kita menyerah kalah kepada Singapura,” ujar beliau.

Dr Mahathir juga menceritakan bagaimana Pilihan Raya Umum 1999 yang merupakan pilihan raya terakhir beliau memimpin BN - adalah pilihan raya paling sukar buat dirinya.
Pilihan raya itu diadakan beberapa bulan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.
Ketika itu, BN tewas di Kelantan dan Terengganu manakala pembangkang mendapat lebih banyak kerusi berbanding 1995.
“Saya boleh melengahkan pilihan raya itu, tetapi saya tidak pasti sama asa keadaan akan berubah dan menyebelahi kita,” tulisnya.
Peristiwa penyingkiran Anwar bertambah tragis dengan kisah mata lebamnya sehingga menimbulkan kemarahan yang memuncak di kalangan orang Melayu.

Ironinya, dalam keadaan getir itu, Dr Mahathir memutuskan untuk membubarkan Parlimen dan pilihan raya diadakan selepas negara baru pulih dari krisis mata wang.
Ketika itulah undi Cina memainkan peranan besar dalam memenangkan BN apabila undi Melayu jatuh merudum.
“Pilihan raya Umum 1999 amat sukar. Sentimen negatif di kalangan orang Melayu amat ketara, khususnya apabila Pas cuba memburuk-burukkan saya dengan pelbagai gelaran,” tulis mantan Perdana Menteri itu.
Selepas PRU 1999, Dr Mahathir berkata, beliau sekali lagi menimbang untuk bersara namun akhirnya memutuskan untuk memulihkan kekuatan dalam parti, kestabilan politik dan sosial negara, menjana pertumbuhan ekonomi dan memperkukuhkan kewangan kerajaan.

“Saya tidak mahu pengganti saya mewarisi masalah-masalah yang tercetus dalam perkhidmatan saya,” tulisnya.

Selama 22 tahun bergelar Perdana Menteri Malaysia keempat merupakan satu tempoh yang benar-benar berbaloi buat dirinya dalam membawa nama Malaysia ke seantero dunia.
Namun setelah meninggalkan tampuk pemerintahan, Dr Mahathir mula mempelajari suatu perkara baru dalam arena politik negara yang amat menyedihkan beliau.

“Saya mempelajari bahawa tidak ramai ahli politik boleh mengekalkan taat setia mereka kepada seseorang untuk selamanya.

“Sebaik sahaja kita hilang jawatan dan kuasa, mereka akan mengetepikan kita dan mengalih kesetiaan serta sokongan kepada sesiapa sahaja yang mengambil alih tempat kita. Malah mereka akan mengutuk kita kalau mereka fikir itu akan menyenangkan ketua baru mereka.

“Seperti kata sebuah lagu Inggeris, 'tiada siapa pun kenal anda bila anda tersungkur dan tersingkir'," tulis Dr Mahathir lagi.
Pas dakwa pengaruh Dr M makin rapuh
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN & NIZAM ZAIN
14 Oktober 2012
PRU 13 pengaruh Dr M
PRU 13 pengaruh Dr M
[MUKADIMAH: LAPORAN INI SEBAHAGIAN DARIPADA FOKUS MENGENAI PERANAN, PENGARUH DAN FAKTOR DR MAHATHIR MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM KE-13]

SHAH ALAM -  Pas melihat Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai pengaruh untuk ‘menimbulkan kecelaruan’ pemikiran di kalangan pengundi tetap Umno, yang akhirnya akan memanfaatkan pakatan pembangkang.
Pada masa yang sama, Pas mendakwa pengaruh bekas Perdana Menteri itu semakin rapuh dalam menarik sokongan masyarakat umum khususnya pengundi ‘atas pagar’ susulan tuntutan landskap politik baru yang semakin dirasai menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Untuk menarik pengundi Pakatan Rakyat, orang yang tidak berpihak kepada mana-mana parti ini kepada Umno itu satu perkara yang sukar untuk dilakukan kerana orang sudah mempunyai pendirian untuk membuat perubahan pada pilihan raya akan datang,” kata Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Poko Sena dapat merasakan kebimbangan pemimpin-pemimpin Umno sekiranya Dr Mahathir ‘celupar mulut’ mengkritik parti secara terbuka sehingga boleh menjejaskan kredibiliti parti yang telah memerintah negara lebih 50 tahun.

“Mungkin selepas Bajet 2013, baru okey balik... mungkin beliau sedar bahawa beberapa perkara yang beliau kritik itu menjejaskan kekuatan BN kerana ia boleh menganjakkan pengundi tetap Umno ini kepada Pakatan Rakyat,” jelasnya.

Mahfuz juga tidak menolak kemungkinan Dr Mahathir mempunyai hasrat meletakkan anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir supaya mewarisi kepimpinannya sebagai bakal perdana menteri.

“Banyak pihak dalam Umno yang tidak senang dengan percaturan politik untuk mengatur kedudukan anaknya, hatta apabila disebut anaknya untuk balik bertanding sebagai calon Menteri Besar, ia akan berlaku pergolakan dalaman Umno,” katanya sambil menyifatkan hasrat Dr Mahathir itu mungkin gagal.

Bagaimanapun beliau mengakui sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akur kepada beberapa tuntutan dan kehendak Dr Mahathir, nasibnya mungkin berakhir sepertimana yang menimpa Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tiada ulasan: