Rabu, 17 Oktober 2012

BEZAKANLAH...KESIAN ADA YANG TAK BERPIJAK DIBUMI YANG NYATA

Pas diminta jangan lari isu sebenar
Wartawan Sinar Harian
17 Oktober 2012
Dr Mohd Puad Zarkashi
Dr Mohd Puad Zarkashi
SHAH ALAM –  Pas didakwa pengecut kerana  terlalu mengikut telunjuk DAP dalam pelbagai perkara termasuklah meninggalkan konsep negara Islam yang diperjuangkan sejak puluhan tahun kepada negara berkebajikan."

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Pas tidak perlu  lari daripada isu sebenar sedangkan Umno tidak pernah mengatakan akan melaksanakan hukum hudud tanpa persetujuan semua pihak.

“Pas juga tidak melaksanakan hudud di Kelantan kerana takut setelah mendapat tentangan daripada DAP,” katanya.

Katanya, Umno adalah parti  realistik yang memberi keutamaan kepada pendidikan dan membasmi kemiskinan yang turut dituntut dalam Islam.

“Umno belum berkemampuan untuk melaksanakan hudud dan tidak timbul soal (Presiden MCA) Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam isu ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya mengingatkan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hasan supaya jangan menuding jari menuduh Umno menikus apabila berhadapan dengan MCA dalam isu hudud.

“Saya fikir, lebih baik Pas meneliti semula kenapa mereka juga tunduk kepada DAP dan tidak perlu hanya menyalahkan Umno dan MCA berkenaan Islam,” katanya.

Fathul Bari berkata, bukan Islam tiada hak untuk merendah-rendahkan hukum hudud dan biarkan umat Islam sahaja yang berbicara mengenainya.

“Hudud adalah isu yang sangat jelas, tidak perlu dilaga-lagakan antara Umno dan Pas. Apabila umat Islam berpecah maka ada musuh yang akan mengambil kesempatan atas hukum tersebut,” katanya.

“Pada masa ini, kami masih dalam proses perbincangan bagaimana untuk memastikan Pas dan Umno bersatu demi Islam.  Kita harus kembali kepada asas Islam iaitu ke arah penyatuan umat dan mengetengahkan dasar-dasar agama,” katanya.

Katanya, apabila ada kritikan dan nasihat yang baik saya boleh terima dan bersifat secara positif meskipun ada perbezaan pandangan.
“Pas dan Umno tidak boleh bersikap keras kepala dalam proses untuk membina pembaharuan dan perlu tinggalkan segala perselisihan faham yang pernah berlaku kerana dengan bersatu musuh akan hormat pada  Islam,” katanya.


Pas dakwa Umno 'menikus' depan MCA
Ruzy Adila Binti Idris
16 Oktober 2012
Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
SHAH ALAM - Pemuda Pas berkata pihaknya ada tiga bukti Umno terpaksa tunduk terhadap ugutan dan tindak tanduk MCA terutamanya dalam isu-isu berkenaan dengan Islam.

Ketuanya, Nasrudin Hassan mendakwa, pada 23 September 2011, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pernah menegaskan di hadapan media, jika Umno melaksanakan hudud, MCA akan keluar Barisan Nasional (BN).

Katanya, ekoran ugutan keras MCA itu, sehingga kini Umno terpaksa 'menikus' demi kepentingan survival politik mereka.

"Bukti kedua, pada 4 Disember 2011, selepas merasmikan Forum mengenai hudud di Wisma MCA, sekali lagi Soi Lek menegaskan bahawa Malaysia akan kehilangan pelabur dan negara akan binasa jika hudud dilaksanakan.

"Malah beliau juga menekankan bahawa hudud tidak adil kepada semua khasnya kaum wanita disamping menyebut bahawa undang-undang Islam adalah kejam," katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Ujar beliau lagi, bukti ketiga terhadap dakwaan beliau ialah Umno bertambah 'kecut' apabila berdepan MCA apabila Presiden MCA itu menulis dalam twitternya pada 1 Julai 2012, sebagai respons kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah yang mencadangkan perlaksanaan hudud di Johor bahawa: "Adun Umno Johor itu tentu sudah kehabisan idea dan hilang akal untuk mencadangkan hudud di Johor meliputi bukan Islam."

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha yang menempelak kenyataan beliau apabila menegaskan bahawa MCA adalah parti yang anti-Islam.

Semalam, Cho Ha menimbulkan persoalan di sebalik dakwaan Ketua Pemuda Pas itu dan mengemukakan soalan adakah  Pas juga menganggap DAP sebagai anti-Islam?

Nasrudin turut mempersoalkan mengapa Cho Ha mengemukakan pertanyaan sedemikian sedangkan dakwa beliau, pemimpin-pemimpin MCA, terutamanya dalam media milik mereka secara konsisten menegaskan  kepada  masyarakat bukan Islam bahawa undi untuk DAP adalah undi untuk hudud.

Umno menikus di hadapan MCA

16 Okt 2012
1. Setiausaha Agung MCA,  Datuk Seri Kong Cho Ha telah menempelak  apabila saya menegaskan bahawa MCA adalah parti yang anti Islam .

2. Saya melihat beliau pura-pura bertanya  "Adakah PAS juga menganggap DAP sebagai anti Islam?

3. Persoalannya "Kenapa pula Setiausaha Agung MCA bertanya demikian? Bukankah pemimpin pemimpin MCA, terutamanya di dalam media milik mereka The Star, secara konsisten menegaskan kepada masyarakat non Muslim bahawa undi untuk DAP adalah undi untuk hudud" ?

4. Ertinya, MCA seperti mahu mengesahkan bahawa DAP menyokong hudud. Maka apa masaalah DAP bersama PAS dalam Pakatan Rakyat? Dan apa perlunya PAS menganggap DAP anti Islam pula? MCA lah yang sangat ketara sikap anti Islamnya.

5. Pemimpin MCA juga selalu mengulang kenyataannya bahawa "DAP  tunduk kepada PAS"

6. Selayaknya tidak berbangkit persoalan yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung MCA tersebut, sebaliknya yang pasti ialah MCA sangat tegar menentang Islam.

7. Presiden MCA pada 23 September 2011 pernah menegaskan di hadapan para wartawan, jika Umno melaksanakan hudud, MCA akan keluar Barisan Nasional. Ekoran ugutan keras MCA, sehingga kini Umno terpaksa menikus demi kepentingan kelangsungan politik mereka.

8. Pada 4 December 2011, selepas merasmikan Forum mengenai hudud di Wisma MCA, sekali lagi Datuk Seri Chua Soi Lek menegaskan bahawa Malaysia akan kehilangan pelabur dan negara akan binasa jika hudud dilaksanakan. Malah, beliau juga menekankan bahawa hudud tidak adil kepada semua khasnya kaum wanita di samping menyebut bahawa undang-undang Islam adalah kejam.

9. Menambah "kecutnya” Umno berdepan MCA ialah apabila Presiden MCA itu menulis dalam twitternya pada 1 Julai 2012 (sebagai respon kepada ADUN Kemelah yang mencadangkan perlaksanaan hudud di Johor) bahawa : "ADUN Umno Johor itu tentu sudah kehabisan idea dan hilang akal untuk mencadangkan hudud di Johor meliputi bukan Islam."

10. Dituduh hilang akal pun, Umno masih tidak mampu membentak MCA apa lagi mengambil apa-apa tindakan berkesan ke atas MCA agar tidak biadab terhadap Islam dan penganutnya seperti menuduh hilang akal, habis idea dan sebagainya.

Audit: Tahniah kerajaan negeri Pakatan Rakyat

17 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat kerana mendapat komentar yang positif daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang di dalam laporan Ketua Audit Negara 2011.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, Laporan Ketua Audit Negara 2011 telah membuktikan sistem pemerintahan dan pentadbiran yang cekap serta telus di Negeri Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang adalah lebih baik berbanding negeri BN.

"Kita merasakan Laporan Ketua Audit Negara 2011 telah membuktikan bahawa kecekapan dan kebijaksanaan pemimpin Pakatan Rakyat mentadbir walaupun dalam tempoh masa hanya 5 tahun.

"Ianya juga  adalah lebih baik daripada urustadbir pemimpin Barisan Nasional yang telah memerintah negara selama lebih 50 tahun yang penuh dengan pemborosan dan ketirisan," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan pujian dari ketua audit itu katanya, maka wajar bagi seluruh rakyat Malaysia memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara Malaysia daripada BN.

Sementara itu, beliau juga menghargai usaha kerajaan Negeri Selangor untuk menghadiahkan ganjaran sebanyak RM 20,000 kepada lapan jabatan dan agensi negeri yang telah mencapai prestasi pengurusan kewangan terbaik seperti yang telah dikeluarkan dalam Laporan Audit 201.

Agensi yang terlibat Majlis Perbandaran Subang Jaya, Pejabat Tanah dan Galian, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Agama Islam Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Sabak Bernam, Pejabat Menteri Besar/Setiausaha Kerajaan Negeri, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor dan Perbendaharaan Negeri Selangor.

"Kita mengharapkan semoga Kerajaan Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang akan terus meningkatkan mutu kerja pentadbiran dengan lebih baik selain tidak melupakan imbuhan yang sesuai kepada penjawat-penjawat awam yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan hasrat dan agenda kerajaan Negeri Pakatan Rakyat," tegasnya.

Tiada ulasan: