Isnin, 29 Oktober 2012

ALLAH TAHU SAPE KAKI KELENTONG...KAKI KENCING DAN KAKI TIPU...ALLAH TAHU BAGAIMANA NAK HUKUM ORANG2 NI

MCA bantu dedahkan Umno yang sebenar

Harakahdaily, 29 Okt 2012

KUALA LUMPUR: Kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA yang secara terbuka  menentang Syariat Islam,  khususnya undang-undang jenayah hudud,  adalah menyerlahkan sikap Barisan Nasional yang sebenar, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA yang secara terbuka  menentang Syariat Islam,  khususnya undang-undang jenayah hudud,  adalah menyerlahkan sikap Barisan Nasional yang sebenar.

Perlu diingat bahawa UMNO adalah parti teras dalam BN, yang wujud bersama MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lainnya sebagaimana yang kita ulangi sudah pun diberi amanah menerajui pemerintahan negara Malaysia ini selama lebih dari lima puluh tahun.

Hakikatnya ialah, bahawa UMNO memimpin kerajaan pusat dan kebanyakan kerajaan negeri, dengan adanya Biro Agama dalam UMNO itu sendiri, dalam kerajaannya ada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam - yang diletakkan  dibawah Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO,dan ada menteri penjaganya.

Di samping diwujudkan Institut Kefahaman Islam (IKIM), Fakulti Pengajian Islam dibeberapa Universiti, diperingkat negeri pula ada Jabatan Agama Islam masing-masing danada Exco Agama daripada UMNO juga.

TETAPIsegala-galanya ini tidak mampu meletakkan Islam itu tinggi ditempat yang sebenarnya dalam urusan negara Malaysia ini dan dinegeri yang dipimpin oleh UMNO. Adapun Majlis Fatwa Kebangsaan pula hanya bebas dalam lingkungan sangkarnya, berkokok mengikut waktu yang disesuaikan dengan keselesaan UMNO yang menjadi penunggunya.


Soalannya mengapa MCA boleh membuat kenyataan terbuka begitu rupa ?.

Dalam hal ini, MCA bukanlah parti yang patut disoal atau diminta penjelasan, kerana parti ini hanya mewakili kelompok masyarakat Cina bukan Islam.Manakala hukum hududpula tidak ada dalam ajaran semua agama bukan Islam yang dianut oleh ahli MCA.

Parti UMNOlah yang secara khususnya patut dipersoalkan oleh bangsa melayu yang beragama Islam bukannya MCA, kerana  banyaknya urusan Islam didalam tubuh parti UMNOserta kedudukannya yang memimpin kerajaan pusat dan negeri.

PAS tidak merasa hairan apa yang berlaku,kerana UMNO adalah Parti Kebangsaan Melayu, di mana “Islam” hanya menjadi agama yang dianut secara peribadi kalangan ahli UMNO sahaja. Perlembagaan UMNO juga tidak meletakkan Islam menjadi dasar, matlamat dan hukum tertinggi.Sifat individualistik yang menjadi konsep kepada ahli UMNO menyebabkannya tidak boleh bertindak terhadap ahlinya yang melakukan maksiat yang besar, apatah lagi yang terlalu kecil, kerana agama adalah urusan individu.

Ahli UMNO pula boleh menjadi orang yang soleh, paling kuat beribadat, banyak sembahyang, banyak mendirikan masjid, kerap umrah dan lebih banyak peluang haji, berkebajikan dalam masyarakat dengan sebanyak-banyaknya dan sebagainya.

Tetapi ahli UMNOi tidak mampu bercakap atas nama partinya untuk menegur atau menyanggah kenyataan Presiden MCA, kerana ini akan bercanggah dengan semangat dan konsep kebersamaan dalam BN yang didukung sama oleh undang-undang tubuh UMNO yang diselaraskan dengan semua rakan-rakannya dalam Barisan Nasional.

UMNO lebih mengutamakan konsep pragmatik sekular yang didukung bersama MCA, MIC, GERAKAN  dan lain-lain, dalamgabungan parti-parti komponen Barisan Nasional. Maka Islam tidak berkuasa dan berdaulat, hanyalah sekadar  menjadicabang yang berteduh dibawah semangat Barisan Nasional.  Maka UMNO tidak ada kelayakan untuk menegur Presiden MCA sehingga dia boleh bercakap apasahaja  termasuk dalam perkara Islam yang dia terlalu jahil kerana bukan agamanya.



HUDUD

Undang-undang Hudud adalah salah satu daripada hukum jenayahdalam syariat Islam, bersama dengan hukuman Qisas dan Takzir. Perkataan “Hudud” bererti batas-batas sempadan Allah yang tidak boleh dipertikaikan oleh seseorang yang beriman, di mana hukumannya telah dinaskan oleh Allah secara nyata dalam Al Quran dan Hadith Rasulullah SAW seperti juga nas wajib sembahyang lima waktu, puasa, zakat , haji dan pengharaman arak, judi, riba dan lain-lain. Hudud tidak boleh dinamakan “Hudud PAS” seperti juga tidak boleh dinamakan “sembahyang PAS”.Hanya yang jahil murakkab sahaja boleh bercakap begitu. Allah berfirman yang bermaksud:

Maksudnya :“Dan tidaklah harus bagi seseorang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – mereka tidaklah mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (al-Ahzab – 36)


Perkara yang dinyatakan secara nas saperti Hudud dan Qisas tidak mungkin dicapai oleh akal manusia, maka Allah menyatakan petunjuknya secara jelas.Rasulullah SAW sendiri, para pemimpin dan ulama selepasnya wajib menerima dan pihak yang berkuasa pula wajib melaksanakannya di mana mereka tidak boleh bertelingkah atau khilaf dari segi wajibnya. Perbincangan dan berbeza pendapat hanya dalam perkara cabang dari segi mencari bukti dan proses kehakiman yang adil, bukan meninggalkannya.

Keseluruhan undang-undang jenayah Islam lebih bersifat dan berkonsepkan mendidik masyarakat, maka dikenakan syarat yang ketat sehingga sukar menjatuhkan hukuman, tetapi undang-undang dan hukumannya menakutkan sehingga Presiden MCA juga takut.Penjenayah lebih digalakkan bertaubat sebelum dibawa kemahkamah.Hukum Hudud tidak boleh diampun setelah diputuskan oleh mahkamah, kerana Hudud menjadi hak Allah bagi memelihara rukun kehidupan bermasyarakat.

Lucunya, terdapat pula kalangan yang jahil pula cuba berhujah, bahawa penjenayah akan berkeliaran atau bertambah kerana hukuman sangat sukar untuk dijatuhkan. Hakikatnya ini tidak akan berlaku kerana sebelum sesuatu kes itu dibawa ke mahkamah, pihak yang mendakwa atau pendakwa akan menentukan samada cukup kesaksian atau tidak untuk kes hudud. Sekiranya bukti tidak cukup untuk kes hudud bukan bermakna terus dilepaskan.

Bukti-bukti jenayah ini mungkin cukup untuk di bawa kes ke perbicaraan takzir – di mana hukuman takzir adalah lebih ringan dari hukuman hudud.Dalam bahasa mudah difahami waktu ini, hukuman takzir boleh wujud dalam bentuk kanun keseksaan (penal code) yang hukuman dan beban pembuktiannya jauh lebih ringan dari hukuman hudud.

Setiap penganut Islam sebelum wujudnya PAS dan UMNO wajib beriman dengan hukum hudud. Maka penganut Islam dalam UMNO wajib bertegas dan istiqamah dengan Islamnya,seterusnya bertindak sama ada memecat MCA daripada Barisan Nasional atau UMNO di pecat atau keluar daripada Barisan Nasional atau ahli-ahli UMNO yang beragama Islam keluar UMNO beramai-ramai.

PAS DAN DAP

PAS berlainan dengan UMNO dan sangat berbeza,  kerana PAS tegas mengikut undang-undang tubuhnya, menjadikan Islam (Quran, Hadith, Ijmak dan Qiyas) hukum tertinggi, dasar dan matlamat perjuangannya Islam yang sempurna, maka termasuk urusan politik negara. Sekiranya dikaji Surah Al Maidah yang diturunkan diMadinah, terdapat didalamnya undang-undang jenayah, diantaranya Hudud.

Kebanyakan sebab nuzulnya (turun ayat) adalah berkait dengan sikap penganut bukan Islam yang dijawab secara wahyu.Perkara ini dapat dirujuk dalam kitab tafsir dan sejarah Islam.

PAS berijtihad memilih Demokrasi bagi mencapai kuasa pemerintahan dan melaksanakan Islam termasuk hukum hudud,  kerana pendekatan demokrasi secara damai adalah bersesuaian bagi menyelamat manusia bersama Islam tanpa paksaan, walaupun memakan masa yang panjang sehingga beberapa generasi serta pemimpin pergi dan datang.

Maka proses pelaksanaan undang –undang termasuk Hudud dibawa kedalam Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu setelah mendapat mandat kemenangan besar dalam pilihanraya lalu. Undang – undang  jenayah Islam termasuk Hudud dipamerkan lebih dahulu kepada masyarakat umum berbagai agama, di bentang dan dibuka kepada proses soal-jawab terlebih dahulu sebagai satu proses pendidikannya.

Ingin saya pertegaskan sekali lagi bahawa pelaksanaan enakmen Islam adalah hanya untuk orang Islam sahaja, sama sekali tidak untuk bukan Islam. PAS tidak membawa perkara ini diKedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang kerana tidak mencukupi syarat secara demokrasi.

DAP pula bukan parti kerajaan pusat yang berkuasa sepenuhnya seperti MCA. Ahli DAP banyak terdiri daripada masyarakat bukan Islam yang tertindas oleh kekayaan MCA,MIC dan semangat kebangsaan UMNO yang terlalu tinggi. Maka PAS lebih mudah berkira dengan DAP. Perkara hudud boleh dibincang secara ilmu dengan adil dan bebas.

Hubungan PAS dengan DAP dan PKR bukan Islam dalam Pakatan Rakyat adalah secara muafakat. Maka isu pelaksanaan Islam oleh PAS dalam negeri Pakatan Rakyat adalah berpandukankepada hukum Tahaluf Siyasi dalam Feqah Siyasah.Ini perkara yang perlu difahami oleh penyokong PAS dan rakyat seluruhnya.

PAS tetap tegas dengan perjuangan Islamnya  dan DAP pula tegas dengan perjuangannya. Dalam hal ini kerjasama berlaku dalam titik persamaan dan hak berbeza pendapat tetap dihormati dan hak penganut bukan Islam wajib diberi dengan adil.

Titik persamaan secara umum sudah disepakati, apabila DAP menerima konsep yang sudah ada dalam perlembagaan negara, termasuk kedudukan agama Islam.Bagi PAS sudah cukup menarik untuk memberi ruang perbincangan sekiranya memerintah negara.Cara ini tidak boleh dilakukan oleh UMNO dengan rakan-rakan karibnya dalam Barisan Nasional.

Malangnya perbincangan yang masih awal diganggu oleh media arus perdana khususnya berbahasamelayu mengaku Islam, yang sengaja berniat jahat untuk menghalang cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS.


Sekiranya rakyat memberi kuasa dalam Pilihanraya Umum ke-13 kepada Pakatan Rakyat, maka PAS yakin dapat membawa mesejnya dengan sempurna tanpa gangguan syaitan yang dikenali dan tidak dikenali.

----------------------------------------------------------------------------------


Penulis adalah Presiden PAS yang juga anggota Parlimen Marang.

Nizar tanya menteri isu bida WWW1 di Parlimen

Harakahdaily, 29 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin [PAS-Bukit Gantang] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah rasionalnya PDRM menubuhkan skuad khas bagi menyiasat kenyataan tweet beliau bertarikh 28 Mei 2012.

Ini mengenai pembidaan plat kereta WWW1 oleh Sultan Johor sehingga pejabat-pejabat beliau digeledah, 2 buah laptopnya diambil dan telefon bimbit dirampas.

“Berapa ramai anggota yang terlibat dalam siasatan kes ini serta kos yang ditanggung menghantar anggota dari Skudai Johor ke Ipoh serta Kuala Lumpur?” tanya beliau dalam soalan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Soalan daripada ahli-ahli Parlimen PAS hari ini sebagaimana di bawah.

Datuk Dr Mohd Hayati Othman [Pendang] minta Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan menyatakan berapakah jumlah Bomba Sukarela yang beroperasi aktif di seluruh Negeri Kedah dan apakah kemudahan yang diberikan oleh pihak Kementerian kepada mereka.

Mohd Firdaus Jaafar [Jerai] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan menyatakan apakah tindakan awal yang diambil terhadap setiap skim jualan langsung atau MLM (Multi Level Marketing) yang baru diperkenalkan bagi memastikan perniagaan mereka tidak mempunyai unsur-unsur penipuan.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Kewangan menyatakan cadangan untuk mengurangkan duti eksais kereta bagi meringankan beban pengguna.

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta Perdana Menteri menyatakan berapakah bilangan dan nilai projek-projek yang telah diagihkan kepada kontraktor-kontraktor dan firma Bumiputera melalui usaha yang dijalankan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sejak penubuhan TERAJU pada 2011. Namakan projek serta kontraktor dan firma Bumiputera yang diberikan
projek berkenaan.

Mohd. Nasir Zakaria [Padang Terap] minta Perdana Menteri menyatakan adakah keperluan untuk mengadakan satu undang-undang untuk mengawal pengamalan ilmu hitam yang boleh memesongkan akidah dan menyusahkan orang ramai.

Dr. Siti Mariah Mahmud [Kota Raja] minta Menteri Pelajaran menyatakan status permohonan pembinaan Sekolah Menengah Kota Kemuning.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor] minta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air menyatakan komitmen beliau, setelah menerima sistem tender terbuka sebagai kaedah terbaik untuk mendapatkan 'value-for- money' berbanding 'direct-nego', untuk menjamin 'ketelusan' atau 'transparency' dalam sistem 'open tender' khasnya dalam pemberian kontrak oleh Suruhanjaya Tenaga (EC) terdekat ini, serta kesediaan membuat penjelasan dan sebab-sebab dalam pemberian kontrak di Prai dan lanjutan kontrak pembelian tenaga PPA dari IPP dengan Tenaga Nasional Berhad.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta Perdana Menteri menyatakan apakah perancangan Petronas untuk membangunkan Tok Bali sebagai sebuah 'supply base' yang lengkap memberi khidmat kepada telaga minyak dan gas di perairan Kelantan dan Thailand.

Tanda dan dalil untuk perubahan sudah nyata. Bersabarlah!

http://aspanaliasnet.blogspot.com, 28 Okt 2012
Sebelum satu-satu perubahan berlaku is akan bermula dengan tanda-tanda dan dalil yang kuat yang perubahan peristiwa besar akan berlaku. Semasa Tsunami tahun 2006 yang telah meragut hampir tiga juta nyawa manusia di persisiran lautan India banyak tanda-tanda telah dialami beberapa ketika sebelum peristiwa buruk ini berlaku.

Di persisiran pantai kedapatan banyak ikan yang selalunya didapati di tengah-tengah lautan dan jumlah ikan dan haiwan laut berada di persisiran pantai lebih banyak dari biasa. Banyak lagi tanda-tanda dan dalil yang kedapatan sebelum peristiwa yang menyayat itu berlaku. Peristiwa seperti itu juga membawa dalil yang akan berlaku di kawasan yang berlaku malapetaka itu.

Mengikut setengah kajian peristiwa seperti ini adalah petanda yang kawasan yang ditimpa malapetaka seperti Tsunami itu akan menjadi kawasan yang akan pesat membangun selepas tiga atau empat dekad. Negara Jepun dalam masa empat dekad telah mencapai kemajuan setelah negara itu menjadi negara padang jarak padang terkukur selepas bom atom telah digugurkan oleh pihak bersekutu di Nagasaki dan Hiroshima pada tahun 1945 yang lalu.

Begitu juga dalam hal politik sesebuah negara itu. Di wilayah barat Eropah, telah berlaku berbagai-bagai macam bencana alam yang ngeri dan menakutkan sebelum wilayah itu menjadi wilayah dan negara-negara yang maju dan moden. Peperangan di antara negara-negara berjiran serta tindakan Hitler menghalau kaum yahudi dari Jerman dan kesemuanya ini merupakan peristiwa yang sangat besar ‘consequence’nya terhadap landskap politik dan sosial dunia. Akhirnya setelah tiga atau empat dekad kawasan dan wilayah-wilyah di kawasan itu merupakan kawasan  termaju di dunia.

Pendeknya setiap kebaikan yang berlaku itu merupakan susulan kepada peristiwa-peristiwa yang buruk seperti bencana alam dan perubahan politik sesuatu negara atau wilayah itu.

Kalau kita lakukan aplikasi terhadap apa yang sedang dan akan berlaku di negara ini ia merupakan satu perubahan dan anjakan politik yang sangat penting untuk berlaku bagi menuju kebaikan di masa depan. Dalam proses perubahan ini kita harus bersabar dan melaluinya dengan penuh yakin yang arus perubahan ini adalah kehendak ‘nature’ yang mana tidak seorang pun terlepas daripada mengalami dan melaluinya.

Mana-mana pihak yang mempunyai kesabaran yang lebih akan berjaya. Itulah sebabnya saya selalu meminta semua yang menjadi agen perubahan ini bersabar lebih dari biasa bagi perubahan ini berlaku dengan baik dan tidak payah melalui kejadian yang membawa banyak nyawa dan kecederaan berlaku.

Bagi kita, kita telah mempunyai cara dan kaedah untuk melakukan perubahan itu dengan terhormat dan teratur. Kita hanya perlukan pemikiran yang baik dan tidak dicelarukan dengan elemen-elemen yang boleh merosakan sistem kehidupan yang kita sedia alami.

Seperti yang saya katakan tadi, peristiwa yang tidak disenangi oleh sesuatu pihak itu yang memungkin ada perkara-perkara yang kita tidak ingini berlaku, akan sentiasa disusuli dengan hasil yang baik yang akan dirasai oleh rakyat jelata, setelah kita melalui pahit maung untuk melakukan perubahan itu. Jika diizin Tuhan kita akan sampai ke peringkat di mana kita semua akan hidup dalam aman dan sentosa bersama pembangunan negara yang kita kehendaki berlaku dengan sistem yang baik dan sempurna.

Sementara perubahan sebenar itu sampai dan benar-benar berlaku adalah penting kita menahan segala gejala reaksi yang buruk yang tidak mahu perubahan itu dengan penuh kesabaran. Kita harus sentiasa memohon dari yang Maha Esa agar kita sentiasa berada di dalam sepenuh keredhoanNya..

Kita yakin segala tanda-tanda awal dan dalil-dalil yang berlaku untuk perubahan itu kian hari kian jelas. Bagi kita, apa yang perlu dilakukan ialah untuk bersabar dan sentiasa memohon segala keredhoanNya dalam segala perlakukan yang kita lakukan semata-mata untuk kebaikan masyarakat dan rakyat negara kita. Waallahualam.
Pemilik kedai KTM Layang-layang tuntut ex-gratia
11:48AM Okt 29 2012  
Kira-kira 50 orang pemilik kedai dan penyewa di tanah KTM Layang-layang, Simpang Renggam semalam berhimpun bagi menuntut bayaran ex-gratia selepas diarahkan keluar daripada kawasan itu.

Penyelia Pusat Aduan Rakyat PAS Simpang Renggam Suhaizan Kaiat berkata, mereka yang telah berniaga lebih 30 tahun di kawasan itu tidak berpuas hati dengan dasar tiada ex-gratia kepada pemilik kedai.

"Alasan pihak kerajaan bahawa pekedai dan penyewa kedai tidak berhak untuk mendapat pampasan kerana mereka sudah mendapat keuntungan daripada kedai di atas tanah KTM.

"Alasan ini adalah tidak munasabah kerana dalam perniagaan terdapatnya untung dan rugi," kata Suhaizan yang juga ketua Pemuda PAS negeri.
Arahan tutup mulut kes tampar murid OA?
  • Koh Jun Lin
  • 11:21AM Okt 29 2012
 
Kemungkinan terdapat arahan tutup mulut dikeluarkan terhadap pelajar SK Bihai di Pos Bihai, dekat Gua Musang, Kelantan berhubung pengajaran agama yang diterima mereka, dakwa seorang ibu bapa.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bihai Arom Asir berkata, sehingga kini pelajar kekal diam daripada memperkatakan insiden dakwaan empat murid Orang Asli yang ditampar kerana tidak membaca doa.

"Mungkin guru juga diberi amaran untuk tidak memberitahu ibu bapa mereka apabila pulang ke rumah. Itu apa yang saya syak," kata Arom.

Beliau memberitahu Malaysiakini semalam bahawa beliau mengesyaki ada yang tidak kena tetapi ibu apa tidak menyedarinya sehinggalah insiden itu berlaku.

Arom juga mendakwa, selepas ibu bapa tampil mengadu, guru itu didakwa mempertahankan tindakan itu sebagai haknya sebagai guru.

Sekumpulan ibu bapa pada 25 Oktober lalu membuat laporan polis terhadap guru di SK Bihai kerana didakwa menampar anak mereka yang tidak membaca doa makan walaupun bukan Islam.

Malaysiakini cuba menghubungi SK Bihai untuk mendapatkan reaksinya.

Sementara itu Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pula ketika dihubungi berkata belum ada laporan dibuat kepada mereka dan sedang mengumpul maklumat tentang perkara itu.
Jadi imam 62 tahun
NORMAWATI ADNAN/SITI KHAIRULNISAH MOHAMED BAJURI
29 Oktober 2012
Jadi imam 62 tahun
Wak Jarien menunjukkan MyKad miliknya yang tertera tarikh dilahirkan.
Kokok ayam jantan bersahut-sahutan menandakan tibanya waktu pagi. Bangun seorang anak muda dari tidurnya yang lena. Melihat ke arah luar jendela, masih gelap, belum menampakkan sinar fajar.

Tanggungjawab... ya atas rasa tanggungjawab itu, anak muda itu bangun menuju ke telaga membasuh muka dan menjirus badannya dengan air dingin.

Selesai membersihkan diri, berwuduk dan siap berpakaian baju Melayu serta berkain pelekat, dia mengayuh basikal tua berjenama Raleigh ke madrasah.

Di dalam madrasah, kelihatan beberapa jemaah yang sudah hadir. Melihat jam di dinding, sudah masuk waktu, kata hatinya. Dengan segera dia meminta seorang lelaki melaungkan azan. Selesai azan, lantas anak muda itu bangun diikuti dengan beberapa lelaki lain untuk mengimamkan solat Subuh berjemaah pagi itu.

“Ketika itu, usia Wak baru 21 tahun, masa cepat sangat berlalu. Kini dalam usia 83 tahun, Wak masih diberi keizinan oleh ALLAH untuk lakukan rutin yang sama, syukur Alhamdulillah.

“Bukan tidak pernah menolak tugas sebagai imam ini, tetapi orang kampung selalu mengingatkan, selagi boleh, lebih baik Wak teruskan. Ya selagi mampu dan sihat, Wak akan teruskan hingga akhir hayat,” ujar Jarien Katimin atau lebih mesra dengan panggilan Wak Jarien.

Jaga suara

Menggalas tugas imam selama 62 tahun yang digalas Wak Jarien bukan sesuatu yang mudah dan bukan calang-calang orang mampu melakukannya.

Bermula sebagai imam di madrasah Kampung Melayu Langkap, khidmat Wak Jarien terus ditagih mengendalikan masjid Kampung Melayu Langkap (kini Masjid Jamek al-Makmur) yang baru dibina di kawasan itu.

Meskipun masjid yang dibina sekitar 1950-an itu sudah melalui empat proses baik pulih, Wak Jarien yang mudah tersenyum setiap kali disapa ini masih terus menabur khidmat sebagai imam pertama sehingga kini.

“Jika anak nak tahu, dahulu bayaran untuk imam RM3 setahun,” ketawa Wak Jarien sebaik menuturkan kata itu.

Terkejut mendengarnya, bukan RM3 sebulan tetapi RM3 setahun, sungguh jauh beza dengan insentif yang diberikan kerajaan sekarang, RM750 sebulan.

Namun dengan pantas Wak Jarien menjelaskan, tugas imam adalah satu tanggungjawab, bukan kerana upah semata-mata.

“Ketika itu, Wak masih lakukan kerja lain, menoreh, berkebun, dengan wang itulah Wak besarkan anak-anak.”

Meskipun diselangi dengan bunyi radio, perbualan kami pada pagi itu sedikit pun tidak terganggu. Pertuturan dan pendengaran Wak Jarien masih tajam dan jelas. Itulah sebab mengapa penduduk kampung mahu mengekalkan Wak Jarien sebagai imam.

“Mungkin juga sebab suara Wak ni sedap,” selorohnya membuatkan kami sama tertawa.

Sejak awal dilantik sebagai imam, dia hanya mengamalkan doa sebagai petua menjaga suara dan memudahkan hafalan bacaan al-Quran. Ayat yang diberi oleh tok gurunya yang juga bekas imam madsarah Kampung Melayu Langkap itu diamalkan sehingga hari ini.

“Setiap kali bangun tidur, Wak baca, tak payah susah-susah nak pantang makan atau sebagainya, kita ada doa dan ayat-ayat suci al-Quran yang Tuhan beri, gunakanlah sebaiknya.”

Menjadi rujukan  

Berbanding usia mudanya dahulu, dia kini lebih senang menggunakan bacaan surah yang lebih pendek.

“Makmum pun ramai yang seusia dengan Wak, kalau Wak baca surah panjang, nanti ada yang sakit lutut pula.”

Tempoh lebih setengah abad sebagai imam, menjadikan anak kelahiran Langkap, Perak ini orang kuat kampung dalam segenap hal. Bermula ketua memasak dalam kenduri kendera, Wak Jarien juga sering dijadikan rujukan utama bagi mereka yang berdepan masalah rumah tangga.

“Hidup bermasyarakat beginilah, ada orang meninggal dipanggil, ada kenduri dijemput, bila ada masalah dicari. Itu asam garam hidup, Wak senang dengan keadaan ini.

“Pesan orang-orang tua, hidup biarlah berbudi. Wak pegang pesanan itu sampai hari ini.”

Bunyi jam mengejutkan kami yang ketika itu leka mendengar kisah Wak Jarien. Rupa-rupanya sudah jam 12.30 tengah hari. Hampir terlupa hari itu Jumaat. Wak Jarien minta diri untuk bersiap ke masjid yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.

“Bapak nak mandi. Bajunya awal-awal lagi bapak sudah disiapkan. Sejak arwah emak tak ada, dia buat sendiri semua kerja,” sapa anak sulung Wak Jarien, Zawawi, 52.

Tidak sampai 10 minit, Wak Jarien keluar lengkap berbaju Melayu ungu, berkopiah dan kain pelekat. Dengan penuh berhati-hati dia mengeluarkan motosikal yang sudah 30 tahun digunakannya. Melihat penulis tercari-cari basikal tua yang sering digunakan Wak dahulu, dengan pantas Wak berkata, basikal tuanya itu sudah lama hilang.

“Sekarang Wak dah ada motor, tukar angin pula, lagi laju,” jawab Wak Jarien sambil tersenyum.

PROFIL

Nama : Jarien Katimin
Umur: 83 tahun
Tarikh lahir: 24
November 1929
Isteri: Munisah Amir (meninggal dunia pada 1997)
Anak:
1. Zawawi
2. Zanariah
3. Zaiton
4. Zabedah
5. Zamsuri

Trivia
• Selepas 8 tahun menjadi imam, barulah Wak Jarien mendirikan rumah tangga bersama Munisah Amir, jiran sebelah rumahnya.
• Wak Jarien pernah menyertai pasukan Home Guard selama enam tahun ketika berusia 23 tahun.
• Beliau juga pernah berkhidmat sebagai guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di Sekolah Rendah Agama Kampung Atta Duri (1984-2008).
• Pada April 2009, Wak Jarien dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) oleh Sultan Perak.
• Dalam usia 83 tahun, Wak Jarien kini mempunyai lima anak dan sembilan cucu.
Lembik dibelasah bekas suami
NUR FARHANA ABDUL MANAN
29 Oktober 2012
Lembik dibelasah bekas suami
Keadaan mangsa mengerang kesakitan selepas dibelasah bekas suaminya.
PUCHONG – Tidak berhati perut! Seorang lelaki tergamak membelasah bekas isterinya tanpa belas kasihan selepas gagal mendapatkan wang daripada wanita itu, di rumahnya di Pusat Bandar Puchong, lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, lelaki berusia awal 40-an itu dikatakan ke rumah bekas isterinya di sebuah pangsapuri kos rendah di sini.

Difahamkan, pintu tidak berkunci menyebabkan lelaki itu mudah meluru masuk ke rumah dan terus mencari kelibat bekas isteri yang tinggal bersama lima anak mereka di rumah terbabit.

Saksi yang tidak mahu dikenali berkata, lelaki itu mendesak bekas isterinya memberikan wang namun tidak dituruti mangsa.

Berang tindakan bekas isterinya, lelaki itu menumbuk mangsa lebih 15 kali di muka, kepala dan belakang badan dan tumbukan turut terkena seorang anak perempuannya berusia 12 tahun.

Tidak cukup dengan tindakan itu, lelaki terbabit turut menyepak perut mangsa bertubi-tubi.

Menurut saksi, anak perempuan mangsa yang berusia 15 tahun cuba menolak bapanya yang ketika itu berada dalam bilik tidur untuk menghentikan pergaduhan kerana simpati melihat keadaan ibunya.

Katanya, apabila mangsa dapat melepaskan diri, dia terus ke dapur dan mengambil sebilah pisau untuk mempertahankan diri sebelum lelaki itu merampas kembali senjata itu dan terus membelasahnya sekali lagi.

“Lelaki itu seolah-olah gagal mengawal diri dan memukul mangsa tanpa belas kasihan. Kejadian disaksikan lima anak mangsa termasuk salah seorang yang berumur dua tahun setengah.

“Selepas puas membelasah bekas isterinya, lelaki itu dikatakan meminta maaf dan terus menghilangkan diri membiarkan wanita terbabit mengerang kesakitan,” katanya.

Sumber itu berkata, buntu melihat keadaan ibu yang sakit, anak mangsa kemudian berlari ke rumah jiran meminta pertolongan.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Bandar Puteri.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian.

Sinar Harian difahamkan, mangsa enggan memberikan wang kepada bekas suaminya dan sanggup dipukul kerana wang simpanan yang tinggal untuk menyara keluarga hanya tinggal RM10 di dalam dompetnya
Azizan nekad lawan musuh politik
ROSLINDA HASHIM
25 Oktober 2012
Azizan
Azizan memotong kek hari lahir sambil diperhatikan Faekah.


ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak nekad untuk terus ‘melawan’ musuh politik dengan mengemudi angkatan tentera, terdiri daripada barisan Exco dan pegawai Kerajaan Negeri untuk pastikan pentadbiran negeri lancar.
 
Katanya, itu antara amanat beliau sempena sambutan hari lahir ke-68 yang jatuh esok.
 
“Saya harap kesihatan saya makin baik sebab ramai rakan-rakan seusia uzur. Saya syukur pada usia 68, saya masih mampu jalankan tugas sebagai Menteri Besar dengan lancar. Saya akan terus terajui barisan kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) Kedah menewaskan musuh politik,” katanya, pada media, selepas majlis kejutan hari lahir, yang diadakan di Wisma Darul Aman, sejurus selesai mesyuarat Exco, semalam.
 
Hadir sama, isteri Menteri Besar, Datin Seri Faekah Sheikh Hamzah.
 
Azizan berkata, beliau bersyukur  kerana sehingga tahun keempat sejak ambil alih Kedah, PR mampu mempertahan pentadbiran tanpa sebarang masalah serius.
 
“Saya harap dapat tadbir Kedah hingga Pilihan Raya Umum akan datang. Saya sifatkan pentadbiran PR Kedah cemerlang kerana tiada projek Kerajaan Negeri yang gagal dilaksana. Nasib saya juga lebih baik berbanding Menteri Besar lain di negeri-negeri PR, di mana mereka diserang setiap hari,” katanya.
 
Menurutnya, agak mengecewakan apabila Selangor dan Kelantan diserang bertubi-tubi oleh pemimpin Barisan Nasional (BN), berbanding Kedah dan Pulau Pinang.
 
“Saya harap Kedah tiada masalah, kita juga akan pastikan projek yang dirancang dapat dilaksana. Paling gembira kerana pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) sudah siap dan bermula akhir tahun perpindahan pelajar dibuat secara berperingkat,” katanya.
Projek sakit BN: Mahdzir jawab MB Kedah

28 Oktober 2012
Datuk Seri Azizan Abdul Razak
Datuk Seri Azizan Abdul Razak
ALOR SETAR - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek-projek yang dijalankan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil kira kepentingan rakyat dan tidak dibuat secara sembrono.
  
Katanya, projek 99 East di Langkawi bermula 2007 bernilai RM1.2 bilion yang didakwa Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai merugikan kerajaan negeri dirancang menjadi padang golf bertaraf antarabangsa.
  
"Projek itu telah separuh siap. Kerajaan negeri sepatutnya meneruskannya, (tetapi) menghentikannya dan menimbulkan banyak masalah setelah memenangi pilihan raya umum 2008," kata Mahdzir.
  
Beliau mengulas dakwaan Azizan bahawa empat projek sakit dilaksanakan kerajaan BN semasa memerintah, memaksa kerajaan Pas Kedah menanggung beban hutang.
  
Mahdzir ditemui pemberita pada majlis korban perdana di Felda Lubuk Merbau kira-kira 30 kilometer dari sini, hari ini.
  
Sebanyak lapan ekor lembu dikorbankan dalam program tahunan Umno Padang Terap dan dagingnya diagihkan kepada peneroka.
  
Dalam sidang medianya semalam, Azizan berkata, beliau dan pegawai kerajaan negeri asyik diserang konon kerajaan Pas Kedah dan beliau menyeleweng banyak projek serta letih menanggung beban hutang atas kesilapan kerajaan BN terdahulu.

Mahdzir berkata, projek itu dijalankan secara usahasama antara Kedah Corporation Berhad (KCB) dengan Terra Monda Development Pte Ltd bagi membangunkan kawasan seluas 144 hektar di Bukit Malut.
  
Tanah itu milik beberapa pihak dan bukan milik Permodalan Kedah Berhad (PKB) sahaja seperti didakwa Azizan, katanya.
  
Mahdzir, yang juga Adun Pedu berkata, projek ternakan udang pula adalah antara kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan dilaksanakan semasa Tan Sri Osman Aroff menjadi Menteri Besar.
  
Mengenai Yayasan Islam Kedah yang perlu membayar syarikat Long Island RM11 juta kerana tidak memindahkan 15 lot tanah di Tandop, Mahdzir berkata, masalah itu boleh diselesaikan tetapi ia tidak dilaksanakan.
  
Projek Jerai International Park pula telah lama dihentikan dan masalah yang timbul hanya membabitkan pembinaan perumahan dan boleh diatasi melalui perbincangan, katanya.
  
Mahdzir mempersoal tindakan Azizan memberhentikan projek usaha sama ternakan ikan dalam sangkar di Langkawi antara Kedah Agro dengan sebuah syarikat Taiwan hanya kerana persepsi semua yang BN buat tidak elok dan betul. 

Katanya, Azizan juga gagal melaksana projek Sungai Limau Hidrokarbon Hub di Yan walaupun pernah memberikan tarikh pecah tanah projek dan projek Keli-K di Sungai Pau, Sik serta kilang mengetin buah rambutan yang dijanjikan tidak menjadi kenyataan.
  
"Azizan pernah berkata dalam perniagaan ada untung rugi. Kita akui perkara ini. Jadi dia kena bertanggungjawab kerugian KCB di Papua New Guinea tetapi bila dah silap dia salahkan orang lain dan kata saya tak tau.
  
"Laporan Ketua Audit Negara 2011 kata pelaburan KCB di Papua New Guinea rugi besar, dia kena mengakulah. Lagipun Menteri Besar adalah pengerusi KCB dan dia juga yang membawa masuk CEO," kata Mahdzir.
  
Mengenai pembalakan di Tasik Pedu, Mahdzir mahu Azizan bertanggungjawab kerana membenarkan penebangan balak di kawasan tadahan hujan tanpa melalui Jawatankuasa Teknikal.
  
Menurut Mahdzir, hanya setelah separuh kawasan ditebang, surat pemberhentian kepada kontraktor dikeluarkan. - Bernama

Tiada ulasan: