Isnin, 29 Oktober 2012

JANGAN SEMBANG AJE....CAKAP SEDAP SEBAB NAK PRU13....KHIANAT PARTI SATU HAL...BAGAIMANA KITA MENGKHIANAT ISLAM...AKHIRAT KORANG JAWAB

Ku Nan: Dong Zong 'tamak'
  • Abdul Rahim Sabri
  • 6:47PM Okt 29 2012
 
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa NGO pendidikan Cina Dong Zong yang berkeras membantah pelan pembangunan pendidikan negara, sebagai 'tamak'.

"Dong Zong ni, apa yang kita buat ini salah. Saya nak beritahu Dong Zong ini supaya mereka mengingat kembali tentang sejarah. Pada 1980 di mana tahap sekolah cina. Tanya dialah sendiri.

"Yang membangunkan sekolah cina, memperbaiki tahap sekolah cina dengan baik adalah MCA melalui BN.

"Dan kita telah membangunkannya, tapi dia... Ini kadangkala mereka ini... Bila saya sebut nanti orang marah... Sebab kerana ketamakan mereka... Ini jadi masalah," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Sebaliknya, kata Tengku Adnan, NGO itu sepatutnya memikirkan kepentingan anak-anak mereka dan apa yang telah dilakukan oleh Umno, MCA dan MCA selepas tahun tersebut yang mahu memastikan sekolah Cina bertambah baik.

"Sebab itu hari ini banyak orang hendak hantar budak-budak ke sekolah Cina. Dulu sebelum 1980 orang Cina tak nak hantar ke sekolah Cina, kenapa?

"Itulah sebabnya ada satu program yang dilaksanakan oleh kementerian pelajaran untuk menggubal semula dasar pendidikan negara supaya lebih ramai untuk datang ke sekolah yang ditaja oleh kerajaan. Itu yang hendak kita lakukan," katanya.

Sekalipun mengakui wujudnya kecacatan walaupun BN mentadbir lebih 55 tahun, Tengku Adnan yang juga setiausaha agung Umno berkata perkara tersebut sedang diperbetulkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Beri peluang untuk (kita) membetulkannya. Ini yang kami mahu lakukan. Kami cuma nak betulkan sistem pendidikan, ekonomi dan banyak lagi," katanya yang juga ahli parlimen Putrajaya.

Tengku Adnan menjawab soalan pemberita berhubung jemputan NGO itu kepada Umno dan semua parti politik supaya bersama-sama mereka membantah pelan pembangunan pendidikannegara dengan menyertai perhimpunan besar-besaran pada 25 November ini.
'Umno pun ada dokumen rahsia pembangkang'
  • Abdul Rahim Sabri
  • 6:27PM Okt 29 2012
 
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata partinya akan menyiasat berhubung dakwaan kebocoran maklumat kesiapsiagaan BN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Tegasnya, beliau juga telah menulis surat kepada semua 13 anggota parti komponen BN supaya lebih berhati-hati daripada berlaku kebocoran maklumat sekalipun pihaknya mempunyai sistem kod untuk menjejaki dokumen itu seperti yang didedahkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

"Saya hendak dapatkan dokumen yang ada pada Lim Guan Eng, sapaya saya tahu siapa yang beri kepada beliau.

"Daripada dokumen itu sendiri, orang menerima dokumen itu, tidak tahu coding di mana... Barang kali dia (pemimpin BN) letak merata-rata... Dalam pejabat rambut sama hitam, hati lain-lain.

"Untuk makluman kita pun dapat dokumen daripada pembangkang. Tapi kita tak buat bising. Tak macam mereka, mereka buat bising. Apa yang dia ada, dia akan cerita. Kita pun tahu apa yang mereka laksanakan. Kita diam. Kita ada tiap-tiap dokumen mereka. Kita tahu tiap-tiap calon dia," katanya.

Sekalipun mempersoalkan tahap masa tertentu maklumat kesiapsiagaan yang dibocorkan, Tengku Adnan berkata pihaknya menulis surat kepada 13 komponen parti sebagai "peringatan dan tindakan berhati-hati" kepada mereka.

Tengku Adnan menjawab soalan pemberita berhubung dakwaan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum ini bahawa beliau memperoleh dokumen rahsia berhubung persiapan BN di Pulau Pinang.
Pengurusan Pasar Seni pertahan caj 12%
  • Zulaikha Zulkifli
  • 6:08PM Okt 29 2012
 
Pihak pengurusan Pasar Seni, Kha Seng Group hari ini mempertahankan kadar caj tambahan 12 peratus bagi peniaga yang lewat membayar sewa yang ditentang sekumpulan NGO hari ini.

Pengurus Kompleks Pasar Seni Cheong Wai Mun menjelaskan, kadar caj tambahan tersebut merupakan kadar biasa pusat membeli belah di negara ini yang antara 12 hingga 18 peratus.

"Kadar bayaran sewa di Pasar Seni adalah berpatutan, standard dan ia berdasarkan kepada harga pasaran semasa. Bangunan warisan lama ini juga perlu dinaiktaraf dan penjagaan.

"Ia (caj tambahan) telah dipersetujui oleh penyewa semasa mempersetujui tapak sewa tersebut," katanya dalam satu kenyataan media.

Harga sewa di Pasar Seni bermula RM800.

Selain itu, Cheong berkata, penyewa yang mempunyai bayaran sewa tertunggak juga akan diberi peringatan disusuli oleh surat yang meminta agar penyewa menjelaskan bayaran.

Hari ini, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) mendesak agar pemilik bangunan Pasar Seni, UDA Holding Berhad menukar pihak pengurusan baru bangunan warisan itu.

Presidennya Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa, peniaga Pasar Seni sekarang "ditindas", antaranya dikenakan caj tambahan sebanyak 12 peratus jika sewa lambat dibayar.

Mereka juga menampilkan seorang peniaga di situ Mohammad Zainahar Yuzkhairi yang mendakwa dihalau tanpa diberikan sebarang sebab pada 2 Oktober lalu.

Ditanya perkara itu, Cheong berkata, tindakan itu diambil kerana peniaga tersebut sewanya telah tertunggak selama 12 bulan dan tindakan itu terpaksa diambil.

Sebelum kami ambil alih pun dia ada masalah tunggakan," kata Cheong lagi.
NGO dakwa pengurusan Pasar Seni macam 'ah long'
  • Zulaikha Zulkifli
  • 3:55PM Okt 29 2012
 
Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) mendesak agar pemilik bangunan Pasar Seni, UDA Holding Berhad menukar pihak pengurusan baru bangunan warisan itu.

Presidennya Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa, peniaga Pasar Seni sekarang "ditindas", antaranya dikenakan caj tambahan sebanyak 12 peratus jika sewa lambat dibayar.

NONE"Pihak pengurusan sekarang macam Ah Long. Kalau lambat bayar sewa, peniaga akan dikenakan caj tambahan sebanyak 12 peratus," kata Ridzuan pada sidang media di perkarangan Pasar Seni di ibu negara hari ini.

Ridzuan juga mengumumkan akan mengadakan protes dua minggu lagi di tempat itu sebelum memanjangkan isu itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, bekas peniaga kraftangan Mohammad Zainahar Yuzkhairi turut tampil dalam sidang media itu mendakwa diarahkan keluar oleh pihak pengurusan Pasar Seni serta-merta pada 2 Oktober lalu.

NONESambil bergenang air mata, Zainahar (kanan) mendakwa, pihak pengurusan tidak memberi sebab mengapa beliau "dihalau" daripada premisnya.

"Pada 2 Oktober lalu, semasa sedang buat kerja, tanpa ada surat amaran atau sebarang sebab, beberapa orang peguam dan pihak pengurusan telah datang tunjuk surat peguam dan surat sita dan arah saya keluar dari premis saya serta merta.

"Saya keluar sehelai sepinggang. Saya perlu menyara tiga orang anak dan isteri. Saya sekarang dah tak tahu nak buat apa dan masih terkejut dengan apa yang berlaku," katanya yang telah menyewa di Pasar Seni sejak 1991.

Beliau juga mendakwa sewa kedainya sebelum ini juga dinaikkan jauh lebih tinggi dengan sewa kedai milik rakan-rakannya daripada RM1,000 kepada RM2,500 sebulan.

Pihak pengurusan Pasar Seni, Kha Seng Group dalam kenyataannya selepas itu bagaimanapun mempertahankan caj itu kerana ia "kadar biasa" pusat membeli belah di negara ini.
Noh: Kerajaan komited dapatkan semula wang NFC
  • Nigel Aw
  • 8:58PM Okt 29 2012
 
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata, kerajaan komited untuk mendapatkan semula pinjaman RM250 juta kepada National Feedlot Corporation (NFC).

Bagaimanapun, katanya, ia akan sedikit memakan masa.

NONEUntuk tujuan itu, katanya lagi, kerajaan sudah berbincang dengan beberapa syarikat untuk mengambil alih pengurusan Pusat Fidlot Nasional.

Mengambil contoh Malaysian International Tuna Port (MITP), Noh berkata, pengambilannya memakan masa lebih setahun kerana terdapat keperluan berkaitan liabiliti dan menentukan berapa banyak yang perlu dibayar kepada kerajaan.
'Keluar majlis Chua bukan tanda sokongan merosot'
  • Lu Wei Hoong
  • 1:43PM Okt 29 2012
 
Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tindakan sebahagian masyarakat Cina keluar daripada majlis ketika Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di Kulai, Johor semalam berucap bukan petanda pengurangan sokongan.

Liow berkata, pihaknya sudah mendapat banyak sokongan dengan penganjuran majlis makan malam mega di pelbagai tempat dan insiden semalam tidak membawa maksud bahawa ia menjadi isu besar.

NONE"Ia tidak bermakna mereka tidak memberikan sokongan kepada kita," katanya dalam sidang media selepas merasmikan kongres berkaitan sel tunggal di Kuala Lumpur hari ini.

China Press hari ini melaporkan, kira-kira 20 peratus daripada 15,000 yang hadir dalam majlis makan malam MCA di Kulau keluar ketika Dr Chua berucap.

Penganjur program bertajuk "Kestabilan melampaui huru-hara" bagaimanapun menjelaskan tindakan peserta keluar awal bertujuan mengelak kesesakan jalan raya.

Liow menjelaskan, Johor masih kubu kuat MCA.
'Pengkhianat Umno biasanya pegang jawatan penting'
2:35PM Okt 29 2012  
Pemimpin akar umbi Umno hari ini menggesa jawatankuasa khas parti Melayu itu bertindak tegas, termasuk menyingkirkan segera ahli yang khianat, tidak seperti sebelum ini yang mengambil masa terlalu lama.

Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, sebelum ini hukuman untuk kes pelanggaran etika atau khianat mengambil masa sehingga menimbulkan kecewa di kalangan rakyat.

cheras umno division chief syed ali alhabshee 061012"Saya berharap jawatankuasa berkenaan akan lebih tegas mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang berlaku khianat dan mensabotaj calon-calon BN pada pilihan raya umum ke-13 akan datang," tegasnya seperti dilaporkan dalam blog Umno Cheras.

Syed Ali juga berkata, mana-mana ahli Umno yang mengkhianati dasar perjuangan parti sememangnya wajar disingkirkan tidak kira di peringkat mana.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan kebanyakan yang "bertukar menjadi pengkhianat" terdiri daripada pemegang jawatan penting dalam parti.

"Lazimnya yang mensabotaj parti dan pengkhianat adalah mereka yang memegang jawatan penting dalam Umno, kerana kecewa tidak dapat sesuatu yang dihajati mereka mula memburuk-burukkan parti dan pemimpin tertinggi," tegasnya.

'Dirasuk kepentingan peribadi'

Tambah Syed Ali lagi, jarang berlaku ahli-ahli parti di peringkat akar umbi yang khianat, sebaliknya membabitkan pemimpin termasuk yang pernah berada dalam kabinet.

"Saya percaya ahli-ahli Umno peringkat akar umbi tetap setia kepada parti, mereka ikhlas berjuang untuk parti," tegasnya sambil menyifatkan keadaan itu seperti "dirasuk kepentingan peribadi".

Syed Ali juga melihat penubuhan jawatankuasa khas bagi mengambil tindakan ahli ahli yang khianat mampu mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap masa depan Umno.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu setelah dipersetujui Majlis Tertinggi (MT) di PWTC baru-baru ini.

Ia akan diketuai oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dan beberapa wakli MT yang tiada berkepentingan.
Umno perketat keselamatan liputan sempena AGM
  • Abdul Rahim Sabri
  • 7:15PM Okt 29 2012
 
Umno akan menggunakan sistem baru untuk menghalang "unsur-usnur yang tak dikehendaki" berada dewan sempena berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno bermula 27 November depan.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh berkata sistem tersebut cuba mengenal pasti petugas media melalui "foto dan pengenalan biometrik" untuk membolehkan mereka membuat liputan di dalam dewan.

"(Ia) bukan saja kepada media luar sahaja, tetapi ada unsur lain dari luar pun masuk. Kita kena kawal. AGM Umno untuk bahas, bincang hal Umno. (Kita) tak mahu sabotaj.

"Umno bawah kawalan Umno untuk kepentingan Umno sendiri. Banyak berlaku dalam dan luar, (jadi) kita kena ambil langkah keselamatan," katanya dalam taklimat media sempena perhimpunan itu.

Sehubungan itu, katanya kebenaran memasuki dewan dengan membuat pengesahan menggunakan kad pengenalan MyKad.

Sistem itu juga terpakai kepada perwakilan dengan membawa kad pengenalan MrKad untuk pengesahan.
Mahkamah arah UUM bayar RM3.7j pada syarikat
5:44PM Okt 29 2012  
Mahkamah Tinggi di Alor Setar menolak permohonan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menggantung suatu pelaksanaan penghakiman dan diarah membayar lebih RM3.7 juta kepada KIC Management kerana melanggar perjanjian khidmat luar bagi sebuah program sarjana dengan syarikat itu.

Peguam yang mewakili syarikat itu, CV Devan berkata keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zakiah Kassim di dalam kamar hari ini.

"Permohonan untuk menggantung pelaksanaan penghakiman itu telah ditolak dengan kos.

"Pada 17 Mei 2012, UUM diarah menjelaskan bayaran itu dalam tempoh 14 hari tapi mereka memohon menggantung pelaksanaan penghakiman itu sehingga kes rayuan mereka diputuskan Mahkamah Rayuan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam pernyataan tuntutan pada 8 Ogos 2010, KIC Management mendakwa UUM menamatkan memorandum perjanjian (MoA) dengan syarikat itu bagi menjalankan program pasca Siswazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) bermula 1 Jun 2009.

Syarikat itu mendakwa mengikut MoA yang ditandatangani dengan UUM pada 1 September 2008, UUM bersetuju untuk memberi khidmat luar program MBA kepada syarikat itu, manakala syarikat itu akan menyediakan prasarana dan peserta program di satu fakulti yang dimiliki dan disediakan oleh syarikat itu dan/atau wakilnya di Kulim, Kedah.

Mengikut perjanjian itu, UUM bersetuju bahawa KIC Management akan terus mengendalikan program Eksekutif Sarjana Pentabdiran Perniagaan bagi tempoh lima tahun bermula 1 Sept 2008 hingga 31 Ogos 2013.

Bagaimanapun, UUM melalui surat bertarikh 18 Mei 2009, menamatkan perjanjian itu berkuat kuasa 1 Jun tahun yang sama tanpa mematuhi terma-terma perjanjian itu.

KIC Management menyatakan bahawa penamatan kontrak itu adalah pramatang dan melanggar dua klausa perjanjian iaitu MoA boleh ditamatkan oleh mana-mana satu pihak dengan memberi notis bertulis sekurang-kurang enam bulan dan MoA hanya boleh ditamatkan sebaik penyelesaian pengambilan terbaharu pelajar program itu.

KIC Management berkata tindakan UUM menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian dan kehilangan besar iaitu RM424,860 bagi baki yuran pelajar yang masih belum menamatkan pengajian dan RM3.27 juta bagi kehilangan keuntungan/pendapatan untuk baki tempoh perjanjian dari 1 Jun 2009 hingga 31 Ogos 2013.

Syarikat itu menuntut RM424,860 bagi kehilangan baki yuran itu, RM3.27 juta bagi kehilangan keuntungan/pendapatan, faedah statutori pada kadar lapan peratus setahun atas jumlah dua tuntutan itu dan kos serta lain-lain relif yang diarahkan mahkamah. UUM diwakili oleh peguam Nadzarin Nordin.

- Bernama
Chegubard berang, dakwa polis 'hilangkan diri'
  • Nigel Aw
  • 12:52PM Okt 29 2012
 
Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin kecewa dengan tindakan polis yang didakwanya menghilangkan diri sewaktu berlakunya kekecohan di ceramah Pakatan Rakyat di Johor kelmarin.

NONEBadrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard antara penceramah dalam majlis yang dianjurkan oleh DAP di ibu pejabat PAS Sri Alam di Masai pada malam kelmarin.

Dakwanya, sebaik program bermula jam 9 malam, sekumpulan 10 hingga 12 individu mengunci dalam sebuah balai raya yang terletak 50 meter serta memasang kaset ceramah dengan kuat.

Beliau mendakwa, individu itu penduduk tempatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Umno dan balai raya tersebut telah ditukar menjadi bilik operasi BN.

Badrul mendakwa, beliau kemudiannya berulang-ulang kali menggunakan mikrofon di atas pentas meminta polis untuk bertindak terhadap provokasi tetapi mendakwa anggota polis yang berpakaian preman dan beruniform 'secara misteri' menghilangkan diri.

NONE"Saya panggil tiga kali supaya polis supaya tampil dan hadirin juga memanggil mereka tetapi tiada seorang pun berbuat demikian.

"Saya yakin ada anggota polis kerana polis berpakaian preman telah memasang video kamera di hadapan pentas," katanya sambil menambah kekecohan itu berlaku sekalipun Pakatan telah memaklumkan kepada polis sejak dua minggu lalu.

Katanya, apabila suasana semakin tegang, beliau 'menyelamatkan' video kamera itu atas sebab keselamatan memandangkan terdapat hadirin yang berang telah menghampirinya.

Badrul juga menjelaskan beliau tidak berniat untuk mencuri video kamera tersebut sebaliknya bimbang dengan keselamatannya dan berjanji akan memulangkannya selepas berbincang dengan Ketua Cawangan Khas Johor Ramli Hassan.
Jangan eksklusifkan Islam
  • Dr Mohd Asri Zainul Abidin
  • 5:42PM Okt 27 2012
 
Amat memeritkan perasaan apabila melihat sesetengah pihak menyebut: "Nak faham Islam ini susah, kami tidak cukup masa, ada macam-macam kena buat masa muda ini. Tunggulah kami dah tua".

Ungkapan ini lahir dari salah tanggapan mereka bahawa Islam adalah agama yang sukar difahami dan sukar untuk diamalkan. Ini berpunca dari cara pengajarannya yang susah dan isi yang dipayah-payahkan oleh sesetengah pihak.

Dengan kita akur untuk menjadi pakar ilmu-ilmu Islam memanglah tidak mudah, bahkan menjadi pakar apa-apa ilmu pun tidak mudah. Namun memahami dan mengamalkan Islam secara umumnya adalah mudah dan mampu dicapai oleh setiap lapisan manusia.

Jika tidak bagaimana mungkin Islam menjadi agama sejagat yang diutuskan untuk setiap insan tanpa mengira lantar kehidupan dan pendidikan.
Antara cuai dengan memayahkan
Memang, mudah-mudahkan agama dalam erti kata melaksanakannya dalam keadaan yang cuai dan tidak menepati kehendak nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih adalah kesalahan dalam agama.

Namun begitu, menjadikan agama begitu payah dan sukar hingga melampaui batasan yang diperuntukkan oleh nas-nas agama juga satu kesalahan. Firman Allah (maksudnya):

Mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad SAW) nabi yang ummi, yang mereka dapati dia tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan dia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. (Surah al-‘Araf: 157)

Firman Allah lagi (maksudnya): Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah: 185).
Firman Allah juga (maksudnya): Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (Surah al-Nisa: 28).
Menyusahkan gambaran Islam
Saya tidak ingin membicarakan tentang golongan yang cuai terhadap agama. Ini telah banyak diperkatakan oleh ustaz-ustaz kita. Saya bicarakan tentang sikap sesetengah pihak yang cuba menonjolkan Islam seakan ia agama yang begitu sukar untuk dihayati, dan seakan tidak akan sampai ke dataran Islam ini melainkan beberapa kerat manusia sahaja.

Maka hukum-hakam yang mereka ajar kelihatan begitu susah untuk difahami, apatah lagi untuk dihayati. Lihat sahajalah, haji yang hanya beberapa hari untuk ditunaikan, tetapi kursus yang dibuat berbulan-bulan lamanya.

Ia diajar dengan cara yang sukar disebabkan berbagai faktor. Salah satunya; tokok tambah ajaran agama yang menyebabkan orang awam sentiasa keliru dan tidak mampu kerana terpaksa menghafal berbagai ayat dan peraturan yang sebahagian besarnya tidak pernah diajar pun oleh hadis-hadis Nabi SAW yang sahih.

Ini seperti menetapkan berbagai bacaan khas bagi setiap pusingan tawaf. Lalu mereka buat bisnes pula bagi yang tidak mampu menghafal dengan menjual buku atau alatan tertentu.
Demikian juga kecenderungan sebahagian pengajar hukum-hakam syarak untuk menjatuhkan hukuman haram dan batal amalan seperti terbatal akad nikah hanya kerana terputus nafas, atau terbatal solat kerana pergerakan lebih dari tiga kali, terbatal puasa kerana berenang dalam kolam dan seumpamanya.

Sedangkan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tidak pun menyatakan demikian. Di samping itu, kecenderungan memperincikan perkara yang tidak perlu sehingga ramai yang jadi keliru. Umpamanya memperincikan syarat niat yang bukan-bukan.

Sehingga ada buku yang menetapkan puluhan syarat niat. Bukannya menjadikan orang faham maksud niat, sebaliknya bertambah kabur. Pada hal setiap aktiviti insan secara sedar mempunyai niat.

Maka dengan itu kita katakan "membunuh dengan niat", sekalipun si pembunuh tidak melafazkannya secara lisan ketika hendak membunuh atau menghafal syarat niat. Malangnya, akibat salah ajaran, seseorang berulang kali bertakbir dalam solatnya.

Kononnya, belum masuk niat. Padahal, jika dia tidak berniat solat, bagaimana mungkin dia boleh berada di saf untuk solat?

Demikian juga memperincikan tentang jenis-jenis air dalam berwuduk berbulan perbahasannya sedangkan solat diperlukan lima kali sehari. Inilah yang menyebabkan ada yang baru masuk Islam tidak solat berbulan kerana bab wuduk belum habis dibincangkan.
Ekslusifkan agama
Pendekatan ini menyebabkan Islam menjadi eksklusif seakan hanya untuk sekelompok manusia sahaja. Sementara selain mereka hanyalah manusia yang terpaksa bertaklid buta disebabkan kononnya tidak mampu untuk memahami apa sahaja hal ehwal agama ini kerana akal mereka tidak kesampaian.

Sebenarnya, bukan tidak kesampaian, tetapi pendekatan pengajaran yang telah melanggar garis panduan Nabi SAW lantas menyanggahi logik insan. Hal ini berbeza dengan arahan baginda SAW.

Baginda bersabda: "Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka." (Riwayat al-Bukhari)
Pendekatan Nabi SAW adalah pendekatan mudah yang membolehkan sebanyak mungkin manusia merasai kebersamaan mereka dalam Islam ini.

Antaranya baginda mengkritik imam yang memanjangkan solatnya, tanpa meraikan keadaan makmun yang berbagai di belakangnya. Baginda bersabda:
"Wahai manusia! sesungguhnya di kalangan kamu ada yang menyebabkan orang lari. Sesiapa di kalangan kamu yang bersolat (menjadi imam) untuk orang ramai, maka ringkaskanlah, kerana di kalangan mereka ada yang tua, lemah dan yang mempunyai urusan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Pendekatan yang menyukarkan ini berlarutan sehingga dalam masalah pengajian akidah. Sesetengah perbincangan akidah dipengaruhi oleh falsafah lama yang kadangkala tidak membawa sebarang kekuatan kepada akidah, bahkan kepada kepenatan akal dan kecelaruan sahaja.

Ini seperti Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti dengan falsafah-falsafahnya yang memeningkan.

Keletihanlah anak-anak muda untuk memahaminya. Bahkan kadang-kala guru yang mengajar pun tidak faham.

Untuk mengelakkan dia dipersoalkan dia akan berkata: "Barang siapa banyak bertanya maka lemahlah imannya."

Maka tidak hairanlah jika yang baru menganut Islam kehairanan bertanya: Mengapa Tuhan itu ada, selepas lawan maka Dia sudah tiada?

Maka akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah.
Akidah itu mudah difahami

Akidah Islam adalah akidah yang bersih dan mudah difahami. Bacalah al-Quran dan al-Sunah, lihatlah perbincangan akidah dalam kedua sumber agung itu, sangat jelas dan tidak berbelit-belit.

Dalam hanya beberapa ayat seperti isi al-Ikhlas, al-Quran menyerlah konsep akidahnya, tidak perlu memayah-mayah. Dalam ajaran Islam, persoalan tauhid dan akidah adalah perkara yang paling mudah dan senang untuk difahami oleh semua lapisan umat.

Ini kerana memahami akidah satu kemestian termasuk yang buta huruf, Badawi di padang pasir sehinggalah kepada golongan yang terpelajar dan cerdik pandai.

Maka tidak hairanlah pada zaman Nabi SAW, para perwakilan yang datang mengambil ajaran Islam dari baginda dalam beberapa ketika sahaja, namun mampu mengislamkan keseluruhan kabilahnya. Sebab, konsep yang jelas dan mudah.
Kalaulah perbahasan akidah begitu sukar dan susah seperti yang difahami oleh golongan ahli kalam dan falsafah, bagaimana mungkin golongan awam yang buta huruf atau tidak memiliki kecerdasan akal yang tinggi untuk memahaminya?

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah....Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunani dan cara Yunani dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka." (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da'iyah, ms. 92, Beirut: Muassasah al-Risalat)

Sebab itu, barangkali dakwah kepada akidah Islam di tempat kita tidak subur. Sebaliknya cerita keluar Islam yang disuburkan. Proses pemulihan akidah pun dalam banyak rekodnya adalah gagal.

Ini kerana kita banyak berfalsafah dari membahaskan akidah berdasarkan al-Quran dan al-Sunah. Maka bacalah buku-buku akidah yang jelas membimbing jiwa dan akal secara fitrah. Bukan falsafah yang menyusahkan.
Ruang untuk semua
Ramai orang muda atau profesional yang menghadiri kelas-kelas pengajian saya. Saya katakan kepada mereka hadirlah dengan kebiasaan anda dan fahamilah apa yang hendak disampaikan.

Anda tidak diwajibkan berkopiah, atau berjubah. Pakailah apa sahaja yang anda selesa. Bukan syarat masuk ke masjid mesti berketayap. Jangan kita letakkan syarat hendak memahami agama ini yang bukan-bukan.

Nanti ramai yang tidak sampai maklumat Islam kepadanya. Atau syarat-syarat itu akan menjadi peraturan yang dianggap agama, akhirkan diwajibkan secara tidak sedar. Lihat saja sebahagian wanita Muslimah kita, mereka sekalipun telah menutup aurat, namun jika tidak memakai telekung mereka rasa sukar untuk solat.

Bahkan ada yang rasa tidak boleh bersolat tanpa telekung. Padahal telekung itu, hanyalah budaya Asia Tenggara. Solatlah dengan pakaian anda selagi menutup aurat.
Kehidupan Islam praktikal
Demikian sebahagian buku atau filem menggambarkan seorang saleh dalam rupa yang sempit. Digambarkan insan yang beramal dengan Islam itu terpaksa mengasingkan hidupnya dan beruniform berbeza dengan orang lain.

Ini seperti apabila ditonjolkan watak orang saleh ialah lelaki yang berserban, tangan memegang tasbih sentiasa, tidak bergaul dengan manusia biasa, sebaliknya hanya berjalan sendirian. Itulah wali kononnya.

Adakah Nabi SAW dan para sahabahnya berwatak demikian sehingga kita jadikan itu ciri-ciri orang saleh? Tidakkah berjalan dengan sentiasa memegang tasbih lebih menampakkan ciri-ciri riyak dalam amalan?
Sebab itu al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) mengkritik sebahagian dari sikap ini dengan menyatakan:

"Di kalangan golongan zuhhad (golongan sufi) ada mereka yang memakai baju yang koyak tidak dijahit dan membiarkan serban dan janggutnya tidak berurus untuk menunjukkan dia tidak mementingkan dunia. Ini sebahagian dari riyak (menunjuk-nunjuk)." (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, ms 179-180, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah)

Lebih buruk lagi, penonjolan watak yang seperti itu menjadikan Islam tidak praktikal untuk semua manusia, sebaliknya hanya untuk beberapa kerat manusia ajaib sahaja.

Demikian juga, kadang-kala buku-buku kerohanian menggambarkan untuk mendekatkan diri kepada Allah begitu sukar sehingga seakan tidak akan dicapai oleh manusia biasa.

Pengamal Islam itu seakan manusia maksum seperti malaikat. Bebas dari urusan dunia. Ini boleh mematahkan semangat orang awam dari menghayati Islam.

Padahal Nabi SAW dan para sahabah tidak demikian rupa kehidupan mereka. Sehingga Dr Yusuf al-Qaradawi mengkritik beberapa pandangan al-Imam al-Ghazali RH dengan katanya:

"Apa yang dapat difahami dari himpunan kitab-kitab sufi al-Ghazali yang mengandungi pengaruh kezuhudan yang kuat - sekalipun secara tidak langsung - bahawa insan contoh di sisi al-Ghazali dan golongan sufi secara amnya bukanlah insan yang dikenali oleh para sahabah RA, yang difahami dari al-Quran, al-Sunah dan sirah.

Insan contoh yang difahami oleh para sahabah ialah insan yang menghimpunkan antara dunia dan akhirat, antara hak dirinya dan Tuhannya, antara meningkatkan roh dan berkhidmat kepada masyarakat, antara menikmat nikmat dunia dan bersyukur kepada Allah Taala, antara beribadah dan berjalan serta bertebaran atas muka bumi mencari kurniaan rezeki-Nya, yang bekerja untuk dunia seakan hidup selamanya dan beramal untuk akhirat seakan akan mati esoknya." (Dr Yusuf al-Qaradawi, al-Imam al-Ghazali: Baina Madihih wa Naqidih, ms 164, Beirut: Muassasah al-Risalah)
Mesti bersifat alternatif
Apabila ada wartawan bertanya saya tentang; adakah ubat tertentu haram kerana kononnya ada najis tertentu, saya jawab, begitulah kita berterusan, jika asyik mencari perkara untuk dihukum haram sedangkan dalam masa kita tidak berusaha menjadi pengeluar.

Maka sempitlah umat ini dengan keputusan-keputusan haram dalam banyak perkara. Sebelum menjawab saya ingin kata: kita semua hidup dalam keadaan haram kerana selalu bergantung kepada orang lain dan tidak menunaikan fardu kifayah memerdekakan umat.

Sehingga akhirnya masyarakat dunia kata; kita hanyalah umat yang tahu mengharamkan, bukan menghasilkan produk untuk kebaikan manusia.
Dalam usaha menarik semua lapisan mendekati Islam, marilah kita mempersembahkan kepada masyarakat, Islam yang mudah dan praktikal seperti mana wajahnya pada zaman teragungnya iaitu era Nabi SAW dan para sahabah baginda.

Jika tidak, agama ini akan menjadi begitu eksklusif hanya untuk kelompok tertentu sahaja dan ditinggalkan lautan umat yang dalam kesesakan.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Difitnah blog boleh adu terus pada polis, SKMM
5:25PM Okt 29 2012  
Individu yang difitnah di blog boleh mengadu terus kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan undang-undang, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang.

Menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), beliau berkata kerajaan tidak berbelah bahagi mengambil tindakan kepada mana-mana blog yang menimbulkan dakwaan fitnah terhadap pemimpin tempatan, lapor Bernama.

NONE"Aduan juga boleh dibuat jika ia melibatkan kementerian lain. Dari aduan tersebut, tindakan boleh diambil. Sekiranya disiasat dan didapati tiada yang menyalahi undang-undang, maka tiada tindakan akan dilakukan.

"Kementerian dan pihak berkuasa tidak pilih kasih dan mengambil tindakan sewajarnya untuk semua kes yang dilaporkan," beliau dipetik sebagai berkata dalam Dewan Rakyat.

Sementara itu, agensi berita nasional juga melaporkan, sebanyak 1,585 laman sesawang 'phishing' (aktiviti mendapatkan maklumat rahsia pengguna menggunakan e-mel dan laman web yang menyerupai yang asli) disekat tahun ini.

Joseph berkata, ia daripada sejumlah 1,675 laman sesawang yang disekat, setakat ini tahun ini.

Tahun lepas, sejumlah 1,475 laman sesawang juga disekat sebagai langkah pencegahan, katanya menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) semasa persidangan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 32 kertas siasatan dibuka pada tahun lepas dan sehingga tahun ini, 74 kes lagi telah disiasat untuk kesalahan melibatkan media baru mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tiada ulasan: