Jumaat, 19 Oktober 2012

JANGAN KITA JADI ULAMAK UPAHAN...BERANI TEGUR MUSUH...BILA KAWAN JADI TERKEDU...ALLAH SANGAT2 TAHU MENGHUKUM ORANG@ ULAMAK YANG DOUBLE STANDARD NI

Mengapa Fathul Bari tidak bantah Chua Soi Lek?

Azhar Yahya, 19 Okt 2012
Ketika Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendakwa seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya hudud dilaksanakan di Malaysia. Ramai tertanya-tanya, di manakah Fathul Bari yang dilihat sunyi sepi tidak membantah kenyataan tersebut.
Persoalan ini timbul apabila Fathul Bari sebelum ini banyak mengeluarkan kenyataan mewakili Ulamak Umno dalam berbicara tentang agama.

Sepatutnya kenyataan Datuk Seri Chua ini menjadi perhatian beliau untuk ditegur tanpa lengah kerana ia berkait rapat dengan kesucian Islam dan sensitiviti umat Islam.

Adakah beliau memilih isu menguntungkan sahaja untuk mengulas?

Isu-isu yang merugikan politik Umno ditinggalkan walaupun ia isu yang besar di sisi Islam.

Datuk Seri Chua yang memetik satu SMS oleh individu tidak dikenali sebenarnya menggunakan cara yang sama yang diajar oleh Umno untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia.

Umno menakut-nakutkan orang ramai dengan pelbagai andaian yang karut sekiranya Pakatan Rakyat memerintah. Negara akan muflis, mundur ke belakang dan lain-lain lagi menjadi bebelan Umno ke mana sahaja mereka pergi.

Nampaknya Datuk Seri Chua belajar daripada Umno untuk menakutkan rakyat dengan menghina hukum Hudud. Beliau begitu berani menghina kerana yakin tidak ada sesiapa pun daripada kalangan pemimpin dan Ulamak Umno termasuk Fathul Bari akan menegur dan mengambil tindakan kepadanya.

Beliau yakin Umno dan Ulamaknya tidak akan berbuat apa-apa kerana ia memberi keuntungan kepada politik Barisan Nasional untuk menarik undi orang Cina.

Kalau PAS yang menegurnya, beliau tidak ambil kisah kerana memang sifat PAS yang suka membangkang.

Ini bukan kali pertama Umno dan ulamanya senyap dalam berdepan dengan kenyataan Datuk Seri Chua menghina hudud.

Ketika Datuk Seri Chua menyatakan bahawa Malaysia akan kehilangan pelabur dan negara akan binasa jika Hudud dilaksanakan selepas merasmikan forum mengenai Hudud di Wisma MCA, Umno dan ulamanya juga senyap tidak membantah.

Malah beliau juga menegaskan bahawa hudud tidak adil kepada semua khasnya kaum wanita di samping menyebut bahawa undang-undang Islam adalah kejam.

Mungkin kerana ugutan keras MCA akan keluar Barisan Nasional jika Umno melaksanakan hudud menyebabkan Umno dan ulamanya termasuk Fathul Bari menikus demi kepentingan survival politik mereka walaupun terpaksa menggadaikan Islam.

Penulis ialah Timbalan Ketua Ulamak Pelapis PAS (Pusat).

Kecewa layanan KPM

Hj Saat Hj Sulaiman,
Saya menghadapi banyak karenah birokrasi dalam dunia pendidikan. Anak saya telah digigit oleh seorang murid  sekelasnya  tahun 1 hingga bengkak dan cedera lengan kirinya. Namun tiada tindakan susulan daripada guru sekolah. Cikgu disiplin, guru GPK 1. Guru Besar juga tidak memberi perhatian yang serius walaupun laporan polis telah dibuat. Malah semua guru sekolah tersebut tidak pernah bertanya khabar murid yang digigit. Adakah jika murid tersebut adalah anak Menteri atau seorang berpangkat Datok barulah guru sekolah bertanya khabar?

Lebih menyedihkan, pejabat Agama Tampin Negeri Sembilan dan Pejabat Pelajaran Tampin (PPD)  Negeri Sembilan tidak pernah ambil tahu dan bertanya khabar sedangkan laporan polis telah dibuat pada 25 September 2012. Sehingga hari ini (19 Oktober 2012) tiada seorang pegawai dari kedua-dua pejabat  tersebut membuat tindakan susulan.

Adakah jika murid yang kena gigit anak Menteri atau ayahnya berpangkat Datuk, barulah mereka ambil perhatian? Itulah dunia dua darjat dalam isu pendidikan.

Yang pelik, walaupun kes ini adalah benar, murid yang menggigit masih bersekolah dan tiada sebarang tindakan daripada pihak sekolah, PPD Tampin atau Kementerian Pelajaran Malaysia. Adakah jika murid menggigit 100 orang murid atau menggigit anak Menteri barulah diambil tindakan?

Pada 27 September 2012, saya telah menghantar surat aduan kepada Menteri Pelajaran di Kementerian Pelajaran Malaysia di Putra Jaya, namun saya mendapati surat itu tidak sampai ke tangan YB Menteri Pelajaran.

Setelah mendapat maklumat surat aduan tidak sampai kepada Menteri Pelajaran, penulis menghantar surat kali kedua kepada Pegawai Khas Menteri Pelajaran di tingkat 10, Kementerian Pelajaran Malaysia Putra Jaya pada 9 Oktober 2012, namun sehingga hari ini tiada balasan.

Itulah nasib rakyat biasa seperti saya. Slogan pencapaian diutamakan hanya retorik sampah. Rakyat didahulukan hanya moto gula-gula untuk perbodohkan rakyat.

Saya adalah ahli Umno dan isu ini amat mencabar pandangan politik saya. Sikap sekolah, Pejabat Agama Tampin, Pejabat Pelajaran Tampin serta Kementerian Pelajaran Malaysia amat mendukacitakan.

Mungkin berlaku banyak kes buli di sekolah, namun Kementerian Pelajaran mungkin sengaja menyorokkan kes demi menjaga nama baik sekolah. Berapa ramai ibu bapa tidak membawa kes buli ke Mahkamah kerana miskin dan buta undang-undang?

Saya semakin terkilan apabila mendapati GPK1 yang terlibat dalam kes ini telah dipindahkan sekolah dan dinaikkan pangkat kepada Guru Besar.

Yang menyedihkan lagi pelbagai surat telah dihantar mellaui emel dan faks  kepada beberapa media utama tidak mendapat layanan setimpal. Itulah nasib seorang rakyat biasa yang dilayan seperti sampah.

Hj Saat Hj Sulaiman
Cempaka  Bersatu Ent,
Lot 4740 Kedai  Taman Pasir Besar ,
73400 Gemas Negeri Sembilan

Haram mengundi MCA, Umno bagaimana?

Riduan Mohd Nor, 19 Okt 2012
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik kenyataan keras Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Ali yang membayangkan haram bagi umat Islam untuk mengundi MCA dalam pilihan raya ekoran kenyataan terbaru Presiden MCA berhubung hudud yang didakwa menghina Islam.

DPPM menganggap Perkasa masih mempunyai iman di hati kerana sanggup mempertahankan Islam dengan mengeluarkan kenyataan keras seperti ini meskipun akan dibenci oleh pemimpin Umno BN serta rakan-rakan NGO mereka yang lain.

Setidak-tidaknya Perkasa berani mengeluarkan kenyataan beramaran tersebut yang pastinya akan menyentakkan pemimpin MCA. Kebenaran perlu ditegakkan meskipun ianya pahit untuk ditelan.

Namun demikian DPPM merasa sedih kerana para pemimpin Umno masih diam membatu dan ‘menikus’ untuk bangkit menegur atau mengherdik Presiden MCA itu.

Para ulama dan cendikiawan Islam di dalam Umno juga ramai, tetapi tidak ada seorang pun yang bangkit  lantang menegur pemimpin MCA. Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku dan pemimpin Umno menganggap itu bukan suatu kesalahan.

Di sisi rakyat, kesalahan tersebut adalah suatu penghinaan terhadap agama Islam. Kesalahannya terlalu serius dan tindakan keras perlu diambil terhadap pemimpin seperti ini.

Lebih malang lagi, bukan sekadar tidak menegur, malah Umno masih lagi berkompromi dan menjalinkan kerjasama padu dengan MCA melalui BN. Seolah-olah kenyataan Presiden MCA yang terang-terangan menghina Islam tidak memberi apa-apa kesan terhadap hubungan erat antara mereka.

MCA masih lagi diberi tempat, kerusi, kedudukan bahkan bersuara apa sahaja yang mereka inginkan tanpa sekatan dan teguran dari pemimpin Umno. Apakah nilai pemimpin Islam seperti ini?

DPPM percaya, umat Islam di negara ini merasa malu kerana mendapat pemimpin negara yang begitu lemah sehingga ada pemimpin parti komponennya yang menghina Islam lalu mereka tidak boleh berbuat apa-apa.

Sehubungan itu, DPPM mencabar Perkasa keluarkan kenyataan dan pendirian tegas berhubung sokongan terhadap UMNO dalam Barisan Nasional dalam PRU13.

Jika mengundi MCA dianggap haram, mengundi Umno yang bersekongkol dengan MCA bagaimana pula?

Justeru, Jika benar Perkasa mahu mendaulatkan Islam dan menjaga kesucian Islam, mereka perlu tegas dalam menyatakan ‘amar ma’aruf nahi mungkar’ sekalipun mereka akan dihina dan dicemuh oleh Umno.

Persimpangan ini perlu dipilih dan Perkasa perlu ikhlas dalam menentukan hala tuju perjuangan mereka dengan berpandukan perkara berikut: Mahu menjaga kepentingan agama Islam atau kepentingan politik dan dunia yang sempit sehingga mengundang kemurkaan Allah SWT.

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia 


Umno tidak dakwah Chua Soi Lek isu hudud

Harakahdaily, 19 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Kenyataan berterusan oleh pimpinan MCA mempertikaikan hukum-hakam dan perundangan Islam membuktikan Umno tidak menjadikan perkongsian kuasa Barisan Nasional sebagai medium dakwah.


“Walaupun setelah berpuluh tahun Umno berpakat dengan parti bukan Islam untuk memerintah Malaysia, mereka masih gagal memberi penjelasan tentang Islam yang sebenarnya kepada rakan-rakan politik mereka di kalangan bukan Islam,” kata Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin A. Razali (gambar).

Katanya, kenyataan terkini Presiden MCA, Chua Soi Lek dalam satu video blog mendakwa jika hudud dilaksanakan di negara ini, sebanyak 1.2 juta rakyat Malaysia bakal kehilangan kerja adalah satu lagi bukti kegagalan Umno menyampaikan dakwah Islam.


Hal ini, ujarnya sangat berbeza dengan PAS yang menjadikan Pakatan Rakyat sebagai medium menyampaikan kebaikan Islam dan perundangan Islam kepada bukan Islam.

Beliau berkata, hasilnya dalam tempoh 4 tahun kebelakangan ini tidak sedikit pemimpin bukan Islam dalam DAP dan PKR mula bersikap mesra hukum dan perundangan Islam.


“Keadaan ini membuktikan bahawa Tahaaluf Siyasi yang digagaskan oleh PAS telah berjaya mencapai sebahagian matlamatnya iaitu memperkenalkan Islam kepada bukan Islam.

“Insya Allah sekiranya rakyat memberi mandat kepada PAS menggantikan Umno dakwah Islam akan lebih lancar di negara Malaysia tercinta ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Audit: 13 GLC tak bayar dividen kepada kerajaan

Abdul Aziz Mustafa, 19 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut kerajaan menjelaskan ke mana perginya wang dividen yang tidak dibayar kepada kerajaan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


Katanya, dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 menyatakan hanya 10 dari 23 GLC yang membayar dividen kepada kerajaan.
Pada Laporan Audit Ketua Negara 2010 sebelum ini pula menyatakan sebanyak 37 daripada 47 GLC tidak membayar dividen kepada kerajaan.

"Persoalan terpenting yang perlu kerajaan jawab dan bertanggungjawab ialah ke mana perginya wang itu semua?" kata beliau.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kalau 10 GLC boleh membayar dividen sebanyak RM109.364 bilion kepada kerajaan bagi tiga tahun berturut-turut, tentulah jumlah yang tidak dibayar lebih besar lagi kerana GLC yang tidak membayar dividen lebih banyak dari yang membayar.

Beliau berpendapat, semua jumlah dividen yang tidak dibayar oleh GLC kepada kerajaan itu boleh menampung peratusan yang sangat besar dari anggaran belanjawan tahunan negara.

"Itu belum lagi diambil kira wang lesap akibat ketirisan di mana sebelum ini laporan audit negara menganggarkan ketirisan sehingga RM28 bilion dalam setahun akibat kegagalan pengurusan kewangan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).

"Keadaan bertambah buruk apabila kiraan yang dibuat berdasarkan laporan audit negara 2011 menganggarkan jumlah kerugian yang ditanggung oleh negara berjumlah sekitar RM42.138 bilion," kata Mahfuz.

Beliau menekankan, isu tersebut sangat besar dan kerajaan tidak boleh dibiarkan berdiam diri mengenai perkara itu.

Laporan Audit Negara berkata, Pekeliling Perbendaharaan Bil. 11 Tahun 1993 menyatakan bahawa bayaran dividen sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keuntungan selepas cukai setiap tahun perlu dibayar kepada kerajaan sebagai pemegang saham.

Sekiranya keuntungan lebih diperoleh bagi sesuatu tahun kewangan, peratusan dividen perlu ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi tanpa menjejaskan kedudukan kewangan syarikat.

Laporan itu menambah, sehingga tarikh pengauditan pada bulan Mei 2012, adalah didapati 14 atau 29 peratus syarikat daripada 47 syarikat telah membayar dividen bagi tahun kewangan 2010 yang berjumlah RM49.488 bilion.

Daripada jumlah tersebut 10 syarikat memperolehi keuntungan dan membayar dividen selama tiga tahun berturut-turut berjumlah RM109.364 bilion, menurut laporan itu.

Kerajaan Kedah tangguh pelaksanaan AES

Wan Nordin Wan Yaacob, 19 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah mengambil pendirian menggunakan kuasa negeri untuk menangguhkan sementara pelaksanaan Sistem Kamera Penguatkuasaan Automatik (AES) hingga taklimat dan kajian dibuat ke atas sistem itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Kedah, Dato' Ir Phahrolrazi Zawawi, keputusan itu dibuat setelah mendengar keluhan rakyat yang tertekan dengan pelaksanaan sistem AES oleh Kerajaan Pusat.

Bercakap kepada Harakahdaily, Phahrolrazi menegaskan, denda dan kaedah yang digunakan dalam sistem AES ini amat membebankan rakyat.

"Rakyat merungut, rakyat tertekan dengan sistem ini.Kita ambil pendirian sama dengan negeri Pakatan Rakyat yang lain untuk tangguh hingga penjelasan membabitkan agensi berkaitan dibuat, dan kajian dilaksanakan," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundor.

Malahan pula kata beliau,  Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masih tidak meluluskan lagi penggunaan atau pemasangan AES di kawasan membabitkan hak PBT di sana.

Ditanya samada keputusan itu adalan keputusan bersama pimpinan kerajaan Negeri Kedah, beliau memaklumkan ianya telah dibincang di peringkat PAS Negeri dan makluman kepada Pesuruhjaya, Dato' Seri Azizan Razak selaku Menteri Besar Kedah.

"Kita tunggu taklimat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Kementerian Pengangkutan dan dua syarikat terbabit dalam AES ini," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Mengulas keputusan itu, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar pula menyokong penuh pengumuman itu memandangkan rakyat menolak pelaksanaan kamera AES yang dikatakan akan mengkayakan kroni.

Kata beliau lagi, sistem tersebut hanyalah sebagai sandaran pemimpin BN untuk mendapat laba hasil kontrak yang bernilai RM717 juta tidak termasuk saman yang dikenakan ke atas pengguna jalan raya.

"Ini kaedah mereka nak ragut wang rakyat, nak bagi kepada kroni.Sebab itu kita di Kedah tidak mahu ia diteruskan," katanya.

Sementara itu Pengguna Lebuhraya Lembah Klang (SKVE)  mendesak kerajaan mengalihkan kamera AES daripada laluan Hospital Serdang ke lokasi lain yang lebih sesuai.

Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Serdang, Mohd Sharifudin Johan berkata, kerajaan perlu mengkaji semula pemilihan lokasi dan had laju bersesuaian untuk pelaksanaan sistem itu.

"Dalam keadaan kecemasan terutamanya membawa pesakit ke hospital kelajuan 80 kilometer sejam adalah tidak wajar. Kami minta kerajaan mengkaji semula pelaksanaan sistem ini di lokasi bersesuaian,” katanya dalam satu laporan akhbar tempatan.

Pelaksanaan AES sejak dua minggu lalu mendapat reaksi negatif daripada pengguna jalan raya berhubung lokasi alat tersebut tidak relevan dengan situasi jalan raya.

Banyak persoalan isu wang RM40 juta dari Hong Kong

Harakahdaily, 19 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Banyak persoalan menuntut jawapan tentang wang ‘seludup’ RM40 juta dari Hong Kong ke Malaysia yang berakhir sebagai ‘sumbangan kepada Umno Sabah’.
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini berkata, sepatutnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menjelaskan di Parlimen pada hari Isnin sewaktu peringkat jawatankuasa perbahasan Belanjawan 2013 di Jabatan Perdana Menteri.

Baginya, Nazri Aziz telah menjerut dirinya dalam percanggahan apabila beliau mengatakan bukan SPRM ICAC Hong Kong yang membersihkan nama Datuk Seri Musa Aman daripada kes rasuah wang ‘seludup’ RM40 juta dari Hong Kong pada Ogos 2008.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz telah menjerut dirinya dalam percanggahan apabila beliau mengatakan di Parlimen semalam bahawa bukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) Hong Kong yang membersihkan nama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman daripada kes rasuah wang ‘seludup’ RM40 juta dari Hong Kong pada Ogos 2008.

Menjawab soalan tambahan oleh Ahli Parlimen DAP Cheras, Tan Kok Wai, Nazri berkata di Parlimen semalam:

“Yang Berhormat bercakap tentang wang yang dibawa masuk daripada Hong Kong. Saya hendak sebut di sini itu bahawa siasatan yang dijalankan bukan daripada SPRM. Siasatan dijalankan oleh ICAC iaitu Hong Kong yang terkenal dengan penyiasatan without fear or favor. ICAC telah pun menyatakan itu bahawa tidak ada kes rasuah di sini. Soal sumbangan kepada mana-mana pertubuhan pun tidak ada kesalahan. Kalau macam mana-mana parti pun hendak menerima wang tidak ada kesalahan, boleh terima orang hendak sumbang bagilah, apa salahnya.”

Akan tetapi, Nazri menceritakan perkara yang berlainan dalam jawapan bertulisnya kepada Ahli Parlimen PKR Batu, Chua Tian Chan minggu lepas berkenaan perkara yang sama iaitu:

  1. 1. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Jabatan Peguam Negara telah meneliti dan mempertimbangkan keterangan yang dikemukakan oleh SPRM dan memutuskan bahawa elemen perbuatan rasuah tidak dibuktikan. Dana tersebut ialah sumbangan yang dibuat kepada Badan Perhubungan UMNO Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian Ketua Menteri.

2. Pada masa yang sama kes tersebut telah turut disiasat oleh Independent Commission Against Corruption Hong Kong (ICAC). Berdasarkan siasatan ICAC berkaitan kes ini dan keputusan siasatan SPRM yang tersebut diatas, ICAC juga tidak mengambil apa-apa tindakan lanjut.

3. Mengenai kes yang turut difailkan di Mahkamah Switzerland,  ia merupakan permohonan Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (MACMA) oleh ICAC bagi tujuan menyiasat perkara yang sama. Permohonan MACMA ini juga telah ditarik balik atas alasan yang sama yang dinyatakan diatas.

Daripada jawapan bertulis Nazri minggu lepas, kes tentang mata wang Singapura bernilai RM40 juta di dalam bagasi seorang ahli perniagaan Sabah, Michael Chia yang cuba diseludup keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada 14 Ogos 2008 bolehlah disimpulkan seperti berikut:

1.    Peguam Negara Tan Sri Gani Patail berdasarkan kertas siasatan yang diserahkan kepadanya membuat keputusan “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” dan bukannya ICAC Hong Kong.

2.    Walaupun ICAC turut melakukan siasatan-siasatan mereka sendiri, ia berdasarkan keputusan Peguam Negara dan siasatan SPRM yang menunjukkan “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” dengan itu ICAC tidak meneruskan sebarang tindakan lanjut. Itu sangat berbeza daripada apa yang Nazri katakan semalam bahawa ICAC yang membersihkan nama Musa daripada pertuduhan rasuah dan SPRM menurutinya!

3.    Berdasarkan keputusan Peguam Negara bahawa “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” maka ICAC menarik balik permintaannya kepada pihak berkuasa Switzerland memohon kerjasama dalam “urusan melibatkan jenayah” yang telah dilaporkan terhadap sebuah akaun bank Swiss.

Banyak persoalan menuntut jawapan tentang wang ‘seludup’ RM40 juta dari Hong Kong ke Malaysia yang berakhir sebagai “sumbangan kepada UMNO Sabah”, yang sepatutnya Nazri jelaskan di Parlimen pada hari Isnin sewaktu peringkat jawatankuasa perbahasan Belanjawan 2013 di Jabatan Perdana Menteri, termasuklah:

Pertama sekali, bilakah SPRM menghantar kertas siasatan tentang wang ‘seludup’ RM40 juta itu kepada Peguam Negara? Bilakah Peguam Negara membuat keputusan “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” lalu menutup fail? Adakah SPRM bersetuju sepenuhya dengan Peguam Negara bahawa  “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” dalam kes itu, jika begitu, bilakah SPRM sendiri sampai kepada kesimpulan sedemikian?

Bagaimana dengan arahan Panel Penilai Operasi SPRM kepada SPRM dalam mesyuaratnya pada bulan Mei untuk mengumpul bukti lanjut terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman sebelum dibawa untuk pendakwaan yang kemudiannya Peguam Negara dapati “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” terhadap Musa dalam kes wang ‘seludup’ RM40 juta dari Hong Kong?

Arahan Panel Penilai Operasi SPRM kepada SPRM dalam mesyuaratnya berkaitan dengan siasatan SPRM terhadap pertuduhan rasuah ke atas Musa Aman hanya didedahkan awal bulan ini oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Mohd Shukri Abdul seperti yang dilaporkan Malaysiakini dalam berita bertajuk “Anti-graft panel wants more evidence against Sabah CM”.

Bolehkah disimpulkan bahawa sehingga awal bulan ini, SPRM tidak sedar bahawa Peguam Negara telah membuat keputusan yang “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” terhadap Musa Aman?

Kedua, bilakah ICAC Hong Kong dimaklumkan mengenai keputusan “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” oleh Peguam Negara dalam kes wang “seludup” RM40 juta Michael Chia dan bilakah pula ICAC menarik balik permohonan kepada pihak berkuasa Switzerland meminta kerjasama bagi sebuah pertuduhan serius penggubahan wang haram terhadap UBS, bank terbesar Switzerland, berikutan laporan pendedahan dokumen-dokumen yang mengaitkan Musa Aman dengan akaun rahsia bank UBS di Hong Kong dan Zurich?

Tiada ulasan: