Rabu, 31 Oktober 2012

SENTIASA BETUL...SERTA BIJAK@PANDAI..ORANG LAIN@PIHAK LAIN... SALAH DAN DIPERSALAHKAN...DAN BODOH LAGI KURANG BIJAK...AGAK TAK BIJAK CARI DUIT TERPIJAK

CAP gesa haramkan shisha mudarat kesihatan
Posted on Tuesday, October 30 @ 07:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Oleh Harakah

KUALA LUMPUR: Gejala menghisap shisha yang semakin menular dalam kalangan remaja masa kini dan kewujudan premis serta kedai yang menyediakan kemudahan menghisap shisha perlu diberi perhatian serius dengan segera oleh pihak berkuasa kesihatan dan majlis perbandaran.

“Langkah ini perlu diambil dengan segera memandangkan menghisap shisha ini dikatakan sama bahayanya dengan menghisap rokok,” kata Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris (gambar) dalam satu kenyataan.
Katanya, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), amalan menghisap hookah atau shisha mempunyai risiko kesihatan yang sama seperti merokok atau menggunakan produk tembakau lain.
Beliau berkata, penghisap shisha biasanya menyedut asap sebanyak 50 hingga 200 kali atau selama 20 minit hingga 80 minit yang dianggarkan sebanyak 0.15 liter hingga satu liter.
Menurutnya, mereka yang menghisap rokok selalunya menyedut sebanyak lapan hingga 12 kali dan mengambil masa hanya lima hingga tujuh minit serta menyedut 0.5 liter hingga 0.6 liter asap.
Jelas beliau lagi, dalam satu laporan oleh sebuah akhbar tempatan yang memuatkan temubual dengan seorang pengamal perubatan mengenai bahaya menghisap shisha, dikatakan penghisap shisha turut boleh mengalami ketagihan seperti penghisap rokok biasa, kerana penggunaan tembakau sebagai bahan utama sememangnya membahayakan kesihatan.
Beliau menambah, penggunaan arang dalam peralatan dalam peralatan untuk menghisap shisha boleh meningkatkan masalah paru-paru berikutan arang yang digunakan boleh mendap dalam saluran pernafasan si penghisap.
“Air didihan yang digunakan juga tidak dapat menapis toksin yang ada, memandangkan shisha turut mengandungi nikotin dan karbon dioksida yang terdapat dalam rokok biasa, penggunaan berterusan hanya akan memudaratkan kesihatan dalam jangka masa penjang,” ujarnya.
Sehubungan itu, kata beliau CAP menggesa pihak berkuasa supaya mengharamkan penggunaan shisha dan pihak berkuasa tempatan tidak lagi mengeluarkan lesen perniagaan terhadap premis yang mempunyai kemudahan untuk menghisap shisha.
“Tindakan tegas perlu diambil segera memandangkan penggunaan shisha boleh memudaratkan kesihatan,” katanya lagi.

 Isteri Muda Tendang Ketua Menteri Sarawak Di Khayalak Ramai?
Posted on Monday, October 29 @ 18:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Blog novandri


Satu berita tentang Ketua Menteri Sarawak tersebar di dalam internet. Di dakwa berlaku pergaduhan di antara TS Taib Mahmud dengan isteri beliau.

Sila baca printscreen di bawah :


Laporan tersebut telah disiarkan di dalam Sarawak Report. Lihat di bawah :


MiM berharap agar ada pihak yang tampil menjawab laporan Sarawak Report itu. 


 


 Tidak Masuk Akal Azmin Jadi MB Selangor?
Posted on Wednesday, October 31 @ 09:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Oleh WFAUZDIN NS

MUSUH samada dari dalam mahu pun dari luar terus mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan Timbalan Presiden PKR, YB Azmin Ali dengan MB Selangor YAB Tan Sri Khalid Ibrahim. Sudah tentu sesiapa pun yang suka kepada corak kepimpinan YB Azmin akan impikan tokoh ini menjadi MB Selangor, begitu juga bagi mereka yang terpesona dengan pentadbiran TS Khalid akan terus berharap bekas tokoh korporat ini dikekalkan di kerusi beliau sekarang.


Azmin Ali - Timbalan Presiden PKR

Itu lumrah di dalam politik. Tidak menjadi salah jika mana-mana ahli yang mahukan tokoh itu atau tokoh ini diberi peluang ke jawatan yang lebih tinggi. Apa yang kurang cerdiknya, di dalam kita berusaha untuk menaikkan tokoh yang kita minati, kita secara tidak sedar turut mencederakan parti sendiri. Ertikata lain, jangan cipta isu yang boleh digunakan musuh hanya kerana kita mahu tokoh pujaan kita berada di puncak.

Kadangkala aku merasa pelik dan hairan, di mana lojiknya beberapa pihak yang mahukan YB Azmin menggantikan TS Khalid? Bukan bermakna aku tidak suka kepada YB Azmin untuk menjadi MB Selangor, tetapi aku merasakan kerusi MB Selangor tidak wajar diberikan kepada Timbalan Presiden PKR ini. Lojikkah pada akal, Timbalan Presiden parti diberi jawatan MB? Atau, adakah kita tidak yakin PR akan ke Putrajaya maka kita mencongak sedemikian?

TS Khalid Ibrahim - MB Selangor yang dapat pujian dari Ketua Audit Negara

Sekiranya, InsyaAllah, PR ke Putrajaya adakah selayaknya Timbalan Presiden PKR ini diberi jawatan hanya sebagai MB? Jangan terlalu merendahkan YB Azmin di dalam masa yang sama kita mahu menjatuhkan TS Khalid. Apakah hampir sepenggal ini TS Khalid tidak boleh membuktikan apa-apa kepada kita khususnya kepada rakyat di Selangor? Amat rugi jika tokoh hebat ini dilepaskan dari kerusi yang beliau duduki sekarang sebagaimana rugi besar juga jika Timbalan Presiden PKR hanya diberi kerusi MB.

Sehubungan itu, berfikirlah dengan bijak. Jangan percaturan politik kita bisa menghancurkan perpaduan di dalam parti. Kita mesti akur setiap tokoh atau pemimpin mereka juga mempunyai para penyokong sendiri dan sudah tentu para penyokongnya mahu melihat tokoh mereka akan berada di tempat yang terbaik. Maka sama-samalah kita menghormatinya./wfauzdin.blogspot.com
 Israiliyyat: Penceramah Mencemarkan Al-Quran
Posted on Wednesday, October 31 @ 10:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Oleh Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Melihat sesetengah penceramah televisyen atau di luar televisyen berceramah agama dengan menyelitkan kisah nabi-nabi atau wali-wali yang entah dari mana dikutipnya, amatlah merisaukan hati. Sebahagian kisah-kisah yang disebutkan itu tidak mempunyai sebarang sandaran agama yang diiktiraf dari segi disiplin periwayatan. Kebanyakannya adalah Israiliyyat. Lebih malang lagi, sebahagian kisah-kisah itu kelihatan seperti mitos atau kartun semata. Apabila ianya jika dikaitkan dengan Islam, maka hilanglah kehebatan agama wahyu yang agung dan berwibawa ini.

Secara umumnya Israiliyyat adalah kisah-kisah yang bersumberkan maklumat Yahudi atau Bani Israil. Bukan sedikit juga riwayat-riwayat tersebut yang terselit atau disebutkan dalam buku-buku umat Islam. Para ulama hadis sentiasa memperingatkan umat tentang bahaya ini. Banyak riwayat atau kisah Israiliyyat hanya mencemarkan agama. Namun ramai penceramah tidak dapat membezakan antara israiliyyat.

Cakap Orang Tua Tak Semua Betul
Dunia semakin canggih, teknologi berkembang di luar dari igauan generasi yang lalu. Banyak perkara yang tidak wujud pada masa generasi lalu, ia adalah kenyataan hidup generasi hari ini. Sikap, pendirian dan pendekatan juga berubah. Dahulu apa yang dinyatakan oleh orang tua-tua kesemuanya tidak dibantah. “Orang tua selalu betul”. Hari ini barangkali tidak. Mungkin pandangan orang tua-tua dalam sesetengah perkara dianggap ‘ketinggalan bas’.
Dahulu cakap orang yang bergelar ustaz atau tok guru tidak akan dibantah. Bahkan dianggap berdosa jika membantah dan melawan. Maka segala perbuatan ustaz atau tok guru dianggap agama. Mereka bagaikan wakil ‘tuhan’ yang tidak dipertikaikan firmannya. Ucapan mereka diterima bulat-bulat. Bagaikan Rasul yang maksum. Justeru, sekalipun ‘mandi safar’ itu syirik, namun oleh kerana jampi menteranya ditulis oleh ‘ustaz’, maka sekian lama kepercayaan itu menjalar dalam masyarakat melayu. Tepung tawar pelepas bala bukan ajaran Islam. Bahkan ia mempunyai nilai-nilai syirik yang jelas. Namun, dahulu ramai yang membuatnya. Sebabnya kerja ini di’francais’ oleh yang bergelar ustaz atau mungkin yang bergelar tok guru. Perkara yang ‘sewaktu‘ dengan semua itu bukan sedikit telah berlaku dalam masyarakat kita. Namun hari ini perkara-perkara tersebut banyak yang sudah pupus. Generasi baru sudah mula celik.

Sains Menolak Dongeng
Hari ini dunia lebih moden. Generasi baru mendapat pendidikan yang luas. Pendidikan dan pengetahuan moden selalu menuntut setiap perkara dikemukakan berdasarkan fakta dan angka. Maka tidak hairan jika generasi moden mula mempersoalkan banyak perkara-perkara yang dianggap berakar umbi dalam masyarakat sekalipun atas nama agama. Dahulu barangkali seorang ustaz di masjid boleh menceritakan berbagai riwayat Israiliyyat dengan selesa. Sehingga timbul kisah Nabi Sulaiman dan Sang Kancil. Watak seorang nabi diperkatunkan sehingga hilang kehebatan perjuangannya. Hari ini kisah-kisah itu dipertikaikan sumber dan ketulenannya. Mereka mungkin menaiki kereta ‘kancil’, tetapi mereka tidak menerima watak lucu itu dikaitkan dengan seorang nabi yang mempunyai tugasan dakwah yang agung.
Dahulu barangkali seorang ustaz apabila tiba 10 Muharram atau ‘asyura boleh bercerita dengan bebas tentang bubur Nabi Nuh di atas kapal dengan berkempen orang ramai memasak bubur tersebut untuk dimakan. Hari ini, generasi baru akan bertanya ketulenan kisah itu dan rasional untuk kita melakukannya. Nabi Nuh a.s. dihantar bukan sebagai seorang chef untuk memperkenalkan resepi bubur. Dia adalah seorang nabi yang mempunyai mesej dakwah yang besar. Mereka mungkin sudi memakan bubur tersebut. Tetapi tidak sanggup perkara itu dikaitkan sebagai satu arahan Islam yang agung ini. Dahulu barangkali seorang ‘ustaz’ boleh bercerita dengan bebas jampi penyeri wajah naik pelamin Nabi Yusuf. Hari ini perkara seperti itu tentu dipertikaikan.

Dahulu, ada yang mempercayai cerita sesetengah ustaz atau lebai bahawa: “Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu. Batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.”
Pengetahuan moden sama sekali menolak kepercayaan ini. Kita menganggap ini adalah riwayat palsu. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) ketika mengulas riwayat ini:
“Yang peliknya ada orang yang sanggup menghitamkan buku-bukunya dengan perkara-perkara merepek ini”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Al-Manar al-Munif, m.s.78, Syria: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah)
Kata Abu Syahbah :
“Ini adalah rekaan ahli kitab bertujuan menghina para rasul” (Abu Syahbah, Al-Israiliyyat wa al-Maudu`at fi Kutub al- Tafasir. m.s 305, Kaherah: Maktabah al-Sunnah)

Malangnya, ada golongan agama dahulunya mempercayai perkara ini. Mereka menyangka bahawa dunia berada di atas tanduk lembu dan lembu itu berada atas ikan nun seperti yang ditambah dalam riwayat palsu yang lain. Ini adalah karut, menyanggahi hakikat yang diterima secara yakin bahawa bumi ini terapung-apung di angkasa.
Fokus Tajdid
Kita menyeru kepada tajdid (pembaharuan). Kita menentang hal ini. Kita katakan, kelemahan pengetahuan orang ramai masa kini untuk membezakan antara isi al-Quran yang sebenar dengan riwayat Israiliyyat boleh membawa mereka salah faham terhadap al-Quran dan ragu-ragu terhadap inti kandungannya. Tambahan pula, pengetahuan manusia moden yang telah banyak menolak bentuk-bentuk khurafat.
Ini disebabkan mereka tidak mempunyai kaedah yang jelas dalam membezakan antara kisah-kisah yang termuat dalam buku-buku tafsir dan kisah-kisah al-Quran yang asal. Mereka akhirnya menyangka al-Quran menghidangkan kisah-kisah lucu, atau ada kandungan al-Quran yang bertentangan dengan fakta sains seperti contoh-contoh yang disebutkan tadi. Kata guru saya iaitu seorang tafsir yang terkenal Solah `Abd al-Fattah al-Khalidi :
“Telah berlaku kesalahan sebahagian pengkaji, penulis dan penceramah dari kalangan muslimin dalam melihat kisah-kisah umat yang lalu di dalam al-Quran. Sekalipun dengan niat yang baik, namun mereka telah menyanggahi metodologi yang betul dan lurus dalam mengkaji kisah-kisah tersebut. Mereka telah mempersembahkan kepada para pembaca dan pendengar timbunan daripada berbagai pendapat, kisah, riwayat dan pendetilan kisah. Kesemuanya tidak lebih dari kisah-kisah karut, batil, palsu yang mereka ambil daripada sumber-sumber yang diselewengkan lagi batil, ia adalah al-israilliyyat dan kisah-kisah ahli kitab”.( Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, Ma`a Qasas al-Sabiqin fi al-Quran 1/31, Damsyik: Dar al-Qalam.)

Di saat dunia semakin canggih dan moden. Kepercayaan sebahagian manusia terhadap kebanyakan agama semakin tercemar disebabkan karut-marut yang telah membaluti kebanyakan kepercayaan. Hanyalah Islam, agama yang menolak khurafat, tahyul dan karut-marut yang tiada asasnya. Ini membuktikan hanya Islam sahaja, yang dapat menghadapi perkembangan tamadun kebendaan. Tamadun yang bersedia mempertikaikan apa sahaja termasuklah ketuhanan. Islam yang tulen tetap utuh, kerana mesej dan tujuannya jelas tidak dicemari oleh kekarutan. Inilah mesej al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Malangnya ada di kalangan umat, terutama para pendakwah dan penceramah yang kurang berhati-hati mencemarkan al-Quran dengan kisah-kisah israiliyyat dan rekaan yang merosakkan agama.
Fokus kisah-kisah al-Quran adalah pengajaran, bukan untuk melalut dan meracau dalam perkara-perkara yang tiada kaitan dengan pengajaran. Israiliyyat telah memalingkan manusia dari memberikan tumpuan kepada inti-kandungan pengajaran kepada unsur-unsur yang tidak bermanfaat. Apatah lagi tidak dikenalpasti pula sejauh kebenarannya. Bahkan sebahagian besarnya adalah karut marut dan bohong. Kisah Luqman umpamanya, al-Quran hanya menyebut sesuatu yang bermanfaat dan dapat dicontohi. Firman Allah :

(maksudnya): Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): “Bersyukurlah kepada Allah”. Dan sesiapa yang bersyukur, maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Surah Luqman: 12)
Demikian insan apabila membaca ayat ini akan tahu pengajaran yang dapat dicontohi dari Luqman ialah bersyukur dengan kurniaan kebijaksanaan yang Allah berikan. Selepas ayat ini, Allah menceritakan nasihat-nasihat Luqman yang berguna kepada anaknya. Nasihat-nasihat tersebut banyak pengajarannya. Antaranya ia adalah nasihat yang berkualiti yang terbit dari orang yang diberikan hikmah. Hikmah itu membawa insan mengenali hakikat kebaikan yang tulen. Ini terserlah dalam isi kandungan nasihat-nasihat tersebut. Nasihat-nasihat itu juga adalah sukatan pendidikan yang bermutu dan tepat. Namun Israiliyyat menyibukkan pembaca al-Quran dengan perkara-perkara lain dari ini semua. Menurut Israiliyyat, Luqman adalah seorang lelaki hamba abdi berketurunan Habsyi, seorang yang pendek, hidungnya penyek, bibirnya tebal, lebar tapak kakinya dan berbagai lagi.( lihat: Salah al-Khalidi, Ma’ Qasas al-Sabiqin, 3/150)
Tambahan Israiliyyat ini, hanyalah memalingkan pembaca al-Quran daripada tujuan utama al-Quran yang menghidangkan kisah tersebut sebagai suatu pengajaran dan pengiktibaran yang dapat dimanfaat oleh semua kepada perbincangan yang belum tentu ada faedahnya. Apakah faedah besar untuk pembaca al-Quran jika dia mengetahui Luqman berkulit hitam, berbangsa Habsyi, berhidung penyek?!. Apakah dia boleh meniru itu semua jika Allah telah mentakdirkannya berkulit putih, berhidung mancung dan tidak berbangsa Habsyi. Apakah itu tujuan kisah yang dibawa?! Atau tujuannya mengkisahkan seorang hamba Allah yang diberi hikmah dan dia diperintahkan bersyukur kepada tuhannya. Lalu dipersembahkan hikmah dan syukur itu dalam suatu sukatan pendidikan yang membentuk insan yang rabbani.

Kata Salah al-Khalidi dalam karangannya yang lain:
“Cerita dan sebutan al-Quran mengenai umat terdahulu, kisah-kisah dan berita mengenai mereka bukan dengan cara pendetilan huraian. Al-Quran tidak mendetilkan tentang masa, atau tempat, atau watak, atau memperincikan cerita. Tidak diceritakan setiap kejadian, atau episodnya, atau bahagian-bahagiannya. Ia tidak pula melengkapkan (setiap episod), mendetil, menghuraikan dengan panjang lebar peristiwa-peristiwa yang berlaku, setiap pergerakan watak-wataknya dan latarbelakang peristiwa. Al-Quran tidak melakukan ini semua. Ini kerana bukan tujuan al-Quran untuk mendetilkan kisah-kisah tersebut. Sebaliknya tujuan al-Quran untuk membentangkan kebenaran dan menentukan nilaian dan pemikiran, mengambil pengiktibaran, pengajaran dan panduan. Juga mengambil manfaat dari panduan-panduan yang terdapat dalam kisah-kisah tersebut. Ini semua terlaksana dengan kadar dan cara yang telah dibentangkan oleh al-Quran.
Para pembaca dan pengkaji al-Quran yang mengambil riwayat Israiliyyat dan cerita-cerita dongeng sepatutnya berpegang dengan tujuan al-Quran bagi kisah-kisah umat yang lalu. Mereka sepatutnya mengambil faedah dari method al-Quran dalam melihat dan menghuraikan kisah-kisah tersebut. Mereka sepatutnya menumpukan kepada inti panduan dan pengajaran. Mereka tidak sepatutnya mengambil sumber-sumber yang berasal dari manusia yang bersifat lemah dan jahil. Lalu mereka mencari pendetilan apa yang diterangkan al-Quran secara umum, cuba menjelaskan apa yang al-Quran samarkan dan menceritakan apa yang al-Quran diamkan. Alangkah baiknya jika mereka ini dapat mencari dari sumber yang dipercayai. Barangkali boleh memberikan mereka ilmu yang dipercayai dalam hal ini. Malangnya mereka mencari dari sumber yang yang diselewengkan, dusta (Israiliyyat) dan mengambil dari manusia kafir lagi zalim yang menyelewengkan agama mereka (Yahudi)..”. (Al-Khalidi, Salah ‘Abd al-Fattah, Mafatih li Taa’mul ma’ al-Quran, m.s. 85, Jordan: Maktabah al-Manar)
Di zaman kini, manusia banyak mengkaji dan mengetahui perkara-perkara baru. Maklumat berkembang begitu pantas dan tangkas. Masa untuk insan muslim membaca al-Quran juga terganggu dengan urusan dan kerja yang sentiasa mengasak dan mendesak. Untuk memahami al-Quran, insan muslim tentu memerlukan lebih kesungguhan iman dan kehendak yang jitu bagi memperuntukkan waktu yang dianggap amat berharga dan selalu memburu. Jika waktu yang terhad itu dibazirkan dengan kisah-kisah Israiliyyat yang termuat di dalam karangan atau huraian sesetengah penulis dan penceramah, tentulah fokus yang wajib diberikan kepada inti asal al-Quran akan tergadai. Apatah lagi kisah-kisah Israiliyyat itu sebahagiannya mencemarkan wajah agama di hadapan fakta sains dan maklumat.
Mengelirukan Wajah Islam
Orang-orang Barat jika mereka tidak jelas antara Israiliyyat dengan inti kandungan asal al-Quran, boleh menyebabkan mereka menganggap Islam mengandungi ajaran-ajaran yang bercanggah dengan penemuan sains yang dibuktikan kebenarannya. Maka mereka akan memandang lekeh kepada Islam lalu menolak dan mempertikaikannya. Apa tidaknya, jika mereka mendengar sesetengah ‘ustaz’ di Malaysia ini yang menyatakan umur dunia ialah 7000 tahun. Alangkah terperanjatnya mereka kerana para saintis yang mengkaji umur kehidupan di atas muka bumi menyatakan ia sudah mencapai jutaan tahun. Mereka akan tertanya: inikah Islam yang bersumberkan wahyu yang sebenar?!! Sedangkan mereka tidak tahu bahawa itu semua adalah riwayat Israiliyyat. Abu Syahbah menyatakan bahawa riwayat yang menyatakan Nabi melihat usia dunia berusia 7000 tahun adalah Israiliyat dan dusta, tidak kaitan dengan Islam. (Lihat: Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dau al-Quran wa al-Sunnah, 1/14, Damsyik: dar al-Qalam)

Benar seperti kata Dr.Yusuf al-Qaradawi:
“Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk dibersihkan”. Katanya juga: “Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka memasukkan riwayat israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu israiliyyat telah mencekik kitab-kitab kaum muslimin”.( Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyyah, 41, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Nafas baru perlu diberikan kepada penafsiran al-Quran demi generasi baru. Nafas itu membawa kita kembali kepada wajah Islam yang asli dan tulen.
PKR umum calon PRU13 berperingkat
RUZY ADILA IDRIS
31 Oktober 2012
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli
SHAH ALAM – PKR akan mengumumkan calon-calon yang bakal bertandingpada PilihanRaya Umum ke-13 (PRU13) secara berperingkat-peringkat.
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, pengumuman tersebut hanya membabitkan calon-calon yang dilihat mampu memberi impak positif terhadap kempen parti itu.
“Pengumuman itu akan dibuat bergantung kepada kesesuaian keadaan ataupun waktu yang orang tidak akan sangka. Mungkin sewaktu siri Jelajah Merdeka, mungkin selepas majlis mesyuarat tertinggi ataupun ketika dalam siri ceramah parti.
“Senarai penuh pula akan diumumkan sebaik Parlimen dibubarkan dan sehingga waktu itu, saya percaya PKR sudah mengumukan hampir semua calon yang bakal bertanding,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Sebelum ini, Timbalan Presiden, Azmin Ali berkata, walaupun parti itu belum memutuskan masa yang sesuai untuk mengumumkan calon tetapi Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ada membuat beberapa pengumuman tentang beberapa calon parti itu.
Ahad lalu, kata Azmin, Anwar turut mencadangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.
Sebelum ini, Rafizi diumumkan sebagai bakal calon parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen Pandan.
Sementara itu, mengulas mengenai persiapan untuk bertanding di Parlimen Pandan, Rafizi mengakui sudah membuat persiapan sejak setahun lalu dan beliau akan membawakan dua isu utama dalam kempen pilihan rayanya itu.
Jelas beliau, isu utama yang bakal digunakan untuk berkempen adalah mengenai perubahan politik nasional yang perlu dilakukan pengundi iaitu untuk mengubah kerajaan dan isu prestasi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam membekalkan air berkualiti di negeri Selangor.
“Isu-isu perbandaran seperti kemiskinan bandar dan hal-hal lain sudah dibawa oleh Kerajaan Negeri Selangor selama ini, cuma fokus saya adalah dua perkara itu.
“Saya juga yakin dan bersedia terutamanya jentera, bahan kempen dan gerak kerja parti telah bersiap sedia 80 peratus untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa,” katanya lagi.
Mengakui kekuatan lawannya iaitu, bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat yang dilihat ‘kuat’ di kawasan parlimen itu, Rafizi berkata, beliau berpandangan bahawa parti merasakan beliau merupakan salah seorang calon Melayu yang dikenali pengundi Cina.
Katanya, sejak setahun lalu, beliau terus mendapat liputan meluas media termasuk media berbahasa Cina dalam membongkar beberapa isu yang menggemparkan negara.
“Mungkin sebab itu agaknya saya dipilih untuk bersaing dengan ‘otai’ Barisan Nasional (BN) itu,” katanya lagi.

 
SAMM rakam pujian buat kerajaan negeri yang tangguh/halang AES
Posted on Wednesday, October 31 @ 08:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Oleh Yaser Sheikh Abd Rahman

Pelaksanaan AES terus mendapat bantahan termasuk beberapa pihak dari sebelah regim penguasa namun regim terus berkeras untuk melaksanakan. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan ini memuji tindakan Kerajaan Negeri Kedah, P.Pinang, Selangor dan Kelantan yang telah mengumumkan penangguhan sistem ini dilaksanakan di negeri - negeri tersebut.

SAMM juga mencabar negeri lain untuk mengikuti langkah berani negeri yang menghalang pelaksanaan AES demi menjaga kepentingan penduduknya.

kenapa bazirkan wang rakyat ? hujah AES tak guna wang rakyat tipu !
Regim berhujah tidak ada wang negara (wang rakyat) digunakan dalam perlaksanaan AES, ini satu pembohongan. Lihat gambar yang didedahkan oleh seorang peguam KASE, Zul Hazmi dalam laman sosialnya wujud kenderaan JPJ khusus untuk perlaksanaan AES. Adakah kenderaan ini tidak guna wang rakyat, seharusnya 'mobile unit AES' ini diwujudkan oleh syarikat yang membuat untung beratus juta itu bukan habiskan peruntukan wang rakyat melalui JPJ lagi.
dah terlaksanan AES baru nak bagi tender advokasi ? Kenapa tidak syarikat yang untung juta itu saja yang keluar peruntukan sedikit untuk membayar propaganda mengenai AES ini
Itu belum lagi melihat bagaimana Jabatan Keselamatan Jalan Raya telah membuka tender advokasi media untuk membuat propaganda bagi rakyat menerima AES, berapa banyak pula wang rakyat akan terbazir lagi ? Kenapa bukan syarikat itu saja mengeluarkan bajet kempennya sendiri ?
sebelah kiri saman lama yang minta maklumat pemandu dan disebalh kanan ialah
saman AES yang tidak boleh pertikai terus kena maksima

  • Pengguna jalanraya juga perlu tahu bagaimana sistem saman AES ini dilakukan. Ia bukan lagi notis seperti POL107A seperti yang dihantar selalu yang meminta butiran siapa pemandu untuk dikeluarkan saman, jika tidak dijawab baru pemilik akan disaman. Tetapi memlalui AES saman terus dikeluarkan atas nama pemilik kenderaan dan kompoun maksima ditawarkan RM300 terus. Jika ada masalah tidak ada ruang rayuan terpaksa terus hadir ke mahkamah dan rayuan atau masalah diutarakan dalam mahkamah sahaja. Bertambah sibuklah mahkamah negara.

    Kamera AES di Slim River rosak kerana tapak nya yang tak kukuh, kalau dah pakar rasuah dan ketirisan bukan stadium runtuh pasang kamera pun runtuh.

  • Regim ini nampaknya begitu terdesak untuk mengutip wang rakyat dengan menggunakan sistem yang lemah seperti AES, mungkin benar ini semua kerana regim benar - benar terdesak dan bermasalah dalam aliran tunai maka rakyat menjadi mangsa. Maka sekali lagi SAMM tegaskan jangan salahkan rakyat jika ada yang mula bertindak merosakkan kamera AES yang jelas menganiaya rakyat. Sudah pun kelihatan beberapa imej kamera AES ini tumbang dan rosak tersebar dalam internet. Cuma sebab tidak kenalpasti sama ada dirosakkan atau kenapa ?
  • Sekian

    Yaser Sheikh Abd Rahman
    Penyelaras
    Solidariti Anak Muda Malaysia 


    AES: Minta kebenaran PBT, kata pakar
    Wartawan Sinar Harian
    31 Oktober 2012
    Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod
    $entry.content.caption.value
    SHAH ALAM – Pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di jalan negeri perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menguruskan kawasan tersebut.

    Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, pemasangan AES di jalan persekutuan tiada masalah sebaliknya, jalan negeri perlu kebenaran daripada pentadbiran negeri masing-masing.

    Beliau berkata, PBT berhak menentukan sama ada kamera AES boleh dipasang atau tidak bergantung kepada mereka.

    “Bagi kawasan lebuh raya pula tidak memerlukan kelulusan daripada Kerajaan Negeri kerana ia diuruskan oleh syarikat konsesi yang dilantik Kerajaan Pusat.

    “Mengikut undang-undang, jalan persekutuan diselenggara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), atau badan kerajaan yang lain,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

    Selangor: Pemasangan AES tidak sah
    NURULFATIHA MUAH
    31 Oktober 2012
    AES
    Laporan muka depan Sinar Harian semalam.
    SHAH ALAM – Pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Selangor didakwa dibuat tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu berkata, maklumat itu diperolehi daripada Yang Dipertua PBT di seluruh negeri yang mendedahkan bahawa pemasangan kamera AES itu dibuat tanpa keizinan pihak mereka.

    “Ini (pasang kamera AES tanpa kebenaran merancang) adalah salah di sisi undangundang. Bagi saya, kalau tiada kebenaran merancang, ia dianggap illegal (tidak sah). Sesiapa pun yang kena (saman), mereka tidak payah bayar sebab (pemasangan kamera AES dibuat) tanpa kelulusan,” katanya.

    Kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Pakatan Rakyat (PR) akan menangguhkan pelaksanaan AES bagi empat negeri bawah pentadbirannya iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

    Menurut Guan Eng, penangguhan itu dibuat sehingga kajian mendalam dijalankan dan maklum balas daripada rakyat diperoleh.

    Mengulas mengenai penangguhan itu, Ronnie berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengumumkan perkara tersebut selepas berbincang dengan wakil Kementerian Pengangkutan esok.

    “Tentang penangguhan AES, itu kena tunggu sampai Khamis ini. MB akan buat pengumuman selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Khamis ini.

    “Sekarang, beliau sedang menunggu penjelasan lanjut daripada Kementerian Pengangkutan (mengenai perkara ini). Sepatutnya perbincangan diadakan minggu lalu namun disebabkan masalah tertentu, ia ditangguhkan,” katanya.

    Menurutnya, dalam pertemuan itu, Kerajaan Negeri akan membangkitkan isu kebenaran merancang, had laju dan lokasi pemasangan kamera AES munasabah selain mempersoalkan harga kamera berkenaan yang dikatakan terlalu tinggi.

    “Saya kurang pasti berapa kamera AES hendak dipasang di Selangor. Namun perbincangan ini hanya melibatkan jalan bawah kerajaan tempatan (PBT) saja,” katanya.

    BBCBN: Kaji semula AES
    SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
    31 Oktober 2012
    AES
    Sistem AES
    KUALA LUMPUR - Naib Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BBCBN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, sebahagian ahli kelab itu mahu kerajaan  menimbang dan memperhalusi pelaksanaan Sistem Pengkuatkuasaan Automatik (AES).

    Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata demikian ketika ditemui di lobi Parlimen malam tadi.

    "Dalam BBCBN kita masih belum ada pendirian. Apa yang berlaku ialah ahli-ahli Parlimen menyuarakan pendapat setiap individu. Tidak ada mesyuarat khusus untuk kita membincangkan isu AES.

    "Sebenarnya isu ini agak rumit sedikit. Ada yang menyokong, tidak ada yang membantah tetapi ada yang meminta supaya AES ini diperhalusi, letaklah lebih papan tanda. Ada yang meminta di kawasan-kawasan yang ada 30, 40 meter ini diletakkan AES," ujar beliau yang juga Setiausaha Umno Sabah.

    Semalam, Pemuda Umno mengambil pendirian mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES sehingga kajian menyeluruh dilakukan.

    Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berharap Kabinet yang bermesyuarat minggu ini dapat memutuskan berkenaan hal terbabit.

    “Pemuda desak kerajaan tangguh AES. Kaji semula," kata beliau, yang juga Ketua Pemuda BN.

    Sementara itu, Abdul Rahman ketika diminta mengulas menambah, beliau secara peribadi merasakan AES ini adalah cara terbaik dalam mengurangkan kadar nahas jalan raya di negara ini.

    "Sudah tiba masanya kita mengenakan syarat-syarat seperti ini. Dari segi pendidikan kita sudah buat. Inikah sahaja caranya? Sebab 7,000 kematian berlaku di atas jalan raya kita," katanya.

    Kelmarin, empat Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor bersetuju menangguhkan pemasangan AES.

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sebanyak 331 kamera AES dicadang untuk dipasang di empat negeri itu, namun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan.

    "Kami akan bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool bulan depan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai AES termasuk kos dan syarikat pengendali," katanya.
    Pemuda Umno desak AES ditangguh
    Wartawan Sinar Harian
    30 Oktober 2012
    AES
    Sistem AES
    SHAH ALAM –  Pemuda Umno hari ini sebulat suara mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sehingga kajian menyeluruh dilakukan.
    Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya juga berharap mesyuarat Kabinet  minggu ini dapat membuat keputusan berhubung perkara itu.
    “Pemuda desak kerajaan tangguh AES. Kaji semula," kata beliau, yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), menerusi Twitternya petang ini.
    Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Kuala Lumpur.
    Dalam pada itu, beliau dipetik Bernama berkata, kajian semula itu perlu bagi mengatasi kelemahan pada pelan pelaksanaan AES sekarang dan memastikan sistem itu mampu berfungsi sempurna mengesan pesalah trafik di negara ini.
    "Sistem AES itu sendiri merupakan sistem amat baik, namun hasil maklum balas
    akar umbi kami dapati terlalu banyak kelemahan pada pelan pelaksanaan AES yang perlu diatasi antaranya lokasi dan had laju praktikal bagi sesebuah kawasan,” katanya.
    Khairy berkata kerajaan juga perlu mengadakan publisiti dan pendidikan umum
    bagi memberikan informasi yang lebih jelas kepada rakyat.
    "Adalah penting untuk rakyat memahami dengan jelas sistem AES ini kerana ia
    mampu menyelamatkan nyawa mereka selain mengelakkan AES menjadi 'alat mainan' pembangkang untuk menakut-nakutkan rakyat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda.
    Semalam, empat Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor bersetuju menangguhkan pemasangan AES.
    Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sebanyak 331 kamera AES dicadang untuk dipasang di empat negeri itu, namun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan.
    "Kami akan bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool bulan depan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai AES termasuk kos dan syarikat pengendali," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.
    Guan Eng berkata, pemasangan AES itu seharusnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa di peringkat kerajaan negeri terlebih dahulu.
    AES adalah sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan selain bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan serta mampu mengurangkan kemalangan maut.
    Ia merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah.
    Dalam pada itu, laporan Bernama berasingan menyebut Kementerian Pengangkutan akan menghantar pasukan teknikal untuk memberi penerangan mengenai AES kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor seperti dipohon.
    Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, setakat ini hanya
    kerajaan negeri berkenaan meminta penjelasan berkaitan pelaksanaan AES itu.
    Cuepacs juga gesa tangguh AES, rancang kaji selidik seluruh negara
    JAMILAH HAMZAH
    30 Oktober 2012
    AES
    Sistem AES
    SHAH ALAM - Cuepacs turut menggesa supaya pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditangguhkan ekoran desakan yang diterima daripada kakitangan awam, yang jumlahnya lebih 1.3 juta orang.
    Semalam, negeri-negeri Pakatan Rakyat (PR) mendesak tindakan sedemikian manakala Pemuda Umno pula mengambil pendirian yang sama hari ini.
    Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada kakitangan penjawat awam yang berulang-alikdari rumah ke tempat kerja, termasuk mereka yang bergegas atas arahan majikanmasing-masing.
    Beliau juga berkata, sistem AES perlu dikaji semula untuk melihat lokasi yang sesuai diadakan kamera dan perlu ada koordinasi di setiap negeri termasuk negeri-negeri ditadbir PR.
    “Bukan negeri ini pasang, negeri itu tak mahu pasang, kita terima desakkan daripada ramai kakitangan awam yang berulang-alik untuk bekerja.
    “Kadang-kadang keadaan jalan dilihat selamat, cukup sekadar memasang papan tanda had laju, tanpa perlu adakan AES disebabkan keadaan yang 'clear' tanpa sebarang punca kemalangan.
    “Seperti waktu balik kampung sempena perayaan baru-baru ini, dari Kuala Lumpur ke Melaka memamakan masa hampir enam jam disebabkan pemandu yang berhati-hati dengan perangkap had laju (AES) itu, ini membuang masa," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.
    Mengulas lanjut, Omar berkata, AES adalah perkara yang barudan  sepatutnya rakyat perlu diberi taklimat terlebih dahulu sebelum perlaksanaannya dikuatkuasakan.
    Katanya, Cuepacs telah minta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan lawatan kerja bersama pihaknya di tempat operasi sistem pemasangan AES tersebut.
    Selain itu, beliau menggesa keras kerajaan supaya mengkaji semula sistem pemasangan AES di setiap lokasi dan jika tiada tindakan, Cuepacs akan bertindak mengedarkan soal selidik kepada rakyat, pekerja dan pengguna jalan raya.
    “Kita akan bertindak sekiranya pihak bertanggungjawab enggan mengambil tindakan terhadap gesaan kita, kita akan buat sendiri soal selidik '3 in 1' di kalangan rakyat, pekerja dan pengguna jalan raya.
    "Melalui soal selidik itu, kita akan tanya sama ada mereka setuju dengan pemasangan AES atau pun tidak," katanya lagi.
    Dalam pada itu, Omar juga melahirkan keraguan tentang matlamat pemasangan AES di negara ini kerana kegagalan pihak terlibat memberi taklimat termasuk pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), kakitangan kerajaan dan rakyat.
    AES: BBCBN mahu PR tanggungjawab kalau ada kemalangan maut
    SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
    31 Oktober 2012
    AES
    Sistem AES
    KUALA LUMPUR - Keempat-empat negeri Pakatan Rakyat (PR) yang meminta penangguhan pelaksanaan Sistem Pengkuatkuasaan Automatik (AES) harus sedia menggalas beban yang diletakkan ke atas bahu mereka sekiranya berlaku kemalangan di mana-mana lokasi yang sepatutnya boleh dihindari dengan penggunaan kaedah itu.

    Naib Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BBCBN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, "saya kecewa (PR minta tangguh), sebab pada saya, ini cara yang terbaik di seluruh dunia guna sistem yang sama."

    "Saya katakan kalau mereka tidak benarkan AES dipasang di negeri-negeri mereka, jika ada kematian berlaku dan kematian ini dapat dihindarkan dengan menggunakan AES, saya hendak katakan kematian itu disebabkan oleh mereka.

    "Saya hendak beritahu kepada mereka, kalau ada anak orang Pulau Pinang mereka terlanggar atau kereta orang yang membuat salah berlanggar dengan kereta yang tidak bersalah kemudian mati, saya hendak beritahu kepada keluarga itu, ini kerana keengganan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menghargai nyawa orang yang tersayang," katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, Sabah kepada Sinar Harian Online.

    Empat negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan sepakat untuk menangguhkan pemasangan AES.

    Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, sebanyak 331 kamera AES dicadang untuk dipasang di empat negeri itu, namun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan.

    "Kami akan bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool bulan depan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai AES termasuk kos dan syarikat pengendali," kata beliau yang juga Setiausaha Agung DAP kelmarin.

    Semalam, Pemuda Umno  turut bersuara mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES sehingga kajian menyeluruh dilakukan.

    Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya juga berharap mesyuarat Kabinet  minggu ini dapat membuat keputusan berhubung perkara itu.

    “Pemuda desak kerajaan tangguh AES. Kaji semula," kata beliau, yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional.

    Selain Pemuda Umno, Cuepacs juga menggesa kerajaan untuk mengkaji semula sistem AES ini.

    AES merupakan sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan selain bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan serta mampu mengurangkan kemalangan maut.

    Kamera ini boleh merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah.

    Tiada ulasan: