Rabu, 31 Oktober 2012

JANGAN SAMPAI CAKAP AJE BELA TETAPI HAKIKAT TIADA APA2 PUN...RAKYAT BELA DIRI SENDIRI...YANG DIBELA MUNGKIN KRONI2 SAJA

Bekas timbalan menteri jangka BN tewas PRU13

Nazri Abdullah, 30 Okt 2012
KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Menteri Persekutuan Datuk Yahya Lampong meletakkan keyakinan yang sangat kuat bahawa BN akan gagal mengekalkan kuasanya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Menurutnya, daripada keseluruhan 222 kerusi parlimen di seluruh negara, beliau menjangkakan 118 kerusi akan dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU13 kali ini dan 104 kerusi sahaja akan diperoleh BN.

Beliau yang telah keluar BN dan mengumumkan menyertai PKR baru-baru ini berkata, asas pengiraannya adalah dengan formula (82 + 20 + 16 = 118)

82 katanya adalah jumlah kerusi yang telah dimenangi oleh gabungan PAS,PKR dan DAP pada PRU12, 2008 yang lalu dan dijangka jumlah itu akan kekal pada PRU akan datang.

20 pula adalah jumlah kerusi parlimen yang majoritinya adalah pengundi Cina dan India yang dimenangi BN dalam PRU12 yang sudah tentu pada jangkaannya akan menolak BN pada PRU akan datang.

Asas kekalahan BN itu juga jelasnya, turut disandarkan pada keyakinan bahawa lebih separuh kerusi parlimen Sabah - selama ini menjadi 'tempat berpaut' BN untuk mengekalkan kuasa termasuk pada PRU12 lalu - akan 'swing' kepada Pakatan Rakyat.

Kata Yahya, sekurang-kurangnya 16 dari 25 kawasan parlimen di Sabah bakal dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU13 akan datang.

Kawasan itu masing-masing adalah 13 kerusi dari kawasan majoriti pengundi Kadazan, Dusun, Murut (KDM) dan Cina (KDM-C) dan tiga lagi dari kawasan campuran KDM-C dengan pengundi Islam.

Tiga kawasan campuran KDM-C dengan pengundi Islam adalah di Beaufort, Papar dan Kota Belud.

Di Papar dan Kota Belud katanya, jumlah peratusan pengundi KDM-C adalah 40 peratus dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya 15 peratus sahaja lagi sokongan pengundi Islam bagi memenangi kedua-dua parlimen tersebut.

Bagi Beaufort pula, parlimen itu diyakini akan dimenangi Pakatan Rakyat apabila bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga bekas Ketua Umno Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin disebut-sebut bertanding di situ.

Lajim juga adalah timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Dan jika benar jangkaan Yahya ini berlaku, bermakna Pakatan Rakyat sudah boleh menguasai Putrajaya dengan 118 kerusi tidak termasuk kerusi perlimen dari Sarawak.

"Pakatan hanya memerlukan 112 kerusi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

"Justeru, Pakatan Rakyat sudah berupaya membentuk kerajaan dengan sokongan rakyat Semenanjung dan Sabah. Maka kawasan parlimen Sarawak adalah Bonus," katanya.

Tamat kontrak KP JPA, Abu Bakar diainaya

Hazayani Zakaria, 30 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan menamatkan perkhidmatan Tan Sri Abu Bakar Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam disifatkan sebagai satu penganiayaan.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerana kegagalan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang menimbulkan rasa tidak puas hati penjawat awam, Abu Bakar dakwanya telah dikambing hitam.

"Saya memang menolak SBPA tapi tindakan ini seolah-olah kerajaan mengkambinghitamkan Tan Sri Abu Bakar dengan meletakkan beban ke atas beliau seorang," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz kepada soalannya berhubung perkara tersebut di Dewan Rakyat, minggu lalu.

Nazri dalam jawapannya memberitahu, keputusan menamatkan perkhidmatan Abu Bakar dibuat atas peranan beliau semasa menerajui perancangan dan pelaksanaan SBPA yang gagal mengambil kira kepentingan semua kumpulan perkhidmatan terutamanya kumpulan sokongan serta implikasi kos yang besar kepada kerajaan.

Mahfuz juga berkata, tindakan ini menunjukkan sikap kerajaan yang suka menyalahkan pegawai mereka apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak disenangi rakyat.

"Abu Bakar hanya melaksanakan tugas sebagai ketua pengarah dan salah seorang anggota jawatankuasa gaji kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

"Semasa pembentangan awal SBPA Perdana Menteri sendiri kata ia yang terbaik tapi bila wujud penentangan banyak pihak, barulah jadi isu yang kecoh dan menimbulkan ketidakpuasan hati kakitangan awam.

"Kalau begini rupa bentuk pengurusan pentadbiran kerajaan ini sukar bagi pengawai tinggi menjalankan tugas kerana apabila lakukan tugas,  bila orang ramai tak puas hati tanggungjawab dibebankan kepada mereka. Ini penganiayaan ke atas pegawai," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS.

Abu Bakar ditamatkan perkhidmatannya mulai 1 Julai lalu.

Berikutan kekosongan tersebut, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Farida Mohd Ali diberi tanggungjawab menjalankan tugas-tugas Ketua Pengarah.

Perkhidmatan Abu Bakar ditamatkan lebih awal iaitu ketika berusia 57 walaupun beliau menandatangani kontrak melanjutkan tugasnya sehingga berumur 60 tahun.

Antara Kg Melayu dan Kg Cina di Kuala Terengganu

-, 30 Okt 2012



Tahniah kepada wakil rakyat MCA yang sejak sekian lama mewakili masyarakat Cina bandar, terutamanya di Kampung Cina (Chinatown) yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Trengganu.

Apabila ia menghadapi ancaman diroboh untuk  projek ‘pembangunan semula’, wakil rakyat MCA telah berjuang habis-habisan bagi mempertahankan kampung yang amat bersejarah ini.

Akhirnya pada tahun 1998, kampung ini  berjaya di senaraikan sebagai ‘Perkampungan Warisan’ oleh World Monuments Fund (WMF). Dengan bantuan badan Warisan Malaysia (Heritage of Malaysia Trust), ia di perbaiki semula dan di jaga dari sebarang ancaman di robohkan.


(Pintu gerbang Kg Cina...kini jalannya adalah yang terbaik di Kuala Terengganu)


Menurut sejarahnya, Kampong Cina ini adalah merupakan penempatan pendatang dari Cina yang datang berdagang ke Kuala Sungai Terengganu sejak beratus-ratus tahun dahulu.

Ia mempunyai nilai sejarah yang amat penting kepada penduduk Cina dan juga Melayu di Bandar Kuala Terengganu.

Pada tahun 2010, kerajaan negeri Terengganu telah memperuntukkan RM75 juta untuk kerja-kerja mengindahkan lagi kampung tersebut yang telah diwarta sebagai Kampung Warisan.

Kampung Cina yang bersejarah ini juga telah menjaya dijadikan produk tarikan pelancongan untuk melawat Terengganu.


Kerajaan negeri Terengganu juga telah menyediakan pelan khas bagi menjamin Kampong Warisan yang bersejarah ini  terus terpelihara dengan menyediakan peruntukan ratusan juta ringgit dengan membina Dataran berkembar yang terletak di tapak Warisan Kampong Cina.

Ini adalah bagi menarik lebih ramai pelancong agar mengenali kepelbagaian budaya dalam masyarakat Terengganu.

Saya terpanggil untuk mengulas kejayaan masyarakat Cina Terengganu yang berjaya mempertahankan ‘perkampungan warisan’ mereka; apabila dalam waktu yang sama timbul kesedihan yang amat sangat apabila satu demi satu perkampungan tradisi Melayu di bandar Kuala Terengganu ‘hilang ditelan arus pembangunan yang rakus’.

Lojiknya, masyarakat Cina hanya mempunyai seorang wakil rakyat yang mewakili mereka, berjaya memertahankan perkampungan tradisi mereka, tetapi dalam masa yang sama masyarakat Melayu yang mempunyai puluhan wakil rakyat terutamanya dari Umno yang mewakili mereka, gagal mempertahankan satu pun perkampungan tradisi mereka di bandaraya Kuala Terengganu.

Bagi setiap warga Kuala Terengganu, siapa dapat melupakan perkampungan tradisi orang-orang Melayu seperti Kampung Lorong Jamil, Kampung Paya Bunga, Kampung Batas Baru dan Kampung Paya Keladi yang di telan ‘pembangunan’ dan kesemuanya kini hanya tinggal pada nama sahaja.

Lebih menyedihkan lagi, warisan sejarah penting masyarakat Melayu di situ yang telah bertapak sejak ratusan tahun begitu mudah terhakis begitu sahaja tanpa siapa yang ambil peduli dan tanpa sebarang pembelaan.

Malah lebih menyedihkan lagi, kini perkampungan tradisi ratusan tahun orang-orang Melayu; dari kampung Tanjung, kampung Ladang sehingga ke Cabang Tiga dan Hiliran sedang menuju giliran untuk diratah dan dimamah oleh pelabur-pelabur yang rakus membeli dan memindah milik tanah-tanah orang Melayu di atas nama membangunkan bandaraya Kuala Terengganu.

Kesemua perkampungan tradisi Melayu bandar yang hilang di telan pembangunan ini amat terkenal dengan pelbagai industri tradisional yang telah menjadi warisan ratusan tahun seperti pembuatan batik, menenun songket, seni ukir kayu, membuat keris dan parang serta pembuatan barang-barang tembaga yang tidak pernah kekang dek zaman.

Akibat dari pembangunan yang raus ini, kini industri tradisional yang menjadi warisan dan budaya penduduk Terengganu ini kian pupus di telah arus pembangunan.

Ya, terlalu banyak persoalan yang timbul di sini. Apakah kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Sri Ahmad Said tidak mempunyai sebarang dasar bagi membela  perkampungan dan tanah-tanah tradisi orang-orang Melayu di bandaraya Kuala Terengganu ini sepertimana mereka boleh ‘mempertahankan’ kampong tradisi Cina?

Apakah mereka memandang serius isu terhakisnya tanah orang-orang Melayu apabila ada tanah milik orang Melayu di pusat bandar telah bertukar tangan kepada bangsa lain dengan begitu mudah?

Dan apakah kerajaan negeri dan agensi kerajaan tidak boleh memainkan peranan bagi menghalang perkampungan tradisi Melayu dan tanah milik orang Melayu itu jatuh ke tangan bangsa lain tanpa sebarang pembelaan?

Apa tidaknya. Dengan perbelanjaan yang mencecah lebih RM10 billion sejak 4 tahun  pemerintahan beliau, saya yakin sekiranya kepimpinan Ahmad Said serius membela sisa-sisa perkampungan dan tanah milik orang-orang Melayu, beliau mampu  memain peranan bagi mempertahankan perkampungan tradisi Melayu serta mengambil alih tanah milik orang Melayu di sekitar bandaraya  Kuala Terengganu untuk dimajukan demi kebaikan ekonomi bangsa Melayu.

Ya, amat malang sungguh nasib orang-orang Melayu bandaraya Kuala Terengganu yang kini terhimpit dengan arus ’pembangunan’. Mereka seolah-olahnya sedang menjadi pelarian di bumi sendiri.

Mereka hanya mampu memeras segala keringat untuk mencari rezeki ’kais pagi makan pagi kais petang makan petang’..sedangkan di waktu yang sama, perkampungan dan tanah warisan nenek moyang mereka sedang tergadai satu demi satu…
-----------------------------------------

Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS dan Adun Batu Burok, Terengganu.
Email: syedazmans@yahoo.co.uk Twitter: @syedazman

Azmin adakan sidang media bersama Khalid Ibrahim

Harakahdaily, 30 Okt 2012

(Khalid Ibrahim dalam sidang media bersama Azmin di Parlimen hari ini)

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali hari ini bersama-sama dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam sidang media bagi membantah projek Langat 2.

Sidang media bersama oleh kedua-dua tokoh ini amat menarik kerana mereka berdua dikatakan tidak 'sebulu' dalam banyak hal.

Bagi memberitahu mereka berdua mengadakan sidang media bersama ini, Azmin telah menulis dalam twitternya:

"Saya bersama Tan Sri Khalid mengadakan sidang media berkenaan Projek Langat 2 di Parlimen."

Perhubungan antara Azmin dan Khalid sentiasa sahaja ditafsirkan tidak baik walaupun Azmin membuat kenyataan yang positif kepada Khalid.

Misalnya, apabila Azmin berkata Khalid sepatutnya menjadi menteri pusat selepas berjaya dengan cemerlang sebagai MB Selangor, ia telah ditafsirkan sebaliknya.

Azmin didakwa mahu menolak secara halus Khalid ke pusat untuk membolehkan beliau mengambil alih kerusi MB Selangor.

Namun dengan sidang media mereka hari ini, ia menunjukkan kedua-duanya tidak ada apa-apa masalah.

PAS antara badan awal bantu rakyat Syria

Harakahdaily, 30 Okt 2012

(Dr Syed Azman bergambar dengan wajah-wajah muram anak mangsa keganasan di Syria)

IDLIB (Turki): PAS adalah antara badan awal yang telah menghulurkan bantuan kepada mangsa kekejaman Bashar Al Assad terhadap rakyatnya di Syria.

Wakil rasmi PAS iaitu Penolong Setiausaha Agong, Dr. Syed Azman Azman telah menjejakkan kaki ke bandar Idlib yang terletak di sempadan Turki-Syria bagi menghulurkan bantuan terus bagi pihak Pas kepada ribuan pelarian Syria disana.

Itu adalah misi kedua beliau bersama-sama pasukan perubatan dari Eropah yang berjaya masuk ke bandar Idlib dengan bantuan penduduk tempatan selepas berlakunya konflik politik berdarah yang sedang melanda di negara mereka.

Tidak dapat digambarkan bertapa sedihnya melihat bagaimana bandar yang sebelum ini aman dan damai ini kini menjadi medan pertempuran berdarah yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat awam yang tidak berdosa.

Sebahagian dari rumah-rumah kediaman, pejabat-pejabat serta  bangunan kedai kini telah musnah akibat dari bedilan berterusan tentera rejim Assad dengan menggunakan kereta kebal, jet-jet pejuang dan helikopter.

Adalah dianggarkan lebih dari 200,000 ribu penduduk Idlib kini terpaksa menjadi pelarian apabila mereka terpaksa berhadapan dengan bedilan dan serangan setiap hari dan tidak menampakkan sebarang jalan penyelesaian.

Mereka juga menghadapi masalah bekalan elektrik dan air bersih yang terputus serta kekurangan bekalan makanan harian serta bahan perubatan yang amat terhad.

Sebahagian besar dari mereka telah menyeberangi sempadan Turki dan kini tinggal di Perkhemahan Yei Dardar dan Perkhemahan Bonyor Yolan yang dikendalikan oleh pemuda-pemuda Ikhwan Muslimin Syria.

Sementara itu sebahagian dari penduduk Idlib yang sempat di temui, melahirkan rasa terimakasih mereka di atas usaha yang telah di ambil oleh PAS dan seluruh rakyat Malaysia bagi membantu meringankan bebanan yang di hadapi oleh mereka.

Bantuan yang dihulurkan adalah amat kecil berbanding dengan konflik berdarah yang sedang berlaku ini, namun ia tetap memberi makna dan erti yang amat besar kepada penduduk Syria yang sedang menderita itu.

Walaupun seluruh kepimpinan PAS kini amat sibuk dengan persediaan pilihanraya, namun penderitaan dan bebanan yang sedang dihadapi oleh ribuan pelarian Syria ini tetap tidak dilupakan oleh keseluruhan pimpinan PAS.

Usaha membantu rakyat Syria tetap diteruskan dengan apa cara sekalipun, kata Dr Syed Azman.

"Semoga sedikit bantuan yang disalurkan ini akan dapat mengubat penderitaan rakyat Syria yang terus bermandi darah ini serta memastikan kita rakyat Malaysia tidak akan lupa kepada anak-anak kecil serta ibu-ibu yang kehilangan ayah dan suami mereka," katanya.

Kepada yang ingin memberikan sumbangan kepada rakyat Syria, bolehlah terus disalurkan kepada; Maybank, atas nama Parti Islam SeMalaysia, akaun no. 564070703248.

90% bantahan PAS terhadap daftar pemilih diterima

Harakahdaily, 30 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Lebih 90 peratus daripada bantahan terhadap daftar pemilih yang dibuat oleh PAS Selangor telah diterima oleh perbicaraan awam yang ditubuhkan oleh SPR.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Jaffar Shamsuddin (gambar) berkata, bantahan ini diterima kerana terbukti pengundi yang dibantah itu bukan pemastautin tetap di alamat yang didaftarkan dalam daftar pemilih.

Jaffar berkata, ini adalah isu utama yang berlaku di Selangor sekarang di mana terdapat ramai yang bukan pemestautin tetap (bukan penduduk tempatan) yang didaftarkan dalam daftar pemilih yang ada.

Selain itu, Jaffar memberikan enam lagi isu yang dihadapi pihaknya menjelang pilihan raya umum akan datang untuk membolehkan pilihan raya yang bersih dan adil berlaku.

Baca laporan sepenuhnya dalam Harakah Jumaat ini.

Jangan salahkan rakyat jika turun lagi ke jalan raya

Harakahdaily, 30 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta jangan persalahkan rakyat jika mereka turun sekali lagi ke jalan raya jika tuntutan mereka untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil tidak diendahkan.

Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr Mohamad Hatta Ramli (gambar) berkata, langkah itu kadang-kadang terpaksa diadakan ekoran kedegilan kerajaan.

Dr Hatta berkata demikian dalam wawancaranya bersama Harakah menjelang perhimpunan 3 November ini yang akan diadakan di Negeri Sembilan.

Baca sepenuhnya dalam Harakah Jumaat ini.

Mencari calon parlimen Kelantan

Mohd Sayuti Omar, 30 Okt 2012
Sebelum dikemukakan bakal-bakal calon kerusi parlimen dari Pas, saya terlebih dahulu akan menarik perhatian umum terhadap harapan dan impian Umno Kelantan untuk menakluki beberapa kerusi parlimen. Kita kaji dan analisa apakah harapan Umno ini bakal menjadi kenyataan atau ianya sebuah mimpi saja. Selepas ini nama-nama bakal calon kerusi Parlimen akan dibentangkan untuk sama-sama difikirkan kemunasabahannya.

Daripada 14 kerusi parlimen di Kelantan Umno dipercayai mensasarkan sekurang-kurang lapan kerusi dengan harapan akan menang sekurang-kurangnya enam kerusi. Umno menyedari akan kesukaran mereka untuk menang 2/3 kerusi parlimen di Kelantan. Sejarah tahun 1978 di mana Pas hanya memenangi satu saja kerusi parlimen iaitu Pengkalan Chepa menerusi Allahyarham Nik Abdullah Arshad tidak mungkin akan berlaku.

Bagi Umno kalau mereka memperolehi enam kerusi sudah mencukupi dan kalau mencecah lapan ini ia bermakna kejayaan agung yang membawa makna kerajaan Pas Kelantan akan tertumus.

Di dalam satu-satu kawasan parlimen terdapat tiga kerusi Dun kecuali di Tumpat, Kuala Krai dan Pasir Puteh ada empat kerusi. Kalau Umno memperolehi lapan kerusi parlimen ini bermakna parti itu merangkul sekurang-kurang 24 kerusi. Dengan jumlah itu Umno berjaya menubuh kerajaan Kelantan dengan simple majoriti.

Dalam pilihan raya ke-11 tahun 2004 lalu Umno memperolehi lapan kerusi parlimen, yang mana kemenangan itu menyumbangkan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri. Kerusi-kerusi parlimen itu ialah Kota Bharu, Bachok, Ketereh, Machang, Kuala Krai, Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh.
Di dalam pilhan raya ke-13 yang bakal menjelma nanti pencapaian itu yang Umno inginkan. Baginya tidak mustahil kerana mereka sudah mencapai rekod berkenaan. Apa yang menyebabkan Umno merasa konfiden, kalau ketika pilihan raya ke-11 itu mereka tidak bersiap sedia untuk memerintah, tetapi pencapaian sudah ke tahap itu, apa lagi kali ini... dalam keadaan siap siaga ia tidak mustahil akan mendatangkan natijah sama. Jangan terkejut kalau tiba-tiba nanti kerajaan Pas berusia 22 tahun akan ranap.

Mungkin berdasar perkiraan inilah menyebabkan Mustapa sedang bergedik kaki untuk menakluki Kelantan.
Mustapa Mohamed yang menjadi komandan bagi kali kedua sudah boleh berpuas hati kalau enam kerusi parlimen saja yang jatuh. Secara mudah kalau enam parlimen dirangkul bermakna 18 kerusi Dun yang diperolehi. Walaupun Umno tidak dapat memerintah tetapi Mustapa sudah berpuas hati kerana dapat mengekalkan pengaruh dan kekuatan Umno di Kelantan di zaman Umno terdesak dan hampir kehilangan sokongan di banyak negeri. Saya percaya kalau Umno terus mengekalkan Mustapa sebagai pengerusi perhubungan selepas pilihan raya ke-11 mungkin dalam pilihan raya ke-12 lalu Umno sudah memerintah Kelantan.

Lapan kerusi parlimen yang menjadi sasaran atau idaman Umno dalam pilihan akan datang ialah tiga kerusi diwakili PKR, iaitu Ketereh, Tanah Merah dan Machang. Kerusi-kerusi lain ialah Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Krai. Manakala dua kerusi lagi yang dikira sudah pasti menjadi miliknya ialah Jeli diwakili Mustapa Mohamed dan Gua Musang oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Mengikut penculaan Umno kesemua kerusi itu ditandai dengan warna "kelabu" bukan hitam, manakala kerusi Gua Musang dan Jeli ditanda dengan putih. Kerusi-kerusi lain ditandai dengan "hitam", ini termasuk Rantau Panjang, Tumpat, Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian. Umno sudah melupai kerusi-kerusi berkenaan untuk dirangkulnya.

Dari lapan kerusi disasarkan Umno enam kerusi dikira munsabah dan mempunyai potensi besar untuk menang. Mari kita suluh satu persatu sejauh mana akan relevansinya. Kita mulai dengan kerusi Ketereh yang kini disandang oleh Abdul Aziz Kadir Pengerusi PKR Kelantan. Dalam pilihan raya lalu Aziz menang hanya 400 undi saja mengalahkan Annuar Musa. Kejayaan Aziz menewaskan Annuar Musa mengejutkan dan dianggap kejayaan peribadi buat Aziz kerana berjaya mengalah bekas bosnya. Sekiranya tidak ada pengkhianatan di kalangan rakan-rakan Annuar sudah pasti kerusi itu menjadi milik Umno. Dalam kata lain Aziz menang kerana adanya sabotaj sesama Umno.
Kemenangan Aziz juga dikira di luar dugaan umum kerana jika dibandingkan dari segi ketokohan sebagai ahli politik antara Aziz dengan Annuar kata orang panggil tidak dengar. Aziz tidak mempunyai apa-apa kelebihan melainkan berkeperibadian baik berbanding dengan Annuar bekas seorang menteri. Dari segi pengaruh dan jentera pilihan raya, Aziz didukung oleh rakan-rakan dan bergantung kepada jentera Pas. Pengaruh partinya (PKR) tidak begitu besar di Ketereh. Tidak sampai 1,000 ahli PKR di Ketereh?

Atas hakikat itu Umno meletakkan Ketereh sebagai sasaran utamanya. Kerusi Ketereh menjadi appetizer bakal membuka lorong luas buat Umno. Bagi memastikan itu katanya kali ini Umno tidak akan menurunkan Annuar Musa yang sudah dua kali tewas di parlimen Ketereh. Tokoh yang disebut-sebut akan diletakkan di situ ialah Haji Mohd Alwi bin Che Ahmat, Adun Kok Lanas kini dan bekas ahli parlimen Ketereh. Alwi menang kerusi parlimen pada tahun 2004, dengan majoriti 2,888 menewaskan Muhammad Mustafa dari Keadilan.

Walaupun ada pendapat mengatakan sekiranya Annuar atau Alwi tidak diletakkan di situ akan berlaku tindakan 'kerat mengerat' tetapi Umno menyakini Ketereh akan bertukar tangan kali ini. Alwi dikatakan akan dikerat oleh Annuar dan begitu juga sebaliknya. Namun kali ini tindakan sebegitu rasanya tidak berlaku lagi memandangkan Umno Kelantan seakan bersedia untuk mengambil alih Kelantan. Sudah pasti kalau Umno Ketereh bersatu, ditambah pula dengan tidak ada campur tangan individu "si golok dua mata" yang selama ini mendatangkan "kabus sutra ungu" (mengucar dalam Ketereh) Alwi akan menang di Ketereh.

Bagaimana pula dengan kerusi Machang dan lain?

Bersambung ke bahagian ke-3. - http://msomelayu.blogspot.com

Tiada ulasan: