Isnin, 22 Oktober 2012

PADA DUDUK SAJA2...DIAM SAJA2...TAK BOLEH BUAT APA2...TIDAK ADA TINDAKAN APA2...MAKA BERDOALAH...'YA ALLAH ENGKAU MAHA MENGETAHUI....MAHA BIJAKSANA...MAHA ADIL LAGI MAHA PERKASA...HANYA ENGKAU BOLEH MEMBALASNYA...ENGKAU BALAS KEJAHATAN MEREKA SETIMPAL DENGAN KEJAHATANNYA IAITU PERBUATAN MEREKA MENGHINA ISLAM..IAITU AGAMA MU YA ALLAH..AMIN YA ALLAH...AMIN YA ALLAH'

TG Nik Aziz pernah tolak jadi MB - Presiden PAS

Aslani M, 22 Okt 2012
KOTA BHARU: Hari ini genap 22 tahun usia kerajaan di bawah dasar Membangun Bersama Islam (MBI). Tanggal 22 Oktober 1990 kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah berjaya dibentuk.

DAP diwakili Penasihatnya, Lim Kit Siang dan Ketua Penerangan PKR, Dr Muhd Nur Manuty merakamkan ucapan tahniah usia 22 tahun kepemimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Begitu juga Presiden PAS dan pelbagai pihak tidak ketinggalan merakam ucapan sama.

“Tahniah PAS di Kelantan kerana berjaya mempertahankan kerajaan negeri sehingga melewati tahun ke-22 sekarang,” kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, gabungan PAS bersama Semangat 46, Berjasa dan Hamim berjaya membentuk kerajaan selepas menumbangkan Umno dan BN dengan 39 – 0 di peringkat Dun.

“Saya masih ingat selepas Umno dan BN berjaya ditumbangkan di Kelantan, Presiden PAS ketika itu Allahyarham Datuk Fadhil Mohd Nor mengarah diadakan mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat di Kota Bharu.

“Ketika itu diputuskan Pesuruhjaya PAS negeri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz supaya menerima jawatan sebagai Menteri Besar.

“Namun pada awalnya beliau tidak mahu dan meminta dicari pemimpin lain. Bagaimanapun jawatankuasa PAS Pusat berkeras supaya beliau menerima juga jawatan Menteri Besar.

“Ini cukup penting bagi melakar satu sejarah baru buat PAS, dan ia terbukti berjaya sekarang,” katanya pada ceramah perdana sempena ulangtahun ke-22 kerajaan Kelantan di Dewan Jubli Perak malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar, Lim Kit Siang, Dr Muhd Nur Manuty, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.

Ceramah tersebut sepatutnya diadakan di padang perdana, namun disebabkan hujan lebat terpaksa dipindahkan ke dalam Dewan Jubli Perak MPKB BRI.

Orang ramai tetap hadir biar pun keadaan hujan yang mencurah-curah di Kelantan sejak Jumaat lalu.

Presiden berkata, kerajaan Kelantan yang diketuai PAS berjaya menempuh pelbagai halangan dan sekatan sepanjang 22 tahun mentadbir negeri ini.

Katanya, Umno mewujudkan juga jawatan JKKK biar pun bidang kuasanya di bawah kerajaan negeri.

“Oleh itu menjadi tanggungjawab rakyat Kelantan untuk terus mempertahankan negeri ini ketika Pakatan Rakyat sedang bergerak ke Putrajaya sekarang.

“Kelantan yang menjadi guru kepada perubahan politik di negeri-negeri lain sekarang mesti terus dipertahankan,” ujarnya.

Sementara Lim Kit Siang yang juga anggota parlimen Ipoh Timur menjelaskan DAP tidak pernah berhasrat menjadikan negara ini sebagai sebuah negara Kristian.

“Mana boleh kerana perkara yang terkandung dalam  perlembagaan sudah jelas,” katanya menjawab isu yang dibangkit media Umno sebelum ini.

Menurutnya juga kejayaan berganda Kelantan termasuk menjuarai Piala Malaysia seakan-akan memberi isyarat peluang Pakatan mara ke Putrajaya semakin jelas.

Pakatan Rakyat bersedia tawan Pahang

Khairil Abdul Rahim, 22 Okt 2012
KUANTAN: Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) Negeri Pahang 2012 dengan tema ‘Ubah sekarang selamatkan Pahang’ yang berlangsung di sini semalam menzahirkan iltizam untuk menawan negeri Pahang.
Dalam penyataan bersama oleh ketiga-ketiga parti komponen di penghujung konvensyen itu, iltizam ketika-tiga parti itu dicerminkan daripada persetujuan bersama dasar dan polisi yang menguntungkan rakyat di kala kerajaan BN Pahang terbukti gagal mentadbir urus negeri Pahang dengan efisyen, telus dan amanah.

Penyataan yang dibaca oleh Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man itu, memperakui janji untuk menawarkan dasar yang benar-benar berpaksi kepada kebajikan rakyat dalam menguruskan khazanah negeri, menjaga dan melestarikan alam sekitar serta membela masa depan peneroka Felda dan mengembalikan hak-hak Orang Asli.

[Gambar (Dari kiri) Leong, Tuan Ibrahim dan Fauzi menandatangani perisytiharan bersama sambil diperhatikan pimpinan Pakatan.]

Menurut penyataan itu lagi, pendekatan PR berasaskan keadilan dan kesaksamaan kepada semua tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit, juga meraikan partisipasi (penyertaan) wanita dalam pembangunan negeri.

“Menyedari bahawa rakyat negeri Pahang khasnya dan Malaysia keseluruhannya telah ditipu oleh BN selama 55 tahun yang telah menyebabkan kualiti hidup, ekonomi dan integrasi antara kaum-kaum bukan sahaja merudum malah berada di tahap yang kritikal, maka PR Pahang menzahirkan komitmen untuk melakukan islah bagi kesejahteraan serta mengangkat martabat rakyat bagi menikmati keadilan dan kekayaan negeri.

“Demikian itu, kami memberikan komitmen dan aku janji untuk merealisasikan segala tawaran kepada rakyat seperti yang dipersetujui bersama bagi menyelamatkan Pahang,” kata Tuan Ibrahim.

Penyataan bersama tersebut kemudiannya ditandatangani oleh beliau, Ketua Perhubungan PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Pengerusi DAP negeri Leong Ngah Ngah.

Kenyataan tersebut erupakan rumusan dan intipati daripada tiga kertas kerja yang dibentangkan sebelum itu.

Kertas kerja pertama dibentangkan oleh Timbalan Presiden Anak Aris Fezul Ismail berkaitan isu-isu Felda dan diulas oleh Pengerusi Biro Hal Ehwal Felda dan Orang Asal PKR Haji Suhaimi Said.

Kertas kerja kedua dibentangkan oleh Timbalan Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Tengku Puji berkaitan isu-isu tanah di Pahang, diulas oleh Pengerusi Badan Bertindak Rakyat Pahang Syed Ali Badaruddin Syed Othman dan wakil Orang Asli.

Sementara kertas kerja ketiga berkaitan ekonomi negeri Pahang dibentangkan oleh Ketua DAP Cabang Indera Mahkota Lee Chean Chung dan diulas oleh Ahli jawatankuasa PAS Pahang Hassanuddin Salim.

Seramai 700 perwakilan ketiga-tiga parti dari seluruh Pahang hadir.

Sementara itu Tuan Ibrahim dalam ucapan penggulungannya sebelum itu menyeru semua ahli dan penyokong PR Pahang agar memfokuskan iltizam untuk merampas negeri Pahang daripada BN.

“Justeru jangan terganggu dengan soal-soal remeh-temeh sebaliknya tumpukan kepada isu-isu besar. Selepas daripada itu, rujuklah kepimpinan jika berlaku sebarang permasahan,” katanya.

Hudud: MCA hina Islam, bukan serang PAS

Muhammad Faizal, 22 Okt 2012
SHAH ALAM: MCA sebenarnya telah menghina Islam bukannya PAS dalam soal pelaksanaan hukum hudud, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Malah menurutnya lagi, apa yang dilakukan oleh MCA itu membuktikan kegagalan Umno dalam mendidik MCA untuk menghormati kaum serta agama lain.

"Apa yang dilakukan oleh MCA itu membuktikan kegagalan Umno untuk mendidik MCA agar menghormati agama lain sehinggakan MCA berani bertindakan sedemikian.

"Selain itu juga tindakan MCA itu bukannya menyerang PAS tetapi telah menghina agama Islam dan seluruh orang Melayu di negara ini," jelasnya.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam ucapannya di perhimpunan agung MCA ke-59 telah memberitahu lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.

Malah, beliau yang turut menyatakan DAP berjaya meyakinkan orang bukan Islam bahawa hudud PAS akan mengurangkan jenayah dan rasuah di dalam negara ini adalah satu penipuan besar.

"Menghina hukum hudud bukannya menghina PAS tetapi Chua Soi Lek telah menghina Islam dan kita tidak setuju dengan apa yang telah dilakukan oleh beliau.

"Tetapi kenapa Umno berdiam diri dalam soal ini dan ia seolah-olah Umno sendiri merestui apa yang dilakukan oleh Presiden MCA itu," ujar Mohamad.

Beliau tidak mahu atas tindakan keceluparan pemimpin MCA yang terus menghina Islam akan menyebabkan timbulnya ketegangan agama di negara ini.

"Kita tidak kisah kalau Umno ingin bekerjasama dengan MCA tetapi tindakan Umno membiarkan MCA terus menghina Islam adalah perkara yang tidak boleh dibiarkan," tegasnya.

Najib membisu tanda setuju Chua Soi Lek hina hudud

Abdul Aziz Mustafa, 22 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Penghinaan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terhadap hudud membuktikan 'hati perut' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebenarnya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Ketika Presiden MCA itu berucap menghina undang-undang Islam itu, Najib berada di situ kerana selepas ucapan Chua, beliau pula yang berucap untuk merasmikan Perhimpunan Agung MCA itu.

"Tidak sepatah pun Najib cuba memberikan penjelasan dalam ucapan beliau bagi menolak perbuatan Chua menghina hukum hudud," katanya.

Mahfuz menyifatkan tindakan Najib yang memilih untuk membisu dan enggan memberikan penjelasan selepas penghinaan Chua itu membuktikan sikap beliau dan Umno yang bersetuju dengan penghinaan itu.

"Sudah menjadi kesepakatan umum bahawa membisu biasanya bersetuju," kata beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menyifatkan sikap membisu itu membuktikan betapa buruknya kelakuan Najib "kerana ketagih dan kemaruk sangat undi masyarakat Cina".

"Najib membisu dan enggan memberikan penjelasan walaupun Presiden MCA itu menghina hudud kerana beliau ketagih dan kemaruk sangat undi masyarakat Cina.

"Buruk sungguh kelaku Najib semata-mata kerana hendak memikat undi Cina kepada Barisan Nasional (BN) yang diketuainya," katamya.

Mahfuz bagaimanapun yakin majoriti masyarakat Cina sudah pun membuat keputusan yang tidak boleh diubah lagi untuk menolak BN.

"Tidak kira walau sehebat mana pun Umno, BN, MCA dan Chua dirasuk oleh kemarahan mereka terhadap hudud dan Pakatan Rakyat (PR), majoriti besar masyarakat Cina semakin membuktikan dengan terus terang dan berani bahawa mereka bersama-sama PR," katanya.

Mahfuz juga yakin masyarakat Melayu juga semakin ramai yang menolak BN apabila mereka melihat Umno seolah-olah melantik Chua menjadi mufti mereka.

Umno restui Soi Lek guris hati umat Islam

Harakahdaily, 22 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di Persidangan Tahunan MCA pada 21 Oktober lalu menjawab persoalan kenapa mereka begitu agresif menentang dan memperlekehkan hukum Islam.

“Rupa-rupanya kerana beliau takut tewas dan menganggap bahawa PRU13 ialah perjuangan hidup mati MCA, segala tindak tanduk pemimpin MCA seperti binatang yang sedang meronta-ronta hendak menghembus nafas terakhir.

“Inilah satu cara untuk menarik sokongan orang Cina kepada BN. MCA sedar daripada 10 orang Cina yang ditemui, hendak mencari seorang yang menyokong BN sudah hampir tiada,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad kepada Harakahdaily.

Menurutnya, menjadi suatu yang pelik pula segala kenyataan yang mengguris perasaan umat Islam seolah-olah direstui oleh Umno sehingga Soi Lek mengatakan Datuk Ayub Rahmat Ahli Dewan Umno Johor hilang akal kerana mencadangkan hukum hudud di persidangan Dewan Undangan Negeri, Umno masih tersenyum lebar seolah-olah Umno sudah hilang kejantanan.

Justeru, ujarnya cuba bayangkan jika ucapan itu dikeluarkan oleh pemimpin DAP sudah tentu laporan polis oleh Umno dan NGO serta siri-siri demonstrasi akan dibuat di seluruh negara.

Beliau berkata, MCA dengan agresif hina Islam demi kelangsungan politik MCA yang semakin lemas, manakala Umno semakin semput.

Katanya lagi, di antara kenyataan pemimpin Mca untuk menakutkan orang bukan Islam ialah Soi Lek marah kepada Cikgu Normala Sudirman di Tenang yang tidak mahu bersalam dengan orang lelaki.

“Marah kepada Kelantan kerana cuti Hari Raya Haji dua hari. Mengatakan negara Islam negara rasuah dan membawa kemunduran.

“Datuk Donard Lim Pengerusi Perhubungan MCA Selangor mengatakan, MCA akan pastikan negeri yang dimenangi oleh BN tidak akan laksanakan Islam,” ujarnya lagi.

Idris menambah, Presiden MCA juga dengan lantang mengatakan dia berani melawan Umno untuk menentang hudud di dalam forum pada 18 Februari 2012.


Baginya, segala bentuk penghinaan dan serangan MCA direstui oleh Umno, sehingga mereka diam membisu.

Katanya, Umno sedar sebahagian besar orang Melayu tidak bersama Umno, manakala orang bukan Melayu menyokong Pakatan Rakyat.

Oleh itu, ujar beliau jalan keluar ialah MCA mesti menarik sokongan orang Cina supaya jangan mengundi DAP dan Pakatan Rakyat tetapi sebenarnya perhitungan Umno dan MCA itu silap.

“Orang bukan Islam lebih memahami Islam, dan lebih takut negara akan hancur akibat rasuah, pemborosan dan penyelewengan jika mandat diberikan kepada BN,” katanya.

Hina Islam: Umno subahat demi jaga hati MCA

Harakahdaily, 22 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Ulama Umno sepatutnya mengajar Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa menghina hudud adalah menghina Islam kerana ia sebahagian daripada ajaran Islam.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh (gambar) menyatakan demikian sebagai respons kepada ucapan Soi Lek selaku Presiden MCA di Perhimpunan Agung MCA ke-59, kelmarin.

Katanya, Chua nampaknya terus meracau apabila berkata bahawa lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.

“Bahkan dakwaan ini sangat pelik apabila beliau tidak menamakan mana-mana negara dalam ucapannya tersebut untuk menghina hudud,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Begitu juga, jelasnya memperlekehkan hudud adalah sebenarnya memperlekehkan Allah dan Rasul-Nya s.a.w. kerana Allah adalah pencipta undang-undang hudud dan Rasulullah s.a.w. adalah pembawa risalah Islam termasuklah risalah hudud.

Justeru, kata beliau memperlekeh dan menghina hudud adalah bermakna memperlekeh dan menghina pencipta hudud dan pembawa risalahnya.

“Jika Umno begitu marah terhadap pembikinan filem Innocence of Muslims yang menghina Rasulullah s.a.w., Umno juga sepatutnya sangat marah terhadap keceluparan Datuk Seri Chua kerana menghina Rasulullah s.a.w. yang membawa ajaran Hudud.

“Tetapi Umno nampaknya tidak akan menegur Datuk Seri Chua kerana penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w. melalui Hudud menguntungkan politik Barisan Nasional khususnya untuk menarik undi orang Cina,” katanya yang juga Setiausaha Majlis Syura PAS.

Buktinya, kata beliau ucapan Chua tersebut dibuat di hadapan Presiden Umno sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedikit pun tidak menegurnya.

Bahkan, ujarnya ketika sidang media selepas perasmian Perhimpunan Agung tersebut, Datuk Seri Chua berkata "Umno tahu apa yang baik dan buruk dalam melaksanakan sesuatu perkara. Kalau Umno nak laksana hukum itu, sudah lama dilakukan tetapi Umno menghormati pendirian dan kepentingan bangsa lain”.

“Kenyataan seumpama ini menggambarkan bahawa Umno bersubahat menolak hudud demi menjaga hati MCA lebih daripada menjaga hati Rasulullah s.a.w,” katanya lagi.

Kenapa tindakan ke atas Syria alasan simbolik?

Muhammad Faizal, 22 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli kecewa dengan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia bersama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ke atas Syria atas alasan simbolik.

Beliau yang merujuk kepada jawapan dari Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot yang mengatakan dalam menyelesaikan isu konflik di Syria, Malaysia menyatakan pendirian melalui landasan OIC menyokong keputusan yang dibuat dengan mengantung keahlian Syria dalam OIC.

Malah menurut Richard lagi keputusan yang diambil itu merupakan satu tindakan simbolik untuk menghantar meseg yang jelas kepada Syria untuk menghentikan konflik tersebut.

"Ini satu pengakuan yang agak mengecewakan apabila Kerajaan Malaysia mengambil tindakan bersama OIC atas sebutan simbolik. "Kenapa perlu simbolik, OIC merupakan satu organisasi yang sah mempunyai ahli, peraturan dan peranan, mana boleh sebuah organisasi mengambil tindakan dan peranan simbolik sahaja ke atas Syria," tegas Dr Mohd Hatta sewaktu mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat.
Beliau di dalam soalan lisan meminta Menteri Luar menyatakan rasional Malaysia menyokong tindakan OIC mengantungkan keahlian Syria dalam OIC ekoran krisis yang melanda negara tersebut.

Menurut beliau lagi, Malaysia dan OIC mewakili umat Islam mempunyai tanggungjawab dalam membantu dengan menemukan pihak-pihak yang bertelaggah di Syria.

"Kenapa kita serahkan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), saya tidak bertanya tentang PBB mahupun Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC), tetapi saya tanyakan peranan OIC.

"Kita menyerahkan isu ini kepada pihak lain, sedangkan kita sebagai organisasi yang mewakili umat Islam boleh memasuki negara tersebut untuk mencari penyelesaian namun sebaliknya berlaku," ucap beliau lagi.

Dr Mohd Hatta, tindakan menggantung keahlian Syria di dalam OIC telah menyukarkan Malaysia mahupun negara-negara di dalam OIC untuk berbincang dengan Syria dalam memberikan pandangan terhadap konflik tersebut.

"Saya rasa ini kelemahan yang ketara dan mengganggap sokongan Malaysia tidak mengambil kira masalah negara Islam yang lain.

"Kita ada peluang untuk menyelesaikan masalah dalam sebuah negara lain tetapi perkara tersebut telah diserahkan kepada orang lain," jelasnya lagi.

Beliau yang menegaskan tindakan yang diambil Malaysia dan OIC ini amat memalukan seluruh umat Islam di dunia dan menyarankan agar OIC dibubarkan kerana gagal melaksanakan peranan mereka dalam menyelesaikan konflik di negara-negara Islam.

Sidang Kemuncak Luar Biasa ke-4 OIC yang diadakan pada 14 dan 15 Ogos di kota suci Mekah telah dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kg Warisan: Penduduk rayu diberi geran kekal

Salmiyah Harun, 22 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Railway Jalan 12 Sentul Pasar merayu kerajaan menggazetkan kampung mereka sebagai sebuah Kampung Warisan Penempatan India dengan memberi geran hakmilik tanah yang sah untuk selama-lamanya.

Mereka yang terdiri daripada 31 buah keluarga merasakan kampung mereka amat sesuai dijadikan kampung warisan kerana ianya bersesuaian dengan struktur rumah yang dibina mengikut pelan 120 tahun yang lalu, di mana ia adalah kawasan penerokaan pertama nenek moyang mereka.

Menurut Wakil Perhubungan Awam Jawatankuasa Bertindak Kampung Railway Jaison Alex, tanah yang kini didiami oleh generasi ke-3 dan ke-4 merupakan khazanah peninggalan nenek moyang yang perlu dipertahankan demi mengenang jasa mereka khasnya kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

"Adalah wajar mewujudkan Kampung Warisan Penempatan India yang pertama di Malaysia di samping adanya Kampung Baru dan Perkampungan Cina. Perkampungan sedemikian di Malaysia melambangkang adanya masyarakat majmuk," katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen.

Sementara itu, Penyelaras jawatankuasa bertindak Pushpalila melahirkan rasa kecewa apabila masalah penempatan mereka langsung tidak diambil perhatian oleh mana-mana pihak.

Malah katanya, pihaknya telah menghantar memorandum kepada Ahli Parlimen Batu, DBKL, dan juga Perdana Menteri namun tidak ada respons.

"25 September lalu, kami menerima surat Pejabat Perdana Menteri daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur meminta DBKL menyusuli isu perumahan kami.

"Malangnya sehingga kini tiada sebarang maklum balas diberikan oleh DBKL," katanya.

Ekoran itu, penduduk meminta jasa baik wakil rakyat Pakatan Rakyat agar memanjangkan masalah mereka kepada kerajaan.

YTL Corporation Bhd dilaporkan telah membeli tanah itu pada tahun 2002 daripada KTMB dan memberi notis pengusiran kepada penduduk.

Apabila penduduk enggan untuk mengosongkan rumah mereka, YTL Corporation memfailkan kes mahkamah mengenai perkara itu.

Justeru itu, mereka menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Turut sama dalam sidang media itu Pengerusi Pertubuhan Pertahankan Tanah Warisan Kita (Warisan) Ishak Surin.

Kampung Railway didiami sejak tahun 1886, apabila buruh-buruh dibawa masuk dari India untuk membina landasan KTMB. Malayan Railway memberi kebenaran untuk membina rumah di tapak yang kini sudah menjadi perkampungan. Sewa bulanan dibayar kepada KTMB sementara cukai pintu dan tanah diserahkan kepada DBKL.

Isu perumahan mereka bermula pada tahun 1995 apabila DBKL memberi notis Ordinan 1969.

MP Pakatan pertikai usul potong gaji menteri ditolak

Salmiyah Harun, 22 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menyifatkan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak empat usul pemotongan gaji menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9) adalah bertentangan dengan kebiasaan parlimen.

Ini kerana, sebelum ini usul seperti ini bukan sahaja diluluskan malah ia juga dibahaskan.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan melalui amalan sebelum ini, usul berkaitan tidak perlu menyatakan sebab-sebab atau alasan pemotongan gaji di dalam usul tersebut.

Sebaliknya, kata beliau sebab-sebab usul tersebut perlu dinyatakan ketika dalam perbahasan sebagaimana pengalamannya sebelum ini.

"Pernah berlaku di dalam dewan ini, di mana saya pernah mengemukakan usul pemotongan gaji Perdana Menteri waktu itu Dr Mahathir, ketika itu Tun Zahir menjadi speaker tidak pun perlu menyatakan apa-apa alasan hanya sekadar memaklumkan di dalam usul tersebut," katanya dalam sidang media di lobi parlimen. (Gambar atas oleh SK)

Di dalam kertas pemberitahuan Mahfuz menyebut "bahawa perbelanjaan diluluskan dengan syarat dikurangkan sebanyak RM10 bagi maksud bekalan 6 - Jabatan Perdana Menteri - Kod 1000 emolumen iaitu dengan memotong gaji Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom".

Katanya, usul memotong gaji Jamil Khir dikemukakan kerana beliau telah mengelirukan dewan ketika menggulung berkaitan pengurusan Tabung Haji yang tidak adil dan telus.

Menurut Mahfuz, apabila usul diluluskan kemudian pihaknya akan memberi penghujahan dan alasan mengapa gaji menteri perlu dipotong sebanyak RM10.

"Hari ini pula Speaker buat tafsiran tidak boleh buat usul untuk potong gaji menteri. Selepas ini akan jadi rujukan kepada parlimen akan datang. Secara jelas perturan di dalam dewan maka inilah yang terpakai," katanya.

Mahfuz turut mengemukakan usul memotong gaji Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha pada Khamis lalu kerana isu kamera AES.

Sementara itu, Tony Pua menafikan dakwaan Pandikar Amin bahawa Ahli Parlimen Ipoh Barat Lim Kit Siang bersetuju supaya ahli parlimen DAP tidak mengemukakan usul memotong gaji menteri sebagaimana dalam pertemuan dengannya.

Menurut Tony Pua, Kit Siang menghadiri pertemuan tersebut sebaliknya hanya membincangkan polisi dan peraturan mesyuarat sedia ada.

"Hari ini Speaker minta peraturan mesyuarat 66(9) dibaca sekali dengan peraturan 57 yang menjelaskan usul itu ditolak, bila di persoalkan akhirnya Speaker guna peraturan 43 di mana menyebut keputusannya adalah muktamad," katanya.

17 Oktober lalu Tony memfailkan usul untuk memotong RM10 gaji Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ismail Sabri kerana didakwa menyalah guna kuasa dengan menggunakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menyiasat Suara Inisiatif Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching berkata, sudah 50 tahun parlimen menggunakan peraturan mesyuarat ini dan tidak pernah dikenakan syarat seperti ini.

"Saya pernah bangkitkan usul ini pada tahun 2009, Tan Sri sendiri tidak mengenakan syarat seperti mana hari ini," katanya yang mengemukakan usul potong gaji Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana gagal menunaikan janji membina Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Ikram gesa kerajaan perkasa pendidikan Islam

Harakahdaily, 22 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Ikram memandang berat mengenai kedhaifan Sekolah Agama Johor yang ditimbulkan oleh Laporan Ketua Audit Negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Ikram, Prof Dr Omar Yaakob.


Katanya, kelemahan kerajaan negeri dalam menguruskan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) menyebabkan 24 buah sekolah agama di seluruh negeri itu ditempatkan di pelbagai premis termasuk di sebuah bangunan rumah kedai.

“Laporan audit yang memeranjatkan ini timbul ketika pihak pendokong pendidikan Islam masih tertanya-tanya mengenai ketiadaan peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat dan peruntukan yang terlalu kecil,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kenyataan penuh beliau sebagaimana di bawah.

Ikram memandang berat mengenai kedhaifan Sekolah Agama Johor yang ditimbulkan oleh Laporan Ketua Audit Negara.

Kelemahan kerajaan negeri dalam menguruskan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) menyebabkan 24 buah sekolah agama di seluruh negeri itu ditempatkan di pelbagai premis termasuk di sebuah bangunan rumah kedai.

Laporan audit yang memeranjatkan ini timbul ketika pihak pendokong pendidikan Islam masih tertanya-tanya mengenai ketiadaan peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat dan peruntukan yang terlalu kecil kepada sekolah agama secara keseluruhannya daripada Kerajaan Persekutuan dalam pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri pada 28 September 2012.

Pembentangan tersebut menggambarkan agenda pembangunan pendidikan Islam tidak termasuk dalam transformasi yang dilaungkan oleh Perdana Menteri. Ia juga memberi maksud agenda Pendidikan Islam tiada tempat dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Pendidikan Islam sudah lama bertapak, telah beroperasi di Malaysia semenjak beberapa abad yang lalu. Pendidikan Islam tradisional telah dimulakan oleh pedagang-pedagang Arab yang tiba di kepulauan melayu pada tahun 674 masehi (55 Hijrah); iaitu sebelum kedatangan kuasa-kuasa barat.
Kini bilangan pelajar-pelajar yang mengikuti sistem pendidikan Islam di seluruh negara melebihi 800 ribu orang; bilangan pendidik melebihi 100 ribu orang; bilangan ibubapa melebihi sejuta orang.

Kesan sistem pendidikan Islam adalah positif. Selain melahirkan tokoh-tokoh ulama dan cendiakawan, umumnya sistem pendidikan Islam melahirkan individu-individu yang sedia berdikari, berakhlak dan mempunyai hemah diri yang tinggi.

Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi”.. adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu…” telah memperuntukkan Kerajaan Persekutuan diberikuasa untuk mengurus dan menghulur bantuan kepada institusi Islam.

Bagi membolehkan Pendidikan Islam terus berkembang, memperkasakannya dan tidak membiarkannya terpinggir; Kerajaan Pusat dan Negeri sepatutnya memberi peruntukan kewangan yang sewajarnya, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan tersebut.

Oleh itu, Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan ini menuntut agar semua sekolah, termasuk sekolah-sekolah agama, Sekolah agama rakyat dan sekolah agama swasta yang tidak berorientasikan keuntungan:-

1. dianggap sebagai sistem sokongan (complimentary) dan perlu digalakkan.

2. diberikan peruntukan harta modal, per kapita dan bantuan buku teks daripada KPM.

3. diberi taraf pengecualian cukai di mana ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini dibenarkan memohon pengecualian cukai bagi yuran yang mereka bayar untuk pendidikan anak-anak mereka.

4. disediakan peruntukan dan kemudahan kepada institusi pendidikan Islam sepertimana yang diberikan kepada sekolah-sekolah lain:-

4.1. Peruntukan pembangunan prasarana

4.2. Peruntukan gaji pendidik

4.3. Pelaksanaan kurikulum dan sistem pentaksiran pendidikan Islam

4.4. Kebenaran memungut dan menerima zakat

4.5. Peruntukan kemudahan P&P

4.6. Penyampaian maklumat menyeluruh mengenai perkembangan pendidikan kebangsaan

4.7. Pemeriksaan kesihatan

Hari ini PAS 'cerai' DAP, esok Najib umum PRU

Khairil Abdul Rahim, 22 Okt 2012
KUANTAN: Ahli-ahli parti dalam Pakatan Rakyat (PR) diingatkan supaya tidak menjadi ‘lidah musuh’ dengan memfokuskan perbezaan pandangan dan titik bengik sebagai keutamaan.


Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, sebaliknya semua anggota parti dan penyokong diminta terus beriltizam memperkemaskan gabungan tersebut kerana perpaduan yang dijalin merupakan senjata paling ampuh untuk menghadapi BN.

“Kalau hari ini PAS ceraikan DAP, besok (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib akan umumkan tarikh pilihan raya umum (PRU) besok. Kalau besok DAP ceraikan PKR, lusa Najib akan umumkan PRU.

“Jadi kita faham kenapa Najib susah sangat nak jumpa tarikh PRU kerana selama ini Umno dan BN boleh hidup dengan pelbagai isu perkauman dan cubaan memecah-belahkan PR. Oleh itu jagalah apa yang kita telah bina sejak 2008.

“Pada masa ini propaganda Umno bagi menggugat keyakinan rakyat ialah dengan menanam persepsi PKR ejen asing, DAP anti Islam, anti Melayu dan PAS pula digambarkan pakai terompah gambar Karpal Singh,” ujarnya.

Tambah Mohamad, meskipun itu itu hanya persepsi yang cuba dipropaganda lambat laun jika diulang-ulang rakyat tidak mustahil akan termakan juga.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvensyen PR Pahang di Dewan Sekilau, dekat sini semalam. Dalam program dihadiri 700 perwakilan ketiga-tiga parti seluruh negeri itu, sebanyak tiga kertas kerja dibentang.

Menurutnya, selain perhimpunan ‘Grand Final’ berkenaan, pelancaran perhimpunan kebangkitan rakyat akan berlangsung di Seremban pada 3 November ini.

“Pada awalnya perhimpunan besar-besaran itu dijangkakan pada 3 November tetapi atas alasan tertentu ia akan diadakan

Sementara itu Mohamad yang juga Pengerusi Lajnah Mobilisasi Demokrasi PAS mengumumkan tarikh 12 Januari 2013 sebagai himpunan sejuta rakyat bagi kesinambungan menagih tuntutan Bersih 3.0 yang belum dilaksanakan.

Manakala 3 November ini akan diadakan pra pelancarannya di Seremban.

Mohamad menambah, pada perhimpunan itu peserta akan memakai baju kuning sebagai tuntutan Pilihan raya bersih dan tuntutan Bersih 3.0, (warna) hijau tuntutan terhadap penjagaan alam sekitar termasuk mengenai projek Lynas, merah menuntut royalti minyak di Kelantan dan oren tuntutan berkaitan isu-isu Felda.

Sebelum itu Naib Presiden PKR Fuziah Salleh dan Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw turut berucap mewakili parti masing-masing.

Pada penghujung program pemimpin ketiga-tiga parti PR Pahang turut menyampaikan pidato dan satu resolusi bersama diambil.

Amal Malaysia perluas misi kemanusiaan ke Assam

Khairul Azlam Mohamad, 22 Okt 2012
KUALA TERENGGANU: Yayasan Amal Malaysia (Amal Malaysia) dengan kerjasama rakan strategiknya di negara India, Human Welfare Foundataion (HWF) akan mengadakan Misi Kemanusian dan Perubatan ke Wilayah Assam di Timur Laut India bagi membantu umat Islam sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Presiden Amal Malaysia, Hussin Ismail (gambar) berkata selain melaksanakan ibadah korban, kedua-dua badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa di bawah naungan Persekutuan Antarabangsa bagi Bantuan dan Pembangunan (International Federation For Relief & Development - IFRD) itu, akan menghulurkan khidmat bantuan ke wilayah yang bersengketa tersebut.

"Kita dengan kerjasama HWF di India akan mengadakan misi bantuan kemanusian dan perubatan ke Wilayah Assam, sebuah negeri di Timur Laut India yang bergelut dengan krisis antara kaum dan agama.

"Persengketaan antara puak Bodo dengan orang Islam, kumpulan minoriti yang bertutur dalam bahasa Bengali telah memuncak sejak Julai tahun ini mengakibatkan kira-kira 400,000 menjadi pelarian," ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, persengketaan di wilayah Assam telah berlaku sejak berdekad-dekad dan yang terburuk sebelum ini, pernah berlaku pada tahun 1983.

Oleh itu, beliau mengharapkan orang ramai yang prihatin dapat memberikan sumbangan kepada Yayasan Amal Malaysia, selain menjadi satu kewajipan kepada umat Islam di Malaysia membantu saudara seagama di Wilayah Assam.

Beliau meletakkan sasaran sekurang-kuranganya menyembelih 100 ekor lembu dan kerbau di Assam bagi melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha pada tahun ini.

Katanya, harga bagi satu bahagian korban lembu atau kerbau adalah sebanyak RM300 dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 24 Oktober ini.
Orang ramai yang mahu memberikan sumbangan atau menyertai skim ibadah korban di Wilayah Assam boleh mengubungi beliau di talian 019-9511860 atau 03-61874382 atau melalui akaun Yayasan Amal Malaysia BIMB 13053010003149, Maybank 553010122090, CIMB 14680000191108, HSBC 001057884021, Bank Muamalat 13010002499715 atau Pusat Dakwah Serantau BIMB 13053010005100.

SPR cetus kebangkitan rakyat

Muhammad Faizal, 22 Okt 2012
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan punca utama berlakunya kebangkitan rakyat sehingga menyebabkan himpunan Bersih diadakan, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Menurut beliau lagi, rakyat bangkit bersuara bukannya untuk menggulingkan kerajaan atau menimbulkan huru hara tetapi hanya menuntut satu pilihan raya yang adil dan telus.

"Bila rakyat hilang keyakinan atas ketelusan SPR dalam mengendalikan pilihanraya inilah akibatnya.

"Rakyat tidak mahu membuat sebarang huru hara ataupun mengulingkan kerajaan dengan cara himpunan besar-besaran, yang mereka mahukan adalah sebuah pilihanraya yang adil dan telus," katanya kepada Harakahdaily sewaktu ditemui di Shah Alam Convention Centre (SACC), semalam.

Jelas beliau lagi, jika SPR melaksanakan apa yang dituntut serta berada pada kedudukan yang tidak menyebelahi mana-mana parti, pasti rakyat akan memberi sokongan kepada sistem demokrasi negara ini.

"Kita melihat bagaimana berlakunya Bersih 1.0 hingga Bersih 3.0, saya pasti jika pada tuntutan kali pertama itu dilaksanakan oleh SPR maka kita tidak akan melihat wujudnya Bersih 2.0 atau 3.0.

"Secara keseluruhan kita tidak boleh menyalahkan rakyat atas apa yang berlaku, penyebab utama adalah SPR kenapa mereka begitu sukar untuk menunaikan apa yang dituntut," sambung beliau lagi.

Beliau yang sebelum itu memberitahu tidak akan ada himpunan Bersih 4.0 namun beliau mendesak agar SPR membersihkan senarai daftar pemilih yang telah menimbulkan keraguan terutama pertambahan luar jangka di Negeri Selangor.

Buruh paksa: RM207 bilion wang pampasan lesap?

Harakahdaily, 22 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan BN dituntut supaya menjelaskan di manakah wang bernilai RM207 bilion yang telah diberikan oleh kerajaan Jepun sebagai pampasan kepada 30,000 pekerja buruh paksa pembinaan landasan keretapi dari tahun 1942 hingga 1946.

Ini kerana, walaupun telah diterima kira-kira 10 tahun lalu namun sehingga kini ia tidak diserahkan kepada mangsa atau waris mereka.

Anggota Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin memberitahu Dewan Rakyat, beliau mempunyai dokumen yang mengesahkan kemasukan wang itu.

Yang mengejutkan, kata beliau, pada 13 Disember 2004, Bank Negara mengeluarkan banker's cek bernilai RM107 bilion dan RM100 bilion
lagi diperuntukkan dalam bentuk syer Maybank yang didaftarkan pada 13 Disember 2004.

Ini bermakna, wang RM207 bilion yang sepatutnya diberikan kepada 30,000 mangsa buruh paksa ini telah diterima kerajaan sebelum tarikh 13 Disember 2004 lagi, iaitu kira-kira 10 tahun lalu.

Namun sehingga kini, wang itu tidak diberikan kepada mangsa atau waris mereka.

Ekoran itu, kata Mohamad Nizar, bekas Menteri Besar Perak itu, Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Keretapi Siam ke Burma 1942 - 1946 telah menghantar surat kepada kerajaan Malaysia bagi menuntut wang itu.

Surat itu telah pun dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 27 Julai 2011 menuntut pembayaran wang itu.

“Sejumlah 30,000 rakyat Malaysia yang terlibat dalam pembinaan landasan itu. Sejumlah 60% daripada mereka itu adalah orang Melayu, 20% orang India, dan 15% orang Cina. Selebihnya 5% itu adalah kaum lain”.

Menurut Nizar, pejabat Perdana Menteri apabila menerima surat itu telah pun menyerahkan satu salinan untuk dipanjangkan kepada Kementerian Sumber Manusia ada 9 Ogos 2011.

Beliau juga difahamkan, semua pihak dalam kerajaan termasuk Jabatan Peguam Negara telah bersetuju agar duit itu diserahkan kepada 30,000 mangsa ini.

"Saya mahu menyatakan di sini kalau sekiranya perkara itu telah pun dibentangkan dan diluluskan oleh Kabinet, maka kenapa ianya harus disimpan oleh Treasury ataupun Bendahari Kewangan kita sebegitu lama?" soal Nizar dalam ucapannya itu.

Menurutnya, mereka yang terlibat ada yang telah meninggal dunia, ada yang warisnya masih ada.

"Saya boleh menyatakan bahawa ayah kepada Tan Sri Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Ketua Hakim Malaya hari ini adalah salah seorang daripada mereka yang dikerahkan oleh Kerajaan Jepun ketika itu untuk membina landasan kereta api dan dia masih hidup lagi.

"Dia masih ada di Ipoh dan boleh menceritakan bagaimana susahnya 30,000 rakyat Malaysia ketika itu," beritahu Nizar kepada Dewan Rakyat.

Nizar bertanya, "kalau sekiranya wang itu telah diberikan sebagaimana yang dinyatakan, maka kenapakah kerajaan masih tidak memberikan pampasan itu kepada rakyat Malaysia yang telah dipaksa untuk melaksanakan kerja-kerja itu?"

Bagi beliau, ini merupakan satu amanah yang sewajarnya rakyat Malaysia sedar kerana ini satu hak kepada rakyat yang dinafikan oleh kementerian-kementerian tertentu  iaitu Kementerian Kewangan barangkali, Bank Negara dan juga Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perdana Menteri yang telah pun mengarahkan supaya kertas Kabinet diluluskan.

"Jadi saya hendak bertanya sama ada rayuan daripada persatuan itu. Mereka merayu supaya pampasan diberikan kepada mereka, kenapa ianya dinafikan?" soal beliau tegas.

Menurut beliau juga, kerajaan Filipina, Indonesia dan juga Vietnam juga menerima wang yang sama dan telah diserahkan kepada rakyatnya yang terlibat.

Tiada ulasan: