Rabu, 17 Oktober 2012

RAKYAT TAHU SAPE KAKI RASUAH...SAMADA BERI RASUAH ATAU KAKI MENERIMA RASUAH...







Pra-Himpunan Kebangkitan Rakyat, Senawang 3 Nov

Harakahdaily, 17 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan mengadakan Pra-Himpunan Kebangkitan Rakyat di Senawang, Seremban 3 November ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu berkata, program itu merupakan pemula kepada program jelajah ke seluruh negara yang akan diadakan selepas itu, lapor Keadilandaily.

Program tersebut dijadual bermula jam 4 petang hingga 12 malam dengan dihadiri semua kepimpinan utama Pakatan Rakyat.

Antaranya termasuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Himpunan Kebangkitan Rakyat sepatutnya dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 3 November ini namun ditangguhkan kerana stadium tersebut akan digunakan untuk Pertandingan Bolasepak Piala Suzuki AFF.

Ianya telah diumumkan ditunda ke Januari Tahun hadapan dan pihak penganjur sedang membuat permohonan untuk mendapatkan sama ada Stadium Nasional Bukit Jalil atau Stadium Merdeka.

Bagaimanapun, pelancaran himpunan itu tetap dibuat pada tarikh sama tetapi dengan mengubah tempatnya ke Senawang Negeri Sembilan.

Dari Negeri Sembilan, program jelajah Kebangkitan Rakyat pula katanya akan bergerak ke seluruh negara mengikut zon dan negeri.

Menurut Mohamad, mereka akan bergerak ke setiap negeri termasuk Kedah, Terengganu, Pahang, Johor serta Perak dan diikuti negeri-negeri lain sebelum kemuncak himpunan tersebut di ibu negara Januari tahun hadapan.

Himpunan kali ini katanya adalah bertujuan menggesa lapan tuntutan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang hampir tidak dihiraukan oleh kerajaan.

Kalau BN telus, kenapa takut isytihar harta?

Aspan Alias, 17 Okt 2012
Kecelaruan yang negara alami kini, bukannya kerana masalah yang disebabkan oleh rakyat sebenarnya. Masalah yang ada pada hari ini adalah masalah yang disebabkan oleh pemimpin-pemimpin kita. Rakyat tidak memberi masalah kepada kerajaan. Sebaliknya kerajaan dan pimpinanlah yang memberikan masalah kepada rakyat sehinggakan rakyat sudah berang di dalam hati mereka yang menyebabkan mereka mempersoalkan segala tindak tanduk pimpinan dan parti yang memerintah negara kita sekarang ini.
Isu yang terbesar dalam negara kini ialah rasuah yang menyebabkan sistem kerajaan sekarang hampir lumpuh kalau kita sandarkan penilaian kita dengan negara-negara maju. Rasuah ini dilakukan oleh pemimpin-pemimpin justeru itu telah menyebabkan banyak perkara yang tidak betul lagi berlaku di hadapan mata rakyat.

Saya tertarik dengan cadangan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP, yang telah pun melakukan usaha yang bertanggungjawab mematikan budaya rasuah di negeri P Pinang yang beliau tadbir. Beliau mencadangkan beberapa cara untuk menghapuskan rasuah seperti yang beliau sendiri telah lakukan di P Pinang sejak beliau mentadbir negeri itu.

Di antaranya setiap ahli-ahli Pentadbir Negeri dari exco kerajaan serta pegawai pelaksana mengisytiharkan harta mereka. Mereka dikehendaki mengisytiharkan harta mereka termasuk akaun bank mereka di dalam dan di luar negara. Cara ini amat penting dilakukan kerana rakyat yang telah memberikan mereka mandat mahukan mereka mentadbir dengan bersih dan menghilangkan keraguan tentang kebersihan mereka menjaga harta benda rakyat.

Cadangan yang lainnya ialah mempastikan tidak ada ahli keluarga pemerintah yang terlibat dengan kontrak kerajaan dan ini merupakan satu cadangan yang sepatutnya sudah lama dilaksanakan oleh BN tetapi tidak dilakukan. Etika ini memang menjadi pakaian di negara negara maju di dunia ini. Tetapi di negara ini pemimpin-pemimpin kita tidak termampu untuk melakukannya kerana kedudukan mereka itu merupakan modal perniagaan bagi mereka dan keluarga serta kroni-kroni mereka.

Seperti yang dicadangkan oleh Lim Guan Eng pengisytiharan aset semestinya di ‘institutionalized’ kan kerana ia merupakan elemen yang terpenting dalam menjaga intergiti sesuatu kerajaan itu. Ini pun yang dilakukan oleh kerajaan negara-negara maju dan kebaikan amalan ini sepatutnya menjadi ikutan kita kerana ia adalah cara yang terbaik untuk menjaga rakyat dan negara. LGE telah memperkuatkan tindakan pengisytiharan harta ini dengan membuat mengesahan dari ‘akauntan bertauliah’ yang tidak boleh dipersoalkan kredibilti mereka.

Tetapi kalau kita hendak meniru dan menjadikan negara-negara mundur di Afrika seperti Zimbabwe dan sebagainya Najib dan BN tidak payah untuk bergegar-gegar berucap dan beretorik untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju menjelangnya tahun 2020. Tidak mungkin negara kita akan menjadi negara maju sedangkan kita masih terhambat oleh mentaliti politik dan kerajaan dunia ketiga. Tidak mungkin kita akan menjadi rakyat negara maju jika mentaliti kita masing masing berunsurkan mentaliti dunia ketiga.

Saya pernah diberitahu oleh rakan yang pernah duduk di dalam kabinet kerajaan hari ini yang ramai di antara menteri-menteri kita tidak bersetuju untuk mengisytiharkan harta benda mereka kepada umum. Sebab yang menyebabkan mereka tidak mahu mengisytiharkan harta mereka itu bukanlah susah untuk difahami. Sebabnya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana mereka tidak mahu diketahui umum tentang cara dan bagaimana mereka boleh melonggokkan sejumlah harta yang begitu banyak dengan rumah-rumah mewah, kereta mewah dan segala-galanya mewah.

Itu sebabnya selalu saya katakan rasuah sentiasa tidak membenarkan kita melakukan kebaikan kerana melakukan kebaikan itu akan menyekat masa depan perasuah negara. Kadang-kadang kita tidak memahami kenapa begitu degil dan payah sangat bagi pimpinan kita untuk melakukan kerja yang baik dan menjadi amalan di dalam negara-negara maju.

Sekarang kita mempunyai barisan pemimpin yang tidak mahu mengisytiharkan harta mereka di dalam dan di luar negara kerana mereka mendapatkan semua wang ringgit yang besar itu melalui kedudukan mereka di dalam kerajaan, dan itu adalah cara rasuah.

Pengisytiharan harta ini tidak mungkin boleh berlaku selagi barisan pimpinan ini menerajui kita dan selagi mereka boleh melakukannya rasuah ini tidak akan berhenti kerana seperti yang saya sebutkan rasuah ini merupakan ketagihan oleh pimpinan kita. Seperti penagih dadah, penagih rasuah juga tidak akan aman hidup mereka tanpa melakukan rasuah.

Oleh itu kita perlu melakukan sesuatu untuk rakyat Malaysia setanding dengan negara-negara maju dalam mana rakyatnya hanya memilih kerajaan yang bersih dan ‘sustainable’ kebersihan dari rasuah ini. Untuk menjadikan negara kita sebagai negara maju, sikap dan nilai, dan persepsi kita terhadap keterbukaan ini amat penting di perbetulkan.

Beberapa cadangan yang di utarakan oleh Lim Guan Eng itu sememangnya senang dilakukan jika semua pihak jujur dan ikhlas untuk melihat negara kita di tadbir oleh pimpinan yang bersih dan beretika. LGE sendiri sedang melaksanakannya dan tidak nampak kenapa pimpinan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri-negeri tadbiran BN tidak mahu melakukannya. Malahan apa yang dilakukan oleh LGE ini tidak digemari oleh BN kerana BN sememangnya tidak senang kerana rakyat telah nampak apa yang baik yang ada jika PR mentadbir negeri dan negara kita.

Tidak ada sebab langsung. Tetapi jika ada sebabnya ia tidak lain dan tidak bukan, ialah kerana mereka tidak mahu terbongkar segala kegiatan yang berunsur rasuah dan salahguna kuasa. LGE dan kerajaan negeri yang ditadbir oleh PR telah pun melakukannya. Bila pula kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri-negari tadbiran BN pula mahu melakukannya? Dalam isu ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan yang rakyat masih ada harapan untuk melihat negara kita dapat di selamatkan dari bankrap dan kejatuhan tamaddunnya.

Jika peluang dan harapan ini tidak diambil kesempatan oleh rakyat maka rakyat tidak boleh lagi menyalahkan sesiapa selepas ini. Rakyat masih boleh melakukan usaha-usaha menyelamatkan negara kita dari dirompak dan menjadi mangsa oleh pemimpin-pemimpin yang sudah ketagihan rasuah ini. Harapan rakyat ini hanya boleh dilakukan dengan meninggalkan yang buruk dan pergi kearah kebaikan. Rakyat telah pun nampak dimana dan bagaimana untuk mendapatkan kebaikan itu. Berfikir dan lakukannya dengan baik dan terhormat.

Tentulah kebaikan itu akan mula kita perolehi dalam pilihanraya yang akan datang ini. Jangan was-was kerana sikap was-was ini merupakan sikap yang terkeji. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Malaysia berpura-pura serius banteras rasuah

Lim Kit Siang, 17 Okt 2012
Saya telah menerima jawapan bertulis daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz kepada beberapa perkara yang saya telah bangkitkan tentang rasuah dalam ucapan Belanjawan 2013 di Parlimen 4 Oktober 2012 lalu, yang mana beliau tidak mempunyai masa untuk menjawab ketika penggulungan beliau.

Dalam ucapan saya, saya telah meminta Perdana Menteri untuk mengemaskini kepada Parlimen dan negara apakah tindakan yang telah diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dengan pelbagai laporan polis ke atas “trio” Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Saya telah bertanya secara terperinci apakah hasil daripada laporan polis berkenaan pertuduhan rasuah ke atas Peguam Negara terutamanya melibatkan buku terbaru peguam Zainal Abidin Ahmad bertajuk “Tan Sri Gani Patail: Pemalsu, Penipu, Penjenayah?”?

Ini adalah jawapan bertulis Nazri:

“Yang Berhormat Ipoh Timur ingin mengetahui tindakan terhadap dakwaan rasuah oleh Peguam Negara Malaysia sebagaimana dalam buku tulisan Zainal Abidin Ahmad yang bertajuk ‘Tan Sri Abdul Gani Patail Pemalsu, Penipu, Penjenayah’. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, buku yang ditulis oleh Zainal Abidin Ahmad mengenai dakwaan rasuah terhadap Peguam Negara yang bertajuk ‘Tan Sri Abdul Gani Patail Pemalsu, Penipu, Penjenayah’ masih dalam siasatan pihak polis.”

Berkenaan laporan rasuah ke atas Ketua Menteri Sarawak, jawapan bertulis Nazri menyatakan:

“Yang Berhormat Ipoh Timur, Yang Berhormat Bandar Kuching, Yang Berhormat Sibu, Yang Berhormat Puchong dan Yang Berhormat Serdang ingin mengetahui hasil siasatan tuduhan rasuah yang melibatkan YAB Ketua Menteri Sarawak. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, isu ini masih dalam siasatan SPRM. Siasatan kes-kes rasuah yang dibuat oleh SPRM adalah berlandaskan undang-undang dan memerlukan beban pembuktian yang cukup kukuh sehingga mencapai tahap (dengan izin) beyond reasonable doubt.  Ini kerana penyiasatan sesuatu kes itu menjurus kepada intipati kesalahan yang melibatkan keterangan saksi, dokumen dan bukti-bukti lain yang mampu menyokong kes berkenaan.”

Dalam ucapan saya, telah saya katakan walaupun membanteras rasuah adalah salah satu keutamaan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) bagi Program Transformasi Kerajaan (GTP) Najib, rasuah di Malaysia telah bertambah buruk dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini seperti yang dikesan  Indeks Persepsi Rasuah Transparency International.

Saya katakan saya bersetuju sepenuhnya dengan bekas anggota panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang yang menyatakan bahawa persidangan antarabangsa perangi rasuah di Kuala Lumpur hari ini adalah membuang masa dan hanya acara untuk kerajaan Malaysia berpura-pura serius membanteras rasuah.

Ini respon Nazri dalam jawapan bertulisnya:

Yang Berhormat Ipoh Timur membangkitkan isu berkenaan kejatuhan negara dalam skor Corruption Perception Indeks (CPI). Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bebanan pencapaian skor CPI tidak boleh diletakkan dibahu Kerajaan semata-mata dan kerjasama daripada semua pihak adalah sangat perlu agar tanggungjawab membanteras rasuah digembleng bersama di antara sektor Kerajaan, sektor swasta, masyarakat usahawan, NGO, parti-parti politik dan rakyat keseluruhannya bagi mencapai matlamat Pelan Transformasi Kerajaan ke arah menjadikan negara kita bebas rasuah.

Yang Berhormat Ipoh Timur mendakwa penganjuran 6th IAACA Annual Conference and General Meeting adalah membuang masa. Pandangan bahawa penganjuran 6th IAACA Annual Conference and General Meeting yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) adalah membuang masa dan tidak mencerminkan indeks persepsi rasuah negara adalah menunjukkan bahawa Yang Berhormat Ipoh Timur mempunyai pandangan yang cetek. Kerajaan berpandangan bahawa penganjuran ini boleh membawa impak yang besar kepada negara dari segi kerjasama antarabangsa dalam usaha pembanterasan rasuah. Ini kerana rasuah sebagai jenayah yang juga merentasi sempadan memerlukan kerjasama antarabangsa bagi membendungnya.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, IAACA secara rasmi telah ditubuhkan pada 22 Oktober 2006 di Beijing, China bertujuan membantu negara-negara ahli bagi memenuhi ketetapan dalam United Nations Convention Against Corruption (UNCAC). Persidangan pada tahun ini menekankan Artikel 6 UNCAC iaitu ‘Technical Assistance and Information Exchange’ sebagai tema.  IAACA mempunyai lebih daripada 300 ahli organisasi yang meliputi hampir semua agensi pengkuatkuasaan undang-undang memerangi rasuah dan melibatkan lebih daripada 2,000 ahli-ahli individu dari 18 buah negara termasuk pendakwa, penyiasat dan pakar-pakar yang mempunyai pengalaman dalam penyelidikan anti-rasuah.

Keputusan yang berjaya dicapai dalam persidangan-persidangan lepas termasuklah menghasilkan dua deklarasi penting iaitu mengenai kerjasama antarabangsa menentang rasuah dan pencegahan rasuah.

Fakta bimbangkan BN punca laporan audit lewat

Muhammad Faizal, 17 Okt 2012

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata kelewatan pengedaran Laporan Ketua Audit Negara 2011 dipercayai kerana terdapat beberapa maklumat yang memberi kebimbangan kepada BN.

Maklumat itu ujarnya termasuk fakta bahawa daripada 301 Pejabat Persekutuan yang diaudit, hanya 91 atau 30.2 peratus yang mematuhi semua prosedur kewangan manakala 210 lagi masih melakukan pelbagai kesilapan.

"Tidak ada sebab untuk mengatakan kelewatan laporan tersebut diberikan adalah kerana proses pengauditan tidak lengkap.

"Ketua Audit Negara telah memberi pengesahan yang laporan audit telah lengkap pada 12 Jun lagi," jelasnya.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 itu juga telah mengesahkan bahawa terdapat kelemahan yang berlaku yang tidak banyak berubah dari Laporan Ketua Audit Negara tahun sebelumnya.

"Nampaknya tidak ada apa perubahan, dan jika sebelum ini kita dikatakan berlaku kebocoran perbelanjaan sebanyak 20 peratus namun jelas ia masih berlaku dan tidak ada tindakan pembaikian diambil.

"Saya merasakan atas sebab inilah di antaranya kelambatan laporan ini diberikan kerana kerajaan tidak mahu teguran Ketua Audit Negara diketahui lebih awal dan menjadi bahan kepada bahas bajet 2013 yang lepas," sambung beliau lagi.

Azan memberitahu, penemuan tersebut bukannya fitnah dari Pakatn Rakyat sebaliknya  terkandung di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 dan mendesak kerajaan untuk memberi penjelasan.

Noh akui kelemahan pengagihan subsidi beras

Salmiyah Harun, 17 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar hari ini mengakui kelemahan pihak kerajaan dalam pengagihan subsidi beras kepada syarikat-syarikat yang mendapat kouta.

Bercakap pada sesi penggulungan bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata pihaknya kini dalam proses membuat kajian dan mencari mekanisma baru.

"Kita sedang mencari kaedah baru yang lebih memberi manfaat," katanya.

Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) ketika mencelah penggulungan itu meminta Noh menyenaraikan nama-nama syarikat yang mendapat subsidi beras dari kerajaan.

Menurut Mahfuz, kerajaan wajar mengkaji semula pemberian subsidi beras yang dilihat lebih menguntungkan syarikat pemborong berbanding rakyat kebanyakan.

Malah katanya, penyelewengan pemberian subsidi beras bukan perkara baru dan meminta kerajaan mengambil tindakan ke atas mereka yang mendapat kuota kemudian menjual semula subsidi itu.

"Saya pernah sebut sebelum ini, kerajaan kena kaji semula. Kenapa tidak sahaja beri subsidi lima peratus, semua orang pakat beli tidak ada lagi syarikat yang akan ambil keuntungan," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Menjawab permintaan Mahfuz itu, Noh berkata pihaknya bersedia memberikan senarai lebih 30 syarikat tersebut.

"Saya boleh bagi senarai syarikat itu, tapi YB (Pokok Sena) berjanji dengan saya akan bagi tahu syarikat mana yang tidak layak menerima kuota itu.

"Saya lagi suka. Saya minta YB Pokok Sena tolong kita," ujar Noh.

Pada tahun ini, kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM528 juta subsidi beras dan penggunaan beras sebanyak 180,000 tan metrik di seluruh negara.

Saya patut diberi ganjaran bukan dihukum - Karadzic

Terjemahan Mohamad Yahya, 17 Okt 2012
THE HAGUE: Bekas Pemimpin perang Serbia Bosnia, Radovan Karadzic memberitahu mahkamah perang Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa dia harus diberi ganjaran untuk "mengurangkan penderitaan", bukannya dituduh menjalankan jenayah perang.
(Wajah orang yang didakwa pembunuh beramai-ramai rakyat Bosnia, Karadzic)

Muncul pada hari pertama untuk mempertahankan diri beliau di The Hague Selasa lalu, Karadzic memberitahu para hakim bahawa dia tidak bersalah dan adalah seorang "manusia bertoleransi" yang cuba mendapatkan keamanan di Bosnia semasa perang 1992-1995.

Karadzic, 67, menghadapi 10 tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan semasa peperangan pada tahun 1990-an, termasuk pembunuhan beramai-ramai Srebrenica dan pengepungan Sarajevo.

Beliau telah ditangkap di Belgrade pada 2008, selepas menghabiskan 13 tahun dalam pelarian.

Karadzic memulakan kenyataan peribadinya selama empat jam dengan menyatakan beliau telah melakukan "segala-galanya dalam bidang kuasa manusia untuk mengelakkan peperangan dan mengurangkan penderitaan manusia".

"Saya seorang lelaki yang sederhana dan bertolak ansur," Karadzic memberitahu hakim-hakim di International Criminal Tribunal for the former Yugoslavia (ICTY), sambil menambah bahawa beliau "mempunyai kapasiti yang besar untuk memahami pihak lain.

"Saya, ataupun sesiapa sahaja yang saya tahu, tidak pernah terfikir akan ada satu pembunuhan beramai-ramai terhadap mereka yang bukan berwarganegara Serbia," katanya kepada mahkamah sambil diperhatikan isteri dan saudara-mara mangsa pembunuhan beramai-ramai dari galeri.

Audit: Tahniah kerajaan negeri Pakatan Rakyat

Harakahdaily, 17 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat kerana mendapat komentar yang positif daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang di dalam laporan Ketua Audit Negara 2011.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, Laporan Ketua Audit Negara 2011 telah membuktikan sistem pemerintahan dan pentadbiran yang cekap serta telus di Negeri Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang adalah lebih baik berbanding negeri BN.

"Kita merasakan Laporan Ketua Audit Negara 2011 telah membuktikan bahawa kecekapan dan kebijaksanaan pemimpin Pakatan Rakyat mentadbir walaupun dalam tempoh masa hanya 5 tahun.

"Ianya juga  adalah lebih baik daripada urustadbir pemimpin Barisan Nasional yang telah memerintah negara selama lebih 50 tahun yang penuh dengan pemborosan dan ketirisan," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan pujian dari ketua audit itu katanya, maka wajar bagi seluruh rakyat Malaysia memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara Malaysia daripada BN.

Sementara itu, beliau juga menghargai usaha kerajaan Negeri Selangor untuk menghadiahkan ganjaran sebanyak RM 20,000 kepada lapan jabatan dan agensi negeri yang telah mencapai prestasi pengurusan kewangan terbaik seperti yang telah dikeluarkan dalam Laporan Audit 201.

Agensi yang terlibat Majlis Perbandaran Subang Jaya, Pejabat Tanah dan Galian, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Agama Islam Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Sabak Bernam, Pejabat Menteri Besar/Setiausaha Kerajaan Negeri, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor dan Perbendaharaan Negeri Selangor.

"Kita mengharapkan semoga Kerajaan Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang akan terus meningkatkan mutu kerja pentadbiran dengan lebih baik selain tidak melupakan imbuhan yang sesuai kepada penjawat-penjawat awam yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan hasrat dan agenda kerajaan Negeri Pakatan Rakyat," tegasnya.

Tiada ulasan: