Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC) Datuk Seri Mohd Salleh Ismail meminta kerajaan supaya menyiasat terlebih dahulu "pelanggaran" kementerian pertanian berhubung penangguhan pembinaan pusat sembelihan yang didakwa menyebabkan masalah ke atas projek tersebut.

Katanya, penangguhan pembinaan Pusat Penyembelihan Berkualiti Eksport (EQA) itu antara lainnya menjejaskan pengeluaran daging lembu dan menyebabkan pembinaan kemudahan berkaitan – kilang makanan ternakan dan loji biogas – tertangguh.

Selain itu ia turut menyebabkan penangguhan ke atas program pembangunan usahawan (EQA), kata Mohd Salleh lagi dalam satu kenyataan hari ini.

"NFCorp ingin menjelaskan bahawa dakwaan perlanggaran oleh NFC, yang dinafikan, perlu dikaji secara menyeluruh untuk keadilan bagi semua pihak.

"Kami menggesa peguam negara untuk bertindak adil dan tidak terpengaruh dengan hujah politik pembangkang, serta menjalankan penyiasatan berdasarkan fakta yang diusulkan oleh Ketua Audit Negara di dalam Laporan 2010 beliau," katanya.

Beliau memohon demikian bagi mengulas kenyataan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 – bahawa kerajaan menimbang untuk mengambil tindakan sivil ke atas NFC dan mengutip semula pinjaman yang diberikan kepada syarikat tersebut.
Dalam satu wawancara dengan Malaysiakini yang disiarkan pada Februari lalu, pengarah strategi PKR Rafizi Ramli menjangkakan bahawa kerajaan akan menutup syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd yang merupakan syarikat induk NFC.
Katanya, beliau menjangkakan demikian memandangkan kerajaan juga sebelum ini menyelamatkan syarikat seperti Renong dan Perwaja Steel.

Tambahnya, situasi itu juga mungkin berlaku memandangkan NFC enggan mengakui kegagalan mereka dan menyalahkan "kerajaan, abattoir dan kartel (daging lembu) bukan Melayu".

Dalam wawancara itu juga, beliau berkata tindakan NFC itu tidak munasabah kerana syarikat tersebut mendapat akses kepada jumlah wang yang besar dan boleh membina abattoir besar mereka sendiri.

"Mengapa mereka tidak bina abattoir besar mereka sendiri? Mereka ada RM250 juta!.."
'Kau silap orang kalau nak ragut'
SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
17 Oktober 2012
'Kau silap orang kalau nak ragut'
Mangsa nekad mengejar peragut walaupun beg yang dilarikan hanya berisi RM2.
MELAKA - “Kau silap orang lah kalau nak ragut,” kata seorang remaja perempuan yang berang selepas  berjaya menangkap seorang lelaki yang meragut begnya di Telok Emas, di sini, malam kelmarin.
Peragut yang salah sasaran bukan sahaja tidak dapat menikmati RM2 hasil aktiviti jenayahnya, malah lebih malang dia turut ‘diganyang’ mangsa berusia 19 tahun.

Mangsa nekad mengejar lelaki terbabit selepas mengejarnya sejauh kira-kira dua kilometer dengan menunggang motosikalnya.

Sinar Harian difahamkan, penduduk kampung berhampiran turut membantu mangsa menghalang suspek berumur 21 tahun itu melarikan diri sebelum menghubungi pihak polis.
Sementara itu, mangsa ketika ditemui berkata, dia yang mengesyaki sesuatu terus menghafal nombor pendaftaran motosikal  suspek sebaik sahaja suspek menutup lampu hadapan motosikalnya ketika di persimpangan lampu isyarat Kandang/Alai.

“Saya meneruskan perjalanan dan tidak sedar bila dia menghampiri kerana laluan di situ gelap. Tiba-tiba dia ragut beg saya hingga menyebabkan telefon bimbit saya dalam jaket yang pakai turut terjatuh.

“Tanpa berfikir panjang, apatah lagi keselamatan diri, saya terus kejar lelaki terbabit yang melarikan beg saya memasuki simpang ke Taman Seri Emas,” katanya.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik ini, suspek jatuh terpelanting dari motosikal selepas cuba menendang motosikalnya.

“Dia cuba tendang motosikal saya tetapi saya dapat elak, malah saya sempat baling air minuman yang saya bawa balik dari tempat kerja. Selepas itu dia jatuh di sebelah longkang.
“Mula-mula saya ingat dia sudah mati sebab dia langsung tak bergerak tetapi seorang pakcik memeriksanya berkata dia masih hidup. Saya tidak dapat kawal diri lalu memukulnya.

“Ketika itu juga saya berkata ‘Kau silap orang lah kalau nak ragut. Kau buat macam ni seolah-olah kau hina perempuan. Kalau perempuan lain mungkin boleh jerit macam tu sahaja tapi dengan aku, aku kejar sampai lubang cacing,” katanya.
Menurutnya, dia yang masih trauma bagaimanapun menguatkan semangat untuk ke tempat kerja keesokan hari apabila disuruh ibunya dan menasihatkan supaya wanita lain berhati-hati serta tidak cuai sepertinya.
“Jangan letak beg dalam raga motosikal kerana memudahkan peragut mencapainya," katanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam.

Menurutnya, mangsa yang bekerja di sebuah restoran makanan segera di Melaka Raya menunggang motosikal sendirian, dalam perjalanan balik ke rumahnya di Serkam, Jasin.
Katanya, sebelum kejadian, mangsa menyedari suspek memadamkan lampu motosikal jenis Yamaha ditunggangnya ketika mereka berada di persimpangan lampu isyarat Alai/Kandang sebelum meneruskan perjalanan.

“Namun apabila sampai di laluan berbukit di hadapan sebuah sekolah agama, suspek meragut beg mangsa yang diletakkan dalam raga motosikal mangsa jenis Honda EX5.
“Mangsa yang berang mengejar suspek hingga ke Telok Emas sebelum suspek terjatuh sendiri ketika cuba menendang motosikal mangsa apabila tiba di laluan mati di Jalan Seri Emas Utama,” katanya di sini, semalam.
Salehhudin berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kandang, sementara suspek yang cedera seluruh anggota badan dihantar ke Hospital Melaka.
“Selain motosikal suspek, beg mangsa mengandungi RM2 dijadikan barang kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, “ katanya.
Pas: 'Tidak ada permohonan Musa Hassan setakat ini'
NURUL AINI MOHAMED ALI
17 Oktober 2012
SHAH ALAM - Pas hari ini menafikan khabar angin mengatakan bekas Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Musa Hassan akan menyertai parti itu kerana setakat ini mereka tidak menerima sebarang permohonan keahlian daripada beliau.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, Pas tidak mendengar khabar angin itu dan tidak mengetahui sama sekali berita itu.
“Setakat ini kami tidak terima lagi borang keahlian beliau. Jadi saya tidak boleh komen lanjut,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Beberapa blog dan portal sebelum ini mendakwa ura-ura mengatakan bekas ketua polis negara itu menyertai Pas.
Tambah menguatkan lagi berita, semalam Musa turut menarik balik ke saman beliau ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita tak mahu komen mengenai perkara ini. Kalau boleh komen pun, biar kami benar-benar terima borang keahlian, dari situ kami akan nilai semula,” ujar Mustafa.

Mengulas lanjut sama ada Pas sedia menerima Musa jika beliau menghantar borang keahlian, Mustafa mendakwa, “itu terpulang kepada parti.”
“Tidak elok nak cakap sesuatu yang belum tentu terjadi ini, kalau betul-betul ada, baru kita akan nilai,” katanya.
Musa nafi sertai Pas, kes Anwar tiada kaitan
RUZY ADILA IDRIS
17 Oktober 2012
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan
SHAH ALAM – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menafikan dengan keras khabar angin yang mengatakan beliau akan menyertai Pas atau mana-mana parti.
Malah beliau juga menegaskan, keputusannya menarik balik kes saman ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam tiada kaitan dengan khabar angin dan spekulasi kononnya akan menyertai parti politik pembangkang termasuk Pas.
“(Khabar angin) tidak ada kaitan dengan kes semalam,” kata beliau kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Ketika ditanya dakwaan dan spekulasi di laman siber bahawa beliau akan menyertai Pas, Musa yang bersara sebagai Ketua Polis Negara akhir 2010 berkata: “Itu tidak benar."
"Kalau cerita-cerita yang keluar di Internet tu, tahu sahajalah kebenarannya.
“Lagipun sama ada Pas ataupun Umno, tidak ada sesiapa pun yang datang berjumpa saya untuk menawarkan keahlian,” kata beliau lagi.
Semalam, Musa menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, berhubung siasatan insiden 'mata lebam' pada 1998.
Keputusan itu dicapai dan diputuskan di hadapan Hakim Datuk Asmabi Mohamad semasa prosiding hari pertama perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan memutuskan kes itu dibatalkan tanpa sebarang kos.
Musa menjelaskan, sejak mula berkhidmat sebagai anggota polis, beliau tidak pernah terlibat atau menyatakan sokongan terhadap mana-mana parti politik.
Ketika ditanya sama ada beliau akan menyertai Pas jika ada tawaran, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
“Saya tidak boleh cakaplah tentang perkara di masa depan.
“Pada diri saya, saya bebas dan undi saya adalah rahsia jika ditanya tentang parti mana yang akan saya pilih pada pilihan raya,” kata beliau yang kini mengajar secara kontrak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Baru-baru ini beberapa laman web dan portal berita termasuk Harakahdaily melaporkan seorang bekas Ketua Polis Negara akan menyertai Pas.
Pas, rakan komponen Pakatan Rakyat, telah menerima kemasukan beberapa bekas pegawai kanan perkhidmatan awam, antaranya bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Fauzi Shaari.
Turut menyertai Pas ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Nik Zain Nik Yusof.
Pembangkang gesa henti Itis
Wartawan Sinar Harian
17 Oktober 2012
Nurul Izzah bercakap kepada media di lobi Parlimen, semalam.
Nurul Izzah bercakap kepada media di lobi Parlimen, semalam.
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) mendakwa Sistem Maklumat Trafik Bersepadu (Itis) yang diperkenal sejak 2005 sebagai gagal dan perlu dihentikan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, projek itu yang dibekalkan 255 CCTV (kamera litar tertutup) dan  728 kamera  AID (Automatic Incident Detection) masih tidak mampu berfungsi sepenuhnya.

“Laporan Ketua Audit Negara 2011 menunjukkan 70.6 peratus orang awam tidak tahu kewujudan Itis ini dan sehingga kini, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) masih beri geran Itis RM68 juta untuk penyelenggaraan.

“Ia menunjukkan projek itu gagal dan membazir wang rakyat,” katanya di lobi Parlimen, semalam.

Berikutan itu, Nurul Izzah bersama Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan yang lain iaitu Dr Tan Seng Giaw (DAP - Kepong), Tan Kok Wai (DAP - Cheras), Fong Kui Lun (DAP - Bukit Bintang) dan Lim Lip Eng (DAP - Segambut) mengesa Menteri Wilayah Persekutuan dan

Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib segera menjawab perkara itu.

Sementara itu Kok Wai berkata, pihaknya mempersoalkan perkara itu sejak 2008 lagi, tetapi DBKL tidak memberi jawapan sewajarnya mengenai fungsi Itis.

“Projek ini libatkan belanja besar iaitu melebihi RM400 juta, tetapi tidak beri kesan positif kepada rakyat,” katanya.

Lip Eng pula berkata, beliau pernah membangkitkan perkara itu pada Jun lalu di Dewan Rakyat.

“Jawapan diterima menyatakan 140 unit Variable Message Sign (VMS) dipasang sejak 2004, tetapi sehingga kini hanya 46 unit sahaja berfungsi.

“Lebih mengejutkan apabila saya diberitahu, kompenan VMS tiada alat ganti, tetapi kementerian memperuntukkan RM1.5 juta setahun untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Secara jelas berlaku ketirisan serius dalam projek ini,” katanya.
NFCorp mahu AG berlaku adil

17 Oktober 2012
NFC
NFC
SHAH ALAM - National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) mahu Peguam Negara bertindak adil dan tidak terpengaruh dengan hujah-hujah politik pembangkang dalam isu berkaitan dengan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Selain itu, NFCorp juga mahu siasatan berkaitan syarikat dan projek berkenaan dijalankan berdasarkan fakta-fakta yang telah diusulkan oleh Ketua Audit Negara dalam laporannya.

Isu itu timbul susulan pandangan Ketua Audit Negara dalam laporannya yang dikeluarkan tahun lalu.

"Kami menggesa Peguam Negara untuk bertindak adil dan tidak terpengaruh dengan hujah-hujah politik pembangkang, serta menjalankan penyiasatan berdasarkan fakta-fakta yang telah diusulkan oleh Ketua Audit Negara di dalam Laporan 2010 beliau," kata Pengerusi Ekekutifnya, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Ismail dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Salleh berkata, pihaknya merujuk kepada liputan media ekoran daripada Laporan Ketua Audit Negara 2011
berkaitan NFCorp.
Laporan Audit tersebut telah menyatakan bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji kemungkinan untuk mengambil tindakan sivil terhadap NFCorp.
Sehubungan itu kata beliau, NFCorp ingin menjelaskan bahawa dakwaan perlanggaran oleh NFCorp, yang didakwa wujud, perlu dikaji secara menyeluruh untuk keadilan bagi semua pihak.
Salleh menambah, Peguam Negara perlu menjalankan siasatan terhadap perlanggaran pertama yang dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selepas penangguhan dilakukan terhadap pembinaan Pusat Penyembelihan Berkualiti Eksport, yang mampu menyembelih sebanyak 350 ekor lembu sehari.
"Penangguhan ini telah memberi impak terhadap jumlah pengeluaran daging lembu, penangguhan terhadap pembinaan kemudahan-kemudahan berkaitan seperti kilang makanan ternakan dan loji bio gas serta penangguhan terhadap Entrepreneur Development Programme (EDP) – di mana semuanya amat bergantung kepada EQA," katanya lagi.
Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang dikeluarkan kelmarin menyatakan beberapa langkah yang dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap NFCorp berikutan kegagalannya memenuhi syarat perjanjian yang ditandatangani dan prestasi projek yang tidak dicapai.
Salah satu langkah yang dipertimbangkan adalah mengambil tindakan undang-undang sivil.
Mengulas perkara itu semalam, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, keputusan Kerajaan Persekutuan yang mahu mengambil tindakan sivil ke atas NFCorp tidak "mencukupi."
Sebaliknya tegas Rafizi, Kerajaan Pusat perlu mendapatkan kembali dana RM250 juta yang disalurkan bagi membiayai projek NFC.
“Apabila kerajaan mengambil keputusan untuk mengenakan tindakan sivil terhadap NFCorp, sedang NFCorp adalah sebuah syarikat yang mengalami kerugian dan tiada harta, kerana semua wang itu telah dipindahkan ke syarikat lain,” katanya.
Rafizi mendesak kerajaan supaya menguna pakai Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) bagi merampas dan membekukan segala harta yang diperolehi keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, yang memiliki NFCorp.
Salleh merupakan suami Shahrizat.
Mazlan: 'Anak tidak mahu asas Tun Razak dikhianati'
Ruzy Adila Idris
17 Oktober 2012
Mazlan: 'Anak tidak mahu asas Tun Razak dikhianati'
Mazlan menunjukkan peta lokasi untuk projek Rapid di Pengerang, Johor. - Foto oleh jurugambar Muhammad Zulfadhli Ahmad Zaki
NAMA Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman yang sinonim dengan perjuangan mempertahankan hak-hak anak peneroka Felda yang ada kalanya kelihatan ‘agak’ agresif. Di sebalik cabaran dan kontroversi yang membabitkan beliau, beliau kelihatan seolah-olah tidak tegar dengan beberapa halangan dalam usaha untuk menyampaikan maklumat kepada warga Felda khususnya.

Dalam temu bual bersama Sinar Harian Online semalam, Mazlan menekankan bahawa beliau konsisten dalam perjuangannya. Katanya, walaupun sudah lama kali ditahan, beliau tidak akan patah semangat untuk meneruskan perjuangannya.

Mazlan, yang juga pemimpin Pas Pusat menekankan: "Bagi kami ada hasil perjuangan kami itu."


SINAR HARIAN ONLINE: Bolehkah saudara menjelaskan perkembangan perjuangan membela nasib anak peneroka Felda?

MAZLAN: Saya memulakan karier untuk memperjuangkan isu-isu yang berkaitan Felda ini sudah lebih 20 tahun lalu, semenjak 1990 selepas saya habis belajar. Ketika itu, saya telah diminta oleh ibu untuk menguruskan Felda apabila arwah bapa saya meninggal dunia oleh kerana adik-adik masih bersekolah.

Pada waktu itu, harga komoditi kelapa sawit begitu rendah pada waktu itu begitu rendah dan saya perlu memikirkan masa depan adik-adik yang masih belajar dan sebagai anak sulung, saya perlu berkorban untuk keluarga. Ekoran itu, saya terfikir, apabila berada di tanah rancangan Felda itu, saya perlu melakukan sesuatu yang berguna kepada masyarakat di sekeliling saya.

Sebagai anak felda yang dibesarkan dalam lingkungan kehidupan yang sukar pada ketika itu, di mana tanggungan ibu bapa kepada anak-anak yang masih bersekolah ketika itu sangat tinggi dan pada waktu itu juga, persekitaran membabitkan gejala sosial serta kemudahan asas yang kurang ketika itu begitu mencabar.

Jadi beberapa faktor ini termasuk faktor mana-mana lingkungan dan hak warga Felda selalu dinafikan. Jadi kita tahu kebanyakan peneroka Felda ini tidak berpendidikan tinggi, mereka terpaksa pula berdepan dengan masalah hutang piutang, perahan gred sawit pada kadar yang mereka nikmati adalah lebih rendah dari yang sepatutnya dan mereka tidak mempunyai saluran bagaimana mereka boleh memperjuangkan nasib mereka.

Pada ketika itu, mestilah ada pihak lain untuk membantu mereka. Bagi saya, orang yang paling hampir untuk membantu mereka ialah anak-anak peneroka sendiri.

Jadi daripada situlah bermulanya perjuangan saya bermula untuk ketengahkan isu-isu ini.

Walaupun proses itu panjang tetapi pada peringkat ini, saya amat berpuas hati dengan perkembangan pada masa sekarang.


SINAR HARIAN ONLINE: Sejak bila anak ditubuhkan dan sudah berapa keahlian dicatatkan.

MAZLAN:
Sebelum itu, sebagai permulaan, saya buka sebuah pusat aduan yang dipanggil Pusat Khidmat Peneroka tetapi, saiz pusat itu terlalu kecil dan sukar menampung aduan-aduan yang begitu banyak. Kalau setakat saya dan dibantu dengan beberapa orang sahabat, terlalu banyak aduan dan rintihan peneroka yang terpaksa kami tangani.

Bayangkan terdapat 112,635 peneroka daripada 317 tanah rancangan Felda dan jumlah ini tidak termasuk 143 ladang-ladang Felda Plantations. Bermakna saiznya besar dan berada dalam lingkungan 1.6 juta kakitangan Felda di seluruh negara.

Tekad saya untuk menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk untuk tangani isu-isu Felda. Maka pada 4 November  2007, maka tertubuhlah Anak dan sejak ditubuhkan sehingga hari ini, Anak mencatatkan keahlian seramai 8,000 orang di seluruh Malaysia di mana ahlinya terdiri daripada anak, cucu, cicit dan menantu peneroka Felda.


SINAR HARIAN ONLINE: Sejak mula ditubuhkan hingga hari ini, bagaimana respons anak-anak Felda terhadap Anak?

MAZLAN: Kalau nak diikutkan dari segi kemampuan memang kita tidak terdaya bila kita terlalu banyak maklum balas sehingga saya terpaksa menggunakan beberapa medan termasuk keluarkan borang aduan, menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS), talian bebas tol, e-mel dan Facebook sebagai medan komunikasi masyarakat Felda.

Apa yang menariknya, selain peneroka dan anak peneroka yang datang mengadu kepada kita, kebelakangan ini terdapat juga beberapa kakitangan dan bekas kakitangan Felda juga tampil mengemukakan aduan dan meminta kami membantu mereka.

Jumlah golongan ini yang datang berjumpa dengan saya semakin meningkat dari semasa ke semasa.


SINAR HARIAN ONLINE: Apakah bentuk aduan yang dikemukakan oleh kakitangan dan bekas kakitangan Felda ini?

MAZLAN: Aduan terbaru yang diterima ialah daripada 42 bekas pengurus kanan ladang Felda yang ditamatkan perkhidmatan mereka lebih awal. Maknanya sepatutnya mereka masih boleh berkhidmat sehingga umur 56 atau 58 tahun, tetapi pada usia 55 tahun, mereka sudah diberhentikan.

Sedangkan mereka masih mampu memberi sumbangan dan masih mempunyai tanggungan anak-anak yang masih bersekolah sehingga menyebabkan mereka hilang mata pencarian.

Mereka tampil meminta kami merujuk kepada kesatuan sekerja mereka untuk membantu mereka membawa masalah itu untuk perhatian pihak kerajaan dan memikirkan solusi terbaik buat mereka.

Saya dimaklumkan, pemberhentian awal itu disebabkan oleh polisi Felda Global Venture Holdings (FGVH) di mana saiz ladang Felda Plantations dikecilkan daripada 143 kepada 100 ladang.


SINAR HARIAN ONLINE: Selepas menerima aduan, apa langkah seterusnya?

MAZLAN: Sebenarnya saya dalam usaha untuk membuat temu janji dengan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok ekoran kejatuhan harga komoditi yang begitu teruk sehingga membebankan peneroka.

Yang keduanya, saya sedang berusaha juga untuk bertemu dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan penamatan perkhidmatan seperti ini dapat ditangani oleh kerajaan.

Langkah ini diambil supaya setiap permasalahan yang timbul perlu ada jalan penyelesaiannya.


SINAR HARIAN ONLINE: Perjuangan saudara sering dipersoalkan dan dikaitkan dengan politik kerana saudara juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat. Boleh jelaskan?

MAZLAN: Bagi saya jika kita berhujah dengan bayangan politik, buktikan kepada saya tokoh-tokoh NGO yang tidak terlibat dengan politik? Contohnya Datuk Ibrahim Ali, beliau juga ahli politik yang menaungi Perkasa.

Seorang lagi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, beliau juga Ketua Penerangan Umno dan juga seorang menteri. Jadi, adakah dengan pembabitan kita sebagai ahli politik memisahkan kerja-kerja kebajikan kita untuk membela nasib rakyat?

Bagi saya, adalah sangat baik jika seorang ahli politik itu dapat menunjukkan kepada masyarakat usaha-usaha yang dijalankan untuk membantu mereka. Saya memilih politik kerana saya yakin saya berkemampuan untuk melakukan kerja-kerja ini.

Lebih sentimental lagi, saya sendiri adalah anak peneroka dan maka dengan itulah perhatian dan penumpuan saya adalah perkara-perkara yang berkaitan dengan peneroka dan generasinya.

Apa salahnya di sebalik kemunculan saya sebagai ahli politik dan sebuah badan NGO ini dapat memberikan kebaikan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Saya fikir, ini bukan satu isu untuk diperbesar-besarkan.


SINAR HARIAN ONLINE: Hubungan saudara dan Datuk Ahmad Maslan dilihat tegang kerana sering berbalas-balas kenyataan dan saudara pernah ajak beliau debat, walaupun akhirnya pelawaan itu ditolak. Adakah serangan-serangan itu sebenarnya bersifat mencari populariti politik dan tidakkah itu mengelirukan warga Felda?

MAZLAN: Sebenarnya, saya dan beliau datang dari negeri yang sama. Beliau orang Pontian, saya orang Kulai. Umur kami juga sebaya iaitu dilahirkan pada tahun 1966.

Walaupun beliau tidak rapat dengan saya, tetapi kami bina hubungan dan beliau sendiri ada menghubungi saya melalui SMS terutamanya jika ada isu-isu yang penting. Walaupun berbeza parti, tetapi dari sudut kepentingan rakyat, saya menghormati beliau kerana beliau merupakan menteri yang dipertanggungjawabkan ke atas Felda.

Jadi, walau apa pun, saya tetap merujuk kepada beliau terutamanya perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar kerajaan.

Sama ada saya berbeza pandangan dengan beliau itu soal lain, tetapi dari sudut hubungan, memang terjalin. Sejak Anak ditubuhkan, kami juga pernah membuat sidang media bersama membabitkan isu-isu yang penting.

Contohnya, apabila Anak mengusulkan mengenai tanah Felda Plantation yang luasnya 360,000 hektar diagih-agihkan kepada generasi kedua Felda kerana ada sebahagian yang masih kekal duduk di Felda, mereka tidak ada rumah ataupun tapak rumah. Sedangkan mereka sudah mempunyai keluarga sendiri.

Jadi apa salahnya, kalaupun tidak dapat diagihkan kepada semua anak-anak Felda, tetapi diberikan kepada anak peneroka. Soal keluasan tanah itu soal teknikal.

Saya juga ada mengemukakan aduan-aduan yang diterima yang tidak dapat ditangani dengan pantas oleh pihak kerajaan. Maka, sebagai wakil Anak, saya menyerahkan kepada beliau 20 aduan yang diterima lebih setahun lalu. Penyerahan aduan itu dibuat semasa beliau melancarkan Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) Malaysia yang dipengerusikan oleh Tan Sri Rozali Ismail yang dipanggil Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak).

Malahan surat-surat atau aduan-aduan yang saya hantar, saya tetap memberikan salinan kepada beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kalau nak cakap dari segi hubungan, saya boleh cakap saya tidak ada masalah dengan beliau.

Ketegangan yang terpamer ini bagi saya hanyalah ekspresi dalam mengemukakan pandangan-pandangan yang berbeza dan itu adalah perkara biasa.


SINAR HARIAN ONLINE: Jika sudah lebih setahun aduan dikemukakan, apa tindakan yang telah diambil oleh pihak kerajaan?

MAZLAN: Itu terpulang kepada mereka. Saya ada mendapatkan maklum balas dari pihak peneroka-peneroka selepas tiga bulan kerana mereka yang membuat aduan.

Apa yang mendukacitakan, menteri hanya menjawab perkara itu akan ditangani tetapi proses penyelesaian tidak berlaku. Sebab itu, bagi saya, adalah lebih baik kita menggunakan platform yang mempunyai penyelesaian dan bukannya pertembungan yang mempunyai isu-isu yang sangat remeh.

Seperti isu status Anak, isu ini sudah basi kerana sudah dibangkitkan sejak dulu lagi. Apa yang paling sesuai ialah proses untuk menangani isu rakyat. Itu perhatian kita kerana rakyat sedang menunggu apa formulanya.

Bagaimanapun saya bersyukur, selepas 20 tahun berjuang, akhirnya isu perumahan untuk generasi kedua telah disebutkan oleh Perdana Menteri bahawa 20,000 unit rumah yang membabitkan peruntukkan sebanyak RM1.5 bilion. Bagi kami ada hasil perjuangan kami itu.

Dulu mereka anggap remeh isu ini, tetapi hari ini sudah mendapat liputan dalam Bajet (2013) lalu. Kejayaan ini juga disebabkan oleh tekanan bertubi-tubi yang dikenakan ke atas kerajaan. Saya yakin, mereka sudah berfikir, undi orang muda itu penting bagi meraih kemenangan dalam pilihan raya kelak.


SINAR HARIAN ONLINE: Kebelakangan ini, Pas mula 'melancarkan perang' di Johor sebagai usaha menawan negeri kubu kuat BN dengan mengaitkan isu Projek Pembangunan Bersepadu Petrokimia (Rapid) di Pengerang dan saham FGVH. Adakah Pas menolak kemajuan dan pembangunan?

MAZLAN: Saya telah maklumkan beberapa kali kita tidak pernah menolak pembangunan bahkan kita selalu memberikan respon dan cadangan jika ia memberikan kebaikan kepada rakyat.

Sebagai contoh, projek Iskandar Malaysia kita tidak pernah menolak bahkan kita menyokong. Pihak kerajaan wajar mengambil kira beberapa aspek-aspek termasuk faktor survival rakyat yang menjadi penduduk di situ.

Misalnya isu projek rapid yang kini dikenali sebagai Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia bukan perindustrian. Perindustrian Petroleum Petronas (PPIC), yang menjadi persoalan ialah sekian banyak ada tanah kerajaan, mengapa tanah yang menjadi penempatan rakyat pula yang hendak diambil?

Sedangkan, jika projek itu tetap dilaksanakan, banyak pertimbangan yang harus diproses seperti penempatan penduduk, pampasan, premis-premis yang sudah ada di situ, tanah perkuburan dan banyak lagi.

Mengapa tidak ia dipindahkan supaya tidak mengorbankan kediaman penduduk yang sudah tinggal di situ lebih 120 tahun lalu.


SINAR HARIAN ONLINE: Dalam isu Rapid Pengerang, saudara juga nampak begitu vokal dalam mengetengahkan isu itu. Mengapa?

MAZLAN: Mungkin sebelum ini orang hanya kenali saya sebagai Presiden Anak. Untuk makluman, di peringkat Pas Pusat, saya juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tanah dan Wilayah. Bermakna isu-isu yang berkaitan hal-hal tanah duduk di bawah bidang kuasa saya. Maknanya Felda, Risda, Felcra.

Kerana isu tanah inilah jugalah saya tidak dibenarkan oleh pihak imigresen untuk masuk ke Sabah dan Sarawak berikutan tindakan saya memperjuangkan tanah adat di sana.


SINAR HARIAN ONLINE: Dalam misi membela nasib anak-anak Felda ini, saudara juga berhadapan dengan beberapa ancaman dan rintangan seperti rumah disimbah cat, dilarang masuk Sabah dan Sarawak. Apakah langkah yang diambil bagi mengelak perkara sama berulang?

MAZLAN: Ini bukan perkara baru yang berlaku kepada saya. Sebenarnya sejak saya mula memulakan menangani isu Felda, 20 tahun lalu saya sudah menghadapi beberapa saat getir dan lebih kritikal dalam meperjuangkan hak anak-anak peneroka ini.

Antara perkara yang paling terkesan dalam hati saya apabila keluarga saya sendiri mahu disingkirkan dari tanah rancangan Felda oleh pentadbiran Felda di peringkat ibu pejabat pada tahun 1990-an kerana kurang senang dengan perjuangan saya.

Saya juga pernah ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap sebanyak lapan kali.


SINAR HARIAN ONLINE: Saudara dimasukkan ke dalam lokap itu atas kesalahan apa?

MAZLAN: Pelbagai... ada yang kerana dilarang masuk ke negeri-negeri tertentu saya ditahan, ada yang ketika saya sedang berceramah di kawasan Felda saya juga ditangkap.

Malahan, saya juga pernah dikepung oleh berpuluh-puluh anggota polis tahun lalu di Trolak, Perak kerana didakwa, saya tidak dibenarkan masuk ke negeri itu. Polis mendapat arahan untuk menahan saya.

Saya pernah ditahan selama tiga atau empat hari di dalam lokap. Jadi, apa yang saya alami dahulu jauh lebih sukar dari apa yang saya hadapi pada masa sekarang. Saya sudah lali dengan semua ini.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini, saya bukan sahaja tidak serik, malah perjuangan saya untuk rakyat tidak akan terhenti selagi isu-isu yang membabitkan rakyat ini tidak dinoktahkan dan satu formula penyelesaian yang positif untuk rakyat dan menjamin masa depan untuk warga Felda.

Kita kena ingat, Felda wujud sebelum merdeka iatu pada tahun 1956. Kalau hari ini, kita tidak berjuang mempertahankan hak 97 peratus peneroka Felda, macam-macam perkara boleh berlaku pada masa akan datang.

Oleh kerana itu, saya telah beriltizam untuk terus berjuang dan menggunakan apa sahaja saluran untuk membantu mengatasi masalah peneroka. Saya sudah bertemu dengan Menteri Besar Johor, cubaan untuk berjumpa Perdana Menteri sudah dibuat berkali-kali tetapi masih gagal, saya juga sudah menghantar surat menghadap Yang di-Pertuan Agong dan saya harap permohonan saya diperkenankan oleh baginda untuk sampaikan hasrat kita.

Maknanya segala platform yang ada telah digunakan yang penting hak rakyat diutamakan.


SINAR HARIAN ONLINE: Adakah saudara bersetuju Felda adalah satu projek yang dicontohi dunia, terutamanya oleh negara-negara Afrika dan Amerika Selatan sehingga ada negara mengambil contoh Felda sebagai model untuk dilaksanakan di negara mereka. Adakah saudara bersetuju jika dikatakan Felda ini amat berjaya dari segi matlamat penubuhannya?

MAZLAN: Setiap kali kalau saya mengulas mengenai sejarah Felda ini, saya tidak pernah lupa untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Allahyarhan Tun Abdul Razak. Bagi saya, gagasan beliau untuk mewujudkan Felda sehingga menjadi contoh dunia menunjukkan kehebatan pemimpin dahulu.

Maknanya, apa yang baik saya tidak pernah nafikan. Bahkan, ketika berceramah, jika saya teringat saya akan meminta hadirin untuk sedekahkan Al-Fatihah kepada beliau kerana mengingati tokoh yang hebar seperti beliau.

Saya difahamkan, ketika peringkat awal beliau ingin membuka Felda di kawasan hutan belantara yang ketika itu negara masih diancam dengan komunis, beliau telah melantik beberapa wakil di kalangan beberapa anggota tentera berunding dengan pihak komunis supaya projek penerokaan hutan ini tidak diganggu oleh komunis.

Kisah ini disampaikan sendiri kepada saya oleh ahli keluarga salah seorang pegawai tentera itu. Antara kawasan yang terlibat termasuklah di kawasan–kawasan seperti di Bentong, Pahang dan di Grik, Perak.

Maknanya ini adalah kehebatan Tun Razak dan pegawai-pegawai beliau di zaman itu yang tidak dapat dinafikan.

Tetapi yang menjadi persoalan pada hari ini ialah mengapa pemimpin-pemimpin hari ini mengkhianati asas-asas yang telah dibangunkan oleh Tun Razak. Bagaimana satu kawasan yang sebegitu luas harus dikorbankan demi kepentingan pemimpin-pemimpin hari ini.

Apa akan berlaku jika saham FGVH terus jatuh dan prestasinya lemah? Dan, kita juga bimbang nasib Bank Bumiputra iaitu satu-satunya institusi kewangan yang dibangunkan untuk membela nasib orang Melayu menimpa Felda.

Ini semua tidak mustahil untuk berlaku. Atas sebab kebimbangan inilah menyebabkan saya dan beberapa sahabat di kalangan anak-anak peneroka maklumkan kepada peneroka bahawa penentangan Anak bukan hanya berlandaskan kepentingan politik semata-mata.

Separuh daripada ahli Anak terdiri daripada penyokong-penyokong Pakatan Rakyat (PR) manakala separuh lagi adalah penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) dan ada juga yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Bersama-sama mereka inilah kami mendokong aspirasi untuk menyelamatkan hak mereka.
Syarikat Kedah pinjam RM134 juta untuk projek di Papua
  • Aidila Razak
  • 4:08PM Okt 17 2012
 
Anak syarikat kepada Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) mengambil pinjaman AS$40 juta (RM134 juta) tanpa kelulusan lembaga pengarah untuk projek pembalakan dan pembangunan yang kemudiannya bermasalah.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011, pinjaman itu dibuat pengarah urusan dan pengurus besar oleh Kedah Corporation Bhd (KCB) untuk projek di Papua New Guinea.

NONE"Pinjaman tersebut diperolehi melalui Capital Investment Agency (CIA) iaitu sebuah syarikat perunding kewangan yang berpejabat di London," laporan itu dipetik.

Menurut laporan itu lagi, perunding itu dibayar secara ansuran sebanyak RM1.6 juta dan RM4.67 juta sebagai komisen dan yuran guaman walaupun pinjaman itu dibatalkan pada Januari 2010.

"Pinjaman terbabit dibatalkan setelah mendapati syarat pinjaman projek tidak memihak kepada syarikat dan ketidakmampuan membayar balik pinjaman," demikian menurut laporan audit lagi.

Audit mendapati perjanjian untuk pelaburan berisiko tinggi antara KCB dan syarikat Papua New Guinea MAS Incorporated ditandatangani pada 12 Oktober 2008.
Mani haiwan RM486,100 belum 'bernyawa'
  • Aidila Razak
  • 2:22PM Okt 17 2012
 
Sebuah anak syarikat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) didapati masih belum menggunakan air mani kambing dan lembu untuk permanian berhadas bernilai hampir setengah juta ringgit.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011, Marditech Corporation mengimport air mani daripada Afrika Selatan dan Australia untuk tujuan pembiakan.

Daripada 3,800 straw mani kambing dan lembu yang diimport antara 2007 hingga 2011, sebanyak 3,334 straw bernilai RM486,100 belum digunakan sehingga 31 Disember 2011.

Sebanyak 380 embrio kambing bernilai RM528,000 juga belum digunakan juga belum digunakan sehingga tarikh sama.

Audit juga mendapati Pusat Embrio Haiwan Negara hanya mengeluarkan 35 baka walaupun mengucapkan 199 embrio kambing, dengan peratus kejayaan 17.6 peratus.

Marditech bagaimanapun menyifatkan sebagai "sangat memuaskan" ekoran teknologi itu masih baru di rantau ini, dengan membandingkan peratus kelahiran melalui kaedah itu di negara maju yang industrinya sudah matang juga juga hanya 20 hingga 30 peratus sahaja.
Bayi 8 bulan mangsa dera meninggal dunia
KAMARUL HALIM M KAMAL
17 Oktober 2012
Bayi 8 bulan mangsa dera meninggal dunia
Nur Irisyafida Balkis dimasukkan ke hospital itu Khamis lalu setelah tidak sedarkan diri selama enam hari, dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya.
BATU PAHAT - Seorang bayi berusia lapan bulan meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri selama enam hari, dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya.
Nur Irisyafida Balkis, dimasukkan ke hospital itu Khamis lalu kerana mengalami tiga keretakan di tempurung kepala, patah tangan kanan dan kaki kiri. Masih belum diketahui bagaimana bayi itu didera.
Dia meninggal dunia jam 2.30 petang semalam di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini.
Ibu mangsa, yang dikenali sebagai Aida, 29, ketika ditemui berkata, sewaktu Balkis dimasukkan ke hospital, dia terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Aida terkilan kerana Balkis, yang sudah pandai merangkak dan baru hendak belajar berjalan, tidak sempat menggunakan 'baby walker' yang dibelinya.
Hutang dijamin k'jaan melepasi paras RM100b
  • Kuek Ser Kuang Keng
  • 8:49AM Okt 17 2012
 
LAPORAN AUDIT Pinjaman terkumpul yang dijamin kerajaan persekutuan meningkat sebanyak RM19.85 bilion atau 20.5 peratus pada tahun 2011 dan buat pertama kalinya telah melepasi paras RM100 bilion untuk mencecah RM116.76 bilion, demikian didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Angka ini telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh empat tahun dan mengalami peningkatan pesat sejak tahun 2008. Peningkatan dari tahun 2008 kepada 2011 adalah 69 peratus atau RM47.52 bilion.

Pinjaman dijamin kerajaan adalah pinjaman yang diambil oleh badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat tetapi dijamin oleh kerajaan persekutuan di bawah Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965.
NONE
Pinjaman ini adalah berasingan daripada hutang kerajaan persekutuan dan tidak dicerminkan dalam bajet tahunan, dan sering digambarkan sebagai sebahagian daripada "hutang tersembunyi" negara.

Menurut laporan audit, hutang kerajaan persekutuan pada tahun 2011 mencecah RM456.12 bilion, atau 51.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), beberapa peratus di bawah siling hutang digubal 55 peratus.

Jika RM116.76 bilion pinjaman kerajaan terjamin dimasukkan ke dalam hutang persekutuan, maka jumlah hutang akan menjadi RM573 bilion atau 65 peratus daripada KDNK, yang jauh melebihi siling hutang.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan telah berhujah bahawa kerajaan tidak mengambil kira liabiliti luarjangka seperti pinjaman off-budget, dalam nisbah hutang-kepada-KDNK.

Pinjaman PTPTN
NONE
Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan bahawa RM116.76 bilion yang terkumpul pada tahun 2011 merupakan jumlah pinjaman dalam dan luar negeri dua badan berkanun dan 23 syarikat berkaitan kerajaan yang dijamin Putrajaya pada akhir tahun 2011.

Kenaikan sebanyak RM19.85 bilion dari tahun 2010 adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan pinjaman untuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), gergasi perladangan Felda dan Jambatan kedua Sdn Bhd

Kerajaan juga menjamin pinjaman baru yang diambil oleh Syarikat Govco Holdings Bhd, Pengurusan Air SPV Bhd dan SRC International Sdn Bhd pada tahun 2011.

PTPTN, yang telah menambah pinjaman dengan ketara sejak tahun 2007, mengambil 17 peratus atau RM20.35 bilion daripada jumlah pinjaman yang dijamin kerajaan, diikuti oleh Pengurusan Air SPV Bhd (RM9.5 bilion atau 8 peratus) dan Felda (RM3.42 bilion atau 3 peratus).

Pinjaman tertunggak PTPTN meningkat lebih dua kali ganda -  daripada RM7.5 bilion pada tahun 2007 kepada RM20.35 bilion pada tahun 2011 -  peningkatan tertinggi di kalangan semua peminjam yang dijamin kerajaan persekutuan.
NONE