Rabu, 17 Oktober 2012

AUDIT NI MENUNJUKKAN PENYELEWENGAN...PENIPUAN..SONGLAP SERTA KELEMAHAN MENTADBIR...SERTA WANG YANG TIRIS...NI MERUGIKAN NEGARA...SERTA GAGAL MELAKSANAKAN AMANAH RAKYAT

Myanmar tunjuk sikap benci Rohingya bantah OIC

Harakahdaily, 17 Okt 2012
Bantahan oleh sami-sami Myanmar dan kerajaannya untuk OIC membuka pejabat di Myanmar menunjukkan kebencian yang mendalam pihak berkuasa terhadap orang Islam Rohingya.


Adalah wajar untuk OIC bertapak di Yangoon untuk menangani penderitaan yang dialami oleh orang-orang Rohingya.


Kerajaan Myanmar dengan tegasnya telah menyatakan bahawa ia tidak mahu menerima Muslim Rohingya sebagai rakyat yang sah.


Rentetan penderitaan yang berterusan yang dialami oleh orang-orang Rohingya di Arakan, adalah wajar untuk sebuah agensi antarabangsa yang keutamaannya adalah kebajikan Muslim untuk menubuhkan pejabat komunikasi di sana.


Ia merupakan pejabat diplomatik untuk komuniti Muslim antarabangsa  berhubung dan menyelesaikan konflik antara Muslim dan penganut Buddha di Myanmar yang telah berlanjutan berdekad lamanya.


Kami menentang sekerasnya penafian berterusan terhadap hak asasi manusia kaum minoriti di Myanmar yang berasaskan kebencian terhadap agama. Penafian ini tidak memberi petanda yang baik untuk penyatuan Myanmar mahupun kestabilan komuniti Asean.


Sentimen “demokrasi hanya untuk penganut Buddha” yang diterima pakai oleh pemerintah elit Myanmar dan sami-sami di sana adalah sebab utama terhadap bantahan ini. Sentimen ini sama sekali bertentangan dengan prinsip asas untuk menjadi Negara yang bersatu padu yang mempunyai berbilang kaum yang telah menjadi sebahagian daripada pembangunan Negara Myanmar selepas kemerdekaan.


OIC berhak untuk ambil peduli terhadap pembunuhan dan kekejaman ke atas Muslim Rohingya memandangkan ini merupakan ketidakadilan terhadap Muslim minoriti di Negara Buddha. Situasi ini bertambah buruk apabila mereka bukan sahaja disekat dari mendapat  keperluan asas untuk meneruskan kehidupan malah turut dinafikan hak untuk hidup.


Adakah  kerajaan Myanmar menjangka agensi antarabangsa harus  berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa sedangkan seluruh komuniti Rohingya sedang dihapuskan, padahal mereka pernah turut terlibat dalam perjuangan untuk membebaskan negara tersebut dari jajahan koloni British?


Orang Rohingya telah mengenepikan peristiwa bagaimana penjajah British  menjadikan negeri Arakan yang dahulunya bebas dan berdaulat sebagai sebahagian dari Burma. Mereka  dengan rela terlibat dalam pembangunan negara untuk memajukan Myanmar dengan prinsip pemerintahan demokrasi. Kini, hanya satu sahaja yang mereka pinta, iaitu mendapat hak kerakyatan yang sah.


Bantahan terhadap pembukaan pejabat OIC di Yangoon adalah sangat melampau. Bantahan ini bukan berkenaan hak kerajaan Myanmar dan campur tangan oleh kuasa luar. Ia sebenarnya melibatkan kebebasan untuk menghapuskan satu komuniti.


Perbuatan ini adalah amat mengaibkan di negara yang sepatutnya memelihara dan mengamalkan ajaran Budhha yang amat menghormati dan menjaga nyawa.


Tatkala komuniti yang tidak mampu untuk membela diri dizalimi semaksimanya, tidak ada seorang pun ahli politik Myanmar, termasuk ikon pemenang Nobel Peace, Aung San Suu Kyi bangkit untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini apatah lagi untuk mengembalikan hak kenegaraan orang Rohingya.


Kami menyatakan bantahan keras ke atas polisi Myanmar yang menafikan hak Muslim Rohingya untuk diwakili secara diplomatik oleh OIC.


Kami melihat ini sebagai keangkuhan pihak berkuasa Myanmar untuk mencari penyelesaian  kemanusiaan dan politik untuk mengatasi penderitaan orang Rohingya.

Kami menyeru Sekretariat OIC segera menganjurkan mesyuarat untuk respons kepada isu untuk mewujudkan Pejabat kecemasan untuk orang Rohingya di Asean dengan kerjasama badan-badan NGO.


Kami menggesa bantuan kemanusiaan OIC kepada  mangsa kekejaman "ethnic cleansing" Rohingya di Myanmar ini harus dilaksanakan secepatnya tanpa  bertangguh.
Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi SHURA ( Sekretariat Himpunan Ulama’Rantau Asia)

Mohd Azmi Abdul Hamid

Setiausah Agung MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia)

Audit 2011: PR adalah wajah baru untuk Malaysia

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, 17 Okt 2012
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyifatkan pencapaian kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang mendapat penarafan yang baik dan memuaskan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang telah dibentangkan sebagai satu pengiktirafan bahawa pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat adalah ‘wajah baru untuk Malaysia’.

Nilai keadilan sosial dan kebajikan rakyat adalah keutamaan di dalam urustadbir kewangan negara dan negeri.

Dengan laporan audit ini, rakyat sewajarnya dapat menilai kemampuan dan kompetensi serta akauntabiliti yang dimiliki oleh Pakatan Rakyat berbanding ketidakcekapan dan pecah amanah yang menjadi budaya UMNO dan BN sejak 55 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Kelewatan menyiapkan projek pembinaan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan yang dilaporkan mencatatkan peningkatan nilai kontrak semasa kepada RM177.76 juta, iaitu peningkatan sejumlah RM34.76 juta (24.3%) berbanding kontrak asal yang bernilai RM143 juta.

Projek jambatan baru ini telah diluluskan di dalam RMK-9 sebagai alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalulintas dan menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna untuk menyeberangi Sungai Kelantan.

Agensi pelaksana bagi projek ini ialah Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), manakala Konsortium I.S Resourcers Sdn Bhd – RIS Capital Sdn Bhd telah dilantik secara rundingan terus untuk melaksanakan projek ini dalam tempoh 30 bulan iaitu dari 18 Jun 2007 hingga 17 Disember 2009 dengan kos asal RM143 juta.

Bagaimanapun, projek ini telah diserah hak kepada Aneka Prestij Sdn Bhd pada bulan Mac 2010 untuk menyiapkan baki pembinaan yang gagal disiapkan setelah mendapat persetujuan daripada JKR.

Namun, sehingga 31 Disember 2011, kemajuan kerja di tapak projek adalah di paras 76.5% dan pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya pembinaan projek ini adalah kurang memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan dalam aspek perancangan dan pelaksanaan.

Dengan begitu banyak ketirisan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku kewibawaan dan peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) yang ditubuhkan pada 1 Januari 1991 untuk mengambilalih tugas-tugas dan peranan Pejabat Kemajuan Negeri Kelantan sebagai agensi utama menyelaras dan memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan persekutuan di Negeri Kelantan dipersoalkan.

Ternyata, JPPK gagal untuk memastikan kawalan yang rapi ke atas projek-projek persekutuan mulai daripada fasa perancangan hinggalah kepada pelaksanaan projek, dan beliau turut menuntut supaya laporan audit agensi JPPK ini turut dibentangkan kepada umum untuk dinilai.

Kejayaan agensi kerajaan Negeri Kelantan dipuji apabila 10 agensi kerajaan negeri menerima penarafan audit ‘Sangat Baik’ (4 Bintang), 10 agensi dengan penarafan ‘Baik (3 Bintang), dan 1 agensi mendapat penarafan ‘Memuaskan’ (2 Bintang), tanpa ada satu agensi pun yang diberi penarafan ‘Tidak Memuaskan’.

Prestasi yang sama turut direkodkan oleh keseluruhan agensi kerajaan negeri Kedah, Selangor dan Pulau Pinang apabila tiada satu pun agensi negeri berkenaan yang mendapat penaragan ‘Tidak Memuaskan’ di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Kebajikan rakyat pasti lebih terbela apabila amanah menguruskan khazanah kewangan negara dan negeri dipikulkan ke bahu pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat yang telah diakui ketelusannnya sebagai ‘wajah baru negara Malaysia’ di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011, berbanding wajah ‘syaitan-syaitan yang dikenali’.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Kelantan lulus Enakmen Lembaga Talian Paip Petroleum

Salmah Mat Husain, 17 Okt 2012

KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini meluluskan Enakmen Undang-Undang Lembaga Talian Paip Petroleum Kelantan bagi mengurus hal tanah, kawal selia pembinaan dan operasi telaga paip.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, kerajaan negeri bersetuju supaya swasta menerajui pembinaan saluran paip petroleum dari Bagan Datoh Perak ke Sungai Dua, Bachok.

Katanya, projek itu merangkumi aktiviti pemindahan petroleum daripada pelabuhan luar pantai di Bagan Datoh melalui saluran paip sepanjang 350 km ke Kelantan.

Enekmen itu mengandungi 34 fasal dicadang Husam disokong Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Datuk Anuar Tan Abdullah kemudian mendapat kelulusan anggota Dewan.

Husam berkata, petroleum yang dipindahkan melalui saluran paip dicadang disimpan atau disetorkan di kompleks simpanan di Machang sebelum dieksport semula melalui pelabuhan di Bachok.

Menurutnya setor penyimpanan petroleum akan dibina di Bukit Bakar Machang, manakala pelabuhan petroleum luar pantai akan dibina di Bagan Datoh Perak dan Bachok.

Tubuh badan khas siasat GLC gagal bayar dividen

Abdul Aziz Mustafa, 17 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak mahu kegagalan kerajaan mengutip dividen dari syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dibebankan kepada rakyat.

"Kita tidak mahu berlaku keadaan di mana kerajaan yang gagal dalam pentadbiran kewangannya, contohnya gagal mengutip dividen dari GLC, tiba-tiba hendak buat Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) dan membebankan rakyat akibat kegagalan kerajaan itu," katanya.

Mahfuz berkata, Laporan Audit menunjukkan, dari 47 GLC, hanya 23 syarikat telah memperolehi keuntungan sebelum cukai.

Bagaimanapun, daripada 23 syarikat yang memperolehi keuntungan tersebut, hanya 10 syarikat yang membayar dividen kepada kerajaan.

"Terdapat tunggakan dividen kepada kerajaan sebesar RM147 bilion dari GLC antara 2008 hingga 2010," katanya.

Apa yang berlaku itu, katanya, menunjukkan kelemahan ketara dalam pentadbiran kewangan kerajaan.

"Ia bukan sahaja soal GLC berkenaan gagal membayar dividen kepada kerajaan, tetapi lebih dari itu kegagalan kerajaan untuk mengutip dividen tersebut serta memastikan GLC berkenaan membayar dividen tersebut.

"Kerajaan bukan rakyat biasa yang menjadi pelabur runcit dengan membeli sejumlah saham yang kecil sehingga terpaksa menunggu belas ihsan syarikat berkaitan menghantar dividen kepada mereka.

"Hakikat yang berlaku, pelabur runcit pun dapat dividen," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz juga mempersoalkan apa tindakan kerajan kepada Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GLC berkenaan.

"Adakah tidak ada apa-apa tindakan sedangkan gaji CEO itu semua mahal-mahal belaka," katanya.

Beliau juga mendesak satu badan khas yang bebas ditubuhkan untuk menyiasat kegagalan GLC berkenaan membayar dividen yang begitu besar jumlahnya itu.

"Kita tidak mahu keuntungan GLC berkenaan tiris kepada Barisan Nasional (BN) atau kepada pemimpin parti berkenaan melalui pelbagai penajaan, sumbangan dan sebagainya," kata beliau.

Lebuh raya: Menteri cuba alih kepada air Kelantan

Salmiyah Harun, 17 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor cuba menutup kegagalan kerajaan pusat membina lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu yang pernah dijanjikan semenjak tahun 1996 apabila cuba mengalih kepada isu air Kelantan.

Ahli Parlimen PAS melahirkan rasa tidak puas hati apabila menteri berkenaan terus berdolak-dalik setelah mereka membangkitkan isu lebuh raya berkenaan.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pembinaan lebuh raya itu adalah sebahagian daripada cadangan kerajaan pusat yang bermula di Pahang seterusnya ke Kota Bharu.

Malah katanya, menteri juga akui walaupun ada cadangan untuk meningkatkan taraf jalan tersebut tetapi kos terlalu tinggi menyebabkan kerajaan pusat membatalkan rancangan tersebut.

Katanya, kerajaan Kelantan sedar akan keperluan lebuh raya tersebut amat mendesak dan kegagalan kerajaan pusat untuk melaksanakannya maka kerajaan negeri terpaksa memulakan inisiatif untuk melaksanakan lebuh raya tersebut.

"Saya menyeru supaya kerajaan pusat khususnya Kementerian Kerja Raya mengambil inisiatif untuk berbincang tetapi jawapan mereka negatif dan mengalih kepada isu air dan sebagainya," katanya dalam sidang media di lobi parlimen. (Gambar atas oleh SK.)
Menurutnya, Kelantan mempunyai banyak sejarah misalnya kerajaan negeri membina Jambatan Sultan Yahya pertama pada tahun 1960 tanpa memerlukan bantuan pusat walaupun ia adalah tanggungjawab kerajaan pusat.

"Ternyata dalam kes pembangunan negeri Kelantan, kerajaan pusat amat negatif. Setelah kerajaan negeri ingin menambah Jambatan Sultan Yahya yang baru kerajaan pusat tiba-tiba dengan segera membina jambatan yang baru, sehingga hari ini masih tidak siap.

"Inilah yang kita kesalkan kerajaan pusat tidak mempunyai sikap positif dan ikhlas membina jambatan tersebut," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, pemberian royalti sebanyak RM10.4 billion akan memberi kemampuan kepada Kelantan untuk mendapatkan RM1.8 billion bagi membina lebuh raya berkenaan.

Malangnya, kata beliau rakyat sudah berputus asa dengan janji Kerajaan Pusat sehingga terpaksa menggunakan sistem wakaf untuk membina lebuh raya yang menjadi keperluan mereka.

"Kerajaan pusat seolah-olah tidak faham peranan dan tanggungjawab mereka. Saya akan katakan kerajaan pusat tetap menganatirikan rakyat kelantan," katanya.

Ahli Parlimen Pasir Putih Mohammad Husin kecewa apabila kerajaan menanguhkan projek lebuh raya itu ke dalam RMK-11.

"Projek ini diumumkan zaman Abdullah Badawi bermula dalam RMK-8, kemudian ditangguhkan ke RMK-9, RMK-10 dan akhirnya hari ini ditangguh lagi ke RMK-11," katanya kesal.

Terdahulu, Shahziman dalam penggulungan Kementerian Kerja Raya memberitahu kerajaan tidak pernah membatalkan projek lebuh raya ini sebaliknya hanya menangguhkan untuk penilaian semula.

Shahziman juga tidak yakin sebanyak RM1.8 billion boleh dicapai melalui kutipan yang dilancarkan oleh kerajaan Kelantan.

Ladang Rakyat kekal konsep kebajikan

Salmah Mat Husain , 17 Okt 2012
KOTA BHARU: Gara-gara tidak dimasukkan kos pelaksanaan kerja syarikat bagi tahun dua dan tiga menyebabkan berlaku sedikit kesilapan Laporan Audit Negara 2011 berkaitan Tabung Amanah milik Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kesilapan itu biar pun nampak kecil namun ia melibatkan jumlah yang agak besar.

“Ladang Rakyat kekal dengan konsep kebajikan yang tidak berisiko. Ini kerana tanah masih kekal atas nama Ladang Rakyat, tidak dicagar atau tidak dipajak,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2013 pada hari terakhir persidangan Dun petang ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 menyebut penyalahgunaan Akaun Amanah Peserta bagi program Pembangunan Ladang Rakyat dikenal pasti antara kerajaan Kelantan gagal mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan pesertanya.

Laporan itu juga mencadangkan program dilaksanakan secara usahasama dengan syarikat bagi mendapatkan pulangan lebih tinggi.

Bagaimanapun Ahmad berkata, pendekatan yang diamalkan Ladang Rakyat dengan memberi sewa kepada pemaju dapat mengekalkan tanah milik Ladang Rakyat tanpa memberi hak milik kepada sesiapa.

“Kaedah ini dianggap suatu pendekatan yang baik berbanding melalui usahasama dengan syarikat dengan ekuiti 30-70 atau sebagainya.

“Ladang Rakyat melantik pemaju dengan syarat-syarat yang perlu mereka patuhi. Sekiranya mereka langgar syarikat terbabit akan dikeluarkan demi untuk mengekalkan status Ladang Rakyat dengan konsep berkebajikan,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau kerajaan negeri tetap meneruskan program Ladang Rakyat untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Program Ladang Rakyat diwujudkan sejak 2006 sehingga kini memberi manfaat kepada lebih 4,500 penduduk miskin di seluruh Kelantan, di mana bulan mereka diberi dividen sebanyak RM200.

PAS minta penjelasan SPR kempen di media sosial

Anis Nazri, 17 Okt 2012
KUALA LUMPUR: PAS menuntut penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung larangan parti politik berkempen di media sosial selepas jam 12 tengah malam.

Penjelasan itu perlu dilakukan memandangkan ia tidak jelas, selain bertentangan dengan penggunaan media sosial yang bersifat 24 jam.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr. Hatta Md. Ramli, berkata penggunaan terma parti politik itu tidak jelas, sama ada ia membabitkan calon, wakil calon dan sebagainya.

"Ia juga seolah-olah menyekat kebebasan seseorang, lebih-lebih lagi media sosial seperti Facebook, Twitter ini lebih berbentuk peribadi," kata beliau kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tidak bersetuju dengan larangan tersebut, lebih-lebih lagi di saat Pakatan Rakyat tidak mendapat ruang di media utama.

"Ia satu perkara yang tidak munasabah, selain usaha menyekat Pakatan Rakyat untuk berkempen di media sosial, khususnya di saat Pakatan Rakyat tidak mempunyai ruang di media utama," tambah beliau lagi.

Dr. Hatta juga berkata tindakan SPR itu hanya menjadikn badan pengendali pilihn raya itu sebagai tidak sesuai dan tidak relevan dalam perkembangan media sosial hari ini.

AES: Kelantan mungkin ikut langkah Pulau Pinang

Aslani M, 17 Okt 2012

KOTA BHARU: Kelantan mungkin mengikut jejak langkah Pulai Pinang menggantung sementara pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi kesalahan trafik kerana ia dianggap menguntungkan syarikat kroni.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, Kelantan mungkin boleh mengikut jejak langkah serupa kerana projek berkenaan dilihat memberi keuntungan kepada kroni.

“Sebelum ini Pulau Pinang mengumumkan tidak akan meneruskan pemasangan AES sementara menunggu kajian berhubung pelaksanaan projek tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2013 pada persidangan Dun hari ini.

Baru-baru ini Ketua Menteri, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, Pulau Pinang akan mengkaji pemasangan kamera AES dan membincangkan dengan semua pihak yang berkepentingan.

Menurutnya kamera AES dianggap sebagai “kamera 1Malaysia” akan dikaji secara terperinci untuk memastikan ia memenuhi tujuannya dan bukannya berkhidmat sebagai “sumber kewangan untuk kroni”.

Bermula 23 September lalu sebanyak 14 kamera AES dipasang di kawasan hitam di Lembah Klang dan Perak.

Difahamkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mensasarkan pemasangan 831 kamera AES secara berperingkat dalam masa 18 bulan di seluruh negara.

Mengikut satu laporan pada lapan hari pertama pelancaran sebanyak 63,558 kesalahan trafik dicatatkan dan sebanyak 170 juta saman akan dikeluarkan.

Dua syarikat pengendali AES iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd, yang mana kedua-dua syarikat itu dikatakan mensasarkan 10 juta saman dikeluarkan setahun.

Husam berkata, biar pun rakyat diberi BR1M sebanyak RM500 bagi kali kedua, namun saman tersebut dikenakan kadar kompaun sehingga RM2,000.

“Kerajaan memberi bantuan BR1M sebanyak RM500 namun syarikat kroni mendapat keuntungan berlipat kali ganda melalui projek AES,” ujarnya.

Tiada ulasan: