Jumaat, 19 Oktober 2012

SAMA JUGA MACAM LEMBU DAN KAMBING JAGA RUMPUT...

Bersih 3.0: Peguam pertikai rakaman video polis

Anis Nazri | Foto Wan Zahari, 18 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Peguambela mempertikaikan ketulenan video yang dirakamkan pihak polis ketika perhimpunan aman Bersih 3.0, 28 April lalu.

Video yang ditayangkan di mahkamah, hari ini, didapati terdapat imej-imej yang dianggap peguambela sebagai kesan suntingan yang jelas.

Peguam Azizul Shariman, ketika soal balas saksi ketujuh, Koperals Mohamad Nor, meminta saksi menyatakan sama ada salinan rakaman video yang dibekalkan ke mahkamah itu adalah rakaman yang tidak disunting atau sebaliknya.

Menjawab soalan tersebut, saksi tidak bersetuju untuk menyatakan video tersebut disunting, sebaliknya beranggapan imej itu disebabkan halangan yang beliau hadapi daripada anggota polis lain untuk merakam insiden seterusnya.

Beliau juga tidak bersetuju apabila dikatakan beliau sengaja menghentikan rakaman bagi menjaga imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pihak peguambela membangkitkan perkara tersebut memandangkan rakaman video yang ditayangkan terhenti pada tempoh tertentu, sebelum wujud imej kosong berwarna putih dan hijau sebelum menayangkan adegan seterusnya.

Rakaman video yang pada mulanya menunjukkan suasana tegang ketika anggota polis mengejar beberapa orang awam, bagaimanapun terhenti beberapa saat dan bersambung dengan imej seorang peserta ditahan.

Perkara itu dibangkitkan ketika perbicaraan ke atas seorang peserta himpunan Bersih 3.0, Mohd Safuan Mamat yang didakwa mencederakan polis dan wartawan tv al-Hijrah serta menyebabkan kerosakan kereta polis pada perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu.

Sementara itu, seorang lagi peguambela, Noor Azmir Zakaria ketika ditemui Harakahdaily, berkata imej putih dan hijau kosong itu menunjukkan terdapat suntingan pada rakaman tersebut.

"Saksi mengatakan beliau tidak merakam adegan seterusnya kerana dihalang anggota polis lain (kerana beliau berpakaian preman).  Jika betul dihalang, dan tidak menekan sebarang butang 'pause' pada perakam video, sudah pasti imej bergoyang (ketika dihalang merakam), dapat dilihat, bukannya imej kosong berwarna putih dan hijau seperti yang kita lihat tadi," tegas beliau.

Justeru, katanya pihak peguambela beranggapan rakaman video yang diserahkan kepada mahkamah oleh pihak polis itu telah disunting dan tidak dapat dijamin ketulenannya.

Perbicaraan bersambung petang ini.

AES: Kereta lembu pun lebih laju dari itu

Harakahdaily, 18 Okt 2012

KUALA LUMPUR: Rakyat khususnya pengguna jalanraya sangat kecewa dengan jawapan yang diberikan Timbalan Meneri Pengangkutan, Datuk Rahim Bakri bahawa kerajaan akan meneruskan sistem AES walaupun ianya ditentang oleh pengguna jalanraya.

Justeru, PAS mengingatkan betapa slogan “Rakyat Didahulukan” hanyalah slogan kosong tanpa makna.

“Kalau Perdana Menteri betul-betul menjiwai slogan tersebut, beliau pasti mendengar bantahan, keluhan dan kebimbangan rakyat terhadap sistem yang bermotif mengaut untung dan bukan bersifat pencegahan kemalangan jalanraya,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ini, katanya kerana kamera turut dipasang di kawasan 30 km sejam dan ianya sangat tidak masuk akal.

“Kereta lembu pun lebih laju dari itu,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Sehubungan itu, katanya PAS meminta rakyat yang tidak berpuas hati menjadikan peti undi bagi mengajar kerajaan BN dalam pilihanraya akan datang.

Menurutnya, lebih lama masa diberi kepada BN memerintah, lebih banyak tekanan kepada rakyat terbanyak.

Bayangkan, ujar beliau kalau hanya dalam masa 8 hari, 63,558 saman dikeluarkan walaupun kamera baru dipasang di beberapa lokasi sahaja.

“Kalaulah ia dipasang di seluruh negara, ia akan menjadi sumber pendapatan utama negara, mengatasi minyak dan gas, bezanya ia datang daripada poket rakyat sendiri.

“Kalau budaya kerajaan berniaga dengan rakyat ini tidak dibendung, sudah pasti  ekonomi rakyat akan terjejas, dan ini akan mengundang pelbagai gejala negatif yang lainnya,” katanya.


PAS, ujarnya mengingatkan bahawa bagi mengatasi kemalangan jalanraya, bukan hanya faktor kelajuan mesti difokus, sebaliknya keadaan jalan, perjalanan jarak jauh yang banyak, kurangnya kemudahan rehat dan rawat, kekurangan pengangkutan awam yang efisyen yang menyebabkan peningkatan jumlah kenderaan di jalanraya, sikap pemandu serta tanda jalan yang tidak mengikut peraturan turut menyumbang peningkatan kemalangan.

“PR telah tegaskan sistem ini akan disemak semula andainya kami diberi mandat menerajui kerajaan selepas PRU akan datang. Bahkan terdapat pelbagai lagi peraturan yang tidak munasabah, zalim, dan menindas rakyat akan diteliti semula.

“Beri kami satu peluang untuk buktikan,” ujarnya.

Swindon, bandar kurang kemalangan tanpa AES

Nazri Abdullah, 18 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menolak alasan yang diberi kerajaan bagi menjustifikasikan penggunaan Sistem Pelaksanaan Automatik (AES).

Bercakap pada sidang media di Parlimen, Pengerusi Kase Datuk Mahfuz Omar, berkata alasan bahawa AES perlu diteruskan sebagai tindakan holistik bagi mengurangkan kadar kemalangan maut tidak boleh diterima dan mengecewakan.

Menurut Mahfuz, terdapat satu kajian yang dibuat menunjukkan kadar kemalangan di bandar yang menggunakan kamera AES lebih tinggi berbanding bandar yang tidak menggunakan sistem tersebut.

Kajian yang dibuat sekumpulan masyarakat awam pembayar cukai di London itu mengkaji kadar kemalangan terhadap 1000 kenderaan berdaftar di beberapa bandar yang menggunakan AES dan tidak menggunakan AES.

Kajian mereka mendapati kadar kemalangan di bandar London yang menggunakan kamera AES adalah 90.9.

Sebaliknya sebuah lagi bandar Swindon di UK yang telah memansuhkan kamera AES pada 2009 hanya merekodkan kadar kemalangannya 2.0.

"Malah London menjadi bandar kedua paling teruk di UK dari segi kemalangan kerana faktor jalannya terlalu teruk," kata Mahfuz (gambar) yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena sambil menambah AES di UK diletakkan di bawah kuasa Pihak Berkuasa Tempatan.

Naib Presiden PAS itu turut memberi contoh di Jerman terdapat lebuh raya 'autobahns' dimana tiada sekatan terhadap kelajuan kepada pengguna, tetapi mengenakan penalti kepada pengguna yang memandu dibawah had minimum.

"Bukan soal kelajuan yang menjadi punca. Kalau bawa perlahan pun tetapi salah lorong boleh membawa kemalangan juga. Alasan itu tak boleh diterima.

"Sebab itu kita mintak kerajaan tangguh dulu penguatkuasaan AES ini dan runding dahulu dengan semua pihak," katanya.

Semalam,  Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abd Rahim Bakri berkata kerajaan tidak berhasrat memansuhkan pemasangan kamera AES di 831 lokasi di seluruh negara.

Beliau berkata langkah itu akan diteruskan kerana kerajaan melihat  AES sebagai tindakan holistik bagi mengurangkan kadar kemalangan maut, sekaligus merealisasikan hasrat murni kerajaan untuk membela majoriti rakyat.

Sistem itu yang beroperasi pada fasa percubaan sejak 23 Sept  lepas telah merekodkan sebanyak 63,558 imej kesalahan lalu lintas dirakam di seluruh negara.

AES: Pemuda PAS Sabah puji P Pinang dan Kelantan

Firdaus Mohd Nor, 18 Okt 2012
KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini memuji langkah Pulau Pinang dan Kelantan yang menangguhkan pemasangan dan penguatkuasaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi kesalahan trafik.

Apa yang dilaksanakan oleh kedua-dua buah negeri ini merupakan adaptasi atau contoh kepada apa yang diperkatakan iaitu negeri ‘berkebajikan dan utamakan rakyat dalam setiap agenda’, kata ketuanya, Lahirul Latigu.

Selain itu, pihak DPPNS turut mempertikai tindakan Kementerian Pengangkutan yang mempertahankan pemasangan sistem tersebut biarpun mendapat tentangan dan kritikan sama ada di kalangan pemimpin UMNO/ Barisan Nasional mahupun pihak Pakatan Rakyat.

Ini jelas bahawa, kementerian tersebut tidak mengendahkan suara pemimpin yang dilantik rakyat sekaligus merendah-rendahkan martabat Dewan Parlimen selaku penguasa penuh dalam setiap keputusan terhadap rakyat, katanya.

AES di Sabah

Sementara itu, Sabah turut menjadi lokasi pemasangan sistem berkenaan di mana 21 kawasan seluruh Sabah yang menjadi lokasi strategik bagi pemasangan sistem berkenaan.

DPPNS berpandangan bahawa, pemasangan sistem di negeri ini adalah satu tindakan yang tidak membawa apa-apa kesan terhadap pembangunan prasarana di negeri ini.
Untuk makluman, kata Lahirul (gambar), rakyat Sabah terutamanya mahukan sebuah jaringan pengangkutan yang sempurna.

Rakyat Sabah, jelasnya, sudah terlalu kerap dijanjikan imbuhan serta pembangunan, tetapi adakah semua rakyat Sabah mengecapi kemakmuran berkenaan.

"Buat apa dipasang sistem AES, sedangkan jalan-jalan raya di Sabah boleh disifatkan terlalu teruk dan mundur ke belakang.

"Apakah kiranya, rakyat Sabah diminta bersabar lagi seperti mana suruhan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang meminta rakyat Sabah bersabar?" soalnya.

Bagi beliau, Kementerian Pengangkutan sebenarnya boleh memahami situasi berkenaan dan tidak hanya menjadikan wang dan kuasa sebagai tonggak segala-galanya.

"Kementerian Pengangkutan boleh sahaja datang untuk melihat sendiri keadaan jalan di Sabah lantas mengeluarkan perbelanjaan untuk menaik taraf sistem pengangkutan di Sabah ini.

"Sudahlah untuk menipu rakyat Sabah dengan laungan ‘rakyat didahulukan’ sedangkan pencapaian untuk rakyat tidak diendahkan," tambah beliau.

Oleh yang demikian, pihak DPPNS menggesa Kementerian Pengangkutan untuk menangguhkan dahulu pemasangan dan penguatkuasaan sistem ini sementara menunggu titik persetujuan diantara semua pihak – rakyat, kementerian dan pihak terbabit.

DPPNS turut menggambarkan akan menangguh serta memansuhkan penggunaan AES ini di Sabah sekiranya berjaya memerintah negeri ini.

Apa yang penting ialah, hak dan keadilan rakyat menjadi keutamaan di samping keselesaan serta kemakmuran yang perlu dikecapi rakyat Sabah.

Henti tindakan zalim kepada warga pendidik

Salmiyah Harun, 18 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) mendesak kerajaan menghentikan tindakan tidak profesional, penganiayaan dan kezaliman kepada warga pendidik.

Presiden Pendidik Normala Sudirman berkata, wujud penyalahgunaan kuasa sewenang-wenangnya di peringkat Jabatan Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan pentadbir sekolah iaitu pengetua dan guru besar.

Malah katanya, Kementerian Pelajaran seolah-olah gagal mengawal pegawai-pegawai tertinggi dari segi penurunan kuasa, pelaksanaan peraturan dan prosedur dalam melaksanakan tindakan.

Menurut Normala, beberapa kes telah dikenal pasti, antaranya seorang guru Omar Bakar dari Sekolah Kebangsaan Sungai Perah, Parit Perak telah dibuang kerja hanya kerana tidak bersetuju dengan tindakan Jabatan Pelajaran Perak menukarkannya ke SK Sungai Samak Hutan Melintang.

"Beliau tidak setuju kerana tidak tahan menurut arahan bertukar sebelum ini sebanyak lima kali. Beliau diarahkan bertukar pada 16 Jun 2006 namun beliau telah dibuang kerja ketika kesnya masih dalam proses rayuan supaya tidak dipindahkan," katanya.

Kes kedua katanya, melibatkan suami isteri yang meraikan rakannya yang merupakan ahli keluarga Adun Paroi (PAS) datang menziarahi dan minum petang dirumahnya.

"Kedua-dua mereka Abdul Latif Aminon dipindahkan dari SMK Felcra Bukit Kepong Muar ke SMK Kota Masai Pasir Gudang dan isterinya Hasmah Mohamad Jaiz dari sekolah sama ke SMK Kota Masai 2 pada Febuari 2011," katanya ketika dalam sidang media di lobi Parlimen.

Malah katanya, ada kes yang cukup memalukan apabila seorang guru ditumbuk dan diterajang pada Hari Guru 16 Mei 2012 di hadapan pelajar sekolah.

Guru terbabit, Azman Mohamad Nadzir, katanya mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri, lebam di bahagian badan serta anak matanya akibat diserang oleh seorang guru yang merupakan penyokong Umno di sekolah yang sama.

Jelas Normala, wujud sikap 'double standard' dalam pelaksanaan tindakan terhadap guru-guru yang menyokong parti pembangkang tetapi di satu pihak yang lain, penglibatan guru-guru dalam politik dan memegang jawatan tidak pula dikenakan sebarang tindakan bahkan terus dipertahankan.

Sehubungan itu, Pendidik meminta kerajaan mengambil tindkan tegas terhadap pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), PPD dan sekolah yang bertindak tidak profesional tidak mengikut prosedur dan mengikut telunjuk orang politik Umno BN yang ada agenda tertentu.

Pendidik juga mencadangkan agar kementerian membentuk satu jawatankuasa bebas di bawah Parlimen bagi menangani dan mengendalikan  kes-kes penganiayaan yang melibatkan guru.

Ekoran itu, Pendidik turut menyerahkan memorandum 'Desakan Menghentikan Tindakan Tidak Profesional ke atas Warga Pendidik' kepada wakil Ahli Parlimen Kota Raja dan Sik, Dr Siti Mariah Mahmud dan Che Uda Che Nik.

Mursyidul Am: Umno bagai musang jaga reban ayam

Harakahdaily, 18 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Permintaan Umno supaya Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berundur sama seperti musang meminta menjaga reban ayam.

Demikian kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad ekoran tiba-tiba pemimpin Umno, Utusan Malaysia, bekas pemimpin PAS yang kena pecat Datuk Dr Hassan Ali, Datuk Nakhaei Ahmad yang keluar daripada PAS menyuruh Tuan Guru Nik Aziz berundur daripada jawatan Mursyidul Am PAS.

Katanya, tidak pernah berlaku di dalam mana-mana organisasi mereka yang bukan ahli hendak menentukan kepimpinan di dalam sebuah organisasi.


Jelasnya, PAS sebagai sebuah parti yang matang sesuai dengan usianya sudah menjangkau 61 tahun tentu tahu apa yang PAS putuskan.

“Tiba-tiba musuh PAS sedih kerana Tuan Guru Nik Aziz mencemar perjuangan Islam PAS.

“Sejak bila pula Umno dan media Umno iktiraf PAS sebagai parti Islam? Bukankah selama ini Umno mengatakan PAS bukan parti Islam,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Pujian itu, ujarnya seperti kata-kata Saidina ALi Karramallahuwajhah "Kalimah itu betul, maksud yang dikehendaki batil", ertinya puji ada makna yang tersirat.


Justeru, ujarnya tidak perlulah Umno cuba hendak melaga-lagakan pemimpin PAS kerana semua keputusan PAS bukan diputuskan oleh seorang, sebaliknya dimesyuarat terlebih dahulu.

Beliau menambah, agenda peribadi tidak akan diterima di dalam PAS.


“Tuan Guru Nik Aziz masih diperlukan di dalam barisan pimpinan PAS. Beliau tetap menjadi ikon, segala buah fikirannya tetap segar yang boleh menggoncang kuasa kerajaan BN.

“Beliau telah berjaya menunjukkan kepada masyarakat PAS bukan semacam Umno, meletakkan orang agama hanya untuk membaca doa tahlil dan marhaban sahaja,” katanya lagi.

Menurutnya, mulut penuh dengan "sagon" yang tidak mampu untuk menegur kemungkaran dan penyelewengan oleh kerajaan sedangkan Tuan Guru Nik Aziz telah memimpin perubahan di dalam pentadbiran negeri kemudian idea itu ditiru oleh kerajaan BN.

Beliau berkata, antaranya ialah cuti dua hari, rumah 3 bilik, pinjaman tanpa faedah, pajak gadai Islam, penggunaan dinar.


“Jika pemimpin Umno dan media Umno kononnya hendak membela PAS dengan meminta supaya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berundur kerana beliau telah terkeluar daripada dasar PAS.

“Permintaan Umno ini sama seperti musang meminta supaya menjaga reban ayam,” ujarnya sinis.

Pelajar Saudi di AS lancar kempen Nabi Muhammad

Terjemahan Mohamad Yahya, 18 Okt 2012
RIYADH: Sebagai reaksi kepada filem yang menyinggung umat Islam Julai lalu, enam pelajar Arab Saudi di Amerika Syarikat telah memulakan inisiatif untuk membiasakan orang ramai dengan watak sebenar Nabi Muhammad SAW, dengan cara yang bertamadun dan tidak konvensional.


Pelajar di University of Dayton, Ohio, telah melancarkan satu projek dengan cara yang mereka gambarkan sebagai "inovatif dan bertamadun, untuk memberi gambaran sebenar Nabi, tidak seperti yang digambarkan oleh orang-orang yang bertujuan untuk menghina baginda," ujar Abdul Muhsin Abdul Kareem, antara pelajar yang melancarkan inisiatif tersebut.

Dalam temu bual telefon dengan Asharq al-Awsat, Abdul Kareem berkata: "Kami menyediakan mawar yang berlabel 'Who is Muhammed', dan di sisi lain label terdapat biografi ringkas Nabi SAW, dan pautan ke sebuah laman web yang mengandungi maklumat yang lebih luas dan terperinci".

Pelajar-pelajar tersebut meletakkan lebih daripada 200 kad di tengah-tengah satu kalungan bunga ros, dan mengedarkannya di seluruh universiti dengan bantuan Kelab Arab Universiti Dayton. Kumpulan ini meluangkan beberapa hari sebagai persediaan projek tersebut, dan membeli bunga ros dengan jumlah yang besar.

Abdul Kareem menjelaskan bahawa "Kami berusaha untuk memberi gambaran positif pelajar Saudi yang belajar di luar negara, dan pada masa yang sama kami mahu secara praktikal menyokong Nabi SAW dan umat Islam".

Ahmed al-Safran, yang turut mengambil bahagian dalam projek itu berkata: "Kami mengambil pendekatan yang menarik untuk membiasakan orang ramai dengan Nabi SAW, dengan menyampaikan bunga dan hadiah. Ini membuatkan mereka tersenyum, budaya Amerika sangat menerima pendekatan seperti ini ".

Inisiatif itu disertakan dengan gambar-gambar yang dihantar di di rangkaian sosial, dan ia telah menarik minat pelbagai pihak. Ahli pasukan yang lain; Mohammed al-Manea, Adib Luhaidan, Yusuf al-Rumaih dan Abdullah al-Shammari, berjaya untuk mendapatkan pelajar-pelajar lain untuk mengambil bahagian di negeri dan bandar lain, dalam usaha untuk menyebarkan inisiatif tersebut dan menerapkan idea yang sama di universiti mereka sendiri.

Filem yang menghina Nabi Muhammad mencetuskan kemarahan di seluruh dunia Islam yang menyebabkan berlakunya protes di Libya, Mesir, Pakistan dan lain-lain negara Islam.

Pada masa yang sama, belia dari negara Arab, Islam dan Barat menghasilkan siri klip video untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai watak Nabi Mohammed SAW yang sebenar dan sifat sebenar Islam.

Mereka menyiarkan klip-klip tersebut di YouTube dan lain-lain laman web rangkaian sosial, menggunakan kaedah sama yang digunakan oleh penerbit filem hina Nabi. (Asharq Al-Awsat)

Tiada ulasan: