Jumaat, 19 Oktober 2012

SEBAGAI PEMIMPIN PERLU SABAR...TAK PERLU CEPAT PANAS...ATAU MELATAH...AKHLAK PEMIMPIN KENA CUN

Konvensyen politik baharu Sabah esok

Harakahdaily, 19 Okt 2012



KOTA KINABALU: Menjelang pilihan raya ke 13, ketika rakyat Sabah sedang berada di persimpangan, PAS Sabah menganjurkan 'Konvensyen Politik Baharu Sabah'.

Konvensyen yang terbuka kepada semua pihak ini akan diadakan di Star City Convention Centre, Kota Kinabalu Sabtu 20 Oktober esok.

Konvensyen ini diadakan dengan mengumpulkan semua tokoh-tokoh penting PAS bersama-sama rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat bagi membentuk pemikiran baru di kalangan rakyat Sabah.

Ia juga diadakan ketika slogan 'Ini kalilah' berkumandang dari mulut ke mulut rakyat Sabah untuk melihat kejatuhan kerajaan BN samada di negeri mahupun di pusat dan membentuk politik baru dari kejatuhan itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa antara tokoh penting pusat yang akan turut serta di konvensyen ini.

Selain itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli, Naib Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Vincent Lee, Senator Khairiah Mohamed Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Muslimat PAS Kelantan juga turut memberikan sumbangan di konvensyen yang terbuka kepada semua ini.

Selain mereka, Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminudin Aling, bekas timbalan menteri pembangunan luar bandar, Datuk Yahya Lampong, bekas timbalan menteri Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, Datuk Wilfred Bumburing juga akan turut serta.

Untuk sessi forum pula, Haji Hamzah Abdullah (Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah), Dr Edwin Bosi (Setiausaha DAP Sabah) dan Ahmad Thamrin Jaini (Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah) akan mencernakan lagi keperluan politik baru untuk Sabah.

Bagi PAS Sabah, sepanjang 49 tahun Sabah merdeka dan bersama membentuk persekutuan Malaysia pada tahun 1963, hari ini Sabah masih bergelumang dengan masalah-masalah asas seperti masalah kemiskinan, penganngguran, kemudahan asas seperti bekalan air dan letrik, kualiti pendidikan dan kesihatan menyebabkan Sabah menjadi negeri tercorot jika dibandingkan negeri-negeri di Negara ini.

Walaupun suatu ketika dahulu Sabah adalah negeri kedua terkaya di Malaysia selepas Selangor namun hari ini Sabah mempunyai kadar kemiskinan yang tertinggi, kadar pengangguran dan kos sara hidup masih tinggi malah pertumbuhan ekonomi yang kekal perlahan berbeza dengan apa yang dijanjikan dalam manifesto “Sabah Baru” Barisan Nasional 18 tahun dahulu.

Oleh yang demikian Sabah memerlukan satu gagasan politik baharu dalam membangunkan negeri yang kaya dengan sumber anugerah Ilahi.

Pada tahun 2015 Sabah bakal menjadi pengeluar minyak terbesar Negara lantas bagaimanakah hasil kekayaan ini dapat memberi kemakmuran kepada rakyat negeri ini?

Begitu juga dengan sumber kelapa sawit, getah, koko, tanah yang subur dan keindahan semulajadi terus mampu memberi nikmat kepada rakyat kebanyakan agar Sabah terus membangun dan bebas dari belenggu kemiskinan dan kemunduran.

Atas dasar itulah, konvensyen ini diadakan untuk mengajak rakyat sama-sama berfikir bagi membentuk politik baru untuk Sabah.

Video Adnan cabar Orang Asal bergaduh tersebar

Harakahdaily, 19 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Beberapa blog menyiarkan klip video Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob seakan mencabar Orang Asal bergaduh di pekarangan Wisma Persekutuan, Kuantan pada 17 Oktober lalu.


Ketika itu, sekumpulan Orang Asal (OA) yang terdiri daripada 500 orang penduduk Pahang dari Rompin, Bera, Temerloh, Cameron Highlands, Maran dan tempat-tempat lain hadir di Wisma Persekutuan di Kuantan untuk menghantar memorandum bagi pihak orang asal berkenaan dengan isu tanah.

Sebelum memorandum dihantar kepada pihak MB, Adnan bertengkar dengan salah seorang lelaki yang hadir, yang menyatakan tidak percaya kepadanya.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Perhubungan PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid kesal dan kecewa serta mengecam tingkah laku Adnan dan menuntut beliau memohon maaf dengan OA.

Lihat http://www.youtube.com/watch?v=9pibzh3Q5HU&feature=player_embedded

 


Jujur antara kunci kejayaan projek - TG Nik Aziz

Rizal Tahir, 19 Okt 2012

(Tuan Guru Nik Aziz berucap semasa lawatan kerja melihat projek jambatan)

PENGKALAN CHEPA: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata projek jabatan atau apa saja akan siap mengikut jadual sekiranya masing-masing jujur dalam pengendalian itu.

Menurutnya, sekiranya pihak yang bertanggungjawab mengendalikan sebarang projek pembinaan termasuk jambatan ianya akan siap mengikut jadual mengikut harga yang dipersetujui.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis meninjau perjalanan pembinaan jambatan Pulau Kundur, di sini, tengahari semalam.

Projek berkenaan yang diurus Jabatan Pengairan dan Saliran dengan kerajaan negeri menelan belanja sekitar RM2.6 juta.

“Kalau tak amanah, apa lagi mendapat keuntungan cara mudah terhadap sesuatu projek, jambatan tak siap, rakyat juga yang susah, wang semakin banyak bertambah untuk menyiapkannya semula,”ujarnya.

Tambahnya, sekiranya tidak berpegang pada ajaran Islam, perkara itu akan terus berlaku kerana tidak takut pada Allah.

Turut hadir pada majlis itu, Adun Kijang yang juga anggota exco kerajaan negeri, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman.

Sehubungan itu Anizam melahirkan rasa kesal kepada golongan berkenaan yang mengkhianati amanah rakyat.

Jambatan Pulau Kundor mula dibena awal tahun ini. Ianya dijangka siap bulan Feb atau Mac depan.

Menurut Md Anizam, sehingga kini pembinaannya telah meliputi 30 peratus.

Beliau juga turut memberitahu telah banyak jambatan konkrit dibena oleh kerajaan negeri menggantikan jambatan kayu di samping jalan-jalan negeri.

Katanya, antara jambatan terbabit di Pasir Mas, Wakaf Stan, Telok Rajuna, Sungai Sat, Jambatan Pak Nik Lah, Jambatan Tok Guru, Jambatan Lapan Pari yang terbaru dan lain-lain lagi.

Di sebalik Laporan Ketua Audit Negara 2011

Nasrudin Hassan, 19 Okt 2012
1.     Pihak bertanggungjawab seperti Perbendaharaan, SPRM dan PAC sewajarnya melakukan penyiasatan rapi terhadap isu-isu yang dibangkitkan melalui  Laporan Ketua Audit Negara 2011.


2.     Juga perhatian mestilah diberikan kepada apa yang dibimbangi oleh orang ramai mutaakhir ini iaitu kebimbangan terhadap kes-kes berprofil tinggi yang mungkin dengan sengaja tidak dibawa ke perhatian umum ekoran tapisan awal pemerintah bagi  mengelak liabiliti seperti yang berlaku dalam kes NFC dan penyalahgunaan wang zakat.

3.     Sebagai contohnya, Laporan Audit 2011 ini menyebut terdapat kajian Jabatan Audit Negara di dalam isu pertukaran saham MAS - AirAsia dan projek Pelabuhan Pendaratan yang gagal dan bermasalah. Namun demikian laporan audit tidak membuat sebarang rujukan terhadap kes-kes tersebut, sedang masyarakat awam menuntut suatu ketelusan. Begitu juga dengan isu penyelesaian luar mahkamah Tan Sri Tajudin Ramli yang melibatkan ratusan juta ringgit dana awam? Di manakah laporan auditnya?

4.     Laporan Audit juga membisu mengenai 1MDB, sebuah syarikat “super GLC”  walaupun Jabatan Audit Negara ada melakukan kajian ditambah pula ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat telah banyak kali menimbulkan keraguan mengenai pengurusan syarikat tersebut. Sepanjang tempoh 2011, sekurang-kurangnya 2 kali Kementerian Kewangan telah membuat pembentangan mengenai 1MDB sekaligus membuktikan wujudnya isu tertentu yang sepatutnya dilaporkan di dalam laporan audit ini.

5.     Dewan Pemuda PAS Malaysia berpandangan sudah tiba masanya Jabatan Audit Negara diangkat sebagai satu suruhanjaya bebas. Memang benar, perjawatan Ketua Audit Negara adalah dijamin di bawah Perlembagaan setara dengan bidang kehakiman bagi memastikan kebebasannya. Namun demikian terdapat jurang perbezaan yang luas di antara kuasa Ketua Audit Negara dan Jabatan Audit Negara yang bajet dan operasinya berada di dalam bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri lalu menimbulkan keraguan mengenai statusnya sebagai agensi pemantau yang bebas.

6.     Semangat perlaksanaan Akta Audit 1957 juga menetapkan bahawa Ketua Audit Negara perlu bekerjasama dengan Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi memastikan perbelanjaan kerajaan adalah telus dan betul. Kewibawaan akta ini bergantung kepada keutuhan peranan yang dimainkan Kementerian Kewangan selaku pengawalselia perbendaharaan negara yang neutral dari pengaruh agensi eksekutif yang lain.

7.     Namun demikian risiko sistemik dalam pengurusan kewangan negara menjadi semakin ketara apabila Perbendaharaan turut menjadi agensi pelaksana manakala tugasan Menteri Kewangan kini digalas oleh Perdana Menteri (yang juga turut mengepalai 2 birokrasi terbesar lain di dalam kerajaan - JPM dan KWKPM). Kuasa moral dan akauntabiliti Kementerian Kewangan telah terhakis apabila ia tidak lagi berkecuali dalam agih-kawalan perbendaharaan negara manakala Ketua Audit Negara pula tidak lagi mempunyai pegawai pengawal atasan yang neutral yang boleh mengambil tindakan pembetulan perbelanjaan kerajaan secara telus.

8.     (Lihat sahaja statistik laporan siasatan yang lambat diserahkan kepada Perbendaharaan berkaitan perbelanjaan Arahan Perbendaharaan (AP) 59 yang melibatkan Jabatan Perdana Menteri yang merupakan kes terbanyak direkodkan sebanyak 241 kes dengan kelewatan sehingga 957 hari. Itupun Jabatan Audit Negara masih memberikan penarafan akauntabiliti ‘amat baik’ kepada JPM!)

9.     Oleh itu bagi kita, laporan audit yang sengaja lambat dikeluarkan dan kes seperti yang disebutkan ini bukan sekadar menonjolkan amalan kewangan di luar kebiasaan pemerintah tetapi merupakan tanda jelas peningkatan risiko sistemik tersebut. Ianya meningkatkan ersepsi bahawa agensi kerajaan yang bermasalah mempunyai peluang untuk berkolusi di dalam menyisihkan proses audit.

10.  Walaupun ditegur oleh Ketua Audit Negara, mereka boleh pula beralasan dengan jawapan-jawapan picisan kerana mereka tahu tindakan mereka terlindung oleh kecelaruan birokrasi yang disengajakan pemerintah.

Nasrudin Hassan,
Ketua Pemuda PAS Malaysia

Salam dari:
Aku Pejuang Islam ~API~

Puasa sunat dan munajat sempena Hari Wukuf

Harakahdaily, 19 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Lajnah Tarbiah Dan Perkaderan PAS Pusat mengarahkan supaya seluruh ahli PAS berpuasa pada Hari Wuquf tanggal 9 Zulhijah 1433 bersamaan 25 Oktober 2012 (Khamis).
Pengarah Jabatan Tarbiah PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menjelaskan hari itu yang mempunyai kelebihan bagi mereka yang berpuasa sebagaimana sabda Rasulullah SAW. bermaksud "Puasa Hari Arafah: Aku berharap Allah menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun kemudiannya". (Riwayat Muslim)


Justeru, beliau meminta semua Lajnah Tarbiah Kawasan menyusun program dengan baik dan teratur di markaz atau tempat yang difikirkan perlu.


Katanya tentatif program bermula sekitar jam 5.30 petang dengan bacaan surah Yaasin dan zikir munajat, diikuti iftar jamaie, solat Maghrib, takbir, tazkirah dan solat Isyak.


“Semoga program ini dapat menjana kekuatan ruhiah dan memohon restu Allah untuk menghadapi PRU13. Semoga Allah memberi kekuatan, kesihatan, keikhlasan, memantapkan ukhwah di kalangan petugas dan memberi hidayah kepada seluruh pengundi insya Allah,” ujarnya.

TRW vs ATM

Nasrudin bin Hassan at Tantawi, 19 Okt 2012
1. Menjelang Final Piala Malaysia edisi 2012 malam esok di Stadium Shah Alam, yang mempertemukan pasukan Kelantan Darul Naim dan Angkatan Tentera Malaysia, membuatkan iklim bolasepak tanah air semakin membara ledaknya. Pastinya Stadium Shah Alam akan menjadi tumpuan semua peminat bolasepak tanah air yang akan menyaksikan pertarungan sengit antara dua pasukan merebut gelaran juara dalam kejohanan paling berprestij negara ini.

2. Kelantan yang lebih dikenali sebagai The Red Warriors turun dengan reputasi sebagai penyandang Piala Malaysia edisi 2010 dan aksi malam esok adalah penampilan keempat The Red Warriors di pentas perlawanan akhir. Pasukan kendalian Bojan Hodak itu turun ke gelanggang final apabila berjaya menumpaskan pasukan Selangor di peringkat separuh akhir dengan agreget 3 – 0.

3. Sementara Angkatan Tentera Malaysia mengesahkan laluan mereka ke Final di bawah tunjuk ajar sifu B Sathianathan setelah berjaya menidakkan Lions XII menerusi sepakan penalti 5 – 4 selepas terikat dengan kedudukan jaringan 2 – 2. ATM hanya tinggal selangkah untuk menamatkan kemarau 46 tahun sebelum pulang menjulang Piala Malaysia.

4. Pasukan ATM tentunya turun dengan semangat yang tinggi diperkuat pula oleh Marlon Alex James dan Bruno Marteloto. Gandingan mantap Hai-O dan Aidil juga dijangka menjadi cabaran besar kepada The Red Warriors yang terpaksa berentap memburu juara tanpa ayam tambatan mereka Mohamed Ghaddar dan Mohd Norfarhan Muhammad yang terlepas peluang beraksi di pentas final kerana menjalani proses penggantungan ekoran menerima dua kad kuning.

5. Apakah misi The Red Warriors untuk merangkul kejuaraan treble musim ini menjadi kenyataan dan kemarau panjang 46 tahun ATM bakal berakhir, sama – samalah kita saksikan malam esok jam 8.45 malam sejurus selesai kuliah maghrib dan solat Isyak.

6. Saya memilih The Red Warriors untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia edisi ini berasaskan reputasi dan prestasi mereka disepanjang musim. Sungguhpun ketiadaan Mohamed Ghaddar dan Mohd Norfarhan, pertahanan TRW semakin berkualiti dan mantap. Sementara pemain tengah seperti Badri Radzi, Norshahrul dibantu Chanturu dan Obinna Nwaneri masih berkeupayaan tinggi untuk meledakkan idea sekaligus menghasilkan karya gol kemenangan.

7. Sungguhpun begitu, prestasi mendadak ATM tidak boleh diperkecilkan. Mereka mara dengan semangat juang yang tinggi. Memandang rendah pada kemampuan ATM bakal mengundang padah. Rentak permainan mereka agak kaya dengan taktikal .

8. Paling penting kepada saya dan Dewan Pemuda PAS Malaysia malah semua peminat sukan bolasepak tanah air dalam menyaksikan kemeriahan Final Piala Malaysia malam esok ialah mutu penganjuran, perlawanan dan permainannya. Malaysia semestinya keluar daripada kelompok terendah kualiti penganjuran, perlawanan dan permainan bolasepak ini. Bukan sahaja merujuk kepada skil individu dan berpasukan mengawal rentak permainan tetapi juga pada disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi. Termasuklah sistem kawalan keselamatan yang baik dan berkesan.

9. Penonton yang terdiri dari penyokong kedua-dua pasukan juga selayaknya mempamerkan kematangan yang hebat dan disiplin yang tinggi dengan mematuhi segala arahan, peraturan dan undang-undang tanpa didorong oleh elemen ganas, emosional dan keterlaluan dalam tindakan. Sebaliknya menjadikan sukan ini meriah dan menguntum nama baik negara di persada antarabangsa kerana saya percaya bukan sahaja seluruh rakyat negara kita menonton kejohanan ini tetapi tidak terlepas peminat bolasepak antarabangsa turut memberi perhatian kepada perlawanan akhir nanti.

10. Justeru, pesanan saya khasnya kepada anak-anak muda, biarpun pasukan mana yang mereka sokong agar:

a] menjaga akhlak,
b] jangan tinggalkan solat,
c] tidak berpeleseran,
d] elakkan berkelakuan tidak sopan serta ganas.

Sebaliknya... cool man cooool!

Tiada ulasan: