Selasa, 16 Oktober 2012

INI YANG KATAKAN ZALIM...TIPU...JANJI KOSONG...SONGLAP...PENYAMUN TARBUS...BUKAN BELA RAKYAT...BELA DIRI DAN KRONI...AKHIRAT JAWAB

Kelantan bentang bajet lebihan RM45.8 juta

Aslani M, 15 Okt 2012

KOTA BHARU: Kelantan membentang anggaran Bajet 2013 dengan lebihan sebanyak RM45.83 juta ketika Belanjawan 2013 kerajaan pusat defisit 16 tahun berturut-turut.

Sedangkan pada belanjawan 2012 dianggarkan mencatat defisit sebanyak RM83.23 juta. Ini bermakna berlaku kenaikan hasil sebanyak 35.21 peratus.

Buat pertama kali juga pendapatan daripada hasil royalti petroleum sebanyak RM200 juta dimasukkan dalam bajet bertema Bajet Negeri berkebajikan.

Pembentangan bajet dilakukan anggota Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa mewakili Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengambil masa hampir sejam pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Bajet dianggarkan dengan perolehan hasil sebanyak RM581.77 juta dan perbelanjaan mengurus sebanyak RM535.95 juta.

Anggaran hasil sebanyak RM581.77 juta meliputi hasil cukai sebanyak RM296.80 juta, hasil bukan cukai RM171.57 juta, manakala terimaan bukan hasil (RM113.41 juta).

“Peningkatan hasil pada 2013 berpunca daripada tuntutan hasil royalti petroleum yang sepatutnya dibayar kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri sebanyak RM200 juta atau sebanyak 34.38 peratus daripada hasil negeri.

“Kerajaan negeri memutuskan untuk memasukkan RM200 juta sebagai pendapatan dari royalti petroleum, di mana sebelum ini diletak sebagai token sebanyak RM10.

“Ini bertujuan untuk melonjakkan lagi harapan kerajaan dan rakyat Kelantan untuk mendapatkan hak serta meletakkan tiang pacak bahawa Kelantan berhak terhadap pengeluaran gas di telaga Kamelia yang akan memulakan pengeluaran Isya-Allah pada Mac 2013,” kata Menteri Besar.

Medan tersebut berada dalam Blok PM 301 yang paling hampir dengan pantai Kelantan, di mana pengeluaran tahunannya sebanyak 110,000 kaki padu setahun.

Husam ketika ditemui kemudian berkata, tidak salah untuk memasukkan  hasil daripada sumber royalti petroleum sebanyak RM200 juta memandangkan ia adalah hak Kelantan.

Katanya, perkara itu pernah berlaku di Terengganu ketika di bawah kerajaan PAS apabila perolehan daripada royalti turut dimasukkan dalam anggaran bajet negeri.

“InsyaAllah kita akan mendapat hak tersebut kerana sumber gas dan minyak terbabit berada di perairan Kelantan,” ujarnya.

Ada sebab perbelanjaan pertahanan negara diragui

Mohd Azmi Abdul Hamid, 15 Okt 2012
Teras ingin menarik perhatian kepada semua ahli Parlimen bahawa kerajaan perlu dituntut untuk mengamalkan sikap telus dalam perbelanjaan untuk pertahanan negara.


Ketelusan dan akauntabiliti adalah syarat demokrasi yang berkualiti. Mana-mana pemerintah yang tidak telus atau tidak mahu mengamalkan akauntabiliti sukar untuk disifatkan sebagai pemerintah yang demokratik.


Mengikut kajian Transperancy International UK dari 93 negara yang dikaji mengenai ketelusan dalam belanjawan pertahanan negara Malaysia berada dalam ketegori sederhana dan rendah. Laporan mengenai kajian ini telah diterbitkan pada Oktober 2011.


Kategori Malaysia ini ditafsir sebagai negara yang mempunyai kerangka undang-undang yang mengawal perbelanjaan pertahanan dan memperuntukkan kebebasan untuk mendapat maklumat akan tetapi negara tersebut tidak bersedia atau tidak punya  keupayaan untuk menguatkuasakan undang-undang yang ada. Jika adapun pendedahan kepada awam ia dibuat dengan sangat terpilih. Kategori ini juga memasukkan ciri ketiadaan audit dalam sektor pertahanan dan perbelanjaan di luar belanjawan yang sangat tinggi.



Sesungguhnya jika semua agensi awam perlu mendedahkan perbelanjaan masing-masing maka Kementerian Pertahanan merupakan agensi yang lebih perlu mendedahkan perbelanjaannya yang kepada awam dan Parlimen.


Ini adalah kerana sering atas nama kerahsiaan,  perbelanjaan pertahanan boleh diseleweng tanpa dapat dikesan dalam audit negara pada hal elemen ketelusan belanjawan pertahanan akan menjadi kayu ukur kepada sistem demokrasi negara dan dengan itu keyakinan rakyat kepada status keselamatan negara.


Rasuah dan salah guna peruntukan dalam sektor pertahanan adalah gejala yang cukup bahaya kepada keselamatan negara. Implikasinya sangat besar dan mengekalkan keyakinan rakyat yang memberi mandat kepada kerajaan untuk menjaga kedaulatan negara adalah keutamaan tertinggi.


Pembelian pelbagai senjata pertahanan termasuk sumber tenaga manusia untuk menyelenggaranya memerlukan peruntukan yang sangat tinggi.


Untuk membeli pesawat 100 F35 atau pemusnah 16 Aegis sahaja memerlukan tenaga  teknikal mahir yang cukup mahal.


Dengan berlaku kes yang melibatkan pembeliaan senjata dan peralatan pertahanan yang tidak berkualiti, pembeliaan senjata yang tidak perlu, pembeliaan yang terpaksa diubahsuai dengan kos yang tinggi, pembekalan yang tidak memenuhi spesifikasi, pembeliaan melalui orang tengah yang mengambil komisyen yang luarbiasa tinggi, menunjukkan perbelanjaan pertahanan negara sarat dengan penyelewengan.


Peruntukan yang melibatkan belanjawan pertahanan berjumlah berbilion ringgit. Rakyat meletakkan kepercayaan kepada kerajaan agar keselamatan negara jangan digadai dengan korupsi yang tidak terkawal.


Dari jumlah RM251.6 bilion dalam belanjawan 2013, Kementerian Pertahanan mendapat RM15.2 bilion (RM13.7 bilion pada 2012 dengan RM210 juta peruntukan tambahan). Peruntukan pengurusan sahaja   RM11.9 bilion (RM6.0 bilion untuk gaji) manakala pembangunan Pertahanan mendapat RM3.2 bilion.


Dengan jumlah peruntukan yang sedemikian tinggi dan perbelanjaannya tidak pernah didedahkan kepada Parlimen mahupun kepada awam, apakah jaminan bahawa pertahanan negara tidak dijangkiti rasuah dan salahguna peruntukan.


Melihat kepada beberapa perbelanjaan yang telah dikeluarkan dari Kementerian Pertanahan untuk membeli senjata, kapal selam, peralatan komunikasi, ada sebab kenapa rakyat sangsi terhadap perbelanjaaan pertahanan negara.


Antara senarai perbelanjaan yang besar untuk 2013 ialah pembelian pesawat pejuang LCS, AV8, M4 dan EC725 yang akan diperolehi tahun depan. Tentera udara akan pasti memperolehi peruntukan pembangunan yang paling besar RM 1.2 bilion seperti untuk program AEW dan membayar penambahbaikkan pesawat Hornet.


Dalam peruntukan untuk Malaysian Maritime Enforcement Agency (dibawah Jabatan Perdana Menteri mendapat RM209 juta untuk pembangunan dan RM356 juta pengurusan. Peruntukan untuk logistik mendapat RM94.3 juta.


Teras menegaskan rasuah dalam pertahanan akan melesapkan dan membazir sumber wang dan tenaga manusia yang sangat besar. Ia sekaligus menyebabkan keberkesanan operasi terjejas. Dalam masa yang sama keyakinan awam tergugat terhadap kecekapan tentera dan seluruh khidmat keselamatan yang sepatutnya dijamin untuk rakyat. Tidak kurang juga rasuah dalam sektor pertahanan akan menjauhkan sebarang syarikat luar untuk melabur di negara ini.


Isu ketelusan dalam belanjawan pertahanan sangat perlu diberi pertahanan serius. Perbelanjaaan pertahanan masih terus merupakan sektor yang sangat kabur dan terdedah kepada rasuah. Dalam banyak ketika kerahsiaan yang tidak punya justifikasi yang kuat boleh mengugat keselamatan nasional dan antarabangsa.


Belanjawan adalah dokumen yang sangat penting untuk memungkinkan ahli dewan rakyat, organisasi bukan kerajaan dan masyarakat awam untuk mempertanggungjawapkan  pemimpin-pemimpin negara terhadap sebarang keputusan yang diambil.


Kes pembeliaan kelengkapan tentera yang kini diheret ke mahkamah menunjukkan sektor ini perlu diberi perhatian yang sangat utama jika kita mahu rakyat yakin bahawa keselamatan negara berada dalam keadaan kukuh dan terjamin.



Penulis ialah Presiden Teras.

Dr Hasan Ali hanya sebagai alat Umno

Harakahdaily, 15 Okt 2012
KOTA BHARU: Kenyataan bekas seorang ahli PAS yang dipecat supaya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melepaskan jawatan Mursyidul Am menjelaskan keadaan sebenar Datuk Dr Hasan Ali sebagai alat Umno.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kenyataan bekas anggota Exco Selangor itu selari dengan kehendak Umno.

“Adakah beliau juga sudah menjadi alat Umno. Beliau tidak berhak buat desakan sebab sudah pun ditolak dan dipecat sebagai ahli PAS,” katanya pada satu kenyataan di sini.

Hasan dalam laporan media tajaan Umno semalam dilaporkan mendesak Mursyidul Am PAS berundur dan menyerah jawatan kepada timbalannya, Datuk Dr Harun Din.

Kenyataan itu juga diulas seorang lagi bekas pemimpin PAS, Datuk Nakhaie Ahmad dengan menyatakan sokongan kepada saranan Hasan.

Dr Mohamed Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, tindakan Hasan cuba melagakan Mursyidul Am dan timbalannya dianggap sebagai suatu tindakan yang berniat jahat.

“Mursyidul Am PAS mendapat sokongan padu ahli-ahli dan penyokong PAS. Keputusan untuk bersama Pakaran Rakyat adalah keputusan bersama PAS Pusat.

“Kami ingin berterus terang bahawa ahli PAS kesal dan terguris hati dengan tindakan Dr Hasan Ali. Beliau patut ingat budi PAS padanya.

“Baru masuk PAS terus diberi kepercayaan menjadi Naib Presiden, menang dua kerusi Dun dan Parlimen serentak atas tiket PAS, kemudian pegang Exco juga atas tiket PAS, namun hari ini mengambil sikap bermusuh pula dengan PAS,” katanya.

PAS tidak setuju ubah sukatan pelajaran SAR

Hazayani Zakaria, 15 Okt 2012
KUALA LUMPUR: PAS tidak bersetuju kemungkinan kerajaan mengubah sukatan pelajaran yang digunakan oleh Sekolah Agama Rakyat (SAR) jika status sekolah tersebut ditukar kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Che Uda Che Nik (PAS-Sik) berkata, tenaga pengajar SAR mula menyuarakan kebimbangan mereka jika kerajaan mengubah sukatan dan tradisi pengajaran kitab lama yang diwarisi turun temurun daripada ulama terdahulu.

"Bila tukar status, silibusnya perlu diubah. Ini yang kita tidak setuju, kerana apa? Kerana pusaka datuk nenek kita yang membaca kitab lama ini adalah penting. Kalau kita mendaftar, tradisi itu kita buang. Yang ini para ustaz tak mahu terima.  

"Adakah menteri akan menteri pelajaran boleh memberi jaminan jika didaftarkan, kita boleh kekalkan silibus itu. Soalnya silibus, bukannya soal kuasa, tanah dan lain-lain, itu soal yang kedua," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mencelah ucapan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga berkata, SAR bersedia ditukar kepada SABK jika kerajaan dapat memberi jaminan tidak akan mengubah silibus pengajaran.

Sebelum itu, Che Uda menyentuh mengenai keadaan sekolah di luar bandar yang masih daif dan kekurangan fasilitu berbanding sekolah di kawasan bandar.

"Sekolah di luar bandar masih tertinggal dari segi kemudahan fasiliti.

"Guru-guru di sekolah luar bandar sedih kerana tumpuan kepada sekolah yang cemerlang di bandar sahaja tapi tidak kepada sekolah biasa sehingga berlaku perbezaan taraf. Sekolah yang tinggi benar-benar tinggi tapi yang rendah terus rendah," katanya.

Kelantan juga bagi bonus sebulan setengah gaji

Mohd Nor Yahya, 15 Okt 2012
KOTA BHARU: Kelantan hari ini mengumumkan membayar bonus satu bulan setengah gaji kepada semua kakitangan awam negeri, di mana setengah bulan gaji dibayar Ogos lalu.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan perkara itu ketika membentang Bajet Kelantan 2013.

Teks belanjawannya dibaca Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa.

Menteri Besar berkata, baki selebihnya akan dibayar pada bulan Disember ini dan Januari 2013.

Katanya juga budaya Kerja Berprestasi Tinggi yang berpegang Ubuddiyyah, Masuliyyah dan Itqan membolehkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) memperolehi empat bintang dalam penilaian “Star Rating” dan menduduki tangga ke empat daripada 13 pejabat SUK di negara ini pada 2011.

Manakala dalam bidang ICT Pejabat SUK juga mencapai taraf lima bintang bagi persembahan Portal Rasmi Kerajaan Negeri dua tahun berturut-turut.

Kerajaan negeri juga melalui bahagian ICT mewujudkan RTV Kelantan membabitkan kos sejumlah RM257,000 bagi menyalur maklumat kerajaan kepada orang ramai.

Menteri Besar juga berkata, bagi memberi keselesaan kepada anggota perkhidmatan awam peruntukan sebanyak RM42.5 juta disediakan bagi membina bangunan Blok 8 dan ia kini sedang giat dijalankan dan dijangka siap tempoh tiga tahun.

Mengenai pencapaian dalam bidang pendidikan katanya, kecemerlangan pelajar di bawah kelolaan Yik memberangsangkan, di mana pada 2011 seramai 379 pelajar berjaya mendapat keputusan 9A dalam PMR, 1,384 mendapat pangkat Mumtaz dalam Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMU).

Manakala tiga pelajar mendapat 12A, 49 orang (11A) dan 43 (10A) dalam peperiksaan SPM pada 2011.

Pada 2012 Yik mengurus seramai 364 pelajar menyambung pengajian ke luar negara iaitu Mesir, Jordan, Kuwait, Maghribi dan Arab Saudi.

“Kerajaan juga menyediakan RM2 juta kepada Yayasan Kelantan Darulnaim bagi meneruskan kesinambungan menyalurkan penajaan dan bantuan kepada anak-anak Kelantan,” katanya.

KDNK Kelantan 2012 atasi peringkat negara

M Faqih, 15 Okt 2012
KOTA BHARU: Biar pun ada pihak mendakwa Kelantan tidak membangun, namun laporan Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015) pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kelantan mengatasi peringkat negara.

KDNK Kelantan 2012 dijangka meningkat kepada RM11,144 juta dengan kadar pertumbuhan sebanyak 6.9 peratus, sedangkan pertumbuhan Malaysia pada tahun sama pada kadar 4 hingga 5 peratus.

Sektor perkhidmatan menjadi penyumbang utama kepada KDNK Kelantan pada 2010 iaitu sebanyak 73.8 peratus, sektor pertanian (19.4 peratus) dan pembuatan (4.7 peratus).

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, KDNK Kelantan pada 2012 bagi sektor perkhidmatan dijangka meningkat kepada 80.4 peratus.

“Kerajaan berbelanja secara bijaksana, berhemah dan adil serta mengutamakan kebajikan kepada rakyat berdasar keapda sumber sebenar,” katanya pada ucapan Belanjawan Kelantan 2013 pada persidangan Dun hari ini.

Teks belanjawan tersebut dibaca Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa.

Teras Belanjawan Kelantan 2013 yang bertema Bajet Negeri Berkebajikan menumpu kepada  merancakkan pembangunan ekonomi untuk semua rakyat, memperkasa pembangunan insan berteraskan Islam.

Selain itu pembelaan golongan daif, miskin, kurang upaya, anak yatim, armalah dan warga emas serta memperkukuhkan keupayaan institusi dan badan pelaksana.

Menteri Besar berkata, selaras komitmen kerajaan menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat, program sosioekonomi akan dimantapkan.

Kemudahan infrastruktur

Katanya, sejumlah RM153.37 juta diperuntukan di bawah program penyediaan kemudahan infrastruktur asas kepada rakyat termasuk pembinaan jalan dan jambatan baru di samping memperluaskan sistem rangkaian jalan.

Sebanyak RM20 juta disediakan kepada JKR dan RM7 juta di bawah Pejabat Pembangunan Negeri untuk melaksanakan projek di bawah program kesejahteraan rakyat.

Antaranya pembinaan lorong memotong jalan Kota Bharu-Kuala Krai sebanyak RM2 juta, pembinaan jambatan Sungai Manal, Tanah Merah (RM2.2 juta), pembinaan jambatan Sungai Kerak, Machang (RM2.1 juta).

Pembinaan jambatan Kampung Kuau (RM2.5 juta), pembinaan jambatan konkrit di Sungai Sat dan jalan Kampung Kelaweh ke Maka, Machang (RM6.01 juta), jambatan Sungai Kemasin di Pengkalan China, Bachok (RM2.6 juta).

Jambatan Pulau Kundor, Kota Bharu (RM2.1 juta) dan jambatan merentasi landasan keretapi di Bandar Pasir Mas (Fasa II) - RM4.82 juta.

Bagi pembangunan rohani dan sahsiah kerajaan negeri menyediakan peruntukan bagi mengadakan kursus, beng

Tentera Assad lancar bom kluster

Al Jazeera terjemahan Mohamad Yahya, 15 Okt 2012


(Laporan Human Rights Watch  mendapati tentera kerajaan telah menjatuhkan  bom kluster di kawasan penduduk awam.)

DAMSYIK: Kerajaan Syria telah menjatuhkan bom kluster buatan Rusia di kawasan awam pada minggu lalu dalam usaha mengambil kembali kawasan yang dirampas kumpulan penentang, menurut kumpulan pemantau Human Rights Watch.

Bom digugurkan dari kapal terbang dan helikopter, dengan banyak serangan mengambil tempat berhampiran lebuh raya utama utara-selatan yang melalui bandar barat laut Maarat al-Numan, dalam satu laporan Human Rights Watch yang dikeluarkan Ahad lalu.

Kumpulan penentang merampas Maarat al-Numan dari tentera Presiden Bashar al-Assad, minggu lalu, memotong laluan dari Damsyik ke Aleppo, bandar terbesar di Syria. Tentera kerajaan cuba untuk merebut kembali kawasan tersebut sejak perampasan berkenaan.

Human Rights Watch,  sebelum ini telah melaporkan bahawa Kerajaan Syria menggunakan bom kluster, yang telah diharamkan oleh kebanyakan negara, pada Julai dan Ogos lalu tetapi serangan terbaru ini menunjukkan keazaman kerajaan untuk mendapatkan semula kawalan strategik di barat laut Syria.

Bom kluster boleh menggugurkan ratusan bom di kawasan yang luas,  direka untuk membunuh orang sebanyak mungkin. Kumpulan hak asasi manusia mengatakan penggunaan bom kluster di kawasan penduduk awam boleh menjadi satu jenayah perang.

Lebih daripada 100 negara telah mengharamkan penggunaan, pengumpulan, pemindahan atau penjualan bom kluster di bawah konvensyen yang kemudian menjadi undang-undang antarabangsa pada tahun 2010, tetapi Syria tidak menandatanganinya, sama seperti Rusia, China dan Amerika Syarikat.

Struktur semula subsidi IPP elak tarif elektrik naik

Salmiyah Harun, 15 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membuat penstrukturan semula subsidi yang diberikan kepada penjana tenaga bebas (IPP) untuk mengelakkan berlakunya kenaikan kadar tarif elektrik.

Ahli Parlimen Padang Terap Mohd Nasir Zakaria berkata, pemberian subsidi sebanyak RM19 billion kepada IPP itu perlu dilihat semula oleh kerajaan.

Malah katanya, melalui penswastaan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menjadi penyumbang wang tunai kepada IPP yang membuat keuntungan besar.

Akibat tekanan itu, katanya, TNB telah merayu kepada kerajaan untuk meningkatkan tarif bagi mengatasi kedudukan kewangannya yang terjejas.

"Akhirnya, TNB akan menaikkan tarif elektrik di mana pengguna akan terus menjadi mangsa," katanya dalam soalan tambahan di Dewan Rakyat.

Beliau turut membangkitkan soal pembahagian dan penghantaran tenaga yang dimonopoli oleh TNB perlu dipecahkan agar wujudnya persaingan bagi mengelakkan berlakunya kenaikan tarif elektrik sewenang-wenangnya.

"Pemonopolian perlu dipecahkan, supaya ada persaingan. Persaingan ini bukan sahaja ianya sihat yang penting dapat mengurangkan beban yang ditanggung pengguna akibat kenaikan tarif elektrik," katanya.

Sebelum itu dalam sesi soal jawab, Nasir mengemukakan soalan asal yang meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyatakan tarif terkini elektrik untuk semua katagori pengguna dan bagaimana pelarasan tarif dilakukan oleh TNB dan nyatakan tahun pelarasan di lakukan.

Tanah: Rakyat miskin, wakil rakyat yang dapat

-, 15 Okt 2012

Percayakah anda, dalam suasana rata-rata rakyat Terengganu tidak mempunyai tanah untuk tempat kediaman mereka serta sedang bergelumang dengan bebanan kemiskinan dan kos sara hidup yang tinggi, kerajaan negeri ‘Darul Iman’ di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Sri Ahmad Said telah secara berani dan terbuka ‘menganugerahkan’ tanah yang istimewa kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen dari UMNO/Barisan Nasional (BN).

Antara exco dan wakil rakyat UMNO yang telah diluluskan permohonan tanah itu adalah Adun Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail; Adun Kuala Besut, Dr. A Rahman Mokhtar; Adun Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera; Adun Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh; Ahli Parlimen Besut, Datuk Dr Abdullah Mat Zain; Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad; Adun Batu Rakit, Khazan Che Mat; Adun Bukit Besi, Datuk Din Adam; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman; Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid dan Adun Kemasik, Ir. Rosli Othman.

Kesemua mereka telah dianugerahkan tanah sekurang-kurangnya satu hektar setiap seorang dan ia merupakan tanah-tanah strategik yang mempunyai nilai yang amat tinggi.

Yang lebih menarik lagi adalah penjelasan dari Menteri Besar Terengganu, Datuk Sri Ahmad Said dalam hal ’anugerah’ tanah kepada wakil-wakil rakyat UMNO ini? Setelah diasak bertubi-tubi di dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, beliau memberi jawapan selamba bahawa anugerah tanah kepada wakil-wakil rakyat Umno itu ’adalah amalan biasa dan tidak sedikitpun menyalahi etika dan prosedur kerajaan’.

Beliau berkata; ‘Sebagai rakyat Terengganu, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) juga berhak mendapat tanah yang dipohon daripada kerajaan negeri jika mematuhi syarat yang ditetapkan’.

Malah Ahmad Said turut memberi justifikasi bahawa setiap rakyat Terengganu yang tidak mempunyai sebarang tanah dan mahu memohon tanah adalah dialu-alukan kerana mereka berhak untuk memohon tanah dan mendapatkan tanah-tanah kerajaan.
Bagi beliau; “Kita beri rakyat Terengganu untuk pohon tapak rumah ataupun tanah pertanian. Kalau tanah pertanian kita beri sampai dua hektar, kalau tapak rumah satu lot, tiada salahnya,”

Persoalannya, apakah ini jawapan yang munasabah dari seorang pemimpin yang telah diberikan tanggungjawab dan amanah besar oleh rakyat Terengganu ini? Apakah benar anugerah tanah kepada wakil-wakil rakyat UMNO ini merupakan amalan biasa dan tidak menyalahi sebarang etika?

Apakah rata-rata rakyat Terengganu yang hanya hidup ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ sudah pun memiliki tanah yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri?
Atau, apakah wakil-wakil rakyat UMNO Terengganu adalah terdiri dari golongan ’miskin’ dan tidak memiliki sebarang tapak tanah untuk kediaman mereka?

Atau mungkin, apakah Ahmad Said sudah merasakan bahawa Umno Terengganu kini sudah ‘terlalu kebal’ dan tidak mungkin akan kalah dalam pilihanraya akan datang, beliau boleh berbuatlah apa sahaja; Stadium Sultan Mizan yang bernilai hampir RM300 juta mahu runtuh ke, mahu membina Zoo di Bukit Takal bernilai hampir RM100 juta ke, mahu membazirkan duit rakyat ratusan juta pun, rakyat Terengganu tidak akan ambil peduli dan akan tetap bersama menyokong beliau dan Umno di Terengganu.

Ramai kalangan yang tertanya-tanya, apakah benar rakyat Terengganu sendiri juga tidak sensitif dan tidak mahu ambil kisah sedikit pun terhadap isu-isu besar seperti anugerah tanah kepada wakil-wakil rakyat UMNO ini?

Berikanlah apa sahaja kepada wakil-wakil rakyat UMNO, tanah berhektar-hektar ke, kawasan pembalakan ke, projek lebuhraya ke, semua ini rakyat Terengganu sudah tidak kisah dan tidak mahu ambil peduli.

Asalkan rakyat yang miskin terus dapat makan dengan mendapat ‘Wang ihsan’ samada dalam bentuk ‘bantuan pakaian sekolah’, bantuan hari raya, bantuan kurma dan air zam-zam, maupun bantuan atap biru.

Namun inilah realiti yang sedang berlaku di negeri yang bergelar ‘Kuwait Malaysia’ yang kaya dengan hasil mahsul sumber gas asli dan minyak ini. Slogan ‘rakyat didahulukan’ tampaknya tidak menunjukkan hakikat itu.

Nampaknya slogan ini sudah bertukar kepada ‘wakil rakyat didahulukan’ dalam mereka mentadbir negeri Terengganu yang tercinta ini. ’Rakyat tidak didahulukan tetapi wakil rakyat yang diutamakan’. Malang, sungguh malang nasib rakyat negeri ‘Penyu Bertelur ini’.



* Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS. Beliau boleh dihubungi melalui Email: syedazmans@yahoo.co.uk twitter: @syedazman.

Next &gt

Tiada ulasan: