Selasa, 2 Oktober 2012

GULA DAH NAIK TAPI PENYAKIT KENCING MUNGKIN TAK BERKURANG...BUKAN SEBAB GULA TAPI MUNGKIN JUGA SEBAB KETURUNAN...ALLAH NAK BAGI PENYAKIT DE LAH HIKMAHNYA

TNC ditahan SPRM
Wartawan Sinar Harian
2 Oktober 2012
sprm
SPRM
SENAI – Seorang Timbalan Naib Canselor universiti tempatan awam ditahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, di sini, hari ini.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Mustafar Ali mengesahkan penahanan lelaki berusia 50-an itu kira-kira jam 11.40 pagi semalam.

“Beliau telah dipanggil untuk hadir ke pejabat SPRM hari ini dan kita  menyiasat perkara ini dibawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

“Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, dan pendakwaan akan dilakukan esok (hari ini),“ katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu menerima barangan berharga dengan tiada balasan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mustafar berkata nilai yang terlibat berjumlah RM15,000.
Filem hina Nabi: Rusia lebih praktikal dari Malaysia
Che'GuBard
2 Oktober 2012
BANYAK fokus umat Islam dalam mendepani perbagai isu seperti penyelesaian konflik di Syria dan seumpamanya teralih kepada isu kewujudan filem pendek 13 minit menghina Rasullullah. Konflik Syria sebenarnya bukan sekadar konflik agama tetapi konflik ciptaan Amerika untuk memusnahkan negara penentangnya ke arah laluan menghancurkan Iran bagi menjadikannya negara kuasa tunggal dunia.

Tidak langsung menafikan kepentingan untuk mengecam dan menghentikan sebarang bentuk penghinaan terhadap Rasullulah namun ia seharusnya dalam bentuk lebih praktikal. Di banyak dunia kebangkitan rakyat khususnya umat Islam seperti kelihatan terarah kepada mobilisasi rakyat semata.

Malah di Malaysia keadaan lebih parah apabila sentimen mobilisasi anti-filem 13 minit itu diperguna Pemuda Umno apabila perhimpunan itu turut melaungkan anti-DAP dan menggesa Pas meninggalkan PR kerana ramai orang Cina.

Namun berbeza perkembangan di negara bekas blok kominis Rusia yang lebih praktikal dalam berdepan isu filem menghuna Nabi ini.

Menurut laporan media Mahkamah Rusia membuka jalan bagi potensi penutupan YouTube, sebuah laman web perkongsian video dengan mengharamkan video hina Nabi Isnin lalu yang mencetuskan protes ganas di seluruh dunia Islam.

Mahkamah Tverskoy di Moscow memutuskan bahawa video yang dibuat di Amerika Syarikat dan menggambarkan kononnya Nabi Muhammad sebagai bodoh dan kasanova, adalah "ekstrem".

Pendakwaraya, Viktoria Maslova memberitahu mahkamah bahawa video tersebut "memburukkan agama Islam dan menyebabkan peningkatan sikap tidak bertoleransi terhadap agama di Rusia," lapor agensi berita Itar-Tass.

Di bawah undang-undang yang akan berkuat kuasa pada 1 November ini, laman-laman Internet yang kandungannya diharamkan di Rusia akan diletakkan di dalam suatu daftar, dan pembekal-pembekal internet akan menyekat akses kepada laman-laman tersebut.

Pemilik YouTube, Google Inc berkata, mereka akan menyekat akses filem kepada pengguna di Rusia sejurus selepas mereka menerima keputusan mahkamah itu, lapor agensi RIA.
Namun, Google tidak memberi sebarang komen apabila dihubungi Reuters.


Google telah menyekat video selama 13 minit itu di beberapa negara-negara Islam termasuk Mesir dan Libya, dua negara di mana konsulat Amerika Syarikat telah diserang oleh penunjuk perasaan.

Namun di Malaysia kerajaan cuma seperti biasa rejim hanya menggunakan sentimen luar untuk tujuan meraih keuntungan politik domestik semata-mata. Seperti isu Palestin kononya regim Umno BN diperlihat pro-Palestin dan begitu anti Israel tetapi hakikatnya regim ini tidak pernah berani melawan Israel atau AS sebaliknya Malaysia menghalalkan perdagangan membantu ekonomi Israel agar terus berdaya saing menindas Palestin.

Che'GuBard, Ketua Penyelaras SAMM Kebangsaan
5 ditahan kes culik DJ radio
SITI NOOR SEPEE
2 Oktober 2012
5 ditahan kes culik DJ radio
Lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam penculikan penyampai radio Best 104 Julie Diana Omar Shariff Sabtu lalu ditahan reman di Mahkamah Majistret hari ini - Foto Bernama
 DJ nyaris jadi mangsa culik, bunuh, bakar
Julie Diana menunjukkan kecederaan yang dialaminya.
SENAI – Polis menahan lima lelaki dipercayai terlibat dalam penculikkan penyampai radio (Dj) Best 104 , Julie Diana Omar Shariff atau lebih dikenali sebagai JD, yang dilarikan lebih 10 lelaki, Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dr Hashim Haron berkata, kesemua suspek berumur 15 hingga 21 tahun itu ditahan sekitar negeri ini, kira-kira jam 2 pagi, semalam, bagi membantu siasatan.
Penahanan lima lelaki itu menjadikan tujuh lelaki yang dicekup polis iaitu membabitkan teman rapat DJ berusia 34  itu yang berusia 40an kira-kira jam 4 petang Ahad lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Lima lelaki itu dipercayai adalah individu yang diupah membabitkan kes percintaan tidak berbalas.
Sementara itu JD yang popular dengan segmen Melodi Senja dan Variasi memberitahu Sinar Harian di masih trauma selepas kejadian yang hampir meragut nyawanya itu.
“Saya diberikan cuti selama sebulan oleh doktor kerana trauma akibat kejadian itu..mungkin dua atau tiga minggu lagi, saya akan mampu kembali bekerja namun buat masa ini saya akan berehat untuk menenangkan fikiran," katanya.
Beliau juga berterima kasih kepada keluarga, kenalan rakan termasuk pihak pengurusan dan rakan sekerjanya di Best 104 begitu mengambil berat mengenai keadaan dirinya malah tidak jemu-jemu memberi sokongan moral supaya JD pulih seperti biasa.
“Jika saya kembali bertugas pada masa terdekat, saya lebih selesa untuk bekerja di belakang tabir buat sementara waktu kerana masih belum bersedia untuk keudara, namun saya akan kembali ke konti semula,” katanya.
Dr Rani: Pas bincang selepas menang PRU13
Wartawan Sinar Harian
2 Oktober 2012
Dr Rani: Pas bincang selepas menang PRU13
Laporan Sinar Harian Ahad lalu.
SHAH ALAM – Pas Selangor tidak pernah berbincang mengenai pemilihan calon pemimpin mereka yang bakal diangkat menganggotai jemaah menteri sekiranya berjaya menubuhkan kerajaan, kelak.

Pesuruhjayanya, Dr Abd Rani Osman berkata, misi utama mereka kini hanyalah berusaha keras menumbangkan jentera Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Apa yang penting ialah sasaran kita (Pas) untuk menjatuhkan BN terlebih dahulu, barulah boleh bincang Kabinet bayangan. Dalam perjumpaan kita selama ini pun, tidak pernah bincang mengenai Kabinet bayangan.

“Kalau cakap sekarang (mengenai Kabinet bayangan), tidak boleh kerana kita ada rakan komponen parti lain (PKR dan DAP) yang perlu turut sama berbincang mengenai perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas 20 pemimpin PKR di Kabinet jika menang PRU13, Dr Abd Rani berpendapat, ia adalah pendapat dan hak parti itu, namun Pas Selangor berpendirian ‘menunggu masa sesuai’ bagi mendedahkan siapa pemimpin terlibat.

Pada program Rapat Pimpinan Nasional PKR 2012 Sabtu lalu, seramai 20 pimpinan kanan PKR dijangka akan mewarnai jemaah menteri jika berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi PRU akan datang.

Dalam pada itu, beliau berpendapat, tiada keperluan untuk PR menggunakan satu simbol atau bendera untuk menjadi kerajaan atau pembangkang berwibawa seperti didakwa Najib ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional 2012 ke-41, kelmarin.

Menurutnya, walaupun selama ini PR tidak pernah menggunakan logo atau simbol sama, namun mereka dapat membuktikan bahawa ketiga-tiga komponen parti itu mampu menumpaskan BN dengan menawan empat negeri pada PRU 2008.

“Pada saya, lebih baik kita bergerak atas simbol masing-masing, tetapi kita tetap bersatu. Mungkin (penggunaan satu simbol) ini pernah dibincangkan, saya tidak berapa pasti, namun kita lebih selesa duduk di atas parti masing-masing.
“Tiada jaminan bahawa jika satu simbol atau logo dibuat, kita boleh kekal. Contohnya, walaupun BN guna satu simbol, tapi mereka tetap juga berlaga dan tidak bersatu hati," katanya.
PR ajak pemimpin muda BN debat Bajet 2013
Wartawan Sinar Harian
2 Oktober 2012
SHAH ALAM - Setelah cabaran supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada sesi perbahasan bajet Pakatan Rakyat (PR) semalam tidak berhasil, PR masih enggan mengalah dan yang terbaru, mempelawa tiga tokoh muda Barisan Nasional untuk berdebat mengenai Bajet 2013.

Cabaran dikemukakan kepada Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Datuk Rahman Dahlan (Kota Belud), Chua Tee Yong (Labis) dan P. Kamalanathan (Hulu Selangor).

Sementara  PR pula akan diwakili oleh Ahli Parlimen Pas dari Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad; Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP, Dr. Ong Kian Ming dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

“Pakatan Rakyat akan mengadakan Forum Terbuka Bajet 2013 untuk mengupas situasi ekonomi semasa dan perbandingan belanjawan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional pada hari Rabu (3 Oktober 2012) jam 830 malam, di Dewan Ilmu, Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya (berdekatan Hospital Assunta).

“Forum ini terbuka kepada semua terutamanya kepada pimpinan muda Barisan Nasional atau mana-mana wakil Barisan Nasional yang berani tampil ke depan mempertahankan Bajet 2013 yang dibentangkan Jumaat lalu,” menurut satu kenyataan media bersama PR hari ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini beberapa kali mencabar Najib untuk berdebat bersabit isu ekonomi.

Namun ajakan itu tidak pernah bersambut sehingga ke hari ini.

Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pimpinan PR, yang menyifatkan debat antara kedua-dua pemimpin itu sudah lama dinantikan oleh rakyat bagi menentukan dasar siapa yang lebih baik.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan media sama, PR turut menyelar tindakan beberapa ahli Parlimen dari BN terutama barisan Kabinet yang memulaukan pembentangan dan jawapan balas Anwar bersabit Bajet 2013.

“Begitu juga keengganan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai ekonomi walaupun beliau menggunakan peluang lintas langsung pembentangan Belanjawan 2013 untuk menyerang Ketua Pembangkang,” tulis kenyataan media itu.

Debat ini dikatakan amat penting bagi memberi peluang kepada rakyat kebanyakan membuat pilihan yang tepat di antara dasar-dasar ekonomi yang dibawa di samping mengharmonikan konsep system dua parti di negara ini.
Fenomena Halo di Lembah Klang

2 Oktober 2012
Fenomena Halo
Fenomena halo adalah lingkaran cahaya yang terbentuk seperti pelangi yang mengelilingi Matahari- Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Orang ramai di sekitar Lembah Klang dapat menyaksikan fenomena Halo hari ini.
Halo merupakan fenomena semulajadi yang berupa lingkaran cahaya di sekitar matahari atau bulan yang kadang kala boleh berlaku pada sumber cahaya lain seperti lampu jalan.
Menurut kenyataan Agensi Angkasa Negara (Angkasa), terdapat pelbagai jenis Halo secara umumnya muncul disebabkan kristal ais pada awan cirrus sejuk yang berada pada ketinggian lima hingga 10 kilometer di lapisan atas troposfera.
Ia bergantung pada bentuk dan arah kristal ais, cahaya matahari yang dipantul dan dibiaskan oleh permukaan ais berbentuk prisma sehingga sinaran matahari terpecah kepada beberapa warna kerana kesan sebaran udara dan dipantulkan ke arah tertentu, sama seperti kejadian pelangi.

Angkasa dalam kenyataannya dinasihatkan orang ramai agar berhati-hati apabila melihat atau merakamkan gambar Halo secara telus tanpa penurus matahari kerana ia memberi kesan yang merbahaya kepada mata.- Bernama
Rapid: Azalina mahu saman Mazlan jika enggan minta maaf
JAMILAH HAMZAH
2 Oktober 2012
Azalina Othman Said
AZALINA
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Penggerang, Datuk Seri Azalina Othman hari ini menggesa Pengerusi Perasatuan Anak-anak Peneroka Malaysia (Anak), Mazlan Aliman memohon maaf secara terbuka kepadanya berhubung laporan media mengenai penglibatan dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid).
Menurutnya, kenyataan Mazlan adalah berbaur fitnah dan tidak benar.

Katanya,"saya agak terperanjat dengan kenyataan yang perkera seperti itu, saya rasa ini penyataan berniat jahat kepada saya."

"Saya jumpa Perdana Menteri lebih kepada projek Rapid dimaklumkan dan berbincang mengenai penubuhan institut untuk orang muda.

"Tuduhan yang dia (Mazlan) buat itu saya sudah arahkan peguam saya untuk kaji ucapan yang dia buat, untuk saman dia, dan saya sudah peguam saya membuat tuntutan kepada dia untuk mohon maaf dalam masa terdekat.

"Berapa juta saya nak saman itu, saya akan fikirkan dan buat pengiraan terlebih dahulu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, di sini.
Sebelum ini dalam laporan media tempatan, Mazlan berkata Azalina terlibat dalam projek Rapid.

Mazlan juga berkata, Azalina mempengaruhi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memilih Penggerang bagi menjalankan Rapid kerana kawasan itu merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, Azalina juga berkata Mazlan mempunyai hak untuk membantah, namun perlu membuat kajian sebelum mengeluarkan kenyataan yang berbaur tuduhan serta fitnah.

Tambahnya, Mazlan menggunakan isu Rapid bagi mengambil kesempatan terhadap kedudukan Azalina supaya rakyat memberi gambaran yang buruk.

"Apa yang dibuat oleh dia seolah-olah saya mempunyai sifat tidak bertanggungjawab dan agenda yang terlebih.

"Saya bukan ahli lembaga dalam apa-apa projek kerajaan di Johor, saya hanya Ahli Parlimen Pengerang," katanya lagi.
Cuepacs mohon bonus dikecuali cukai

1 Oktober 2012
logo cuepacs
Cuepacs

KUALA LUMPUR - Cuepacs memohon agar bonus kepada penjawat awam pada  Disember dan Januari ini, dikecualikan daripada cukai pendapatan.
 
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, penjawat awam sememangnya amat menghargai keputusan kerajaan memberi bonus satu setengah bulan, iaitu yang terbaik pernah diberikan setakat ini.

"Kalau boleh dipertimbangkan, berilah bonus yang 'solid'," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentang Belanjawan 2013 yang bertema 'Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati' di Dewan Rakyat, mengumumkan pemberian bonus satu setengah bulan kepada penjawat awam, dengan bonus setengah bulan sudah diberikan Ogos lepas.

Sementara itu, merujuk pengumuman Perdana Menteri berhubung peruntukan RM1.9 bilion kepada Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara bagi memulakan inisiatif membina 123,000 unit rumah mampu milik di kawasan strategik, Omar berkata, pihaknya menyambut baik langkah itu kerana dapat membantu penjawat awam memiliki kediaman sendiri.

Beliau berkata, bagaimanapun, pihaknya meminta kerajaan memberi perhatian terhadap beberapa perkara bagi memastikan inisiatif itu dapat memberi nikmat paling maksimum kepada orang ramai.

Omar juga berharap pihak yang terbabit dengan inisiatif perumahan itu dapat memberi pinjaman 100 peratus kepada pembeli, iaitu pembeli tidak perlu membayar 10 atau 20 peratus daripada harga rumah.

Katanya, selain itu, kerajaan perlu memastikan pembeli adalah dari kalangan mereka yang belum memiliki kediaman sendiri, dan unit rumah tersebut pula diharap dapat disiapkan sepenuhnya sebelum dijual. - Bernama
Guan Eng minta Mansor urus sendiri kontroversinya
WAN NASRAH ABDUL RAHIM
2 Oktober 2012
KUALA LUMPUR - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta Timbalan Ketua Menterinya, Datuk Dr Mansor Othman supaya menguruskan sendiri isu kontroversi yang menggelarkan dirinya sebagai angkuh dan sombong.
Katanya perkara itu perlu diselesaikan sendiri oleh Mansor.
"Kita perlu hormat dia selaku Pengerusi PKR (Parti Keadilan Rakyat) negeri," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam
Guan Eng mengulas perkara itu berhubung gesaan Pengerusi DAP, Karpal Singh agar kontroversi yang timbul antara kedua pemimpin utama Pulau Pinang itu diselesaikan secara profesional.
Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Mansor yang menafikan pernah menggelar Lim 'sombong dan angkuh', penafiannya itu bagaimanapun telah memakan diri apabila rakaman percakapannya pada mesyuarat strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) tentang pembahagian kerusi negeri pada pilihan raya umum ke-13 pada April lalu, didedahkan.
Azizah: 'Kabinet bayangan tiada, bayangan menteri ada'
RUZY ADILA IDRIS
2 Oktober 2012
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
PETALING JAYA - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menegaskan Pakatan Rakyat (PR) tidak ada Kabinet bayangan, yang dipertikaikan oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN), sebaliknya hanya ada "bayangan menteri ada."

"Kabinet bayangan tak ada... bayangan menteri adalah," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, tengah hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin, yang meminta parti itu mengumumkan Kabinet bayangan mereka.

Pada masa yang sama, beliau turut mempersoalkan mengapa Barisan Nasional (BN) tidak mengumumkan Kabinet bayangan mereka di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR).

"PR tidak mungkin akan mewujudkan 'Kabinet bayangan' kerana  sistem politik Malaysia tidak seperti United Kingdom (UK) dan Australia di mana calon Kabinet bayangan mereka menerima bayaran untuk 'official status' mereka.

"Parti politik di Malaysia terdiri daripada gabungan beberapa parti politik sedangkan di negara terbabit, parti mereka adalah parti buruh dan sosialis, misalnya.

"Apa yang penting bagi kami bukan pangkat atau kedudukan tetapi kebajikan rakyat yang perlu diperjuangkan," katanya dalam sidang media, di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Kelmarin, Najib mencabar PR untuk menubuhkan Kabinet bayangan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, sehingga kini janji PR mahu menubuhkan kerajaan bayangan masih belum ditunaikan kerana takut mahu mengagih jawatan sesama sendiri.
Harga gula mula naik
SAPINAH AB GHANI
2 Oktober 2012
gula
Gula di kedai runcit Mohd Hamdhan yang terpaksa dijual pada harga lebih tinggi berbanding sebelumnya selepas kerajaan mengumumkan pengurangan subsidi sebanyak 20 sen terhadap ba
KOTA BHARU - Bukan sekadar berdepan kesukaran mendapatkan bekalan gula, malah pengguna turut terlibat dengan kenaikan harga barangan keperluan harian itu sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai runcit sekitar Pengkalan Chepa, dan Kota Bharu mendapati krisis bahan makanan itu bermula selepas pembentangan Belanjawan 2013, Jumaat lalu.

Peniaga, Mohd Hamdhan Bakhtiar, 24, berkata, harga barangan keperluan harian itu naik kira- kira 20 sen berbanding sebelumnya.

“Dari segi bekalan, ia tidak menjadi masalah tetapi harga yang diperoleh dari pembekal agak tinggi menyebabkan saya terpaksa menaikkan harga kepada RM2.60 sekilogram sejak Sabtu lalu,” katanya ketika ditemui di kedai runcitnya di sini, semalam.

Seorang lagi peniaga Rahimah Rahmat, 50, berkata, dia terpaksa menghentikan jualan gula buat sementara waktu selepas gagal mendapatkan barangan kawalan itu pada harga biasa.

“Saya belum bersedia menjual gula pada harga baru yang mungkin sukar diterima umum akibat kenaikan secara mendadak,” katanya.

Rahimah berkata, walaupun sedar tindakannya itu menyebabkan kebanyakan pelanggan mengalami masalah mendapatkan barangan tersebut, namun dia tidak mempunyai pilihan lain.

Tinjauan di sebuah pasar raya di Kubang Kerian pula mendapati hanya rak- rak kosong memenuhi ruang bekalan gula membuktikan barangan itu kini berkurangan.

Sementara itu, pengguna terpaksa berdepan kenaikan harga gula apabila subsidi terhadap barang kawalan itu dikurangkan sebanyak 20 sen sekilogram bermula Sabtu lalu.
Ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat, 28 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengurangan subsidi itu mendapat sokongan daripada persatuan pengguna dan pengamal kesihatan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan masih lagi menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen satu kilogram yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM278 juta.

Katanya, keputusan itu turut mengambil kira jumlah 2.6 juta rakyat Malaysia yang menghidap diabetes ketika ini.

Tiada ulasan: