Pemuda PAS berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan pandangan bekas anggota Parlimen India Mubasyar Jawid Akbar dalam bukunya Tinderbox: The Past and the Future of Pakistan yang dilancarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

pas muktamar 130610 nasruddin hassan 1Ketuanya Nasrudin Hassan (kiri) berkata, Mubasyar berpandangan bahawa Islam hanya untuk menjalin persaudaraan dan bukan menubuhkan negara - idea yang didakwa berpaksi fahaman "Islam Liberal".

"Jelas dalam PAS, kita menolak fahaman sedemikian justeru ia lebih berpaksi kepada doktrin fahaman Islam liberal," katanya.

"Dan masyarakat umum tahu bahawa PAS sebuah parti yang berpandukan Islam. Islam penyelesaian yang terbaik bagi semua masalah ummah termasuk menyelesaikan permasalahan negara."

Dalam kenyataannya hari ini, Nasruddin juga berkata, dewan itu memberikan sokongan penuh kepada Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berhubung perkara sama dengan menyifatkan Islam sebagai cara hidup yang lengkap.

dr haron din pasSementara itu, Utusan Malaysia dalam sebuah rencana hari ini menyebut Dr Haron meminta supaya PAS tidak dikaitkan dengan tindakan Anwar melancarkan buku karangan Mobashor itu.

"Itu tindakan dia (Anwar) sendiri. Anwar pun ada caranya. Dia pun tak tubuhkan parti Islam. Dia tubuhkan PKR," Dr Haron dipetik sebagai berkata dalam ruangan "Dari Jendela Tok Ki" itu.

Tinderbox: The Past and the Future of Pakistan dilancarkan di Kelab Taman Perdana Diraja di ibu negara pada 2 Oktober lalu.