Selasa, 8 Mei 2012

PILIHLAH YANG TAK MENGHISAP ROKOK...ISTERI DAN ANAK2 MENUTUP AURAT...BUKAN SUKA KEPADA KEMEWAHAN..MENUNJUK2...PILIHLAH YANG WARAK...ZUHUD...KUAT IBADAHNYA...SERTA BANYAK MENGAMALKAN SUNNAH....

Majlis Syura PAS sedang teliti senarai calon

Muhammad Faeez, 07 Mei 2012
IPOH: Proses pemilihan calon PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 hampir selesai dan kini berada diperingkat akhir.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sehingga kini hampir kesemua calon di semua kerusi yang ditandingi PAS sudah disenaraikan.

Menurutnya juga, Majlis Syura sudah pun meneliti senarai nama yang dikemukakan di setiap negeri sebelum diputuskan oleh peringkat tertinggi parti itu.

“Boleh dikatakan hampir selesai, kita akan berbincang bersama Majlis Syura dalam masa terdekat sebelum diputuskan jawatankuasa,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen PAS Perak Kali Ke-16 di Hotel Hillcity Ipoh, semalam.

Katanya, setiap kawasan telah menghantar sekurang-kurangnya dua nama dan ianya dipersetujui oleh Majlis Syura.

“Kami akan mengisytiharkan calon selepas parlimen dibubarkan kelak,” ujarnya.

Mengenai pembahagian kerusi, Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga berkata, setakat ini semuanya berjalan de­ngan lancar dan cuma ada satu dua negeri yang masih dalam perbincangan akhir.

“Tiada masalah besar dalam pembahagian kerusi ini, ianya dalam proses perbincangan dan akan selesai tidak lama lagi,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai manifesto Pakatan Rakyat, beliau berkata gabungan tiga parti sudah pun menyiapkannya dan hanya akan diumumkan menjelang pilihan raya.

Ini kerana katanya, kebiasaannya Umno akan meniru manifesto Pakatan Rakyat seperti yang terjadi kepada Buku Jingga.

Sementara itu, beliau menggesa kepada jentera seluruh jentera parti di seluruh negara untuk mengibarkan bendera parti bagi membina semangat dan momentum dalam suasana bahang pilihanraya yang semakin hampir.

Scorpene: Umno patut adakan perhimpunan khas

Aspan Alias, 07 Mei 2012
Berbagai-bagai isu yang dihadapi oleh PM Najib nampakya tidak pula mendapat pembelaan dari pemimpin partinya dengan jelas. Pemimpin-pemimpin besar UMNO tidak ada yang ke hadapan untuk mempertahankan Najib dalam isu Scorpene.yang Najib dikatakan terlibat secara terus. Pendakwaraya di Perancis telah memberitahu Suaram yang Najib pernah meminta USD 1 billion untuk dimasukkan ke akaun Paremekar Sdn Bhd sebagai syarat untuk DCNI bertemu dengan beliau di Paris. Kenyataan pihak pendakwa itu amat serius kerana ia melibatkan ketua negara sebuah negara yang dikatakan berdaulat ini.


Selalunya jika ada apa-apa tuduhan dan kenyataan yang disebut sebagai salah laku pemimpin kita, akan bertalu-talulah pemimpin-pemimpin UMNO dan kerajaan membela yang dilibatkan itu. Najib nampaknya kesaorangan dan tidak ada menteri-menteri dan ahli-ahli jemaah kabinetnya mengeluarkan kenyataan mempertahankan Perdana Menteri yang telah melantik dan diberi tanggungjawab oleh Najib. Tidak ada satu pun media perdana menyentuh isu dakwaan terhadap Najib ini. Saya telah membeli Utusan untuk menyemak samada akhbar organ UMNO itu menyentuh isu ini atau tidak.

Tuduhan ini amat serius dalam masa Najib sedang berhempas pulas untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat yang telah jelas tidak lagi memberikan dukungan yang pernah diperolehi oleh Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelum beliau. Rakyat sedang menunggu reaksi Muhyiddin Yassin, sepupu Najib, Hishamuddin Husein serta panglima-panglima Najib yang lain.

Saya tidak tahu kenapa UMNO tidak membuat perhimpunan Agong Khas untuk menangani isu ini dan membuat keputusan memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap  Presidennya yang sedang menghadapi berbagai-bagai cobaan dan masalah yang besar sejak akhir-akhir ini. Mendiamkan diri dalam isu ini bermakna bersetuju dengan tuduhan pendakwa di negara Perancis itu. Persidangan khas untuk menangkis isu ini amat wajar diadakan dengan segera.

Lepas satu isu datang lagi isu-isu yang berat yang menghadapi Najib dan sikap ramai pemimpin-pemimpin tertinggi parti sekarang ini seolah-olah ada perancangan untuk membiarkan Najib menghadapi isu kepimpinan seorang diri sahaja. Saya mencadangkan supaya Majlis Tertinggi bermesyuarat dan mengeluarkan kenyataan resmi tentang pendirian parti keatas isu yang dihadapi oleh seorang Perdana Menteri negara kita ini.

Ini melibatkan isu dan tuduhan rasuah seorang Perdana Menteri sebuah negara merdeka. Najib bukannya pemimpin kecil. Beliau seorang Perdana Menteri Malaysia yang mempunyai kuasa memasukkan dan mengeluarkan sesiapa yang beliau suka ke penjara. Najib bukannya Presiden Filipina yang mana seorang Presiden boleh dihadapkan ke Mahkamah di atas berbagai-bagai masalah.

Perdana Menteri Malaysia adalah kebal dari tindakan undang-undang dan boleh melakukan apa yang beliau suka walaupun kerja-kerja jenayah yang besar-besar. Yang tidak boleh lari dari tindakan mahkamah ialah mata-mata (Polis) yang menerima rasuah dua tiga ratus atau pun kerani pejabat tanah yang menerima suapan dua ratus ringgit.

Berbalik kepada tuduhan pendakwa Perancis yang telah menghantar kandungan komunikasi Najib dengan DCNI itu tentang permintaan USD 1billion oleh Najib itu kepada Suaram amat memberi kesan yang amat buruk kepada negara.

Rakyat mahu melihat pemimpin-pemimpin politik UMNO dan BN mengeluarkan kenyataan dan menzahirkan pendirian mereka terhadap isu yang melibatkan Perdana Menteri kita. Reaksi barisan pimpinan kita amat penting kerana ia melibatkan maruah negara kita. Yang dinamakan sebagai seorang yang terlibat dalam isu sensitif ini ialah Perdana Menteri negara yang berdaulat dan merdeka.

Dengan berdiam diri boleh ditakrifkan yang pemimpin-pemimpin lain dalam UMNO dan BN mempunyai kepercayaan yang kuat yang apa yang dikatakan oleh pendakwa di Paris itu adalah benar belaka. Jika itulah pandangan barisan kepimpinan UMNO maka yang kita tunggu ialah untuk melihat bagaimana Najib akan disingkir atau tersingkir dari jawatan yang amat beliau perlukan untuk dikekalkan.

Itulah sebabnya blog ini selalu mengingatkan Najib yang penting beliau uruskan ialah pemimpin-pemimpin dalam partinya sendiri; bukannya menumpukan perhatian kepada parti-parti pembangkang.

Najib perlu sedar yang musuh yang terang dihadapan beliau tidak begitu merbahaya untuk beliau. Yang lebih bahaya ialah ular-ular sawa yang sedang mengintai-ngintai untuk mematuk dan membelit beliau.

Sesungguhnya Najib adalah seorang pemimpin yang dalam kesunyian. Beliau kesaorangan. Beliau nampaknya akan mengalami apa yang dialami oleh Abdullah Badawi. Sejarah Abdullah akan berulang.

Apabila saya memikirkan bermacam isu yang menjejaskan rakyat dan negara ini dengan mendalam, saya merasakan saya telah bersama dengan beberapa orang yang lain telah melakukan yang terbaik dengan menyertai DAP. Parti ini tidak ada masalah kepimpinan yang dipersoalkan kewibawaan  mereka seperti yang berlaku terhadap ramai kepimpinan BN.

Bagi mengelak dan menjauhi diri dari kumpulan yang tidak bermoral ini, keluar dari UMNO itu merupakan satu-satunya jalan yang ada kepada kita semua. Ramai yang tidak faham lagi sikap dan sifat kepimpinan UMNO. Bercakap berderai-derai tentang Islam tetapi apa yang dilakukan mereka semuanya anti dan bersalahan dengan syariat Islam. Itulah namanya sifat hipokrit

Bagi mereka yang tetap imannya mereka boleh berada dimana-mana kerana orang yang beriman itu seperti ikan yang hidup dilautan yang dalam dan masin. Ikan yang hidup tidak akan rasa masin jika dikeluarkan dari lautan yang masin itu. Ikan yang jenis ini adalah ikan segar dan begitu enak dimasak dan di gulai.

Sebaliknya kepada ikan yang telah mati (tidak berjiwa lagi) jika dikeluarkan dari lautan dan dijemur akan menjadi ikan kering masin. Ikan masin hanya sedap dijadikan perasa di dalam masakan sayuran kangkong dan kailan sahaja.  Maksud saya pimpinan UMNO sudah tidak berjiwa lagi.


Dalam isu Scorpene ini UMNO patut memanggil Persidangan Agong khas untuk menyelesaikan isu ini secara resmi. Yang dituduh itu bukannya Mat Rempit. Beliau adalah Perdana Menteri. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Tuan Guru Nik Aziz, hero saya - Tan Sri Kadir

Salmah Mat Husain, Foto: Rizal Tahir, 07 Mei 2012

KOTA BHARU: Bekas menteri Kabinet yang juga veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, hari ini mengunjungi Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau mengambil waktu lebih sejam beramah mesra dengan Tuan Guru di Pejabat Menteri Besar bermula 11.25 pagi tadi.

Turut bersamanya, Anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Kadir dilihat begitu gembira dapat bertemu dengan Tuan Guru, malah sebaik sahaja bersalam dengan Tuan Guru terus bertanya; “Apa khabar Tuan Guru…hero saya ni,” ujarnya sambil menoleh kepada media.

Kadir ketika ditemui selepas itu memberitahu setiap pemimpin di negara ini perlu menghormati mana-mana pemimpin negeri yang mereka hadiri.

Malah, katanya sebagai seorang tetamu mereka perlu bertemu dengan pemimpin berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas teguran Menteri Besar sebelum ini terhadap pemimpin pusat termasuk menteri kabinet yang tidak mengunjungi Pejabat Menteri Besar ketika membuat program di negeri ini.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Tuan Guru dan memang itu yang sepatutnya. Saya sebelum ini lebih tiga kali bertemu Tuan Guru datang ke pejabatnya, makan nasi tengahari lagi,” ujarnya.

Sebelum ini, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa dukacita terhadap menteri-menteri dan timbalannya yang datang ke negeri ini tetapi tidak pernah mengunjungi pejabat beliau.

Katanya, Kelantan adalah sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seorang menteri besar, yang seharusnya menteri atau timbalannya mengunjunginya selaku ketua kerajaan di negeri yang mereka lawati.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan awal Mei ini Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Mengulas aktiviti politiknya kini, Kadir turut memberitahu jadualnya begitu padat sekarang kerana mendapat jemputan ceramah oleh pimpinan PAS hampir seluruh negara.
Kadir yang juga bekas menteri penerangan kini kembali aktif dalam politik bersama pembangkang selepas mengumumkan keluar dari Umno awal April lalu.

“Ada di antaranya saya tidak dapat nak penuhi sebab jadual saya begitu penuh,”ujarnya sambil ketawa.

Malam ini beliau dijangka menyampaikan ceramahnya bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa di Pejabat PAS Kawasan Bachok.

Ahli PAS perlu tonjol kebaikan Islam

Salmiyah Harun, 07 Mei 2012
KUALA LUMPUR: "Inilah tanggungjawab kita, kita tonjolkan PAS lah yang berjuang menyeru kepada kebaikan dan beriman kepada Allah. PAS harus dilihat penaung untuk semua manusia sama ada Islam atau bukan Islam," demikian seru Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Ketika memberi ucapan penutup pada Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan, beliau berkata, gerak kerja sukarelawan oleh ahli-ahli PAS sudah mula dihormati semua pihak.

Beliau merujuk dalam insiden perhimpunan Bersih 3.0, di mana sukarelawan Unit Amal PAS sudah menjadi buah mulut semua orang apabila anggota ini memperlihatkan keprihatinan mereka dalam menjaga keselamatan peserta himpunan tempoh hari.

"Dalam siri perhimpunan Bersih 3.0, 2.0 sebelum ini, peserta himpunan yang jatuh longkang, pengsan, sesak nafas kena gas, mereka inilah (Unit Amal) orang pertama yang memberi bantuan. Sukarelawan kita sudah dihati orang ramai.

"Malah, wanita berbangsa Cina yang terkena gas pada himpunan lepas di mana beliau dipapah oleh muslimat kita. Wanita itu menangis bukan kerana gas tetapi terharu apabila ada wanita beragama Islam bertindak memberi kasih sayang disaat dia menghadapi kecemasan," katanya kepada lebih 400 peserta konvensyen yang berlangsung di KUIZM semalam.

Tambahnya, kerja-kerja amal ini dituntut dan dipelopori dalam kerajaan Islam selain mempertahankan prinsip-prinsip istiqmah, sabar , ikhlas dalam perjuangan bersama Islam.

"Kita berlawan dengan Umno BN dalam masa yang sama kita sedang bersaing dengan DAP, dan PKR. Kita perlu tonjolkan prinsip dan perjuangan yang kita pegang," katanya.

Melihat fenomena artis dan selebriti yang berani mendekati PAS, Mohamad Sabu berkata, golongan ini membantu dan menggilap PAS di mata masyarakat tetapi teras kepada perubahan dan 'road map'  ke Putrajaya adalah ahli-ahli PAS.

"Terasnya adalah tuan-tuan. Kitalah yang meneruskan perjuangan ini. Insyallah prinsip yang kita pegang ini membolehkan kita ke Putrajaya," katanya yang diikuti laungan 'Allahuakbar' oleh peserta yang hadir.

Turut bersama Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohammad Nor Mohd yang menyampaikan panji-panji kepada beberapa pimpinan kawasan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Jangan sempitkan fatwa untuk demonstrasi sahaja

Harakahdaily, 07 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 7 Mei: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan diseru tidak mengeluarkan pandangan melibatkan demonstrasi sahaja tetapi mestilah juga mengeluarkan pandangan melibatkan kepincangan pilihan raya yang menjadi sebab kepada berlakunya demonstrasi.

Demikian ditegaskan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) sebagai mengulas pandangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, semalam berhubung demonstrasi Bersih 3.0.

"Demonstrasi menyatakan pandangan adalah berasaskan kepada kewajipan amar makruf nahi munkar yang dituntut oleh Islam,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, demonstrasi Bersih 3.0 bertujuan menuntut 8 perkara melibatkan penambahbaikan pilihan raya negara yang dilihat pincang.

Jelasnya, ia merupakan sebahagian tugas amar makruf nahi munkar yang mesti dilaksanakan oleh rakyat terutamanya umat Islam.

Beliau yang juga Adun Manir, Terengganu menegaskan lagi bahawa tanpa sebarang provokosi daripada pihak tertentu demonstrasi aman tidak akan mencetuskan huru-hara.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali pula menegaskan bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan diminta jangan menyempitkan pandangan muzakarah melibatkan demonstrasi yang berlaku sahaja.

Tetapi, tambahnya mereka perlu mengeluarkan pandangan terhadap kepincangan pengurusan kewangan negara, amalan rasuah yang berleluasa, pengkhianatan pemberian ic kepada bukan warganegara, pemberian warganegara dengan tujuan politik jahat, rasuah politik kepada pengundi, pengunaan dana kerajaan oleh parti yang bertanding dalam pilihanraya dan kepincangan pengurusan pilihanraya.

“Dengan itu, Jawatankuasa Fatwa akan dilihat berwibawa dan tidak menjadi alat pemerintah semata-mata, malah menjadi suara amar makruf nahi munkar mewakili rakyat," ujarnya.

Tiada ulasan: