Khamis, 17 Mei 2012

NAMA PUN RUNTUH...TENTU BANYAK YANG PERKARA2 YANG TAK DIJANGKA KAN...LAIN BIAR GUGUR ...APABILA MEMANG DURIAN TU NAK GUGUR...TENTU DURIAN TU BERHARGA....

Tak boleh mengundi, nombor IC 'dicuri'

Harakahdaily, 17 Mei 2012

BATU GAJAH: Seorang wanita mendakwa dirinya hilang kelayakan mengundi apabila semakan di web Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menunjukkan nombor kad pengenalannya dimiliki pihak lain.

Ketika membuat semakan, Puan Tamil Malar yang memiliki no kad pengenalan biru 750516-08-5360 terkejut apabila namanya tidak keluar tetapi yang dipapar adalah nama seorang lelaki Mansor Bin Jali.

Puan Tamil Malar menetap di DUN Tronoh, Parlimen Batu Gajah, Perak namun dalam semakan menggunakan no kad pengenalannya itu memaparkan beliu adalah pengundi di DUN Ayer Limau, Parlimen Masjid Tanah, Melaka.

Sementara itu, Adun Tronoh V.Sivakumar berkata, pihaknya hairan dengan kes yang berlaku itu sedangkan daftar pemilih dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu disemak dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Terbukti  ada unsur-unsur  penipuan dalam pendaftaran pemilih.

"Saya memohon kepada Pengerusi SPR Malaysia untuk memberi penjelasan mengenai hal ini dengan segera," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut Sivakumar lagi, pihaknya kini sedang giat megesan 'pengundi hantu' yang mungkin wujud di Dun itu.

"Kami sedang membuat operasi  ‘Ghost Busters’ di DUN Tronoh dan dalam operasi ini kami berjaya megesan satu kes penipuan yang sangat nyata," katanya merujuk kepada kes Puan Tamil Malar itu

Umno bukan lagi wakili orang Melayu

Abdul Aziz Mustafa, 17 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 17 Mei: Umno tidak boleh lagi mendakwa ia mewakili orang-orang Melayu kerana tidak sampai separuh dari orang Melayu yang mengundi parti itu.

Malah, ahli Umno sendiri pun tidak mengundi parti itu, kata bekas Ketua Penerangan Umno Pekan, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz.

Ketika menolak dakwaan kononnya Umno mewakili Melayu itu, beliau berkata: "Calon-calon Umno mendapat hanya dua juta  undi dari 5.7 juta undi Melayu.

"Jika Umno dapat dua juta undi sahaja, ia juga bermakna satu juta ahli Umno tidak mengundi calon-calon Umno".

Oleh itu, kata bekas Adun Pulau Manis itu, Umno malah tidak boleh mendakwa ia mewakili orang-orang Melayu.

Beliau juga menyifatkan Umno sebagai punca utama perpecahan orang-orang Melayu apabila parti itu menganggap seseorang itu hanya boleh dianggap Melayu jika ia menjadi ahli Umno.

"Punca sebenar perpecahan Melayu ialah budaya Umno yang memperhambakan minda orang-orang Melayu.

"Ia adalah parti feudal yang menanamkan pemikiran feudal kepada orang-orang Melayu. Melayu dianggap Melayu hanya jika dia Melayu Umno," tegas beliau dalam tulisannya yang bertajuk "Rise against feudal Umno" atau "Bangkit menentang Umno yang feudal".

Dengan keadaan Umno yang seperti itu, Ariff mempersoalkan apa perlu wujudnya perpaduan Melayu jika ia berada di bawah hegemoni atau pengaruh kekuasaan Umno?

"(Sedangkan) hakikat sebenarnya ialah Umno tidak ada lagi hak moralnya untuk mendakwa ia mewakili Melayu," tegas beliau.

Beliau menyeru orang-orang Melayu bangkit dan bergerak ke hadapan untuk menolak perhambaan mental yang dipaksakan oleh Umnon.

Beliau mempersoalkan, bagaimanakah kita boleh berkerjasama dengan parti yang mengkhianati kepentingan orang-orang Melayu.

"Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada penyamun dan perompak yang mendakwa mahu meningkatkan taraf hidup dan memelihara orang-orang Melayu sambil mengapikan-apikan konfrontasi agama," tegas Ariff.

Peserta Bersih 3.0 dipukul dalam tahanan polis

Anis Nazri, 17 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Seorang peserta Bersih 3.0 yang menyerah diri untuk membantu siasatan didakwa dipukul ketika berada di dalam tahanan polis.

Mohd Safwan Mamat, yang berasal dari Terengganu didakwa dipukul dengan getah paip oleh pihak polis, selain ditampar empat kali oleh seorang tahanan lain.

Beliau yang menyerah diri di IPD Dang Wangi pada 14 Mei lalu, dibawa ke lokap polis setelah diambil keterangan berkenaan berhubung penglibatannya dalam perhimpunan Bersih 3.0 lalu.

Dakwa peguam Lawyers for Liberty, Fadiah Nadwa Fikri, Safwan dipukul oleh dua anggota polis, di samping dipaksa mengaku melakukan keganasan pada perhimpunan, 28 April lalu.

"Selain dipukul, Safwan mendakwa dia juga ditampar sebanyak empat kali oleh seorang tahanan lain, dengan anggota polis hanya melihat sahaja insiden tersebut," tegas Fadiah ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Malah, katanya ketika Safwan dibawa ke lokap, seorang anggota polis menunjukkan Safwan ke arah tahanan dan mengeluarkan kata-kata seperti 'ini dari Bersih, dia samseng'.

Safwan, kemudiannya di bawa ke Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada 15 Mei lalu, dan didakwa di bawah Seksyen 440 dan 174 Kanun Keseksaan.

Beliau bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan dan bertindak membuat laporan polis di IPD Petaling Jaya dan membuat aduan kepada pihak Lawyers for Liberty.

Kes beliau akan disebut pada 5 Jun akan datang.

Umno tak wajar serang Majlis Peguam

Salmiyah Harun, 17 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Hanya kerana mengeluarkan kenyataan selari dengan Pakatan Rakyat maka Majlis Peguam dilabelkan sebuah parti politik disifatkan sebagai pandangan yang sempit.

Demikian tegas AJK PAS Pusat Abang Ahmad Kardee sebagai mengulas kenyataan Tun Dr Mahthir Mohamad yang mengatakan Majlis Peguam sebagai parti politik kerana perhatianya lebih kepada politik.

Beliau yang juga seorang Peguam, berkata, Majlis Peguam adalah badan profesional yang ditubuhkan profesion guaman, jadi mereka akan mengambil sebarang kenyataan tanpa ada rasa takut dan menyebelahi mana-mana pihak.

"Kalau macam itu, mana-mana badan yang mempunyai pandangan tidak selari dengan kerajaan tidak perlu membuat sebarang kenyataan sebaliknya menjadi 'pak angguk' sahajalah," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Malangnya, kata beliau apa yang berlaku dalam negara hari ini, banyak undang-undang yang tidak dipatuhi.

Beliau turut bersetuju dengan pendekatan yang diambil Majlis Peguam apabila menegur tindakan yang tidak betul walaupun ia selari dengan Pakatan Rakyat.

"Tidak patut, teguran yang kebetulan sama di pihak Pakatan Rakyat terus dilabel badan politik," katanya.

Malah katanya, peguam adalah badan profesional, setiap tahun para peguam membayar lesen Sijil Amalan Guaman dan sijil tahunan di Mahkamah dan Majlis Peguam.

Jelasnya, Majlis Peguam turut menyokong beberapa perkara lain yang disyorkan kerajaan seperti kenaikan gaji hakim, dan tambah jumlah jawatan di mahkamah, bagaimanapun tidak pula dilabelkan sebagai penyokong Umno BN.

"Tapi bila kita sokong kerajaan tidak pula kata kita sokong BN," katanya.

Sebelum ini, Majlis Peguam meluluskan resolusi mengutuk kekerasan pihak polis yang didakwa melampaui batas pada Perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

Penegasan Majlis Peguam itu, mengundang kritikan pimpinan Umno BN sehingga ada yang melabelkan badan itu sebagai parti politik.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Majlis Peguam telah menjadi sebuah parti politik memandangkan perhatiannya lebih kepada politik.

Oleh itu, beliau berkata ia sepatutnya membiarkan pertubuhan lain mengambil alih bahagian profesional bagi mengelakkan kekeliruan.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz telah bersetuju untuk mengkaji pembentukan Majlis Peguam kedua sebagai alternatif kepada peguam yang tidak berpuas hati terhadap Majlis Peguam sedia ada berhubung dakwaan mereka menyokong perjuangan Pakatan Rakyat.

Durian runtuh: Kekalutan mula timbul

Hazayani Zakaria, 17 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Keceriaan peneroka Felda mendapat 'durian runtuh' dalam sekelip mata ditenggelamkan oleh keributan akibat beberapa masalah melibatkan pengagihan wang RM15,000 yang membabitkan tiga fasa.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, masalah timbul apabila RM5,000 yang diberikan kepada peneroka (suami dan bapa) tidak boleh diwakilkan kepada orang lain.

Jika terdapat peneroka yang sudah meninggal dunia, wang itu tidak boleh diambil ahli keluarga yang lain menyebabkan separuh daripada pembayaran tidak berlaku.

Begitu juga kes isteri peneroka yang meninggal dunia, juga tidka boleh menerima RM5,000 itu.

"RM5,000 lagi yang diberikan kepada anak peneroka pula tidak dijelaskan secara spesifik anak mana yang layak menerimanya.

"Masalah timbul apabila anak peneroka tidak dinamakan sebagai pentadbir tanah, jadi siapa yang harus menerima wang itu? Perkara ini menimbulkan pertelingkahan adik-beradik," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Mazlan juga berkata, BN melakukan kesilapan besar apabila 'memperjudi harga diri' peneroka dengan pemberian yang disifatkan sebagai umpan pilihan raya itu.

"Daripada awal lagi saya katakan niat kerajaan biar ikhlas. Apa niat mereka sebenarnya?

"Daripada bagi durian runtuh yang tak seberapa ini, lebih baik selesaikan masalah perumahan Felda, perahan gred, tabung tanam semula dan lain-lain.

"Janganlah mentang-mentang 54 kerusi Parlimen BN bergantung pada Felda, mereka umpan peneroka," katanya.

Jumpa Bank Negara

Sementara itu, Mazlan memberitahu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) sudah memberi maklum balas berhubung aduan yang dibuat Anak minggu lepas.

Aduan itu berhubung borang tawaran pinjaman bank yang diedarkan kepada peneroka sedangkan SMM belum meluluskan “Prospektus Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB)”.

SMM juga sudah memanjangkan aduan tersebut ke Bank Negara untuk diambil tindakn terhadap bank-bank yang mengeluarkan borang tersebut.
"Anak bercadang bertemu dengan pihak Bank Negara berhubung aduan yang sama.

"Kami beranggapan borang bank itu merupakan satu konspirasi bagaimana nak menjerat peneroka dengan durian runtuh," katanya.

Harussani harus kembali kepada peranan asal

Ustaz Ibrahim Zakaria, 17 Mei 2012
Dewan Ulamak Negeri Perak ingin memberikan ulasan mengenai kenyataan Tan Sri Dato’ Seri Haji Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak yang disiarkan dalam Berita Harian, Isnin, 14 Mei 2012H / 22 Jamadilakhir 1433H.

Walaupun menyedari bahawa terdapat kemungkinan sebahagian daripada yang disiarkan mungkin tidak sebagaimana yang diucapkan sebagaimana kenyataan-kenyataan beliau yang terdahulu namun bagi pihak PAS Perak amat perlu menjelaskan bebarapa perkara yang mungkin akan mengelirukan Umat Islam yang tidak memahami hakikat yang sebenar.

Kenyataan beliau yang mengatakan bahawa Perjuangan PAS kini sudah menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan Agama Islam demi kuasa dan kerusi politik adalah merupakan tuduhan melulu jika tidak diasaskan kepada kajian dan pembuktian yang lengkap. Adakah beliau benar-benar memahami matlamat asal PAS dan sudut manakah yang sudah diselewengkan? Adakah beliau merasakan PAS melakukan sesuatu sesuka hati sedangkan Pas dikawal oleh Majlis Syura Ulama yang dianggotai oleh para ulamak yang berwibawa dan setaraf dengan barisan para mufti di negara ini?

Saranan agar Majlis Fatwa Kebangsaan membincangkan kewajaran parti itu menggunakan perkataan Islam dalam nama  parti adalah merupakan satu saranan yang hanya akan membuktikan Majlis tersebut hanya mengikut telunjuk UMNO. Ini kerana bukan hanya PAS sahaja yang menggunakan nama Islam di negara ini. Apakah badan-badan lain termasuk Jabatan Kemajuan Islam dan Jabatan Agama Islam wajar menggunakan perkataan Islam sedangkan sebahagian daripada tindakan agensi kerajaan ini juga tidak terlepas daripada kesilapan dan dikritik oleh cendiakawan Islam sehingga menjejaskan nama baik Islam. Kenapa tidak beliau menyarankan agar tindakan ini dimulakan dengan badan seperti Sister In Islam yang dengan jelas dianggap oleh beliau selama ini sebagai memusuhi Islam.

Gesaan beliau “kepada ahli dan penyokong PAS, khususnya yang fanatik dan taksub segera kembali kepada ajaran Islam sebenar dan berfikiran waras” tidak mencerminkan keadaan yang sebenar. Apakah salah bagi seseorang individu Muslim fanatik dan taksub kepada perjuangan menegakkan Syariat Islam keran itulah sebenarnya ajaran Islam? Bukankah semua Muslim diperintahkan agar menerima Islam sepenuhnya termasuk perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh Islam? Bukankah lebih wajar beliau menggesa ahli dan penyokong UMNO yang berterusan mentaati pemimpin mereka yang berterusan mencari alasan untuk tidak melaksanakan ajaran islam sepenuhnya?  

Dewan Ulamak PAS tidak bersetuju dengan dakwaan beliau bahawa perpecahan Umat Islam adalah disebabkan oleh sifat dengki, tamak, mengejar pangkat dan kedudukan di kalangan pemimpin parti politik yang kononnya memperjuangkan Islam. Perpecahan Umat Islam sebenarnya adalah disebabkan sebahagian daripada mereka yang mengaku sebagai Islam tetapi tidak mahu patuh sepenuhnya dengan Syariat Islam. Mana mungkin kita mahu mengajak para pejuang Islam meninggalkan Syariat Islam semata-mata untuk menyatukan umat.

Keputusan  Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan Himpunan Bersih 3.0, adalah amat jelas dibuat sebelah mata kerana tidak ada seorangpun wakil penganjur yang diambil keterangan mengenainya. Kerosakan harta benda dan kecederaan orang ramai boleh dielakkan jika pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab mereka bagi mengawal keadaan, bukan menambahkan provokasi sehingga menimbulkan suasana tegang. Apakah beliau yakin terdapat niat di pihak penganjur untuk menjatuhkan kerajaan?

Dalam Islam ulamak juga berselisih pandangan mengenai hukum menjatuhkan kerajaan yang sah walaupun kerajaan diperintah oleh pemimpin Islam yanmg fasik selagi pemerintah menjaga kebajikan umat Islam. Apakah beliau begitu pasti pemerintah negara ini benar-benar menjaga kebajikan Umat Islam ataupun hanya menjaga kebajikan Umat Islam yang menjadi penyokong tegar mereka semata-mata. Peserta Bersih 3.0 yang hanya datang berbekalkan garam dan tuala kecil amat jauh untuk diistilahkan sebagai “bughah atau pemberontakan melampau yang menghancurkan negara, sekaligus membolehkan pemberontak dihukum bunuh” kerana ulamak mensyaratkan bagi kes Bughah yang boleh di hukum bunuh mestilah pemberontakan tersebut mempunyai kekuatan dan bersenjata.

Oleh yang demikian, Dewan Ulamak  PAS Negeri Perak menasihatkan agar  Tan Sri Dato’ Seri Haji Harussani Zakaria kembali kepada fungsi dan peranan beliau yang asal sebagai Mufti yang bertanggungjawab menasihati kerajaan agar tunduk kepada kehendak Allah. Oleh kerana beliau tidak memahami situasi politik semasa yang begitu mencabar, beliau perlu mengurangkan ulasan berkaitan politik yang hanya memberi ruang kepada musuh-musuh Islam untuk menyalahgunakan kenyataan beliau. Jika beliau terus dengan sikap berat sebelah seperti ini maka kepercayaan Umat Islam terhadap beliau akan beransur terhakis dan kegemilangan beliau sebagaimana dahulu yang dihormati sebagai seorang ulamak yang berani dan bijaksana tidak akan dapat dikembalikan buat selama-lamanya.

Ustaz Ibrahim Zakaria ialah Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Perak.

Tiada ulasan: