Sabtu, 12 Mei 2012

JOM KITA SEMAK REKODNYA...APA JAWATAN PENGERUSI YANG DIPEGANG

PAS bidas tindakan buru peserta perhimpunan

Harakahdaily, 11 Mei 2012

KUALA LUMPUR: Presiden PAS membidas tindakan kerajaan yang hanya memburu peserta perhimpunan Bersih 3.0 tetapi tidak terhadap polis yang bertindak di luar batas undang-undang.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya berkata, PAS akur bahawa penahanan seseorang adalah di bawah bidang kuasa pihak polis, dengan merujuk kepada peruntukan tertentu.

"Tetapi tindakan memukul mereka yang berhimpun ini, apatah lagi yang sedang bersurai adalah salah dan sangat zalim sifatnya," katanya.

Berikut adalah kenyataan penuh Presiden PAS.



KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

PASCA BERSIH 3.0: JAMINAN KESELAMATAN INDIVIDU
YANG DIBURU PIHAK KESELAMATAN


Setelah berakhirnya perhimpunan Bersih 3.0, maka terdapat desakandan ugutan yang bertalu-talu dari pihak berkuasa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) supaya individu tertentu yang telah dikenalpasti bertindak untuk menyerahkan diri bagi melengkapkan siasatan pihak polis dalam isu perhimpunan Bersih 3.0.

Malangnya arahan serah diri ini hanya terarah kepada peserta demonstrasi sahaja, sedangkan tindakan segelintir pihak polis tertentu yang telah bertindak diluar batas undang-undang telah dibiarkan begitu sahaja.

Umum mengetahui bahawa kebanyakan mangsa yang menerima layanan buruk dan dicederakan dalam perhimpunan Bersih 3.0 telah berhadapan dengan kekasaran pihak polis ini setelah mereka digari, selain dari dipukul dan disepak secara betubi-tubi oleh pihak keselamatan yang telah mengheret mereka yang sedang dalam proses bersurai.

Kita akur bahawa penahanan seseorang adalah di bawah bidang kuasa pihak polis, dengan merujuk kepada peruntukan tertentu.

Tetapi tindakan memukul mereka yang berhimpun ini, apatah lagi yang sedang bersurai adalah salah dan sangat zalim sifatnya.

Bagaimana mungkin mereka yang dipanggil menyerah diri ini dapat dijamin keselamatan mereka dan tidak berdepan dengan kemungkinan tindakan kekerasan dan dipukul sekalilagi semasa siasatan dijalankan ?.


DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS
10 Mei 2012

Hanya Abdul Raof yang berhak menyaman

Muhammad Faizal, 11 Mei 2012


(Mustafa bersama para peguam yang mewakili PAS dan Harakah di Mahkamah Tinggi Shah Alam)

SHAH ALAM: Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara memberitahu mahkamah, hanya penama yang dimasukkan dalam daftar pertubuhan sahaja yang berhak menyaman atau disaman oleh mana-mana pihak terhadap pertubuhan berkenaan.

Nor Hanis Mazlan, 27, Penolong Pendaftar Pertubuhan Malaysia  berkata demikian kerika memberikan keterangan sebagai saksi defendan dalam kes saman Umno Selangor terhadap pemimpin PAS dan Harakah.

Umno Selangor melalui Setiausaha Perhubungannya, Ir Datuk Seri Mohd Zin bin Mohamed memfailkan writ saman ke atas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya Haji Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman, wartawan Harakah, Khairul Azlan Mohamad serta pencetak Harakah, Angkatan Edaran.

Mereka menuntut gantirugi RM10 juta atas dakwaan akhbar Harakah memfitnah Umno Selangor di dalam satu artikel bertajuk 'PAS akan dedah bukti Umno main peranan operasi Jais'.

Bagaimanapun nama Abdul Hadi dan Mohamad Sabu telah ditolak oleh mahkamah dari menjadi defendan.

Nor Hanis ketika menjawab pertanyaan Peguam Asmuni Awi berhubung dengan Datuk Abdul Rauf Jusof yang dilantik sebagai Penjawat Awam Umno pada Pendaftar Pertubuhan.

Mengikut peraturan, kata Nur Hanis, sepatutnya Abdul Rauf sahaja berhak mengemukakan saman.

Nor Hanis bersetuju bahawa hanya Abdul Rauf sahaja berhak untuk membuat saman atau pendakwaan atau didakwa di mahkamah, malah Abdul Rauf juga bertindak mewakili Umno di seluruh negara.

Perkara tersebut telah ditetapkan di dalam Seksyen 9C Akta Pertubuhan.

Nor Hanis bertugas sebagai pegawai yang menjaga Umno di Jabatan Pendaftaran Malaysia, malah beliau juga mempunyai kuasa untuk akses kesemua dokumen berkaitan dengan Umno dalam Pendaftar Pertubuhan.

Ketika ditanya, adakah nama Umno Selangor didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, beliau menjelaskan tidak pasti, namun nama yang didaftarkan adalah Cawangan Badan Perhubungan Negeri Selangor.

Perbicaraan kes saman Umno Selangor terhadap pemimpin PAS, Harakah dan juga pencetakan ditunda pada 14 dan 15 Jun bagi mendengar keterangan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan juga Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd selaku pencetak.

Hakim, Datuk Ahmad Zaki Husin menetapkan tarikh tersebut setelah mendengar keterangan tiga orang saksi.

Mahkamah yang bersambung pada jam 3.15 petang tadi memanggil semula plantif iaitu Setiausaha Pehubungan Umno Negeri Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bagi menyambung semula keterangan yang beliau berikan semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman juga turut dipanggil memberi keterangan berkaitan artikel tersebut.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali juga turut hadir pada perbicaraan petang tadi.

Global: Syed Mokhtar wajar ambil alih MAS

Abdul Aziz Mustafa, 11 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 11 Mei: Oleh kerana banyak perniagaan besar diambilalih oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, beliau sepatutnya mengambilalih MAS untuk bersaing di peringkat global, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (gambar).

Mengulas laporan bahawa Syed Mokhtar adalah calon utama untuk mengambilalih 45 peratus pegangan Khazanah Nasional Berhad dalam Time Engineering Berhad, Mohamad berharap tokoh korporat yang banyak mengambilalih perniagaan-perniagaan strategik itu tidak hanya mengambilalih perniagaan-perniagaan dan perkhidmatan-perkhidmatan monopoli sahaja.

"Saya banyak mendengar dakwaan bahawa kroni-kroni hanya berani mengambilalih perniagaan-perniagaan dan perkhidmatan-perkhidmatan monopoli sahaja.

"Perniagaan yang memerlukan persaingan apa lagi di peringkat global seperti MAS, mereka tak mahu kerana takut bersaing," kata beliau sambil berharap Syed Mokhtar tidak termasuk dalam golongan itu.

Terutama ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, Syed Mokhtar sering dilaporkan sebagai tokoh korporat yang menjadi kesayangan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, peluang Syed Mokhtar dilihat banyak tersekat di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

"Saya tak mahulah cabar, tetapi kalau Syed Mokhtar betul-betul hebat berniaga, dia patut ambil alih MAS yang tak henti-henti rugi dan jadikan syarikat penerbangan nasional itu sebagai syarikat untung.

"Tetapi janganlah ambilalih MAS, lingkupkannya dan lepas itu jual balik saham MAS kepada kerajaan dengan harga yang berkali-kali ganda tinggi,"kata Mohamad.

Mengulas lanjut mengenai pengambilalihan Time Engineering, beliau melihat tindakan itu akan menjadikan Syed Mokhtar antara orang yang paling berkuasa di negara ini.

"Dia akan jadi king of logistics," katanya.

Syed Mokhtar menguasai pelabuhan-pelabuhan Johor, Tanjong Pelepas dan Pulau Pinang ketika laporan-laporan juga menyatakan beliau sedang berusaha untuk mengambilalih Northport Berhad di Pelabuhan Kelang di samping berusaha menguasai PLUS Expressways Berhad dan KTM Berhad.

"Bila dia ambil alih Time Engineering, saya diberitahu Syed Mokhtar bukan sahaja menguasai infrastruktur yang fizikal, urusan kastam pun di dalam tangannya," kata Mohamad.

Time Engineering mempunyai 71.3 peratus pegangan dalam Dagang Net Technologies Sdn Bhd yang mana perniagaan terasnya ialah Sistem Maklumat Kastam Dagang Net.

"Saya difahamkan, urusan keluar masuk barang di negara ini dibuat melalui Dagang Net, bayangkanlah kekuasaan Syed Mokhtar apabila dia menguasai Time Engineering," katanya lagi.

Sebelum ini Mohamad pernah mempersoalkan adakah urusniaga-urusniaga yang melibatkan Syed Mokhtar mempunyai kaitan dengan menambahkan dana pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN).

Malaysian Insider pernah melaporkan bahawa pihaknya difahamkan bahawa Syed Mokhtar muncul sebagai penyumbang utama dana kepada Umno selepas ahli-ahli perniagaan Cina tempatan keberatan ekoran kekurangan kontrak di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

PAS NS mahu UMCEDEL kaji semula perolehannya

Salmiyah Harun, 11 Mei 2012

(Keputusan kajian yang dibuat UMCEDEL di Negeri Sembilan)

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Sembilan berpendapat, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Uiversiti Malaya (UMCEDEL) perlu mengkaji semula perolehannya tentang sokongan kepada Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan.

Walaupun menghormati kajian yang dibuat UMCEDEL, PAS merasakan kajian itu terlalu jauh dari realiti sebenar yang ada di Negeri Sembilan khasnya sokongan Cina kepada Pakatan Rakyat.

"Kalau boleh buat semula kajian itu. Lebih-lebih lagi lepas Bersih 3.0. Kita tengok macam mana. 17 peratus orang Cina sokong Pakatan Rakyat di negeri Sembilan, mengarut!" kata Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Sembilan, Kamarul Ridzuan Mohd Zain.

Bagi mereka, setiap kajian yang dibuat tidak semuanya sempurna dan ada kelemahannya tersendiri, namun bagi PAS Negeri Sembilan hasil kajian UMCEDEL itu akan dijadikan cabaran untuk memperbaiki kelemahan.

Menurut Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Taufek Abdul Ghani (gambar), semua pihak boleh membuat kajian begitu juga PAS negeri turut membuat kajian dalam beberapa Dewan Undangan Negeri yang dipilih.

"Mungkin hasil kajian kita dengan UMCEDEL jauh berbeza, tetapi kita ambil kajian mereka sebagai cabaran," katanya.

UMCEDEL telah membuat kajian terhadap sokongan rakyat terhadap Pakan Rakyat dan BN menjelang PRU-13, di beberapa buah negeri termasuklah Negeri Sembilan.

Hasil daripada kajian itu menunjukkan, sokongan kepada Pakatan Rakyat Negeri Sembilan jauh ketinggalan berbanding BN iaitu Pakatan hanya mendapat sokongan Melayu 14 peratus sahaja, Cina (17 peratus) dan India (75 peratus).

Manakala sokongan kepada BN pula Melayu (69 peratus), Cina (48 peratus) dan India (62 peratus).

Mengulas lanjut perkara itu, Taufek berkata, kajian itu jauh ketara berbanding gerak kerja yang dilakukan jentera PAS negeri itu yang menunjukkan sokongan kepada Pakatan Rakyat jauh lebih kuat.

"Kalau ikutkan 'trend' dari gerak kerja kawasan bandar dan pinggir bandar yang melibatkan orang muda, sokongan Pakatan Rakyat masih kuat malah lebih baik dari tahun 2008," katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan sokongan di luar bandar terutama di Felda yang membabitkan orang Melayu agak kurang.

"Tambahan pula ada durian runtuh yang bakal mereka dapat dari kerajaan, mungkin sokongan orang Melayu terjejas," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan PAS Negeri Sembilan mempunyai strategi yang khusus untuk menyakinkan rakyat diluar bandar menyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Pilihan Raya negeri, Kamarul Ridzuan Mohd Zain mempersoalkan latar belakang kajian yang dijalankan.

"Saya hendak tanya berapa responden yang diambil? Siapa mereka itu? Diperingkat mana? Lokaliti mereka? Semua ini perlu dipersoalkan kerana ia akan mempengaruhi hasil kajian," katanya.

Bahkan beliau menyifatkan kajian yang dibuat itu sebagai kajian politik untuk propaganda bagi mempercepatkan pilihan raya diadakan.

Ini kerana, katanya, banyak kajian yang dibuat di peringkat Umno BN untuk meningkatkan populariti pimpinan mereka.

Bagaimanapun bagi peringkat PAS, katanya akan dilihat sebagai positif di mana akan memperkemaskan semua jentera, dalam masa yang sama bekerja keras dari semasa ke semasa.

Penyokong PAS bakar poster Rahim Noor

M Zin, 11 Mei 2012


(Poster gambar Rahim dan akhbar NST di bakar di Tanah Merah)

TANAH MERAH: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor kini berdepan dengan amukan rakyat Kelantan ekoran keengganannya memohon maaf dan menarik balik kenyataan menganggap Mursyidul Am PAS sebagai “bapa kafir”.

Sentimen kemarahan itu kini menular ke seluruh negara di mana pelbagai tampil mendesak polis menyiasat kenyataan bekas ketua polis terbabit.

Tidak kurang juga di sini pagi tadi apabila ahli dan penyokong PAS bertindak membakar poster Rahim selepas selesai kuliah mingguan pagi Jumaat di perkarangan Pejabat PAS di Jalan Hospital.

Acara membakar poster dikendalikan Pemuda PAS Tanah Merah. Hadir sama anggota jawatankuasa PAS kawasan, muslimat dan penghulu-penghulu Dun Bukit Panau.

Sazwan Abdul Hamid yang mewakili Unit Amal Tanah Merah bertindak membakar poster berkenaan diikuti laungan takbir orang ramai yang hadir.

Sazwan berkata, tindakan membakar poster Rahim diambil kerana sikapnya yang sombong enggan memohon maaf dan menarik balik kenyataan menganggap Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sebagai “bapa kafir”.

Katanya, amat wajar sekali tindakan saman difailkan di mahkamah secepat mungkin bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang pada masa akan datang.

“Sama ada beliau mengaku atau tidak kenyataan yang dikeluarkan NST pada 8 Mei lalu perlu dijelaskan di mahkamah kerana tempoh 24 jam diberi Lajnah Guaman dan Hak Asasi PAS Kelantan tidak dihiraukan Rahim,” katanya ketika ditemui selepas itu.

Pada Rabu lepas laporan polis terhadap Rahim dibuat Mohd Darulhisham Kamaludin mewakili Pemuda PAS Tanah Merah. Hampir 100 pemuda PAS dan AMK hadir memberi sokongan. Turut hadir anggota Parlimen Tanah Merah, Amran Abdul Ghani.

Semak rekod saya dulu, kata Hanif pada pengkritiknya
Bekas ketua polis negara, Tun Hanif Omar meminta agar pihak yang mengkritik serta meragui integritinya untuk mengetuai panel penasihat bebas mengenai perhimpunan BERSIH 3.0 supaya melihat kembali rekod lama semasa menganggotai jawatankuasa menyiasat kes kematian remaja Aminulrasyid Amzah.

NONEHanif merupakan salah seorang daripada lapan anggota panel yang menyiasat insiden polis menembak mati Aminulrasyhid, 14, pada tahun 2010.

"Kalau mereka berasa bimbang akan berlaku ketidaksaksamaan, mereka boleh bertanya sendiri kepada ahli-ahli panel terbabit sama ada saya berat sebelah ketika itu,” katanya dalam laporan akhbar Sinar Harian.

Hanif berkata, persepsi yang sama turut berlaku terhadapnya apabila beliau dilantik menganggotai Suruhanjaya Memantapkan Pengurusan dan Operasi PDRM pada tahun 2004/5.

Bagaimanapun, beliau berharap dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan oleh kerajaan untuk mengetuai panel tersebut.

"Selepas bertanya kepada Kementerian Dalam Negeri, saya telah diberitahu oleh ketua setiausaha bahawa menteri (Hishammuddin Tun Hussein) akan memanggil saya tidak lama lagi untuk terma-terma rujukan pada hari tersebut," katanya lagi.

Tiada ulasan: