Selasa, 15 Mei 2012

BAGUS KURSUS IMAM NI...ELOK DENGAN PEMIMPIN2 POLITIK ISLAM...KURSUS ATAS TAJUK...'BATALNYA IMAN...BATAL SYAHADAH...BAB MURTAD...SYIRIK..RASUAH...BERCAMPUR GAUL SECARA BEBAS ITU HARAM'.....

Pemimpin hilang identiti ugut peneroka keluar Felda

Anis Nazri, 15 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Mana-mana pemimpin negara yang meminta para peneroka meninggalkan tanah rancangan Felda kerana berbeza pandangan, hanya menunjukkan sikap pemimpin yang hilang identiti kepimpinannya.

Perkara tersebut ditegaskan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar) yang juga menganggap kenyataan sedemikian sebagai satu bentuk ugutan dan ancaman.

"Bagaimana seorang pemimpin boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada rakyatnya? "Kenyataan itu juga menunjukkan Umno sudah terbiasa dengan budaya ugut dan ancam ini sejak dahulu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ahli parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said.

Mereka dilaporkan mengeluarkan kenyataan meminta para peneroka yang tidak bersetuju dengan penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) keluar dari tanah rancangan tersebut.

Kedua-dua pemimpin Umno itu dikatakan mengeluarkan kenyataan tersebut ketika majlis penyerahan 'durian runtuh' di kawasan masing-masing.

Tambah Mazlan, selain Ismail dan Azalina, seorang lagi pemimpin Umno, Datuk Norzula Mat Diah yang merupakan Adun Paloh, Kelantan turut mengeluarkan kenyataan serupa.

Mazlan turut mendakwa para peneroka yang menyertai tanah rancangan Felda tidak masuk secara percuma, sebaliknya terpaksa membayar harga tanah walaupun hanya berkeluasan 10 ekar.

Atas sebab itu, katanya tidak ada sesiapa yang boleh mengugut atau mengancam peneroka untuk meninggalkan tanah rancangan yang telah mereka terokai selama ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata para peneroka mempunyai hak untuk menilai secara berhati-hati berkaitan penyenaraian FGVH, lebih-lebih lagi dengan maklumat daripada pelbagai pihak.

"Mereka merupakan warga bermaklumat, yang mempunyai hak untuk bersetuju atau sebaliknya (penyenaraian) itu. Mereka bukan seperti katak di bawah tempurung, mereka bimbang pertaruhkan kehidupan mereka seperti nasib Felda L.B Johnson, Felda Sungai Buaya, dan Felda Cahaya Baru," tegas beliau.

Dalam perkembangan sama, Mazlan berkata Anak akan memfailkan injuksi memohon pembatalan surat tawaran pinjaman bank di Mahkamah Tinggi Kuantan, esok.

Perutusan Hari Guru 2012

15 Mei 2012
Assalamualaikum,

Sempena sambutan Hari Guru 2012, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan dan penghargaan kepada semua guru di atas segala pengorbanan dalam mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Guru merupakan golongan yang paling penting dalam pembangunan sesebuah negara. Bahkan Islam mengiktiraf peranan guru sebagai murabbi.

Quran menegaskan betapa tingkatan taraf kemanusiaan diangkat oleh Allah melalui dua unsur iaitu keimanan dan keilmuan. FirmanNya: "Sesungguhnya Allah mengangkat darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan mereka yang diberi ilmu dengan beberapa darjat."

Keimanan dan keilmuan adalah dua eleman utama manusia diangkat darjat oleh Allah. Benarlah kata kata Saidina Ali bilamana ditanya manakah yang kamu inginkan antara harta dan ilmu.

Lalu jawab Saidina Ali: "Aku akan mengambil ilmu."

Bilamana ditanya kenapa ia memilih ilmu lalu jawab Saidina Ali:

"Sesungguhnya orang yang ada ilmu boleh mencari harta , tetapi mereka yang ada harta belum tentu mampu mencari ilmu. Ilmu telah disediakan tempat menyimpannya oleh Allah, sedangkan harta perlu mencari bekas untuk menyimpannya, biasanya orang yang mempunyai ilmu akan tawadduk, manakala manusia memiliki harta akan takabur."


Seorang guru inginkan muridnya berjaya lebih tinggi darinya, dan ia gembira bilamana muridnya berjaya, dan berdukacita bilamana muridnya gagal. Ia sanggup menghabiskan masa berjam-jam mendidik muridnya, lebih dari masa ia mendidik anaknya.


Rasulullah s.a.w menjelaskan bilamana mati anak Adam, maka putuslah amalannya melainkan tiga, iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan doa dari anak yang soleh.

Persoalan ilmu yang bermanfaat menunjukkan kepada kita bagaimana tingginya kedudukan guru yang mengajar ilmu pengetahuan di dunia dan akhirat. Lantaran itu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua guru dengan doa agar mereka sentiasa tabah, sabar dan berusaha membina generasi rabbani yang sentiasa dekat dengan Allah swt.


“SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU 2012”


Sekian Wassalam


Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS Rembau sedia tabung bantu pelajar ke IPT

Hazayani Zakaria, 15 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 15 Mei: Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Rembau mengambil inisiatif membuka tabung untuk membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Adun Paroi, Taufek Abdul Ghani (gambar) berkata, masih terdapat pelajar yang tidak melanjutkan pengajian walaupn mendapat tawaran yang bagus kerana masalah kewangan.

Sehubungan itu, tabung ini diwujudkan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan bantuan untuk diberikan kepada mereka.

"Lajnah Kebajikan PAS Rembau menyeru kepada semua masyarakat agar lebih prihatin untuk mengenal pasti para pelajar yang menghadapi masalah sedemikian di kalangan sanak saudara, jiran tetangga serta ahli kariah," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dalam satu kenyataan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada pelajar yang mempunyai masalah yang disebutkan tadi di DUN Paroi, Chembong, Kota dan Rantau yang berada dalam Parlimen Rembau boleh berbuat demikian  melalui akaun berikut:

Nama akaun: PAS Kawasan Rembau
Bank: Bank Islam (Cawangan Seremban)
No akaun: 05-012-01-007334-7

Mereka juga boleh menghubungi terus Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Rembau, Haji Roni.

Polis ganas: Wartawan serah memo ke pejabat PM

Harakahdaily, 15 Mei 2012
PUTRAJAYA 15 Mei: Enam wartawan daripada Institute of Journalism (IJ) memberi tempoh hingga hujung bulan ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Datuk Seri Najib Razak untuk mengambil tindakan berhubung keganasan polis terhadap petugas media pada perhimpunan Bersih 3.0.

Dengan berpakaian serba hitam dan mengenakan riben kuning, mereka menyerahkan memorandum mengandungi 4, 000 tandatangan wartawan dan jurugambar ke Pejabat Perdana Menteri pagi tadi.

Ia diterima oleh pegawai khas kepada perdana menteri, Umi Hani Sharani.

Memorandum yang mewakili 14 organisasi media itu mendesak Najib, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memohon maaf secara terbuka kepada wartawan ekoran tindakan melampau polis terhadap mereka.

Mereka turut mendesak polis memulangkan peralatan yang dirampas dan mengganti peralatan yang rosak.

Wakil IJ, Radzi Razak berkata, sejak insiden 28 April lalu, tiada maklum balas daripada kerajaan mengenai bantahan wartawan yang dikasari dan pihaknya kini bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Kita sudah memberi masa cukup lama kepada mereka. Sudah tiba masanya kerajaan menjawab dan memberi maklum balas mengenai isu ini,” katanya seperti dilapor KeadilanDaily.

Sambil menegaskan tidak memihak kepada mana-mana parti politik, beliau hanya mahu kerajaan menghormati dan melindungi wartawan yang bertugas.

“Kami juga tidak membenci polis, tetapi kita mahu polis memberi keadilan melampaui ideologi politik,” katanya.

Radzi dari akhbar The Sun merupakan salah seorang wartawan yang dimasukkan ke hospital selepas cedera rusuk dan mengalami kecederaan dalaman ketika membuat liputan perhimpunan Bersih.

Polis turut melakukan serangan terhadap wartawan lain termasuk Malaysiakini, The Malaysian Insider, Al Jazeera, Makkal Osai, Guang Ming Daily, Channel News Asia, Merdeka Review dan The Malay Mail.

Polis merosakkan kamera dan merampas rakaman mereka untuk menghapuskan bukti.

Nakbah: PAS bersama menentang kezaliman Israel

Anis Nazri, 15 Mei 2012
KUALA LUMPUR: PAS mendesak Malaysia bersama negara-negara umat Islam lain agar lebih bertegas dalam menangani konflik Palestin yang membarah sekian lama.

Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar (gambar), berkata usaha mendesak kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, perlu digandakan bagi memastikan konflik tersebut menemui jalan penyelesaiannya.

"Usaha untuk pembebasan negara Palestin dari kekejaman Israel perlu dipertingkatkan dan dipertegaskan, dan negara-negara Islam perlu bersatu untuk melakukannya," tegas beliau kepada Harakahdaily, sempena Hari Nakbah, hari ini.

Kata beliau, PAS akan terus bersama mana-mana pihak dalam usaha menentang kezaliman Israel, khususnya kekejaman terkini yang menyaksikan tahanan Palestin di Isreal melancarkan mogok lapar bagi menuntut pembebasan mereka dan Palestin.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak rakyat Malaysia agar meneruskan usaha berdoa bagi menghentikan segala kezaliman Israel, sekaligus dapat membebaskan bumi Palestin.

Senaman punggung: Jangan dilihat macam lembu meragut

Mohd Insan Kamil,
Laporan portal berita mengenai tindakan sekumpulan bekas tentera mengadakan 'senaman punggung' depan rumah Pengerusi Bersama Bersih Datuk S Ambiga dekat ibu negara pagi tadi janganlah sampai dilihat seperti lembu-lembu sedang meragut rumput.

Apa tidaknya, gambar yang disiarkan di dalam portal Malaysiakini jelas menunjukkan kepala mereka lebih rendah daripada punggung.

Nah, kalau begitu sudah tentu sekali bukan bentuk manusia dalam keadaan normal melainkan makhluk berkaki empat, lebih-lebih lagi sewaktu meragut rumput atau memakan makanan.

Malaysiakini juga melaporkan bahawa tindakan itu tidak dikongsi, malah dikritik rakan-rakan mereka dalam pasukan keselamatan.

Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (KERABAT) menyifatkan senaman aneh di Bukit Damansara pagi tadi bertentangan dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan yang diterapkan dalam Rukun Negara.

Presidennya, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar berkata tindakan itu tidak mencerminkan usia anggota pertubuhan itu yang telah bersara daripada perkhidmatan.

Janji 2004 belum dikota, Awang Adek buat janji baru

Rossem, 15 Mei 2012

KOTA BHARU: Janji 2004 belum ditunai dan sekarang membuat janji lagi. Inilah gaya politik Datuk Dr Awang Adek Hussin yang pernah menguar-uarkan dirinya sebagai calon Menteri Besar Kelantan pada kempen pilihan raya umum lalu.

Kali ini Ketua Umno Bachok itu mahu memasuhkan yuran pengajian dan mempertingkatkan sekolah agama rakyat (SAR) pula.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, rakyat Kelantan tidak pernah lupa kezaliman Umno/BN terhadap sekolah agama sebelum ini.

“Jangan nak bermuka-muka dan berlagak baik semata-mata nak mendapat sokongan rakyat Kelantan menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

“Tun Dr Mahahtir pernah menyekat segala bantuan kepada SAR sehingga banyak sekolah agama ditutup akibat masalah kewangan. Isu berkenaan masih lagi sedar dalam ingatan rakyat Kelantan,” katanya di sini.

Beliau juga melahirkan rasa  kesal kenyataan politik mirip peras ugut pemimpin Umno terhadap rakyat Kelantan.

“Kalau ikhlas nak bantu rakyat Kelantan, kenapa perlu letak syarat mesti bantu Umno rampas Kelantan dahulu?

“Inilah demokrasi songsang amalan pimpinan Umno Kelantan. Rakyat masih ingat, Umnolah yang memusuhi sekolah agama dan pernah mendakwa tempat melatih pengganas,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi.

Pada kempen pilihan raya umum 2004 Awang menjanjikan Bachok Baru dan pembangunan pesat yang lengkap dengan pelabuhan serta hospital.

Malah pada kempen tersebut juga beliau mahu menjadikan Pantai Irama sebagai tempat persembahan kebudayaan setiap minggu. Selepas menang ketika itu segala manifestonya hilang begitu sahaja.

Bersih 3.0: Wong hantar bunga untuk Unit Amal

Hazayani Zakaria, 15 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 15 Mei: Unit Amal PAS menerima dua jambangan bunga hiasan daripada peserta Bersih 3.0 berbangsa Cina sebagai penghargaan terhadap perkhidmatan cemerlang mereka pada perhimpunan tersebut.

Wong Kow Kong, 58, menghantar sendiri bunga tersebut ke Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, semalam dan diterima seorang Unit Amal yang bertugas di pejabat.

Bunga tersebut dikepilkan dengan sekeping kad bertulis " Kepada semua ahli Unit Amal yang bertugas pada hari 428 Bersih 3.0 2012", "Terima kasih banyak-banyak",  Salute to all of you,  When injustice become law, membantah adalah tanggungjawab kita", dan "hidup hidup hidup rakyat".

Wong ketika dihubungi hari ini berkata, beliau dan keluarga sangat berterima kasih terhadap anggota Unit Amal yang bertugas menjaga keamanan pada perhimpunan tersebut.

Beliau berharap pemberian bunga tersebut dapat menggembirakan hati anggota-anggota Unit Amal atau turut digelar 'Tentera Merah'.

"Saya nak ucap terima kasih kepada Unit Amal sebab banyak tolong peserta-peserta pada Bersih 3.0.

"Bunga itu satunya daripada saya dan keluarga dan satu lagi daripada kawan saya. Saya harap mereka suka bila terima bunga itu," katanya yang merupakan seorang tukang jahit dan mempunyai kedai jahit di Damansara.

Menurut Wong, sewaktu perhimpunan tersebut, beliau berada di Jalan Tun Perak dan melihat sendiri bagaimana Unit Amal bertugas menjaga peserta-peserta.

Malah katanya, beliau yang turut menyertai perhimpunan Anti ISA dan Bersih 2.0 sangat senang dengan kewujudan Unit Amal di lokasi perhimpunan.

"Saya memang sudah biasa dengan Unit Amal. Setiap kali perhimpunan, saya tengok dengan mata kepala sendiri mereka bersusah payah bertugas," katanya.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa Unit Amal bertindak ganas sewaktu perhimpunan.

"Kalau saya tengok Unit Amal ganas, saya tak akan bagi mereka bunga," katanya sambil ketawa.

Seramai 4,000 anggota Unit Amal dari Semenanjung Malaysia bertugas pada perhimpunan 28 April lalu.

Kursus imam: PAS bantah Umno peralat Jaip

Khairil Abdul Rahim, 15 Mei 2012
MARAN, 15 Mei: PAS Kawasan Maran membantah sekeras-kerasnya tindakan Umno yang memperalatkan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) memburukkan-burukkan PAS melalui kursus membabitkan pegawai-pegawai masjid.


Serentak dengan itu, PAS Kawasan telah menghantar memorandum bantahan kepada Jaip melalui Pejabat Agama Daerah Maran semalam kerana membenarkan dipergunakan oleh Umno.

Menurut AJK PAS Kawasan Ramli Abdul Rahman yang mengetuai rombongan menghantar memorandum tersebut, Jaip telah mengadakan Kursus Peningkatan Profesionalisme Imam-Imam Bagi Masjid Kariah Daerah Maran, Chenor dan Jengka baru-baru ini di Kem Bina Negara, Kuala sentul, Maran.

“Namun program yang mulia dan murni itu telah dicemari dengan penglibatan Umno melalui Biro Tata Negara (BTN) yang telah mengambil kesempatan untuk menghentam parti-parti pembangkang termasuk PAS.

“Daripada makluman peserta kursus, klip video ucapan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga telah ditayangkan kepada para peserta dengan tujuan untuk memburukkan nama baik Menteri Besar Kelantan itu.

“Malah, Umno melalui BTN telah mengambil kesempatan melalui slot kuliah maghrib dan kuliah subuh dengan berkempen sambil menyebarkan dakyah dan agenda parti mereka,” ujarnya.

Menurut Ramli, sebagai rakyat dalam sebuah negara demokrasi tidak semua peserta kursus berkenaan merupakan tegar Umno dan mereka datang memaklumkan kepada PAS kerana bencikan program yang sepatutnya diterapkan nilai-nilai profesionalisme telah dicemari dengan dakyah sempit Umno

Tambahnya, oleh itu pihak PAS Kawasan Maran membantah sekeras-kerasnya tindakan Umno yang memperalatkan Jaip untuk memburukkan-burukkan pembangkang dan secara tidak langsung mencemarkan nama baik Jaip sendiri.

“Justeru dengan memorandum bantahan ini kami berharap perkara seumpama ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang agar nama baik Jaip sentiasa terpelihara atau jika dibiarkan akan dipandang serong,” jelasnya.

Katanya, oleh itu Jaip sendiri perlu tegas dan bersifat profesional agar tidak mudah dipergunakan Umno kerana merupakan sebuah institusi agama yang berwibawa.

Turut mengiringi ke Pejabat Agama Daerah ialah Timbalan Yang Dipertua Kawasan Hasnan Haron, Naibnya Shaharuddin Omar, Setiausaha PAS Kawasan Mohd Nor Salleh dan beberapa orang AJK Kawasan.

Tiada ulasan: