Khamis, 17 Mei 2012

PERIUK NASI JAGA PATUT2...YANG PERLU JAGA...SANGAT2 JAGA IALAH PERIUK NERAKA@KERAK NERAKA....JANGAN MENYOKONG BATIL DAN MEMBIAR MUNGKAR...TAK MENYOKONG YANG HAQ...JANGAN BERAMAL DENGAN AMALAN2 AHLI NERAKA...ATAU JADI SYAITAN BISU ATAU ULAMAK ROSAK SERTA FASIK

Bekas pemandu pernah bawa RM1 juta untuk artis

Muhammad Faizal, 16 Mei 2012
PETALING JAYA: Bekas pemandu seorang artis popular, Noor Azman Azemi (gambar dua dari kanan) memberitahu beliau pernah diarah membawa wang tunai berjumlah RM1 juta untuk diberikan kepada artis tersebut.

Beliau juga mendakwa setiap kali pertemuan antara artis itu dengan seorang menteri, artis itu akan diberikan paling sedikit RM100 ribu.

Menurutnya lagi, beliau tampil mengadakan sidang media hari ini kerana mahu membersihkan namanya yang dituduh melarikan RM200 ribu wang artis itu yang juga bekas majikannya.

Beliau mengadakan sidang media itu di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) petang ini dengan ditemani peguamnya Latheefa Koya dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Noor Azman juga turut memberitahu rumahnya sering diganggu oleh beberapa individu yang tidak dikenali hampir setiap malam selepas pendedahannya itu.

Turut menerima gangguan itu adalah makciknya Tengku Intan Tengku Abd Hamid yang lebih dekenali sebagai Dayangku Intan.

Noor Azman menjadi perhatian selepas membuat laporan polis pada 13 Mac sebagai reaksi atas dakwaan beliau melarikan diri dengan wang pelakon Zahida Rafik sebanyak RM200,000.

Laporan polis itu turut mengaitkan pemberian wang itu dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Shafie Apdal.

Laporan polis itu didedahkan oleh Zuraida pada 18 April.

Zahida dan Shafie bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan akan mengambil tindakan undang-undang.

Sementara itu, Zuraida menegaskan PKR tidak berminat langsung dengan soal peribadi antara Shafie dengan Zahida tetapi apa yang perlu dijelaskan oleh Shafie dari manakah beliau memperolehi wang tunai untuk diberi kepada artis tersebut.

Sebelum ini, Zuraida dan Noor Azman telah menerima surat saman yang dikemukakan oleh Zahida melalui Shafee & Co.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Dayangku Intan dan suaminya, Rosman Yahil serta Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa.

Kalau polis belasah, apa perlu mahkamah

Abdul Aziz Mustafa, 16 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 16 Mei: Kalau polis ikut suka hati pukul peserta Bersih 3.0 yang menyerah diri, tidak perlu ada mahkamah, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Sambil mengutuk tindakan membelasah Mohd Safuan Mamat, peserta Bersih yang menyerah diri dengan sukarela, beliau melihat tindakan itu akan menambahkan kebencian rakyat.

"Kalau sudah tidak mahu ikut peraturan dan seronok sangat membelasah orang ikut suka hati, suruh polis runtuhkan semua mahkamah dan lepas itu bolehlah mereka hukum orang ikut suka hati," kata Mohamad yang ternyata marah dengan tindakan tersebut.

Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai sengaja tidak mahu mengikut peraturan.

"Mereka sengaja tidak mahu ikut peraturan dan saya tidak mahu cakap fasal peraturan dan sifat perikemanusiaan sebab saya sudah tidak nampak sifat-sifat itu ada pada mereka yang membelasah orang lain sesuka hati," katanya.

Mohamad yakin, jika kekejaman seperti itu berterusan dan berleluasa, mungkin jutaan rakyat akan berhimpun sendiri tanpa perlu digerakkan oleh mana-mana pemimpin atau pertubuhan.

"Hari ini, sebahagian rakyat sudah tidak nampak perbezaan antara polis dan Umno.

"Jika rasa sakit hati rakyat tidak dapat dikawal lagi, bukan lagi ratusan ribu malah berjuta rakyat akan berhimpun sendiri di seluruh negara melawan Umno," katanya.

Mohamad juga yakin apa yang berlaku itu akan menjadikan rakyat semakin nampak keengganan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) untuk menerima dan menyetujui pilihan raya yang adil dan bersih.

"Saya yakin, isu utama yang rakyat nampak dengan lebih jelas ialah Umno BN tidak mahu pilihan raya yang adil dan bersih," kata beliau.

Rakyat juga, katanya, akan semakin memahami bahawa tindakan ganas yang berterusan itu adalah disebabkan ketakutan Umno apabila melihat ratusan ribu rakyat berhimpun dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

"Mereka tidak sangka ratusan ribu rakyat berhimpun, mereka panik dan seperti kerbau yang disembelih, dia menendang-nendang sana sini," katanya.

Mohd Safuan yang membuat laporan polis semalam terhadap tindakan membelasahnya itu berkata, dia ditahan dan dipukul oleh pihak polis selepas menyerah diri pada hari Isnin.

Pemuda dari Marang, Terengganu itu mengadu, selepas ditendang masuk ke dalam sebuah bilik, beliau dipukul di mukanya dengan batang paip hitam oleh anggota polis yang memakai pakaian seragam sambil memaksa beliau mengaku beliaulah yang memukul kereta polis ketika perhimpunan Bersih 3.0.

Mohd Safuan juga dipukul di bahunya dengan batang paip hitam itu.

Apabila dibawa ke lokap, beliau ditampar pula oleh tahanan lain selepas polis yang membawanya ke lokap itu memberitahu "dia ni Bersih, gangster".

Mohd Safuan juga mengadu beliau dipaksa membuat pengakuan dan menandatangani borang tertentu.

Siapa arah laung ‘Bersih’ buat Najib di London

Harakahdaily, 16 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 16 Mei: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bermuhasabah bagi menilai kelemahan diri beliau sehingga dimalukan sedemikian rupa di luar negara.

“Ini ekoran dari sambutan mengejut laungan ‘bersih’ dalam satu pertemuan dengan rakyat Malaysia di London kelmarin.

“Tiada siapa menyangka dan tiada siapa mengarahkan individu terbabit melaungkan ‘Bersih’ terhadap Najib di ibu kota London,” ujar Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar).

Bagi DPPM, ujarnya itu adalah ekspresi rakyat Malaysia yang mahukan keadilan dalam sistem pilihan raya di Malaysia dan mengimpikan sebuah demokrasi yang benar-benar menepati hasrat rakyat di negara ini.

Menurutnya, mereka juga adalah rakyat yang sedar dan benci terhadap penindasan, kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan BN selama ini.

Katanya, DPPM menegaskan, perhimpunan Bersih 3.0 dianjurkan dengan disertai oleh ratusan ribu rakyat Malaysia yang hadir secara sukarela.

Tambahnya, mereka tidak diangkut dengan bas, tidak diberikan nasi bungkus percuma, tiada tambang, baju T dan lain-lain lagi.

Bahkan, ujarnya mereka membayar sendiri kos perjalanan untuk hadir ke Bersih serta membayar dengan harga yang mahal melalui pengalaman pedih ditangkap, ditembak gas pemedih mata dan dipancut dengan air kimia.

Bersih juga, tegasnya tidak memaksa rakyat dari seluruh dunia hadir mengadakan perhimpunan di seluruh dunia.

Menurutnya lagi, difahamkan hampir 70 buah negara mengadakan perhimpunan Bersih bagi menyatakan suara yang sama yang dituntut oleh rakyat.

Katanya, mereka mengadakan perhimpunan dengan jiwa yang bersih dan secara sukarela, bukan dipaksa.

“Kerana itulah momentumnya cukup kuat sehingga rakyat di luar negara turut merasainya.

“Lebih dari itu, mereka meluap-luap untuk turut sama melaungkan Bersih tatkala PM hadir di luar negara,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya DPPM merasakan, kesemua tindakan itu adalah sebagai mesej cukup jelas kepada PM dan kerajaan Malaysia.

Tambahnya, tiada perkara lain yang mesti dilakukan selain daripada bersihkan sistem pilihan raya di negara ini.

Menurutnya, rakyat sudah cukup derita dengan berpuluh tahun ditipu dan ditindas dengan penyelewengan ketara dalam pilihan raya.

Katanya, penafian demi penafian tidak menjawab kritikan banyak pihak dengan pembuktian yang semakin banyak didedahkan.

“Jangan terkejut pula PM disambut ‘bersih’ di kesemua tempat yang dilawatinya di luar negara,” katanya lagi.

Mufti jangan hanya jaga periuk nasi sahaja

Muhamad Yusri Amin, 16 Mei 2012
KOTA BHARU: Sepatutnya Mufti Perak mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membincang isu kerajaan Pakatan Rakyat dirampas menggunakan cara kudeta dan bukan melalui saluran demokrasi.

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan, Abdullah Abdul Razak (gambar) berkata, mufti sebagai seorang yang disegani dalam masyarakat tidak sepatutnya membisu kerana ia melibatkan imej sesebuah negeri.

“Ini benda besar dan bukannya mengulang tayang isu lama mahu mendesak kerajaan menghapuskan perkataan Islam yang ada pada PAS.

“Kerajaan Perak yang ada hari ini lahir melalui rampasan kuasa. Kita hendak tahu apakah tindakan itu halal atau haram di sisi Islam,” katanya di sini.

Baru-baru ini mufti itu mendakwa perjuangan PAS kini menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan agama Islam demi kuasa dan kerusi politik.

Abdullah berkata, Mufti Perak nampaknya selesa memilih isu-isu tertentu bagi memenangkan Umno dan bukan memikirkan isu lebih serius.

“Bagaimana dengan isu memberikan kerakyatan kepada pendatang asing yang dilihat ramai sebagai tindakan kerajaan mengkhianati rakyat sendiri.

“Adakah menyokong tindakan yang merampas hak peribumi itu halal atau haram.  Mufti janganlah nampak sangat kecederungan sehingga memperlihatkan tidak mengikuti perkembangan semasa yang berlaku,” ujarnya.

Paling dibimbangi kata beliau rakyat nampak mufti yang ada di negara ini hanya hendak jaga periuk nasi sahaja dan bukan berjuang mendaulatkan Islam.

PCOM ucap tahniah kepada tahanan Palestin

Salmiyah Harun, 16 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Tindakan berani tahanan Palestin yang melancarkan mogok lapar atas kezaliman Israel ekoran menahan mereka tanpa bicara akhirnya membuahkan hasil.

Ekoran mogok lapar sejak 17 April lalu kira-kira 2,000 tahanan, akhirnya Israel akur dan mungkin akan memenuhi tuntutan yang diminta tahanan Palestin antaranya hak untuk melawat, akses kepada media dan tidak dikurung dalam bilik gelap.

Pertubuhan Kebudayaan Rakyat Palestin Malaysia (PCOM) mengucapkan tahniah kepada tahanan kerana kemenangan besar sekali gus menutup keegoan Israel selama ini.

"Kami menerima berita daripada perjanjian yang dimeterai antara tahanan Palestin dan pihak berkuasa Israel, 24 jam yang lalu dengan kegembiraan dan keseronokan.

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kerajaan, institusi, NGO, media dan individu yang menyokong tahanan Palestin dalam perjuangan mereka sejak minggu lalu," kata PCOM dalam satu kenyataan.

Kempen 'Kelaparan untuk kebebasan' yang dilancarkan telah mendapat perhatian dan sokongan besar-besaran seluruh negara termasuk Malaysia serta media.

Bagaimanapun, katanya perjuangan Palestin belum berakhir dan sokongan padu penduduk dunia harus diteruskan sehingga penjara Zionis ditutup dan Pelestin dibebaskan dari penjajahan Israel.

Pada 11 Mei lalu, PCOM mengadakan demonstrasi di hadapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendesak pertubuhan itu melihat tuntutan-tuntutan tahanan Palestin.

PCOM turut menyerahkan deklarasi yang ditandatangani beberapa NGO Malaysia kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon.

Sudah lama PAS tunggu muzakarah – TG Nik Aziz

Salmah Mat Husain, 16 Mei 2012

KOTA BHARU: Sepatutnya setiap isu yang timbul di kalangan umat Islam diselesaikan secara muzakarah bagi mendapat gambaran lebih jelas dan bukan pandangan sebelah pihak sahaja.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, isu muzakarah sebenarnya berlaku sejak PAS diketuai Dato’ Asri Muda lagi.

“Tapi sampai sekarang isu itu tidak pernah selesai. Hanya sibuk sahaja sebut fasal muzakarah tapi tidak pernah buat.

“Jadi dalam keadaan sekarang ini paling sesuai membincangkan tentang isu kenapa ada orang hendak tolak Islam,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Sebelum ini Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan perjuangan PAS kini sudah menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan agama Islam demi kuasa dan politik.

Oleh itu beliau mencadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan mempertimbangkan diadakan muzakarah bagi membincangkan kewajaran PAS menggunakan perkataan Islam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, muzakarah merupakan fitrah manusia sejak usia kecil lagi.

“Bertengkar juga dinamakan muzakarah ketika kita kecil. Bertengkar dan berbalah itu sama sahaja, erti masing-masing mahu berhujah.

“Soal muzakarah memang PAS hendak lama dah dengan Umno atau sesiapa sahaja. Saya ingat sejak saya baru balik belajar dari Mesir lagi.

“Tetapi sampai sekarang tak jadi. Saya memang setuju muzakarah sebab itu sudah menjadi fitrah manusia,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain beliau meminta rakyat tidak pedulikan tentang tarikh pilihan raya kerana ia tetap akan berlaku juga.

“Sama juga seperti tarikh mati. Tak tahu tapi mati tetap berlaku. Lepas mati itu syurga ke neraka. Begitu juga selepas pilihan raya kerajaan Islam atau toghut.

“Tarikh pilihan raya usah fikir siang atau malam, yang penting mati esok syurga ke neraka sebab ia bergantung kepada aktiviti kita di dunia sekarang,” katanya.

Jadi kata beliau rakyat negara ini hendaklah memastikan kerajaan yang ada di bumi berdasarkan syariat Islam.

Beliau berkata, Kelantan sudah 22 tahun bergerak atas dasar Islam dan mendapat sokongan padu pelbagai pihak.

Hari Guru: PAS, PR komited naik gaji guru

Harakahdaily, 16 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 16 Mei: “Bersempena dengan sambutan Hari Guru pada hari ini, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan kepada semua guru yang berjasa besar kepada negara,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.


Dalam satu kenyataan hari ini, beliau memetik puisi Allahyarham Usman Awang yang menukilkan “siapapun kita hari ini, sama ada Perdana Menteri, pensyarah, peguam, petani atau nelayan, kita bermula dengan ajaran guru”.

Katanya, dalam konteks negara membangun, pendidikan adalah industri yang melahirkan rakyat yang tinggi sakhsiahnya dan membekalkan tenaga produktif yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara.

“Di sebalik itu, guru adalah pemain utama yang menjayakan hasrat tersebut,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Menurutnya lagi, dengan cabaran globalisasi yang berlaku di zaman ini, tugas mereka tidak sekadar mengajar di kelas, tetapi hampir setiap waktu mereka bertugas secara langsung dan tidak langsung dalam membentuk keperibadian rakyat.

“Sebagai penghargaan kepada jasa guru, PAS bersama Pakatan Rakyat komited dengan janji di dalam 'Buku Jingga' untuk menaikkan gaji guru-guru dan seluruh kakitangan berkaitan perguruan selaras dengan tanggungjawab yang besar dipikul mereka,” ujarnya.

Tunjuk akhlak mulia, henti ganggu Ambiga

Hazayani Zakaria, 16 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 16 Mei: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) meminta semua pihak menunjukkan akhlak yang baik sebagai seorang manusia dan menghentikan gangguan terhadap pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said (gambar) berkata, beliau sangat sedih dan marah terhadap gangguan yang sedang dilakukan terhadap Ambiga yang disifatkan sebagai hina dan memalukan.

"Bersih 2.0 dan Jawatankuasa Pemandu mengutuk segala bentuk karenah gangguan dan ancaman terhadap Datuk Ambiga yang juga seorang warga Malaysia.

"Beliau ialah sosok yang selama ini menghadiahkan kehidupannya untuk membuka luas ruang hak asasi manusia dan memperbaiki kesejahteraan umat.

"Ketika serangan dengan kelakuan hina dan kadangkala ganas ini dilakukan di hadapan rumahnya, Datuk Ambiga melayani keadaan tersebut dengan penuh sopan dan hormat," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, dekat sini, hari ini.

Sasterawan Negara itu juga mahu pihak berwajib menyatakan pendirian mengutuk  apa yang sedang dilakukan terhadap terhadap seorang pemimpin masyarakat madani.

"Jika kerajaan dan pihak berwajib senyap dan membisu, ini bermakna mereka menyokong kerja bangang dan perangai hina ini," ujarnya.

Tegas beliau juga, bukan Ambiga seorang menuntut pilihan raya bersih dan adil sebaliknya ada 19 ahli jawatankuasa Bersih 2.0 bersama Ambiga dan beliau sendiri dan disokong 84 badan bukan kerajaan (NGO).

"Turut sama menyokong kami ialah 250,000 warga Malaysia semua bangsa yang turun ke jalan raya di Kuala Kumpur pada 28 April lalu.

"Pada hari yang sama ada puluhan ribu lagi anak Malaysia yang menetap di 85 buah kota di dunia ini. Semuanya bangun bersetiakawan menuntut pilihan raya adil danbersih," katanya.

Semalam, Senaman anjuran Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) bertujuan membantah penganjuran perhimpunan Bersih 3.0.

Kumpulan 15 orang aktivis PVTM itu melakukan gimik demonstrasi dengan membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung mereka ke arah rumah Ambiga.

Sebelum ini, sekumpulan peniaga bertindak membuka gerai burger di hadapan rumah Ambiga sebagai tanda protes kerana mendakwa mengalami kerugian apabila tidak dapat berniaga akibat perhimpunan Bersih 3.0.

Bersih 3: Maklum peguam, keluarga jika ditahan

Anis Nazri, 16 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Mana-mana peserta Bersih 3.0 yang diburu polis diingatkan agar memaklumkan ahli keluarga, rakan ataupun peguam sekiranya ditahan polis.

Mereka juga diingatkan agar memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak polis apabila ditahan bagi mengelakkan sebarang masalah lain.

Demikian ditegaskan Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham), Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi (gambar) kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pihak polis yang akan terus memburu 121 peserta Bersih 3.0 hingga ke pintu rumah, jika tidak menyerah diri.

Zamri juga berkata Juham yang bernaung di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia itu bersedia mewakili mereka yang ditahan, khususnya di kalangan ahli PAS.

Dalam pada itu, Juham juga mengingatkan pihak polis agar memburu anggota polis yang didakwa terlibat dengan kekasaran ke atas peserta himpunan.

Kata Zamri, pelaksanaan undang-undang di negara ini perlu dikenakan secara adil ke atas pihak yang terbabit, tanpa mengira sesiapa, biarpun ia membabitkan anggota polis.

"Pelaksanaan undang-undang perlu adil.  Dalam mereka memburu peserta Bersih, bagaimana dengan anggota polis yang bertindak mengasari peserta?  Adakah mereka dikecualikan?" soal beliau.

Zamri juga turut mengingatkan pihak polis agar memberikan jaminan bahawa pihak polis tidak akan mengapa-apakan mereka yang ditahan.

Bagaimanapun, beliau masih menyuarakan kebimbangan berhubung perkara tersebut memandangkan terdapat kes peserta yang ditahan sebelum ini didakwa dikasari pihak polis.

Beliau mendakwa perkara itu berlaku terhadap seorang peserta Bersih, Mohd Safwan dari Terengganu yang dikatakan dipukul dan dilibas dengan getah paip ketika ditahan polis.

"Kita minta jaminan pihak polis untuk tidak mengapa-apakan mereka.  Siasatan boleh dilakukan, tetapi tidak perlu menggunakan kekerasan ke atas mereka," tegas beliau.

Ekoran perhimpunan aman Bersih 3.0, 28 April lalu, pihak polis memburu 121 peserta himpunan yang dikatakan melakukan kekecohan pada perhimpunan tersebut dengan menyiarkan gambar mereka di media-media utama.

Akademi Undang-undang 'sabotaj' demokrasi

Harakahdaily, 16 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Cadangan Kerajaan menghidupkan kembali Malaysian Academy of Law Bill sebagai organisasi baru selain Majlis Peguam untuk mewakili golongan itu dilihat cubaan mensabotaj demokrasi.

Bagi Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar), beliau melihat cadangan itu tidak ubah seperti penubuhan Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) oleh pusat, di negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat selepas PRU 2008 lalu.

Menurut Dzulkefly, biarpun diperingkat negeri sudah ada Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK), namun kerajaan tetap juga mewujudkan JKKKP yang dilihat cuba 'mengambil kuasa' JKKK yang dilantik kerajaan negeri.

"Begitulah cara Umno, bila ada benda yang dikeluarkan tak sebulu dengan dia, dia buat yang lain. Ia sama dengan tindakan tubuh JKKKP bila BN kalah di negeri ditawan Pakatan.

"Ini ialah tabiat jelek untuk lakukan 'subversion' atau 'sabotaj' demokrasi dan institusinya," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kelmarin yang bersetuju jika agensi baru seperti Akademi Undang-undang ditubuhkan selain Majlis Peguam sedia ada.

Cadanagn Nazri itu dipercayai dibuat ekoran 12 usul tergempar yang diluluskan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) Majlis Peguam pada 11 Mei lalu berhubung himpunan Bersih 3.0.

Antara lain, usul itu mengutuk tindakan polis menggunakan meriam air dan gas pemedih terhadap peserta.

Selain itu mereka juga menyalahkan polis kerana tidak memberikan masa yang secukup untuk perserta bersurai secara teratur dan selamat dengan mendakwa ia kemudian mendorong kepada penahanan yang tidak wajar.

Mengulas lanjut Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, cadangan Nazri itu berbaur politik dan cuba untuk 'undermine' wibawa Majlis Peguam.

Sedangkan katanya Majlis Peguam ditubuhkan secara sah di bawah Akta Profesion Guaman 1976 bagi mengawal amalan, standard, etik dan lesen amalan peguam.

"Usaha ini telah dua kali mereka lakukan dahulu tetapi terpaksa dihentikan.

"Tindakan kerajaan untuk menghidupkan kembali cadangan akademi ini dilihat umum sebagai langkah memadamkan suara perbezaan 'legitimate dissent' yang menyemak imbang suara eksekutif," katanya.

Senaman punggung hasil tarbiah Umno

Salmiyah Harun, 16 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 16 Mei: Tindakan sekumpulan bekas tentera mengadakan 'senaman punggung' depan rumah Pengerusi Bersih 3.0 Datuk S. Ambiga, bukanlah perkara yang menghairankan.

Ini kerana, menurut Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad, tindakan itu telah menzahirkan sikap mereka yang selari dengan pendirian Umno BN.

Katanya, apa yang ditunjukkan oleh sekumpulan bekas tentera itu merupakan tarbiyyah Umno BN selama 55 tahun memerintah negara ini.

"Inilah tarbiyah Umno selama 55 tahun, tidak hormat perbezaan pendapat kaum dan agama lain," katanya.

Katanya, Umno BN sepatutnya tunjukkan kebaikan Islam tetapi lebih suka menunjukkan keburukan orang Melayu.

Beliau cukup kesal, selepas 55 tahun memerintah negara ini, orang Islam masih tidak dapat melihat keadilan Islam sebenar dari acuan Umno BN sendiri.

Khalid juga menyifatkan 'senaman punggung' yang dilakukan oleh mereka akhirnya telah menunjukkan kebodohan mereka sendiri.

"Kalau tidak setuju dengan Ambiga, ajak dia berdebat tetapi Umno tidak sanggup. Kalau betul Ambiga lakukan, dedahkan penipuannya dalam televisyen selepas Bersih 3.0. Panggil dia. Tetapi Umno BN pula lebih berani, tetapi berani buat tindakan yang kurang bijak," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau percaya, kerana berpaksikan tindakan perkauman dan fahaman Islam yang sempit Ambiga menjadi sasaran.

"Kenapa Sasterawan Negara A.Samad Said tidak pula diganggu. Inilah unsur-unsur perkauman bukan Islam akan membenci Islam yang dibawa oleh Umno BN," katanya.

Justeru katanya, tekanan yang diberikan kepada Ambiga merupakan cara yang tidak munasabah dan menjadi bahan ketawa orang ramai.

"Orang ramai sudah mula menggeleng kepala melihat terdesaknya puak-puak Umno BN yang pendek akal dalam menyatakan ketidakpuasan hati mereka. Jual burger sekadar nak tunjukkan kebodohan mereka," katanya.

Semalam, Senaman anjuran Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) bertujuan membantah penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Kumpulan 15 orang aktivis PVTM itu melakukan gimik demonstrasi dengan membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung mereka ke arah rumah Ambiga.

Tarik RUU p'raya, bila Najib nak berhenti 'flip-flop'

Harakahdaily, 16 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Keputusan menarik balik cadangan pindaan kepada Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan Pilihan Raya 2012 minggu lalu menyerlahkan sikap 'tidak teliti' kerajaan yang diteraju Datuk Seri Najib Razak dalam membuat sesuatu keputusan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) berkata, akibat ketidaktelitian itu itu menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil tindakan yang sangat memalukan.

"Kita lihat SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) tidak teliti dalam mengemukakan RUU ini.

"Yang kita peliknya, waktu dibentang tempoh hari, ahli parlimen BN sokong habis, mati-matian sokong," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai ketika dihubungi Harakahdaily.

Sebelum ini RUU Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 itu diluluskan secara tergesa-gesa pada 19 April lalu iaitu hari terakhir persidangan Parlimen untuk kali kelima bagi penggal ke-12.

Hatta yang juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya berkata, banyak hal dalam pentadbiran Najib yang dibuat 'separuh masak' sehingga ianya kemudian terpaksa ditarik balik.

Sebagai contoh, skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), penggabungan Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) dengan AirAsia dan beberapa projek lain yang kemudian ditarik balik.

Kerajaan pada 10 Mei lalu mengumumkan menarik balik cadangan pindaan kepada Rang Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 di Dewan Negara.

Keputusan itu dibuat jemaah menteri selepas mengambilk kira maklum balas dan bantahan dari pelbagai pihak terhadap rang undang-undang itu.

Keputusan itu juga turut dipersetujui Pakatan Rakyat yang dari awal mempersoal beberapa perkara dalam pindaan tersebut.

Politik songsang Umno Kelantan

Mohd Sayuti Omar, 16 Mei 2012
Bagaimana bapak begitulah anak. Kata orang kalau bapak borek tentulah anak rintik. Apabila Najib Razak mempermain-mainkan rakyat untuk membawa air bersih dan membina lebih raya di Kelantan, maka begitu jugalah dengan timbalan ketua Umno Kelantan Awang Adek Hussein dalam seloka dan sepak terajang politiknya.

Awang seolah-olah turut sama mempermain dan mempersendakan rakyat Kelantan dengan menjanjikan untuk memansuhkan yuran pengajian sekolah agama rakyat dan pertingkatkan taraf sekolah agama rakyat sekiranya berjaya merampas Kelantan.

Awang Adek juga mengulangi kesediaan Najib untuk membina lebuh raya di Kelantan dengan berkata akan menjadikan Jalan Kuala Krai – Gua Musang-Bentong akan dijadikan lebuh raya sekiranya BN berjaya merampas Kelantan.

Mungkin bagi Awang Adek dengan memperolok-olokkan rakyat Kelantan itu satu taktik yang baik dikira menguntungkan Umno?

Apa yang dilakukan Najib itulah cara Umno berpolitik sejak berpuluh tahun lalu mendera rakyat Kelantan kerana tidak menyokong UBN. Cara demikian yang diterus oleh Awang Adek menunjukkan setakat itu saja kemampuan dan kapasiti Awang Adek dalam berpolitik.

Saya bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan Pas Kelantan Dr Mohamed Fadzli Hasan sekiranya BN ikhlas hendak bantu Kelantan kenapa perlu mengenakan syarat seperti itu. Beliau menyifatkan cara Umno itu sebagai politik songsang Umno Kelantan.

Kata Fadzli betapa Umno berjanji demikian rakyat tetap ingat bahawa Umnolah yang memusuhi sekolah agama rakyat dan menuduhnya ia menjadi pusat latih penjenayah tidak lama dulu.

"Berapa pun janji itu katanya masih ingat Umnolah yang memusuhi sekolah agama dengan mengatakan pusat melatih pengganas. Umnolah juga yang telah menarik bantuan perkapita kepada sekolah agama rakyat," ujarnya.

Menurut Fadzli rakyat tidak lupa kezaliman Umno terhadap sekolah agama ini justeru jangan hendak bermuka muka dan berlagak baik semata-mata nak pilihanraya, ujarnya menerusi satu kenyataan di Fb sebagai merujuk tawaran Awang Adek.


Mengenai pembinaan lebuh rakyat bagi kemudahan rakyat, Fadzli berkata kerajaan Kelantan serius akan membina lebuh rakyat setelah kerajaan Pusat enggan membinanya walaupun sudah pun dimasukkan pembinaan lebuh raya itu dalam RMK5 dan RMK9, yang kemudian ditiadakan dalam RMK-10.


Tindakan pembuangan perancangan membina lebuh raya itu dilihat satu lagi politik tidak bertanggungjawab Umno Kelantan. Adalah malang sekali kalau pembuang projek pembinaan lebuh raya itu ianuya dibuat atas pengsyoran para pemimpin Umno Kelantan termasuk Awang Adek sebagai timbalan menteri kewangan.

Apapun kerajaan Kelantan seperti mana dijelaskan Fadzli tetap bertanggungjawab dan akan membina lebuh raya seperti dirancangkan itu atas usaha dan peruntukan sendiri. Iltizam kerajaan untuk membina lebuh raya inilah dilihat sebagai usaha bersungguh kerajaan untuk kepentingan rakyat dan bukan bertujuan politik.

Tiada ulasan: