Isnin, 21 Mei 2012

BUKAN IDEOLOGI IRSHAD MANJI JE KENA PANDANG SERIUS...TAPI BANYAK LAGI IDEOLOGI YANG SEDIA ADA ...PATUT DIPANDANG SERIUS...SEPERTI MENTADBIR ISLAM...SEPATUTNYA ISLAM YANG MENTADBIR...ISLAM MENENTUKAN HUKUM HAKAM...BUKAN KITA MENGAWAL ISLAM MENGIKUT CITA RASA KITA SAJA...AKHIRAT ORANG2 NI KENA JAWAB...SAPE LAH YANG SELALU LETAK SYARAT NI...MACAMLAH KITA TAHU...JANJILAH..KITA BERJANJI DENGAN ALLAH TU...TIPU TAK TELUS JAWAB AJE LAH NANTI....

Muhyiddin hadir majlis perkahwinan anak Nasharudin Mat Isa

20 Mei 2012
BANGI - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini hadir memeriahkan majlis perkahwinan anak sulung bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa di Bandar Bukit Mahkota di sini.

Muhyiddin, yang tiba pukul 3.40 petang, berada kira-kira 30 minit menikmati jamuan bersama pasangan pengantin Nusaibah Nasharudin, 25, dan Mohd Nazri Husain, 27, serta bergambar kenang-kenangan bersama mereka.

Turut kelihatan pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee, Ketua Pemuda
Umno Khairy Jamaluddin dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali.

Ketika ditemui pemberita, Nasharudin yang juga Anggota Parlimen Bachok, berkata beliau berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri dan tetamu kehormat lain yang sudi hadir menyerikan majlis itu walaupun berlainan ideologi politik.

Nusaibah, anak tunggal perempuan dalam kalangan lima beradik, sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia manakala suaminya seorang arkitek.- Bernama
Jamil Khir: Kerajaan pandang serius ideologi Irshad Manji

19 Mei 2012
Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
KUALA LUMPUR - Kerajaan menerima banyak bantahan orang ramai terutama dari kalangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), individu serta parti politik berhubung ura-ura seorang aktivis muslimah liberal, Irshad Manji mengadakan program di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Irshad Manji bercadang datang ke Malaysia untuk melancarkan bukunya berjudul 'Islam Liberty and Love' yang dipenuhi dengan unsur penghinaan terhadap agama Islam di samping mengadakan ceramah awam mengenai ideologi songsangnya itu.

Dalam kenyataan malam ini, beliau berkata kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati Irshad Manji adalah seorang Muslimah berfahaman liberalisme, pluralisme dan feminisme.

Jamil Khir berkata, aktivis wanita itu yang secara terbuka mengaku lesbian dan juga pendukung hak Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT).

"Kerajaan memandang serius terhadap ideologi yang dibawa oleh Irshad Manji dan implikasinya terhadap umat Islam di Malaysia," katanya dan menambah bahawa ideologi itu jelas bertentangan dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan norma masyarakat.

Jamil Khir berkata Irshad Manji pernah mengarang buku yang menimbulkan kemarahan umat Islam di dunia yang berjudul 'The Problem With Islam Today' yang mengandungi idealisme yang sama dengan Salman Rushdie, penulis novel 'The Satanic Verses".

Beliau berkata Malaysia bersama-sama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menolak orientasi seksual yang mendukung golongan LGBT sebagaimana yang ditegaskan dalam Persidangan Sesi ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia,  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 7 Mac 2012 di Geneva, Switzerland.

Justeru, menyeru umat Islam agar sentiasa peka dan berhati-hati serta tidak mudah menerima dan terpengaruh dengan apa jua bentuk fahaman atau ideologi yang dibawa oleh kumpulan atau individu seperti Irshad Manji itu. - Bernama
‘Kami masih perlukan Hadi’
Wartawan Sinar Harian
21 Mei 2012
 Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat
Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat
KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu masih memerlukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), selain terus mengekalkan kedudukannya sebagai presiden parti.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, mengambil kira pengalaman, kepimpi­nan, umur, faktor kesihatan dan sebagainya, beliau melihat Abdul Hadi masih lagi mampu untuk bertanding, sekali gus mempertahankan kerusi Pas.

Merujuk kenyataan Abdul Hadi sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa beliau tidak akan bertanding di mana-mana kerusi pada pilihan raya umum akan datang, Satiful Bahri menjelaskan, beliau tidak mengetahui sejauh mana kebenaran laporan terbabit.

“Kita tidak tahu laporan itu tetapi kita berpegang kepada keputusan Pas Pusat sebelum ini supaya beliau bertanding dan beliau sendiri telah pun menghormati keputusan parti.

“Di peringkat negeri, kita masih memerlukan beliau bertanding khususnya di Parlimen Marang. Berdasarkan rekod bersih beliau dalam beberapa siri pilihan raya lalu, beliau masih mampu mengalahkan calon dari parti lawan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Satiful Bahri mendedahkan, Abdul Hadi turut berada dalam senarai cadangan nama yang akan bertanding di Parlimen Marang pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman menegaskan, tiada sebab Abdul Hadi menarik diri untuk tidak bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Jelasnya, Abdul Hadi perlu bertanding untuk terus memperkasakan Pas dan Pakatan Rakyat (PR).

“Tidak seyogia (patut) Presiden Pas tidak tanding dan beliau patut bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. Kita mahu perintah Malaysia, kenalah bertanding dan kita kena perkuat parti dan PR untuk hadapi lawan kelak,” katanya.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, menganggap kenya­taan Abdul Hadi sebagai perkara biasa dalam gerakan Islam yang berbeza sama sekali dengan Umno.

Apa yang penting, katanya, kenyataan itu tidak mempengaruhi parti untuk membuat keputusan dan beliau yakin Abdul Hadi akan akur dengan keputusan yang dibuat parti kelak.

“Dalam Pas, kalau ditanya persoalan itu, pemimpin akan menjawab tidak akan bertanding. Itulah kelebihan Pas kerana apabila bertanding dan berjaya, individu itu memikul beban yang besar, satu amanah. Jadi, apabila disebut tentang jawatan, pemimpin akan tolak,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pemimpin yang menolak untuk bertanding biasanya akan menjadi pilihan parti sebagai calon pilihan raya umum berbanding individu yang meminta berbuat demikian.
Ibrahim Ali sahkan akan pertahan kerusi Pasir Mas
FAKHRURRAZI USULDIN
21 Mei 2012
Datuk Ibrahim Ali
Datuk Ibrahim Ali
KUALA LUMPUR – Datuk Ibrahim Ali mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ibrahim yang memenangi kerusi itu pada Mac 2008 atas tiket Pas dan kemudian mengisytiharkan sebagai wakil rakyat Bebas berkata, terdapat permintaan daripada masyarakat di kawasan itu yang mahu beliau bertanding semula.

“Ada permintaan supaya saya mempertahankan kerusi Pasir Mas. Insya-Allah kalau panjang umur saya akan bertanding di situ pada PRU13 ini,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Keempat pertubuhan Jaringan Gerak Usaha Pasir Mas (Jaguh) di sini, malam tadi.

Ibrahim yang juga penaung Jaguh berkata, beliau bersyukur sepanjang berkhidmat di kawasan itu tiada perkara buruk berlaku.

“Saya bukan nak puji diri, tetapi Alhamdulillah rekod saya bersih, tiada isu moral dikaitkan dengan saya kerana saya sentiasa menjaga nama baik sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas,” kata beliau yang juga Presiden Perkasa.

Hadir sama Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin yang juga Naib Presiden Perkasa dan Presiden Jaguh, Zulkarnain Mat Junoh.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, kini terdapat hampir 400,000 rakyat Kelantan berhijrah mencari rezeki.

“Ini berlaku kerana di Kelantan kurangnya peluang pekerjaan walaupun negeri kita kaya dengan hasil mahsul dan ini berlaku akibat dari pertumbuhan ekonomi yang menyedihkan.

“Jadi saya minta ayuh kita lakukan transformasi politik pada PRU13 akan datang,” kata beliau di hadapan hampir 1,200 anak kelahiran Pasir Mas yang bekerja di Lembah Kelang.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim turut bersetuju dengan langkah kerajaan Negeri Kelantan menuntut royalti minyak daripada Petronas.

“Saya menyokong tuntutan itu, tetapi isu ini sudah menjadi kes mahkamah dan saya enggan mengulas lanjut,” katanya.
Muzakarah: Umno minta Pas tidak letak syarat
Wartawan Sinar Harian
20 Mei 2012
Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed
Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed
KOTA BHARU - Pas diminta tidak meletakkan syarat bagi muzakarah dengan Umno, jika parti itu benar-benar ikhlas untuk berbincang, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, Umno sudah lama menyatakan persetujuan untuk mengadakan muzakarah itu tetapi Pas sebaliknya meletakkan syarat tidak munasabah sehingga menggagalkan usaha tersebut.

"Nak berbaik seperti mengadakan muzakarah ini lebih baik jangan adakan syarat. Sepatutnya tidak ada syarat yang boleh menjejaskan pertemuan ini. Ini perkara baik dan perlu disambut dengan tangan terbuka oleh semua pihak. Yang penting adalah untuk melihat perpaduan dapat dijalinkan dengan baik," katanya selepas merasmikan Seminar Kejururawatan sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersetuju mengadakan muzakarah dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Umno, namun dengan syarat pokok persoalan muzakarah haruslah tertumpu mengapa menolak Islam.

Katanya, kedua-dua parti Melayu beragama Islam itu perlu duduk semeja membincangkan bagaimana untuk mengeratkan perpaduan dan memperteguhkan Islam itu.

 "Kita harus terbuka untuk mengadakan muzakarah ini. Bagi UMNO, ini adalah untuk kebaikan negara akhirnya," kata Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sementara itu, Mustapa berkata, cadangan untuk mengadakan debat terbuka menjelang pilihan raya umum bukanlah suatu perkara baru dan telah diamalkan sebelum ini.

"Debat terbuka ini sentiada diadakan dan akhirnya memberi peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Mustapa berkata, rakyat harus mengetahui betapa besarnya jasa kerajaan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

"Rakyat hanya membayar kira-kira satu peratus sahaja caj perubatan kerana yang lainnya telah diberikan subsidi yang cukup besar," katanya. - Bernama
SPR pastikan undi pos petugas media telus

20 Mei 2012
Datuk Wan Ahmad Wan Omar
Wan Ahmad Wan Omar
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memastikan proses undi pos bagi petugas media yang dijangka dilaksanakan pada pilihan raya umum ke-13, dibuat secara telus bagi menghindari tanggapan negatif serta rungutan pelbagai pihak.

Sehubungan itu kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar, SPR akan sedaya-upaya untuk tidak membabitkan pihak ketiga di dalam proses berkenaan.

Antara cadangan awal SPR ialah petugas media terbabit datang sendiri mengambil kertas undi di pejabat Pegawai Pengurus (RO) pilihan raya di tempat mereka didaftarkan dan mengundi di situ, katanya dalam satu temu bual dengan Bernama di sini.
Beliau berkata mereka boleh berbuat demikian sepanjang tempoh berkempen yang telah diputuskan SPR tidak kurang daripada 10 hari.

Walau di mana petugas media ditempatkan majikan masing-masing, mereka masih boleh balik ke kawasan masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab itu kerana tempoh berkempen agak lama, katanya.

Kebenaran mengundi pos bagi petugas media adalah antara 22 syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang dipersetujui SPR untuk dilaksanakan.

Kemudahan untuk mengundi pos itu adalah mengikut subperaturan 3(1)(f) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata SPR bagaimanapun bersedia memberi pencualian kepada petugas media yang ditempatkan terlalu jauh dari kawasan mereka didaftarkan seperti Sabah dan Sarawak.

Mengenai proses tersebut, Wan Ahmad berkata petugas media yang layak harus memohon untuk menjadi pengundi pos daripada RO masing-masing terlebih dahulu, dan permohonan perlu disokong majikan masing-masing.

"Borang itu nanti boleh dimuat turun daripada laman web rasmi SPR sebaik pengumuman mengenainya dibuat SPR, termasuk tarikh akhir penghantaran borang," katanya sambil menegaskan tidak semua petugas media layak untuk mendapat status pengundi pos.

Antara yang perlu dilengkapkan ialah alamat di mana mereka didaftarkan sebagai pemilih dan tempat mereka ditugaskan ketika pilihan raya.

"Apabila permohonan sebagai pengundi pos telah diluluskan maka nama petugas media sebagai pengundi biasa akan dipotong," katanya.

Beliau juga meminta majikan memuktamadkan kawasan petugas mereka ditempatkan kerana sebarang perubahan pada saat akhir tidak akan dilayan SPR sebaik sahaja permohonan pengundi pos diluluskan.

Ditanya mengenai rasional petugas media masih perlu kembali ke kawasan mengundi masing-masing untuk membuang undi, Wan Ahmad berkata SPR tidak mahu ada pihak mempolitikkan perkara itu jika kertas undi dihantar ke kawasan petugas media ditempatkan.

SPR tidak mahu kelak ada dakwaaan kertas undi hilang jika perkara itu dilaksana kerana amalan SPR ialah menghantar terus kertas undi ke pejabat RO di kawasan pengundi didaftarkan.

Jika mahu perkara tersebut dilaksana, pejabat RO terbabit perlu menghantar kertas undi berkenaan ke pejabat RO di mana petugas media itu ditempatkan, dan ini membuka ruang kepada spekulasi serta pelbagai tuduhan liar kepada SPR, katanya.

Bagaimanapun kata Wan Ahmad semua itu masih di peringkat cadangan, dan SPR bersedia menerima maklum balas bagi memastikan pelaksanaan undi pos bagi petugas media berjalan lancar serta memudahkan semua pihak. - Bernama

Tiada ulasan: