Isnin, 28 Mei 2012

BILA NAK KEKAL BERKUASA SANGGUP BUAT APA SAJA...WALAUPUN TERPAKSA DIHUMBAN DALAM NERAKA ALLAH SWT....

Mengapa PAS bersama Bersih 1, 2 dan 3

28 Mei 2012
Memilih pemimpin negara adalah amanah besar dalam Islam, yang disebut Ulil Amri. Al-Quran mengesahkan semua rasul menentang sekeras-kerasnya ajaran yang memartabatkan pemimpin kerajaan sehingga dianggap Maha Suci daripada segala kesalahan. Di zaman keemasan umat Islam menjadi kuasa besar dunia, setiap Uli al-Amri yang dinamakan Khalifah diharamkan bersikap Maha Suci seperti Tuhan Yang Maha Esa (Allah S.W.T)

Rasulullah S.A.W bersabda : “Ketaatan terhadap pemimpin hanya dalam perkara yang baik “. Ucapan ini adalah menafsirkan perintah Allah yang dihayati di masa baginda sendiri menjadi ketua negara dan wajib diikuti oleh umatnya.

Ucapan  Abu Bakar R.A apabila dipilih menjadi ketua negara selepas wafatnya Rasulullah S.A.W : “Wahai tuan-tuan ! saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukannya orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya dalam keadaan yang baik tolonglah saya, sekiranya saya dalam keadaan yang buruk perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat ......”. Beginilah juga ucapan setiap pemimpin yang dilantik selepasnya.

Amalan sistem pemerintahan Islam yang dibukukan dan dicatit oleh para ulama Islam daripada semua mazhab menjadi kajian para orentalis. Kitab-kitab seperti Muqaddimah Ibn Khaldun, Ahkam Sultaniyyah, Adab al-Wazir dan lain-lain  diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah mempengaruhi perkembangan Demokrasi Moden yang diamalkan oleh negara Barat. Walaupun mereka menerima dengan fahaman sekularisme yang dianut, memisahkan politik daripada agama, namun pengaruh inilah yang mewujudkan sistem pilihanraya yang adil dengan memberi hak kepada rakyat menjadi hakim terhadap kerajaan dan para pemimpin kerajaan yang boleh dijatuhkan sekiranya berlaku kesilapan atau kelemahan dalam mentadbir negara, rakyat pula diberi hak dalam urusan pemerintahan secara beradab. Sistem yang adil ini menggantikan revolusi rakyat secara berdarah yang banyak berlaku seperti di England, Perancis dan lain-lain. Akhirnya terciptalah demokrasi moden dengan mewujudkan pilihanraya yang adil.

Bagi mewujudkan penghakiman yang adil oleh rakyat melalui pilihan raya, maka rakyat diberi kefahaman yang benar berkenaan pilihanraya. Mereka benar-benar  memahami hak  mereka dengan larangan tegas secara undang-undang terhadap ugutan, sogokan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Pihak media diletakkan sebagai saksi yang melaporkan semua pihak kepada rakyat yang menjadi hakim, samada pihak kerajaan yang dituduh atau pihak pembangkang yang menuduh. Pihak Suruhanjaya Pilihanraya adalah badan yang bebas bagi mengendalikan urusan pilihanraya mengikut sistem pemisahan kuasa di antara badan kehakiman, perundangan dan pentadbiran yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W ketika menegakkan negara contoh di Madinah.

Sistem ini diterima oleh semua parti Islam di seluruh dunia termasuk PAS, yang ditubuhkan  daripada gerakan tajdid dan islah kerana demokrasi moden menjadi medan  politik paling sesuai dengan Islam yang mengutamakan secara damai.  Keseluruhan negara Barat dan termasuk negara komunis sekarang telah berubah, menerima sistem demokrasi pilihanraya yang adil, sehingga tidak ada parti dan pemimpin kerajaan boleh mendabik dada bahawa mereka Maha Suci daripada segala sifat kekurangan dan tidak ada kesilapan langsung.

Sistem demokrasi moden ini menjadikan parti kerajaan dan pemimpinnya sentiasa berwaspada dan sedia ditolak dan dihukum oleh rakyat, maka berlakulah perlumbaan yang sihat bagi melakukan yang baik dan menolak yang munkar, menjadikan riadah yang menjadikan hak rakyat dan kerajaan sentiasa sihat, kerana silih berganti apabila berlaku setiap kelemahan dan para pemimpin sangat berhati-hati menunaikan amanah.

Di Amerika pernah dibatalkan kemenangan seorang presiden dalam peristiwa yang terkenal dengan nama skandal Water Gate. Di England  pula menjatuhkan kerajaan kerana skandal salah seorang menteri kabinetnya dengan pelacur yang berkait dengan perisikan negara asing. Di India membatalkan kemenangan seorang perdana menteri kerana menyalahgunakan jentera kerajaan dan banyak lagi. Di zaman kini banyak negara yang dibelenggu dengah sistem dictatorship terpaksa berubah kepada sistem demokrasi pilihanraya yang adil.

Negara kita Malaysia yang tercinta ini mengalami sistem demokrasi menuju ke arah yang lebih buruk dan memalukan. Surahanjaya Pilihanraya yang tidak bermaya untuk melakukan reformasi demokrasi yang sebenar kerana tidak diberi kuasa yang sebenar mengikut takrif demokrasi dan tidak berlaku pemisahan kuasa yang sebenar. Kedudukannya berada di bawah siapa parti yang memerintah mengikut arahan secara nyata dan sulit bagi mengekalkan sistem satu parti seperti negara komunis, secara agenda yang diatur begitu rupa. Media arus perdana sebelah pihak yang menutup minda rakyat mengetahui segala kelemahan kerajaan, seolah-olah  menjadikan kerajaan itu Maha Suci sepanjang hayat seolah-olah tidak ada ajal dan tidak ada hari kiamat. Daftar pengundi yang tidak masuk akal, seperti jumlah isi rumah laksana sebuah kampung dan  penduduk kampung yang ramai laksana satu daerah kerana terlalu gelojoh mangambil pengundi bagi menjamin kemenangan parti yang sedang memerintah walaupun sudah banyak senarai penyelewengan sehingga dilupai yang telah berlaku sebelumnya tanpa tindakan yag adil. Politik wang yang membarah ke dalam parti kerajaan dan masuk pula ke dalam rakyat, ke lapangan pilihanraya umum.

Semua yang berlaku adalah kemunkaran yang mencalarkan imej Islam yang menjadi agama negara mengikut perlembagaan dan banyak kemunkaran yang wajib dicegah dan kezaliman yang wajib disanggah.

PAS wajib menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia dengan memberi kefahaman yang betul kepada penganut Islam dan memperkenalkan Islam kepada bukan Islam, bagi mengajak kepada makruf dan mencegah kemunkaran kerana Rasulullah S.A.W mewajibkan kepada setiap orang Islam menyampaikan mesej sebenar, menyatakan yang benar dan mencegah kemunkaran mengikut kemampuan masing-masing dengan tangan, lidah dan perasaan benci dalam hati. Demonstrasi aman yang menjadi salah satu daripada amalan demokrasi moden adalah salah satu cara menunjukkan kebencian dalam hati.

Rasulullah S.A.W mengizinkan para sahabatnya keluar beramai-ramai daripada persembunyian mereka di Makkah selepas Islamnya Hamzah dan Umar R.A bagi menunjukkan sikap mereka terhadap pamimpin Makkah yang zalim  secara terbuka dan aman tanpa senjata.

Ketika berada di Madinah dan telah wujud negara yang berkuasa, tiba-tiba Rasulullah S.A.W bersabda kepada para sahabatnya, menyebut  peristiwa lama berlaku sebelum dilantik manjadi Rasul: ”Aku pernah dibawa oleh bapa-bapa saudaraku ke rumah Abdullah bin Judaan bagi mengadakan Halaf Fudul  (persefahaman dan kerjasama) bagi membela mereka yang dizalimi dan menentang mereka yang zalim secara bersama. Sekiranya perkara ini dibawa kepadaku sekarang nescaya aku menyertainya “.


Rasulullah menerima secara positif segala sifat yang baik secara fitrah yang ada dalam diri manusia termasuk bukan Islam, sehingga menghargai keluarga Hatim al-Toei  seorang pemimpin kabilah yang suka menolong dan meraikan tamu  di zaman jahiliyyah dan banyak lagi contoh yang lain.

Bersih adalah gabungan kerjasama NGO berbagai agama dan parti-parti politik pelbagai ideologi yang menganjurkan demonstrasi aman bagi membantah pilihanraya yang mengotorkan amalan Demokrasi di Malaysia, ramai kalangan mereka tidak terlibat secara langsung dalam pilihanraya, tetapi sifat fitrah manusia yang bencikan zalim, tipu dan lain-lain.

PAS berpendapat bahawa BN telah banyak menyeleweng daripada konsep demokrasi yang adil. UMNO sendiri telah lama merosakkan imej Islam. Ajaran Islam meletakkan politik adalah amanah  besar yang diamalkan para Rasul seluruhnya, tiba-tiba dikotori dengan banyak perkara yang memalukan, seperti menyalahgunakan kuasa secara penipuan dan zalim bukannya bertahan dengan akhlak yang mulia. Amanah politik dijadikan peluang mengumpul harta dan menaikkan pangkat, bukannya amanah yang wajib ditunaikan. Harta dan kuasa dijadikan senjata mengugut rakyat, laksana dajjal yang zahir di akhir zaman, menawarkan kesenangan untuk pengikutnya sahaja, sesiapa yang tidak mengikutnya menerima padah.

Akhirnya PAS wajib mencegah kemungkaran besar yang sedang berlaku ini, hujah lebih kuat lagi apabila membaca amanat Rasulullah S.A.W: “Sama ada kamu menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau berdiam diri, nescaya orang-orang yang jahat memerintah kamu, lalu orang-orang yang baik berdoa, tiba-tiba doanya tidak diperkenankan oleh Allah“.  Sabdanya lagi: ” Menyatakan yang benar kepada kerajaan yang zalim adalah jihad paling afdal “.


PAS tidak membenarkan para ulamanya menjadi syaitan bisu yang berdiam diri terhadap kebenaran di hadapan mata yang wajib ditegakkan dan kemunkaran nyata yang wajib ditegah, PAS tidak mengizinkan para ulamanya menjadi burung kakak tua yang bercakap hanya mengikut apa yang diajar oleh tuannya sahaja dan tidak mampu menilai sendiri.

Adapun alasan berlakunya kekacauan selepas itu, adalah disebabkan salah laku kerajaan terhadap perhimpunan aman, seperti melarang berhimpun di padang dataran merdeka yang menjadi tempat berhimpun dan provokasi pihak yang diadakan sendiri atau diizin oleh kerajaan sendiri. Sikap tidak adil melantik kumpulan penyiasat yang ditunjukkan oleh satu pihak kerajaan sahaja adalah cara yang tidak bermoral untuk menegakkan keadilan yang sebenar. Lebih tidak adil lagi apabila adanya tangkapan selepas bersurai dan menyeksa mereka yang ditangkap, dimaki hamun dan sebagainya.  Ini bukan cara yang bijak untuk mempertahankan kerajaan, bahkan cara menggali lubang sendiri untuk jatuh dengan cara memalukan. Bukan sahaja menjadi sunnah alam dan nas al-Quran dan hadith, serta doa mereka yang dizalimi pasti diperkenan Allah walaupun daripada seorang yang bukan Islam.

Akhirnya, kalau bangsa Melayu masih bersama UMNO yang tidak menegakkan Islam yang sebenar, berlakulah amaran Allah:
وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ ( 38
Maksudnya: Sekiranya kamu berpaling (tidak mahu menegakkan agama kamu) nescaya Allah menukarkan kaum lain, kemudian mereka tidaklah seperti kamu. (Surah Muhammad: 38)

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Selangor perlukan 60 guru tetap

Khaulah Azwar, 28 Mei 2012

(Khalid bersama-sama berikrar di hari Guru Jais)

SABAK BERNAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid  Ibrahim mengumumkan kerajaan negeri meluluskan permohonan kenaikan pangkat guru JAIS Gred DG41 ke Gred DG44 dan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Gred DGA29 ke Gred DGA32.

Kata Abdul Khalid, dalam tempoh terdekat ini, kerajaan negeri akan mengiklankan kekosongan 60 jawatan tetap guru bagi gred jawatan DG41, DGA29, DG48, DG44 dan DG41.

Pada masa yang sama juga bagi mengisi perjawatan gred DGA34, DGA32 dan DGA29, katanya.

Tambahnya lagi, sistem pendidikan Islam kelolaan JAIS yang bermula sejak tahun 1945 dan apabila mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2008, banyak perubahan dibuat terhadap sistem pendidikan Islam.

Antaranya, penstrukturan semula dasar dan hala tuju pendidikan Islam dengan menjadikan Al-Quran sebagai kukikulum teras pendidikan Islam, penambahan bilangan sekolah agama dan perlaksanaan Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua murid.

(Khalid menyampaikan hadiah kepada salah seorang guru cemerlang)

Pada masa ini, JAIS mengurus sebanyak 12 buah Pra Sekolah, 11 buah Sekolah Rendah Agama Integrasi, 2012 buah Sekolah Rendah Agama, 286 buah KAFA Integrasi, 23 buah Sekolah Agama Menengah dan dua buah Sekolah Agama Menengah Tahfiz Sains dan Teknologi.

"Justeru, untuk menampung kekurangan guru pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menambah 5,161 jawatan guru agama di negeri ini,” kata Abdul Khalid.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pendidikan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali pula berkata, kerajaan negeri memiliki kemampuan kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan penambahan jawatan ini bagi menampung kekurangan guru masa kini.

“Setakat ini seramai 9,128 orang guru mengurus dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran seramai 238,572 pelajar," katanya.

Jumlah pertambahan pelajar setiap tahun menyebabkan guru yang dipertanggungjawabkan tidak mencukupi, katanya.

Jumlah guru itu juga merangkumi pelbagai jawatan sama ada tetap, kontrak dan sambilan, katanya ketika ditemubual media dalam Majlis Sambutan Hari Guru JAIS Peringkat Negeri Selangor di Kompleks Pendidikan Islam JAIS, Bagan Terap, Sabak Bernam, di sini.

Hadir sama, Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Hussin.

Wan Ahmad angkuh tolak kajian Merdeka Center

Harakahdaily, 28 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS WP (DPPWP) menyifatkan kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang menolak hasil kajian Merdeka Center sebagai angkuh.
Dalam kajian tersebut menyatakan bahawa hampir separuh pengundi tidak percaya pada pemilihan proses pilihanraya di Malaysia.

“Seharusnya Timbalan Pengerusi SPR tersebut berterima kasih di atas kajian tersebut yang mana ianya suatu 'check and balance' kepada SPR,” kata ketuanya, Kamaruzaman Mohamad (gambar).

Katanya, SPR kini menghadapi situasi yang mana kepercayaan rakyat kepada institusi tersebut semakin terhakis.

Menurutnya, beberapa insiden seperti isu kad pengenalan sementara, daftar pemilih ragu, pengundi hantu telah meletakkan SPR bukan lagi suatu badan yang boleh dipercayai dan ketelusan SPR dalam menguruskan pilihanraya semakin diragui.

Beliau berkata, SPR juga dilihat ingin menegakkan benang yang basah dalam mempertahankan segala tindakannya yang dilihat berat sebelah.

“Kajian Merdeka Center ini sepatutnya dijadikan muhasabah buat SPR kerana inilah suara respons rakyat Malaysia terhadap badan pengurusan pilihanraya ini dan bukannya menolak mentah-mentah,” katanya kepada Harakahdaily.

DPPWP juga, ujar beliau berasa kesal dengan tindakan Wan Ahmad yang memandang lekeh terhadap sampel kajian tersebut, ianya seolah-seolah menghina rakyat Malaysia dan sekaligus memandang rendah suatu kajian ilmiah.

“Apakah beliau benar-benar tidak ingin melaksanakan proses pilihanraya dengan bersih dan adil?

“Apakah SPR ingin terus memekakkan telinga dan melaksanakan pilihanraya mengikut acuan kerajaan Umno BN?” soal Kamaruzaman.
Katanya, persoalan-persoalan itulah yang terus bermain di fikiran rakyat Malaysia sekiranya SPR terus bersikap demikian.

Mustapa risau apabila Kelantan buat lebuhraya

Salmah Mat Husain, 28 Mei 2012
MACHANG: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapha Mohamad yang berkata Kelantan buat lebuhraya sendiri sebagai gimik politik seumpama orang yang sedang risau.

"Tok Pa risau takut Kelantan berjaya buat, sedangkan kerajaan pusat yang kaya nak halang walaupun dah rancang sejak RMK ke 5

"Dia nak risau, risaulah tetapi kita berdoa pada Allah. Moga berjaya buat, berkat sokongan semua," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mustapha selepas majlis perasmian pembinaan Lebuhraya Kota Bharu - Kuala Krai di Felcra Berangan Meka Nab dekat sini pagi ini.

Lebuhraya  sejauh 64 km akan dibuat oleh kerajaan negeri berasaskan sumbangan kerajaan negeri, anak-anak syarikat dan orang ramai.

Semalam Mustapha mendakwa Kelantan membuat lebuhraya ini sebagai gimik pilihanraya semata-mata.

Tok Guru Nik Aziz sendiri menyumbangkan RM5,000 wang peribadinya hari ini untuk menjayakan projek ini.

Anak syarikat kerajaan negeri, Ladang Sungai Terah menyumbang RM1 juta manakala syarika Ufuk Budiman menyumbang RM100,000 kepada projek ini.

Di majlis itu, Tok Guru Nik Aziz menyeru semua lapisan masyarakat turut derma atas rasa tanggungjawab dan rasa hak bersama.

"Iapun bertepatan dengan Islam derma yang menggalakkan kita buat jalan selain masjid dan kita akan dapat pahala berpanjangan," katanya.

Menurutnya, sepanjang 22 tahun mentadbir Kelantan, beliau sudah dituduh dengan pelbagai fitnah "termasuk buat jalan pun akan hadapi masalah yang sama."

Exco kerajaan negeri yang menerajui projek lebuhraya ini, Datuk Husam Musa berkata, Kelantan telah dipinggirkan dalam pembangunan negara sejak sekian lama.

Antara projek yang menjadi mangsa adalah projek lebuhraya dan lapangan terbang.

"Anak Kelantan di luar bagaikan didera apabila kepulangan kereka ketika cuti sekolah dan hariraya terpaksa melalui jalan yang sukar kerana kesesakan," kata Husam.

PAS kutuk pembunuhan rakyat Syria

Harakahdaily, 28 Mei 2012

KUALA LUMPUR: PAS mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai rakyat Syria oleh rejim Bashar Al Assad kelmarin.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) dalam satu kenyataan hari ini berkata pembunuhan itu merupakan episod hitam dalam sejarah umat manusia, apabila nyawa rakyat dipertaruhkan semata-mata untuk mempertahankan kuasa.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:


Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai rakyat Syria oleh pihak keselamatan kerajaan Syria di Houla yang telah menyebabkan kematian terhadap seramai 108 orang, serta kecederaaan terhadap 49 orang kanak-kanak dan 34 orang wanita.

Pembunuhan ini merupakan satu peristiwa hitam dalam sejarah umat manusia, apabila nyawa rakyat dipertaruhkan semata-mata untuk mempertahankan kuasa.

Ianya merupakan satu hari kesedihan buat kami di Malaysia dan di seluruh dunia.

Oleh itu kerajaan Syria yang ada sekarang ini mesti bertanggungjawab ke atas pembunuhan beramai-ramai tersebut dan menghentikan penggunaan senjata dalam menangani protes rakyat.

Kita juga mendesak supaya umat Islam mendesak kepimpinan negara umat Islam masing-masing untuk mengambil tindakan keras terhadap pihak kerajaan Syria, selain mendesak komuniti antarabangsa menubuhkan satu siasatan bebas dipelbagai peringkat bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan untuk dihakimi segera.

Dalam masa yang sama, konflik berdarah yang berlaku di Syria tidak akan selesai selagi mana pihak yang bertanggungjawab terus menerus menggunakan persenjataan untuk bertindak.

Mereka perlu menghentikan segera penindasan, kezaliman dan kekerasan dan mengembalikan hak kepada rakyat untuk menentukan pemerintah mereka secara adil.

Kita tidak mahu nyawa rakyat melayang lebih banyak lagi dan jika terus berlaku, ia suatu yang mendukacitakan.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

Tiada ulasan: