Isnin, 28 Mei 2012

PASAL GELARAN BAPA ELOK DISELESAIKAN....NANTI ADA GELARAN LAIN...BAPA JUDI...BAPA ARAK...BAPA SUNDAL...BAPA RASUAH...BAPA BODEK...BAPA PENIPU DLL...KALAU KITA TAK SUKA DIGELAR YANG BURUK2...MAKA JANGANLAH KITA GELAR2 BEGITU...KITA PUN BUKAN KUAT MANA AMALANNYA...JAHIL PULA DALAM AGAMA...SYURGA NERAKA PUN TAK TAU MANA YANG KITA MASUK...KALAU MASUK SYURGA...ALHAMDULLILLAH...

Bapak kafir: Ulamak Kelantan minta fatwa

Rizal Tahir, 27 Mei 2012

(Tuan Guru Nik Aziz menerima cenderamata dari Dewan Ulamak Kelantan)

MACHANG: Dewan Ulamak PAS Kelantan semalam meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kenyataan berhubung kes bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Nor, yang menghina Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai bapa kafir.

Majlis fatwa juga turut didesak mengeluarkan segera fatwa khas berhubung perkara itu bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai berhubung kenyataan menghina ulamak itu.

Pada masa yang sama, Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Hassan Mahmood, turut menyokong demontrasi di hadapan pejabat NST petang ini berhubung kenytaan ‘bapa kafir’ kepada Tuan Guru.

“Kita meminta Majlis Fatwa Kebangsaan yang dianggotai mufti-mufti seluruh negara berasa sensitif tentang penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan yang memerintah hari ini.

“Banyak perkara yang tidak sehat dilakukan oleh pemerintah, namun pihak majlis fatwa berdiam diri, namun boleh pula mengeluarkan fatwa khas khusus untuk Pakatan Rakyat walaupun tidak bercanggah dengan Islam,”ujarnya.

Sambungnya, majlis fatwa tidak hanya perlu memandang sudut agama sahaja, sebaliknya pelenyelewengan kuasa, ekonomi, yang berlaku di hadapan mereka kena beri perhatian.

Beliau juga turut mencadangkan majlis fatwa menegur isu penyelewengan yang membabitkan NFC, saham syarikat MAS dan lain-lain lagi.

Sementara itu ketuanya, Datuk Mohammad Daud, mengakui pihaknya menggunakan kaedah yang lebih lunak dalam berdakwah, khususnya kepada orang bukan Islam.

Sambungnya, Dewan Ulamak PAS Kelantan, seboleh mungkin tidak akan menggunakan bahasa yang kesat apa lagi menyinggung perasaan mereka.

“Sebab itu ketika kita berucap, berkempen, berdakwah kita tidak kata mereka sebagai orang kafir, sebaliknya ‘bukan Islam’, sebab perkataan kafir itu begitu kasar, walaupun mereka bukan beragama Islam,”ujarnya.

Terdahulu Tuan Guru merasmikan laman web rasmi dewan berkenaan. Untuk melayari serta mendapat sebarang maklumat http://dupnk.org.my.

Tulisan jawi ditinggalkan bahasa Inggeris disanjungi

Raja Nurul Ain Raja Yacob,
Tulisan Jawi adalah satu seni penulisan yang telah  wujud berabad-abad lamanya di Nusantara. Ianya  muncul serta berkait secara langsung  dengan kedatangan Islam ke Nusantara.

Tulisan Jawi berasal dari tulisan Arab dan merupakan huruf-huruf Arab yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu. Tulisan Jawi ialah tulisan rasmi bagi negara Brunei dan digunakan meluas di Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Tulisan Jawi adalah antara tulisan terawal yang pernah ditemui. Tulisan ini telah berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai kemudian disebarkan ke Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor dan juga Aceh pada abad ke-17. Bukti kewujudan tulisan ini di Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702H atau 1303M manakala tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada akhir kurun ke-19. Ini menunjukkan tulisan Jawi telah sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi.

Tulisan Jawi merupakan tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British. Kini tulisan ini digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu yang kebanyakkannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu. Ada juga sesetengah negeri memartabatkan tulisan tersebut pada papan-papan tanda jalan dan bangunan-bangunan.

Pada zaman dahulu, tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat. Ia digunakan sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. Contohnya digunakan dalam perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Selain itu, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam abjad Jawi.

Tulisan jawi kini semakin terpinggir di bumi sendiri semenjak huruf roman diperkenalkan untuk menggantikannya selaras dengan perkembangan teknologi dan juga pengaruh Inggeris terhadap orang Melayu-Islam.

Kini amnya, tulisan jawi terhad penggunaannya dalam kalangan mereka yang berada dalam institusi agama Islam, seperti para ulamak, guru-guru agama dan pegawai tadbir jabatan agama Islam. Malahan, penerbitan Utusan Zaman seminggu sekali dan hanya menjadi sisipan dalam Utusan Malaysia. Ini  menandakan merudumnya penggunaan tulisan jawi.

Dalam era globalisasi hari ini, Bahasa Inggeris merupakan bahasa utama dan Bahasa Antarabangsa.  Oleh sebab bahasa Inggeris begitu kerap digunakan, bahasa tersebut telah disebut sebagai " bahasa antarabangsa ", ataupun lingua franca. Walaupun bahasa tersebut tidak ditetapkan bahasa rasmi di banyak negara, bahasa Inggeris merupakan bahasa asing yang paling umum dan sering diajarkan.

Meskipun pengaruh global dari penutur Bahasa Inggeris asli sama ada di media maya atau media cetak contohnya di pawagam, penyiaran, sains dan di Internet  pada dekad kebelakangan ini.  Bahasa Inggeris sekarang adalah paling banyak bahasa kedua yang dipelajari di dunia, walaupun bahasa lain seperti Perancis dan Sepanyol juga mengekalkan kepentingan di dunia.

Selain itu juga Bahasa Inggeris merupakan subjek wajib di banyak negara, antaranya negara kita ; Malaysia  bahasa Inggeris diterapkan sebagai subjek teras dalam sukatan pelajaran di sekolah atau di institusi pengajian tinggi. Bahasa Inggeris juga, merupakan bahasa rasmi untuk perbadanan antarabangsa seperti Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ASEAN, Pertubuhan Persidangan Islam dan lain-lain.

Kebanyakan pelajar di seluruh dunia adalah digalakkan untuk belajar sekurang-kurangnya sesetengah Bahasa Inggeris, dan pengetahuan kerja dalam Bahasa Inggeris adalah digalakkan dalam banyak bidang dan pekerjaan.

Lebuh raya: Pihak luar lebih baik diam

Salmah Mat Husain, 28 Mei 2012
KOTA BHARU: Kelantan meminta pihak luar memberi peluang kepada kerajaan negeri membina ‘lebuh raya rakyat’ tanpa mengeluarkan persoalan negatif apa lagi berbaur tidak sihat.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata sebaiknya berdiam diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan negatif berhubung perkara itu.

Beliau berkata demikian kepada media semalam ketika mengulas kenyataan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Fathmi Che Salleh, yang mendakwa pembinaan lebuhraya oleh kerajaan negeri tidak akan berjaya.

Pada sidang medianya itu Husam seterusnya berkata, kerajaan negeri telah memilih lima daripada sembilan syarikat yang berhasrat untuk membina lebuhraya ini.

“Kita buat saringan akhirnya daripada lima syarikat dan hasil daripada pemerhatian itu, kita telah memilih dua daripada sembilan syarikat yang memohon.

“Syarikat ini kebetulan pula syarikat yang terkenal dan mana-mana pihak  yang meraguinya boleh menyemak track recordnya sebelum ini,” ujar Husam lagi.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan negatif pihak berkenaan, adakah munasabah sebuah syarikat besar tiba-tiba ingin menyerah diri untuk melaksanakan projek yang tidak ada jaminan pembayaran.

“Kalau saya adalah pemilik syarikat itu, saya tidak akan menerima projek besar ini yang langsung tidak dijamin pembayarannya.

“Kerana dia yakin kerajaan negeri akan membayar berdasarkan strategi yang kita aturkan dengan syarikat berkenaan,” ujarnya.

Atas keyakinan itu katanya, syarikat berkenaan menawarkan diri, ia bukan syarikat tepi jalan yang tidak ada pengalaman iaitu Menta Contraction untuk fasa pertama.

Jadi katanya, Fathmi boleh menyemak latarbelakang kemampuan syarikat itu sebelum ini.

“Pilihanraya dijangka tidak akan diadakan pada tempoh yang terdekati ni, jadi kita ada peluang untuk melihat lebuhraya ini ada progress ataupun tidak,” ujarnya.

Beliau turut mengambil contoh Jambatan Sultan Yahya Petra yang pernah disindir akan pembinaannya oleh pihak Umno dan akhirnya dengan sokongan rakyat, ianya berjaya dibina.

“Andainya Jambatan Sultan Yahya dianggap satu perkara mustahil, lebihraya ini juga bukan suatu yang mustahil. Sebagai sebuah kerajaan negeri, kita mempunyai cara, kemudahan, untuk melaksanakan projek sperti itu.

“Ia akan menjadi tunggak kepada kejayaan pembinaan pembangunan yang lain pada masa akan datang termasuk pendaratan gas dan minyak,” katanya.

Menyentuh ada pihak yang membandingkan pelabuhan darat di Kuala Krai dan jambatan di Palekbang, Tumpat yang tidak berjaya dilaksanakan, Husam mendakwa ianya bukan projek kerajaan negeri.

Katanya, Jambatan Palekbang dicadangkan oleh sebuah syarikat swasta yang juga bakal memajukan Hotel River View yang ada sekarang.

Menurut Husam lagi, Hotel River View telah beroperasi kecuali jambatan kerana telah berlaku kegawatan ekonomi pada tahun 1997, di mana syarikat Ardona dari Pulau Pinang itu telah membatalkan projek berkenaan.

“Perkara ini dipersetujui bersama dengan Kerajaan Persekutuan dan ini bukan projek kerajaan negeri, sebaliknya projek swasta,” ujarnya.

Sambungnya, berlainan pula dengan projek pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai yang diusahakan oleh kerajaan negeri, begitu juga pelabuhan darat.

Katanya, pelabuhan darat dicadangkan oleh pihak swasta di atas tanah mereka sendiri dan bukannya dari kerajaan negeri.

Menurutnya, kegagalan itu kerana masalah kegawatan ekonomi menyebabkan tanah syarikat tesebut terpaksa dilelong.

“Kerajaan negeri hanya bekerjasama dalam beberapa perkara khususnya berhubung kelulusan bagi membolehkan pelabuhan darat itu diadakan sebahagiannya pula dari kementerian di peringkat Pusat,” ujarnya lagi.

Sambungnya, antara kerajaan dan syarikat suatu yang berbeza.

Katanya, pembinaan lebuhraya ini 100 peratus diusahakan dan milik kerajaan negeri.

“Tetapi saya tidak mahu berkata apa-apa sekarang, fokus kita insyaallah kita akan buat apa yang dapat dilakukan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Husam seterusnya menambah, pihak di luar sana diharap memberi peluang pada kerajaan negeri untuk menjayakan hasrat rakyat tanpa sebarang kenyataan negatif.

Apa yang penting sekarang ini, jelas Husam peluang amat wajar diberikan pada kerajaan negeri untuk meneruskannya dan bukannya membuat sebarang spekulasi.

Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai mula dirasmikan pembinaan pecah tanah hari ini oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebaik sahaja majlis pelancarannya dilakukan, kerja-kerja membina lebuhraya sepanjang 65 kilometer itu akan bermula.

Tiada ulasan: