Isnin, 14 Mei 2012

TAK LAKSANAKAN HUDUD...TAJA DAN BIARKAN MAKSIAT...HIDUP TAK IKUT CARA ISLAM..DAN MACAM2 MUNGKAR DIBUAT...JAGA ISLAM...PELIAHARA ISLAM...LAWAK2...ORANG JAHIL AGAMA...ADA KEPENTINGAN YANG MENYOKONG...

Ceramah pembohongan Umno dijerkah DS Nizar

http://ajijoi.blogspot.com/, 14 Mei 2012

Melalui laman twitternya, Dato Seri Nizar Jamaluddin mendedahkan bagaimana beliau duduk dimeja utama ceramah anjuran Umno yang bertajuk 'Nizar pembohong bersiri'.

Ceramah tersebut yang diadakan berhampiran dengan ceramah Pakatan Rakyat di Tualang Sekah, Kampar.

Sebelum tiba gilirannya untuk berceramah, DS Nizar telah berkunjung ke tempat ceramah Umno, lalu duduk dimeja utama penceramah. Turut berada dimeja utama tersebut adalah Dato Radzi Manan, Dato Shaarani dan Hanafiah Man.

Melihatkan kelibat DS Nizar yang duduk dimeja utama, mereka begitu terkejut, panik dan pucat, terketar-ketar menuturkan kata. Hanafiah Man yang sedang asyik menghentam DS Nizar terus menukar topiknya kepada Ambiga dan DS Anwar Ibrahim.

Kebanyakan yang hadir diceramah tersebut adalah orang-orang Kampar yang begitu mengenali DS Nizar serta keluarganya. Manakala yang datang berceramah menghentam beliau adalah orang luar.
Dengan kehadiran DS Nizar disitu, terserlahlah siapa pembohong bersiri yang sebenar-benarnya.
Tahniah buat DS Nizar yang berani datang secara berdepan, bukan seperti penceramah Umno yang hanya berani melalak dari jauh menggunakan kekuatan speaker semata.
Mat Sabu: Sejuta akan sertai Bersih 4.0
Jamilah Hamzah dan Fakhrurrazi Usuldin
14 Mei 2012
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu
SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mendedahkan rancangan pihaknya akan melancarkan Bersih 4.0 jika sistem pilihan raya masih memperlihatkan kepincangan dan dijangka bakal dihadiri hampir sejuta peserta.

Bersih 3.0 diadakan 28 April lalu dengan kehadiran dikatakan antara 80,000 hingga 200,000. Tiada angka rasmi. Bersih 2.0 diadakan Julai lalu mananakala Bersih pada 2007.

"Pelajar yang turun dalam perhimpunan Bersih 3.0 telah tunjukkan rasa marah terhadap pemerintah yang biarkan mereka tanggung hutang sebelum mendapatkan pekerjaan," katanya lagi.

Kebangkitan anak muda yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi dalam memperjuangkan hak melalui beberapa pertubuhan telah mendapat sokongan banyak pihak.

Beliau yang popular dengan panggilan "Mat Sabu" melahirkan pendirian itu pada majlis Himpunan Pekerja bertemakan "Menjulang Martabat Pekerja" di Stadium Malawati di sini, malam tadi.

Dua hari lalu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga melahirkan pandangan yang sama bahawa pihaknya akan mengadakan perhimpunan Bersih 4.0.

Dalam pada itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyarankan supaya wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu dipelawa membuat siasatan terhadap kekecohan yang berlaku ketika Bersih 3.0.

Katanya, pihaknya tidak mahu seorang bekas pegawai tertinggi polis mengetuai Panel Penasihat Khas yang dibentuk kerajaan minggu lalu.

"Rakyat tak bersetuju (bekas Ketua Polis Negara) Tun Hanif 0mar menjadi ketua siasatan (Panel Penasihat) bagi Bersih 3.0, kita mahu orang yang bebas daripada mana-mana parti dan mempunyai kepentingan tertentu," katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan senarai enam ahli panel penasihat bebas yang dipengerusikan Hanif bagi menyiasat kejadian rusuhan ketika perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara 28 April lalu.

Dalam ucapannya, Kit Siang secara sinis mengatakan sama ada perhimpunan Umno boleh dibandingkan dan disamakan dengan perhimpunan Bersih 3.0.

"Pada 28 April lalu Bersih 3.0 dilihat satu sejarah bagi parti Pakatan Rakyat kerana dapat mengumpul kesemua rakyat tidak mengira kaum dari seluruh negara mengatasi hari ini (13 Mei) yang mencatat sejarah hitam kepada negara ekoran kejadian rusuhan kaum yang memuncak pada tahun 1969," tambah beliau merujuk kepada ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri, pada majlis sambutan ulang tahun Umno ke-66 pada Jumaat lalu.

Guling, fatwa dan tarikh PRU13

Ahmad Lutfi Othman, 14 Mei 2012
Demonstrasi Bersih 3.0 memang membawa impak besar kepada lanskap politik tanahair. Ia dilihat sebagai antara faktor utama bagi Perdana Menteri mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen ... tapi malangnya, tanpa mengambil peduli langsung tuntutan mereformasikan sistem dan proses pilihan raya, yang begitu lantang dikumandangkan dalam himpunan petang 28 April itu.

Yang dihebohkan media hanya "tindakan ganas dan kotor perusuh", kerugian besar peniaga sekitar Dataran Merdeka (termasuk kira-kira RM280 juta oleh para pengusaha haji dan umrah jika kerajaan Arab Saudi melarang rakyat negara ini mengerjakan ibadat itu!), sedangkan agenda murni pendemokrasian tidak dihiraukan sama sekali. Elit pemerintah yang cukup takut untuk melakukan pembaharuan politik dengan tangkas cuba mengalih isu sebenar.

Selepas 10 hari,  perhimpunan bersejarah yang mengumpulkan lebih suku juta orang itu -- membabitkan pelbagai  lapisan kaum,   majoritinya anak-anak muda -- turut mendapat perhatian istimewa Majlis Fatwa Kebangsaan. Biarpun fatwa yang diputuskan nampak umum, merujuk sebarang perhimpunan atau demonstrasi, namun semua pihak melihatnya ditujukan khusus kepada Bersih 3.0.

Majlis Fatwa memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.

"Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama," kata pengerusinya, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

(Tentunya saya cuba mengelak daripada menyanggah keputusan fatwa tetapi saya bimbang jika ia diputuskan atas kehendak elit penguasa -- apatah lagi menjelang PRU13 --  atau tanpa maklumat cukup dan pertimbangan sewajarnya, kedudukan majlis tersebut akan menjadi momokan awam. Bayangkan selepas pasukan polis diasak kiri kanan, Majlis Fatwa pula menjadi perisai Umno? Perkembangan yang cukup menyedihkan).

Apakah Majlis Fatwa langsung tidak memahami tujuan sebenar himpunan Bersih 3.0 itu, bagi memastikan proses pilihan raya yang adil dan bebas? Dan, kalaupun berlaku kacau-bilau, siapa sebenarnya yang mencetuskan (malah merancang) huru-hara dan kekacauan itu? Undang-undang mana pula yang dilanggar demonstran, atau kalaupun ada peraturan yang diceroboh, apakah ia bersifat zalim, menindas dan tidak demokratik?

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat pantas mengulas: "Pernahkah Majlis Fatwa memandang dan memahami di sebalik lapan tuntutan Bersih untuk mengatasi isu pengundi hantu dan penipuan dalam pilihan raya yang implikasinya lebih besar kepada negara? Saya yakin fatwa ini hanya laporan akhbar prokerajaan sahaja tanpa mendapat penjelasan dari penganjur Bersih 3.0 sebelum membuat pertimbangan."


Dalam pada itu, semasa imej polis berada pada tahap terendah, ekoran keganasan terhadap demonstran pada petang 28 April lalu, tiga bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar, Tan Sri Rahim Noor, dan Tan Sri Musa Hassan,  turut menyokong tuduhan Dato' Seri Najib Abdul Razak bahawa perhimpunan "duduk-bantah" itu merupakan percubaan  pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.


Hanif, Rahim dan Musa mempunyai "rekod tersendiri" dalam usaha menyekat pergerakan reformasi 1998, atau lebih khususnya bertembung langsung dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim. (Rujuk kes mahkamah berkaitan taukeh judi Genting, mata lebam Anwar dan afidavit lucah). Lebih jauh lagi, Hanif menuduh ada elemen prokomunis terbabit.

Malah Rahim, dalam kenyataan terbaru dalam New Straits Times, 8 Mei, melabelkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai father of kafir (bapa kafir), ekoran penegasan Menteri Besar Kelantan itu tentang kewajipan  umat Islam menyertai Bersih 3.0. Dia juga menyifatkan Tok Guru sebagai "pelawak".

"Kasihan Rahim Noor, memang rahmat tak sampai padanya, kasihan keluarganya. Apa nak jadi polis pencen ini? Orang bukan Islam pun hormat dan sayang Tok Guru," SMS seorang pembaca Harakah kepada saya.

Apa pun, saya agak kaget dengan "keberanian" editor NST memilih tajuk selancang itu. Ia memang mengundang tindakan undang-undang daripada Tok Guru ataupun PAS sendiri (seperti disahkan kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man), tetapi bagaimana dengan pemantauan Kementerian Dalam Negeri (KDN)?

(Sebelum itu, NST juga "tersalah petik" ucapan Senator Australia, Nick Xenophon, di Parlimen negara itu pada 17 November 2009, dengan menggambarkannya sebagai anti-Islam. Xenopohon adalah salah seorang daripada  pasukan tujuh anggota pemantau antarabangsa dalam misi pencarian fakta mengenai sistem pilihan raya Malaysia, termasuk demo Bersih 3.0).


Rahmah Ghazali, wartawan NST, yang terpampang namanya pada halaman 6 itu, menafikan beliau terlibat dalam penulisan berita berkenaan. Rahmah hanya menulis dua perenggan akhir daripada keseluruhan 14 para, itu pun berita bersumberkan Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.


II.

Ketika berucap di Gua Musang, 4 Mei, Najib menegaskan: "Mereka (demonstran) ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk dua tiga jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak gambarkan kerajaan tidak boleh mengawal keadaan. Mereka nak jadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir."

Tidak cukup dengan "khayalan" (atau mungkin igauan buruk) Najib itu, sepupunya, Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Hussein mendakwa Anwar dan para penyokongnya berniat mengambil alih (occupy) Dataran Merdeka daripada 14 hingga 28 April ekoran isu pinjaman pelajaran mahasiswa (PTPTN).

Bagaimanapun, dakwa Hishammuddin, kurangnya sokongan daripada orang ramai menyebabkan rancangan itu tidak diteruskan.

Rupanya PM dan Menteri Dalam Negeri mempunyai imiginasi yang cukup liar. Tanpa memerlukan sebarang bukti, mereka boleh bergebang (sebenarnya memfitnah) sewenang-wenangnya, semata-mata untuk memalitkan imej buruk kepada Pakatan Rakyat, sekali gus menjauhkan pengundi daripada memilih kerajaan persekutuan yang baru.

Najib dan Hishammuddin masih diulit mimpi lama. Mereka mengharapkan rakyat gerun dengan istilah "menggulingkan kerajaan", apatah lagi dengan insiden di Medan Tahrir.

Mungkin Umno masih mengimpikan masyarakat Tionghua khususnya takut dengan gambaran "keganasan" demonstran, sepertimana Dr Mahathir Mohamad pernah "mengutip untung" semasa era reformasi 1998-99, apabila mengaitkannya dengan rusuhan di Indonesia.

Malang sekali apabila himpunan Bersih 3.0 dibanjiri masyarakat Cina dari seluruh negara. Malah saya dapati mereka datang dengan penuh bersemangat, melaungkan slogan yang lebih jelas dan tidak malu-malu  berkempen sesama peserta demonstrasi. Hinggakan semasa  menapak di sekitar Jalan Sultan pagi 28 April itu, saya tercari-cari juga rakan-rakan sebangsa!


Jelas sekali, tiada tuntutan Bersih agar Najib meletakkan jawatan. PM hanya diminta menunaikan lapan agenda mereformasikan sistem pilihan raya, agar semua parti dan calon dapat bertanding secara adil, telus dan bersih. Tegasnya, padang permainan sama rata dapat dihamparkan.

Umum maklum bahawa kebangkitan Arab ditandai dengan beberapa faktor utama, antaranya, pemerintahan diktator kuku besi yang menekan hak rakyat, demokrasi dicabul, selain pembolotan khazanah kekayaan negara sehingga ekonomi merudum, kadar pengangguran meningkat dan keganasan pasukan keselamatan semasa berdepan siri tunjuk perasaan.

Pelik juga, mengapa Najib dan konco-konconya nampak begitu gusar dengan kebangkitan rakyat dan kerap mengaitkannya dengan Medan Tahrir dan Arab Spring, yang menjatuhkan beberapa diktator melalui aksi jalan raya. Apakah mereka merasakan ada persamaan dengan Gadaffi, Mubarak ataupun Ben Ali?

Anak Mahathir, Marina, yang turut menyertai demonstrasi Bersih 3.0, dan pada 9 Julai 2011, Bersih 2.0  menyinggung hal ini: "Memang kita bukan seperti  Mesir, tetapi mengapa reaksi kita seperti Mubarak (ketika menangani peserta demonstrasi)?"

Mahfuz juga memberi respon: "Najib takut bayang-bayang dia sendiri. Di Malaysia, kita bukan minta dia turun. Itu minta kemenangan percuma. Kita mahu menang atau kalah dalam pilihan raya bersih dan adil."

II.

Selasa lalu, saya menerima banyak SMS, tapi kandungannya sama. Ramalan terkini PRU13. Pembubaran Parlimen, 14 Mei; penamaan pencalonan, 26 Mei; dan hari mengundi 9 Jun.

Kali ini ramai mengambil berat tarikh berkenaan. "Kalaupun tersasar sekali lagi, saya rasa ia tidak mungkin melewati Ramadan. Sebabnya, jika diadakan selepas puasa, Najib terpaksa menunggu sehingga semua jemaah haji balik, iaitu paling awal November 2012. Waktu itu rakyat dah lupa segala 'durian runtuh'," komen seorang rakan.

Bagaimanapun saya lebih tertanya-tanya soal lapan tuntutan Bersih yang tidak dipedulikan itu ...

66 tahun: Umno tidak sehebat Firaun

Mohd Sayuti Omar, 14 Mei 2012
Tiada mana-mana kuasa di dunia ini dapat bertahan selama-lamanya. Betapa kuat dan hebat sesuatu kuasa dan kerajaan itu akhir ianya akan tumbang juga. Sejarah tamadun manusia kuno dan moden banyak menunjukkan bahawa kuasa ‘baru’ itu akan runtuh dan hancur satu persatu. Lihat saja kerajaan-kerajaan dibangunkan manusia seperti mana disebut di dalam al-Quran misal kisah Firaun sebuah kerajaan terhebat milik manusia akhirnya musnah juga.

Waktu itu tidak ada siapa boleh menandingi kuasa yang ada kepada Firaun. Kekuatan, keagungan yang Allah berikan kepada mereka (raja-raja Firaun) menyebabkan mereka melupai diri dan asal usulnya sehingga setengah dari mereka mengaku merekalah Tuhan. Mereka tidak pernah terfikir kerajaannya sehigga meliputi ke 31 dinasti akhirnya lenyap juga dimakan sejarah.

Kerajaan Firaun yang paling lama berkuasa ialah Rameesse II yang berkuasa selama 66 tahun. Disebabkan ketamakan, egois dan melampau batas akhirnya mereka dilaknat dan dikutuk Allah sampai ke hari khiamat.

Demikian juga dengan para diktator dan jutawan dunia moden. Kekuasaan dan kehebatan mereka tidak menjamin mereka kekal selama-lamanya atas pundak dunia. Walaupun pada satu masa mereka digeruni dan disujud oleh manusia yang diperintahnya, tetapi akhirnya mereka jatuh satu demi satu dengan penuh kehinaan dan keji.

Bila bercakap mengenai kehebatan sesebuah kerajaan yang dibangunkan dengan kuasa politik demokrasi hari ini kita boleh melihat banyak contoh dan buktinya bagai mana kekuasaan itu lenyap dengan keadaan hina. Usah pergi jauh kita tinjau dan kaji saja apa yang berlaku di rantau Asia, medan dunia yang dekat dengan diri kita.

Beberapa kerajaan yang dibangunkan dengan sistem demokrasi yang begitu hebat dan tersohor sudah jatuh satu demi satu. Kekuatan dan keagungan kerajaan itu terpaksa juga akur kepada kehendak atau pun hakikat bahawa mereka tidak dapat bertahan selama-lamanya. Atas nama kerajaan ciptaan manusia makhluk yang lemah dan hina ia akan musnah. Kemusnahan itulah membuktikan kelemahan manusia sebagai makhluk yang baru.

Satu masa dulu manusia politik berbangga dengan kehebatan kerajaan-kerajaan ini. Melihat kepada kehebatannya tidak terfikir bahawa ia akhirnya akan musnah juga. Beberapa contoh kerajaan demokrasi di Asia ini yang boleh diambil sebagai iktibar untuk melihat bagaimana lemahnya kuasa manusia dan ia mengalami kemusnahan dan kepupusan. Kerajaan India yang dikuasai oleh Parti Kongres sejak tahun 1949 yang diwarisi secara tradisi dari datuk kepada anak membawa kepada cucu akhirnya tumbang juga setelah (40) tahun kemudian. Parti Kongres kalah kepada Bhatrial Jenata parti tahun 1989. Suatu waktu itu tidak ada siapa yang memikirkan bahawa kerajaan Kongres akan tumbang kerana kehebatannya dan menjadi parti pujaan rakyat India.

Siapa menjangka Kongres sebuah parti yang diasaskan oleh para pimpinan kemerdekaan India boleh kalah. Padahal orang yang membawa kemerdekaan kepada sesuatu daerah atau negeri itu sangat disanjung dan dihormati rakyat negeri itu. Tidak seharusnya parti yang mereka asaskan ditolak. Tetapi tidak begitu. Kalau perjuangan asal mulanya itu sudah dilupakan atau menyimpang matlamat dan tujuan atau tidak melakukan perubahan dinamik maka penghormatan dan sanjungan orang juga akan berubah. Rakyat tiada pilihan lain melainkan menukar mereka dengan yang baru.

Apa lagi kalau orang yang mewarisinya sudah melencung dari perjuangan asal dan asyik menjaga kepentingan diri dan kroni. Rakyat tidak dipedulikan. Rakyat boleh sokong selagi mereka rasa perlu menyokong dan tidak berlaku apa-apa tekanan buat mereka. Tetapi bila rakyat sudah muak, tertekan dan hilang sabar rakyat boleh melakukan apa saja termasuk membakar kerajaan.

Parti Kongres diasaskan Jawaharal Nehru sebagai Perdana Menteri India pertama berakhir kepada Rajiv Ghandi yang mati dalam satu tragedi pembunuhan oleh seorang wanita pejuang Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) bernama Thenmozhi Rajarthnam. Walaupun Kongres cuba bangkit semula beberapa tahun selepas itu tetapi ternyata parti itu sudah kehilangan sakti dan keramatnya. Kongres bukan menjadi salah satu dewa yang menyelamatkan orang India lagi.

Begitu juga dengan sejarah parti terbesar dan berkuasa di Jepun, Liberal Demokrat Parti (LDP) akhirnya tumbang dan jatuh juga. LDP menguasai Jepun sejak tahun 1955 akhirnya tewas pada tahun (1990) setelah 54 tahun berkuasa kepada Demokrat Parti Jepun (DPJ).

Seperti juga parti Kongres kejatuhan LDP itu mengejutkan kerana banyak orang merasakan parti asal yang membentuk sesebuah kerajaan berasaskan sistem demokrasi sukar untuk digugat. Sistem demokrasi adalah sistem terbaik menggantikan sistem anarki atau monarkri sebelum ini.

Demikian juga halnya dengan beberapa orang diktator moden akhirnya menuruni takta dengan penuh kehinaan. Seorang demi seorang sang kuku besi dan ‘pemakan’ rakyat meninggalkan singgahsana penuh keaiban dan kehinaan. Ferdinan Marcos di Filipina yang berkuasa selama (...) akhirnya tumbang. Mohamad Suharto di Indonesia menjadi presiden selama (32) akhirnya tumbang juga. Kejatuhan mereka adalah kerana tindakan dan asakan rakyat. 
Beberapa nama diktator lain lagi seperti Shah Redza Pahlavi Iran, Fujimoro, Salabadon Milosevic di Bosnia-Herzegovina dan lain-lain. Terbaru diktator di Asia Tengah, Saddam Hussein, Hosni Mubarak, Ben Ali juga sudah jatuh dan hancur. Yang kini dalam proses kehancuran memalukan ialah Muammar Gadafi di Libya. (Sudah pun hancur dan maut).

Sebelum ini diktator zaman perang dunia I dan II juga berkubur satu demi satu.

Tawarikh dan peritiwa-peristiwa  itu semua menunjukkan tidak ada satu kerajan dan diktator  yang kebal di dunia ini. Setinggi mana usaha untuk mempertahankannya akhirnya ia akan jatuh menyembah bumi juga. Sudah menjadi lumrah sesuatu yang lama itu akan dibenci dan dimualkan. Satu pembaharuan sebagai pengganti akan dilakukan. Kalau  boleh diperhatikan setiap setengah abad berlaku perubahan. Perubahan itu berlaku kerana manusia mahukan kepada pembaharuan. Modenisasi atau sesuatu yang baru adalah keinginan naluri manusia.

Tidak semestinya yang sedia ada itu buruk, tetapi kerana sifatnya lama maka ia sudah tidak diingini lagi. Naluri manusia penuh dengan sifat ingin tahu dan mencuba yang baru. Apa lagi kalau ditambah dengan yang lama itu sudah menunjukkan tanda-tanda keburukan dan kerosakan maka naluri ingin menukarnya semakin kencang. Jiwa manusia senantiasa progresif dan memberontak. Pemberontakan itu pula menandakan manusia itu hidup.

Berdasarkan kepada putaran kehidupan tadi dan juga kepada sejarah, kedudukan BN yang memerintah Malaysia hari ini juga tidak akan kekal abadi. Adalah salah dan rosak iman kalau ada yang mengatakan Umno akan kekal selama-lamanya dan satu-satu harapan rakyat Melayu di negara ini. Ingat Umno hanya sebuah parti yang tidak pun memiliki kuasa mukjizat dan sebagainya.

Betapa pemimpinnya berusaha untuk mengekalkan kerajaan yang ada tetapi ia tidak akan berhasil. Tanda-tanda sudah kelihatan UBN akan mengalami nasib sama dengan kerajaan Kongres di India, kerajaan LDP di Jepun. Manakala pemimpinnya akan turun satu persatu sama ada dari tangga depan atau tangga belakang seperti mana para diktator dunia lainnya.

Sementara kedudukan Najib Razak yang menjadi presiden Umno hari ini dan Perdana Menteri Malaysia akan mengalami nasib sama dengan Rajiv Ghandi atau Suharto, Marcos dan lain-lain. Kalau Najib tidak peka kepada tuntutan dan cuba mempertahankan Umno dengan kuasa diktator beliau akan mengalami sejarah hitam melumuri para diktator tersebut.

Najib jangan sesekali cuba mempertahankan kerajaan BN hari ini dengan sesuatu yang haram. Misalnya menggunakan SPR, polis atau pun tentera. Najib boleh lakukan itu kerana dia ada kesempatan dan kuasa. Tetapi perlu ingat kuasa rakyat adalah kuasa keramat yang mana teras pertimbangan rakyat ialah kebenaran dan keadilan. Dalam sistem demokrasi, perdana menteri dan wakil rakyat berkuasa, tetapi kedauatan kuasa itu ada kepada rakyat jangan cuba mempermain-mainkannya.

Kesimpulannya apa yang hendak ditegaskan di sini, jangan merasakan UBN akan kekal selama-lamanya memerintah Malaysia. Hari ini UBN sudah memerintah selama 56 tahun. Usia itu hampir lebih sedekad dengan usia kejatuhan Kongres di India dan LDP di Jepun. Saya tidak mengira kerajaan UBN hari ini akan berjaya memecah rekod kerajaan Ramessee II yang menjadi raja Firaun selama 69 tahun. Umno tidak sehebat Firauan. [wm.kl.12:32 t/malam 13/05/12] - Tanpa edit akhir. - http://msomelayu.blogspot.com


* Catatan ini adalah sebahagian petikan dari satu bab dalam buku politik saya yang sedang dalam proses. 

‘Ayuh anak muda, gerakkan langkah ke Putrajaya’

Khairil Abdul Rahim, 13 Mei 2012
TEMERLOH, 13 Mei: Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menyeru golongan muda bangkit menumbangkan kerajaan yang telah memerintah lebih 54 tahun dan menukarnya dengan  pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 akan datang ini.


Tegasnya, sejarah kebangkitan sesebuah bangsa di dunia digerakkan oleh golongan muda kerana memiliki kudrat dan semangat yang kental.

“Setelah 54 tahun kita dicengkam hanya satu parti, sudah sampailah masanya kita kena bangun dan ini adalah tugasan anak muda. Kebetulan pula inilah waktunya yang paling sesuai untuk menukar kerajaan melalui pilihan raya.

“Ayuh anak muda, gerakkan langkah kita ke Putrajaya. Anak mudalah mesti bangkit kerana yang berpuisi ini hanya sorang tua berusia 66 tahun,” katanya dalam majlis Santai Seni Anak Muda Bersama Sasterawan Negara di Esplanade Sungai Pahang di sini petang tadi.

Dalam majlis berkenaan Pak Samad membacakan tiga buah puisi ciptaannya iaitu “Unggun Bersih”, “Gebeng Yang Luka” dan “Melelong Rimba” sambil disambut tepukan gemuruh dan laungan takbir tidak henti-henti oleh kira-kira 500 orang pemuda serta pemudi tempatan.

Sebelum itu 10 orang pemuda diberi kesempatan membaca puisi dan menyanyikan lagu patriotik sambil diiringi petikan gitar akustik.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Temerloh Haji Jusoh Darus, Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamad dan Ketua PKR Cabang Temerloh Ahmad Nizam Hamid.

Mengenai demokrasi, Pak Samad berkata demokrasi yang ada merupakan demokrasi yang telah cacat akibat terlalu lama dibiarkan berada di puncak singgahsana sehingga kebebasan dan hak hanya menjadi mainan pemerintah.

Pak Samad yang juga Pengerusi Bersama Himpunan Bersih 3.0, berkata perhimpunan di Kuala Lumpur itu telah mencapai sasarannya apabila berjaya disertai kira-kira 300,000 orang 28 April lalu dan melahirkan rasa bangga kerana lebih 80 peratus adalah anak muda.

Beliau yang dalam rangka program bersama anak muda di Parlimen Maran dan Temerloh mengingatkan, agar terus menyalakan semangat Bersih dan berharap akan ada Bersih 4.0 kerana tuntutan 8 perkara pembaikan PRU belum dilayan.

“Selamat berhimpun lagi, jika hanya bahasa itu yang difahami pemerintah,” katanya.

Bohong puak hina Islam kata pelihara Islam

Abdul Aziz Mustafa, 13 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 13 Mei: Pembohong besar jika pemimpin yang menghina Islam mendakwa pihaknya yang memelihara kesucian Islam, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

"(Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) cuba memberikan gambaran bahawa Umno yang diketuainyalah yang memelihara kesucian Islam dan apabila Islam diasak beliau mendakwa pula kononnya Umnolah yang pertahankan.

"Dakwaan itu adalah antara dakyah dan bohong terbesar Presiden Umno itu," kata beliau.

Najib, katanya, mungkin sudah lupa penghinaannya terhadap Allah, Islam dan umatnya tetapi umat Islam yang mematuhi Allah tidak lupa penghinaannya itu.

Salahuddin berkata, sukar untuk dilupakan kenyataan Najib yang mendakwa "negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan".

Najib menyatakan demikian kepada wartawan pada 20 April 1983.

"Kenyataan itu bukan sahaja menghina undang-undang Islam malah menghina Islam dan Allah s.w.t. yang mencipta undang-undang Islam," tegas Salahuddin.

Pada 20 April 1992, Najib juga menyatakan, "kerajaan Kelantan harus dipertanggungjawabkan jika berlaku huru-hara, ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan kegelisahan rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu. Rakyat harus menyoal perlaksanaan hukum itu menguntungkan atau menyebabkan perpecahan, pertentangan dan ketidakstabilan politik. Tidak semua negara Islam mengamalkan hukum hudud bahkan ada negara Islam lebih makmur tanpa hukum itu".

Kepada Salahuddin, kenyataan Najib itu sekaligus memperlihatkan sikap permusuhannya terhadap undang-undang Islam.

"Memusuhi undang-undang Islam samalah seperti memusuhi Islam dan Allah yang hanya mengiktiraf Islam sebagai satu-satunya cara hidup di sisi-Nya," tegas beliau.

Hudud: Malaysian Insider didesak buat pembetulan

Harakahdaily, 13 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 13 Mei: “Kami mendesak agar pihak Malaysian Insider membuat pembetulan di atas pemberitaan yang salah dari segi etika kewartawanan itu,” tegas Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau menyatakan demikian sebagai merujuk kepada laporan portal berita Malaysian Insider hari ini, 13 Mei 2012 dengan tajuk Hadi sticks to hudud stand, unfazed by Karpal's view.


“Pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan ini menafikan kandungan berita bahawa "PAS president Datuk Seri Abdul Hadi Awang has maintained that Pakatan Rakyat (PR) would implement hudud for Muslims if it comes to federal power, saying today...",” jelasnya dalam satu kenyataan malam ini.


Beliau menegaskan lagi, Presiden PAS tidak pernah menyebut intipati petikan berita berkenaan semasa sidang media hari ini atau di waktu yang lain sebelum ini.

Oleh itu, katanya persoalan pelaksanaan hudud sekiranya PR memerintah kerajaan persekutuan adalah tidak berbangkit sama sekali.


“Pihak media diingatkan supaya tidak menguji kesabaran kami dengan terus menerus memuatkan berita bohong yang diulang siar dengan niat untuk menjalankan agenda buruk pihak tertentu,” katanya.

Tiada ulasan: